About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 17, 2011

Unit Boustead Dapat Kontrak Mindef Bernilai RM9 Bilion

Sumber Bernama.com

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) - Unit kepada Boustead Holdings Bhd, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd telah diberikan kontrak bernilai RM9 bilion oleh Kementerian Pertahanan.

Kontrak itu ialah untuk penghantaran enam unit generasi kedua "Patrol Vessels Littoral Combat Ships" (Frigate Class) kepada kementerian, kata syarikat dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia Jumaat.

Niaga janji itu meliputi reka bentuk, pembinaan, peralatan, pemasangan, pelaksanaan, integrasi dan pengujian ke atas keenam-enam kapal itu, katanya.

"Kontrak itu bernilai RM9 bilion, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga Rancangan Malaysia, 10, 11 dan 12," katanya.

Penghantaran pertama dijangka pada 2017 dan disusuli oleh yang lain setiap enam bulan selepasnya.

- BERNAMA

Thursday, December 8, 2011

Tiada Perolehan Baru Aset Utama ATM Di Meterai

Oleh Hamzah hd.


Langkawi 8 Dis- Pertayaan yang sering ditanyakan oleh peminat-peminat pertahanan negara menjelang LIMA’11 yang lalu ialah apa aset-aset yang bakal diumum oleh kerajaan untuk pertahanan darat , laut dan udara bagi memenuhi keperluan semasa ATM samada penambahan atau pun penggantian.

Kini semua persoalan terjawab dengan menyaksikan sejumlah 24 perjanjian dan pemberian kontrak telah ditandatangani. Menteri Pertahanan Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media besempena dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) dan Kontrak semasa LIMA berkata, sebahagian besar perjanjian dan kontrak itu merupakan suatu kontrak penyelengaraan kepada aset-aset sedia ada. Lima puluh peratus daripadanya adalah pembelian aset-aset sebagaimana yang telah diputuskan dalam bajet 2011 dan juga Rancangan Malaysia ke 10(RMK 10).

Perincian dalam kontrak ini adalah untuk Tentera Darat, Laut dan Udara serta offset bernilai RM 650 juta. Mou dengan MIMOS serta agensi-agensi luar atau kompeni dengan kompeni bernilai RM 420 juta. LOA atau surat tawaran bernilai RM 324 juta. LOI untuk Tentera Darat, Laut dan Udara bernilai RM 410 juta dan nilai keseluruhan bernilai RM 1.8 bilion.

Ertinya LIMA’11 tidak banyak memberi penekanan kepada nilai kontrak tetapi lebih kepada kerjasama pintar antara syarikat-syarikat prinsipal dengan syarikat-syarikat tempatan dan juga mengeksplorasikan potensi untuk menjalinkan kerjasama dalam industri pertahanan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Ini merupakan pendekatan baharu terutamanya dalam merealisasikan dasar yang ditentukan oleh Majlis Aeroangkasa yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menterikerana dalam bidang Maintainance, Repair dan Ovehaull (MRO)sahaja terdapat kontrak yang telah ditandatangani dan mendapat pertukaran wang asing bernilai USD 1.9b manakala dalam bidang maritim telah memperolihi pertukaran wang asing sebanyak USD 2.3b.

Dalam tempoh 20 tahun sejak LIMA’91, industri pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan telah mula menjana pendapatan negara dalam jumlah yang agak tinggi. Tambah beliau, bahawa negara akan mengkoordinasikan pemasaran perkhidmatan dari syarikat-syarikat industri di Malaysia untuk pasaran antarabangsa melalui sebuah special purpose vehicle (SPV) yang bakal dibentuk sesuai dengan keputusan yang telah dibuat di dalam Majlis Industri Pertahanan dan Keselamatan yang telah diadakan 2 bulan lalu.

Apa yang menarik, transaksi yang dibuat adalah tidak menggunakan modal kerajaan sebaliknya pemacu-pemacu industri yang akan meletakkan modal dan syarikat-syarikat yang terbabit adalah syarikat holding yang dipunyai oleh ahli-ahli dalam Majlis Industri pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan. Paling lewat syarikat pemasaran akan ini dapat dilancarkan untuk memasarkan produk-produk seperti yang dinyatakan pada bulan Febuari akan datang.

Friday, December 2, 2011

Rejimen Sempadan Sabah, Sarawak belum muktamad

sumber utusan



LUNDU 30 Nov. - Cadangan menubuhkan Rejimen Sempadan di Sabah dan Sarawak bagi mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia belum dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat kajian.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, berikutan cadangan itu melibatkan perkara dasar, penubuhan rejimen tersebut tidak semudah yang disangkakan.

"Selepas mengambil kira keperluan semasa bagi menangani isu keselamatan yang timbul di perbatasan, kita tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkannya pada masa depan.

"Bagaimanapun, ia masih dalam proses perbincangan, terutama hal-hal berkaitan pengukuhan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Kepala Staf Umum Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Jeneral J. Suryo Probowo di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak dekat sini hari ini.

Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah.

Pada sesi lawatan itu, Raja Mohamed Affandi dan J. Suryo turut meluangkan masa menanam empat batang anak pokok sebagai simbolik hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini ATM dan TNI memiliki enam pos gabungan bersama di Sarawak dan dua di Sabah bagi menjaga kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan Barat.

Mengenai cadangan supaya ATM mewujudkan pos kawalan seumpamanya di Teluk Melano, Sematan, beliau menjelaskan, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penyelaras Kawalan Operasi (COCC) Malaysia-Indonesia terlebih dahulu.

"Sekiranya diluluskan di peringkat COCC, ia akan dibawa kepada HLC (Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) sebelum diputuskan oleh menteri masing-masing," katanya.

4 jet pejuang gegarkan LIMA 2011

sumber utusan

Oleh ZARINA MD HASHIM
utusankedah@utusan.com.my

LANGKAWI 1 Dis. - Empat jet pejuang terbaru jenis Rafale, Gripen, FA-18 Super Honet dan Eurofighter Typhoon bakal menggegarkan ruang udara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi 2011 (LIMA 2011) tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad berkata, jet pejuang Rafale buatan Perancis, Gripen (Sweden), FA-18 Super Hornet (Amerika Syarikat) dan Eurofighter Typhoon buatan (Eropah) itu dibawakan serentak buat pertama kali untuk dipertontonkan kepada pengunjung dalam LIMA 2011 yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Disember depan.

Menurutnya, jet-jet pejuang tersebut akan terlibat membuat persembahan aerobatik udara serta pameran statik.

"Tahun ini mencatat sejarah tersendiri dan merupakan perkembangan terbaik dalam penganjuran LIMA di Langkawi kerana kali pertama kita membawakan empat jenis jet pejuang secara serentak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 3 Siri 8/2011 di Kem Lagenda Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama, Datuk Pahlawan Mior Rosdi Datuk Mior Mohd Jaafar.

Ismail berkata, selain empat jet pejuang tersebut, LIMA kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan ruang udara terbaru oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dinamakan Krisakti.

Katanya, persembahan Krisakti akan menggunakan empat buah pesawat Extra 300L dan juruterbangnya adalah juruterbang-juruterbang tempatan.

"Ini juga merupakan persembahan terbaru daripada TUDM yang setanding dengan persembahan negara luar dan ia diyakini mampu memukau perhatian pengunjung dalam penganjuran kali ini," katanya yang menyasarkan kehadiran sehingga 40,000 pengunjung.

Mengenai PLKN, beliau berkata, tiga modul yang baru diperkenalkan iaitu sub-modul budaya kerja, Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dan I-Smart berjaya dilaksanakan.

"Manakala, satu lagi sub-modul yang sedang dikaji akan dilaksanakan mulai tahun hadapan ialah modul fizikal yang dicadangkan khusus untuk pelatih-pelatih yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti," katanya.

Tiga pasukan aerobatik ke LIMA 2011

sumber utusan
Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BUTTERWORTH 30 Nov. - Pasukan aerobatik yang akan mewakili negara di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 kini sudah bersedia untuk memukau pengunjung dengan aksi-aksi menarik dan mendebarkan.

Tiga pasukan tersebut adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diwakili pesawat tempur Sukhoi SU-30 MKM dan MiG-29N serta KRISAKTI, iaitu pasukan usaha sama antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat swasta, Aerotree Sdn. Bhd.

Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abd. Samad berkata, beliau berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh semua pasukan terlibat dan menepati standard diharapkan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh semua pesawat pada hari ini dan menepati standard yang kita mahukan sebelum mereka membuat persembahan sebenar pada LIMA 2011.

"Mungkin ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki namun secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persiapan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi aerobatik dan persiapan juruterbang pasukan-pasukan berkenaan di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Tambah Ackbal, demonstrasi aerobatik itu adalah senarai semak terakhir bagi pihaknya menilai tahap keselamatan serta kecekapan juruterbang mengendalikan pesawat.

Menurutnya, apa yang ditunjukkan hari ini adalah aksi sebenar yang akan dipertontonkan kepada pengunjung LIMA dengan beberapa aksi akan ditambah untuk menghiburkan mereka nanti.

"Kita juga bertuah kerana dapat membawa KRISAKTI yang disertai oleh juruterbang berpengalaman untuk bersama-sama membuat pertunjukan udara pada program tersebut.

"Pasukan itu telah mendapat latihan intensif daripada pasukan aerobatik terbaik di United Kingdom iaitu The Blades yang diwakili oleh bekas juruterbang Red Arrows," ujarnya.

Pesawat tangki tercanggih di LIMA 2011

sumber utusan

30/11/2011 6:09pm

KUALA LUMPUR 30 Nov. — Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) akan menerbangkan pesawat tangki pelbagai guna A330 MRTT yang tercanggih di rantau ini untuk menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2011) yang akan berlangsung pada 6 hingga 10 Dis. depan.

Menurut kenyataan dari Airbus Military hari ini, pesawat itu akan dipamerkan secara statik dan ini merupakan kali pertama, pesawat milik RAAF itu menjalankan tugasan luar negaranya sejak ia memasuki perkhidmatan RAAF pada awal tahun ini.

"Ini merupakan kehadiran A330 MRTT untuk tugasan antarabangsa dan awam pertama dalam perkhidmatan RAAF dan akan menjadi satu acara unik dalam sejarah operasi pesawat Australia itu,” tambah kenyataan syarikat itu.

Syarikat itu akan turut mempamerkan model pesawat pengangkut strategik A400M yang bakal memasuki perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam masa beberapa tahun lagi. — Bernama

Tinggalkan pesanan anda di sini