About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, January 28, 2010

PENAMAAN DAN PENTAULIAHAN KAPAL DIRAJA SULTAN BADLISHAH

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Jan 2010
Oleh Hamzah Hd.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menutup tirai sambutan Jubli Intan 75 tahun penubuhannya dengan menerima beberapa penambahan aset strategik ke dalam inventorinya. Di antaranya ialah aset kombat permukaan KD PERAK, aset kombat bawah permukaan KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan dalam suasana kehangatan LIMA ’09, satu lagi pangkalan hadapan pertahanan negara ditauliahkan.

Pangkalan strategik ini yang lokasinya berada di Pulau Langkawi yang berperanan sebagai pemantau kemasukan kapal-kapal ke perairan Selat Melaka yang merupakan Selat yang tersibuk di dunia di samping bertanggung jawab menjaga keutuhan serta intergriti perairan Barat Laut Semenanjong Malaysia.

Kewujudan Pangkalan ini secara tidak langsung boleh memanjangkan bantuan dan pertolongan atau usaha sama kepada agensi-agensi kerajaan yang lain yang berada di kawasan ini dalam konteks domestik seperti bantuan kepada mangsa-mangsa bencana seperti banjir dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang sekali gus membantu meringankan beban supaya dapat bertugas dengan lebih baik dan berkesan.

Kehadiran sebahagian daripada anggota TLDM dan armadanya di sekitar perairan Langkawi ini dijangka sedikit sebanyak akan menjadikan perairan Langkawi lebih terjamin dari ancaman kegiatan penyeludupan, pelanunan yang memberi ruang kepada peningkatan sosio ekonomi penduduk dan seterusnya membawa kepada kemakmuran kepada negeri Kedah amnya.

SEJARAH KD SULTAN BADLISHAH

Pangkalan yang dimaksudkan ialah Pangkalan TLDM Langkawi yang terletak di kawasan Bukit Malut, mula beroperasi pada 1 okt 2007. Mengambil sempena nama KD SRI LANGKAWI iaitu sebuah kapal TLDM jenis Landing Ship Tank (LST) yang telah dilucutkan tauliah pada tahun 80an. Berperanan sebagai garrison dimana segala pengurusan pentadbiran pangkalan telah diletakkan di bawah unit ini.

Mengambil kira sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah kepada TLDM dengan meluluskan pembinaan pangkalan TLDM di Langkawi dan penghormatan yang tidak berbelah bagi kepada institusi Diraja khasnya Kesultannan Negeri Kedah Darul Aman, maka pucuk pimpinan TLDM telah mengambil keputusan untuk menukarkan nama KD SRI LANGKAWI kepada KD SULTAN BADLISHAH.

Pada 2 Dis 2009 bersamaan 15 Zulhijjah 1403H Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman telah berkenan bercemar Duli menyempurnakan acara Penamaan dan Pentauliahan KD SULTAN BADLISHAH (KDSB).
Penamaan KDSB dengan nama ini sangat bersesuaian dengan jasa bakti yang dicurahkan oleh Al-Marhum kepada negara.

Fungsi utama KDSB ialah sebagai unit pelaksana pentadbiran Pangkalan TLDM Langkawi. Terdapat tiga cawangan utama di dalam unit ini iaitu:

1. Cawangan Tadbir Pangkalan. Melaksanakan peranan yang merangkumi pengurusan rekod, khidmat dan kawalan anggota, keselamatan pangkalan dan tadbir awam.

2. Cawangan Bantuan. Melaksanakan peranan bantuan yang merangkumi pengurusan kewangan unit, senggaraan prasarana, khidmat kenderaan dan pengurusan wisma.

3. Cawangan Perubatan. Memberi bantuan perubatan dan kesihatan kepada warga TLDM khususnya dan pihak awam yang berkhidmat di pangkalan TLDM Langkawi.

Pangkalan ini juga mempunyai sebuah dermaga yang mana akan menempatkan kapal-kapal yang bernaung di bawah Markas Wilayah Laut 3 di samping sebagai persinggahan kapal-kapal TLDM lain yang beroperasi di kawasan ini untuk ulang bekal dan juga senggaraan kecemasan.

Komander Hj Jailani bin Adnan TLDM telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah yang pertama KDSB selepas pentauliahan ini.

RIWAYAT HIDUP AL-MARHUM KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN BADLISHAH


Al-Marhum Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Badlishah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah diputerakan pada 10 Mac 1894. Baginda merupakan Sultan Kedah yang ke 29. Baginda merupakan seorang Sultan yang telah memerintah Negeri Kedah dengan adil dan bijaksana.

Darah keperwiraan dan cintakan bangsa yang ada dalam diri baginda adalah tinggi. Ini dapat ditunjukan sebaik sahaja menaiki tahta, baginda telah menggantikan semua pegawai daerah bangsa Eropah dengan orang Melayu.

Di samping menentukan pentadbiran Negeri Kedah Darul Aman ditadbir secara mutlak oleh anak tempatan, baginda telah meminda Perlembagaan Negeri Kedah dalam tahun 1948 yang secara langsung telah menghapuskan jawatan Penasihat British.

Dengan semangat patriotisme yang tinggi, baginda turut sama menentang penubuhan Malayan Union yang diusahakan oleh penjajah British pada ketika itu dan mendapat tentangan hebat oleh orang-orang Melayu. Di bawah pemerintahan baginda, Negeri Kedah telah mencapai pembangunan yang pesat dalam pelbagai bidang.

Semasa berlangsungnya Persidangan UMNO di Pulau Pinang, baginda telah diberi penghormatann untuk merasmikan persidangan tersebut dan mengibarkan bendera UMNO buat pertama kalinya. Peristiwa ini merupakan simbolik perjuangan orang-orang Melayu untuk pembebasan tanah air dari dibelenggu oleh penjajah Inggeris sejak tahun 1786 iaitu semasa Kepten Francis Light mengibarkan bendera Inggeris di Pulau Pinang yakni salah sebuah pulau yang pada asalnya milik negeri kedah.

Semangat patriotik yang sangat mendalam dalam diri baginda akhirnya telah menamatkan pengaruh Inggeris terutamanya dibumi Kedah. Baginda telah mangkat pada 13 Julai 1958.

Sempena pengabdian nama Al-Marhum Tuanku Badlishah kepada pasukan ini akan mewarisi dan mencontohi semangat dan perjuangan baginda kepada setiap lapisan navy peoples di dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Keterangan PELAKA KD SULTAN BADLISHAH

1. Lambang Bulan Sabit dan Bintang serta Tulisan Allah dan Muhammad Pada Mahkota. Menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi. Penerapan nilai-nilai Islam diutamakan di kalangan warga unit ini khasnya dan TLDm amnya semasa melaksanakan tugas.

2. Mahkota Berwarna Kuning. Memartabatkan institusi diraja sebagai lambang kedaulatan Negara, di mana DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera.

3. Tulisan SULTAN BADLISHAH. Merupakan nama unit iaitu KD SULTAN BADLISHAH.

4. Tali Bersimpul. Perpaduan dalam kalangan warga unit untuk merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan.

5. Tengkolok. Merupakan Lambang Rasmi Kesultanan Negeri Kedah.

6. Sauh. Menggambarkan salah satu unit di dalam TLDM.

7. Bunga Padi. Merupakan lambang utama bagi Negeri Kedah yang juga dikenali sebagai Jelapang Padi Negara.

8. Warna Hijau. Negeri yang aman dan salah satu warna pilihan Negeri Kedah.

9. Bunga Raya. Bunga Rasmi Malaysia.

10. Tulisan SEDIA BERKORBAN. Slogan TLDM yang sentiasa menurut arahan demi kepentingan dan kedaulatan Negara.

Natijah kepada kewujudan Pangkalan TLDM Langkawi umumnya dan KDSB khasnya bakal mengukuhkan benteng pertahanan maritim negara di samping menjalin perkongsian dinamik dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain serta masyarakat di wilayah permata negeri Kedah ini ke arah persefahaman keselamatan maritim secara menyeluruh dan konsisten dalam menangani bersama segala bentuk pencerobohan yang boleh menggugat maruah dan kedaulatan serta pertumbuhan ekonomi negara.
PERAJURIT

Wednesday, January 27, 2010

KD Seri Inderapura dilucut tauliah

Sumber: Utusan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
Gambar Roy Azis Abd. Aziz

MAJLIS Istiadat Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Seri Inderapura pada 21 Januari 2010 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak merupakan hari yang tidak boleh dilupakan oleh semua warga pasukan keselamatan itu.

Pada hari tersebut, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menitiskan air mata kerana amat terasa dengan 'kehilangan' kapal yang berfungsi sebagai kapal pemerintah dan logistik itu.

Masakan tidak, KD Seri Inderapura merupakan kapal kebanggaan TLDM kerana ia kapal terbesar pernah dimiliki pasukan tersebut dan telah banyak mengharumkan nama TLDM dan negara selama 14 tahun 11 bulan dan 21 hari tempoh perkhidmatannya.

Apatah lagi, mengenangkan saat-saat KD Seri Inderapura masih mempertahankan 'kemegahannya' ketika terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober 2009.

"Di sebalik insiden kebakaran terdapat satu peristiwa menarik perhatian kerana gada-gada tauliah serta gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD Sri Inderapura tidak terbakar dan boleh dilihat jelas melalui celahan kepulan asap dan api yang marak menjulang.

"Apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah kapal itu mahu menunjukkan 'kebanggaannya' sebagai sebuah KD dan peristiwa ini amat pelik kerana gada-gada itu tidak terjatuh semasa kapal terbakar," kata Abdul Aziz selepas istiadat pelucutan tauliah KD Seri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, kapal tersebut diberikan penghormatan terakhir selepas mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM.

Majlis tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat dengan kehadiran hampir semua bekas pegawai memerintah KD Seri Inderapura yang merasa bangga kerana pernah bertugas di kapal tersebut.

Menurut Abdul Aziz, 'kehilangan' KD Seri Inderapura sangat dirasai oleh semua warga TLDM kerana kapal itu adalah kebanggaan TLDM selama ini dan tanpanya, operasi armada laut negara terjejas.

Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.

Kapal tersebut pernah membawa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan serta pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera mengelilingi dunia.

Kapal itu juga terlibat dalam menghantar bantuan kemanusiaan di Aceh dan Timor Leste. Paling diingati, kapal tersebut menyertai operasi menyelamat tebusan dan mengiringi kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di Teluk Aden pada 2008.

Sebelum dibeli oleh kerajaan Malaysia pada harga RM48 juta, KD Seri Inderapura yang dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970 berkhidmat dengan Tentera Laut AS dan dikenali sebagai USS Spartanburg County, bermula 1 September 1971 hingga Disember 1994.

Dalam tempoh 26 tahun itu, banyak tugasan telah dilaksanakan oleh kapal tersebut termasuk misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Operasi Doria Salute IV 1974 serta ekspedisi kemanusiaan tentera AS ke Lubnan dan Kuwait.

KD Seri Inderapura pernah terbakar semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 16 Disember 2002 tetapi kembali beroperasi selepas dibaik pulih tetapi tragedi menyayat hati pada 8 Oktober lepas memusnahkan kapal tersebut.

Sebagai sebuah kapal yang disanjung ramai warga TLDM, ramai mencadangkan supaya bangkai kapal tersebut 'disemadikan' dan dijadikan tukun di lokasi kapal itu tersadai sekarang.

Namun, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana besi-besi keluli pada kapal itu boleh menjejaskan ekologi hidupan di laut dan jalan terbaik ialah dengan melupuskan bangkai kapal tersebut.

Bagaimanapun, beberapa barang pada KD Seri Inderapura seperti gada-gada tauliah, gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM yang terselamat dalam kebakaran itu akan disimpan sebagai bahan sejarah.

Walaupun KD Seri Inderapura kini hanya tinggal nama, segala jasa dan sumbangan KD Seri Inderapura akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah kapal yang banyak mengharumkan pasukan tentera negara.

Peranan wanita dalam TLDM

Sumber: Utusan
OLEH AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

BIASANYA pasukan keselamatan sesebuah negara akan didominasi oleh kaum lelaki. Namun fungsi anggota wanita tidak dinafikan kerana mereka sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi sesuatu perkhidmatan ketenteraan dan itulah yang berlaku dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).



Dalam TLDM sendiri, peranan anggota wanita dianggap sama penting dengan anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan.

Pada masa ini, terdapat tujuh pegawai wanita berpangkat Komander di TLDM dan kebanyakan mereka menduduki jawatan-jawatan tertinggi di pusat latihan dan pentadbiran.

Antaranya ialah Pegawai Laksamana Pusat Kepimpinan TLDM dan Pengarah Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, terdapat empat pegawai wanita bertugas di kapal iaitu masing-masing dua orang di kapal KD Pahang dan KD Perak.

Ketika ini terdapat 1,104 anggota wanita di TLDM dengan sebanyak 90 peratus daripadanya bertugas di pangkalan-pangkalan TLDM seluruh negara.

Melihat pada trend pertambahan anggota wanita dalam perkhidmatan tersebut, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 bagi menguruskan kerjaya serta kebajikan anggota wanita.

Walaupun Sel Wanita dalam TLDM masih baru berbanding formasi lain dalam ATM, Sel Wanita TLDM begitu aktif dan sudah mencapai banyak kejayaan dengan membuat pelbagai pembaharuan dalam tempoh singkat.

Menurut Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Ehwal Wanita TLDM, Komander Noraida Zulkifli yang mengetuai Sel Wanita TLDM, antara kejayaan yang telah dicapai ialah meningkatkan kuota pengambilan anggota wanita dari empat peratus kepada lapan peratus mulai tahun ini.

"Kita sudah cuba mendapatkan kelulusan pihak atasan supaya peratus kuota pengambilan anggota wanita dalam TLDM ditingkatkan sejak tahun lalu lagi dan Alhamdulillah, pada tahun ini ia sudah dinaikkan sekali ganda," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, kata Noraida, Sel Wanita TLDM juga berjaya mendapatkan kelulusan pemimpin tertinggi supaya uniform mengandung, tudung serta kasut kawad anggota wanita diubahsuai.

Katanya, uniform mengandung dan tudung sudah digunakan sekarang manakala kasut kawad yang sesuai serta berkualiti akan digunakan tidak lama lagi.

"Bahkan perjawatan wanita di atas kapal sudah diperluaskan walaupun terdapat kekangan daripada segi budaya dan agama.

"Sebagai contoh, tirai plastik bilik air dalam bilik di kapal KD Pahang sudah diubah suai menjadi pintu untuk kemudahan anggota wanita dan ini dapat mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Noraida berkata, anggota wanita TDLM mampu melakukan apa yang lelaki boleh lakukan tetapi ia harus berlandaskan agama serta budaya.

"Pada tahun ini, kita mahu lebih ramai anggota wanita ditempatkan di dalam kapal terutamanya dalam bidang komunikasi serta bekalan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar di barisan hadapan sama seperti anggota lelaki," ujar beliau.

Bagi memastikan anggota wanita tahu hala tuju TLDM serta peranan mereka, Sel Wanita TLDM turut mengadakan pelbagai kursus dan aktiviti termasuk Kem Wanita buat julung kalinya yang dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada 15 Januari lalu.

Kem tersebut yang berlangsung dari 15 Januari hingga 17 Januari lalu, menghimpunkan seramai 320 anggota serta pegawai wanita pelbagai pangkat daripada semua formasi TLDM dari seluruh negara.

Kem itu juga adalah yang pertama menghimpunkan pegawai serta anggota lain lain pangkat (LLP) dalam satu program dengan tujuan untuk merapatkan hubungan antara mereka.

"Seperti yang kita tahu, dalam perkhidmatan beruniform, terdapat jurang antara pegawai dan anggota kerana protokol yang perlu dipatuhi.

"Dengan adanya kem ini, mereka dapat menjalinkan hubungan serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat," kata Noraida.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti daripada ceramah gangguan seksual, undang-undang, pembangunan kerjaya serta senamrobik dan sukan dimuatkan pada program itu supaya anggota wanita mengetahui mereka turut memainkan peranan besar dalam TLDM.

"Kita tidak mahu kekangan agama dijadikan alasan dan kita mahu mereka tahu bahawa mereka turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dalam TLDM,'' ujarnya.

Tuesday, January 26, 2010

Pendekar PT-91M: Igauan kepada musuh negara

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

PEMBELIAN 48 buah kereta kebal utama (MBT) PT-91M berserta sembilan kenderaan sokongan lain dari Poland pada 2003 telah mengubah landskap pertahanan negara khususnya bagi tentera darat.


Perolehan aset tersebut turut memberi penggandaan kuasa dan meningkatkan kuasa tembak yang belum pernah dirasai oleh Kor Armor Diraja sebelum ini.

Kereta kebal itu seterusnya dinamakan Pendekar, sesuai dengan peranannya sebagai mata dan hujung tombak ketumbukan tentera darat sama ada ketika melakukan operasi ofensif mahu pun semasa bertahan.

Penggandaan kuasa itu lahir kerana Pendekar mempunyai kemampuan mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan armor yang sesuai dengan persekitaran muka bumi negara.

Paling menggerunkan, kuasa tembak daripada meriam Smoothbore 2A46MS berkaliber 125 milimeter buatan Slovakia dengan peningkatan ketepatan tembakan sehingga 23 peratus berbanding meriam asal. Ia mampu memusnahkan semua jenis kereta kebal yang ada di dunia pada hari ini sehingga jarak lima kilometer.

Kemampuan itu sudah pasti menjadi igauan ngeri kepada pihak yang berniat untuk mengganggu-gugat kedaulatan negara. Apatah lagi, sistem kawalan tembakan PT-91M menggunakan teknologi Savan 15 FCS ciptaan Perancis yang turut dipakai oleh kereta kebal moden mereka, AMX-56 Leclerc.

Gabungan teknologi Slovakia dan Perancis itu membolehkan meriam utama Pendekar memuntahkan sehingga 10 tembakan seminit bagi semua jenis peluru sama ada APFSDS, HEAT dan HE tanpa sebarang masalah - tidak kira ketika sedang bergerak laju atau dalam keadaan pegun.

Kegagahan PT-91M bukan hanya terletak pada meriam utamanya tetapi turut disokong dengan sistem navigasi SIGMA 30 dan blok armor reaktif ERAWA-2 pada bahagian hadapan, bumbung dan sisi hadapan. Ia bertujuan mengurangkan impak hentaman daripada sistem peluru berpandu anti-armor dan juga perobek armor.

Bagi tujuan meningkatkan daya pengesanan terhadap ancaman peluru musuh pula, Pendekar dilengkapkan dengan sistem penderia pancaran laser dan ia diintegrasikan pula dengan sistem grened asap.

Sebelum perolehan PT-91M dibuat, tentera darat bergantung sepenuhnya pada kereta kebal ringan Scorpion yang dipasang dengan meriam Cockerill 90 milimeter dalam melatih dan merangka doktrin peperangan kereta kebal yang sesuai.

Walaupun digelar sebuah kereta kebal ringan, prestasi mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan Scorpion jauh ketinggalan berbanding Pendekar PT-91M.

Kini semua Pendekar PT-91M sudah diterima oleh Rejimen 11, Kor Armor Diraja yang berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Sejarah pengoperasian kereta kebal

British dianggap sebagai negara pertama yang mencipta dan menggunakan kereta kebal iaitu pada Perang Dunia Pertama. Tetapi pada era tersebut, kereta kebal tidak mempunyai turet. Konsep turet buat pertama kali diperkenalkan oleh Perancis melalui kereta kebal jenis FT-17 pada tahun 1917.

Penggunaan kereta kebal pada masa itu hanya terhad bagi tujuan merempuh halangan seperti kawad berduri dan sistem perparitan bagi membuka jalan kepada pasukan infantri untuk menyerang dan menguasai pertahanan musuh.

Bagaimanapun, doktrin dan taktik penggunaan kereta kebal di medan tempur moden mula diperkenalkan oleh Jerman melalui taktik blitzkrieg (serangan kilat). Taktik ini menyaksikan Jerman mengoperasikan ketumbukan kereta kebal secara bersepadu dengan unit artileri dan infantri bagi membolosi sistem pertahanan musuh.

Taktik serangan itu ternyata berjaya menghalang bekalan logistik, memutus sistem komunikasi menyebabkan sistem arahan dan kawalan berada dalam keadaan kucar kacir.

Pada era pasca Perang Dunia Kedua dan perang dingin pula menyaksikan teknologi pembuatan kereta kebal, sistem persenjataan terus berkembang.

Ketika itu ia lebih tertumpu terhadap usaha mempertingkatkan sistem sedia ada termasuklah daripada segi penjanaan kuasa, jenis dan kaliber meriam utama serta pelbagai jenis penderia elektro-optik bagi membolehkan ia beroperasi siang dan malam.

Sementara itu, dalam konteks Malaysia, penggunaan kereta kebal di negara ini bermula pada 1957 ketika Jepun melancarkan kemaraan untuk menakluk Malaya. Ketika itu ramai pemikir ketenteraan berpendapat kereta kebal tidak sesuai diatur gerak di negara ini memandangkan keadaan tanah yang lembut.

Walaupun kurang mendapat liputan, pengoperasi kereta kebal di negara ini mempunyai signifikan tersendiri kerana setiap kemaraan tentera Jepun, didahului oleh unit kereta kebal mereka terlebih dahulu bagi mengasak pertahanan British.

PT-91M evolusi T-72

Sebenarnya pada peringkat awal perolehan Pendekar, ramai pemerhati ketenteraan termasuk bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempertikaikan keputusan kerajaan. Mereka menyifatkan PT-91M yang merupakan kesinambungan kereta kebal T-72 yang mudah 'diratah' oleh kereta kebal moden lain.

Pandangan-pandangan serong itu dibuat dengan mengambil contoh Perang Teluk 1991, Operasi Desert Storm serta Perang Chechen-Rusia yang menyaksikan ratusan kereta kebal T-72 menjadi mangsa tembakan daripada MBT seperti M1A1 Abrams dan Challenger 2 selain peluru anti kereta kebal dan RPG-7.

Namun, menggunakan persekitaran perang di Iraq dan Chechen bagi membandingkan kemampuan PT-91M dan T-72, ia adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan persekitaran dan bentuk muka bumi negara berbeza dengan negara tersebut.

Di Iraq, Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mudah meratah unit armor Saddam Hussien kerana mereka telah menguasai sepenuhnya ruang udara Iraq dan ditambah lagi dengan versi T-72 yang dikeluarkan secara berlesen dengan nama Asad Babil tidak secanggih T-72 asal.

Manakala di Chechen pula, kemusnahan yang menimpa unit armor Rusia adalah disebabkan kesilapan taktik ekoran sikap terlalu yakin sehingga komander Rusia mengarahkan serbuan dibuat di kawasan perbandaran tanpa perlindungan daripada unit udara.

Akibatnya berpuluh-puluh kereta kebal dan perisai Rusia musnah dalam masa sehari selepas diserang hendap oleh pejuang Chechen dengan menggunakan senjata utama RPG-7.

Bagaimanapun bagi tentera darat, perolehan kereta kebal dibuat setelah kajian teliti dilakukan daripada pelbagai aspek. Salah satu aspek kritikal yang diberi perhatian ialah bentuk muka bumi negara yang diliputi oleh pokok, baik yang diusahakan sebagai ladang komersial mahupun hutan semula jadi.

Bagi kawasan yang mempunyai banyak hutan, pokok dan belukar seperti di negara ini, penggunaan kereta kebal juga tertakluk pada persekitaran muka buminya. Aplikasi penggunaan kereta kebal secara besar-besaran seperti yang dilakukan AS semasa menakluk Iraq tidak dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya di negara ini.

Malah Pendekar yang diperoleh tentera darat berbeza dengan versi asal PT-91A milik Poland kerana ia telah melalui transformasi intensif sehingga menjadikan ia setanding dengan kereta kebal 2A4 Leopard yang dimiliki oleh Singapura.

Doktrin dan taktik paling optimum bagi tentera darat

Perang Iraq, Chechen dan Lebanon merupakan pengajaran terpenting bagi tentera darat dalam menggubal doktrin yang berbentuk cairan atau fleksibel agar ia memberi kelebihan secara optimum kepada PT-91M sekiranya tercetus perang dengan negara luar.

Bagi tujuan itu, fokus tentera darat kini tertumpu pada usaha menggemblengkan pelbagai aset dan platform yang telah diperoleh agar ia dapat disepadukan menjadi satu angkatan yang berkemampuan dalam usahanya mempertahankan kedaulatan negara.

Hasrat itu lebih mudah apabila tentera darat kini telah mempunyai Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengoperasikan pesawat Agusta LUH-109 bagi tujuan peninjauan dan penyerang ringan.

Ia penting bagi memberi pendedahan awal kepada PUTD mengenai operasi bersama unit armor sebagai satu ketumbukan, sementara menanti perolehan helikopter penyerang yang sejati.

Kesepaduan antara unit armor dan pasukan sokongan udara penting bagi memberi perlindungan kepada pasukan kereta kebal daripada ancaman MBT, pasukan artileri dan anti armor musuh.

Pada masa yang sama juga, Kor Armor Diraja akan sentiasa seiringan dengan pasukan mekanise dan infantri dalam setiap operasi yang dilancarkan bagi memberi elemen sokongan kepada pasukan MBT.

Saturday, January 23, 2010

Ganti kereta perisai baru operasi di Lebanon ditangguh

Sumber: Utusan

SUBANG 21 Jan. - Penggantian kereta perisai Condor bagi menyokong misi pengaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lebanon tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana kekangan bajet.

Panglima ATM, Tan Sri Azizan Ariffin berkata, hasrat melengkapkan pasukan pengaman negara dengan kereta perisai moden terpaksa ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan untuk berbuat demikian.

"Kita memang telah mengkaji beberapa jenis kereta perisai moden untuk operasi di Lebanon, tetapi, buat masa ini, pasukan pengaman negara akan terus mengoperasikan Condor,'' katanya selepas menyempurnakan majlis penghantaran kumpulan pertama Malcon East 5 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan ke Lebanon menyatakan komitmen kerajaan untuk membeli kereta perisai baru bagi menggantikan Condor serta Sibmas.

Katanya, pembelian kereta perisai baru itu akan dimasukkan dalam bajet kecemasan, sama seperti apabila kerajaan membeli 111 buah kereta perisai jenis K-200 KIFV dari Korea Selatan untuk tentera yang berkhidmat di Bosnia Herzegovina sebelum ini.

Mengulas hal yang berkaitan, Azizan memberitahu, buat masa ini tiada sebarang bajet atau pelan kecemasan diwujudkan walaupun beliau mengakui Condor kurang sesuai untuk berdepan dengan muka bumi dan persekitaran konflik di Lebanon.

Mengenai pasukan Malcon East 5, beliau berkata, ia satu penghormatan besar kepada profesionalisme ATM dan negara secara keseluruhannya.

"Penghantaran pasukan baru 100 anggota yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Subari Tomo ini membuktikan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya kepada keupayaan dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh tentera kita," katanya lagi.

Radar ATM di pantai Johor

Sumber:utusan
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
utusanjohor@utusan.com.my



JOHOR BAHRU 21 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan stesen asas radar di sepanjang pantai negeri ini bagi meningkatkan pengawasan penyeludupan secara haram.

Panglima 7 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Abu Musa A. Rahman berkata, pada masa ini pihaknya telah menjalankan proses uji nilai ke atas stesen itu dan penempatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah penempatan stesen asas radar yang akan terlibat kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

“Penempatan stesen itu akan membolehkan pengawasan perairan menjadi lebih berkesan kerana ia boleh mengesan bot-bot sebaik sahaja berlepas dari negara jiran menuju ke negara ini.

“Keberkesanan dan keperluan penempatan stesen telah terbukti efektif menerusi Ops Pasir yang dijalankan di Sabah dalam mengawasi perairan di sana,” katanya pada sidang akhbar selepas perbarisan ulang tahun ke-39 Briged 7 di Kem Majidee di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri lima kontijen dari seluruh negeri yang melibatkan seramai 21 pegawai dan 210 anggota pelbagai pangkat.

Mengulas lanjut, Abu Musa berkata, ATM kini berdepan cabaran besar menyelesaikan tiga ancaman utama di negeri ini membabitkan soal keselamatan negara.

Beliau berkata, masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dijangka terus berlaku berikutan kedudukan Johor yang hampir dengan negara jiran selain perbezaan taraf ekonomi.

Katanya, ancaman seterusnya melibatkan penyeludupan keluar masuk barangan seperti rokok dan terbaru, haiwan eksotik.

“Ancaman ketiga adalah penyeludupan manusia terutamanya dari Sri Lanka dan Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah sebelum mereka transit ke negara ketiga.

“Namun semua ancaman itu terkawal berikutan tertubuhnya Jawatankuasa Keselamatan Negeri dan masyarakat tidak perlu berasa bimbang dengan tahap keselamatan di negeri ini,” katanya.

Beliau menyeru rakyat agar bekerjasama dengan anggota keselamatan dengan menyalurkan maklumat bagi memerangi ancaman penyeludupan di negara ini.

CO kapal terbakar dihadap ke mahkamah tentera

Sumber: Utusan
LUMUT 21 Jan. - Bekas Pegawai Pemerintah (CO) kapal KD Seri Inderapura milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbakar pada 8 Oktober lalu di sini akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di pangkalan TLDM Lumut Isnin ini.


Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, seorang pegawai pemerintah perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku ke atas kapalnya termasuk menentukan aset hak milik negara berada di dalam keadaan selamat.

Kata beliau, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan sehingga 'kehilangan' kapal itu kerana ia menunjukkan wujud banyak kelemahan.

"Sebagai contoh, kemalangan jalan raya boleh berlaku tetapi kita tidak boleh terima apabila melibatkan kehilangan nyawa kerana ia menunjukkan banyak aspek sudah melampaui batasan.

"Sama juga dengan kemalangan kapal ini, ia menunjukkan anggota kurang terlatih, sistem tidak beroperasi dengan baik atau anggota tidak menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Pelucutan Tauliah KD Seri Inderapura dan kapal tunda KTD Sotong di pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

KD Seri Inderapura yang ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, terpaksa dilucutkan tauliah selepas rosak teruk dalam kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober 2009, dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Sepanjang khidmatnya selama 14 tahun, kapal pendarat terbesar milik TLDM itu telah mengharumkan nama negara dengan terlibat dalam pelbagai misi dan operasi luar negara termasuk menyelamatkan tebusan lanun di perairan Somalia.

Kapal dengan nama asalnya USS Spartanburg County itu dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970.

Ia kemudian diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 16 Disember 1994 selepas dilucutkan tauliah dalam perkhidmatan Tentera Laut AS.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, pihaknya telah meneliti laporan lembaga siasatan kebakaran KD Seri Inderapura dan telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi kelemahan yang mungkin wujud.

"Saya akui ada beberapa kelemahan dan ia telah diberi penumpuan kerana kita sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan aset negara," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan KD Seri Inderapura dan KTD Sotong, beliau berkata, dua kapal tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk dilupuskan.

"Ada cadangan supaya KD Seri Inderapura dijadikan tukun tetapi ini akan menjejaskan ekologi laut dan oleh itu, kita akan melupuskannya.

"Bagaimanapun, kita akan ambil barang bernilai sejarah pada kapal ini untuk disimpan sebagai artifak seperti papan nama kapal yang terbakar," katanya.

Wednesday, January 20, 2010

Giliran ME 5 harungi cabaran di Lebanon

Sumber : Utusan
Oleh YUSRI SAHAT



MALAYSIA terus diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila satu lagi pasukan Malcon East digerakkan untuk menyertai misi pengaman di Lebanon pada hujung bulan ini.

Pasukan yang dikenali sebagai Malcon East 5 (ME 5) itu melibatkan seramai 300 anggota termasuk 35 pegawai yang bernaung di bawah panji-panji Pasukan Sementara PBB (Unifil) berlepas ke Lebanon secara dua peringkat bermula minggu lalu dan 27 Januari ini.

ME 5 yang diketuai Komandernya, Leftenan Kolonel Subari Tomo dengan timbalannya, Leftenan Adnan Abu Hassan akan ditempatkan di Kaoukaba, Lebanon pada misi tersebut.

Sejarah penubuhan ME 5 terpateri apabila Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang dan pemakaian beret PBB kepada anggota pasukan itu di Rejimen 1 Kor Armor Diraja, Kuantan, Pahang pada 12 Januari lalu.

Turut hadir menyaksikan hari bersejarah itu ialah Panglima Angkatan Bersama, Datuk Allatif Mohd. Noor dan Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Wira Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Penubuhan ME bermula apabila PBB mempelawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai misi Unifil bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan pada 11 Ogos 2006.

Atas pelawaan itu, Malaysia bersetuju menghantar kontinjen dengan komposisi kekuatan seramai 360 anggota dan peralatan logistik pada Januari 2007 dengan pasukan dikenali ME 1 yang diketuai Komandernya, Kolonel Mohd. Dalip Basir (kini Brigedier Jeneral Datuk).

ATM mempunyai dua kontinjen yang sedang berkhidmat di bawah Unifil iaitu ME yang berkhidmat di Kaoukaba dan Malcon West di At Tiri di selatan Lebanon.

Dengan pertambahan kekuatan anggota daripada 300 kepada 400 orang, Malcon West dinaiktaraf kepada Batalion Malaysia atau Malbatt.

Malbatt 1 dijangka menamatkan misi pada April 2010 dan bakal digantikan dengan Malbatt 2.

Berdasarkan pada pengalaman pasukan ME 1 hingga 4, ME 5 dilihat lebih bersiap sedia apabila pasukan tersebut berjaya menamatkan Ujian Kecergasan Jasmani dan Latihan Bersepadu (FIT) selain persediaan logistik dengan jayanya di Kuantan baru-baru ini.

Latihan FIT bertujuan memastikan ME 5 memenuhi beberapa kriteria iaitu:

lTerlatih dan dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup untuk melaksanakan mandat PBB.

lBerupaya melaksanakan pengawasan dan tinjauan.

lBerupaya menguruskan keupayaan logistik sendiri.

lBerupaya beroperasi bersendirian di kawasan yang dipertanggungjawabkan.

lBersedia berada di kawasan misi untuk sekurang-kurangnya selama sembilan bulan.

Keberangkatan ME 5 ke Lebanon dilakukan dalam dua kumpulan iaitu yang pertama melibatkan 100 anggota termasuk 24 pegawai yang berlepas minggu lalu.

Kumpulan kedua atau induk membabitkan 200 anggota termasuk 11 pegawai yang akan berlepas pada 27 Januari ini.

Secara pecahannya, keanggotaan ME 5 terdiri daripada 28 pegawai dan 192 anggota lain-lain pangkat TDM, tiga pegawai dan 37 anggota TLDM dan empat pegawai serta 36 anggota TUDM termasuk seorang wanita.

Berbanding pegawai dan anggota lelaki yang bertugas selama sembilan bulan, pegawai dan anggota wanita pula hanya ditugaskan selama empat bulan setengah.

Kumpulan wanita pertama yang berlepas esok diketuai oleh Kapten Farah Wahida Ahmad manakala Leftenan Siti Norhajar Megat Ahmad Roslan daripada TLDM mengetuai kumpulan kedua yang bertolak pada 27 Januari ini.

Sepanjang berada di Lebanon, ME 5 yang merupakan kompeni di bawah Batalion Sepanyol akan terlibat dalam operasi keselamatan dan kestabilan yang menyumbang kepada pelaksanaan Resolusi 1701.

ME 5 akan melaksanakan rondaan dan pemeriksaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) selain membantu Angkatan Bersenjata Lebanon (LAF) mengambil tindakan ke atas anasir bersenjata yang menjalankan aktiviti pengangkutan dan pergerakan senjata haram.

Di atas arahan komander pasukan melalui Batalion Sepanyol, ME 5 akan membantu LAF memberikan perlindungan keselamatan kepada pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan dan organisasi lain yang beroperasi di kawasan KTJ.

ME 5 juga bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas perlindungan dan bertindak balas terhadap tindakan ganas ke atas anggota misi pengaman PBB.

Zulkifeli ketika ditemui memberitahu, sehingga kini, penerimaan masyarakat Lebanon ke atas ME amat positif.

Ini kerana, jelas beliau, anggota ME melaksanakan tugas dengan penuh berdedikasi selain menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk program gerak saraf.

''PBB amat mengiktiraf penglibatan ME di Lebanon dan telah dibuktikan dengan penambahan anggota di sektor selatan Lebanon yang dikenali sebagai Malbatt," katanya.

Zulkifeli yakin selagi Unifill masih diperlukan oleh PBB, peranan ME atau Malbatt akan terus penting dalam menjalankan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Tuesday, January 19, 2010

Gerak Khas gah setanding nama

Sumber: Utusan
Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR

MENONTON filem-filem aksi Hollywood kadangkala menyebabkan kita begitu mengagumi kecanggihan dan kehebatan tentera Amerika

Syarikat (AS) dalam menangani pihak musuh.

Operasi menangani keganasan, pemberontakan, menjalankan misi khas serta menyelamatkan tebusan menunjukkan mereka seolah-olah

satu pasukan yang begitu hebat, tangkas serta cekap dalam menjalankan tugas.

Apakah realitinya begitu juga ? Mungkin benar dan mungkin juga sebaliknya kerana aksi dalam filem boleh diperbuat dan ada unsur tokok tambah.

Bagaimana pula dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apakah mereka juga mempunyai kemampuan yang setanding dengan aksi

tentera AS seperti ditunjukkan dalam filem-filem Hollywood.

Pernah satu ketika dahulu, penulis pernah diberitahu oleh seorang pesara tentera yang mengatakan pasukan elit negara juga hebat dan setanding dengan negara lain.

Jika tidak menyaksikan dengan mata sendiri, sudah tentu sukar untuk mempercayai cerita pesara tersebut lebih-lebih lagi tidak ada filem tempatan yang berjaya menunjukkan kehebatan sebenar ATM.

Peluang menyaksikan demonstrasi pasukan Gerak Khas ATM dalam mencegah keganasan di Hutan Royal Belum, Perak baru-baru ini telah membuka mata penulis tentang kehebatan pasukan elit tersebut.

Ketangkasan dan kecekapan mereka membuktikan kemampuan sebenar pasukan angkatan tentera negara dalam melakukan operasi ketenteraan.

Malah selari dengan usaha pemodenan ATM, pasukan tersebut turut menggunakan peralatan berteknologi tinggi termasuk pesawat udara dalam menjalankan demonstrasi tersebut sekali gus menunjukkan kesepaduan yang mantap operasi dari darat, kawasan perairan dan udara.

Penggunaan pesawat Nuri dan Agusta serta bot tempur Zodiac CCBA, RIRC dan Jetski telah membantu dalam memantapkan lagi operasi menumpaskan keganasan di dalam negara.

Operasi Menyelamat Tebusan

Lokasi berair dan sedikit daratan menjadi pilihan untuk operasi menyelamatkan tebusan dijalankan.

Para anggota tentera yang telah dibekalkan dengan segala ilmu pertempuran telah dikerah bagi menjayakan misi menyelamatkan tebusan dalam demonstrasi itu.

Operasi seperti itu biasanya dijalankan pada waktu malam kerana keadaan gelap dan terkawal, akan menyukarkan musuh mengesan sebarang pergerakan yang dilakukan oleh anggota tentera terlibat.

Pergerakan pada waktu malam juga membantu para anggota mengatur pergerakan yang lebih mudah bagi memasuki kawasan operasi.

Namun ia juga memerlukan ilmu dan kekuatan mental kerana tidak boleh berlaku sebang kesilapan dalam menjalankan operasi seperti itu yang mempertaruhkan nyawa tebusan.

Bagi operasi kali ini, pasukan Gerak Khas menggunakan tiga kaedah dalam menggempur kawasan operasi iaitu udara, air dan darat.

Operasi melalui udara dilakukan oleh dua buah pesawat iaitu Nuri dan Agusta dengan kedua-duanya membawa empat orang anggota.

Mereka terdiri daripada pasukan penembak tepat dan juga anggota penggempur bagi memudahkan pasukan sampai di kawasan operasi.

Kebiasaannya pesawat akan menjatuhkan anggota dalam kedudukan beberapa kilometer daripada kawasan operasi bagi mengelakkan jejak mereka dapat dikesan oleh musuh.

Penggunaan teknik fast roping digunakan oleh pesawat Nuri bagi menurunkan para anggota terus ke dalam laut manakala pesawat Agusta akan menggunakan teknik Rapid Touch and Go dengan menurunkan para anggota di atas darat dengan pantas.

Setelah diturunkan, mereka mula memasuki kawasan operasi dan melihat keadaan sekitar sebelum dua pasukan penggempur tiba di lokasi operasi.

Ketika sedang sibuk pasukan pertama meninjau kawasan operasi, sekumpulan penyelam tempur bergerak dengan senyap merapati kawasan operasi.

Pergerakan senyap itu dibantu penggunaan kenderaan bawah air yang dikenali bot Zodiac (CCBA) yang mempunyai keupayaan tidak mengeluarkan bunyi mahupun buih udara di dalam air.

Penyelam turut menggunakan alat bantuan penafasan yang juga mempunyai ciri senyap bagi mengekalkan para anggota bertahan di dalam air dalam jangka waktu yang lama.

Dalam pada itu, sebuah lagi pasukan sedang siap sedia menerima arahan daripada pasukan peninjau pertama bagi menjalankan operasi.

Setelah segala perincian kawasan tersebut diselidiki, mereka mula mengatur langkah bagi menyelamatkan tebusan dan menggempur kawasan musuh.

Setelah arahan siap diterima, mereka melakukan pergerakan serentak dari tiga sudut berbeza.

Serangan melalui hadapan dilakukan oleh pasukan penggempur dan penembak tepat dan juga turut dibantu oleh dua pasukan penggempur dari kawasan sudut bagi menyelamatkan tebusan.

Serangan tersebut turut dibantu pasukan bot tempur dan juga jetski yang begitu terlatih mengendalikan kenderaan yang digunakan.

Bot RIRC memasuki kawasan operasi bersama sekumpulan pasukan khas dengan diiringi jetski penggempur bagi membantu pasukan

dalam menyelamatkan tebusan.

Pasukan jetski dilihat mengawasi kawasan operasi bagi memastikan musuh tidak berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Setelah serangan yang begitu hebat dilakukan oleh pasukan tersebut, mereka mula meninggalkan kawasan opersi bersama tebusan yang telah diselamatkan.

Kagum


Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin ketika bersama-sama menyaksikan pertunjukan itu berkata, ATM akan terus berusaha memantapkan lagi kekuatan serta ketangkasan para anggotanya dalam menuju ke arah kemodenan ATM.

''Apa yang disaksikan dalam demonstrasi itu tidak boleh dihasilkan dalam masa sekelip mata.

''Mereka telah dilatih selama beberapa tahun bagi menghasilkan anggota yang begitu mantap dan mampu diuji ketahan daripada segi mental dan fizikal dalam jangka masa yang lama.

''Itu yang menjadikan mereka sebagai pasukan terbaik di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas bersama menyaksikan kehebatan anggota Gerak Khas menjalankan demonstrasi.

Kehebatan

Operasi yang dijalankan oleh Rejimen Gerak Khas itu sememangnya menujukkan kemampuan sebenar ATM dalam membanteras keganasan.

Mereka merupakan pasukan yang begitu terlatih dan sering menyertai latihan bersama pasukan-pasukan tentera dari negara luar.

Kecekapan pasukan itu sememangnya amat membanggakan dalam usia ATM ketika ini. Kecekapan, disiplin dan peralatan yang canggih

banyak membantu ATM dalam mengekalkan keamanan negara termasuk membanteras keganasan.

Rakyat harus berbangga kerana negara mempunyai pasukan keselamatan yang kuat di samping tenaga kepakaran yang boleh dibanggakan.

Uji daya tahan komando

Sumber: Utusan
Rencana dan gambar oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

ELIT - satu gelaran penting yang terus dipertahankan oleh pasukan ini sejak kewujudannya di bawah payung Polis Diraja Malaysia (PDRM). Untuk itu, ia bukanlah satu tugas dan tanggungjawab mudah bagi pasukan ini mempertahankan gelaran tersebut.

Gelaran elit tersebut boleh 'hilang' bila-bila masa jika pasukan berkenaan gagal melaksanakan misinya sebagai unit komando.

Ia memerlukan komitmen bersungguh-sungguh daripada semua staf yang menganggotai pasukan ini.

Gelaran elit ini hanya mampu dipertahankan selagi pasukan berkenaan terus cemerlang berdasarkan rekod serta kejayaan yang dicapai.

Inilah sedang dilakukan oleh 69 Komando atau lebih dikenali VAT 69 yang sentiasa menjadi kebanggaan PDRM dan negara.

Pasukan elit ini secara langsung harus membuktikan kewibawaan dan kemampuannya bukan sahaja kepada PDRM, malah kepada rakyat dan negara.

Pastinya rakyat menaruh harapan tinggi kepada VAT 69 untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan yang wujud sejak sekian lama.

Oleh itu, VAT 69 dilihat perlu sentiasa ke hadapan supaya tidak ke belakang berbanding kemampuan penjenayah atau mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Perkembangan dan trend jenayah terkini mendedahkan bahawa penjenayah memiliki pelbagai kemahiran untuk melakukan sabotaj.

Untuk itu, VAT 69 perlu lebih selangkah ke hadapan bagi menangani apa jua teknik dan taktik dimiliki penjenayah.

Sebagai unit komando, pasukan ini perlu mempunyai kelebihan yang tidak boleh atau mampu dimiliki oleh mana-mana penjenayah.

Kelebihan ini bukan sahaja dari segi taktik, teknik dan kemahiran, malah peralatan.

Jika VAT 69 gagal berbuat demikian atau memiliki walaupun sedikit kekurangan termasuk dari segi peralatan canggih, pastinya keamanan dan ketenteraman awam yang diharapkan rakyat, akan tergugat.

Ini akan membawa kepada tergugatnya kedaulatan negara.

Sehubungan itu, VAT 69 harus berada dalam kesiapsiagaan dan boleh digerakkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa mengira batasan tempat atau waktu.

Kepantasan berbuat demikian juga akan menentukan ketepatan dalam membuat keputusan dan tindakan.

Untuk berada pada kesiapsiagaan maksimum, pasukan ini perlu dilengkapi dengan kemahiran tanpa had.

Ia bukan sahaja melibatkan kemahiran sebagai pasukan komando, malah perkara-perkara yang melibatkan aset.

Oleh itu, VAT 69 perlu sentiasa berubah dan tidak statik dengan apa yang telah dimiliki selama ini.

Pada masa sama, tidak rugi jika bajet besar diperuntukkan kepada VAT 69 untuk memiliki kemahiran dan aset canggih kerana keuntungan dan faedahnya akan berbalik semula kepada rakyat dan negara.

Apa sahaja yang dilaburkan untuk perkembangan, pembangunan dan kemajuan VAT 69, pastinya akan memberi pulangan lebih baik kepada keamanan negara.

Aset canggih dan kemahiran yang dimiliki boleh digunakan untuk menjaga keamanan serta menangkis sebarang pencerobohan terhadap kedaulatan negara.

Keadaan ini juga boleh membawa kepada kehidupan harmoni dan kesejahteraan rakyat.

bersemangat

Namun, moral setiap anggota VAT 69 juga perlu berada pada tahap tinggi supaya mereka ini benar-benar bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab.

Organisasi seperti PDRM dilihat sentiasa menjaga kebajikan anggota-anggota VAT 69 dan anggota polis dari jabatan-jabatan atau unit-unit lain.

Sementara itu, dengan memiliki aset canggih tidak akan memberi kesan positif jika ia gagal digunakan sebaik mungkin oleh anggota VAT 69.

Untuk itu, latihan berterusan bagi memahirkan lagi setiap anggota VAT 69 harus dilakukan tanpa mengenal erti penat.

Kemahiran itu sendiri tidak boleh statik dan seharusnya berubah mengikut perkembangan teknologi semasa.

Semua ini dipraktikkan oleh VAT 69 berdasarkan kekerapan latihan yang dijalani.

Baru-baru ini, VAT 69 meneruskan agenda pasukan untuk meningkatkan kemahiran setiap anggotanya melalui latihan.

Pasukan itu telah mengadakan latihan selam di sekitar Pulau Mabul dan Sipadan, Sabah.

Sebelum ini, terdapat antara orang awam termasuk pelancong asing begitu tertanya-tanya mengenai tahap keselamatan di Sabah terutama Sipadan dan beberapa pulau sekitarnya.

Kejadian jenayah laut melibatkan warga asing satu ketika dulu secara tidak langsung menimbulkan pertanyaan mengenai keselamatan di perairan Sabah.

Namun, kehadiran VAT 69 itu telah membuktikan bahawa keamanan dan keselamatan di Sipadan dan lain-lain pulau adalah selamat dan sentiasa dikawal rapi.

Ini telah meningkatkan keyakinan pelancong tempatan dan asing serta pengusaha-pengusaha resort serta calet terhadap tahap keselamatan di Sabah berikutan kehadiran VAT 69.

Ia juga memperlihatkan PDRM dan VAT 69 sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk bertindak dan menangani apa jua keadaan jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

Malah, kehadiran VAT 69 dalam latihan selam baru-baru ini berjaya mempamerkan kehadiran bersungguh-sungguh pasukan keselamatan di Sabah untuk menegakkan ketenteraman awam.

Latihan selam oleh VAT 69 itu tertumpu kepada penggunaan peralatan Full Range Oxygen Gas System (FROGS). Ia merupakan aset terkini dimiliki oleh VAT 69.

Pemilikan FROGS bukan sahaja menjadi kebanggaan PDRM malah negara, memandangkan aset canggih tersebut dianggap peralatan terkini yang sering digunakan oleh pasukan komando negara asing.

FROGS dianggap antara peralatan selam taktikal dan banyak digunakan oleh pasukan komando negara-negara maju. Peralatan selam itu memerlukan kemahiran dan pengetahuan tinggi kerana ia membabitkan pengetahuan teknikal.

FROGS berlainan sekali dengan peralatan selam biasa yang menggunakan udara mampat.

Manakala FROGS menggunakan oksigen sepenuhnya.

Sehubungan itu, penggunaan peralatan FROGS perlulah dilakukan secara teliti dan lebih berhati-hati kerana kegagalan berbuat demikian memungkinkan oksigen yang diguna bertukar menjadi racun.

Keadaan ini boleh berlaku jika penyelam terbabit menyelam pada kedalaman yang melebihi had ditetapkan.

Penggunaan FROGS lebih kepada operasi ala komando pada tahap kedalaman tertentu.

Apa yang istimewanya ialah FROGS tidak mengeluarkan buih-buih udara ketika berada di dalam air seperti peralatan selam biasa.

Jika peralatan biasa, kita dapat mengesan kedudukan seseorang penyelam itu dari permukaan air berdasarkan kesan-kesan buih.

Namun, pergerakan penyelam yang menggunakan FROGS tidak dapat dikesan dari permukaan air mahupun ketika berada di dasar laut.

Peralatan canggih yang tidak mengeluarkan buih ini sama seperti spesies laut seperti ikan dan sebagainya yang tidak mengeluarkan buih walaupun sedikit.

Ekoran keadaan itu, ia akan memudahkan tugasan seperti operasi dan pengintipan.

Namun, perlulah diingatkan bahawa penggunaan FROGS memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi.

Anggota-anggota VAT 69 dilihat sanggup mengambil risiko dan menyambut cabaran untuk mempelajari dan menjalani latihan menggunakan FROGS.

Tanpa kemahiran, ia boleh mendatangkan risiko kepada penyelam apabila oksigen tadi bertukar menjadi racun dan masuk ke dalam badan dan saluran darah.

Sehubungan itu, bagi VAT 69 sebaik sahaja memperoleh peralatan FROGS, anggota-anggotanya telah memulakan latihan berterusan dalam beberapa keadaan.

ATM tingkat kawalan - Zahid

Sumber: Utusan

KOTA KINABALU 16 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah ditingkatkan pada tahap kesiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang ancaman yang mungkin berlaku di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain meningkatkan rondaan, ATM bersama polis akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran bagi membendung segala ancaman yang boleh menganggu keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pelancong dan pelawat tidak berasa bimbang kerana keselamatan di negeri ini khususnya di kawasan pelancongan adalah terjamin.

''Saya memberi jaminan keselamatan di negeri ini adalah terkawal dan tidak ada sebab untuk berasa terlalu bimbang.

''Selain meningkatkan rondaan kita akan menggunakan segala aset yang ada seperti radar dan kamera jarak jauh bagi memantau setiap pergerakan di perairan negara,' ' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar dekat sini.

Hadir sama Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Mohammad Rasland Omar.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke negeri ini melawat Kem Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi di sini.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan memberi amaran bahawa kumpulan penjenayah dan pengganas sedang merancang untuk menyerang rakyat asing di pulau-pulau sekitar Sabah.

Sehubungan itu, kedutaan berkenaan menggesa agar langkah berjaga-jaga diutamakan dalam membuat sebarang perjalanan ke kawasan pedalaman di timur Sabah termasuk Semporna, Pulau Mabul dan Sipadan.

Ahmad Zahid berkata, ini bukan kali pertama amaran perjalanan seperti itu dikeluarkan.

Katanya, ATM sentiasa memastikan keselamatan perairan negara di Sabah terkawal menerusi operasi Ops Pasir dan Ops Sinar.

''Kita pun menerima maklumat risikan yang sama dan dengan itu kita meningkatkan kesiagaan kita," katanya.

Mengulas mengenai masalah perumahan anggota di pangkalan berkenaan, beliau berkata, masalah tersebut akan diatasi selewat-lewatnya akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan sektor swasta.

''Malah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedia membantu kita mengatasi masalah kediaman ini," katanya.

TLDM tingkat pengambilan anggota wanita

Sumber: Utusan
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

LUMUT 15 Jan. - Bermula tahun ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meningkatkan kuota pengambilan anggota wanitanya daripada empat kepada lapan peratus.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan dan kepentingan wanita dalam perkhidmatan TLDM dan ia bakal memberikan peluang kepada anggota wanita untuk memperkembangkan kerjaya mereka.

Katanya, statistik terkini menunjukkan terdapat seramai 1,104 anggota wanita terdiri daripada 147 pegawai dan 957 lain-lain pangkat (LLP) dan ia bersamaan dengan 6.13 peratus kekuatan keseluruhan TLDM.

"TLDM tidak mengamalkan sebarang bentuk pilih kasih atau diskriminasi jantina dalam aspek pengurusan sumber manusia malah kita mengamalkan konsep orang yang tepat untuk pekerjaan yang tepat.

"Saya percaya kehadiran wanita dalam TLDM boleh melengkapkan pasukan dan boleh menyumbang ke arah pembangunan TLDM yang seimbang," katanya semasa berucap merasmikan Kem Wanita TLDM 2010 di pangkalan TLDM di sini hari ini.

Ketika ini pangkat tertinggi disandang oleh wanita dalam TLDM ialah komander dengan tujuh orang memegang pangkat itu.

Kebanyakan anggota wanita berkhidmat di pangkalan TLDM dan setakat ini, hanya empat pegawai iaitu masing-masing dua orang ditugaskan di dalam kapal iaitu KD Pahang dan KD Perak.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sentiasa menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh anggota wanita dan ia dapat dilihat pada bilangan anggota wanita yang dinaikkan pangkat pada sepanjang 2009.

Walaupun jumlahnya kecil kata beliau, anggota wanita TLDM berani mengorak langkah untuk menjadi cemerlang setaraf dengan anggota lelaki.

"Seramai 13 pegawai wanita dan 106 LLP wanita telah dinaikkan pangkat sepanjang 2009 dan ia merupakan 4.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,430 anggota TLDM yang dinaikkan pangkat pada 2009.

"Pada tahun sama, seramai 190 anggota wanita juga dihantar berkursus di dalam dan luar negara iaitu sebanyak tiga peratus daripada jumlah 6,270 anggota yang dihantar berkursus," ujarnya.

Beliau memberitahu, sejajar dengan peningkatan anggota wanita yang berterusan, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 dengan tujuan menjaga kebajikan wanita termasuk pembangunan kerjaya, hala tuju dan membendung isu sosial wanita.

"Banyak kejayaan telah dicapai oleh Sel Wanita TLDM dalam masa yang singkat seperti melantik pegawai penyelaras hal ehwal wanita di semua formasi, penggunaan baju mengandung TLDM serta bakal menggunakan tudung serta kasut kawad baru," katanya.

Sempadan Malaysia-Thailand terkawal

Sumber: Utusan

GERIK 14 Jan. - Keadaan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand adalah terkawal, kata Panglima Briged Sempadan, Brigedier Jeneral Azmy Yahya.

Beliau berkata, lebih 5,000 anggota tentera daripada lima Batalion Rejimen Sempadan bertugas di sepanjang sempadan bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Rantau Panjang, Kelantan.

Katanya, kekuatan anggota itu tidak termasuk kakitangan agensi kerajaan lain yang turut bertanggungjawab mengawal sempadan seperti polis, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen.

"Kita berterusan berjaya menghalang aktiviti bertentangan dengan undang-undang terutamanya menyekat kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan secara kecil-kecilan.

''Tanpa kerjasama daripada agensi-agensi lain, kejayaan ini tidak akan dapat dicapai. Saya berharap ia dapat diteruskan," katanya ketika ditemui selepas perbarisan sempena sambutan ulang tahun kedua Rejimen Sempadan di sini hari ini.

Pelbagai program diadakan sempena majlis tersebut termasuk acara perbarisan serta jamuan makan tengah hari manakala majlis makan malam diadakan pada 26 Januari ini.

Majlis itu juga sempena meraikan penubuhan Markas Briged Sempadan yang sebelum ini dikenali sebagai Markas 30 Briged Sempadan.

Markas 30 Briged Sempadan ditubuhkan pada 1 September 2006 sebelum ditukar nama kepada Markas Briged Sempadan pada 12 Januari 2008 ekoran pertukaran status operasi Batalion Siri 300 Askar Wataniah kepada Batalion Rejimen Sempadan.

Maktab Tentera sasar tarik pelajar bukan Melayu

Sumber: Utusan

PETALING JAYA 14 Jan. - Kementerian Pertahanan diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik minat lebih ramai pelajar bukan Melayu melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja (MTD).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanah itu perlu direalisasikan sebaik sahaja kampus baru MTD di Sungai Besi siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, Perdana Menteri mahu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pelajar MTD terdiri daripada bukan Melayu berbanding kurang lima peratus ketika ini.

"Ketika ini, tidak ramai pelajar bukan Melayu berminat menyertai MTD dan permohonan daripada mereka juga amat kurang.

"Tetapi, berdasarkan konsep 1Malaysia, saya yakin kita akan menerima lebih daripada 30 peratus pelajar bukan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Malam Amal Satu Malaysia anjuran Kumpulan Vesta di Hotel One World di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan Vesta kepada enam rumah anak yatim.

Kumpulan Vesta turut menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada Tabung Kebajikan Rejimen 21 Gerup Gerak Khas (GGK).

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Vesta, Datuk Seri Caren Teoh; Ketua Eksekutifnya, Dr. Dixon Chai dan Panglima GGK, Datuk Samad Yaakob.

Tinggalkan pesanan anda di sini