About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, March 1, 2018

Program Gegar Askar Wataniah

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Mac 2018

Oleh: Paklang Hamzahl/Foto PLH

Tanggal 26 dan 27 Januari 2018 sekali lagi Taman Tema Bandar Darul Aman Jitra Kedah digamatkan dengan kehadiran empat ribu sukarelawan pertahanan yang terdiri daripada anggota dan pegawai Askar Wataniah Zon Utara, Kadet PALAPES Zon Utara, Briged Sukarelawan Khidmat Negara dan Ahli Jawatan Kuasa Pendukong Askar Wataniah (JAKPAW) Zon Utara disokong oleh Anggota-anggota Tetap Tentera Darat (TD) dari pelbagai peringkat berhimpun  bagi merealisasikan program kemasyarakatan antara tentera dan rakyat dalam satu program yang dinamakan Program Gegar Askar Wataniah (GAW) anjuran Bahagian Pasukan Simpanan TD dengan kerjasama kerajaan Negeri Kedah selaku Penganjur Bersama.
Terdahulu pada 17 Sep 2011 di lokasi yang sama telah menyaksikan perhimpunan seumpama ini melibatkan AW Zon Utara bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Penubuhan Kompeni AW yang ke 15 di mana mewakili 15 kawasan Parlimen bagi Negeri Kedah.



Tujuan utama Program GAW diadakan adalah untuk menjadikan satu landasan bagi membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan belia dan beliawanis, pelajar dan anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara melalui AW.  Program ini dilaksanakan secara pemukiman dan gradual mengikut zon atau negeri berdasarkan timeline yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum dalam ucapan perasmiannya memaklumkan konsep perlaksanaan Program GAW dilaksanakan mengikut tiga tema yang telah ditetapkan iaitu:
-Lancar (Launch) di mana lima Program Pelancaran GAW telah dirancang sejak 2017 mengikut zon-zon yang ditetapkan secara berperingkat dan tarikh bergantung kepada kesesuaian masa dan keadaan.  
Dalam masa yang sama kemasukan anggota baharu untuk berkhidmat di dalam AW akan terus diambil mengikut nisbah yang telah ditetapkan.
-Kekal (Maintain) yakni bagi anggota yang sedang berkhidmat di dalam AW, pengekalan anggota untuk terus berkhidmat di dalam AW akan terus dipupuk dan dipantau oleh Pasukan masing-masing.
-Bertahan (Sustain).  Kesemua AW setelah memasuki perkhidmatan sukarela akan terus bertahan dan aktif dalam menghadiri latihan yang telah dirancang demi memastikan ilmu ketenteraan diperolehi.  Keaktifan di dalam menghadiri latihan ini akan membolehkan anggota AW mempunyai ilmu setanding dengan anggota Pasukan Tetap walaupun tidak mencapai ke tahap maksimum serta boleh dipanggil  bila-bila masa bagi membantu Pasukan Tetap jika negara berhadapan dengan suasana kritikal atau darurat di hari-hari mendatang.

Pengisian dalam perhimpunan kali ini  dibahagikan kepada beberapa segmen di antaranya ialah Segmen Perhimpunan Pelancaran yang disusuli dengan Demonstrasi dan aksi lasak elemen-elemen TD dengan mempamerkan pertunjukan Payung Terjun oleh Tim Gerup Gerak Khas (GGK), pertunjukan Anjing Perang yang dibawa khas dari Unit Anjing Perang PULADA, pertunjukan Mini Tatoo oleh Tim Wira Merah Kor Polis TD, demonstrasi anti keganasan melibatkan Pasukan Khusus dan Unit Udara TD serta persembahan pancaragam oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Persembahan Brass Band, persembahan pancaragam Anggota Wanita TD dan persembahan pentas di akhir program.

Segmen promosi kerjaya ketenteraan dan Pameran Statik aset-aset pertahanan TD dan peluang kerjaya untuk menjadi seorang anggota tentera samada di peringkat Pasukan Simpanan mau pun Angkatan Tetap.



Mengisi slot  segmen keagamaan, penglibatan guru-guru Agama dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) menyampaikan tazkirah kuliah subuh di beberapa buah masjid yang terpilih di sekitar kawasan Jitra, Kursus Jenazah serta Forum Perdana.

Segmen Projek Jiwa Murni telah melibatkan projek pemasangan paip HDPE 4” sepanjang 1.5 km di Kampong Paya Nongmi Changloon oleh Jurutera Pakar Pengendalian Air (60 RAJD Pakar AW) bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.

Askar Wataniah Bukan Sekadar Simpanan

Sejarah Pasukan sukarela telah pun wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1861 lagi dengan penubuhan Penang Volunteer kemudian disusuli oleh Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri dari Negeri Perak, Negri Sembilan, Selangor dan Pahang menerusi Malay State Volunteer Riffles (MSVR) dan beberapa lagi Pasukan Sukarela ditubuhkan selepas itu.

Semasa Perang Dunia Kedua meletus, semua pasukan Sukarela  yang wujud sama-sama berganding bahu dengan Angkatan Tetap menentang Tentera Jepun di Malaya. Semasa darurat tercetus pada 1948 pasukan Home Guard ditubuhkan dan dibubarkan pada tahun 1958 setelah keselamatan dalam negeri terkawal.

Memandangkan ramai dari kalangan anggota Home Guard ingin terus menyumbang tenaga melalui perkhidmatan sukarela mereka, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan untuk menghidupkan serta menyusun Pasukan Sukarela supaya ia lebih berkesan dan tersusun.  Justeru, The Territorial Army Ordinance telah digubal seterusnya AW telah ditubuhkan pada 1 Jun 1958.

Terkini, AW merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan TD dengan kepelbagaian Rejimen dan Kor yang mempunyai peranan dan tugas yang tersendiri.  Diletakkan di bawah pentadbiran Briged setempat dan di bawah kawalan teknikal Bahagian Pasukan Simpanan TD.
Bagi mencapai sasaran Key Performance Indicator (KPI) Menteri Pertahanan, sekurang-kurangnya satu kompeni AW ditubuhkan bagi setiap kawasan Parlimen.  Sehingga kini 222 kawasan Parlimen telah pun mempunyai kompeni AW masing-masing.  

Penubuhan Jawatan Kuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) adalah selaras dengan konsep menganakangkatkan pasukan Angkatan Sukarela oleh kerajaan negeri di mana jawatan kuasa ini akan merancang segala bentuk bantuan untuk membangunkan pasukan AW negeri masing-masing.

Natijah

Kewujudan Rejimen AW dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) adalah merupakan dimensi pertahanan dalam negara yang sangat penting di mana kekuatan dan kemahiran setiap anggota pelapis ini dapat mengimbangi berdasarkan nisbah dengan kekuatan anggota tetap bagi mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara jika negara berhadapan dengan situasi konflik.
Justeru, rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum digesa untuk menjadikan AW sebagai suatu pelantar dalam meningkatkan dan mengenal potensi diri anak-anak muda yang berkelayakan bagi memikul tanggungjawab dengan mempertaruhkan semangat jati diri, disiplin dan komitmen untuk bersama-sama menyumbang khidmat bakti kepada keharmonian dan kestabilan negara. 

JURUTERBANG AIRFORCE NEXT GENERATION

Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi mac 2018

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: Bernama

Seramai 20 orang pelatih Kursus Asas Penerbangan siri 79/16 dan 16 orang pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter siri 58/16 menerima sayap Penerbangan masing-masing dalam satu Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan  di Kolej Tentera Udara (KTU) pada 27 Januari lalu yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Seri Haji Afendi bin Buang TUDM.
Dalam ucapan, PTU mengingatkan graduan supaya sentiasa mengamalkan nilai teras TUDM iaitu Integriti, Keberanian, Kecemerlangan, Setiakawan dan mengutamakan perkhidmatan bagi memastikan kesinambungan kecemerlanganTUDM di masa hadapan.

Leftenan Udara Mohamad Farhan bin Ismail menerima anugerah Piala Panglima Tentera Udara (PTU) setelah berjaya muncul sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku dan Leftenan Mohamad Daniel Mohamad Noor dianugerah Piala Nuri setelah muncul sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Helikopter sementara Leftenan Mohamad Horas Matupang Kardi menyandang Pelatih Terbaik Akademik dan menerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.


Di Pusat Latihan Penerbangan (PULATIBANG 1), pelatih menjalani Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) selama 3 bulan pertama sebelum meneruskan latihan dengan menggunakan pesawat latihan sayap kaku jenis Pilatus PC-7 Mk ll dan Mk lll yang merupakan di antara pesawat latihan yang tercanggih di dunia di dalam kelasnya yang telah memasuki inventori TUDM keseluruhannya pada pertengahan tahun 2016.


Pendedahan awal latihan, pelatih diberi latihan Basic Handling Test (BHT), Instrument Rating Test (IRT) sebelum meneruskan fasa penerbangan Asas Navigasi.  Untuk melengkapkan modul latihan, pelatih dikehendaki mengambil Final Navigation Test dan Final Handling test sebelum diiktiraf sebagai juruterbang TUDM.

Di PULATIBANG 2, kursus dibahagikan kepada 3 fasa iaitu Fasa Akademik,  Fasa Penerbangan Asas, dan Fasa Penerbangan Lanjutan.  Dalam siri latihan penerbangan asas, pelatih diberi pendedahan dengan menggunakan pesawat jenis latihan Eurocopter EC-120B Colibri.  Pesawat ini telah diperkenalkan di dalam perkhidmatan TUDM pada 3 Dis 2015.  Lima buah pesawat yang berkonsepkan Company Own and Military Operates dijadikan pelantar latihan.  Konsep ini diperkenalkan bagi menjimatkan kos pengoperasian, pengurusan aset dan sumber manusia.

TUDM Terus Unggul

Sejarah melahirkan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tercipta silih berganti dari satu siri kepada satu siri yang baharu tahun demi tahun sejak penubuhan TUDM 59 tahun yang lalu. 

Ini adalah kerana prosedur operasi standard sesuatu jabatan terutamanya dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menetapkan tempoh waktu kompeten bagi seseorang individu memikul tanggung jawab yang memerlukan mental dan fizikal yang kuat seumpama juruterbang kombat adalah mesti berada dalam time frame yang telah ditetapkan. 

 Justeru penyediaan pegawai-pegawai baharu yang segar dan cergas sentiasa diberi perhatian sebagai pelapis yang bakal mengharungi cabaran mengendalikan  pesawat ‘state of art’ keluaran dunia aviasi hari ini.

Kebolehan anak-anak watan mengendalikan pesawat yang tercanggih pada era ini tidak boleh dipertikaikan lagi.  TUDM setakat ini tidak pernah gagal dalam melahirkan juruterbang-juruterbang versatil dengan  kompetensi yang tinggi dalam pengendalian pesawat-pesawat termoden yang ada di pasaran sekali gus setanding dengan kompetensi juruterbang tentera udara negara maju. 

Ini terbukti dengan kemampuan yang telah ditunjukkan oleh anak-anak watan produk TUDM dalam pengendalian pesawat tempur seperti Sukhoi, pesawat pengangkut seperti Airbus A400M, helikopter EC725 dan sebagainya.  Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara.  

HOSPITAL BAHARU UNTUK VETERAN ATM


Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Mac 2018

Oleh: Paklang hamzah/Foto: UKS ATM

Sebagai pengiktirafan pihak kerajaan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berjasa kepada negara, beberapa insentif yang telah diumumkan tahun lalu, sebahagiannya telah pun dilaksanakan seperti mana yang dirancang. Skim Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVe), Insentif Khas Insurgensi, Agenda Perumahan, Agenda Pendidikan dan lain-lain telah pun dinikmati oleh veteran terbabit dan inisiatif jangka panjang juga sedang dilaksanakan secara berperingkat.  Dalam konteks kesejahteraan di bawah Agenda Kesihatan, penambahbaikan  kemudahan perubatan untuk warga tentera dan veteran kini dalam peringkat perlaksanaan.

Menurut YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Menteri Tugas-tugas Khas melalui kenyataan media semasa lawatan beliau ke Tapak Pembinaan Hospital Veteran ATM di Ipoh pada 2 Februari lalu menegaskan pada ketika ini keperluan pengurusan kesihatan Veteran ATM diuruskan secara tidak bersepadu oleh beberapa agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT), Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Dalam senario semasa, jumlah Veteran ATM sentiasa bertambah dari masa ke semasa yang mana sebilangan besar daripada mereka telah mencapai usia warga emas yang terdedah kepada penyakit-penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan.

Justeru, dalam usaha menjaga kebajikan warga ATM dan veteran, KEMENTAH telah meletakkan objektif yang sangat jelas dengan merangka dasar Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan  ATM 2017-2050 yang kini sedang dilaksanakan bagi merealisasikan  slogan penjagaan kesihatan ‘from cradle to grave’ dengan mengurangkan kebergantungan warga veteran kepada hospital-hospital ATM yang sedia ada.


Bagi memenuhi keperluan itu satu pusat kesihatan berupa sebuah Kompleks Hospital Khas akan dibina di Kem Gua Permai Jalan Tambun Ipoh Perak di atas tanah milik ATM berkeluasan 95,000 kaki persegi.  Apabila siap kelak, hospital ini akan berfungsi sebagai Perkampongan Kesihatan Veteran (Veteran Health Village) berkongsepkan ‘one stop centre’ dengan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan secara holistik, moden, selamat, efisien dan ekonomik dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan assisted living dan hospis.

Hospital ini akan menyediakan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti pakar jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri dan juga akan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

Selain pembinaan Hospital Veteran, pihak Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Kesihatan juga akan membina 5 buah lagi Poliklinik ATM iaitu di kluang Johor, Seberang Takir Trengganu, Kuantan Pahang, Sunagi Petani Kedah dan Kucing Sarawak.  Poliklinik ini bukan sahaja akan menyediakan kemudahan rawatan asas yang berkualiti malah juga turut dilengkapi dengan kemudahan rawatan pergigian, wad obsevasi, rawatan hemodialisis, rawatan pakar, pembedahan kecil serta beberapa lagi perkhidmatan lain.

Pada masa yang sama, KEMENTAH juga akan menaik taraf 5 Hospital ATM (HAT) di seluruh negara yang melibatkan proses penggantian kelengkapan perubatan, menaik taraf bangunan dan menyediakan perkhidmatan pediatrik, urologi, geriatrik serta pembedahan.



Dato’ Seri Hishammuddin berharap segala inisiatif dan pendekatan yang dilaksanakan berupaya membantu menambahbaik aspek kebajikan veteran ATM dan bagi pihak kementerian tidak akan sesekali berhenti berusaha dan menggembleng tenaga dan melakukan apa sahaja yang termampu dari masa ke semasa demi membalas jasa dan bakti veteran ATM selama ini. 

SAMBUTAN HUT PENUBUHAN 2 DIV KE 49

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Feb 2018

Oleh Paklang Hamzah/Foto PR 2Div




Tanggal 23 Januari 1969 ialah merupakan tarikh keramat bagi Divisyen Ke-2 (2 Div ) Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) di mana penubuhannya adalah ketika negara sangat memerlukan ketumbukan TD yang kuat bagi menghadapi ancaman subversif yang sedang melanda negara ketika itu.  Tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh formasi ini sememangnya sangat mencabar kerana  kawasan tanggungjawabnya merupakan kawasan persempadanan negara Malaysia dengan negara Thailand. Negeri-negeri yang berada di bawah naungan pemerintahan 2 Div ialah Kelantan, Trengganu, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Namun begitu setiap Divisyen telah distrukturkan di bawah naungannya dengan beberapa elemen Briged (BGD) Tempur yang mana di antara Bgd yang bernaung di bawah pemerintahan 2 Div ialah 2 Bgd yang mengawasi Negeri Perak, 6 Bgd membuat pengawasan Pulau Pinang, Negeri  Kedah dan Perlis, 8 Bgd diberi tanggungjawab mengawal di Negeri Kelantan dan Trengganu manakala 30 Bgd Rejimen Sempadan mengawal sempadan Malaysia-Thailand.
Dalam usia 49 tahun kini, 2 Div merupakan sebuah formasi yang cukup matang dalam menghadapi apa jua ancaman yang mengganggu gugat kestabilan negara.

Perbarisan sempena HUT Ke 49

Oleh kerana beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, sambutan HUT yang sepatutnya dibuat pada 23 Januari telah ditunda kepada 9 Februari 2018.  Acara Perbarisan sempena HUT ke 49 ini telah diadakan dengan penuh adat dan tradisi ketenteraan yang mana telah melibatkan 18 orang Pegawai dan 516 anggota Lain-lain Pangkat (LLP).
Perbarisan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azlan bin Mustafa dengan diiringi oleh Brass Band Gabungan Batalion Ke 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2RAMD), Rejimen Ke 3 Kor Armor Diraja (3 Armor) dan Batalion Ke 4 Rejimen Sempadan (4RS).

Sebanyak 8 kontijen telah mengambil bahagian yang mana Kontijen pertama adalah dari Bn. Ke 2 RAMD, Kontijen ke 2 melibatkan anggota-anggota Bn 6RAMD,  Kontijen ke 3 dari Bn. 19 RAMD, Kontijen ke 4 dari 3 Armor, Kontijen ke 5 gabungan dari 52 Artileri, Kontijen ke 6 adalah gabungan 504 RAW, Kontijen ke 7 terdiri dari gabungan 6 Ordnan, 6 KPA, 6 Workshop, 6 KPTD, 6 Platun Bekalan dan Platun Bekalan Alor Setar. Manakala Kontijen ke 8 merupakan gabungan Kem 6 Bgd, PKSP, Markas Stesen Staf Sungai Petani dan ULS Gurun.
Dalam perbarisan ini juga turut diadakan upacara Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Inovasi TD 2017.  Johan bagi kategori KIK Pengurusan- Bn. Ke 2 RAMD, Johan bagi kategori Anugerah Dan Pengiktirafan – 7 Skn RAJD, Johan bagi kategori KIK Hibrid -72 Workshop Divisyen, Naib Johan Kategori Inovasi Pengurusan Kewangan dan Ke 3 bagi kategori Inovasi Pengurusan Sumber – 513 AW,  Ketiga bagi kategori KIK –72 Bn. KPA.

Anugerah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Mej Jeneral Dato’Mohd Ramli bin Jaafar Panglima  Divisyen Ke 2 Infanti Malaysia.  Dalam ucapan beliau memaklumkan bahawa acara sambutan dalam bentuk perbarisan seperti ini adalah simbolik dan manifestasi dalam mengekalkan tradisi dan adat resam di samping mengingati jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan  oleh generasi terdahulu. Beliau juga mengingatkan kepada semua warga 2 Div supaya menjauhi aktiviti yang kurang sihat kerana kesan dari perbuatan yang tidak bermoral ini akan menjejaskan imej TD serta dapat menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi ketenteraan.

Turut hadir ialah Panglima 2 Bgd, Brig Jen Datuk Mohd Nizam Hj Jaafar, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Abdul Aziz Hj Ismail, Panglima 8 Bgd, Brig Jen Dato’ Nazari Abdul Hadi, Panglima 30 Bgd, Brig Jen Hashim Aman Shah, Komander Artileri Divisyen 2 Div, Kol Mohd Rawa Hj Seman, Ketua Staf 2 Div, Kol Noorrul Azril bin Ariffin, Pegawai-Pegawai Memerintah dan Pemerintah pasukan naungan 2 Div, BAKAT 2 Div serta para veteran Tentera Darat.

Majlis Tahlil Dan Khutbah Jumaat

Terdahulu daripada itu seramai 800 pegawai dan anggota LLP dari pasukan di bawah naungan 2 Divi hadir dalam majlis tahlil dan khutbah khas telah diadakan di Masjid An Naim Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.

Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin oleh PS 2 Agama MK 2 Div, Mej Aminuddin Hj Salleh manakala Khutbah Jumaat Khas HUT 2 Div bertajuk "Mengukuhkan Kualiti Hidup dan Memperkasakan Perkhidmatan" telah disampaikan oleh PS 2 Agama MK 6 Bgd, Mej Ahmad Nasri Abdul Rahman.
Khutbah khas yang disampaikan ini menerangkan bahawa kualiti hidup merupakan matlamat asas yang diinginkan oleh setiap manusia yang boleh dicapai melalui pendekatan yang holistik meliputi pendekatan agama, hidup saling berkasih sayang dan melalui pendekatan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka.
Sejarah perjuangan tentera Islam dalam perang Badar menunjukkan bahawa dengan memiliki ketakwaan yang jitu, mereka mampu mencapai kemenangan walaupun memiliki jumlah keanggotaan yang sedikit. Mengikut pemikiran logik akal manusia adalah mustahil tentera Islam yang hanya berjumlah 313 orang mampu menewaskan musuh yang berjumlah 1000 orang.

Intipati khutbah seterusnya mengajak warga 2 Div untuk menyuburkan interaksi yang berkesan antara seluruh warga 2 Div dari segenap lapisan. Amalan hidup yang berorentasikan nilai murni seperti sifat kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan adalah faktor terpenting yang dapat mengukuhkan lagi organisasi 2 Div.  

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini