About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, April 6, 2014

TLDM SIAGA PERAIRAN TERPELIHARA

Oleh: Hamzah hd




27 April 2014 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 80 tahun dengan mengambil kira sejarah permulaan kewujudan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat.  Hari ini kepimpinan TLDM diketuai oleh Tan Seri Abdul Aziz bin Jaafar selaku Panglima Tentera Laut (PTL) yang ke 15  bersama struktur baharu barisan jemaah kepimpinan peringkat tertinggi TLDM serta seluruh warga tentera laut yang digelar navy people seharusnya merasa bangga dengan pencapaian TLDM setakat ini kerana kecemerlangan yang dicapai hari ini adalah merupakan komitmen dan kerja kuat secara berpasukan.

Struktur baharu jemaah kepimpinan peringkat tertinggi TLDM menyaksikan perlantikkan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin Timbalan PTL yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamed Nordin Ali yang telah menamatkan perkhidmatan. Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas berasal dari negeri Melaka dan beliau adalah legasi Laksamana moden yang ke 5 bagi negeri Melaka secara berturut-turut selepas Laksamana Tan Seri Anwar Mohd Nor, Laksamana Tan Seri Ramlan Mohamed Ali dan Tan Seri Abdul Aziz bin Jaafar.

TLDM kini diterajui oleh 41 orang Panglima dengan 6 orang Panglima di peringkat Formasi/Markas, 9 orang Panglima Komander Pasukan, 8 orang  Panglima di peringkat Asisten Ketua Staf (AKS) yang memikul tanggungjawab mengetuai dalam perlaksanaan Visi, Misi dan Teras Strategik TLDM sementara yang selebihnya menjawat jawatan di luar konteks TLDM.  

Teras Strategik TLDM menggariskan Teras Strategik pertama adalah meletakkan keupayaan angkatan dengan menyediakan angkatan laut yang seimbang dan kredibel, Teras Strategik kedua dengan mensasarkan untuk kecemerlangan dalam perlaksanaan operasi dan eksesais dan Teras Strategik ketiga ialah mengeratkan jaringan pertahanan dua hala dan pelbagai hala. Dengan gabungan visi, misi dan teras strategik ini telah menghasilkan Nilai Teras TLDM bagi memandu halatuju TLDM ke arah kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan.

Dalam keadaan kewangan negara yang amat tidak memberangsangkan mengikut ‘alasan’ kerajaan untuk perolehan platform baharu dan perolehan sistem persenjataan kepada kapal-kapal yang sedang ‘berpuas hati’ dengan status fitted for but not with, pihak pengurusan tertinggi TLDM masih boleh mengagihkan perbelanjaan dan urus tadbir dalam meningkatkan kesejahteraan kepada warganya dengan menambah baik kemudahan infrastruktur dan prasarana pangkalan dan Rumah Keluarga di semua Pangkalan TLDM. 

Ini sejajar dengan langkah perbelanjaan berhemah yang diperkenalkan oleh pengurusan tertinggi TLDM sejak tahun 2010 dan berjaya menjimatkan sebanyak RM 4 juta  dan digunakan untuk menampung kos pembaikan kapal-kapal TLDM dan membiayai kursus-kursus terutamanya di bawah Program Foreign Military Sales (FMS).

Namun begitu berdasarkan inisiatif utama Pelan Strategik 2013-2020 (PS1320), PTL melalui perutusan ulung menjelang 2014 menegaskan bahawa TLDM akan terus memantau projek-projek serta program perolehan di bawah dasar sedia ada dari tahun 2013 untuk memastikan ianya berlangsung mengikut jadual.  Projek-projek ini melibatkan pembinaan 2 buah kapal latihan, projek perolehan 6 buah kapal LCS, perolehan Sistem Pengawasan Bawah Air untuk Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS), pembinaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK),  pembinaan kemudahan latihan yang lengkap bagi anggota PASKAL, melengkapkan semua stesyen luar pantai TLDM dengan sistem keselamatan bawah air serta sistem radar permukaan dan proses mengenal pasti lokasi untuk pembinaan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu.

Dalam usaha mempertingkatkan keupayaan armada, TLDM akan terus berusaha untuk memperolehi 6 buah pesawat helikopter anti kapal selam dan  juga pemasangan optical director untuk skuadron 24 Korvet.  Dengan pemilikan dua buah kapal selam scorpene dalam armada adalah tidak lengkap sesuatu operasi anti kapal selam jika tidak ada pesawat helikopter yang berkebolehan dalam peperangan anti kapal selam.  Setakat ini armada TLDM hanya mampu ‘berpuas hati’ dengan menggandingkan aset strategik itu dengan platfom-platfom permukaan sahaja yang mana semua orang tahu bahawa gandingan ini tidak memberi jangkauan yang maksima di dalam operasi mencari dan memusnah yang mana kumpulan search attack unit (SAU) agak sukar untuk tidak berada di dalam zon bahaya torpedo semasa ‘kelekaan’ memburu musuh bawah permukaan tersebut kerana kemampuan sonar untuk menjejak dan memastikan ianya HOT sebilang masa adalah agak sukar.  Justeru peranan tambahan yang boleh dijadikan sandaran tetapi mampu memberi impak maksima adalah pesawat helikopter ASW yang mempunyai kuasa tempur yang ampuh dan daya mobiliti yang tinggi .

Sesungguhnya bukan mudah untuk sesuatu organisasi pertahanan yang besar seperti TLDM untuk membangunkan armada ke tahap keupayaan operasi jika kerajaan masih bermain ‘tarik tali ‘ dalam memperuntukkan bajet yang bersesuaian untuk menyempurnakan apa yang diperlukan oleh TLDM dalam konteks mempertahankan kedaulatan maritim negara. 

Keupayaan operasi pertama semestinya bermula dengan memiliki sejumlah aset dan peralatan sebagai persiapan ke medan perang yang mana ini adalah tugas hakiki kerajaan dalam menyediakan semua keperluan yang diperlukan oleh TLDM mengikut spesifikasi yang TLDM perlukan bukan keperluan yang TLDM terpaksa terima mengikut percaturan politik sesuatu pihak.  
Hakikat ini adalah sangat bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam Surah Al Anfal Ayat 60 yang berbunyi, “Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari  pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Sementara keupayaan operasi yang kedua adalah untuk meletakkan kapabiliti misi ke tahap optima adalah memerlukan aset itu pula sentiasa berada pada tahap Status Pengoperasian Kategori 1 (CAT 1) dalam semua aspek teknikal, logistk dan sumber manusia.  Dalam konteks logistik dan teknikal biasanya TLDM selalu  terperangkap kepada suatu keadaan yang menjejaskan keupayaan operasi lantaran kekurangan atau kelambatan alat ganti yang memberi kesan kepada peroses pembaikan. 

Dua keadaan ini menjadikan TLDM berada di dalam keadaan ‘serba salah’ dan jika kepincangan ini tidak diberi suntikan sewajarnya oleh pihak kerajaan, maka keupayaan operasi sebenar TLDM  akan dilihat oleh mata umum sebagai tidak kompeten sedangkan pada masa yang sama semangat, jati diri, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh navy people berada pada tahap operasional pada sebilang masa. 

Cogan kata ‘SEDIA BERKORBAN’ bukan sekadar slogan yang dilaungkan tetapi ianya mempunyai roh yang pada mereka membujur lalu melintang patah dan tidak hairanlah setiap misi yang disertai oleh navy people akan pulang dengan kejayaan.  Antara  kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh navy people dekad ini ialah Ops Fajar, Ops Daulat, Ops Pasir dan lain-lain di dalam dan di luar negara.

Modal Insan

Anggota dan pegawai TLDM adalah manusia biasa mempunyai keluarga dan fitrah kehidupan seperti manusia terbanyak.  Datang dari pelbagai negeri berasaskan bangsa, etnik, anutan ugama, budaya dan adat resam yang pelbagai sesuai dengan kemajmukan penduduk Malaysia. Mereka berhimpun dalam kelumpok yang besar menjadi satu keluarga navy people dan membentuk sub- budaya yang unik yang menjadi amalan dalam kalangan mereka.  Sub-budaya yang wujud dalam prefesional ketenteraan umumnya bukanlah disasarkan untuk membunuh atau dibunuh semata-mata tetapi proses untuk mencapai visi dan misi mungkin terpaksa menghadapi sesuatu yang lebih kompleks. 

Justeru, pelbagai cara dan pendekatan telah dilaksanakan mengikut kesesuaian tertentu dari masa ke semasa berdasarkan keupayaan kepimpinan atasan. Era mutakhir, Navy Plan telah diperkenalkan sebagai makanisma mengukur prestasi pengurusan navy people dengan menggariskan objektif-objektif strategik dan pengukuran terhadap sasaran penting bagi menentukan TLDM berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin
Tidak kurang juga suara-suara yang suka mengakronimkan TLDM dengan makna yang mereka reka sendiri untuk tujuan humor malah ada juga bertujuan menghina. ‘Tentera Lawa Dalam Malaysia, Tempat Lawatan Dalam Manjung, Tengok Luar Dalam Melantung’  adalah antara akronim yang sering digunakan dalam perbualan.
Mungkin atas kesedaran itu, PTL hari ini telah memperkenalkan sejak beberapa tahun yang lalu satu pendekatan bagi merasionalkan makna TLDM kepada yang lebih bersifat ‘roh’ menjadi terminologi yang lebih bermakna dan sesuai dengan keunggulan TLDM:

TLDM tidak pernah mengabaikan aspek latihan demi mempertajamkan kemahiran warganya
T-Train – Persediaan latihan se awal Perajurit Muda bagi lain-lain Pangkat (LLP) selama 6 bulan di Pusat Latihan Perajurit Muda KD SULTAN ISMAIL  Tanjong Pengelih kemudian meneruskan pengajian dalam pengkhususan bidang yang dipilih selama 4 hingga 9 bulan (tertakluk kepada kepakaran) pada peringkat Kelas 2 di sekolah-sekolah latihan KD PELANDOK Lumut.  Setamat kursus teori Kelas 2, anggota di tugaskan di lapangan sebenar unit-unit di laut atau di pangkalan sebagai Lasykar Dalam Latihan (OJT) selama lebih kurang 6 bulan di awasi oleh Penyelia-Penyelia Bahagian di lapangan.  Setelah tamat OJT, mereka di kembalikan ke KD PELANDOK untuk kursus peningkatan kepakaran peringkat Kelas 1 selama 4 hingga 9 bulan (tertakluk kepada kepakaran).  

Setelah lulus dalam kursus kelas 1 barulah anggota diberi penugasan di penempatan sebenar.  Mereka akan dipanggil untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan bila tiba masanya berdasarkan time based sehingga ke peringkat tertinggi dalam kategori  LLP.  Beberapa modul di unit-unit sokongan yang dibina seperti WASPADA , Pusat Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), TANGKAS adalah antara pusat-pusat latihan kepada peningkatan ilmu dan kemahiran di bidang teknikal, taktik dan pengendalian kapal.  Manakala KD SULTAN IDRIS 1 yang bernaung di bawah pemerintahan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM merupakan Kolej yang berperanan melatih dan membentuk pegawai muda menjadi pemimpin dan peneraju TLDM masa hadapan.

L-Lead.  Semua anggota dan pegawai merupakan pemimpin yakni dalam konteks yang senior adalah pemimpin kepada yang junior berdasarkan kebolehan, kemampuan tahap kepakaran dan kemahiran individu.  TLDM sangat menekankan kebolehan navy people dalam aspek kepimpinan di mana modul khusus Kepimpinan Dan Pengurusan menjadi subjek wajib lulus dan Pusat Kepimpinan TLDM merupakan unit yang bertanggungjawab dalam usaha memperkasakan teras kepimpinan dalam diri setiap anggota TLDM.

D-Developed. Dalam konteks kepimpinan, setiap anggota dan pegawai mempunyai peranan dalam membangunkan sekurang-kurangnya pembangunan diri sendiri sebagai peningkatan dalam kerjaya yang diceburi dan tentunya kepimpinan menengah dan atasan mempunyai peranan yang lebih besar mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.

M-Manage.  Berasaskan latihan berterusan semua peringkat berupaya memimpin, membangun dan akhirnya mengurus bermula dari sekecil-kecil departmen kepada sebesar-besar sebuah organisasi yang di panggil TLDM.

Cabaran untuk TLDM mentransformasikan daya pemikiran navy people ke arah pemikiran bertaraf dunia sejajar dengan wawasan TLDM untuk mencapai status world class navy bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun begitu usaha TLDM untuk merealisasikan hasrat itu telah pun dilaksanakan dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan seperti K-Navy serta diperkuatkan dengan Nilai-nilai Teras dan Nilai-nilai Transformasi sebagai pembudayaan dalam peningkatan ilmu pengetahuan dan akademik sebagai satu lonjakan paradigma dalam memperkasakan profesionalisme modal insan yang bergelar navy people.

Selain warga tetap, TLDM juga mempunyai pelapis dari Pasukan Simpanan Sukarela (PSS) yang telah distrukturkan semula kepada beberapa komponen seperti Simpanan Pilihan (PALAPES dan PLAS), Simpanan Pakar (Pelabuhan/Perkapalan/Limbungan), Simpanan Khusus (Perikanan/Perubatan/Jabatan Laut), Simpanan Sukarela Biasa Simpanan Angkatan Tetap (Bekas Pegawai dan LLP TLDM).

PSSTLDM merupakan ketumbukan barisan kedua TLDM yang mana penubuhannya sangat signifikan dan diyakini akan dapat membantu menjayakan misi dan visi TLDM jika berlaku kegawatan keselamatan dalam negara terutamanya untuk menjaga keutuhan pertahanan pangkalan dan lokasi-lokasi strategik mengikut kemahiran dan kepakaran yang sedia ada pada mereka.  Dengan peningkatan ancaman glokal, maka sangat wajar nisbah kekuatan komplemen di tambah dari masa ke semasa dalam usaha mendedahkan rakyat kepada kemahiran ketenteraan yang akan kembali memberi pulangan dalam bentuk keupayaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Pencapaian, Perolehan dan penambahbaikan 2013

PTL dalam ucapan seterusnya menyatakan dengan kenaikan peruntukan kerajaan sebanyak 4.83 peratus bagi melaksanakan Program Pertahanan Maritim, TLDM telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan yang melibatkan pemodenan peralatan dan menaikkan taraf hidup warga navy people. 
Setakat ini TLDM memperolehi dua buah aset baharu iaitu kapal latihan pertama GAGAH SAMUDERA yang telah di lancarkan pada bulan Dis 2012  dan kapal latihan kedua TEGUH SAMUDERA yang dilancarkan pada 2013 dengan spesifikasi 75.9 meter panjang yang dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter.  Dibina oleh syarikat tempatan NGVTech Sdn. Bhd usaha sama dengan Daewoo Shipbuilding Marine Engineering (DSME) dari Korea Selatan turut dilengkapi dengan sistem kombat dan sistem persenjataan jarak dekat. 

Peranan utama kapal ini ialah sebagai platform latihan dan mampu belayar sejauh 2,500 batu notika atau bersamaan 21 hari tanpa henti sebelum ulang bekal dilakukan.  Menempatkan seramai 47 orang anak-anak kapal serta 60 orang pelatih termasuk 12 penempatan untuk pelatih wanita.  Kedua-dua kapal ini bila siap sepenuhnya nanti akan diletakkan di bawah naungan Flotila Latihan bersama KLD Tunas Samudera.

KD KASTURI sudah beroperasi semula setelah selesai menjalani Program Pemanjangan Jangka Hayat (SLEP) bermula 20 Nov 2013.  Beberapa komponen fizikal yang boleh dilihat di geladak atas KD KASTURI selepas program SLEP ini ialah dua unit Anti Submarine Rocket Launcher (ASRL) digantikan dengan dua unit dengan tiga tiub pelancar Torpedo ASW Eurotorp B515 setiap satu dan instalasikan di bahagian port dan starboard geladak ASRL, meriam 57mm bofors (Y gun) ditanggalkan dari posisi asal di geladak suku. 

KD KASTURI juga pada suatu ketika dahulu pernah mengurangkan krewnya ke tahap minima dalam program kapal bestari dengan cara memaksimakan otomasi peralatan.  Namun begitu sehingga ke hari ini program tersebut tidak dapat direalisasikan meski pun kelihatan ada penambahbaikan terhadap sistem dan peralatan yang lebih canggih mengikut peredaran masa dan mesra pengguna sebelum dan selepas SLEP.
Selain pengoperasian Simulator Kapal Selam Scorpene, Misil Exocet SM39 Block 2 juga sudah berada dalam inventori persenjataan TLDM. Misil SM39 Block 2 adalah misil dari famili Exocet versi kapal selam yang dilancarkan dari tiub torpedo di mana ianya terkandung di dalam vehicule sous marine (VSM) yang didorong oleh kuasa sendiri manuver sebelum keluar ke permukaan. 

Dengan ini ianya tidak akan meninggalkan jejak menunjukkan di mana posisi  sebenar kapal selam.  Setelah misil melepasi permukaan dan berada di udara ia akan meninggalkan VSM dan menuju ke sasaran seperti mana keupayaan variasi misil yang lain.  Keupayaan Exocet SM39  ini boleh dilakukan penembakan dari jarak jauh yakni di luar dari zon bahaya torpedo kapal-kapal anti kapal selam musuh di permukaan. Sehingga kini, misil ini sedang digunakan oleh Tentera Laut Perancis dan tentera laut beberapa negara lain.

Sepanjang 2013, sebanyak 20 siri latihan dan eksesais di dalam dan luar negara telah berjaya dilaksanakan dalam usaha melatih, mengekalkan kemahiran, ketahanan dan kompetensi operator-operator perang dalam pelbagai bidang kepakaran serta menguji keupayaan dan kebolehgunaan aset-aset TLDM sedia ada di samping mempereratkan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara terlibat.

Sebanyak tiga projek pembangunan prasarana telah disiapkan melibatkan Kompleks Kolej TLDM (KDSI 1) yang berpangkalan di Lumut, Projek Pembangunan KD SRI SANDAKAN Fasa 3 dan Projek Peningkatan Jeti operasi di Lumut.

KD PELANDOK (KDP) dan KDSI 1 juga telah mencipta sejarah mereka yang tersendiri  apabila diiktiraf sebagai Institut Latihan Maritim (ILM) oleh Jabatan Laut Malaysia.  Pengiktirafan kepada KDP yang merupakan  Pusat Latihan bagi anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM dan KDSI 1 adalah Pusat Latihan bagi Pegawai-pegawai TLDM telah membuka ruang dan peluang kepada bakal-bakal anggota dan pegawai yang akan menamatkan perkhidmatan untuk mencebur diri ke alam pekerjaan dalam sektor perkapalan.  Sebagai permulaan, TLDM akan melaksanakan dua daripada  sembilan Modul Asas Latihan, Perakuan dan Pengawasan Bagi Pelaut 1995(STCW’95) dan yang selebihnya akan ditambah dari masa ke semasa. 

Pensijilan STCW’95 merupakan  suatu usaha TLDM dalam mempertingkatkan kompetensi anggota TLDM dalam aspek perundangan lalu lintas laut (ROR) dan aspek-aspek yang berkaitan dengan tugas pengangkutan di laut dan apa yang lebih penting dengan memiliki kompetensi STCW’95 ini akan melayakkan seseorang itu untuk terus diterima bekerja dalam sektor industri maritim bila bersara kelak.  Sebelum ini pengetahuan dan kemahiran pegawai dan anggota TLDM tidak diberi pengiktirafan oleh Jabatan Laut meski pun beliau bekas kepten kapal mau pun navigator yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam aspek pemanduan kapal dan aspek-aspek  yang berkaitan dengannya.

Pusat Hidrografi Negara (PHN) yang terletak di Pelabuhan Kelang turut mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan menerima pelbagai pengiktirafan hasil dari kecemerlangan mereka dalam bidang pengukuran dan pencartaan yang mana hasil pengeluarannya diguna pakai oleh pelaut-pelaut antarabangsa.

Sejarah pengukuran hidrografi di perairan Malaysia sebelum ini dilakukan oleh Royal Navy sejak kurun ke 18 lagi di mana carta dan publikasi pengeluarannya di kenali dengan nama British Admiralty (BA).  Kemerdekaan yang dicapai daripada Kolonial British telah memberi ruang kepada TLDM mewujudkan perkhidmatan hidrografinya sendiri.  Ianya bermula seawal tahun 1965 dengan kumpulan pertama pegawai dan anggota TLDM dihantar menjalani latihan di Australia. 

Justeru pada tahun 1969 Cawangan Hidrografi TLDM ditubuhkan dengan mengubahsuai sebuah kapal MCMV untuk melaksanakan tugas-tugas pengukuran.  Pada 31 Oktober 1972, kabinet telah memutuskan dengan melantik TLDM sebagai agensi yang bertanggung jawab terhadap kerja-kerja pengukuran hidrografi di Malaysia. 

Untuk tujuan itu sebuah kapal telah dibina di Limbungan Hong Leong- Lurssen Butterworth dan memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada Januari 1978.  Kapal yang berukuran 71 meter panjang dan 13 meter lebar dengan keanggotaan 155 orang Pegawai dan LLP telah diberi nama dengan KD MUTIARA (151). 
Sebuah lagi kapal untk kegunaan hidrografi telah dibina juga di Limbungan Hong Leong- Lurssen Butterworth dengan reka bentuk firma Krogerwerft Jerman yang telah memulakan perkhidmatan dengan TLDM pada tahun 1996 dengan nama  KD PERANTAU (255) sempena nama kapal hidrografi pertama yang telah dilucutkan tauliah.  Kedua-dua kapal ini dilengkapi dengan peralatan hidrografi moden yang serba canggih. Sehingga pada tahun 1990an TLDM telah mula mengguna pakai carta MAL dan publikasi-publikasi yang dikeluarkan oleh PHN.

Kontroversi Dan Isu Tuntutan Bertindih

­-Akhir bulan Januari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan berita agensi asing yang menyatakan tiga buah kapal perang Tentera Laut Rakyat China (PLAN)  iaitu sebuah kapal pendarat (LPD) Changbaishan dan dua buah kapal pemusnah daripada Kelas LuYang I dan ll menceroboh perairan negara berhampiran James Shoal atau Beting Serupai 60 batu notika ke utara Mukah.  Walaubagaimana pun hasil pemantauan dan perisikan TLDM, ketiga-tiga kapal berkenaan tidak menceroboh kawasan perairan Malaysia sebagaimana yang didakwa.

Sejarah penglibatan ejen-ejen negara China di Kepulauan Spratly adalah bermula dan menjadikan mereka lebih proaktif adalah semenjak perlaksanaan United Nation Law of The Sea (UNCLOS 1982) yang membenarkan negara-negara pesisir untuk menuntut Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sehingga 200 batu notika dari titik pangkal wilayah masing-masing.  Perlaksanaan ini menyebabkan berlakunya perebutan wilayah dan mengakibatkan ketegangan di antara negara-negara yang menuntut.

Negara-negara yang terlibat dalam tuntutan ini ialah China, Filipina, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Malaysia. Isu tuntutan bertindih ini menjadi lebih rumit untuk di selesaikan di meja perundingan adalah kerana negara-negara penuntut membuat justifikasi yang berbeza dalam tuntutan mereka. China dan Vietnam telah menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai hak dan kedaulatan mereka manakala Malaysia, Brunei dan Taiwan hanya sebahagian yang tertentu sahaja  di kawasan tersebut. 

Sebagai negara kuasa besar selepas Amerika, China memerlukan pembangunan negaranya secara menyeluruh untuk wujud sebagai sebuah negara berkuasa besar di rantau ini. Jadi, tidak hairanlah jika pendekatan agresif Tentera Laut China beberapa dekad terakhir ini telah mencetuskan pertempuran dengan negara-negara menuntut terutamanya Philipina dan Vietnam. Meski pun semangat diplomatik China – Malaysia agak baik namun pendekatan China dalam isu Spratly ini agak sukar untuk diramal selama mana hubungan baik ini boleh bertahan dengan melihat provokasi-provokasi yang berupa pencerobohan di sekitar penempatan negara. Namun begitu dengan sikap Malaysia yang tidak mudah melatah untuk bertindak balas dengan menggunakan kuasa ketenteraan dalam isu-isu pencerobohan seperti ini telah memudahkan rundingan dua hala G to G ke arah penyelesaian yang lebih baik malah membantu dalam pertumbuhan ekonomi dua hala dengan pertukaran dagangan.

Setakat ini semua negara-negara yang menuntut telah menduduki satu atau lebih  pulau-pulau di persekitaran Spratly melainkan negara Brunei.  Malaysia sendiri berdasarkan justifikasi UNCLOS 1982 telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang mengandungi Pulau binaan Terumbu Layang-layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.  Semua penempatan ini merupakan ‘padang permainan’ anggota TLDM yang bermandi peluh dan darah dalam memastikan kedaulatan negara di persekitaran ini tidak dicerobohi oleh mana-mana anasir. 

Era awal pembinaan GSP meninggalkan kesan ‘trauma’ kepada anggota-anggota TLDM yang terlibat menjaga persekitaran GSP ini kerana telah menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang sangat getir.  Mereka bukan sahaja terdedah kepada cuaca semula jadi yang tidak menentu malah menerima ancaman-ancaman daripada ejen-ejen yang datang ‘mengintai’ penempatan mereka.  Dengan peralatan dan persenjataan yang serba kekurangan, mereka mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang.

-Setahun berlalu insiden berdarah pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata yang telah memperkenalkan diri mereka sebagai tentera Kesultanan Sulu menceroboh Kampong Tanduo  Felda Sahabat 17 Lahad Datu Sabah telah mengorbankan 10 orang perajurit negara.  Di awal kejadian yang berlaku tanpa dijangka ini, reaksi spontan masyarakat Malaysia tentunya memandang sinis keupayaan atau kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam membentengi Peraiaran Sabah pada masa itu sehinggakan dapat ditembusi dengan begitu mudah.  Itulah persepsi, yang terpacul tanpa usul periksa dan memahami plot-plot kejadian yang sebenar.

TLDM pada dasarnya sentiasa bersiaga sepanjang masa dengan menugaskan aset armada seadanya menunjukkan kehadiran patroli di kawasan-kawasan tertentu samada di Perairan Semenanjong maupun di Perairan Malaysia Timur meski pun negara berada dalam situasi aman.  Namun begitu, masyarakat harus faham dengan keluasan Perairan Sabah dan Sarawak serta Gugusan Semarang Peninjau (GSP) lebih kurang 130,000 km persegi tidak memungkinkan aset TLDM yang juga terhad bilangannya dapat memenuhi setiap inci ruang laut negara dalam satu masa. Perairan pantai Sabah sahaja sepanjang 1,603km dengan komposisi kepulauan sebanyak 397 buah pulau dengan bahagian selatannya bersempadan dengan Indonesia dan bahagian timurnya bersempadan dengan Filipina. 

Justeru tidak hairanlah jika aktiviti lintas sempadan masih membolosi perairan negara kerana musuh juga mempunyai muslihat dalam mengatur strategi mereka.
Adalah menjadi sangat tidak adil jika masyarakat terus mengadili yang TLDM tidak kompeten dalam menjaga kedaulatan perairan negara lantaran kemasukan penceroboh ‘Tentera Kesultanan Sulu’ dalam skala yang sangat kecil di celah-celah ruang laut yang sangat luas serta dalam suasana rakyat negara persempadanan Indonesia dan Filipina yang miskin telah menjadikan kawasan pesisir Sabah sebagai ‘negara kedua’ mereka dalam mencari perlindungan secara tradisi yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
Pengajaran dari insiden itu, TLDM juga terus bangkit melupakan segala ‘kekurangan’ dan meningkatkan kawalan kesiapsiagaan dalam melaksanakan operasi pemantauan di kawasan-kawasan berisiko bersama aset-aset maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain digembleng dalam operasi bersama di bawah skop penugasan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi menentukan Pantai Timur Sabah terus selamat dari sebarang ancaman.

ESSCOM yang telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri pada 7 Mac 2013 adalah bertujuan bagi memastikan pengawasan berterusan di sepanjang Pantai Timur Sabah iaitu sejauh 1400km merangkumi kawasan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau.  Dengan insiden-insiden sebegini membuatkan rakyat jelata sangat mendambakan suatu kenyakinan yang ketumbukan angkatan laut kita mampu memberi cabaran jika kedaulatan  perairan negara betul-betul di ceroboh.  Hakikatnya demi Malaysia yang berdaulat, sebagai rakyat bangsa Malaysia yang bermaruah tidak harus membiarkan  keselamatan tanah tumpah ini hanya di bahu Pasukan Keselamatan semata-mata untuk menjaganya. Pada dasarnya adalah menjadi tanggung jawab kita semua sebagai bangsa Malaysia yang merdeka dan bermaruah sama-sama menjaga perairan pertiwi atau seluruh tanahair.

Perkembangan terbaharu mengikut sumber, Nur Misuari telah mengumumkan penubuhan Republik Negara Mindanao dengan mendakwa keseluruhan Kepualauan Mindanao, Sabah dan Sarawak adalah di bawah wilayah mereka.  ATM sedang membuat pemerhatian secara dekat dalam perkembangan ini dan sebagai reaksi awal ATM merangka perluasan wilayah ESSCOM  dan meminta kerjasama syarikat-syarikat minyak dan gas supaya memberi kerjasama sewajarnya bersangkutan isu keselamatan kepada agensi-agensi keselamatan yang terlibat dan menggesa supaya menubuhkan Platun Askar Wataniah kepada pekerja-pekerja syarikat minyak dan gas.  Namun begitu perkara ini masih di tahap perbincangan di mana tiada perubahan  standard operation procedure (SOP) dalam pengoperasian wilayah ESSCOM setakat ini.

-Konfrontasi  Malaysia-Indonesia juga mencatat sejarah yang tidak mudah dilupakan oleh sesetengah generasi rakyat Malaysia.  Isu pertindihan tuntutan Ambang Batas Laut (AMBALAT) di laut Sulawesi belum lagi mencapai persefahaman yang konkrit untuk menidakkan pertelingkahan Malaysia-Indonesia tidak boleh meletus kepada skala yang lebih besar.

Kedua-dua negara penuntut masing-masing mempunyai asas yang yang kuat dan merasakan mereka berhak dan mengaku blok kawasan yang menjadi pertikaian itu adalah hak kedaulatan negara mereka.  Wujudnya pertindihan tuntutan ini adalah berdasarkan faktor-faktor geografi persempadangan kedua-dua negara  yang berkedudukan secara bertentangan dan juga bersebelahan di antara satu sama lain.  Ciri-ciri geografi yang terbentuk telah memberi tafsiran yang berbeza dalam melakar persempadanan maritim  dua negara ini tambahan lagi dengan adanya pemilikan entiti-entiti yang ada hubung kait dengan sejarah serta hal-hal yang istimewa yang terdapat di kawasan ini.

Sentimen yang di mainkan oleh rakyat Indonesia dalam isu ini sentiasa membara dan boleh menyemarakkan api persengketaan yang besar jika kematangan pemerintah kedua-dua negara gagal berfungsi dengan baik.
TLDM bersama beberapa agensi  penguatkuasa maritim sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam menghadapi provokasi demi provokasi yang dimainkan oleh rakyat Indonesia termasuk Tentera  Negara Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) serta agensi-agensi maritim mereka.  

Anggota TLDM sentiasa profesional, konsisten dan memberi tumpuan yang sangat serius semasa menjalankan operasi di kawasan ini supaya tidak terkeluar dari batas sempadan yang dihadkan sebagai hak kedaulatan negara dan tidak terpengaruh dengan provokasi pihak Indonesia dari mengambil tindakan terburu-buru semasa menangani apa saja isu yang tercetus demi menjaga hubungan diplomatik yang sangat intim antara kedua-dua pihak.  Sebagai pedoman asas, TLDM sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur Incidents At sea Agreement (INCSEA) yang telah ditandatangani oleh pihak TLDM dan TNI-AL sebagai garis panduan bersama semasa berurusan di kawasan ini.
Malaysia percaya, melalui hubungan baik antara kedua-kedua kerajaan sahaja yang mampu mengekang setiap isu yang berbangkit dari merebak menjadi perbalahan yang melibatkan ketenteraan yang lebih besar.

Keadaan Aset Dan Keperluan Penambahan  

Pada tahun 1988, TLDM mula mengoperasikan Unit Udaranya sendiri dengan menggunakan enam buah pesawat helikopter terpakai jenis WASP HAS MK I diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Armada.  Manakala persediaan juruterbang bermula dengan 13 orang pelatih yang menjalani latihan di Pusat Latihan Terbang 3 (PULATIBANG) TUDM yang berpangkalan di Kluang Johor.  Pentauliahan Unit udara ini kepada KD RAJAWALI pada 1990 dengan aset udaranya semata-mata pesawat terpakai WASP HAS MK I di namakan Skuadron (skn) 499 telah banyak memberi pengajaran berguna kepada Unit ini dalam menimba ilmu penerbangan. 
Pesawat ini memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang dalam konteks mendewasakan juruterbang dan anggota sokongan teknikalnya yang begitu komited mempelajari silibus yang serba baharu ini dengan dibantu oleh pegawai-pegawai dari Royal Navy sebagai permulaan. Namun begitu sepanjang tempoh ini navy people yang ‘dikatakan’ tidak begitu matang dalam bidang ini berjaya ‘menjinakkan’ pesawat lama ini tanpa berlaku kemalangan jiwa dan harta sekali gus menggambarkan bahawa TLDM  mampu mengendalikan perkara-perkara yang di anggap baharu dan asing dalam budaya mereka.

Hasilnya dalam tempoh yang tidak begitu lama, KD RAJAWALI berkembang pesat dan pada tahun 2000 KD RAJAWALI telah memperolihi enam buah pesawat baharu helikopter maritim bagi menamatkan perkhidmatan pesawat WASP yang sudah melewati tempoh yang sewajarnya untuk digunakan. 

-Pesawat helikopter Super Lynx 300 Mk 100 memasuki perkhidmatan di bawah label Skn 501.  Peranan utama Skn ini adalah bagi membantu aset-aset permukaan di dalam peperangan atas permukaan (ASuW), bawah permukaan (ASW), pengawasan sasaran melampaui  garis ufuk (OTHT), operasi khas PASKAL di samping melaksanakan tugas-tugas am dalam bentuk misi kemanusiaan seperti Bodevec, Medevec dan lain-lain.  
Pesawat ini juga boleh dipasang dengan sistem persenjataan peluru berpandu ASuW Sea Skua malah telah berjaya dalam perujian yang dilakukan baru-baru ini ke atas sasaran.  Pesawat ini juga mampu membawa persenjataan bagi ASW torpedo A244S dan tenggekan mesingun kaliber 50mm. Pesawat ini juga dikatakan pesawat organik kepada Skn frigate 2000 Jebat dan Lekiu tetapi hakikatnya selagi ada tapak pendaratan yang bersesuaian dengan saiznya, Super Lynx 300 Mk 100 sedia untuk diatur gerak.

-Skn 502 juga berpangkalan di KD RAJAWALI yang mengoperasikan 6 buah pesawat AS 555 Fennec sebagai pesawat latihan dan lain-lain peranan yang hampir sama dengan Super Lynx 300 Mk 100 meski pun pesawat ini tidak membawa persenjataan berat.  Namun begitu bagi pertahanan diri dan sokongan penembakan pesawat ini dipasang dengan tenggekkan mesingun MGKA berkaliber 7.62mm.

-Rakyat Malaysia umumnya menanti dengan penuh sabar ‘pengumuman’ kerajaan bagi menunaikan hasrat TLDM untuk memiliki 6 buah lagi  pesawat helikopter yang mempunyai spesifikasi lengkap sebagai  pesawat anti kapal selam.  Rakyat terbanyak menyokong penuh hasrat TLDM atas dasar menaruh kepercayaan penuh kepada TLDM dalam menjaga kedaulatan maritim negara.  Tanpa aset yang sepadan dengan kemampuan navy people, segala gerak ikhtiar yang dilakukan pastinya tidak mencapai sasaran secara maksima.

- Armada TLDM era 80an mempunyai lima buah platform yang berfungsi sebagai kapal pengangkutan kelas Landing Ship Tank (LST) iaitu  KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM dan KD BANGI sementara dua buah lagi ialah KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA dalam Kelas MPCSS yang dikira terbaik di rantau ini. Kemudian pada era 90an  KD SRI LANGKAWI, KD SRI RAJA JAROM, KD BANGI di lucutkan tauliah kerana terlalu usang dan sebuah lagi kapal bantuan terpakai di beli iaitu LST KD SRI INDERAPURA namun perkhidmatannya dengan TLDM tidak panjang setelah dilucut tauliah pada tahun 2009 kerana kerosakan teruk akibat kebakaran. ‘Pemergian’ KD SRI  INDERAPURA masih belum ada pengganti.

Tahun 2014, TLDM masih mengekalkan Flottila  Bantuan Armada khususnya bagi platfom pengangkutan dan pembekalan dengan hanya dua buah sahaja iaitu platform dalam kategori Kapal Pemerintah Pelbagai Fungsi dan Sokongan KD SRI INDERA SAKTI dan KD MAHAWANGSA.  KD SRI INDERA SAKTI telah dibina di Jerman oleh Firma Bremer Vukan pada tahun 1979 dan KD MAHAWANGSA telah dibina oleh firma Takoma Marine Industri Korea Selatan pada tahun 1979.  Kedua-dua kapal ini sudah berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya sudah menjangkau 30 tahun.  Pelbagai misi telah mereka laksanakan dalam dan luar negara dengan penuh cemerlang.  Namun begitu secara fitrahnya setiap sesuatu terutamanya kenderaan setelah digunakan lebih 30 tahun sudah dikira sangat uzur dan sudah tidak lagi boleh beraksi seghairah benda baharu.

Semasa LIMA’07 yang lalu rakyat pernah digambarkan bahawa LP-X DOKDO Amphibious Ship Republic of Korean Navy (ROKN) memenuhi kriteria asas untuk kegunaan TLDM berasaskan saiz, spesifikasi dan keupayaan kapal kelas tersebut namun sehingga ke saat ini belum lagi menjadi kenyataan.  Sedangkan keperluan kapal pengangkutan serbaguna ini sangat relevan dengan keperluan ATM masa kini yang sering mengaturgerakkan anggota amfibi di dalam melaksanakan misi-misi  taktikal peperangan. 

Dengan bentuk geografi Malaysia yang semua negeri-negerinya yang berpantai, aturgerak pasukan secara amfibi adalah suatu gerakan yang sangat praktikal dan tentunya penggunaan kapal yang bersesuaian dengan tugas ini adalah sangat penting.  Menggenapkan angka enam dalam Skn MPCSS  ini adalah satu kemestian di dalam armada TLDM yang merupakan keperluan sebenar TLDM bagi menjangkau keperluan pertahanan negara dalam pelbagai dimensi operasi di dalam misi-misi yang melibatkan ATM, pengangkutan awam dan misi-misi bantuan bencana dalam negara dan jiran-jiran serantau.

Kesimpulan

TLDM dan navy people adalah identiti yang jelas terbentuk dari suatu kesedaran yang tinggi dalam kalangan anak-anak Melayu semasa negara masih di bawah penjajahan Kolonial.  Berhadapan dengan tentera Indonesia semasa kancah konfrontasi yang menceroboh melalui sungai dan laut.

Rejang Area Security Command (RASCOM) juga telah menzahirkan pengorbanan TLDM memerangi anasir komunis di sepanjang Sungai Rejang, ke Kanowit, Kapit dan Binatang.

Menjalani Operasi Cabut bagi menghalang kemasukan pendatang haram Vietnam yang lari dari kancah peperangan negara mereka dari mendarat di pantai-pantai Malaysia.  Bila peperangan Vietnam tamat, Ops Cabut masih diteruskan dalam usaha membenteras kemasukan nelayan-nelayan asing ke kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber makanan laut. 

Laluan Selat Melaka di antara laluan tersibuk di dunia sebagai laluan perdaganagan antarabangsa  memerlukan pemantauan yang tinggi dari ancaman perlanunan di mana TLDM telah berjaya mengekang kegiatan tersebut dari berleluasa.

Navy people turut diberi mandat oleh ATM sebagai anggota pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), cemerlang dalam peperangan tidak simetri di Teluk Aden yang menjadi sanjungan dan mendapat  pengiktirafan antarabangsa. 

Menabur bakti di perbatasan GSP dan AMBALAT demi sebuah kedaulatan dengan mempertaruhkan nyawa tanpa gentar.  TLDM terus mara mencipta nama mempersiapkan armada dan sahsiah warganya seiring menongkah arus kemodenan bersama slogan keramat SEDIA BERKORBAN. PERAJURIT


-SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN KE 80-

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini