About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

SALAH LAKU ANGGOTA ATM - SATU ANALISIS

Sumber: Majalah Perajurit edisi Nov 2006
Oleh: Hamzah h.d
Pendahuluan

Masyarakat secara umumnya amat mengambil berat dan menaruh kepercayaan penuh terhadap kredibiliti ATM yang mana bukan sahaja untuk pertahanan negara tetapi juga anggota-anggota nya sebagai ‘role model’ kepada anak-anak remaja yang sedang mencari dan membina jati diri. Ini adalah kerana imej dan penampilan yang ditunjukkan oleh setiap anggota tentera mempamirkan kekentalan disiplin yang mana menzahirkan produktiviti yang dihasilkan oleh ATM keseluruhannya. Kebanggaan ini dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ragu-ragu.

Fenomena salah laku segelintir anggota angkatan tentera Malaysia dewasa ini sering kali kita dengar diperkatakan orang samada di media cetak dan media elektronik. Anggota tentera dituduh membunuh, merompak, menyamun, meragut, merogol, rasuah, meliwat, mencuri senjata dan pernah kita dengar satu masa dulu sampai sanggup merobek isi perut kanak-kanak. Statistik penagih dadah, mengedar dadah sudah menjadi ancaman yang tidak lagi boleh dipandang ringan walaupun usaha dan pemantauan sentiasa dipergiatkan kepada anggota di semua unit.

Bila dikaitkan dengan salah laku, yang mana membawa persepsi dan tohmahan yang tidak baik di kalangan masyarakat yang secara tidak langsung walaupun sebilangan kecil atau terpencil namun boleh menjejaskan nama baik sesebuah unit khususnya dan membawa imej buruk Angkatan Tentera Malaysia secara amnya.

FENOMENA

Salah laku anggota tentera sebenar nya telah berlaku dari dulu tetapi dalam jumlah yang sangat kecil dan masalah ini tidak sampai menjadi duri dalam daging dalam masyarakat. Semua kes-kes kecil berjaya ditangani secara dalaman dengan cukup berkesan. Tambahan lagi dengan adanya kekebalan prosedur penyiaran, maka cerita salah laku seumpama tidak tersebar meluas.

Apapun persoalannya, mengapa salah laku masih terjadi dalam lingkungan anggota tentera yang terkenal cukup berdisiplin dan di kawal oleh akta awam dan akta tentera.

Kajian kes 1

Pada suatu petang, sebagaimana biasa dua kawan si A dan si B yang berkawan rapat dalam sebuah kapal yang sedang menjalani refit di utara Malaysia keluar untuk bersiar-siar setelah penat seharian bekerja. Di kapal, mereka sama-sama tidur se mess dan makan bersama. Kebetulannya sebelah pagi si B baru saja menerima kiriman wang dari ibunya di kampong kerana dia sangat memerlukan untuk menyelesaikan beberapa masalah. Perkara ini diketahui si A yang mana kebetulannya juga sangat memerlukan wang. Entah apa yang difikirkan oleh si A, lalu mengajak si B untuk mengambil buah-buahan di kebun yang kononya dimiliki oleh saudaranya. Sebagai kawan, si B mengikut saja tanpa menaruh syak wasangka terhadap si A yang mempunyai niat untuk mengambil wang si B. Apa yang terjadi akhirnya kepala si B di ketuk dengan penukul sehingga mati dan si A meneruskan kehidupan di tempat kerja bersama-sama kawan yang lain tanpa menunjukkan reaksi yang mencemaskan walaupun kematian si B menjadi tajuk bualan harian. Tapi langit tidak selalu cerah, si A tertangkap juga setelah pihak polis berjaya mendapat maklumat. Wang menjadi punca pembunuhan dan sanggup menjadikan kawan sebagai mangsanya.

Kajian kes 2

Pada suatu malam, sebuah rumah sewa yang didiami oleh seorang anggota tentera bersama teman wanitanya. Seguni ganja telah dirampas oleh sepasukan anti narkotik yang mana disimpan sementara di bawah katil untuk diedarkan setelah mendapat maklumat dari kekasihnya sendiri. Oleh kerana tidak cukup bukti dan kesilapan teknikal, anggota tidak dapat disabitkan. Pengedaran dadah juga bermotifkan wang.

Kajian kes 3

Satu hari seorang anggota tentera telah ditahan di pintu gerbang Pangkalan setelah di lihat oleh pengawal anggota dalam keadaan mencurigakan. Setelah diminta untuk menunjukkan BAT C10, anggota tersebut gagal menunjukkannya dan ditahan sementara untuk siasatan. Siasatan mendapati BAT C10 anggota tersebut tidak hilang tetapi telah dicagarkan kepada ceti untuk meminjam sejumlah wang. Provost menyerbu ceti terbabit dan mendapati ramai lagi anggota yang telah mencagarkan BAT C10 dan mengizinkan ceti menyimpan kad ATM mereka untuk tujuan yang sama.

Tentera atau bekas tentera merompak, menyamun, mencuri meragut dan seumpamanya memang sudah sering kita dengar dan masyarakat seolah-seolah sudah seakan menerima hakikat bahawa anggota tentera memang berperangai sedemikian.
Dalam contoh-contoh kajian kes yang dinyatakan di atas, pemasalahan salah laku yang melibatkan wang adalah paling banyak. Rasuah dan pecah amanah di kalangan pegawai-pegawai kanan juga adalah bermotifkan wang dan kemungkinan kes sebegini terlalu kecil atau tiada pendedahan atau penangkapan berjaya dibuat. Tak kurang juga berlaku kecurian atau mengambil barang-barang hak kerajaan dan seperti ransom semata-mata untuk penjimatan perbelanjaan di rumah.

Kajian kes 4

Baru-baru ini kita dengar seorang anggota tentera telah dibunuh kejam oleh rakan sekerja. Walaupun kes itu masih dalam siasatan, namun gambaran awal yang kita ketahui adalah berpunca dari cemburu atau berebut kekasih atau wanita. Sebelum ini sudah ada yang berlaku dalam konteks yang sama yang mana tidak tidak lah sampai berbunuh-bunuhan, cuma pergaduhan dan perselisihan yang mana memerlukan campur tangan undang-undang untuk menyelesaikannya.

Persoalan yang penulis cuba nak kongsi sekarang ialah bukan kerana pelakunya anggota tentera atau awam tetapi mengapa sampai begitu sekali tergamaknya masalah yang sebegitu kecil tetapi diselesaikan dengan cara yang tidak boleh diterima akal samada oleh mangsa dan keluarganya malah juga oleh masyarakat keseluruhan.

Kajian kes 5

Tentera dituduh merogol, meliwat, mencabul kehormatan terhadap wanita dan kanak-kanak juga pernah menjadi bualan. Baru-baru ini pencabulan kehormatan terhadap pelatih PLKN juga oleh anggota tentera yang diharapkan menjadi pagar tetapi rupanya pagar yang memakan padi. Betapa dia sanggup mengkhianati amanah negara terhadapnya dek kerana kebejatan nafsu yang tidak terkawal oleh iman dan etika kerja yang dikendong. Hukumam dua belas tahun penjara dan tiga kali sebatan seolah-olah tidak begitu setimpal jika nak dibandingkan dengan kemusnahan dan kerobekkan hati dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi angkatan tentera yang berwibawa.
Juga pada suatu ketika dulu, kes pencabulan bersiri terhadap kanak-kanak adalah anggota tentera yang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga jatuhnya. Walau pun sudah diketahui umum hukuman yang telah dijatuhkan sebagai pengajaran, namun kes seumpama masih lagi berlaku dalam bentuk dan kaedah yang lain pula.

Masyarakat hari ini seakan fobia dan ngeri dengan kejadian-kejadian seumpama dan takut terjadi kepada anak-anak mereka dan seolah-olah tidak percaya dan terpinga-pinga yang pelakunya adalah anggota tentera. Apakah anggota tentera hari ini ingin mengimbau dan menjadikan perangai mereka (yang buat hal) seperti mana perangai tentera jepun sewaktu menceroboh Tanah Melayu dulu?

Perkara ini amat memeningkan kepala atau mencabar minda khalayak atau lebih-lebih lagi organisasi tentera sendiri memikirkan, apakah punca sebenar masalah perilaku ini berulang terjadi seolah-olah tanpa rasa takut dan ragu-ragu kepada pelaku terbabit walaupun hukuman setimpal telah dijatuhkan. Apakah kah bala atau anasir-anasir yang sedang melanda umat manusia yang kita tidak sedari yang mana selagi punca barah perilaku ini tidak dibuang atau diubati maka perkara yang seumpama berulang kembali.

PUNCA SALAH LAKU - Faktor Dalaman

Penulis ingin membawa atau mengalih minda pembaca kepada beberapa perbandingan tentera dulu dan tentera terkini yang mana telah melalui beberapa perubahan dari sudut latihan dan penekanan kepada kepatuhan disiplin terhadap anggota-anggotanya:

a. Latihan - Di era sebelum 1980an, latihan asas rekrut dilaksanakan selama 6 bulan. Pembelajaran secara manual diberi penekanan dalam semua bidang kerana perkembangan teknologi yang begitu terhad dan belum diguna pakai secara meluas. Sepanjang latihan, rekrut tidak diberi muka langsung semasa menjalani latihan. Jurulatih diberi mandat sepenuhnya untuk memenuhi keperluan latihan sehingga tamat. Begitu juga latihan semasa kursus kepakaran (sehabis rekrut), yang mana amalan berkerja berpasukan dipaksa bermula seawal pagi. Dari asrama penginapan, pelatih diarah beratur dan berjalan berkawad ke sekolah latihan. Tidak dibenarkan langsung menggunakan kenderaan. Semasa bersiaran (outing), pelatih dikehendaki memakai pakaian yang telah ditetapkan (slack dan kemeja) mengikut peraturan tanpa kompromi. Baik jurulatih maupun badan tatatertib yang lain mematuhi sunguh-sungguh dalam menentukan pelatih-pelatih atau anggota lama mematuhi peraturan.

Atas alasan kemajuan dan kepesatan serta keperluan mendesak, maka di era pasca 1980an hingga kini, jangkamasa latihan sudah dipendekkan. Secara tak langsung ‘rasa susah’ tidak mematangkan anggota. Pelatih-pelatih kelihatan bermotosikal terus ke sekolah latihan tanpa perlu berjalan kaki dan beratur. Semangat berpasukan dah bertukar kepada semangat keakuan bermula dari situ seawal pagi.
Apa yang penulis perhatikan sebagai contoh, etika berpakaian sudah jauh berbeza. Pelatih tak perlu lagi berkemeja malah dilonggarkan kepada pemakaian T-shirt dan seluar Jean dan dilepas keluar.

b. Penguatkuasaan atau Pencegahan – Di era sebelum 1980an kebanyakan kesalahan disiplin dijaga dan dikawal secara ‘hands on’ oleh samada pegawai, jurulatih atau anggota terkanan. Setiap kesilapan atau kesalahan yang sekecilnya menerima ‘punishment on the spot’ samada dalam bentuk ‘drill’ atau ‘body contact’. Di zaman itu perkataan’ buat apa yang jurulatih suruh buat dan jangan buat apa yang jurulatih buat’ masih boleh diterima walaupun berlawanan dengan hak asasi. Dengan alasan hak asasi manusia, sekarang perlaksanaan ‘hands on’ oleh pegawai, jurulatih atau anggota terkanan tidak lagi dibenarkan seawal di sekolah latihan rekrut. Apa-apa kesalahan hendaklah dibuat laporan dan dibawa ke muka pengadilan mengikut saluran dan prosedur yang betul. Apa-apa ‘punishment’ (bukan hukuman) boleh diberi oleh jurulatih dalam kadar yang minima yang telah ditetapkan dan bahasa yang digunakan pun mesti tukar kepada bahasa yang lebih toleran.

Oleh kerana itu diperhatikan apa yang berlaku sekarang ialah anggota terkanan (tak ramai) tidak lagi berani menjaga tepi kain anggota bawahan yang membuat kesalahan disiplin walaupun berlaku di depan matanya. Kalau dulu anggota terkanan menuntut anggota bawahan memberi penghormatan sewajar kepadanya dan kini jarang berlaku kerana anggota terkanan yang ada sekarang pun menerima pendidikan yang serupa dan cara berfikir yang sama.

Faktor Luaran

Khalayak sedia maklum, sebelum seseorang belia itu bergelar tentera, mereka dibesar, dididik dan bergaul dalam suasana yang pelbagai dari keturunan yang pelbagai selama sekurang-kurangnya selama 18 tahun. Amanah besar yang perlu ditanggung oleh organisasi ATM ialah untuk membentuk dan melatih modal insan yang datang dari pelbagai bentuk perangai untuk menjadi operator perang yang berkualiti. Walaupun ATM mempunyai makanisma (KAGAT dan Kaunselor) yang mencukupi bagi melaksanakan proses pemurnian perangai modal insan ini namun bak kata perpatah ‘ Nak melentur buluh mestilah dari rebungnya”. Di antara ancaman luaran yang menyukarkan keadaan yang mana telah terbukti menyebabkan tercetusnya persoalan salah laku di kalangan anggota tentera ialah serangan gerakan globalisasi yang sudah meresap secara halus ke dalam diri belia-belia yang mana mereka yang kurang ketahanan dalaman sudah terjerumus. Kegagalan mengenal pasti kaca di kalangan permata semasa di peringkat pemilihan, telah menjangkitkan virus kepada sistem operasi ATM.

Globalisasi adalah satu agenda yang dipelopori oleh gerakan Freemason sedunia. Tujuan globalisasi ialah agar dunia ini mempunyai satu budaya, satu cara hidup, satu sistem ekonomi dan sebagainya. Gerakan Freemason ingin menguasai dunia ini dengan konsep globalisasi, konsep kapitalisme dan pasaran bebas yang menindas akan berkembang ke seluruh negara termasuk negara-negara bekas komunis. Gerakan ‘menghalalkan’ 3S sedang berkembang dan mendapat tempat yang istimewa .
Sex - budaya sex bebas yang diperkenalkan juga mahu agar struktur asas berkeluarga manuasia dinyahhancurkan. Mereka menggalakkan dan berusaha menyebar segala bentuk penyiaran dan pendedahan melalui teknologi supaya seks bebas menjadi satu amalan, perkahwinan sejenis dan sebagainya untuk tujuan penghapusan struktur keluarga. Elemen-elemen yang membantu menggalakkan budaya seks ialah media cetak dan media elektronik yang berkembang pesat di samping pengembangan secara fizikal melalui perdagangan pelacuran.Sports - Percaya atau tidak, sukan pada abad ke 21 ini merupakan alat pengembangan globalisasi yang hebat. Sebagai contoh, berapa ramai peminat bola di Malaysia yang sanggup bangun malam untuk menonton perlawanan Piala Dunia Germany06, sedangkan perlawanan itu tidak ade kena mengena dengan Malaysia apalagi Islam? Perlawanan yg lokasinya beribu batu itu mampu menarik minat sebegitu rupa? Dengan sukan, manusia di dunia ini sanggup melalaikan agama dan sebagainya.Song - lagu adalah satu lagi alat yg digunakan oleh Freemason dalam menghuru harakan minda anak-anak muda . Mereka berjaya menyebarkan budaya glamor artis barat melalui syarikat-syarikat rakaman gergasi. Dengan ini remaja-remaja dunia akan khayal dan rosak seterusnya membantu agenda mereka.

Kesan dalaman dan luaran yang di nyatakan di atas sedikit sebanyak telah menjadi pemangkin atau mempengaruhi kepada perilaku sosial di kalangan anggota tentera.

Tambahan lagi mungkin kerana faktor sistem gaya hidup yang tidak terurus, pemakanan, tekanan dan pengaruh sekeliling. Sikap inginkan kemewahan tanpa mengukur baju di badan sendiri yang menjurus kepada perasaan tamak haloba dan diterjemahkan kepada perlakuan seperti yang dinyatakan dalam kajian-kajian kes di atas. Dengan kata-kata yang lebih jelas ialah wang. Amalan perbelanjaan yang tidak berhemah mengundang seribu satu macam masalah. Juga dorongan atau desakan dari pasangan hidup yang suka bersaing dan menunjuk-nunjuk di kalangan jiran tetangga juga menambah burukkan lagi keadaan.

Kejahilan dan ketirisan iman juga menjadi faktor penyumbang kepada perilaku tidak sihat anggota tentera yang mana mudah terpengaruh dengan gejala judi dan penyalahgunaan najis dadah yang membawa kesan besar terhadap ekonomi dan perbelanjaan keluarga yang akhirnya menjerumuskan diri ke lembah hina ini.

KECERDASAN EMOSI (Emotional Quotion)

Perunding motivasi berpendapat, memanfaatkan kecerdasan emosi, seseorang boleh mengatasi, menghalang atau sekurang-kurangnya boleh menyedarkan individu-individu supaya tidak meneruskan bisikan niat untuk memulakan perlakuan buruk. Kecerdasan emosi adalah satu tenaga dan kekuatan dalamam yang boleh atau berupaya untuk menstabilkan sesuatu masalah kepada tindakan yang positif. Emosi yang cerdas boleh membimbing individu kearah ketepatan berfikir secara positif dengan mengambil kira pasangan negatifnya sebagai perbandingan.

Emosi yang tidak cerdas boleh membawa manusia bertindak ikut rasa yang agak sinonim dengan peribahasa melayu ‘tepuk dada tanya selera’ yang sepatutnya telah diganti dengan ‘tepuk dada tanya iman’ kerana selera itu adalah sebahagian daripada nafsu baik. Kadangkala nafsu baik ini jika tidak disirami dengan iman ianya boleh membawa keburukan. Sebagai contoh ialah selera makan. Selera (nafsu) makan ini amat penting untuk pertumbuhan badan tetapi kalau makan ikut nafsu tidak berlandaskan kepada ilmu dan iman maka sudah tentu akan memudaratkan badan.

Kecerdasan emosi dan minda sebenarnya boleh dipelajari dan diamalkan melalui latihan oleh semua individu melalui pengurusan komponen-komponen berikut:

1. Intrapersonal

a. Kesedaran emosi sendiri – Kemampuan mengenal pasti dan membezakan emosi sendiri. Mengetahui apa yang dirasai, kenapa dan apa yang menyebabkan emosi tersebut. Contohnya : Emosi marah, kecewa, takut, malu, risau, yakin, gembira, sedih, benci dan lain-lain.

b. Asertif – Kemampuan meluahkan emosi positif dan negatif, kepercayaan dan fikiran serta hak dengan berterus terang dan bersopan tanpa agresif.

c. Penerimaan Diri – Menghormati dan menerima diri sebagai baik.

d. Berdikari – Kemampuan mengarah dan mengawal diri dalam pemikiran dan tindakan dan bebas daripada pergantungan emosi. Boleh merancang dan membuat keputusan penting. Boleh mempertimbangkan pandangan orang lain sebelum membuat keputusan.

e. Nirwana Kendiri – Kemampuan merealisasikan potensi diri dan merasa puas melakukan sesuatu. Mengarah kehidupan yang bermakna, pelbagai dan hidup berpaksikan reality.

2. Interpersonal

a. Empati – Kemampuan menyedari, memahami dan menghargai perasaan dan pemikiran orang lain. Mampu membaca perasaan orang lain seperti ibu bapa, guru, rakan dan lain-lain.

b. Tanggong Jawab Sosial – Kemampuan melakukan sesuatu kebaikan dan menyumbang untuk orang lain walaupun tidak mendapat keuntungan peribadi seperti berpesatuan, menolong orang dan memberi sumbangan.

c. Hubungan Interpersonal – Kemampuan berhubung dengan orang lain secara berkesan dan saling menghormati.

3. Penyesuaian Diri

a. Ujian sebenar- Kemampuan membezakan antara emosional dan rasional.

b. Fleksibiliti- Kemampuan membuat penyesuaian emosi, pemikiran dan tingkah laku dengan perubahan situasi dan keadaan.

c. Penyelesaian masalah- Kemampuan mengenal pasti dan mendefinasi masalah serta menjana tindakan dan melaksanakan penyelesaian yang berkesan.

4. Pengurusan Tekanan

a. Toleran terhadap tekanan – Kemampuan menangani situasi tekanan dengan berkesan.

b. Pengawalan desakan hati – Kemampuan menentang atau melambatkan kehendak, keinginan dan desakan hati untuk bertindak, boleh mengawal tingkah laku agresif, tidak bertanggung jawab dan liar.

5. Perasaan Secara Keseluruhan

a. Kebahagiaan- Kemampuan untuk merasa puas dengan kehidupan, menikmati kegembiraan diri sendiri dan orang lain dan boleh berseroronok.

b. Optimis- Kemampuan untuk melihat kehidupan dari sudut yang cerah dan mengekalkan sikap positif walaupun dalam menghadapi kekecewaan dan kesusahan.

Penyelesaian

Peranan kecerdasan emosi dalam menangani permasalahan perilaku terhadap seseorang individu adalah mungkin berkesan jika perinsip-perinsip pemikiran diamalkan dan dilatih dengan betul. Bersandarkan kecerdikan sahaja tidak boleh menjamin kejayaan dalam menyelesaikan masalah kerana perakuan ini telah dinyatakan oleh Profesor Daniel Goleman dalam buku ‘Emotional Intelligence’. IQ menyumbang 20% dan EQ menyumbang 80% dalam sesuatu kejayaan.

Jadi, dalam konteks membina modal insan cemerlang dan berminda kelas pertama, ATM juga mempunyai tanggungjawab yang berat iaitu bagaimana nak mengadaptasikan kemahiran kecerdasan berfikir ke dalam diri setiap anggota ATM seawal rekrut dan perlu dilatih tubi juga diamal secara konsisten oleh semua individu agar kemahiran ini menjadi suatu budaya dalam perkhidmatan. Di samping dengan tidak mengabaikan malah menggandakan usaha tarbiah tentang kefahaman fundalmental islam secara menyeluruh kepada anggota muslim dan kefahaman yang menjurus kepada jiwa murni kepada penganut lain-lain agama.

Apa yang perlu dilakukan ialah melipat gandakan penjanaan komponen-komponen di atas secara sungguh-sungguh dan istiqamah dengan mengguna pakai makanisma yang sedia ada seperti KAGAT dan Badan Kaunseling. Pendekatan agama amat perlu diberi perhatian kepada anggota yang bermasalah semasa tahanan reman (semasa proses siasatan) yang kadang-kadang memakan masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Dalam tahanan inilah waktu yang sesuai untuk melakukan proses evaluasi atau muhasabah diri kepada pelaku secara intensif. Jika proses ini diberi penekanan, insyaallah seseorang individu yang bermasalah perilaku ini berupaya untuk membuat pilihan samada menyelesaikan krisis dalaman yang mereka hadapi secara positif atau negatif.

Pencegahan melalui amalan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada terus diberi perhatian. Anjakan paradigma ke arah pengimplementasian prosedur tatatertib secara fundalmental harus dibudayakan dalam masyarakat ATM untuk menggantikan budaya ‘hands on’ yang dulunya diamalkan dan berjaya mendidik perilaku anggota pada masa itu. Saya yakin jika prosedur akta 1972 dibudayakan di segenap ruang menggantikan budaya ‘punishments on the spot’ ini, lambat laung ianya akan mengambil tempat kejayaan yang pernah dicapai dengan kaedah lama itu.

Proses pendidikan ini mungkin memakan masa yang lama untuk mengutip hasilnya tetapi kalau tidak dimulakan manakan ada penghujungnya. Selaras dengan itu badan tatatertib unit yang sedia ada harus lebih agresif dan positif untuk melihat potensi kaedah ini. Pemimpin-pemimpin kecil dan pegawai divisional juga harus melihat dan berperanan dalam konteks menjaga kebajikan anggota bawahan yang mana pembasmian awal permasalahan yang mana boleh menjurus kepada pembentukan moral dan perlakuan positif kepada modal insan. Dengan kata lain menyelesaikan atau membantu meringankan segala beban masalah yang ditanggong oleh anggota bermasalah dari aspek mana sekali pun di peringkat bertunas. Justeru itu tindakan negatif oleh pelaku tersebut mungkin boleh di cegah jika tunas-tunas yang mencetus masalah disuntik ubat sedari awal.

Sebagai penutup bicara, penulis berkeyakinan penuh bahawa organisasi ATM masih unggul dalam meladeni masalah perilaku anggota dan martabat organisasi tetap dijulang seiring menjulang kedaulatan negara dari diceroboh. ATM mampu dan boleh melakukannya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini