About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, November 24, 2010

IPD Kubang Pasu berwajah baru

Sumber utusan



JITRA 16 Nov. - Kompleks perumahan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang bernilai RM71 juta kini telah siap dibina sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Haminuddin berkata, IPD tersebut merupakan salah satu kebanggaan bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota polis Kubang Pasu.

Jelasnya, projek tersebut mula dibina pada 3 Julai 2006 dan siap sepenuhnya pada 30 September yang lalu.

"Banyak kemudahan di kompleks IPD baru ini seperti kompleks perumahan, blok pentadbiran, bengkel kenderaan, surau, dewan serbaguna, pangsapuri, rumah teres dan kemudahan lapang sasar.

"Saya berharap dengan terbinanya kompleks yang serba moden ini, semua anggota polis akan menjalankan khidmat dengan dengan cekap lagi bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Sawaluddin, kemudahan lapang sasar yang dibina di kawasan tersebut memudahkan anggota polis menjalankan latihan menembak bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

"Sebelum ini, kami terpaksa meminjam lapang sasar di kawasan lain untuk menjalankan latihan menembak.

"Kini dengan adanya lapang sasar anggota polis di kawasan ini boleh menggunakannya bagi menjalankan latihan mereka dengan lebih mudah," katanya.

Jelasnya, kawasan perumahan yang lebih luas dan moden juga diharapkan dapat memberikan keselesaan kepada ahli keluarga anggota PDRM.

"Kawasan perumahan PDRM di sini juga dilengkapi dengan kemudahan padang bola bagi memudahkan aktiviti riadah anak-anak anggota polis.

"Jadi, saya minta semua anggota PDRM yang bakal tinggal di kawasan ini akan bersama-sama menjaga kemudahan ini untuk keselesaan bersama," katanya.

Sunday, November 14, 2010

Polis Tentera perlu dirombak

sumber utusan

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kor Polis Tentera Darat (KPTD) perlu distruktur semula agar lebih seimbang dan berupaya memenuhi keperluan penugasan semasa dan masa depan.

Pengerusi KPTD, Kolonel Mislan Anuar berkata, penstrukturan tersebut merangkumi aspek organisasi, penguatkuasaan dan pencegahan jenayah secara terancang.

"Perubahan ini juga harus memberi penekanan terhadap jalinan kerjasama pintar dengan agensi penguatkuasaan awam seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

Beliau berucap pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun KPTD Ke-57 di Pusat Latihan Polis Tentera (Pulapot) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Markas Tentera Darat (MTD), Kolonel Kamarudin Mustapha.

Menurut Mislan, penstrukturan tersebut juga bertujuan membantu Tentera Darat dalam proses melaksanakan bantuan tugas polis tentera dan mengekalkan moral serta disiplin tinggi di kalangan anggota tentera.

"Setakat ini, penstrukturan semula jawatan, bahagian sumber manusia sudah dilaksanakan, manakala kertas kerja menaik taraf organisasi KPTD di peringkat bawahan sedang dalam proses untuk diluluskan," katanya.

ATM timbang guna APC Indonesia

sumber utusan

AKARTA 11 Nov. - Malaysia sedang mempertimbangkan untuk membeli kenderaan tempur jenis APC (Armoured Personal Carrier) keluaran Indonesia iaitu ANOA bagi menggantikan kereta perisai Condor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedangkan menilai keberkesanan aset tersebut khususnya dalam menyertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon.

"Kita sedang meneliti apakah ANOA dapat berfungsi dengan baik ketika berada di kawasan yang suhu ekstrem seperti di Lebanon," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Indodefence di sini, hari ini.

ANOA kini digunakan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam melaksanakan misi perdamaian di Lebanon Selatan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Indonesia untuk mengeluarkan peluru berkaliber sederhana. - UTUSAN

Menurut beliau, kerjasama di kalangan negara ASEAN dapat mengelak daripada perbelanjaan besar negara-negara rantau berkenaan membeli aset ketenteraan dari negara Barat seperti Eropah.

"Ini merupakan satu bentuk kerjasama Malaysia dengan negara-negara ASEAN dalam bidang industri pertahanan," kata beliau.

Kereta perisai Condor ATM kini digunakan untuk misi pengaman PBB di Lebanon, dikatakan perlu ditukar kerana tidak sesuai dengan ancaman masa kini.

Laguna Digempur !!!

Sumber Majalah Perajurit Edisi November 2010
Oleh Hamzah Hd

Bagi menyokong langkah penjimatan di semua jabatan kerajaan, dua perkara pokok yang selalu diberi perhatian seiring oleh Angkatan Tentera Maklaysia (ATM) khususnya semasa membuat perancangan dasar untuk mengadakan eksesais ialah menjadikan setiap latihan berskala besar itu lebih realistik tetapi bersederhana di dalam pengurusan bajet.

Walau pun banyak kekangan namun latihan mesti dirancang dan dilaksanakan oleh pihak yang terbabit kerana ianya merupakan mandat yang harus dilunasi demi kemampanan pertahanan negara. Dalam ertikata lain, masa aman adalah masa berlatih dan mengatur strategi.

Dari masa ke semasa revolusi peperangan sentiasa menemui kaedah-kaedah baharu strategi dan taktikal selaras dengan kemunculan inovasi-inovasi kreatif berasaskan hardware dan software yang mampu memberi output yang luarbiasa kepada pengendalinya.

Justeru, pengendalian dan perlaksanaan eksesais juga transisi dan semakin matang dengan mengadaptasikan teknologi terkini sesuai dengan zamannya yang berkonsepkan teknologi komunikasi maklumat. Memperkenalkan elemen peperangan siber walaupun untuk permulaan di peringkat operasional, pengoperasian Government Integrated Radio Network (GIRN) di antara pangkalan tentera sebagai medium utama komunikasi dan penggunaan video tele conference (VTC) sebagai salah satu jaringan komunikasi dalam eksesais adalah merupakan dimensi dan strategi baharu yang membanggakan.

Penugasan elemen Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) yang dibangunkan beberapa tahun lalu ke dalam siri-siri eksesais yang lalu dan akan datang adalah manifestasi ATM untuk merapatkan jurang bagi menghadapi cabaran bentuk peperangan alaf baharu yang menjurus kepada perinsip-perinsip peperangan elektronik (EW).

Cabaran yang lebih besar dan kompleks cabang ini adalah untuk menentukan pengurusan perihal komunikasi elektronik dan informasi ATM berfungsi sebaik mungkin tanpa terlalu banyak bergantung kepada pihak luar. Bermakna dalam masa yang singkat KOMLEK mampu mengoperasi, menyelenggara sistem-sistem Command Control Comunication Computer and Intelligence (p4/C4I) supaya tahap kerahsiaan, intergriti lebih kebal dan kalis godaman.

Langkah penjimatan terus diberi perhatian dengan mengurangkan jumlah penglibatan modal insan, memendekkan tempoh latihan namun penggunaan aset, infrastruktur, sistem dan kemudahan sedia ada digunakan secara optimum.

Eksesais Angkasa dan Samudera (EX- ANGSA) merupakan gabungan dua latihan utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang saban tahun dilaksanakan di dalam perairan negara.

Tradisinya Eksesais KERISMAS merupakan latihan tahunan intra TLDM yang melibatkan semua aset armada yang beroperasi bagi menilai kesiapsiagaan TLDM di arena pertahanan maritim manakala Eksesais ANGKASARAYA merupakan latihan intra TUDM bagi menilai kesiapsiagaan TUDM di arena pertahanan ruang angkasa negara.

Bermula pada tahun 2006, EX-ANGSA dilaksanakan secara Command Post Exercise (CPX) yang memfokuskan peperangan peringkat operasional dan Field Training Exercise (FTX) iaitu peperangan di medan sebenar.

Dihoskan secara bergilir di antara TLDM dan TUDM pada setiap 2 siri eksesais yang mana tahun pertama secara CPX manakala pada tahun kedua secara FTX. Tahun ini merupakan EX-ANGSA siri yang ke-5 secara FTX dan dihoskan oleh TLDM bertempat di Markas Wilayah Laut 3 (MAWILA 3), Langkawi dan Pangkalan Udara Butterworth. Berlangsung selama 14 hari bermula 23 Sep hingga 6 Okt 2010. Kawasan Operasi Bersama yang digazetkan ialah Selat Melaka Utara iaitu dari Permatang Sedepa hingga ke Pulau Langkawi.

EX-ANGSA Siri 5/2010

EX-ANGSA 5/2010 adalah kesinambungan daripada perancangan dan validasi operasi bersama siri 4/2009 yang menggunakan pelan operasional dan konsep operasi yang sama yang dilihat semula khususnya untuk menguji kemampuan TUDM dan TLDM di dalam pengendalian operasi bersama di samping menilai kesiagaan operasi.

Dengan kehadiran unsur-unsur maritim dan udara secara intensif dalam period ini sekali gus memberi jaminan dan keyakinan keselamatan kepada komuniti maritim terutamanya yang menggunakan laluan Selat Melaka.

Konsep operasi bersama merupakan tren ketenteraan moden dunia bagi meningkatkan kerjasama antara angkatan dengan mempraktikkan sistem komunikasi dan informasi melalui formulasi bersama dan menyuburkan jalinan ketenteraan melalui hubungan muhibah di antara warganya bagi mencapai objektif ketenteraan yang lebih efisyen.

Seramai lebih kurang 1600 orang peserta ATM telah terlibat dalam eksesais ini yang diketuai oleh Panglima Armada TLDM dan Timbalannya adalah Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Operasi Udara TUDM. Perlantikan jawatan Pengarah Eksesais ini secara bergilir setiap 2 tahun sekali di antara Panglima Armada dan Panglima Operasi Udara.

Organisasi Pengendali diketuai oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Peperangan Markas Armada manakala Timbalanya adalah Pengarah Eksesais Markas Operasi Udara dibantu oleh 32 orang pegawai dan 26 anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

Organisasi Sekretariat Bersama diketuai oleh Ketua Pegawai Staf (KPS) Eksesais Markas Armada dibantu oleh 10 Pegawai dan anggota LLP. Tim Penilai diketuai oleh AKS Siaga Markas Armada dengan jumlah keseluruhan 25 orang pegawai dan 8 anggota LLP. Dua orang pegawai sebagai Sektretariat merupakan pegawai dari organisasi Sekretariat Bersama yang memainkan 2 peranan.

Pemaian-pemain ATB Biru dikoordinasikan oleh Panglima Wilayah Laut 3 (Pangwila 3) dengan dibantu oleh seorang Kolonel TUDM sebagai Ketua Staf (KS) manakala Koordinator ATB Oren ialah Komander Pangkalan TUDM Gong Kedak dan dibantu oleh seorang Kepten TLDM sebagai KS. Jumlah keseluruhan peserta dalam HQ Angkatan Bersama ialah seramai 66 pegawai dan 52 orang anggota LLP.

Perlaksanaan EX-ANGSA 5/2010 telah mengekalkan konsep latihan secara bersama di antara TLDM dan TUDM serta melibatkan elemen Markas ATM- KOMLEK dan Tentera Darat Malaysia (TDM) di peringkat operasional. Eksesais dilaksanakan secara one theatre play di mana meletakkan Pulau Perak disimulasikan sebagai Pulau Langkawi sebagai sasaran.

Eksesais dimainkan di peringkat operasional dan taktikal dan dibahagikan kepada dua Angkatan Tugas Bersama (ATB) iaitu JTF HQ Blue dan JTF HQ Orange. Setiap JTF HQ dilengkapi dengan 5 komponen iaitu Maritim, Udara, Darat, Pasukan Khas dan Logistik.
Senario eksesais telah dirangka untuk memandu segala perancangan dan perlaksanaan operasi semasa tempoh waktu ketegangan dan dalam keadaan konflik bersenjata.

Pengendalian EX-ANGSA 5/2010 telah dibahagikan kepada empat fasa iaitu:
Fasa 1 adalah peringkat pembelajaran dan tutorial di pelabuhan merangkumi upacara perasmian, ceramah, pelaksanaan proses operasi bersama, pertahanan pangkalan di Pangkalan Udara Butterworth dan Operasi Janggal di Pangkalan TLDM Langkawi. Di samping itu juga ATM yang berslogan Tentera dan Rakyat berpisah Tiada sempat menyelitkan Program Jiwa Murni bersama masyarakat Pulau Tuba Langkawi.

Fasa 2 adalah latihan Structured Tactical Freeplay (STF). Pemain-pemain telah melaksanakan latihan-latihan yang dirancang bagi persediaan untuk menghadapi konflik ketenteraan. Secara umumnya acara-acara yang disusun dan telah diterjemahkan dengan tindakan kumpulan sasar unsur-unsur yang terlibat adalah seperti berikut:

-MANEX-, Latihan Manuvra Screenplay, Replenisment at sea approach (RASAP) adalah untuk Pegawai Bertugas Awasan (OOW).

-Anti Peperangan Udara (AAW). Serangan sebenar dilakukan oleh unsur-unsur TUDM pada waktu siang dan malam ke atas kumpulan Aksi Permukaan (SAG)/Combined Air Defence Intergrated Procedure (CADIPs),

-ILLUMINEX- Penembakan Roket Iluminasi oleh kapal-kapal yang terlibat.
-SYNTEX- Latihan Sintetik secara dalaman sesuatu departmen kapal.
-FLASHEX- Flashing Execise, Latihan Pancaran Api untuk anggota-anggota Komunikasi kapal.

-PLOTTEX -Latihan Memplot untuk anggota Juru Taktikal Plot .

-Encounterex untuk Tim Pusat Informasi Kombat.

-Latihan Perang Elektronik (EWEX ) dan penembakan Chaff ( CHAFFEX).

-GUNNEX 3- Latihan Penembakan Meriam bagi sasaran udara.

-DEX/SAGEX/OTHT – Latihan pengoperasian arganik heli oleh Kumpulan Aksi Permukaan ( SAG) untuk pelaporan sasaran melepasi ufuk (OTHT).

-Latihan Pemindahan Jackstay, Pemindahan Tali Balingan untuk anggota-anggota Cawangan Kelasi kapal-kapal yang terlibat.

-Latihan Kawalan Kerosakan dan Melawan Kebakaran (DCFF) untuk anggota-anggota Damage Control Party.

-WINCHEX- Latihan Whincing untuk pesawat Helikopter dan anggota kapal.

-Unsur-unsur TUDM (Biru dan Oren) melaksanakan latihan serangan ke atas Pangkalan Udara, kapal-kapal TLDM, Splash Target, latihan Mencari dan Menyelamat (SAR).

Penglibatan pesawat SU30 dari Gong Kedak buat julung kalinya dalam Eksesais mampu menguji keupayaan pesawat didalam menjalankan misi jarak jauh. Integrasi bersama Super Lynx selaku Strike Director bagi misi OTHT juga akan diuji.

-Unsur-unsur TDM (8 RRD) melaksanakan latihan penawanan ke atas Mounting Base – Lapangan Terbang Batu Berendam, Extraction 8 RRD Para and Security Sector Reform (SSR) – Laguna Airport to Batu Berendam Airport by 7 x C 130 (notional).

-KOMLEK- Network Vulnerability Scanning, Computer Network Infrastructure Sabotage, Password Sniffing / Brute Force Attack,

-Pasukan Khusus- Special Force Insertion for Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) mission, High Altitude-Low Opening (HALO) Jump, High Altitude-High Opening (HAHO) Jump , Combat Rubber Raiding Craft (CRRC) Drop ,Special Force to sabotage adversary air and naval bases,

Senario

Secara umumnya globalisasi telah menyumbang suatu perubahan yang dinamik dalam perhubungan antara rakyat di dalam negaranya. Cabaran keselamatan telah berkembang dari masalah keselamatan persempadanan wilayah, pemerdagangan manusia, aktiviti pelanunan, penyeludupan, serangan pengganas dan lain-lain yang menjadikan keamanan dan kestabilan negara menjadi agenda utama masyarakat dunia hari ini.

Krisis ekonomi global dan peperangan menentang keganasan telah menjadi agenda utama keselamatan dunia. Faktor ini telah mencetus ketidakstabilan bagi sebahagian negara-negara di dunia dan mengancam pasaran global secara keseluruhannya.

Di Asia Tenggara sendiri khasnya isu-isu keganasan, ancaman rentas sempadan, pemerdagangan manusia, penyeludupan, pelanunan maritim, tuntutan bertindih, isu-isu keagamaan dan lain-lain mempunyai potensi untuk merangsang kepada konflik terbuka dirantau ini yang bila-bila masa sahaja boleh bertukar menjadi konflik ketenteraan setelah resolusi diplomatik gagal.

Keselamatan dunia dan serantau yang dinyatakan di atas sebenarnya telah memberi impak khusus kepada negara Blueland dan Orangeland. Pulau Laguna terletak di sebelah utara Selat Melaka yang diduduki oleh sebilangan kecil penduduk asli Orangelander dan merupakan sebahagian daripada wilayah Orangeland yang pada asalnya adalah diperintah oleh kerajaan Orangeland.

Dalam tahun 1957 kerajaan Orangland telah terbentuk kepada dua negeri merdeka yang berbeza setelah Blueland yang merupakan wilayah terbesar di selatan memperolehi kemerdekaan. Pulau Laguna kemudian dipertikaikan oleh kedua-dua negara-negara tetapi kemudiannya diisytiharkan sebagai sebahagian daripada wilayah Blueland. Penduduk kian bertambah kemudiannya.

Kemakmuran dan pembangunan Laguna telah menjadi daya tarikan kepada Orangeland dan mendakwa ianya ada kaitan dengan warisan nenek moyangnya. Pertumbuhan pesat dalam industri-industri berkaitan maritim telah meraih kepentingan antarabangsa dan pelaburan asing kepada Laguna. Beberapa acara-acara antarabangsa telah dijalankan di Laguna misalnya pameran Laguna International Maritime and Aerospace (LIMA), Laguna International Dialogue (LID) dan Laguna International Regatta (LIR).

Beberapa bulan lepas firma carigali minyak asing yang diupah oleh Kementerian Perdagangan Blueland telah melaporkan bahawa dasar laut di sebelah barat peraiaran sempadan Laguna mengandungi karbon hidro dan simpanan gas yang banyak.

Kesan daripada krisis makanan dan ekonomi dunia baru-baru ini di samping ketidakstabilan domestik, Orangeland telah memberi lebih tekanan ke atas tuntutan mereka terhadap kedaulatan Laguna.

Media cetak dan media elektronik tempatan Orangeland telah digunakan untuk merebakkan propaganda mengenai isu ini. Left Wing Resistant Group (LWRG) Orangeland telah menganjur dan menaja banyak demonstrasi untuk meraih sokongan masyarakat untuk merampas Laguna daripada Blueland.

Wakil-wakil Orangeland telah berkunjung ke negara-negara jiran bagi melobi untuk meraih sokongan dan simpati masyarakat luar bagi tujuan tersebut.

Sejak 10 Julai, LWRG telah menjalankan beberapa siri aktiviti secara berterusan untuk mencetuskan ketidakstabilan di Pulau Laguna. Aktiviti-aktiviti ancaman tidak simetri seperti operasi sabotaj dan siri-siri serangan bersenjata kecil ke atas pejabat-pejabat pentadbiran negeri Laguna dan berterusan melakukan propaganda dan gerak saraf mempengaruhi penduduk tempatan.

Situasi yang membimbangkan ini telah meletakkan Majlis Keselamatan Negara Blueland ke tahap bersiapsiaga dan bersedia untuk berperang. Sumber-sumber perisikan melaporkan bahawa LWRG telah dibantu oleh Orangeland dengan persenjataan dan peranti. Bukti terbaru menunjukkan yang LWRG dengan jelas mendatangkan bahaya kepada Blueland kerana mereka mempunyai hubungan kuat dengan pertubuhan pengganas antarabangsa.

Pada 20 Ogos 2010, dengan bantuan persenjataan dari kerajaan Orangeland, LRWG telah melakukan siri-siri serangan ke atas Pasukan Keselamatan Laguna dan menjurus kepada penyusupan Pasukan Khas mereka yang berkekuatan sederhana ke atas Pulau Laguna.

Perampasan telah berlaku sebelum subuh dan tengahari dan kerajaan Orangeland mengistiharkan yang Pulau Laguna sudah menjadi sebahagian dari negara mereka.
Sebagai tindakbalas dengan keadaan semasa, Majlis Keselamatan Negara Blueland mengarahkan Angkatan Tenteranya melalui Panglima Angkatan Tentera melakukan Operasi

Ketenteraan Bersama untuk merampas semula kedudukan dan kepentingan negara Blueland.
Berdasarkan situasi ini Field Training Exercise (FTX) Fasa 3 Angsa 5/2010 , angkatan Biru dan Oren telah bertindak mengikut arahan operasi yang telah dikeluarkan keluar berperang di medan sebenar di dalam kawasan yang telah digazetkan dengan ruang masa yang telah diberikan kepada kedua-dua pihak.

Fasa 4 adalah Post Excecise Debrief (PXD), bersukan dan Majlis Penutupan.

Unsur-Unsur yang terlibat










Apa yang diharapkan di ANGSA yang akan datang adalah penemuan-penemuan baharu teknikal dan taktikal hasil dari latihan-latihan yang sudah dilaksanakan. Teknologi unmanned aerial vehicle (UAV) kian diperkatakan oleh pemerhati-pemerhati pertahanan dan kemungkinan satu hari nanti teknologi pesawat tanpa pemandu akan memasuki inventori ATM.

Melalui sistem UAV ini dapat digunakan untuk memberi kelebihan kepada sistem pertahanan sebagai ejen pengumpulan maklumat, OTHT malah juga boleh bertindak sebagai penggempur udara yang berasaskan misil bagi meledakkan sasaran tanpa perlu mempertaruhkan nyawa manusia.

Penggunaan UAV oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah menunjukkan keberhasilan yang tinggi dalam pencapaian misi ketenteraan dan mendapat perhatian negara negara membangun dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan negara masing masing.

Namun begitu, produk ini memerlukan modal kewangan yang besar dalam menjalankan kajian dan penyelidikan bagi memastikan UAV itu mampu memberi hasil yang berkesan untuk tujuan taktikal dan tujuan-tujuan strategik. Apa pun alasan, natijahnya atas nama pertahanan dan kedaulatan negara, segala persiapan mesti dilakukan sewaktu aman supaya bila tiba masa berperang kesiagaan boleh dioptimumkan sebaik mungkin. PERAJURIT

Wednesday, November 10, 2010

Panji-panji rejimen



Sumber Utusan
Oleh SYUKRI SHAARI

TANGGAL 2 November 2010 menjadi tarikh keramat bagi Batalion 1 dan 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen bagi kedua-dua batalion itu.

Ia merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada RAMD tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kali pertama istiadat seperti itu menggabungkan dua ketumbukan tentera.

Istiadat pertukaran itu menandakan sudah tiba masanya panji-panji lama bagi kedua-dua batalion itu disemadikan, bersama pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh anggota pasukan tersebut dan memulakan semangat serta perjuangan baru.

Panji-panji menjadi simbol kekuatan, semangat juang, inspirasi serta kebanggaan kepada RAMD terutamanya semasa menjalankan tugas sama ada di dalam mahupun luar negara.

Acara yang penuh adat istiadat itu diadakan di Dataran Panglima Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan dihadiri 350 anggota Batalion 1 dan 8 RAMD bagi menjadi saksi permulaan era baru Panji-panji Rejimen bagi batalion tersebut seiring dengan perubahan persekitaran ketenteraan masa kini.

Penganugerahan panji-panji baru itu adalah sebagai tanda menghargai pengorbanan kedua-dua batalion dalam mempertahankan negara. Ia juga adalah tanda penghormatan dan kemegahan batalion RAMD.

Panji-panji Rejimen merupakan denyut nadi sesebuah batalion dan merupakan penggerak kekuatan anggotanya semasa menjalankan tugas.

Malah Tuanku Abdul Halim selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD ketika bertitah semasa istiadat pertukaran itu menggesa anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mempertahankan panji-panji yang diamanahkan seperti mereka mempertahankan nyawa dan negara sendiri.'

Titah baginda, panji-panji tersebut tidak boleh dibiarkan gugur ke tanah dan mesti dipastikan ia terus dikibarkan.

"Beta tidak mahu melihat panji-panji ini gugur. Beta mahu ia terus menjadi kebanggaan negara kerana ia juga merupakan simbol kekuatan negara kita,'' titah baginda.

Baginda juga mengingatkan semua anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mencontohi semangat juang anggota-anggota terdahulu yang sanggup gugur di medan perang demi mempertahankan panji-panji mereka.

"Ingatlah ramai wira negara yang gugur semasa mempertahankan panji-panji ini kerana mereka menjaganya dengan sepenuh jiwa raga seperti menjaga keluarga dan negara sendiri.

"Beta mahu ia terus menjadi inspirasi kepada semua anggota untuk terus berjuang demi agama, negara dan bangsa,'' titah baginda.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini