About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 6, 2014

TD Terima IFV25

Foto: kredit kepada rakan whatapps

Pekan 6 Disember 2014- Penyerahan kenderaan berperisai tempur infantri 8x8 Infantri Fighting Vehicle 25mm (IFV25) pertama  sebanyak 12 unit oleh DRB-HICOM Defence Technology (Deftech) kepada Tentera Darat Malaysia (TDM)telah berlangsung hari ini di kilang Deftech Pekan Pahang.

Penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Deftech Tan Sri Mohd Khamil kepada panglima Tentera Darat , Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Tan Sri Mohd Khamil, penyerahan ini merupakan sebahagian daripada 257 unit berdasarkan kontrak yang dimenterai pada 2011 dengan TDM.

Perdana Menteri turut merasmikan nama IFV25 dengan nama GEMPITA. Gempita dalam ertikata suatu sifat yang digambarkan kepada kenderaan ini kerana pihak musuh memerlukan bala tentera yang ramai dan kuat untuk menghadapi tentangan dari kenderaan ini.

Dengan rekaan berteknologi tinggi dan sistem persenjataan yang moden, GEMPITA mampu  membinasakan musuh yang ramai dan pada masa yang samamampu mempertahankan diri  dari ancaman musuh.

GEMPITA juga mempunyai daya mobiliti dan manuver yang tinggi yang mampu menggemparkan pihak musuh.

Wednesday, October 1, 2014

PULATIBANG1- MELAHIRKAN WIRA ANGKASA NEGARA

Majalah Perajurit edisi Oktober 2014
Oleh Hamzah Hd.


 Hunting Percival (Piston Provost) 

Pada 23 Ogos 2014 yang lalu, Pusat Latihan Terbang 1 (PLTB 1) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan Sambutan Jubli Emas sempena penubuhannya yang ke 50 tahun pada tahun ini di Kolej TUDM Kepala Batas Kedah.

Majlis ini telah dihadiri oleh Panglima TUDM Jen Tan Seri Dato’ Seri Rodzali bin Daud TUDM bersama jemputan-jemputan dari kalangan pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai TUDM dan semua anggota yang masih berkhidmat sebagai jurulatih penerbangan, pelatih maupun juruteknik di PLTB 1.  Antara jemputan khas yang hadir pada majlis sambutan ini ialah anak tempatan pertama yang menyandang sebagai Panglima TUDM ialah Marsyal  Muda Udara Tan Seri Sulaiman Sujak (Bersara) dan Pegawai Memerintah pertama PLTB 1 iaitu Group Captain John F Woodad (Rtd).

Sejarah Penubuhan

Menyingkap sejarah penubuhan PLTB 1 bermula di Kuala Lumpur Base dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pangkalan bagi menempatkan sekolah penerbangan TUDM pada tahun 1963.  Ianya dirangka bertujuan untuk mengambilalih Lapangan Terbang Alor Setar (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim) dari Royal Airforce (RAF).

Oleh kerana kekurangan tenaga pengajar dan kelengkapan yang diperlukan, penubuhan sekolah dibuat secara berperingkat dan akhirnya Flying Training School ((FTS) telah dibuka secara rasminya oleh Mantan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada 1 Julai 1964 dengan perlantikan Squadron Leader  John F Woodard dari Tentera Udara Diraja British (RAF) sebagai Pegawai Memerintah Sekolah Penerbangan TUDM yang pertama.  Ini bermakna penubuhan Sekolah Penerbangan TUDM berlaku 6 tahun selepas penubuhan TUDM itu sendiri.  Kemudian pada tahun 1984 FTS telah melakukan penjenamaan semula dari FTS kepada Flying Training Centre 1 atau lebih dikenali sebagai PLTB 1.

Latihan penerbangan siri 5 dibuat di TUDM Alor Setar yang mana merupakan kursus pertama yang diasaskan oleh Squadron Leader Woodard.  Seiring dengan arus perkembangan sains dan teknologi, Sekolah Penerbangan TUDM turut mengalami transformasi ke arah penambahbaikan dari masa ke semasa. 

Antara pesawat-pesawat yang pernah digunakan di sekolah penerbangan ini ialah  ialah De Havilland DHC-1 Chipmunk telah berkhidmat dalam perkhidmatan TUDM dari 1964 hingga 1972, Hunting Percival (Piston Provost) dari tahun 1964 hingga 1972, Scottish Aviation Bull Dog 100 dari tahun 1972 hingga 1997, Dove Cesna 402B dari tahun 1975 hingga sekarang, SME MD3-160 (Aerotiga MD3) dari tahun 1999 hingga sekarang, Pilatus PC-7 dari tahun 1983 hingga sekarang dan pesawat  terkini  yang digunapakai ialah Pilatus PC-7 Mark ll yang memulakan perkhidmatan pada tahun 2003 sehingga ke hari ini.  PLTB 1 dijangka akan menerima 5 buah lagi pesawat baharu Pilatus PC-7 Mark ll tahun ini.

Bermula dari sebuah unit latihan terbang yang kecil yang dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan dari RAF, hari ini PLTB 1 telah mencapai satu tahap yang sangat membanggakan yang mana hingga kini PLTB 1 telah berjaya menghasilkan seramai 1200 orang juruterbang tentera termasuk juruterbanag TDM dan TLDM malah juruterbang dari tentera udara negara luar seperti Tentera Udara Bangladesh dan Tentera Udara Indonesia.

Mengimbau keadaan PLTB 1 di peringkat awal penubuhan telah melalui pelbagai cabaran dan kelemahan bagi meluluskan diri di dalam setiap ujian serta berusaha melonjakkan diri ke tahap keupayaan, profesionalisme dan kesiagaan seperti yang ada pada hari ini semestinya bermula dari sikap proaktif, ketabahan dan pengorbanan individu dan kumpulan terdahulu dalam melatih dan menggilap generasi demi generasi juruterbang serta pemimpin masa depan TUDM. 

Cabaran

Cabaran pertahanan abad ke 21 semakin sukar difahami dan semakin sukar diramal.  Kempen aplikasi tentera udara menjadi semakin agresif kerana keupayaan melakukan operasi ketenteraan secara meluas samada semasa aman atau dalam suasana konflik di dalam dan luar negara.  Di dalam peperangan konvensional dan juga ancaman dari pelbagai spektrum mendambakan TUDM berada dalam keadaan bersedia dan bersiaga pada sebilang masa.  Tentunya PLTB 1 mempunyai tanggungjawab yang paling besar untuk menghasilkan generasi juruterbang militari yang berkualiti, berani dan berketrampilan sebagai pemimpin masa depan.

Bukan sesuatu yang mudah untuk melahirkan seorang juruterbang yang pintar dan mampu bekerja di bawah tekanan kerana mereka bukan sahaja juruterbang tetapi mereka juga adalah seorang tentera yang diberi amanah untuk membunuh sebelum mereka dibunuh kerana di dalam suasana peperangan setiap tindakan memerlukan kestabilan emosi yang baik dan setiap tindakan akan menghasilkan kemenangan.

Oleh kerana itu memang tidak dapat dinafikan, kewujudan dan kesinambungan peranan PLTB 1 adalah untuk membentuk dan menentukan masa depan penerbangan militari negara dengan memfokuskan perancangan dan pembangunan sumber manusia dalam usaha untuk mengekalkan dan mempertingkatkan keperluan operasi masa depan TUDM.  Ini adalah selaras dengan moto Hari Ulang Tahun TUDM yang berbunyi ‘Kuasa Udara Kuasa Negara’ yang mana modal insan adalah tulang belakang kepada kuasa udara.

 TUDM telah memasuki fasa modenisasi, perubahan doktrin serta berkembang maju dari sebuah angkatan udara yang bersaiz kecil dan terhad keupayaan kepada sebuah angkatan udara moden yang bersaiz sederhana dan serba boleh di rantau ini.  Untuk menentukan TUDM memacu ke arah masa depan yang betul, satu program yang dinamakan  The Airforce Next Generation telah dilancarkan pada tahun 2010 sebagai panduan utama bagi memandu TUDM terus berkembang maju menjadikan TUDM relevan, berkebolehan dan serba boleh serta menjadi angkatan udara yang boleh dibanggakan kepada negara menjelang Malaysia  maju  tahun 2020.

Dalam ucapan perasmian, PTU telah menegaskan bahawasanya untuk merealisasikan segala aspirasi TUDM tidak sebegitu mudah sebaliknya memerlukan  pengorbanan dan kesabaran.  Apa yang digariskan di dalam program generasi masa depan TUDM, modal insan merupakan salah satu daripada 4 tonggak utama bagi menyokong segala aspirasi untuk memenuhi spektrum TUDM yang memerlukan perhatian khusus.  

Pegawai dan anggota mestilah menggenggam erat nilai-nilai teras TUDM yang mana dalam konteks ini TUDM perlu melaksanakan latihan dan program pembelajaran yang lebih mantap dan berterusan dengan kajian semula kurikulum bagi memenuhi permintaan dan keperluan semasa.  Cabaran yang bakal ditempuhi di masa hadapan kerap kali sangat sukar diramal.  Namun begitu TUDM sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan suasana itu dengan melatih modal insan dengan cara yang betul, mencukupi serta pembelajaran yang berkualiti tinggi.

Sepanjang 50 tahun yang berlalu PLTB 1 telah berjaya dalam pengeluaran juruterbang pesawat yang berkaliber bukan sahaja dari perkhidmatan sendiri malah dari dari TDM TLDM, APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.  Rekod perjalanan 50 tahun PLTB 1 telah mempamirkan keupayaan dan keyakinan yang tinggi dalam usaha menggilap kecemerlangan  untuk menggapai kecemerlangan 50 tahun yang akan datang di dalam membentuk masa depan penerbangan tentera Malaysia.


PLTB 1 juga telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan penyertaan  di dalam banyak pertunjukan-pertunjukan udara, pameran udara dan upacara lintas hormat di seluruh negara.  Ini telah dibuktikan oleh tim Sparrowhawks dalam era 60an, tim Taming Sari pada era 80an dan 90an yang mana selama ini tidak pernah gagal di dalam memberi persembahan yang menghiburkan kepada para penonton di dalam setiap acara yang disertai.  SELAMAT HARI ULANG TAHUN KE 50 PLTB 1. PERAJURIT

Wednesday, August 27, 2014

EKSESAIS TAIAHA TOMBAK


Perasmian Eksesais  TAIAHA TOMBAK  Siri 25/2014 telah berlangsung dalam suasana santai dan serba ringkas bertempat di Padang Kawad  Batalion 6 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 13 Ogos yang lalu.

Upacara perasmian telah di sempurnakan oleh Yang Berbahagia Panglima 6 Brigad (Bgd) Brig. Jen  Zakaria Yadi dengan di saksikan oleh Group Captain Mohammed Mukhthar Shariff (Alec Sheriff ) selaku Penasihat Tentera New Zealand ke Malaysia, Brunei dan Thailand.  Sebanyak 3 kontijen terlibat di dalam perbarisan perasmian iaitu 2 kontijen dari batalion 6 RAMD dan 1 kontijen dari  Kompeni Victor Tentera Darat New Zealand yang terlibat di dalam Eksesais kali ini.

Secara keseluruhan Eksesais TAIAHA TOMBAK  Siri 25/2014 telah melibatkan lebih kurang 40 orang pegawai dan 500 orang anggota LLP dari kedua-dua pihak ATM dan TDNZ yang dibahagikan kepada Blue Force dan Orange Force

Eksesais ini telah berlangsung dari 13 Ogos sehingga 28 Ogos 2014 yang mana pelaksanaannya dibahagikan kepada 2 fasa iaitu 13 hingga 20 Ogos  merupakan fasa pengenalan yang dilakukan di dalam kem sahaja yang melibatkan kedua-dua pihak partisipasi di mana kedua-dua pihak TDM dan TDNZ  membuat demonstrasi kemahiran mereka bagaimana membuat operasi hutan mengikut cara masing-masing.

Dalam fasa pertama ini juga kedua-dua pihak telah melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada kerjasama dan persefahaman melalui aktiviti-aktiviti sukan dan aktiviti sosial yang telah dirancangkan.

Fasa kedua dari 21 hingga 25 Ogos merupakan fasa latihan medan bersama trup yang melibatkan batalion telah diaturgerakan ke medan dalam kawasan hutan Baling Kedah yang memperuntukkan persekitaran sebenar bagi kedua-dua pihak TDM dan TDNZ mempamir dan menunjukkan keupayaan dan pengalaman mereka berperang di dalam hutan tropika.

Dalam fasa latihan medan ini aplikasi taktikal yang mereka laksanakan adalah tidak terhad dan tidak langsung tertakluk atau dipengaruhi oleh apa-apa taktikal yang diperuntukan di dalam eksesais ini dan semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan keupayaan dan pengalaman sebenar  kedua-dua buah pasukan.  Ini bermakna walaupun dalam kedaan di mana kedua-dua pasukan berada bersama-sama namun kedua-dua pasukan berhak mencorak taktikal masing-masing mengikut cara yang telah dipelajari atau diamalkan oleh pasukan sebelum ini. 

Namun begitu segala penemuan baharu dalam konteks taktikal dan teknik-teknik yang boleh diterima pakai oleh kedua-dua belah pihak semasa menjalani latihan, maka subjek atau taktik/teknik baharu itu akan diguna pakai terutamanya dalam mempertingkatkan kerjasama dan persefahaman di antara kedua-dua negara. 

Memandangkan Malaysia banyak pengalaman di dalam operasi countered insurgency warfare (CIW) maka TDNZ banyak memohon untuk mendapatkan teknik-teknik yang diguna pakai oleh TDM dan dalam masa yang sama juga TDNZ yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam peperangan di Afghanistan, Lubnan dan lain-lain malah juga mahir dalam peperangan dalam persekitaran bandar terbina atau operation in build up area (OBUA) maka dalam fasa 2 ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk melakukan pertukaran  maklumat dan pengalaman. Konsep peperangan masa kini yang lebih tertumpu kepada melawan keganasan juga diberi perhatian dalam latihan fasa ke 2 ini.

Sejarah Eksesais

Eksesais  ini adalah merupakan eksesais gabungan di antara TDM dan TDNZ.  Eksesais ini dilaksanakan sekali setiap tahun yang  merupakan timbal balas kepada Eksesais KERIS MERE yang dilaksanakan di New Zealand pada tahun 2006.  Kali terakhir  Eksesais TAIAHA TOMBAK  dilaksanakan pada 4 Sep hingga 17 Sep 2006 di kawasan Mahang, Kuala Ketil dan Sungai Petani, Kedah.

Eksesais ini dilaksanakan dalam bentuk Field Training Ekscersice (FTX) di peringkat batalion di dalam fasa ofensif peperangan konvensional. Penglibatan Trup TD adalah daripada 4 RRD seramai 1,113 orang pegawai dan LLP  manakala 2/1 Royal New Zealand Infantry Regiment (RNZIR) seramai 110 pegawai dan LLP.
.
Eksesais ini diberhentikan sementara sejak tahun 2008 memandangkan pihak TDNZ  terlalu padat penglibatan mereka dengan operasi luar negara seperti  Afghanistan, Lubnan dan sebagainya.


Tujuan utama  eksesais ini dilaksanakan ialah untuk mempertingkatkan keserasian dan persefahaman di antara kedua-dua pasukan di dalam melaksanakan CIW di samping menjalin hubungan rapat antara kedua-dua negara yang melalui persefahaman dan kerjasama rapat ketenteraan Malaysia dan New Zealand yang sudah terjalin sejak sekian lama.  New Zealand adalah salah sebuah negara Five Power Defence Arrangement (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, British dan Australia. MP

Friday, August 1, 2014

MEGA BAKTI - PENYELAMAT KAPAL SELAM TLDM



MV MEGA BAKTI  adalah sebuah kapal Submarine Escape and Rescue-Intervention (SMER-I) yang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).  Kapal ini telah dibina dan direka khas oleh Kepple Singmarine, Singapura untuk kegunaan di Malaysia oleh syarikat Target Resourses Sdn Bhd (TRSB).

Sebagai syarikat pembekal kapal SMER-I, TRSB kemudiannya telah mengikat kontrak dengan TLDM dan telah menandatangani kontrak pada 12 Jul 2012. TLDM telah menerima kapal MEGABAKTI secara rasminya pada 24 Sep 2013 dan diletakkan di bawah Markas Angkatan Kapal Selam TLDM (MAKS) yang berpangkalan di Teluk Sepanggar Kota kinabalu Sabah.

Spesifikasi Teknikal Dan Peralatan
Name                         -  MEGA BAKTI
IMO No                       -  9612571
Official No                 -  334443
MMSI No                    -  533130895
Call Sign                   -  9MPU8
Speed                                    -  17 Knots
Gross Tonnage        -  3451 MT
Lenght                       -  79.65 Mtrs
Breadth                      -  17.00 Mtrs
SMER-I Deck            -  550 M²
Fuel                            -  960 M³
Fresh  Water             -  400 M³
Tech Water                -  120  M³
Accomondation        -  88 krew + 6 pegawai.
Mampu beroperasi selama 21 hari di laut dengan kerupayaan operasi sejauh 5,000 batu nautika   dengan kelajuan 15 knots.

Peralatan Dan Fungsi

MEGA BAKTI adalah direka sebagai kapal sokongan permukaan dalam operasi menyelamat mangsa yang terkandas di dasar lautan yang membawa peralatan-peralatan yang berkaitan khusus dalam operasi-operasi menyelamat terutamanya dalam konteks menyelamat kapal selam yang terkandas di dasar lautan. Di antara peralatan-peralatan khusus yang dibawa untuk tujuan tersebut ialah:
.
-Remotely Operated Vehicle (ROV) adalah sejenis kenderaan yang dikawal oleh operator yang mana operator itu sendiri tidak berada di dalam kenderaan (ROV) tersebut.  Operator hanya mengawal dengan menggunakan kabel yang bersambung dan berada di suatu lokasi di atas kapal Mega Bakti.

ROV digunakan bagi memasang Distressed Submarine Ventilation and Depressurization System (DSVSD) pada kedalaman sehingga 400 meter. Ia berkebolehan membersihkan halangan di escape hatch Distress Submarine (DISSUB), merakam foto dan video serta menghantar Emergency Life Support Stores (ELSS) pod.

-Emergency Life Support Stores (ELSS) Pod digunakan sebagai bantuan perubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain ke DISSUB dengan menggunakan ROV. MEGABAKTI telah menyediakan 12 unit ELSS pod yang berupaya menampung tekanan mencapai 65 bar.

-Portable Underwater Telephone System merupakan peralatan yang digunakan untuk melaksanakan komunikasi antara MEGA BAKTI dan DISSUB.

-Distressed Submarine Ventilation and Depressurization System (DSVSD) dipasang pada DISSUB untuk menyalurkan udara bersih dan mengalirkan keluar udara tercemar dari DISSUB dengan menggunakan hos. Sistem ini telah digunakan oleh Tentera Laut Perancis telah pun lulus diuji berupaya sehingga mencapai kedalaman 250 meter.

-Double Lock Decompression Chamber (DDC) digunakan untuk merawat krew kapal selam yang mengalami decompression sickness (DCI). MEGABAKTI mempunyai 2 unit DDC yang mampu merawat  6 pesakit bagi setiap 1 unit DDC dalam sesuatu masa.  Untuk 2 unit DDC  ia boleh merawat sehingga 12 pesakit.

-Global Positioning System Inteligent Bouy Tracking System (GIB) digunakan bagi mengesan kedudukan DISSUB yang terkandas di laut serta mampu mengesan sehingga ke 1,000 meter kedalaman.

-Kapal MEGA BAKTI juga mempunyai 2 buah  bot penyelamat laju untuk melaksanakan operasi menyelamat krew kapal selam pada bila-bila masa dan merupakan elemen perantara komunikasi antara kapal induk  dan DISSUB.

MEGA BAKTI  telah membahagikan  perkhidmatannya kepada dua bentuk iaitu  Operasi Utama  dengan melaksanakan SMER-I termasuk demontrasi dan latihan dengan menggunakan sIstem SMER-I dan bertindak sebagai Mother Ship kepada kapal selam TLDM.


Melalui Operasi Skunder,  TRSB mengatur MEGA BAKTI memenuhi keperluan-keperluan  lain seperti menyediakan MEGABAKTI sebagai platform semasa menjalani operasi dan latihan menyelam kapal,  Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR), sebagai  kapal penyelamat (recovery) torpedo latihan dan merangkumi semua latihan dan Operasi Bencana serta misi bantuan kemanusiaan. PERAJURIT

TLDM perlukan kapal serang laju kawal perairan Sabah

Sumber utusan on line

KUALA LUMPUR 31 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan dua skuadron kapal serang laju baharu bagi menggantikan kapal kelas KD Perdana dan KD Handalan untuk menjaga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, faktor usia kelas KD Perdana yang menjangkau 42 tahun dan kelas KD Handalan yang kini berusia 35 tahun tidak memungkinkan untuk aset tersebut dapat memberi khidmat secara optimum.

Menurutnya, TLDM memerlukan kapal serang laju moden yang bersaiz sederhana iaitu antara 60 hingga 80 meter kerana kapal jenis tersebut lebih sesuai untuk diatur gerak di perairan timur Sabah, selain turut disokong dengan bot tempur sedia ada.
"Kita memerlukan lapan buah atau dua skuadron kapal serang laju moden yang berukuran sederhana tetapi memiliki kuasa pecutan dan tembakan yang mantap. Saiz sederhana penting bagi menjamin kapal dapat bertahan dalam keadaan laut bergelora.

Kita faham soal kekangan bajet untuk bidang pertahanan tetapi kos untuk mendapatkan kapal serang laju ini lebih murah dan berbaloi kerana kapal ini memiliki keupayaan tempur permukaan digeruni," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

KD Perdana serta KD Handalan merupakan kapal perang yang dibina berasaskan kerangka La Combattante II dan dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder daripada jenis Bofors, selain turut membawa bersama-samanya peluru berpandu antikapal Exocet MM38.

Namun, disebabkan TLDM menamatkan penggunaan peluru berpandu Exocet MM38, dipercayai kesemua lapan kapal kelas KD Perdana dan KD Handalan kini hanya dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder sahaja.

Sementara itu, ditanya tentang jumlah bot tempur milik TLDM, khususnya CB90 yang ditempatkan di Esscom, Abdul Aziz enggan mendedahkan, sebaliknya beliau berkata, jumlah yang dimiliki pasukan tersebut memadai dan boleh digerakkan sepanjang masa.
"Perairan timur Sabah tidak begitu sesuai untuk kapal-kapal bersaiz korvet dan friget terutamanya jika operasi melibatkan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina kerana aset paling baik ialah bot tempur tetapi jumlah yang ada di sana memadai," katanya.





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140801/dn_17/TLDM-perlukan-kapal-serang-laju-kawal-perairan-Sabah#ixzz39UVDUX4k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, June 11, 2014

Bunga Mas 5 boleh jadi pangkalan di lautan

Sumber utusan

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 (BM 5) boleh dipertimbangkan untuk dijadikan platform Sea Basing di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, ini kerana keupayaan BM 5 yang boleh bergerak secara efektif dan mudah dikendalikan serta dapat menempatkan aset-aset angkatan tentera laut sebagai cegah lintang.

"Selain itu terdapat helikopter di atas BM 5 yang akan bertindak sebagai force multiply, jarak kawal lebih meluas, pengawasan dan pemintasan yang lebih pantas," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Komander Armada Amerika Syarikat (AS), Laksamana Harry B. Harris Jr. di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menjadikan pelantar minyak yang tidak digunakan sebagai platform pengawasan.

"Dalam jangka masa panjang, saya bersetuju dengan cadangan penempatan pelantar minyak itu," katanya.
Abdul Aziz berkata, pelantar minyak itu kelak akan mempunyai kemudahan bot-bot pemintas dan mempunyai keupayaan staf pengawasan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini berkata, sistem Sea-Basing merupakan penempatan aset ketenteraan di tengah lautan, berkeupayaan memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di perairan khususnya di Sabah.

Syarikat cari gali minyak negara, Petronas sebelum ini juga telah memberi komitmen bagi menyediakan pelantar berhubung cadangan pelaksanaan sistem tersebut.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kunjungan Harry ke Malaysia adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara Tentera Laut AS dan TLDM.

Selain bertukar-tukar pandangan dan maklumat berkaitan isu keselamatan serantau, turut dibincangkan adalah isu ketenteraan maritim melibatkan kedua-dua angkatan laut tersebut.


Kuasa udara, kuasa negara

sumber Utusan

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

TANGGAL 1 Jun baru-baru ini genap 56 tahun kematangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam melaksanakan tugas-tugas mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.

Dengan tema ‘Kuasa Udara Kuasa Negara’, pasukan itu sentiasa cemerlang dalam menjayakan tugasan hakikinya dan pada masa sama membawa transformasi tersendiri pada bidang pertahanan rantau ini.
Peranan ketumbukan itu dalam memenuhi tuntutan geostrategik semasa sentiasa berkembang dan bertambah kompleks terutama bagi menjamin ancaman dari segenap spektrum ditangani dengan efisien.

Kesiapsiagaan TUDM yang telah melalui pelbagai evolusi inovasi dan motivasi berjaya menghasilkan satu pasukan udara yang kredibel dan disegani di rantau ini.

Pengiktirafan demi pengiktirafan oleh masyarakat antarabangsa terhadap TUDM terutama melibatkan keupayaannya melaksanakan misi dengan cemerlang telah meletakkan pasukan itu pada tahap yang tersendiri dalam kalangan tentera-tentera udara asing lain.

Terbaru, testimoni daripada kerajaan negara Jepun yang memuji peranan TUDM dalam memberi bantuan logistik terhadap Pasukan Mempertahankan Diri Jepun (JSDF) Unit Bantuan Bencana semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera berkata, Malaysia telah melaksanakan tugas yang terbaik dalam aspek penyelarasan serta sokongan terhadap JSDF dan rata-rata anggota pasukan itu memuji sikap profesionalisme negara.
Kenyataan tersebut sekali gus membuktikan bukan sahaja TUDM berupaya melaksanakan tugasan pada sebilangan masa namun cemerlang dalam menggalas imej negara di mata dunia.
Apa yang pasti, TUDM akan terus menempa kejayaan selaras dengan reputasi pasukan itu sebagai kuasa pertahanan udara negara yang tiada tolok bandingannya.

Dilengkapi aset-aset mapan seperti Sukhoi Su-30MKM, Boeing F/A-18D Hornet, Mikoyan MiG-29N, TUDM tidak pernah menoleh ke belakang dan terus mengecapi kecemerlangan di mata dunia.
Bukan sahaja dalam aspek pertahanan, peranan TUDM turut memberi impak terhadap bidang bantuan kemanusiaan termasuk melibatkan bencana di China dan Program Jiwa Murni (PJM) di tanah air.

Keseimbangan moral yang digerakkan TUDM bagi membuktikan sesebuah ketumbukan tentera juga berperanan dalam pembangunan sosial mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat awam sekali gus merapatkan jurang antara pasukan itu dengan rakyat.

Perkembangan pesat TUDM daripada Tentera Udara Diraja Persekutuan pada 1958 sehingga hari ini amat membanggakan negara dan rantau ini. Sebagai sebuah kuasa udara yang seimbang dan berkemampuan tinggi, imej cemerlang TUDM dilihat akan terus menjadi titik rujukan generasi akan datang.

Tepis ancaman segenap spektrum

Menurut Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, rakyat di negara ini memandang tinggi peranan dan tanggungjawab TUDM mengawal ruang udara negara selama ini.
Beliau berkata, kalangan ahli akademik juga percaya, TUDM sentiasa siapsiaga dalam membendung sebarang ancaman baik dalam bentuk fizikal atau peperangan siber (cyber warfare).
“Rakyat mengangkat ketokohan TUDM dan memberi kepercayaan yang amat tinggi terhadap keupayaan ketumbukan itu. Perkara itu amat jelas, kita akan terus berbangga dengan pencapaian pasukan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, keupayaan TUDM sebagai kuasa udara tidak dapat disangkal lagi terutama dalam menempuh cabaran dan rintangan yang mendatang pada masa depan.

Katanya, perkara ini kerana, TUDM sentiasa proaktif dalam membendung sebarang ancaman terutama melibatkan peperangan siber dan komitmen itu terbukti dengan pendekatan luar kotak Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud terhadap ancaman berkenaan.

“Rakyat Malaysia memberi penghargaan sepenuhnya terhadap pengorbanan TUDM. Saya terkilan jika terdapat suara-suara sumbang memperlekehkan pasukan ini, mereka telah berkorban demi menjamin kedaulatan negara," ujarnya.

Sunday, June 1, 2014

PENYELAKU TLDM

Oleh Hamzah hd

Pertahanan maritim  sesungguhnya memerlukan kewangan yang sangat banyak apatah lagi pertahanan era moden yang mengatur antaramuka manusia dan mesen kepada situasi yang sangat rumit yang mana saling bergantungan di antara satu sama lain.  Tanpa operator (manusia ) yang bijak, pastinya mesen atau peralatan /persenjataan tidak dapat berfungsi dengan baik dan berkesan dan sebaliknya tanpa peralatan/persenjataan yang canggih, manusia menjadi kaku dan tidak mampu menjangkau keupayaan peperangan dan pertahanan yang serba moden dan mencabar.

Keperluan peperangan alaf baharu memerlukan pengaturcaraan yang sempurna yang menyenangkan manusia berintraksi dengannya yang pasti sistem-sistem dan sub-sistem berkaitan adalah ‘pintar’ untuk menerima segala arahan yang dikeluarkan oleh manusia bagi mencapai sesuatu objektif kemenangan di dalam apa-apa jua dimensi peperangan.

Sistem-sistem dan sub-sistem yang pintar semestinya mempunyai nilai harganya yang tinggi dan pelantarnya pula turut diberi sentuhan yang berupaya memberi perlindungan terutamanya kalis pancaran elektronik yang selalu disebut kapal halimunan (stealth) serta sistem dorongan dan lain-lain sistem bantuan yang tidak boleh di kesampingkan pemilihan kualitinya.

Akhirnya, untuk memberi impak maksima kepada keberkesanan pengunaan sistem-sistem dan sub-sistem yang dikatakan pintar itu mesti dikendalikan oleh modal insan atau operator-operator yang pintar juga.  Sudah tentu untuk memperolehi sesuatu kepintaran dan kemahiran memerlukan proses familiarisasi dan latihan yang panjang dan berterusan. 

Bila proses ini berlaku maka sudah menjadi satu fitrah, sesuatu  sistem atau peralatan akan menjadi rosak dan memerlukan pembaikan dan penggantian. Kitaran proses ini sebenarnya memerlukan semaksima/seminima aset/pelantar keluar ke lapangan dalam waktu sebenar yang melibatkan keseluruhan sumber manusia dalam organisasi yang terlibat  walaupun di peringkat sokongan meski pun tidak terlibat secara khusus di dalam sesuatu latihan yang dijalankan yang mana kadang kala latihan-latihan itu hanya untuk melatih beberapa kelompok anggota tertentu sahaja. Cara ini bukan sahaja tidak dapat ‘merehatkan’ aset serta peralatan yang ada malah untuk keluar ke lapangan samudera sebenar memerlukan perbelanjaan wang kerajaan yang sangat banyak bagi memenuhi keperluan dari semua segi.

Namun begitu seiring dengan perkembangan, penambahan dan pemodenan aset tempur dan aset sokongan, pemantapan kemahiran masih diteruskan juga secara konsisten dan sistematik iaitu dengan cara mengadaptasikan semua kerja di lapangan sebenar melalui simulator yang direka khusus bagi memenuhi kehendak dan sasaran yang direncanakan dalam usaha meningkatkan kemahiran modal insan yang membanggakan negara dalam permainan olah perang di samudera. 

Atas dasar penjimatan ekonomi jangka panjang serta kesenangan, keselesaan dan faktor kekerapan melakukan latihan-latihan yang serupa seperti di lapangan sebenar tanpa menghadapi halangan dan birokrasi masa dan ekonomi maka sudah tentu langkah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membangunkan modul-modul penyelaku taktikal dan teknikal yang menjadi nadi kepada pengoperasian angkatan perang adalah sesuatu keputusan dan tindakan yang bijak.

Penyelaku Olah Perang - PUSTAKMAR

Penyelaku terawal yang diguna pakai di dalam Pangkalan TLDM ialah Penyelaku Taktikal khusus untuk latihan kemahiran olah perang kepada tim Pusat Informasi Combat (CIC) kapal-kapal TLDM samada latihan berkala bulanan maupun eksesais bersepadu intra TLDM atau pun bilateral/multilateral.  Pusat yang diberi nama Pusat Taktikal Marin (PUSTAKMAR) ini telah beroperasi sejak era 80an.  Dibina berkongsepkan kubikel dan setiap kubikel menggambarkan sebuah CIC sebenar  yang dilengkapi instrumen dan peranti  dalam bentuk software.

Latihan taktikal di PUSTAKMAR adalah melibatkan pegawai-pegawai eksekutif  serta anggota-anggota CIC dari kepakaran RDP(JTP) dan Komunikasi.  Latihan yang sering dilakukan ialah berkaitan Perintah dan Kawalan, Plotting, Reporting dan Komunikasi yang biasanya latihan-latihan ini dibuat dalam bentuk senario olah perang yang melibatkan unsur-unsur dari pelbagai jenis kapal perang dengan mengambil kira kewibawaan kapal-kapal terlibat dalam menghadapi pelbagai ancaman seperti peperangan atas permukaan, bawah permukaan, udara dan peperangan elektronik.

Dalam eksesais sebenar perlaksanaan dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu fasa latihan olah perang, fasa di laut dan debrief yang selalunya fasa olahperang dan debrief akan dilakukan di PUSTAKMAR.  Bayangkan jika semua fasa eksesais dilaksanakan di laut selama seminggu dengan mengerahkan semua aset dan partisipasi melibatkan diri, berapakah jumlah kos yang harus dibelanjakan untuk menjayakan sesuatu eksesais?.  Dengan adanya penyelaku di PUSTAKMAR, penjimatan masa dan wang ringgit dapat dijimatkan dengan begitu ketara tanpa mengurangkan pencapaian objektif latihan.

Penyelaku Anjungan- WASPADA

Penyelaku anjungan memberi gambaran seperti dalam suasana sebenar di laut
Panduarah dalam persekitaran sebenar pelabuhan atau terusan-terusan sempit yang sibuk mencabar kewibawaan tim anjungan kerana di dalam situasi ini semua aspek keselamatan dalam pemanduan kapal perlu dititikberatkan. Terutamanya kedudukan kapal sendiri semestinya berada di atas garisan yang telah ditetapkan dengan mengambil kira kedalaman air, pengaruh arus , pengaruh angin, pergerakan lalu lintas serta objek-objek kecil yang memungkinkan terhalang laluan.  Semua amaran dan tanda-tanda yang terdapat di atas carta mesti dikenal pasti kesahihan pada persekitaran pelayaran demi memastikan kelancaran panduarah.

Aspek pemanduarahan sesebuah kapal merupakan aspek yang sangat penting sebelum sesebuah kapal perang menuju ke sesuatu destinasi yang mana pergerakan selepas itu mungkin akan lebih dipengaruhi oleh suasana dan pergerakan taktikal yang ekstrem.  Oleh kerana itu tim panduarah dalam situasi genting dalam pelayaran memerlukan banyak kombinasi dan persefahaman dengan lain-lain tim di dalam sesebuah kapal bagi menentukan kesiagaan kapal dan pengurusan di tahap terbaik.  Maka untuk itu, latihan konsisten merupakan persediaan terbaik untuk menyediakan pasukan yang terbaik namun peluang berlatih di lapangan sebenar mungkin agak terhad.  Berlatih dalam penyelaku adalah sesuatu solusi yang terbaik kepada persediaan itu.

WASPADA  dengan kemudahan latihan simulasi yang terbaik untuk kapal-kapal TLDM, Pusat Latihan, Unit-unit Pangkalan serta agensi berkaitan dalam aspek latihan navigasi dan maritim. Dalam skop Pusat Latihan TLDM penyelaku ini merupakan kesinambungan kepada skim latihan asas dan lanjutan (teori dan praktikal) kepada pelaut dari kalangan pegawai eksekutif, anggota Navigasi (RDP), Komunikasi, Kelasi dan Kejuruteraan dalam konteks pemanduarahan (manouevering) yang sebelum ini telah disempurnakan di fakulti masing-masing dan nilai tambah dalam kerjasama berpasukan tim panduarah. 

Projek Penyelaku Anjungan dibangunkan oleh  STN ATLAS Elektronik yang dibina pada Oktober 2000 dengan kos pembinaan berjumlah RM 22 juta merangkumi Bangunan dan Sistem ANS 5000 yang dikendalikan oleh Atlas Defence Technologies (ADT) Sdn Bhd. Penyelaku ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Mohd Ramly bin Abu Bakar pada 27 Apr 2003 walaupun ianya telah mula beroperasi pada Oktober 2002.

Sehingga 23 Apr 2014, Sistem ini sudah beroperasi selama 50,225 jam dengan jumlah pengendalian selama 13,557 jam dan jumlah pelatih yang terlibat ialah seramai  13,242 orang.  Di antara pakej latihan yang dikendalikan di penyelaku ini ialah Bridge Management, Harbour Pilotage , Officer of the Watch (OOW ), Quartermaster, Radar Plotter,  Ship Handling Crisis Managements.

Sistem ini boleh disesuaikan dengan pelbagai model-model sebagai kapal sendiri (own ship) seperti Kelas INDERAPURA, Kelas LEKIU, Kelas KASTURI, Kelas INDERA SAKTI, Kelas RAHMAT, Kelas MARIKH, Kelas NADIM, Kelas MAHAMIRU, Kelas HANDALAN, Very Large Crude Carrier (VLCC), Hovercraft, Ferry, Container Carrier, Bulk Carrier dan Tug.  Manakala model-model traffic ship ialah Very Large Crude Carrier (VLCC), Hovercraft, Ferry, Container Carrier, Coaster Ship, Fishing Boat, Sailing Vessel, Tug Boat. Destroyer, Aircraft Carrier, Foreign Navy Warship, RMN Warships, Partly Submerged Submarine, Helicopter, Transport Aircraft, Fishing Floats, Logs, Floating Debris, Partly Submerged Wreck dan Partly Submerged Torpedo.

Sementara Model-model Pelabuhan yang digunakan ialah merupakan pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia seperti Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Klang, Pulau Tioman, Pulau Pinang, Pelabuhan Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Laluan laut yang digunakan ialah dari Port Klang ke Singapore Strait dan Tanjong Pengelih ke Hosburg Light House.  Cuaca dan persekitaran sebenar merupakan waktu siang dan malam, hujan dan kabus, kesan-kesan air cetek, Bank & channel effects, current & tidal stream dan grounding.

WASPADA  yang mempunyai enam ruang utama yang boleh berfungsi sebagai enam pelantar  dalam satu masa iaitu Anjungan Utama, Anjungan Skunder, dan empat kubikal yang berfungsi sebagai Pusat Informasi Peperangan yang mengandungi konsol-konsol yang berkaitan dengan aspek-aspek pemanduan lengkap sebuah kapal seperti:

- Konsol Kawalan Jentera – latihan pengendalian jentera dan arahan-arahan kepada anggota jurutera marin.

- Konsol Panduarah – menggunakan teknologi Electronic Chart Display Systems (ECDIS) untuk pendedahan kepada pegawai-pegawai muda dan anggota Navigasi.

- Konsol Radar – Mata sesebuah kapal dalam pelayaran. Untuk tujuan fixing dan anti collision instrument.

- Konsol Arahan Am – Untuk pengendalian lampu-lampu, sistem sauh, sound signal dan sistem pengimbang kapal.

- Konsol Binocular – Untuk pemerhati kapal (lookout) yang mana diambil peranan oleh anggota-anggota cawangan kelasi.

- Konsol Komunikasi Luaran – Konsol yang menempatkan anggota komunikasi menjalani latihan.

- Meja Carta – Untuk latihan kerja-kerja carta oleh anggota navigasi dan pegawai.

- Overhead Panel – indikasi atau ekuipmen penunjuk yang diperlukan seperti wheel indicator, compass repeater dan sebagainya.

Electronic Chart Display and Information System (ECDIS) ialah sistem informasi navigasi berasaskan komputer yang telah diselaraskan dengan keperluan International Maritime Organization (IMO) yang memaparkan maklumat carta navigasi elektronik yang memenuhi piawaian International Hidrographic Organization (IHO) yang telah diintergrasikan dengan Global Positioning System (GPS) dan penderia panduarah lain seperti Radar, Fathometer dan Automatic Identification Systems (AIS). Ianya juga memaparkan maklumat navigasi tambahan seperti Sailing Directions yang menyumbang kepada navigasi selamat kerana ciri-ciri yang terkandung adalah sama dengan carta bercetak yang sering digunakan semasa pelayaran.




Penyelaku DCFF- TANGKAS

latihan kebakaran menjadi rutin utama anggota TLDM

Kebakaran boleh terjadi bila-bila masa sahaja yang mungkin berpunca dari litar pintas, kebakaran jentera utama atau janakuasa malah kebakaran boleh berlaku dari kecuaian anggota-anggota sendiri di tempat tidur atau dari rumah masak.  Apatah lagi dalam jika kapal berada dalam situasi peperangan yang mana kemungkinan besar kebakaran akan tercetus bila terkena ledakan torpedo, misil dan sebagainya.  Kebanjiran pula boleh berlaku pada sesuatu lokasi di mana kemungkinan terlanggar balak, grounding, perlanggaran atau terkena ledakan torpedo, misil dan sebagainya. 

Sementara tim kombat (AIO) meneruskan agenda mereka dengan senario taktikal di CIC dan tim anjungan dengan pengendalian manuvra kapal, kumpulan yang di beri nama Damage Control Party (DC Party) dari kalangan anggota kepakaran Teknikal dan Bekalan ini bersiaga dengan kemungkinan-kemungkinan kapal mengalami kebocoran atau kebakaran.  DC Party yang di bahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian depan dan belakang kapal akan sedaya upaya ‘menjinakkan’bencana yang mendatang bagi memastikan  kapal terus float, move and fight.  Walau bagaimanapun pengetahuan dan kecekapan berkaitan DCFF ini sebenarnya bukan tanggungjawab DC Party semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab semua warga kapal. Atas dasar dan keperluan penugasan ini, kecekapan warga kapal sentiasa di tahap terbaik kerana latihan pemantapan juga dilakukan di kapal setiap hari khusus untuk warga kapal yang bertugas.

Mengapa Penyelaku DCFF ini menjadi sangat penting kepada TLDM ialah kerana subjek mengawal kerosakan dan melawan kebakaran semasa di dalam pelayaran adalah merupakan ancaman utama kepada sesebuah kapal apatah lagi kepada angkatan pertahanan maritim. 

Oleh kerana itu Sekolah Chemical Biological Radiological Nuclear and Damage Control (CBRNDC) menjadi tonggak terpenting bagi melahirkan warga TLDM yang mampu mengawal keadaan yang ekstrem ini walau dalam situasi apa sekalipun kapal berada.

CBRNDC yang mengandungi dua modul yang dibina berasingan iaitu Damage Control Training Unit (DCTU) dan Fire Fighting Training Unit (FFTU) dibina mengikut kesesuaian dan keadaan kapal yang sebenar dengan lapisan dek dan pelbagai ruang untuk latihan.  Modul-modul ini dibina sebagai penggantian kepada modul statik yang sebelum ini digunakan sebagai tempat latihan untuk tujuan yang serupa dan tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi keperluan latihan semasa mengawal kerosakan dan melawan kebakaran. Training Unit ini  telah dibina dan diserahkan kepada TLDM secara rasminya pada 26 Ogos 2003 di bawah pentadbiran Fakulti Kejuruteraan KD PELANDOK. 

Spesifikasi DCTU di perbuat daripada Mild Steel dengan  dimensi 15.15m x 7.45m x 11.4 dengan 3 lapisan dek.  Komponen Utama modul  DCTU mempunyai Sump Pool dengan kapasiti (191 cu.m), Header Tank (91 cm), Motion Control System, Pump House, Electrical and Flooding System dan Surveillance System.  Dinamik Modul digerakkan oleh Hidraulic Power 15 degree ke port atau starboard dan boleh memuatkan 20 hingga 25 orang pelatih dalam satu masa.

Jenis-jenis latihan yang dijalankan di DCTU ialah membaiki kerosakan dalam keadaan Stesen Bertindak, mengawal kebanjiran, membaiki kerosakan paip-paip, mengepam keluar air dengan menggunakan fixed and portable educaters, mengepam keluar air dengan menggunakan pam mudah alih, menyelamat dan mengalih anggota yang tercedera, latihan rawatan awal, kawal dan perintah CBRN, latihan kawalan asap, menyambung kabel-kabel kecemasan dan simulasi gerakan dan golekan kapal.

Manakala spesifikasi FFTU pula di perbuat daripada Mild steel berkonsepkan  containerize T-shape mempunyai 2 dek dengan dimensi 15.87m x 5.2m x 12 m.  Komponen utama mempunyai modul melawan kebakaran, control station, fuel station, oil separater dan hydrant.

Jenis-jenis latihan yang dijalankan di FFTU ialah melawan kebakaran melalui pintu yang sama tingkat, melawan kebakaran dengan kemasukan melalui peraka, melawan kebakaran dengan menggunakan Alat Pemadam Api kecil (APAK), prosedur re-entry, menggunakan Thermal Imaging Camera, menyelamat dan mengalih anggota yang tercedera, menggunakan Breathing Apparatus, latihan kepada pengawal BA, menggunakan Emergency Life Support Apparatus (ELSA) dan mengawal kemerebakan asap.

Partisipasi yang mengambil bahagian melakukan latihan di TANGKAS ini di antaranya  ialah pelatih-pelatih yang sedang menjalani kursus-kursus kenaikan pangkat di KD PELANDOK, warga kapal yang sedang menjalani latihan penyesuaian laut (work-up) dan pemeriksaan tahunan kapal-kapal, Unit-unit TLDM dan Agensi-agensi luar malah juga medan mengasah ketajaman kemahiran  kepada jurulatih/staf CBRNDC sendiri serta anggota dari Sel Kesiapsiagaan Markas Armada.

Penyelaku Kapal Selam

Terbaharu TLDM telah menerima satu lagi penyelaku iaitu simulator Kapal Selam Scorpene yang mana waktu ini sudah pun sedang digunakan di  Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).
 
Natijah daripada amalan TLDM dalam Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) yang konsisten telah diterjemahkan kepada perolehan kemudahan modul latihan yang serba moden ini, menjurus kepada penjimatan yang amat ketara telah disempurnakan oleh TLDM kerana untuk melaksanakan keperluan latihan ini. Untuk merealisasikan sesuatu latihan di laut sekurang-kurangnya dua pelantar diperlukan untuk belayar dan mengambil masa yang panjang yang semestinya memerlukan kos yang banyak.

Apa yang penting ialah maklum balas daripada pelaku-pelaku yang pernah terlibat semasa menjalani latihan di sini menyatakan kewujudan modiul-modiul yang telah dibicangkan di atas telah  memberi impak besar kepada mereka kerana latihan yang diperolehi di sini seolah-olah seperti berada di laut sebenar .


Ini memberi petunjuk bahawa setiap pelaku yang melalui latihan di modiul ini akan bertugas di kapal dengan lebih yakin sesuai dengan kecanggihan pelantar masa kini. Syabas TLDM. PERAJURIT

Sunday, April 6, 2014

TLDM SIAGA PERAIRAN TERPELIHARA

Oleh: Hamzah hd




27 April 2014 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 80 tahun dengan mengambil kira sejarah permulaan kewujudan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat.  Hari ini kepimpinan TLDM diketuai oleh Tan Seri Abdul Aziz bin Jaafar selaku Panglima Tentera Laut (PTL) yang ke 15  bersama struktur baharu barisan jemaah kepimpinan peringkat tertinggi TLDM serta seluruh warga tentera laut yang digelar navy people seharusnya merasa bangga dengan pencapaian TLDM setakat ini kerana kecemerlangan yang dicapai hari ini adalah merupakan komitmen dan kerja kuat secara berpasukan.

Struktur baharu jemaah kepimpinan peringkat tertinggi TLDM menyaksikan perlantikkan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin Timbalan PTL yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamed Nordin Ali yang telah menamatkan perkhidmatan. Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas berasal dari negeri Melaka dan beliau adalah legasi Laksamana moden yang ke 5 bagi negeri Melaka secara berturut-turut selepas Laksamana Tan Seri Anwar Mohd Nor, Laksamana Tan Seri Ramlan Mohamed Ali dan Tan Seri Abdul Aziz bin Jaafar.

TLDM kini diterajui oleh 41 orang Panglima dengan 6 orang Panglima di peringkat Formasi/Markas, 9 orang Panglima Komander Pasukan, 8 orang  Panglima di peringkat Asisten Ketua Staf (AKS) yang memikul tanggungjawab mengetuai dalam perlaksanaan Visi, Misi dan Teras Strategik TLDM sementara yang selebihnya menjawat jawatan di luar konteks TLDM.  

Teras Strategik TLDM menggariskan Teras Strategik pertama adalah meletakkan keupayaan angkatan dengan menyediakan angkatan laut yang seimbang dan kredibel, Teras Strategik kedua dengan mensasarkan untuk kecemerlangan dalam perlaksanaan operasi dan eksesais dan Teras Strategik ketiga ialah mengeratkan jaringan pertahanan dua hala dan pelbagai hala. Dengan gabungan visi, misi dan teras strategik ini telah menghasilkan Nilai Teras TLDM bagi memandu halatuju TLDM ke arah kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan.

Dalam keadaan kewangan negara yang amat tidak memberangsangkan mengikut ‘alasan’ kerajaan untuk perolehan platform baharu dan perolehan sistem persenjataan kepada kapal-kapal yang sedang ‘berpuas hati’ dengan status fitted for but not with, pihak pengurusan tertinggi TLDM masih boleh mengagihkan perbelanjaan dan urus tadbir dalam meningkatkan kesejahteraan kepada warganya dengan menambah baik kemudahan infrastruktur dan prasarana pangkalan dan Rumah Keluarga di semua Pangkalan TLDM. 

Ini sejajar dengan langkah perbelanjaan berhemah yang diperkenalkan oleh pengurusan tertinggi TLDM sejak tahun 2010 dan berjaya menjimatkan sebanyak RM 4 juta  dan digunakan untuk menampung kos pembaikan kapal-kapal TLDM dan membiayai kursus-kursus terutamanya di bawah Program Foreign Military Sales (FMS).

Namun begitu berdasarkan inisiatif utama Pelan Strategik 2013-2020 (PS1320), PTL melalui perutusan ulung menjelang 2014 menegaskan bahawa TLDM akan terus memantau projek-projek serta program perolehan di bawah dasar sedia ada dari tahun 2013 untuk memastikan ianya berlangsung mengikut jadual.  Projek-projek ini melibatkan pembinaan 2 buah kapal latihan, projek perolehan 6 buah kapal LCS, perolehan Sistem Pengawasan Bawah Air untuk Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS), pembinaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK),  pembinaan kemudahan latihan yang lengkap bagi anggota PASKAL, melengkapkan semua stesyen luar pantai TLDM dengan sistem keselamatan bawah air serta sistem radar permukaan dan proses mengenal pasti lokasi untuk pembinaan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu.

Dalam usaha mempertingkatkan keupayaan armada, TLDM akan terus berusaha untuk memperolehi 6 buah pesawat helikopter anti kapal selam dan  juga pemasangan optical director untuk skuadron 24 Korvet.  Dengan pemilikan dua buah kapal selam scorpene dalam armada adalah tidak lengkap sesuatu operasi anti kapal selam jika tidak ada pesawat helikopter yang berkebolehan dalam peperangan anti kapal selam.  Setakat ini armada TLDM hanya mampu ‘berpuas hati’ dengan menggandingkan aset strategik itu dengan platfom-platfom permukaan sahaja yang mana semua orang tahu bahawa gandingan ini tidak memberi jangkauan yang maksima di dalam operasi mencari dan memusnah yang mana kumpulan search attack unit (SAU) agak sukar untuk tidak berada di dalam zon bahaya torpedo semasa ‘kelekaan’ memburu musuh bawah permukaan tersebut kerana kemampuan sonar untuk menjejak dan memastikan ianya HOT sebilang masa adalah agak sukar.  Justeru peranan tambahan yang boleh dijadikan sandaran tetapi mampu memberi impak maksima adalah pesawat helikopter ASW yang mempunyai kuasa tempur yang ampuh dan daya mobiliti yang tinggi .

Sesungguhnya bukan mudah untuk sesuatu organisasi pertahanan yang besar seperti TLDM untuk membangunkan armada ke tahap keupayaan operasi jika kerajaan masih bermain ‘tarik tali ‘ dalam memperuntukkan bajet yang bersesuaian untuk menyempurnakan apa yang diperlukan oleh TLDM dalam konteks mempertahankan kedaulatan maritim negara. 

Keupayaan operasi pertama semestinya bermula dengan memiliki sejumlah aset dan peralatan sebagai persiapan ke medan perang yang mana ini adalah tugas hakiki kerajaan dalam menyediakan semua keperluan yang diperlukan oleh TLDM mengikut spesifikasi yang TLDM perlukan bukan keperluan yang TLDM terpaksa terima mengikut percaturan politik sesuatu pihak.  
Hakikat ini adalah sangat bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam Surah Al Anfal Ayat 60 yang berbunyi, “Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari  pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Sementara keupayaan operasi yang kedua adalah untuk meletakkan kapabiliti misi ke tahap optima adalah memerlukan aset itu pula sentiasa berada pada tahap Status Pengoperasian Kategori 1 (CAT 1) dalam semua aspek teknikal, logistk dan sumber manusia.  Dalam konteks logistik dan teknikal biasanya TLDM selalu  terperangkap kepada suatu keadaan yang menjejaskan keupayaan operasi lantaran kekurangan atau kelambatan alat ganti yang memberi kesan kepada peroses pembaikan. 

Dua keadaan ini menjadikan TLDM berada di dalam keadaan ‘serba salah’ dan jika kepincangan ini tidak diberi suntikan sewajarnya oleh pihak kerajaan, maka keupayaan operasi sebenar TLDM  akan dilihat oleh mata umum sebagai tidak kompeten sedangkan pada masa yang sama semangat, jati diri, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh navy people berada pada tahap operasional pada sebilang masa. 

Cogan kata ‘SEDIA BERKORBAN’ bukan sekadar slogan yang dilaungkan tetapi ianya mempunyai roh yang pada mereka membujur lalu melintang patah dan tidak hairanlah setiap misi yang disertai oleh navy people akan pulang dengan kejayaan.  Antara  kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh navy people dekad ini ialah Ops Fajar, Ops Daulat, Ops Pasir dan lain-lain di dalam dan di luar negara.

Modal Insan

Anggota dan pegawai TLDM adalah manusia biasa mempunyai keluarga dan fitrah kehidupan seperti manusia terbanyak.  Datang dari pelbagai negeri berasaskan bangsa, etnik, anutan ugama, budaya dan adat resam yang pelbagai sesuai dengan kemajmukan penduduk Malaysia. Mereka berhimpun dalam kelumpok yang besar menjadi satu keluarga navy people dan membentuk sub- budaya yang unik yang menjadi amalan dalam kalangan mereka.  Sub-budaya yang wujud dalam prefesional ketenteraan umumnya bukanlah disasarkan untuk membunuh atau dibunuh semata-mata tetapi proses untuk mencapai visi dan misi mungkin terpaksa menghadapi sesuatu yang lebih kompleks. 

Justeru, pelbagai cara dan pendekatan telah dilaksanakan mengikut kesesuaian tertentu dari masa ke semasa berdasarkan keupayaan kepimpinan atasan. Era mutakhir, Navy Plan telah diperkenalkan sebagai makanisma mengukur prestasi pengurusan navy people dengan menggariskan objektif-objektif strategik dan pengukuran terhadap sasaran penting bagi menentukan TLDM berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin
Tidak kurang juga suara-suara yang suka mengakronimkan TLDM dengan makna yang mereka reka sendiri untuk tujuan humor malah ada juga bertujuan menghina. ‘Tentera Lawa Dalam Malaysia, Tempat Lawatan Dalam Manjung, Tengok Luar Dalam Melantung’  adalah antara akronim yang sering digunakan dalam perbualan.
Mungkin atas kesedaran itu, PTL hari ini telah memperkenalkan sejak beberapa tahun yang lalu satu pendekatan bagi merasionalkan makna TLDM kepada yang lebih bersifat ‘roh’ menjadi terminologi yang lebih bermakna dan sesuai dengan keunggulan TLDM:

TLDM tidak pernah mengabaikan aspek latihan demi mempertajamkan kemahiran warganya
T-Train – Persediaan latihan se awal Perajurit Muda bagi lain-lain Pangkat (LLP) selama 6 bulan di Pusat Latihan Perajurit Muda KD SULTAN ISMAIL  Tanjong Pengelih kemudian meneruskan pengajian dalam pengkhususan bidang yang dipilih selama 4 hingga 9 bulan (tertakluk kepada kepakaran) pada peringkat Kelas 2 di sekolah-sekolah latihan KD PELANDOK Lumut.  Setamat kursus teori Kelas 2, anggota di tugaskan di lapangan sebenar unit-unit di laut atau di pangkalan sebagai Lasykar Dalam Latihan (OJT) selama lebih kurang 6 bulan di awasi oleh Penyelia-Penyelia Bahagian di lapangan.  Setelah tamat OJT, mereka di kembalikan ke KD PELANDOK untuk kursus peningkatan kepakaran peringkat Kelas 1 selama 4 hingga 9 bulan (tertakluk kepada kepakaran).  

Setelah lulus dalam kursus kelas 1 barulah anggota diberi penugasan di penempatan sebenar.  Mereka akan dipanggil untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan bila tiba masanya berdasarkan time based sehingga ke peringkat tertinggi dalam kategori  LLP.  Beberapa modul di unit-unit sokongan yang dibina seperti WASPADA , Pusat Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), TANGKAS adalah antara pusat-pusat latihan kepada peningkatan ilmu dan kemahiran di bidang teknikal, taktik dan pengendalian kapal.  Manakala KD SULTAN IDRIS 1 yang bernaung di bawah pemerintahan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM merupakan Kolej yang berperanan melatih dan membentuk pegawai muda menjadi pemimpin dan peneraju TLDM masa hadapan.

L-Lead.  Semua anggota dan pegawai merupakan pemimpin yakni dalam konteks yang senior adalah pemimpin kepada yang junior berdasarkan kebolehan, kemampuan tahap kepakaran dan kemahiran individu.  TLDM sangat menekankan kebolehan navy people dalam aspek kepimpinan di mana modul khusus Kepimpinan Dan Pengurusan menjadi subjek wajib lulus dan Pusat Kepimpinan TLDM merupakan unit yang bertanggungjawab dalam usaha memperkasakan teras kepimpinan dalam diri setiap anggota TLDM.

D-Developed. Dalam konteks kepimpinan, setiap anggota dan pegawai mempunyai peranan dalam membangunkan sekurang-kurangnya pembangunan diri sendiri sebagai peningkatan dalam kerjaya yang diceburi dan tentunya kepimpinan menengah dan atasan mempunyai peranan yang lebih besar mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.

M-Manage.  Berasaskan latihan berterusan semua peringkat berupaya memimpin, membangun dan akhirnya mengurus bermula dari sekecil-kecil departmen kepada sebesar-besar sebuah organisasi yang di panggil TLDM.

Cabaran untuk TLDM mentransformasikan daya pemikiran navy people ke arah pemikiran bertaraf dunia sejajar dengan wawasan TLDM untuk mencapai status world class navy bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun begitu usaha TLDM untuk merealisasikan hasrat itu telah pun dilaksanakan dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan seperti K-Navy serta diperkuatkan dengan Nilai-nilai Teras dan Nilai-nilai Transformasi sebagai pembudayaan dalam peningkatan ilmu pengetahuan dan akademik sebagai satu lonjakan paradigma dalam memperkasakan profesionalisme modal insan yang bergelar navy people.

Selain warga tetap, TLDM juga mempunyai pelapis dari Pasukan Simpanan Sukarela (PSS) yang telah distrukturkan semula kepada beberapa komponen seperti Simpanan Pilihan (PALAPES dan PLAS), Simpanan Pakar (Pelabuhan/Perkapalan/Limbungan), Simpanan Khusus (Perikanan/Perubatan/Jabatan Laut), Simpanan Sukarela Biasa Simpanan Angkatan Tetap (Bekas Pegawai dan LLP TLDM).

PSSTLDM merupakan ketumbukan barisan kedua TLDM yang mana penubuhannya sangat signifikan dan diyakini akan dapat membantu menjayakan misi dan visi TLDM jika berlaku kegawatan keselamatan dalam negara terutamanya untuk menjaga keutuhan pertahanan pangkalan dan lokasi-lokasi strategik mengikut kemahiran dan kepakaran yang sedia ada pada mereka.  Dengan peningkatan ancaman glokal, maka sangat wajar nisbah kekuatan komplemen di tambah dari masa ke semasa dalam usaha mendedahkan rakyat kepada kemahiran ketenteraan yang akan kembali memberi pulangan dalam bentuk keupayaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Pencapaian, Perolehan dan penambahbaikan 2013

PTL dalam ucapan seterusnya menyatakan dengan kenaikan peruntukan kerajaan sebanyak 4.83 peratus bagi melaksanakan Program Pertahanan Maritim, TLDM telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan yang melibatkan pemodenan peralatan dan menaikkan taraf hidup warga navy people. 
Setakat ini TLDM memperolehi dua buah aset baharu iaitu kapal latihan pertama GAGAH SAMUDERA yang telah di lancarkan pada bulan Dis 2012  dan kapal latihan kedua TEGUH SAMUDERA yang dilancarkan pada 2013 dengan spesifikasi 75.9 meter panjang yang dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter.  Dibina oleh syarikat tempatan NGVTech Sdn. Bhd usaha sama dengan Daewoo Shipbuilding Marine Engineering (DSME) dari Korea Selatan turut dilengkapi dengan sistem kombat dan sistem persenjataan jarak dekat. 

Peranan utama kapal ini ialah sebagai platform latihan dan mampu belayar sejauh 2,500 batu notika atau bersamaan 21 hari tanpa henti sebelum ulang bekal dilakukan.  Menempatkan seramai 47 orang anak-anak kapal serta 60 orang pelatih termasuk 12 penempatan untuk pelatih wanita.  Kedua-dua kapal ini bila siap sepenuhnya nanti akan diletakkan di bawah naungan Flotila Latihan bersama KLD Tunas Samudera.

KD KASTURI sudah beroperasi semula setelah selesai menjalani Program Pemanjangan Jangka Hayat (SLEP) bermula 20 Nov 2013.  Beberapa komponen fizikal yang boleh dilihat di geladak atas KD KASTURI selepas program SLEP ini ialah dua unit Anti Submarine Rocket Launcher (ASRL) digantikan dengan dua unit dengan tiga tiub pelancar Torpedo ASW Eurotorp B515 setiap satu dan instalasikan di bahagian port dan starboard geladak ASRL, meriam 57mm bofors (Y gun) ditanggalkan dari posisi asal di geladak suku. 

KD KASTURI juga pada suatu ketika dahulu pernah mengurangkan krewnya ke tahap minima dalam program kapal bestari dengan cara memaksimakan otomasi peralatan.  Namun begitu sehingga ke hari ini program tersebut tidak dapat direalisasikan meski pun kelihatan ada penambahbaikan terhadap sistem dan peralatan yang lebih canggih mengikut peredaran masa dan mesra pengguna sebelum dan selepas SLEP.
Selain pengoperasian Simulator Kapal Selam Scorpene, Misil Exocet SM39 Block 2 juga sudah berada dalam inventori persenjataan TLDM. Misil SM39 Block 2 adalah misil dari famili Exocet versi kapal selam yang dilancarkan dari tiub torpedo di mana ianya terkandung di dalam vehicule sous marine (VSM) yang didorong oleh kuasa sendiri manuver sebelum keluar ke permukaan. 

Dengan ini ianya tidak akan meninggalkan jejak menunjukkan di mana posisi  sebenar kapal selam.  Setelah misil melepasi permukaan dan berada di udara ia akan meninggalkan VSM dan menuju ke sasaran seperti mana keupayaan variasi misil yang lain.  Keupayaan Exocet SM39  ini boleh dilakukan penembakan dari jarak jauh yakni di luar dari zon bahaya torpedo kapal-kapal anti kapal selam musuh di permukaan. Sehingga kini, misil ini sedang digunakan oleh Tentera Laut Perancis dan tentera laut beberapa negara lain.

Sepanjang 2013, sebanyak 20 siri latihan dan eksesais di dalam dan luar negara telah berjaya dilaksanakan dalam usaha melatih, mengekalkan kemahiran, ketahanan dan kompetensi operator-operator perang dalam pelbagai bidang kepakaran serta menguji keupayaan dan kebolehgunaan aset-aset TLDM sedia ada di samping mempereratkan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara terlibat.

Sebanyak tiga projek pembangunan prasarana telah disiapkan melibatkan Kompleks Kolej TLDM (KDSI 1) yang berpangkalan di Lumut, Projek Pembangunan KD SRI SANDAKAN Fasa 3 dan Projek Peningkatan Jeti operasi di Lumut.

KD PELANDOK (KDP) dan KDSI 1 juga telah mencipta sejarah mereka yang tersendiri  apabila diiktiraf sebagai Institut Latihan Maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia.  Pengiktirafan kepada KDP yang merupakan  Pusat Latihan bagi anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM dan KDSI 1 adalah Pusat Latihan bagi Pegawai-pegawai TLDM telah membuka ruang dan peluang kepada bakal-bakal anggota dan pegawai yang akan menamatkan perkhidmatan untuk mencebur diri ke alam pekerjaan dalam sektor perkapalan.  Sebagai permulaan, TLDM akan melaksanakan dua daripada  sembilan Modul Asas Latihan, Perakuan dan Pengawasan Bagi Pelaut 1995(STCW’95) dan yang selebihnya akan ditambah dari masa ke semasa. 

Pensijilan STCW’95 merupakan  suatu usaha TLDM dalam mempertingkatkan kompetensi anggota TLDM dalam aspek perundangan lalu lintas laut (ROR) dan aspek-aspek yang berkaitan dengan tugas pengangkutan di laut dan apa yang lebih penting dengan memiliki kompetensi STCW’95 ini akan melayakkan seseorang itu untuk terus diterima bekerja dalam sektor industri maritim bila bersara kelak.  Sebelum ini pengetahuan dan kemahiran pegawai dan anggota TLDM tidak diberi pengiktirafan oleh Jabatan Laut meski pun beliau bekas kepten kapal mau pun navigator yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam aspek pemanduan kapal dan aspek-aspek  yang berkaitan dengannya.

Pusat Hidrografi Negara (PHN) yang terletak di Pelabuhan Kelang turut mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan menerima pelbagai pengiktirafan hasil dari kecemerlangan mereka dalam bidang pengukuran dan pencartaan yang mana hasil pengeluarannya diguna pakai oleh pelaut-pelaut antarabangsa.

Sejarah pengukuran hidrografi di perairan Malaysia sebelum ini dilakukan oleh Royal Navy sejak kurun ke 18 lagi di mana carta dan publikasi pengeluarannya di kenali dengan nama British Admiralty (BA).  Kemerdekaan yang dicapai daripada Kolonial British telah memberi ruang kepada TLDM mewujudkan perkhidmatan hidrografinya sendiri.  Ianya bermula seawal tahun 1965 dengan kumpulan pertama pegawai dan anggota TLDM dihantar menjalani latihan di Australia. 

Justeru pada tahun 1969 Cawangan Hidrografi TLDM ditubuhkan dengan mengubahsuai sebuah kapal MCMV untuk melaksanakan tugas-tugas pengukuran.  Pada 31 Oktober 1972, kabinet telah memutuskan dengan melantik TLDM sebagai agensi yang bertanggung jawab terhadap kerja-kerja pengukuran hidrografi di Malaysia. 

Untuk tujuan itu sebuah kapal telah dibina di Limbungan Hong Leong- Lurssen Butterworth dan memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada Januari 1978.  Kapal yang berukuran 71 meter panjang dan 13 meter lebar dengan keanggotaan 155 orang Pegawai dan LLP telah diberi nama dengan KD MUTIARA (151). 
Sebuah lagi kapal untk kegunaan hidrografi telah dibina juga di Limbungan Hong Leong- Lurssen Butterworth dengan reka bentuk firma Krogerwerft Jerman yang telah memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada tahun 1996 dengan nama  KD PERANTAU (255) sempena nama kapal hidrografi pertama yang telah dilucutkan tauliah.  Kedua-dua kapal ini dilengkapi dengan peralatan hidrografi moden yang serba canggih. Sehingga pada tahun 1990an TLDM telah mula mengguna pakai carta MAL dan publikasi-publikasi yang dikeluarkan oleh PHN.

Kontroversi Dan Isu Tuntutan Bertindih

­-Akhir bulan Januari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan berita agensi asing yang menyatakan tiga buah kapal perang Tentera Laut Rakyat China (PLAN)  iaitu sebuah kapal pendarat (LPD) Changbaishan dan dua buah kapal pemusnah daripada Kelas LuYang I dan ll menceroboh perairan negara berhampiran James Shoal atau Beting Serupai 60 batu notika ke utara Mukah.  Walaubagaimana pun hasil pemantauan dan perisikan TLDM, ketiga-tiga kapal berkenaan tidak menceroboh kawasan perairan Malaysia sebagaimana yang didakwa.

Sejarah penglibatan ejen-ejen negara China di Kepulauan Spratly adalah bermula dan menjadikan mereka lebih proaktif adalah semenjak perlaksanaan United Nation Law of The Sea (UNCLOS 1982) yang membenarkan negara-negara pesisir untuk menuntut Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sehingga 200 batu notika dari titik pangkal wilayah masing-masing.  Perlaksanaan ini menyebabkan berlakunya perebutan wilayah dan mengakibatkan ketegangan di antara negara-negara yang menuntut.

Negara-negara yang terlibat dalam tuntutan ini ialah China, Filipina, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Malaysia. Isu tuntutan bertindih ini menjadi lebih rumit untuk di selesaikan di meja perundingan adalah kerana negara-negara penuntut membuat justifikasi yang berbeza dalam tuntutan mereka. China dan Vietnam telah menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai hak dan kedaulatan mereka manakala Malaysia, Brunei dan Taiwan hanya sebahagian yang tertentu sahaja  di kawasan tersebut. 

Sebagai negara kuasa besar selepas Amerika, China memerlukan pembangunan negaranya secara menyeluruh untuk wujud sebagai sebuah negara berkuasa besar di rantau ini. Jadi, tidak hairanlah jika pendekatan agresif Tentera Laut China beberapa dekad terakhir ini telah mencetuskan pertempuran dengan negara-negara menuntut terutamanya Philipina dan Vietnam. Meski pun semangat diplomatik China – Malaysia agak baik namun pendekatan China dalam isu Spratly ini agak sukar untuk diramal selama mana hubungan baik ini boleh bertahan dengan melihat provokasi-provokasi yang berupa pencerobohan di sekitar penempatan negara. Namun begitu dengan sikap Malaysia yang tidak mudah melatah untuk bertindak balas dengan menggunakan kuasa ketenteraan dalam isu-isu pencerobohan seperti ini telah memudahkan rundingan dua hala G to G ke arah penyelesaian yang lebih baik malah membantu dalam pertumbuhan ekonomi dua hala dengan pertukaran dagangan.

Setakat ini semua negara-negara yang menuntut telah menduduki satu atau lebih  pulau-pulau di persekitaran Spratly melainkan negara Brunei.  Malaysia sendiri berdasarkan justifikasi UNCLOS 1982 telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang mengandungi Pulau binaan Terumbu Layang-layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.  Semua penempatan ini merupakan ‘padang permainan’ anggota TLDM yang bermandi peluh dan darah dalam memastikan kedaulatan negara di persekitaran ini tidak dicerobohi oleh mana-mana anasir. 

Era awal pembinaan GSP meninggalkan kesan ‘trauma’ kepada anggota-anggota TLDM yang terlibat menjaga persekitaran GSP ini kerana telah menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang sangat getir.  Mereka bukan sahaja terdedah kepada cuaca semula jadi yang tidak menentu malah menerima ancaman-ancaman daripada ejen-ejen yang datang ‘mengintai’ penempatan mereka.  Dengan peralatan dan persenjataan yang serba kekurangan, mereka mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang.

-Setahun berlalu insiden berdarah pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata yang telah memperkenalkan diri mereka sebagai tentera Kesultanan Sulu menceroboh Kampong Tanduo  Felda Sahabat 17 Lahad Datu Sabah telah mengorbankan 10 orang perajurit negara.  Di awal kejadian yang berlaku tanpa dijangka ini, reaksi spontan masyarakat Malaysia tentunya memandang sinis keupayaan atau kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam membentengi Peraiaran Sabah pada masa itu sehinggakan dapat ditembusi dengan begitu mudah.  Itulah persepsi, yang terpacul tanpa usul periksa dan memahami plot-plot kejadian yang sebenar.

TLDM pada dasarnya sentiasa bersiaga sepanjang masa dengan menugaskan aset armada seadanya menunjukkan kehadiran patroli di kawasan-kawasan tertentu samada di Perairan Semenanjong maupun di Perairan Malaysia Timur meski pun negara berada dalam situasi aman.  Namun begitu, masyarakat harus faham dengan keluasan Perairan Sabah dan Sarawak serta Gugusan Semarang Peninjau (GSP) lebih kurang 130,000 km persegi tidak memungkinkan aset TLDM yang juga terhad bilangannya dapat memenuhi setiap inci ruang laut negara dalam satu masa. Perairan pantai Sabah sahaja sepanjang 1,603km dengan komposisi kepulauan sebanyak 397 buah pulau dengan bahagian selatannya bersempadan dengan Indonesia dan bahagian timurnya bersempadan dengan Filipina. 

Justeru tidak hairanlah jika aktiviti lintas sempadan masih membolosi perairan negara kerana musuh juga mempunyai muslihat dalam mengatur strategi mereka.
Adalah menjadi sangat tidak adil jika masyarakat terus mengadili yang TLDM tidak kompeten dalam menjaga kedaulatan perairan negara lantaran kemasukan penceroboh ‘Tentera Kesultanan Sulu’ dalam skala yang sangat kecil di celah-celah ruang laut yang sangat luas serta dalam suasana rakyat negara persempadanan Indonesia dan Filipina yang miskin telah menjadikan kawasan pesisir Sabah sebagai ‘negara kedua’ mereka dalam mencari perlindungan secara tradisi yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
Pengajaran dari insiden itu, TLDM juga terus bangkit melupakan segala ‘kekurangan’ dan meningkatkan kawalan kesiapsiagaan dalam melaksanakan operasi pemantauan di kawasan-kawasan berisiko bersama aset-aset maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain digembleng dalam operasi bersama di bawah skop penugasan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi menentukan Pantai Timur Sabah terus selamat dari sebarang ancaman.

ESSCOM yang telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri pada 7 Mac 2013 adalah bertujuan bagi memastikan pengawasan berterusan di sepanjang Pantai Timur Sabah iaitu sejauh 1400km merangkumi kawasan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau.  Dengan insiden-insiden sebegini membuatkan rakyat jelata sangat mendambakan suatu kenyakinan yang ketumbukan angkatan laut kita mampu memberi cabaran jika kedaulatan  perairan negara betul-betul di ceroboh.  Hakikatnya demi Malaysia yang berdaulat, sebagai rakyat bangsa Malaysia yang bermaruah tidak harus membiarkan  keselamatan tanah tumpah ini hanya di bahu Pasukan Keselamatan semata-mata untuk menjaganya. Pada dasarnya adalah menjadi tanggung jawab kita semua sebagai bangsa Malaysia yang merdeka dan bermaruah sama-sama menjaga perairan pertiwi atau seluruh tanahair.

Perkembangan terbaharu mengikut sumber, Nur Misuari telah mengumumkan penubuhan Republik Negara Mindanao dengan mendakwa keseluruhan Kepualauan Mindanao, Sabah dan Sarawak adalah di bawah wilayah mereka.  ATM sedang membuat pemerhatian secara dekat dalam perkembangan ini dan sebagai reaksi awal ATM merangka perluasan wilayah ESSCOM  dan meminta kerjasama syarikat-syarikat minyak dan gas supaya memberi kerjasama sewajarnya bersangkutan isu keselamatan kepada agensi-agensi keselamatan yang terlibat dan menggesa supaya menubuhkan Platun Askar Wataniah kepada pekerja-pekerja syarikat minyak dan gas.  Namun begitu perkara ini masih di tahap perbincangan di mana tiada perubahan  standard operation procedure (SOP) dalam pengoperasian wilayah ESSCOM setakat ini.

-Konfrontasi  Malaysia-Indonesia juga mencatat sejarah yang tidak mudah dilupakan oleh sesetengah generasi rakyat Malaysia.  Isu pertindihan tuntutan Ambang Batas Laut (AMBALAT) di laut Sulawesi belum lagi mencapai persefahaman yang konkrit untuk menidakkan pertelingkahan Malaysia-Indonesia tidak boleh meletus kepada skala yang lebih besar.

Kedua-dua negara penuntut masing-masing mempunyai asas yang yang kuat dan merasakan mereka berhak dan mengaku blok kawasan yang menjadi pertikaian itu adalah hak kedaulatan negara mereka.  Wujudnya pertindihan tuntutan ini adalah berdasarkan faktor-faktor geografi persempadangan kedua-dua negara  yang berkedudukan secara bertentangan dan juga bersebelahan di antara satu sama lain.  Ciri-ciri geografi yang terbentuk telah memberi tafsiran yang berbeza dalam melakar persempadanan maritim  dua negara ini tambahan lagi dengan adanya pemilikan entiti-entiti yang ada hubung kait dengan sejarah serta hal-hal yang istimewa yang terdapat di kawasan ini.

Sentimen yang di mainkan oleh rakyat Indonesia dalam isu ini sentiasa membara dan boleh menyemarakkan api persengketaan yang besar jika kematangan pemerintah kedua-dua negara gagal berfungsi dengan baik.
TLDM bersama beberapa agensi  penguatkuasa maritim sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam menghadapi provokasi demi provokasi yang dimainkan oleh rakyat Indonesia termasuk Tentera  Negara Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) serta agensi-agensi maritim mereka.  

Anggota TLDM sentiasa profesional, konsisten dan memberi tumpuan yang sangat serius semasa menjalankan operasi di kawasan ini supaya tidak terkeluar dari batas sempadan yang dihadkan sebagai hak kedaulatan negara dan tidak terpengaruh dengan provokasi pihak Indonesia dari mengambil tindakan terburu-buru semasa menangani apa saja isu yang tercetus demi menjaga hubungan diplomatik yang sangat intim antara kedua-dua pihak.  Sebagai pedoman asas, TLDM sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur Incidents At sea Agreement (INCSEA) yang telah ditandatangani oleh pihak TLDM dan TNI-AL sebagai garis panduan bersama semasa berurusan di kawasan ini.
Malaysia percaya, melalui hubungan baik antara kedua-kedua kerajaan sahaja yang mampu mengekang setiap isu yang berbangkit dari merebak menjadi perbalahan yang melibatkan ketenteraan yang lebih besar.

Keadaan Aset Dan Keperluan Penambahan  

Pada tahun 1988, TLDM mula mengoperasikan Unit Udaranya sendiri dengan menggunakan enam buah pesawat helikopter terpakai jenis WASP HAS MK I diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Armada.  Manakala persediaan juruterbang bermula dengan 13 orang pelatih yang menjalani latihan di Pusat Latihan Terbang 3 (PULATIBANG) TUDM yang berpangkalan di Kluang Johor.  Pentauliahan Unit udara ini kepada KD RAJAWALI pada 1990 dengan aset udaranya semata-mata pesawat terpakai WASP HAS MK I di namakan Skuadron (skn) 499 telah banyak memberi pengajaran berguna kepada Unit ini dalam menimba ilmu penerbangan. 
Pesawat ini memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang dalam konteks mendewasakan juruterbang dan anggota sokongan teknikalnya yang begitu komited mempelajari silibus yang serba baharu ini dengan dibantu oleh pegawai-pegawai dari Royal Navy sebagai permulaan. Namun begitu sepanjang tempoh ini navy people yang ‘dikatakan’ tidak begitu matang dalam bidang ini berjaya ‘menjinakkan’ pesawat lama ini tanpa berlaku kemalangan jiwa dan harta sekali gus menggambarkan bahawa TLDM  mampu mengendalikan perkara-perkara yang di anggap baharu dan asing dalam budaya mereka.

Hasilnya dalam tempoh yang tidak begitu lama, KD RAJAWALI berkembang pesat dan pada tahun 2000 KD RAJAWALI telah memperolihi enam buah pesawat baharu helikopter maritim bagi menamatkan perkhidmatan pesawat WASP yang sudah melewati tempoh yang sewajarnya untuk digunakan. 

-Pesawat helikopter Super Lynx 300 Mk 100 memasuki perkhidmatan di bawah label Skn 501.  Peranan utama Skn ini adalah bagi membantu aset-aset permukaan di dalam peperangan atas permukaan (ASuW), bawah permukaan (ASW), pengawasan sasaran melampaui  garis ufuk (OTHT), operasi khas PASKAL di samping melaksanakan tugas-tugas am dalam bentuk misi kemanusiaan seperti Bodevec, Medevec dan lain-lain.  
Pesawat ini juga boleh dipasang dengan sistem persenjataan peluru berpandu ASuW Sea Skua malah telah berjaya dalam perujian yang dilakukan baru-baru ini ke atas sasaran.  Pesawat ini juga mampu membawa persenjataan bagi ASW torpedo A244S dan tenggekan mesingun kaliber 50mm. Pesawat ini juga dikatakan pesawat organik kepada Skn frigate 2000 Jebat dan Lekiu tetapi hakikatnya selagi ada tapak pendaratan yang bersesuaian dengan saiznya, Super Lynx 300 Mk 100 sedia untuk diatur gerak.

-Skn 502 juga berpangkalan di KD RAJAWALI yang mengoperasikan 6 buah pesawat AS 555 Fennec sebagai pesawat latihan dan lain-lain peranan yang hampir sama dengan Super Lynx 300 Mk 100 meski pun pesawat ini tidak membawa persenjataan berat.  Namun begitu bagi pertahanan diri dan sokongan penembakan pesawat ini dipasang dengan tenggekkan mesingun MGKA berkaliber 7.62mm.

-Rakyat Malaysia umumnya menanti dengan penuh sabar ‘pengumuman’ kerajaan bagi menunaikan hasrat TLDM untuk memiliki 6 buah lagi  pesawat helikopter yang mempunyai spesifikasi lengkap sebagai  pesawat anti kapal selam.  Rakyat terbanyak menyokong penuh hasrat TLDM atas dasar menaruh kepercayaan penuh kepada TLDM dalam menjaga kedaulatan maritim negara.  Tanpa aset yang sepadan dengan kemampuan navy people, segala gerak ikhtiar yang dilakukan pastinya tidak mencapai sasaran secara maksima.

- Armada TLDM era 80an mempunyai lima buah platform yang berfungsi sebagai kapal pengangkutan kelas Landing Ship Tank (LST) iaitu  KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM dan KD BANGI sementara dua buah lagi ialah KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA dalam Kelas MPCSS yang dikira terbaik di rantau ini. Kemudian pada era 90an  KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM, KD BANGI di lucutkan tauliah kerana terlalu usang dan sebuah lagi kapal bantuan terpakai di beli iaitu LST KD SRI INDERAPURA namun perkhidmatannya dengan TLDM tidak panjang setelah dilucut tauliah pada tahun 2009 kerana kerosakan teruk akibat kebakaran. ‘Pemergian’ KD SRI  INDERAPURA masih belum ada pengganti.

Tahun 2014, TLDM masih mengekalkan Flottila  Bantuan Armada khususnya bagi platfom pengangkutan dan pembekalan dengan hanya dua buah sahaja iaitu platform dalam kategori Kapal Pemerintah Pelbagai Fungsi dan Sokongan KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA.  KD SRI INDERA SAKTI telah dibina di Jerman oleh Firma Bremer Vukan pada tahun 1979 dan KD MAHAWANGSA telah dibina oleh firma Takoma Marine Industri Korea Selatan pada tahun 1979.  Kedua-dua kapal ini sudah berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya sudah menjangkau 30 tahun.  Pelbagai misi telah mereka laksanakan dalam dan luar negara dengan penuh cemerlang.  Namun begitu secara fitrahnya setiap sesuatu terutamanya kenderaan setelah digunakan lebih 30 tahun sudah dikira sangat uzur dan sudah tidak lagi boleh beraksi seghairah benda baharu.

Semasa LIMA’07 yang lalu rakyat pernah digambarkan bahawa LP-X DOKDO Amphibious Ship Republic of Korean Navy (ROKN) memenuhi kriteria asas untuk kegunaan TLDM berasaskan saiz, spesifikasi dan keupayaan kapal kelas tersebut namun sehingga ke saat ini belum lagi menjadi kenyataan.  Sedangkan keperluan kapal pengangkutan serbaguna ini sangat relevan dengan keperluan ATM masa kini yang sering mengaturgerakkan anggota amfibi di dalam melaksanakan misi-misi  taktikal peperangan. 

Dengan bentuk geografi Malaysia yang semua negeri-negerinya yang berpantai, aturgerak pasukan secara amfibi adalah suatu gerakan yang sangat praktikal dan tentunya penggunaan kapal yang bersesuaian dengan tugas ini adalah sangat penting.  Menggenapkan angka enam dalam Skn MPCSS  ini adalah satu kemestian di dalam armada TLDM yang merupakan keperluan sebenar TLDM bagi menjangkau keperluan pertahanan negara dalam pelbagai dimensi operasi di dalam misi-misi yang melibatkan ATM, pengangkutan awam dan misi-misi bantuan bencana dalam negara dan jiran-jiran serantau.

Kesimpulan

TLDM dan navy people adalah identiti yang jelas terbentuk dari suatu kesedaran yang tinggi dalam kalangan anak-anak Melayu semasa negara masih di bawah penjajahan Kolonial.  Berhadapan dengan tentera Indonesia semasa kancah konfrontasi yang menceroboh melalui sungai dan laut.

Rejang Area Security Command (RASCOM) juga telah menzahirkan pengorbanan TLDM memerangi anasir komunis di sepanjang Sungai Rejang, ke Kanowit, Kapit dan Binatang.

Menjalani Operasi Cabut bagi menghalang kemasukan pendatang haram Vietnam yang lari dari kancah peperangan negara mereka dari mendarat di pantai-pantai Malaysia.  Bila peperangan Vietnam tamat, Ops Cabut masih diteruskan dalam usaha membenteras kemasukan nelayan-nelayan asing ke kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber makanan laut. 

Laluan Selat Melaka di antara laluan tersibuk di dunia sebagai laluan perdaganagan antarabangsa  memerlukan pemantauan yang tinggi dari ancaman perlanunan di mana TLDM telah berjaya mengekang kegiatan tersebut dari berleluasa.

Navy people turut diberi mandat oleh ATM sebagai anggota pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), cemerlang dalam peperangan tidak simetri di Teluk Aden yang menjadi sanjungan dan mendapat  pengiktirafan antarabangsa. 

Menabur bakti di perbatasan GSP dan AMBALAT demi sebuah kedaulatan dengan mempertaruhkan nyawa tanpa gentar.  TLDM terus mara mencipta nama mempersiapkan armada dan sahsiah warganya seiring menongkah arus kemodenan bersama slogan keramat SEDIA BERKORBAN. PERAJURIT


-SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN KE 80-

Tinggalkan pesanan anda di sini