About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, July 2, 2016

Selamat Hari Raya Aidulfitri

Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua pengikut dan pembaca blog saya.  Semuga segala kekhilafan yang datang dari kelemahan diri saya sendiri dan harap dimaafi.

Friday, July 1, 2016

ATM SIAGA NEGARA TERPELIHARA

Oleh: Paklang Hamzah

Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Jul 2016

Sesungguhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai peranan yang sangat mencabar.  Selain dari menggalas senjata membentengi sempadan negara dari diceroboh, ATM juga turut terlibat dalam proses pembangunan negara.  Menjadi peneraju di dalam misi-misi kemanusiaan dalam dan luar negara. Mereka ada anggota yang bersemangat kental dan tahan diuji serta kepatuhan dan  disiplin yang sangat tinggi yang bersedia untuk diaturgerak pada sebilang masa dan telah terbukti budi dan jasa mereka kepada negara tiada tolok banding nilainya.

ATM sebuah angkatan yang sederhana, kredibel, matang dan berdaya tempur, sentiasa bersiaga menangani sebarang ancaman dan cetusan konflik di mana-mana bahagian negara dengan dokongan jaringan perisikan yang cekap dan efisyen serta sokongan logistik yang mencukupi. Pegawai dan anggota telah mencapai tahap profesionalisma yang tinggi dalam bidang masing-masing.  Memiliki gaya dan daya kepimpinan dan semangat dedikasi yang tinggi serta mengamalkan amalan pengurusan yang moden dan efektif dan telah terbukti mampu mengendali teknologi ketenteraan yang canggih yang merupakan aspek asas kepada trilogy man, machine and method.

Namun begitu ATM masih memerlukan lebih banyak aset yang menjurus kepada keupayaan mobiliti dan kuasa tempur darat, laut dan udara bagi memenuhi keperluan variasi konflik jika berlaku serentak dari pelbagai dimensi dalam jangka masa yang berlarutan. Keamanan pada dekad-dekad yang lalu yang negara kecapi tidak selamanya menjanjikan ianya berterusan aman dan slogan pertahanan ‘defensif bukannya  ofensif’ di kala ini seakan tidak begitu popular untuk dipertahankan kerana dalam konteks defensif sebenarnya ada ofensif.

Justeru negara tidak boleh leka di dalam usaha mempersiapkan kelengkapan perang sejajar dengan perkembangan semasa serantau dengan provokasi-provokasi kuasa-kuasa besar seperti elemen-elemen China yang dikatakan sering menceroboh peraiaran negara, ancaman-ancaman militan di Persekitaran East Sabah Security Command (ESSCOM), rangkaian militan Islamic State, pertindihan tuntutan batas sempadan laut (Ambalat) dengan negara jiran Indonesia di laut Sulawesi yang boleh mencetus konfrontasi kedua jika tiada penyelesaian jangka panjang yang konkrit.

Di samping aktiviti-aktiviti rentas sempadan dan perlanunan yang sedikit sebanyak boleh menggangu ketenteraman awam. Penculikan demi penculikan di Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk tempatan dan pelancong walau pun pemerhatian ketat ESSCOM dilakukan namun kes-kes penculikan masih lagi berlaku.  Ini bermakna masih ada ruang yang mungkin belum mampu diberi pemantauan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.  Natijahnya ruang itu perlu diisi dengan penambahan anggota serta kelengkapan yang sewajarnya jika kita mahu aktiviti rentas sempadan dan perlanunan dilumpuhkan di kawasan tersebut.

Penulis menjangkakan bahawa aktiviti-aktiviti seumpama ini di Timur Sabah tidak akan berhenti kegiatannya kerana aktiviti seumpama ini adalah merupakan aktiviti tradisional mereka.  Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat seharusnya tidak boleh berundur walau setapak atau tidak boleh lena walau seminit untuk berhadapan dengan mereka-mereka ini dan untuk menentukan keberkesanan, meningkatkan keperluan maksima mesti dilaksanakan.

Transformasi Perlu Segera

Usaha mengekalkan kestabilan keselamatan sedia ada merupakan tugas berat yang perlu ditangani dengan bijak.  Menjalinkan hubungan dan kerjasama erat berasaskan kepercayaan dan persahabatan antara angkatan tentera serantau merupakan kaedah yang paling ampuh bagi mengelakkan tercetusnya persengketaan.  Namun begitu sebagai persiapan cegah rintang, kekuatan angkatan mesti juga diperlihatkan secara fizikal tentang kemampuan dan persiapan holistik ATM itu sendiri.  Ini bermakna situasi ini harus diterjemahkan melalui perolehan aset-aset baharu ATM yang lebih moden sebagai penambahan dan juga bagi mengimbangi aset yang telah usang.

ATM tidak mampu berdikari sepenuhnya  tanpa sokongan dan dokongan kerajaan bagi menyediakan itu dan ini.  Atas dasar itulah konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) telah diperkenalkan.  Sokongan dari rakyat jelata yang berkemampuan sebagai benteng kedua serta kumpulan yang mempunyai kepakaran khusus dalam memperkasakan industri pertahanan yang telah wujud dalam sektor pemodenan dan pengubahsuaian peralatan dan teknologi, pembuatan senjata kecil dan peluru, pemasangan kenderaan dan pesawat di samping berupaya membuat komponen dan alat ganti yang sudah tentu dapat menjimatkan                               tukaran matawang asing melalui pengurangan import peralatan pertahanan.

Warganegara inovatif dalam industri pembuatan kelengkapaan pertahanan samada dalam bidang aeroangkasa, pembinaan kapal, autmotif, persenjataan, pembangunan perisian dan elektronik akan memangkin kepada kelebihan taktikal dan teknikal kepada ATM sebagai pengguna kerana kelicinan dan keberkesanan operasi akan lebih mudah dicapai tanpa perlu bergantung kepada negara luar.

Tentera Laut Diraja Malaysia
Skn frigate dan corvette  menjadi taruhan

Pertukaran pucuk pimpinan biasanya akan berlaku sesuatu perubahan dinamik dalam pasukan kerana kreativiti, gaya dan pendekatan serta pemikiran seseorang ketua adalah tidak sama. Hasil dari pemikiran luar kotak pengurusan tertinggi TLDM terbaharu serta dalam usaha meneruskan kesinambungan  pelan pertahanan mapan persekitaran maritim ZEE dan dalam masa yang sama untuk menyesuaikan keperluan sebenar dengan kekangan ekonomi negara yang menghadkan penambahan/penyelenggaraan ketara sesuatu aset, maka suatu pelan transformasi Armada TLDM telah diperkenalkan.

Transformasi 15-to-5 adalah suatu inisiatif bagi mengukuhkan armada TLDM dengan pengstrukturan semula bilangan dan formasi kapal TLDM dari 15 kelas kapal sedia ada kepada 5 kelas kapal buatan tempatan.  Inisiatif ini di antaranya dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap negara luar sekali gus dapat menjimatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan kapal iaitu dengan mengadaptasikan sepenuhnya teknologi terkini, kepakaran serta kemudahan asas tempatan yang setanding dengan luar negara.

Penjimatan yang diperolehi hasil dari pengurangan bilangan kapal-kapal lama yang sudah berusia 30-40 tahun ini akan digunakan semula bagi membiayai pembinaan kapal-kapal baharu yang diperlukan.
Ketika ini Armada TLDM mempunyai 15 Kelas kapal yang dibina dari beberapa buah negara berlainan seperti United Kindom, Jerman, Itali, Perancis, Sweden, Korea Selatan dan Malaysia.
Pada andaian penulis, antara Kelas-kelas kapal yang akan ‘dibersarakan’ dari perkhidmatan armada TLDM secara beransur-ansur ialah skuadron Kelas Laksamana, Skuadron FAC (M 1), Skuadron FAC (M 2), FAC (G).
Difahamkan Skuadron Kapal Hidro akan diswastakan dan ianya tidak akan lagi berada di bawah flotilla TLDM. Manakala kapal-kapal yang berbaki yang masih diperlukan perkhidmatannya secara teori penulis akan bernaung mengikut kategori masing-masing di bawah 5 Kelas baharu yang diwujudkan sementara perlucutan tauliah secara berperingkat. Lima Kelas baharu itu nanti ialah New Generation Patrol Vessel (NGPV), Kelas Multy Role Support Ship (MRSS), Kelas Kapal Selam, Kelas Littoral Mission Ship (LMS) dan Kelas Littoral Combat Ship (LCS).  Kelas LCS dan LMS sedang dalam perolehan.
Walau apa pun gagasan transformasi yang di rencanakan di peringkat perkhidmatan, tanpa perhatian kerajaan ianya akan hanya berakhir di atas kertas.

Tentera Udara Diraja Malaysia


Pilatus PC 7

Dikatakan banyak aset lama yang akan disarakan dari perkhidmatan. Antaranya yang disebut-sebut ialah MIG 29-N Fulcrum dan Alouette. Manakala Perolehan kapal pengangkut Airbus A-400M sudah 3 buah berada di dalam inventori Skuaron 22  TUDM dan dijangka tiba sebuah lagi pada penghujung tahun 2016.

Perolehan  Multi-role Combat Aircraft (MRCA) masih tergantung perolehannya. Angin perkhabaran kuat bertiup mengatakan Typoon berada di ranking teratas? . Apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan, MRCA sangat diperlukan dengan segera oleh TUDM berdasarkan kebimbangan kepada cabaran- cabaran semasa yang sedang negara hadapi.

Perolehan lain yang masih menjadi igauan pemerhati-pemerhati dan peminat-peminat pertahanan domestik ialah pengumuman kerajaan terhadap perolehan Airborne Early Warning And Control (AEW&C).
Pada hemat penulis, atas dasar keterhadan ekonomi negara, fasiliti AEW&C boleh diinstalasikan kepada A-400M yang mana ruang A-400M yang agak luas serta durasi penerbangan yang  boleh berperanan untuk tugas itu sementara menunggu perolehan AEW&C yang sebenar.  Dengan cara ini dapat menjimatkan kos sekali gus kefungsian AEW&C dapat digunakan untuk tujuan pertahanan dengan segera.
A400M TUDM menerima 3 buah setakat ini

TUDM juga telah menerima 5 buah helikopter latihan baharu penghujung tahun 2015 dari jenis EC120 B yang akan ditempatkan di Kolej Tentera Udara Alor Setar bagi menggantikan Alouette yang akan di tamatkan perkhidmatan secara berperingkat.
EC 120B Colibri - pelancaran oleh Menhan jul 2016

Tentera Darat Malaysia

TDM merupakan tunjang kepada pertahanan negara berdasarkan ketumbukan kor-kor infantri yang mana fungsi dan penglibatan mereka ini menyeluruh dalam apa jua bentuk operasi mengawal konflik/pencerobohan  yang dilakukan samada di dalam negara maupun dari luar negara. Bantuan kor-kor sokongan dalam pengumpulan maklumat-maklumat perisikan, sokongan teknikal, komunikasi dan bantuan kuasa tempur dari dari unit-unit Artileri dan Armour.

TDM telah menempah 257 buah Kereta Perisai Amfibia AV 8x8 (Gempita) dan sedang dalam proses penerimaan berperingkat. Berakhir 2016 TDM dijangka akan memperolehi 56 buah yang mana ketika ini 27 buah sedang diaturgerak di kawasan operasi di Tawau. Dibangunkan oleh syarikat Malaysia berasaskan APC 8x8  FNNS PARS dalam pelbagai variasi konfigura. Difahamkan sistem  AV8 ini akan diintergrasikan bersama sistem perajurit masa depan yang menjadi tunjang kekuatan TDM di masa hadapan.

Sementara menunggu semua Gempita mengambil tempat, dikatakan Condor akan dipanjangkan jangka hayatnya dengan beberapa peningkatan sebagai sokongan kepada Gempita.

TDM juga telah bersetuju untuk menerima 24 unit terpakai M109 A5/A6 Self Propelled Howitzer (Paladin) yang ditawarkan oleh  Amerika Syarikat  di bawah Program Lebihan Kelengkapan Pertahanan US (EDA).
TDM juga dijangka menerima unit-unit permulaan daripada 20 buah High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) LIPAN BARA pada pertengahan tahun 2016.  Penamaan  LIPAN BARA secara rasminya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri sempena Defence Services Asia 2016. LIPAN BARA yang berkekuatan 300 hp mampu membawa muatan lebih daripada 2 tan yang dilengkapi dengan M134D-H Gatling Gun 7.62mm dari Dillon Aero.  Amaran Laser dan sistem pelancar grenade.

Perolehan ini merupakan kerjasama DEFTECH dengan CHaiseri Co Ltd of Thailand di bawah inisiatif Industri Pertahanan Asean yang dipatenkan memenuhi piawaian industri Malaysia. Kenderaan ini sesuai untuk ditempatkan di zon musuh bagi tugas penyusupan dan membawa keluar trup dan tugas-tugas mengiring.

Keperluan helikopter tempur juga tidak boleh dinafikan  bagi tujuan atugerak dan bantuan tembak TD. Setakat ini PUTD hanya memiliki helikopter ringan LOH-109 dan NURI yang dihibahkan oleh TUDM.

Cabaran Semasa

Tuntutan Bertindih.
Keadaan persekitaran maritim serantau pada ketika ini berada dalam suasana yang tidak begitu kondusif terutamanya dalam kalangan negara-negara yang mempunyai tututan bertindih terutamanya di Persekitaran Laut China Selatan (LCS), Laut Sulu yang mana Malaysia juga mempunyai kepentingan-kepentingan strategik ekonomi dan pertahanan yang mesti dipertahankan sebaik mungkin.

Persekitaran LCS tidak pernah tenang pada hakikatnya walau pun permukaan airnya seperti cermin seperti kata pelaut namun di dasarnya arus bertembung dari pelbagai arah. Di kepulauan Spratly misalnya ada beratus-ratus buah terumbu yang sedang berada dalam status tuntutan bertindih oleh beberapa buah negara serantau.

Namun, tindakan pantas pihak berkuasa Malaysia beberapa dekad lalu telah berjaya membangunkan beberapa buah terumbu yang dipanggil Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang kini dijadikan stesen-stesen TLDM seperti Terumbu Layang-Layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi, Terumbu Siput dan terdapat beberapa terumbu lagi  yang berdekatan dengan Malaysia yang  tidak sempat dibangunkan.
Luconia Shoal atau lebih dikenali dengan nama Beting Patinggi Ali (BPA) yang  hanya 84 batu notika sahaja dari Sarawak kini menjadi tumpuan kerana wujudnya provokasi daripada elemen-elemen China yang dilihat antara kuasa besar yang sedang berusaha untuk menguasai gugusan Terumbu-terumbu di LCS.
China mendakwa semua kawasan di Laut China adalah miliknya termasuk BPA walau pun Beting Patinggi Ali bukanlah terletak di dalam kawasan tuntutan bertindih oleh mana-mana negara kerana BPA berada di dalam Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Mana-mana elemen asing yang memasuki kawasan BPA tanpa kebenaran adalah dianggap penceroboh.  Namun begitu Jemaah Menteri Malaysia yang bermesyuarat bersetuju bahawa isu pencerobohan elemen-elemen China di persekitaran BPA boleh diselesaikan secara diplomatik dan diplomasi tentera berdasarkan hubungan baik dengan negara China sejak sekian lama.

Rundingan diplomasi yang telah dilaksanakan  ini dilihat oleh banyak pihak di dalam negara sebagai satu jalan penyelesaian yang terbaik dalam menyelesaikan isu berkenaan.  Ini adalah kerana peperangan itu sendiri tidak membawa apa-apa manfaat apatah lagi jika percaturan strategi peperangan langsung tidak menyebelahi pihak Malaysia dari segi perbezaan aset serta jumlah ketenteraan yang sangat ketara. Namun begitu, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Selain Malaysia dan China, Kepulauan di situ turut dituntut oleh Vietnam, Taiwan, Filipina dan Brunei kerana kawasan berkenaan dikatakan mempunyai rizab sumber minyak mentah dan kekayaan sumber maritim yang lain.

Terumbu-terumbu yang berada di dalam peraiaran Filipina dan Vietnam dikatakan telah diceroboh oleh China dengan membuat penambakkan ke atasnya. Pembinaan fasiliti Tentera  China di Laut China Selatan turut menjadi kebimbangan negara-negara G-7 yang terdiri dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun , Kanada, Itali, Jerman dan Perancis.  Mereka bersetuju terhadap kepentingan mengekalkan kestabilan dan keamanan di Laut itu berdasarkan perinsip undang-undang antarabangsa sedia ada.
Pendatang Asing Tanpa Izin
Baru-baru ini  negara dikejutkan oleh berita sebilangan pegawai-pegawai Imigresen mensabotaj sistem Jabatan Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan mereka-mereka yang terlibat telah pun diambil tindakan.

Aktiviti pengkhianatan dari dalam ini salah satu daripada punca  berleluasanya aktiviti-aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang dari negara-negara seperti Myanmar, Banglades, India, Vietnam, Pakistan, Ghana dan China melalui lorong-lorong ‘tikus’malah ada laporan yang menyatakan pembolosan penyeludupan mereka-mereka ini melalui lorong rasmi yang dikawal oleh penguatkuasa-penguatkuasa bertauliah yang bertugas di pintu-pintu masuk sempadan negara sebelum diserahkan kepada pelari-pelari atau tekong darat untuk diagihkan ke serata negeri.  Menurut laporan, soal integriti ini bukan saja dibolosi di pintu-pintu sempadan malah turut diberi ‘perlindungan’ oleh pihak-pihak tertentu di perjalanan sehingga  berada di lapangan pekerjaan.

Justeru tidak hairanlah kebanjiran orang luar ke dalam negara sangat ‘menyakitkan’ mata dengan membawa gelagat dan budaya yang kurang baik ke negara ini. Mengikut perangkaan Kementerian Sumber Manusia seperti mana yang dilaporkan oleh media massa berakhir 2014 sejumlah anggaran 6.7 juta warga asing berada di Malaysia dalam pelbagai sektor pekerjaan di mana sejumlah 2.1 juta mempunyai permit dan selebihnya tinggal secara haram samada tinggal melebihi tamat tempoh atau sememangnya kemasukan secara tidak sah sejak awal lagi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berdasarkan statistik  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) sebanyak 151,838 pemohon suaka dan pelarian berdaftar dari pelbagai negara berada di Malaysia sehingga 31 Jan 2015.   Seramai  52,788 orang merupakan pemohon suaka manakala seramai 99,050 orang lagi adalah pelarian.
RM 1.3 juta beli mykad untuk pelanggan warga China hasil dari serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu dengan 3 individu ditahan termasuk yang mempunyai akses kepada sistem Jabatan Pendaftaran negara (JPN).
Kita tidak boleh memandang soal kebanjiran orang luar ke dalam negara kita ketika ini sesuatu yang remeh dan terpencil kerana dalam keadaan-keadaan tertentu, orang-orang ini boleh dijadikan bala tentera bagi negara-negara yang berkepentingan untuk melawan kita balik seperti mana peristiwa yang pernah berlaku di Lahad Datu Sabah.  Walau pun tentera pengganas Kiram tidak pun mencecah angka batalion namun usaha penghapusan telah memakan masa dan menelan belanja yang banyak  dan telah memakan ramai korban dari pihak pasukan keselamatan. Dianggarkan ramai lagi penyokong-penyokong kumpulan itu yang menyembunyikan identiti mereka yang berada di persekitaran untuk membantu keperluan pengganas.

Perlanunan
Aktiviti perlanunan di Selat Melaka dan perairan Sabah meski pun sudah berkurangan tetapi jika ianya tidak ditangani  secara konsisten akan menggangu kelancaran aktviti perkapalan yang akan merugikan negara dalam konteks ekonomi import eksport, sektor pelancungan serta mengancam keselamatan dan mata pencarian rakyat tempatan.
Penculikan demi penculikan di Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk setempat walau pun Pasukan  ESSCOM telah ditubuhkan namun kes-kes penculikan masih lagi berlaku. Namun begitu penambahbaikan secara terancang telah dilaksanakan dengan begitu rapi oleh pihak-pihak yang terlibat sangatlah dipuji dan umum mengakui untuk mendapatkan impak maksima adalah sangat sukar memandangkan faktor geografi yang sangat luas tetapi tidak mustahil untuk dicapai jika pemantau berteknologi tinggi digunakan di samping kelengkapan-kelengkapan lain disediakan dengan secukupnya.

Kumpulan Islamic State
Merujuk kepada sebuah hadis daripada Ali bin Abu Talib bahawa beliau pernah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Di akhir zaman akan muncul sekumpulan pemuda yang berfikiran singkat.  Mereka berbicara dengan  dengan pembicaraan yang seolah-olah mereka sahaja yang terbaik.  Mereka membaca al-quran tetapi tidak memberi kesan di dalam hati mereka.  Mereka keluar dari agama secepat anak panah meluncur dari busurnya.  Apabila kamu sekalian yakni pihak berkuasa bertemu dengan mereka, maka perangilah mereka kerana memerangi mereka mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, ramai yang membuat tafsiran berdasarkan peristiwa-peristiwa keganasan semasa dunia bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi (SAW) ada kaitan dengan kewujudan kumpulan pelampau yang menggelarkan diri mereka kumpulan Islamic State(IS).

Sejarah penubuhan IS bermula sekitar tahun 1999 dari kumpulan yang diketuai oleh Abu Musa al-Zarqawi yang menubuhkan Jemaah Tauhid Wal Jihad yang juga dikatakan kumpulan ini adalah dipelopori oleh pengikut-pengikut kumpulan reformis Wahabi yang sangat ekstrem. Gerakan Wahabi secara ringkasnya diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahhab. Beliau lahir  pada tahun 1115 hijrah yakni 815 tahun selepas berakhirnya zaman Salafus Soleh (sahabat nabi) iaitu merujuk kepada  golongan ulama yang hidup antara kurun zaman kerasulan nabi Muhammad (SAW) hingga ke tahun 300 hijrah.  Bermakna salsilah gerakan Wahabi adalah bukan dari keturunan Salafus Soleh (salaf).
Beliau merupakan Ahli Sunnah Wal- Jamaah (ASWJ) dari mazhab Imam Ahmad (Hambali) yang pada zamannya merupakan ketua reformasi bagi pembebasan Arab Saudi dari cengkaman kerajaan yang zalim serta penguasaan Syiah yang begitu dominan yang berpusat di Madinah pada masa itu.  Syiah merupakan seteru utama gerakan Wahabi sehingga kini. Ulama ASWJ telah merumuskan bahawa ajaran Syiah pada hakikatnya adalah ajaran Yahudi yang dihubungkan kepada ahli al-Bait iaitu atas nama Islam.

Sungguh pun jasa beliau sangat besar kepada survivaliti ASWJ pada masa itu namun gerakan ini tidak begitu disenangi oleh ASWJ dekad mutakhir ini kerana sikap atau pembawakan kumpulan ini sering mendakwa banyak amalan-amalan sunat yang menjadi amalan harian ASWJ yang lain adalah perbuatan bidaah dan suka mengkafirkan Jemaah Islam lain yang tidak sealiran dengan amalan mereka.
Pada mulanya kumpulan IS ini ditubuhkan untuk menentang penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat.

Namun begitu tindak balas dan tindak tanduk mereka agak ekstrem bukan sahaja kepada musuh Islam tetapi juga terhadap orang-orang Islam yang  dengan sewenang-wenangnya menuduh mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Islam.  Siapa dalam kalangan orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka akan dituduh sebagai tali barut musuh serta dijatuhkan hukum murtad atau kafir.
Pada tahun 2004, kumpulan ini mengistiharkan telah bersekutu dengan kumpulan jihad al-Qaeda dan dikenali sebagai Tanzim al-Qaeda di Iraq.  Setelah Abu Mus’ab al-Zarkawi terbunuh pada tahun 2006, kepimpinan bertukar kepada Abu Ayub al-Masri dan mengistiharkan penubuhan Daulah Islamiah In Iraq  and Sham (Daesh).

Pada tahun 2010, Abu Ayub al-Masri pula terbunuh dan diganti oleh Abu Bakar al-Baghdadi.   Apabila krisis Syria bermula pada tahun 2011, kumpulan ini mula mengembangkan sayapnya ke Syria dan mula mengguna pakai  nama Islamic State of  Iraq and The Levant (ISIL) atau  Islamic State In Iraq and Syam (ISIS).

Pada  tahun 2014 kumpulan ini mewartakan pemerintahan Khalifah bagi Islamic State and World Wide dan  kini lebih dikenali sebagai IS serta  menamakan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai Khalifah yang juga dipercayai telah terkorban pada 11 Oktober 2015.

Namun  pada tahun 2014, pejuang al-Qaeda yang juga dilihat sebagai sebuah kumpulan ekstremis itu sendiri menolak dan memutuskan hubungan dengan IS kerana tindakan IS yang sangat melampau dan sering melakukan tindakan melampaui batas-batas kemanusian dan langsung tidak mencerminkan ianya dari syariat Islam.

November 2015, kumpulan militan ini  mendakwa telah menawan wilayah Iraq dan Syria dengan jumlah populasi  lebih kurang 2 hinggga 5 juta orang.  Dengan kesetiaan dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk tempatan kumpulan ini dapat menguasai kawasan-kawasan Libya, Nigeria dan Afghanistan.
Kumpulan ini juga mempunyai anggota gabungan di kawasan-kawasan lain dunia seperti Afrika Utara dan Asia Selatan. Mereka mendakwa sebagai Khalifah Daulah Islamiyah, ugama, politik dan kuasa tentera umat Islam seluruh dunia serta legaliti  semua emiriah, kumpulan-kumpulan, negeri-negeri dan organisasi akan menjadi seimbang dengan pengembangan pihak berkuasa khalifah dan meletakkan pasukan tentera ke kawasan mereka.

Kumpulan ini telah pun diistiharkan sebagai organisasi pengganas oleh United Nation, India, Indonesia, Israel, Turki, Arab Saudi, Syria, Iran dan lain-lain negara. Arab Saudi mengetuai 34 buah negara termasuk Malaysia, Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu(UAE), Pakistan, Turki serta negara-negara Teluk dan Afrika bagi  pembentukan pasukan tentera perikatan  yang berpangkalan di Riyadh Arab Saudi.
Pasukan ini bukan sahaja mensasarkan militan IS yang akan ditentang malah  mana-mana pertubuhan pengganas lain yang mengancam. Walaubagaimana pun komitmen  Malaysia tidak akan melibatkan aktiviti ketenteraan tetapi hanya akan menjurus kepada aktiviti perkongsian maklumat dan perisikan serta menangani propaganda pengganas.

Di Malaysia sendiri Rang Undang-undang Pencegahan keganasan (POTA) telah pun diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 7 April 2015 dalam mengekang aktiviti militan dan keganasan dalam negara.  Susulan daripada itu Multinational Counter Terrorism Exercise (MNCTX 2015) julung kali diadakan di Malaysia yang melibatkan negara-negara Asean dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Eksesais Keselamatan Maritim Pelbagai Negara (MNMSX) yang melibatkan negara partisipasi LIMA di Langkawi yang merupakan suatu pendekatan Malaysia dalam mempromosi  keamanan dan kestabilan serantau.
Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman baru-baru ini mendedahkan tentang kewujudan dua kem militan IS iaitu di Syria khusus bagi warga Asia Tenggara dan satu lagi di Kazakstan.  Modus operandi mereka ialah merekrut kanak-kanak  seawal umur dua tahun untuk dilatih sebagai pelapis kepada perjuagan mereka.
Islam tidak pernah menganjurkan umatnya melakukan keganasan namun perlakuan jenayah kejam yang dilakukan oleh IS dengan memusnahkan rumah-rumah ibadah, perkuburan, membunuh orang-orang awam tanpa mengira umur dan jantina adalah sangat dikutuk.  Mengimbau klip-klip video dari penerbitan militan IS sendiri  secara terbuka mengakui itu adalah perbuatan mereka bahkan menghebahkan dengan bangganya kepada dunia.

Mereka mementingkan penonjolan di mana setiap aktiviti keganasan mereka harus mendapat perhatian seluas-luasnya.  Bila kota Paris dan Beirut diledakkan sudah tentu mendapat perhatian dunia yang luar biasa kerana  kemasyhuran kota Paris kota pelancongan dan Beirut sebagai pusat media dunia arab  yang tentunya kejadian ini mendapat liputan yang meluas.
Dari sudut lain, pengeboman ke atas Beirut adalah suatu deklarasi oleh  kumpulan IS yang mewakili ASWJ bagi menzahirkan kekuatan untuk berhadapan dengan  puak Hizbullah yang pro Syiah.
Banyak peristiwa ngeri yang dipertontonkan kepada dunia melalui gambar-gambar dan video klip yang menggambarkan perlakuan kejam mereka.  Mu’az Yusuf al-Kasasibah, juruterbang Jordan seorang Muslim Sunni dibakar hidup-hidup kerana mengambil bahagian dalam siri-siri serangan terhadap IS. Wartawan James Foley dipenggal kepala kerana mengesyaki  sebagai agen Amerika. Menembak dengan roket tawanan perang yang dikunci di dalam kereta dan hangus terbakar. Dua orang aktivis Jepun dipenggal kepala sebagai amaran kepada kerajaan Jepun supaya tidak campur tangan dalam krisis Iraq dan Syria.  Membunuh tahanan dengan cara melemaskan hidup-hidup.  Merogol wanita-wanita yang ditawan kerana menganggap sebagai hamba tawanan perang.  Meletupkan tawanan dengan bom peledak dan banyak lagi tindakan-tindakan yang tidak berperi kemanusian.
Antara penyelewengan yang telah dikenal pasti dalam tindak tanduk kumpulan ini ialah mereka cuba menegakkan Daulah IS dengan cara Jihad perang dengan membunuh orang awam yang tidak berdosa secara zalim dan menganggap sesiapa yang tidak menyokong mereka telah melakukan dosa besar. Mereka menghukum kafir dan menghalalkan darah umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka termasuk pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum Syariah dalam pemerintahan negara.  Juga negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan sistem pilihanraya kepartian serta kewujudan negara-negara umat Islam selain IS mesti diperangi. Mengistiharkan sebuah Daulah secara haram tanpa pengiktirafan mana-mana pihak termasuk Kesatuan Ulama Sedunia.

Semangat jihad yang ditanam ke dalam diri pejuang-pejuang militan IS ini tanpa asas akidah serta pengisian agama Islam yang sebenar telah mendorong kepada   pendekatan keras dan ekstrem seperti yang pernah timbul dari kelompok Khawarij dalam sejarah Islam di mana mereka dengan mudah mengkafirkan sesiapa saja yang tidak menyokong gerakan mereka tanpa mengira latar belakang dan alasan yang menolak mereka.  Mereka menggunakan hujah dari nas al-Quran secara salah tanpa merujuk kepada huraian dari hadis dan tafsiran ulama.

Kejahilan dalam penafsiran dan penghayatan makna jihad, mendorong sebilangan umat Islam  menyokong dan memberi nafas kepada perjuangan yang berpaksikan keganasan dan kezaliman. Kumpulan IS telah  berjaya mempengaruhi golongan profesional, pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, ahli perniagaan, ahli akademik, penjawat awam dan wanita-wanita muslim untuk sama-sama menyertai gerakan mereka. Media sosial menjadi salah satu medium yang popular dalam penyebaran pengaruh dan ideologi yang semakin berkembang dari masa ke semasa.

Kumpulan IS melakukan pembunuhan, penyembelihan, pengeboman setiap hari secara salah dan kejam bukan sahaja kepada mereka yang bukan Islam, malah ke atas orang-orang Islam  termasuk alim ulama yang  berbeza pendapat dengan mereka.  Ini benar-benar amat bertentangan dengan konsep sebenar jihad yang dianjurkan oleh agama Islam. Tindakan sebegini secara tidak langsung telah meningkatkan penularan islamofobia dalam kalangan bukan Islam terutamanya di negara-negara Eropah. Sentimen ini telah mencetus kepada penyisihan terhadap minoriti Islam membuatkan kalangan pemuda-pemuda muslim mudah terjebak dengan ideologi kekerasan dan perasaan ingin membalas dendam.
Usaha penyelesaian ke arah  menidakkan atau mengekang penularan ideologi IS ini perlu kepada sinergi banyak pihak di dalam negara bermula dari rumah dengan pemantauan ibu bapa penjaga terhadap anak-anak yang berada bersama mereka. Saluran media arus perdana negara terutama televisyen dan radio sangat perlu mengingatkan penonton secara konsisten dalam slot-slot iklan mereka sebagai peringatan tentang bahayanya fahaman ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu juga menyediakan jaringan perisikan elektronik bagi mengintai dan menjerat bahan-bahan  yang berbaur ektremism melalui perbualan di media-media sosial yang dikatakan medium utama proses pengembangan ideologi IS.

Para ilmuan agama yang diberi peluang menyampaikan kuliah di Surau-surau dan Masjid atau Khutbah Jumaat perlu juga mengambil kesempatan memberi pesanan juga secara konsisten kepada Jemaah tentang bahaya menyokong pengaruh ini dari sudut akidah.  Malah perlu ada slot penerangan di sekolah-sekolah terutamanya di Pusat-pusat Pengajian Tinggi dengan membawa individu-individu yang pernah terjebak dan sudah kembali ke pangkal jalan sebagai pencerita tentang bahaya IS.  Sebagai benteng terakhir ialah pemesatan peranan yang telah pun dimainkan oleh agensi-agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pasukan-pasukan khas Angakatan Tentera Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak dengan cemerlang sebelum ini.

Islam melarang keras sebarang bentuk kekerasan dan kekejaman serta pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang yang sah oleh mana-mana pihak atau siapa sahaja terhadap umat manusia samada warga muslim atau tidak. Justeru umat Islam dilarang terlibat dengan mana-mana kumpulan yang berunsur ekstrem seumpama IS dan lain-lain.  Sudah menjadi tanggungjawab individu  Islam dalam memperkasa keimanan masing-masing  di samping memelihara hubungan harmoni sesama umat manusia keseluruhannya.

Menyedari betapa bahayanya ideologi dan gerakan IS terhadap pegangan akidah ASWJ dan keselamatan negara, umat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak terjebak dengan fahaman dan  ideologi yang cuba diserapkan oleh kuncu-kuncu IS yang mungkin sudah berada di sekeliling kita.

Kredit

Sumbangan ATM bukan sahaja untuk keamanan negara malah penglibatan mereka sudah melangkaui keamanan sejagat.  Penyertaan ATM di dalam misi-misi pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun bermula seawal tahun 1960  di Congo (UNOC).  Sehingga kini ATM telah menyertai hampir 20 operasi PBB di serata dunia yang telah melibatkan hampir 20,000 orang anggota tentera di pelbagai peringkat.

Tidak dinafikan bahawa keamanan yang negara kecapi hari ini hasil kombinasi pemantauan, pencegahan dan tindakan awalan dan susulan agensi-agensi keselamatan dalam negara yang lain seperti PDRM dan lain-lain yang mana ada kalanya tindakan tidak boleh dibuat bersendirian dan memerlukan kolaborasi bersama serta pembahagian tugas mengikut peranan supaya tidak melanggar hak dan peraturan yang telah ditetapkan sesuai dengan peranan ATM membantu agensi-agensi lain dalam negara semasa negara aman.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini