About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, July 27, 2010

Tembakan misil KD Tunku Abdul Rahman tepati sasaran

Sumber Utusan
gambar oleh PRO TLDM

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman hari ini berjaya melancarkan penembakan misil bawah permukaan ke permukaan, Exocet SM39 blok dua yang berjaya memusnahkan sasaran permukaan (STB) berukuran 40 meter.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pelancaran tepat pukul 10.15 pagi tadi di kawasan Laut China Selatan membuktikan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kapal selam negara menjalankan sebarang misi jika diperlukan.

"Misil yang dilancarkan tepat ke sasaran berukuran 40 meter pada kedudukan 40 kilometer (22 batu nautika) dari kedudukan kapal selam.

"Ia dilancarkan ketika KD Tunku Abdul Rahman berada pada kedalaman 55 meter iaitu paras di mana ia sukar dikesan oleh sistem penderia bawah air mana-mana kapal permukaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Misil Exocet SM39 blok dua merupakan aset negara yang diperolehi dari Perancis pada pertengahan 2008. Peluru berpandu sepanjang enam meter dan berdiameter 35 sentimeter itu seberat 2,100 kilogram.

Abdul Aziz menambah, penembakan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti kontrak ujian tropika.



"Ia juga bertujuan mengesahkan keberkesanan misil Exocet SM39 blok dua dan sistem persenjataan KD Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai SUBTICS KD TAR di kawasan laut beriklim tropika," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 10 unit yang terlibat dalam penembakan tersebut akan turut menyertai latihan gabungan TLDM iaitu Eksesais Operasi Laut (Ostex) dan Latihan Integrasi Armada Kapal Selam (Subfit) yang berlangsung selama seminggu bermula Khamis ini di kawasan Gugusan Semarang Peninjau, Laut China Selatan.

Sunday, July 18, 2010

MISI MERENTAS WAKTU - MENJEJAK RAHSIA PERTAHANAN LAMPAU

Sumber Majalah Perajurit Isu Jul 2010
Oleh Hamzah Hd.

Sepanjang tahun 2009, negara telah dipolemikkan dengan isu membawa pulang Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng ke Malaysia setelah beliau sekian lama bermastautin di luar negara selepas perletakan senjata Parti Komunis Malaya yang bertapak di Tanah Melayu sejak 1930 lagi. Polemik yang mendapat liputan meluas di semua media cetak, elektronik malah juga lebih hebat diperkatakan di media baru telah mencetus satu fenomena di mana sebahagian daripada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda telah dikenal pasti amat jahil tentang sejarah negara. Maka terlalu mudah dikelirukan dengan fakta-fakta yang salah oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Berasaskan kesedaran ini, sekumpulan anak-anak muda telah mengambil inisiatif merencanakan satu projek yang diberi nama Misi Merentas Waktu (MMW). Anak-anak muda yang lahir pada era pasca merdeka yang bergabung di bawah satu forum maya yang dikenali sebagai Panggilan Pertiwi (http://panggilanpertiwi.forumotion.net).

Komposisi mereka dari pelbagai profesi dan akademik berslogankan Home of The Brave - the last line of defence yang ingin menyatakan sokongan kepada negara dan sedia mengembling tenaga demi mengekalkan kesinambungan keamanan dan kedaulatan negara tercinta dari sebarang pencerobohan.

Perlaksanaan misi ini adalah terbuka kepada semua bangsa Malaysia yang bertindak secara sukarela didorong oleh semangat cintakan negara untuk mengenal pasti, mencari dan menjejak kesan-kesan dan peninggalan artifak-artifak sejarah perjuangan militer generasi terdahulu semasa mempertahankan tanahair dari pencerobohan anasir-anasir yang ingin merampas dan menjajah bumi Malaysia dari bangsa peribumi.

Mengutip maklumat-maklumat perjuangan dari pejuang-pejuang yang masih hidup di samping menyatakan penghargaan di atas sumbangan yang tiada ternilai yang telah mereka curahkan. Menginsafi bahawa kedamaian yang dinikmati hari ini tidak datang sekelip mata tetapi disumbang oleh titik peluh dan titisan darah pejuang-pejuang yang meletakan asas kejayaan dan kestabilan negara pada hari ini.

Bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, betapa pentingnya kesan-kesan sejarah ini dikenal pasti, menghimpun dan memulihara artifak dan mengekalkan lokasi-lokasi ini supaya kewujudannya diketahui oleh generasi milenia tentang kaitannya dengan sejarah kemerdekaan dan pembangunan negara di masa lampau.

Sekali gus menuntut pihak-pihak berkuasa mengambil inisiatif supaya kesan-kesan sejarah pertahanan ini diberi perhatian dengan sentuhan pembangunan dan digazetkan sebagai tapak pelancongan pertahanan yang memangkin kepada semangat cintakan negara ke dalam jiwa anak-anak muda generasi terkini.

Kampar Green Ridge

Projek pertama kumpulan ini telah dilaksanakan pada 14 Mac 2010 yang lepas dengan mensasarkan Kampar Green Ridge (KGR) sebagai objektif pertama untuk dijejaki bagi menyungkil segala maklumat yang tersirat dan tersurat.


Lokasi KGR adalah satu kawasan terbiar yang bersebelahan dengan Thomson, Kennedy dan Cemetery Ridge berhampiran jalan utama dari Ipoh ke arah Selatan yang mempunyai nilai strategik dari segi sejarah pertahanan. Ianya terletak di atas Gunung Brijang Melaka yang diliputi hutan dan kesan-kesan perlombongan yang mengunjur ke arah Timur Bandar Kampar.

KGR telah mensuratkan sejarah silam sebagai satu kawasan pertempuran Battle of Kampar berlaku semasa Perang Dunia ke 2 di antara Bahagian Infantri India ke11 dan Division ke 5 Tentera Jepun. Kampar adalah satu lokasi pertahanan semula jadi yang strategik yang mana orang-orang India mendudukinya pada 27 Disember 1941 bertujuan mempertahankan Kampar untuk mengelakkan penangkapan Royal Air Force Kuala Lumpur dan pada masa yang sama, untuk memberi cukup masa kepada Infantri India ke 9 berundur balik dari pantai timur.

Tentera Jepun bercadang untuk menawan Kampar sebagai satu hadiah Tahun Baru kepada Maharaja Hirohito, tetapi keputusan Leftenan Jeneral Arthur Percival membuat serang hendap di Kampar, berjaya melambatkan kemaraan mereka. Pasukan bersekutu berupaya bertahan di kedudukan mereka selama empat hari sebelum berundur balik pada 2 Januari 1942. Pertempuran ini melibatkan 3000 orang tentera British dan lebih 6000 orang tentera Jepun. Walaupun mempunyai jumlah anggota yang kecil, tentera British dapat mempertahankan kubu tersebut.

Dalam misi ini mereka ditemani oleh Peter Chye ( adik Cikgu Chye Kooi Loong ) yang bertanggungjawab mengesan kedudukan kubu pertahanan British ini sekaligus memuliharanya sebagai kesan sejarah. Peserta misi dibawa oleh Peter Chye melawat ke tempat-tempat yang telah dibersihkan ( hanya sebahagian tempat sahaja yang telah dibersihkan). Di antara tempat-tempat yang mereka lawati ialah bunker utama, jalur perhubungan utama, jalur perhubungan belakang, parit-parit, tapak machine gun , fox hole, dan lubang misteri. Lubang yang bersaiz 3 diameter dan kedalamannya lebih kurang 5 meter namun masih samar-samar kegunaanya.


Bunker ini dibuat dengan menggunakan beg-beg pasir. Jalur perhubungan utama pula digunakan untuk berhubung antara pertahanan hadapan ke bunker utama. Bunker utama juga digunakan sebagai pos perintah dan juga tempat untuk merawat anggota tentera British yang tercedera. Jalur perhubungan belakang juga berfungsi sama dengan jalur perhubungan utama. Namun amat mendukacitakan kerana Jalur perhubungan belakang telah dipotong oleh orang yang tidak peka tentang sejarah ini yang kemungkinan berlaku sebelum pemuliharaan ini dilakukan. Olehkerana usaha-usaha pemuliharaan kawasan tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib maka peranan ini telah diambil oleh beberapa orang veteran perang yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjaganya sekadar mampu.

Veteran Perang

Bagi melengkapkan misi, kumpulan seramai 9 orang ini telah mengunjungi rumah seorang veteran perang era insurgensi iaitu Inspektor Hassan bin Shahabuddin. Memulakan perkhidmatan Polis pada tahun 1948. Merupakan anak jati perak. Kisah perjuangan beliau semasa menentang Pengganas Komunis pernah dicatatkan di dalam buku tulisan Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman bin Syed Omar (Bersara). Buku tersebut bertajuk PEMBURU BINTANG TIGA.


Beliau telah dianugerahkan George Medal oleh Queen Elizabeth. Pingat keberanian tersebut merupakan pingat keberanian kedua tertinggi kerajaan British. Beliau pernah menulis surat kepada kerajaan memohon pertimbangan supaya penerima pingat ini turut dipertimbangkan untuk diberi elaun setimpal namun usaha beliau gagal kerana elaun hanya akan di bayar terhadap pingat yang dianugerahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sahaja.
Walaupun akur dengan alasan yang diberikan namun di sudut hatinya terkilan kerana beliau juga berjuang di bumi sendiri untuk pembebasan tanah air dari anasir pengkhianat.

Misi seterusnya ialah berkunjung ke rumah Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman bin Syed Omar (Bersara). Beliau merupakan seorang penulis kepada beberapa buah buku ketenteraan yang di antaranya judul buku tersebut adalah 19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA, PEMBURU BINTANG TIGA dan beberapa buah buku lagi.
Beliau dilahirkan di Kampung Seberang Karai, Enggor, Perak. Memulakan kerjaya tentera pada 1972 di Rejimen Semboyan Malaysia dan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dan bertugas di Batalion Ke 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada Disember 1977.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Habibah Nordin. Beliau memperolehi Sarjana Muda Sains dalam dua bidang iaitu Komunikasi Massa serta Politik dan Hal Ehwal Awam dari Universiti Miami, Amerika Syarikat. Detik detik hitam dalam hidupnya bermula pada 4 ogos 1979 apabila beliau bersama 2 orang anggotanya telah terkena jerangkap samar semasa operasi memerangi Pengganas Komunis di kawasan Ban Tong Yan di selatan Thailand. Akibat dari kejadian tersebut, beliau telah kehilangan deria penglihatan buat selama lamanya. Manakala kaki anak buahnya Prebet Tahir terpaksa dipotong dari paras lutut. Seoarng lagi anak buahnya Prebet Mansor yang cedera keseluruhan badan berjaya diselamatkan. Walaubagaimanapun ketiga tiga mereka kini terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan kurang upaya. Lebih menyayat hati, kejadian ini berlaku selepas 27 hari beliau melangsungkan perkahwinan. Walaupun beliau kehilangan penglihatan buat selama lamanya, tetapi beliau mengangap semua itu adalah ketentuan Allah SWT. Beliau menerima kejadian itu dengan redha.

Selain itu, beliau juga turut berkongsi cerita mengenai proses pelancaran buku 19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA yang terpaksa menghadapi kerenah birokrasi dari pihak-pihak tertentu yang tidak begitu senang dengan penerbitan dari kisah benar yang hendak dipaparkan. Namun dengan usaha gigih beliau, buku tersebut berjaya menemui pembaca di pasaran.

Harapan


Dalam usaha bersama untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada generasi muda tentang sejarah kemerdekaan, susur galur bangsa dan peradaban seharusnya ada kurikulum yang menjurus ke arah itu secara khusus dan konsisten dari peringkat persekolahan. Meskipun subjek sejarah di bangku sekolah sudah diajar dalam bentuk teori namun kemungkinan perlu ada susulan untuk memperkenalkan kepada pelajar-pelajar secara lebih agresif di peringkat menengah dan lanjutan berkongsepkan kajian dan analisa di luar bilik darjah.

Di peringkat pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil inisiatif mengesan, memulihara, mendokumentasi dan mewartakan setiap lokasi dan peristiwa yang pernah berlaku yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri bagi mendorong individu maupun kumpulan mendapatkan maklumat dengan mudah. Jika usaha sebegini tidak diberi perhatian adalah tidak mustahil artifak ini akan turut terkubur. Malah lebih mendukacitakan lagi kesan-kesan sejarah ini akan dipugar untuk pembangunan komersil yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata.

Segala usaha individu-individu yang gigih mengkaji dan mendokumentasikan peristiwa-peristiwa tentang penglibatan dan keperitan pasukan keselamatan memerangi Pengganas Komunis harus diberi pujian, pengiktirafan dan penghargaan kerana teks pembacaan ini secara tidak langsung akan menyebar luas sejarah pertahanan lampau memangkin kepada kebangkitan semangat juang dan jati diri generasi milenia. Tanpa usaha-usaha sebegini, harapan untuk menyatupadukan masyarakat majmuk menjadi satu bangsa Malaysia yang harmoni mungkin menjadi sukar dan lambat laung hak-hak keistimewaan yang dipertahankan akan terhakis jua. PERAJURIT

Thursday, July 15, 2010

Prebiu Majalah Perajurit Julai 2010


Catatan Perajurit
Airforce next generation
join helicopter command
galeri PASKAL
PALAPES sedia memimpin
Pingat Tentera Udara (PTU)
Campurtangan British di TAnah Melayu
STELATH Glow IRIS-T SLM
GERBER
SEjarah Penerbangan di malaysia
Afganistan mutakhir
Sistem Perkhidmatan ketenteraan
WELLCO
Sikosrky S61 -A4 NURI
Misi Merentas Waktu
Kuiz perajurit

Dapatkan poster pesawat skn 15 TUDM.

Wednesday, July 14, 2010

Pusat Latihan APMM, Gebeng beroperasi tahun depan

sumber utusan
KUANTAN 22 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak lagi bergantung kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk merekrut anggotanya apabila Pusat Latihan APMM, Gebeng dekat sini beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.

Komandan Pusat Latihan APMM, Kapten Adun Shahalan berkata, selepas pusat latihan bernilai RM200 juta itu beroperasi, 41 jurulatih dan 900 pelatih baru dapat dilatih dalam satu-satu masa.

Menurut beliau, APMM juga akan menggunakan modul latihan sendiri apabila pusat latihan baru tersebut beroperasi.

“Selama ini APMM merekrut pelatih di Pusat Latihan TLDM di Tanjung Pengelih, Johor menggunakan modul latihan TLDM,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan 163 pelatih APMM daripada TLDM Tanjung Pengelih di Pusat Latihan APMM, Indera Mahkota di sini hari ini.

Pada majlis itu, 153 pelatih lelaki dan sembilan wanita menamatkan latihan enam bulan di TLDM Tanjung Pengelih berakhir Sabtu lalu.

Adun memberitahu, pusat latihan APMM baru itu dibina di tapak seluas 80 hektar di Gebeng dilengkapi pelbagai kemudahan latihan serba moden.

“Ia meliputi kelas, lapang sasar, kolam renang dan sebuah tasik yang akan digunakan sebagai asas latihan kepada pelatih,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, APMM akan menjalankan kempen dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik untuk menarik lebih ramai bukan Melayu menyertai agensi itu.

Katanya, pada masa ini, sambutan bukan Melayu untuk menyertai agensi itu amat dingin.

Menurut beliau, daripada 4,000 anggota APMM pada masa ini, hanya 10 peratus atau 400 orang bukan Melayu.

Transformasi ATM

sumber utusan
Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA



PELANCARAN Sistem Pengurusan Strategik (SPS) baru-baru ini membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya komited dalam menjana proses transformasi.

Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu langkah bijak dalam usaha untuk memodenkan pasukan keselamatan tersebut.

Sistem yang dibangun berteraskan kaedah pelan pengurusan dan perancangan strategik atau dikenali balanced scorecard itu terbukti begitu efektif dan efisien dan ia merupakan medium komunikasi strategik yang menyeluruh untuk digunapakai sebagai platform pengukuran terhadap semua perancangan strategik ATM.

Perancangan strategik itu dilaksanakan dengan mengambil kira faktor kejayaan kritikal, cabaran dan konsolidasi rancangan pembangunan sedia ada.

Dalam erti kata lain, kewujudan SPS bertujuan memacu ATM ke arah menjadi satu angkatan tentera yang kredibel, digeruni, dihormati dan disegani pada masa hadapan.

Menurut Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, SPS sebenarnya telah diterapkan secara aktif di peringkat markas ATM, markas-markas perkhidmatan, markas angkatan bersama serta Bahagian Staf Perisikan Pertahanan sejak beberapa tahun lalu.

''Pelaksanaan SPS ATM diharap dapat menyelaraskan semua usaha bahagian dan cawangan menerusi sistem dan instrumen pengurusan yang lain seperti pengurusan kualiti menyeluruh, ISO 9000, kumpulan inovatif dan kreatif dan sistem penarafan bintang.

''Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak agar terus memperkasa langkah-langkah penambahbaikan keupayaan dan kesiagaan organisasi yang meliputi keberkesanan sistem perjawatan, pemerintahan dan pengurusan, pembangunan sumber manusia serta aliran proses kerja,'' katanya.

Azizan berkata demikian ketika merasmikan Sistem Pengurusan Strategik Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan, baru-baru ini. Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali

Azizan juga memberitahu, dengan pelaksanaan balanced scorecard, ATM dapat menyelaras, menjajar, memantau dan mengukur segala aktiviti pengurusan strategik secara lebih teratur, berkesan dan telus.

strategik ATM


''Saya optimistik SPS yang dilancarkan akan membolehkan kita mengukur prestasi dan pencapaian ATM sejajar dengan wawasan, misi dan matlamat khususnya dalam konteks kebersamaan.

''Selain itu, ia juga akan menjadi penentu pada pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi ATM serta menilai pencapaiannya melalui prestasi petunjuk utama ATM,'' katanya.

Perancangan strategik ATM termasuk SPS dibangun dan diterjemahkan dalam bentuk peta strategi ATM yang memaparkan objektifnya.

Pengukuran pencapaian objektif itu kemudiannya dilaksana berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Seterusnya, KPI yang telah ditetapkan itu akan dicapai melalui pelaksanaan inisiatif strategik yang turut membabitkan penyaluran maklumat daripada perkhidmatan.

Pada peringkat akhir, peta strategi ATM perlu diperturunkan sehingga ke peringkat perkhidmatan agar ia sejajar dan menyokong SPS ATM serta menjamin pencapaian setiap objektif strategik dan KPI.

Sunday, July 11, 2010

TLDM siasat pembocor maklumat

Sumber: Utusan
Oleh Norlaili Abd. Rahman
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melakukan siasatan untuk mengenal pasti sumber-sumber industri yang telah mendedahkan maklumat tidak tepat mengenai status kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, beberapa artikel yang tersiar di sebuah akhbar baru-baru ini mengandungi maklumat tidak tepat mengenai KD TAR.

"Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana penulis artikel terbabit tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan fakta sahih sebelum menerbitkan artikel mereka.

"TLDM sangat serius dalam hal ini dan akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti siapakah sumber industri pertahanan yang telah mendedahkan rahsia penting ini kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Penerbitan artikel yang tidak tepat secara berulang kali bukan hanya akan merosakkan imej Pasukan Kapal Selam TLDM tetapi juga mendedahkan rahsia pertahanan negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan KD TAR mengalami kerosakan dan tersadai di pangkalan TLDM sejak tiba di Teluk Sepanggar, Sabah dari Toulon, Perancis, September lalu.

Sehubungan itu, Abdul Aziz turut menyangkal dakwaan bahawa kapal selam berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkannya gagal beroperasi dan tidak boleh menyelam.

Abdul Aziz berkata, seperti kapal selam lain di dunia, KD TAR turut mengalami masalah berkaitan peralatan dan sistem, namun ia tidak membahayakan anak-anak kapal dan menyebabkannya gagal untuk menyelam seperti didakwa oleh akhbar tersebut.

"Sebelum tiba dengan selamat di Kota Kinabalu pada 17 September 2009, KD TAR telah belayar hampir 8,300 batu nautika dengan menyelam selama 31 hari daripada 43 hari yang dihabiskan di laut.

"Dengan itu, persoalan tentang keupayaan asal operasi atau adakah ia telah diisytihar beroperasi sepenuhnya tidak timbul kerana kapal selam itu tidak mampu tiba dengan selamat jika ia tidak boleh beroperasi sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, kenyataan yang menyebut kapal selam itu dibiarkan tersadai di pangkalan tentera laut tanpa dibaiki juga tidak tepat.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.

Sebagai bukti Abdul Aziz berkata, KD TAR telah berjaya menjalani ujian menembak dalam satu operasi misil olok-olok di Laut China Selatan baru-baru ini.

"Sama seperti kapal-kapal TLDM yang lain, ia mempunyai petugas yang bertugas 24 jam sehari dan setiap kerosakan walaupun kecil tetap akan diambil tindakan dengan segera," katanya.

Menurut Abdul Aziz, KD TAR turut wajib melalui penyelenggaraan berjadual selepas beroperasi bagi tempoh-tempoh yang dinyatakan.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa sama seperti kapal lain, krew kapal selam juga tidak boleh diambil alih untuk bertugas dengan mana-mana kapal dengan mudah.

"Persoalan mengenai taraf krew kapal selam anak-anak kapal KD TAR akan hilang jika mereka terus kekal di daratan sebagaimana yang dimuatkan di dalam artikel tersebut tidak timbul.

"Ini kerana kapal berkenaan (KD TAR) masih lagi beroperasi," katanya.

Menurut Abdul Aziz, negara-negara yang memiliki kapal selam di dunia tidak pernah membincangkan status operasi kapal selam mereka di media massa kerana ia adalah senjata strategik negara yang sensitif.

TLDM amat menghormati peranan media dan bersedia untuk memberi kerjasama, bagaimanapun, katanya, pihak media perlu lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan sesuatu berita dengan mendapatkan maklumat sahih.

Thursday, July 8, 2010

Keupayaan KD Tun Razak

Sumber utusan
Oleh Ani Awang

SISTEM pertahanan dan maritim negara bertambah mantap dengan kehadiran kapal selam kedua, KD Tun Razak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut baru-baru ini.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene pada pukul 4.40 petang itu menjadikan ia aset yang begitu penting kepada TLDM.



Justeru, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yakin terhadap keupayaan KD Tun Razak yang akan menyertai kapal selam pertama, KD Tunku Abdul Rahman dalam mengawal maritim negara.

KD Tunku Abdul Rahman tiba di negara ini pada 3 September tahun lalu.

KD Tun Razak memulakan pelayarannya dari Toulon, Perancis pada 30 April lalu dan tiba di perairan negara pada 30 Jun lalu.

Abdul Aziz berkata, keupayaan kapal KD Tun Razak teruji dengan melakukan pelayaran dalam keadaan baik dan berada 47 hari di laut dan 40 hari di bawah permukaan air.

Tambahnya, kejayaan itu tidak banyak dikongsi oleh sesetengah negara pengendali kapal selam kerana mereka membawa pulang kapal selam dengan menggunakan perkhidmatan kargo.

"Ini membuktikan kita dapat menguji keupayaan kapal selam ini dan tidak terdapat sebarang kelemahan yang dikesan sepanjang pelayaran itu.

"Ia juga sekali gus menangkis prasangka buruk dan pelaburan kerajaan untuk membeli kapal selam ini sebenarnya adalah amat berbaloi," katanya pada majlis sambutan ketibaan kapal selam itu.

Sambutan ketibaan kapal selam yang penuh bersejarah itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Terdahulu, Sultan Sarafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar belayar dengan KD Tun Razak di perairan Langkawi menuju ke Pangkalan TLDM.

Semasa kapal itu memasuki perairan Lumut, ia diiringi 14 perahu layar dari Kelab Perahu Layar TLDM sebelum menghampiri tambatan di Jeti Operasi TLDM Lumut.

Ia disusuli dengan penerbangan lintas hormat tiga buah helikopter TLDM diketuai oleh Leftenan Komander Shahrom Amir Mohd. Omar.

Menurut Abdul Aziz, KD Tun Razak mengambil masa 64 hari pelayaran dan singgah bagi tujuan ulang bekal atau mengisi minyak di empat buah pelabuhan iaitu Pelabuhan Iskandariah di Mesir, Jeddah di Arab Saudi, Salalah di Oman dan Cochin di India.

"Kapal ini menempuh perjalanan sejauh 7,283 batu nautika atau pun 13,488 kilometer merentasi Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan Selat Melaka," katanya.

Ujar beliau, dalam pelayaran itu, KD Tun Razak dikendalikan oleh 32 pegawai dan anggota TLDM dengan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Baharuddin Wan Md. Nor.

Katanya, kapal selam itu akan berada di Lumut selama seminggu sebelum meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu di Sabah hari ini.

Beliau berkata, antara sebab utama TLDM memilih kapal selam itu adalah kerana teknologinya yang terkini dalam pembuatan kapal selam serta sistem tempur yang berkeupayaan tinggi.

"Konsep dan ciri-ciri kapal selam ini banyak dipengaruhi oleh reka bentuk kapal selam nuklear Perancis seperti 'Le Triomphant' kerana keupayaan menyelam melebihi kedalaman 300 meter untuk satu tempoh yang lama.

"Ia menjadikan kapal selam ini digeruni pihak lawan dan mewujudkan faktor cegah rintang sejajar dengan dasar pertahanan negara dan strategi pertahanan maritim," katanya.

Abdul Aziz berkata, TLDM berbangga mempunyai KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman yang bersama-sama akan melaksanakan pelbagai tugas dan misi seperti pengawasan perairan negara daripada ancaman anasir luar dan berkesan dalam keupayaan pengumpulan maklumat perisikan.

Menurutnya, kapal selam itu mampu menyekat jalur perhubungan laut sama ada untuk menghalang pergerakan logistik pihak musuh atau menangani ancaman kapal musuh yang mencabar kedaulatan serta kepentingan negara dengan senjata moden termasuk misil dan torpedo yang boleh dilancarkan dari bawah permukaan laut.

Kata Abdul Aziz, dalam aspek keselamatan, nyawa anak-anak kapal selam itu akan sentiasa diutamakan di mana pengoperasian yang selamat dan senggaraan yang ketat perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

"Kerosakan walau sekecil mana pun tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh disamakan dengan kerosakan biasa aset-aset permukaan.

"TLDM akan sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan kerana prosedur yang ketat adalah tunjang kejayaan pengendalian kapal selam," ujarnya.

Abdul Aziz juga memberi amaran, TLDM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) terhadap individu, institusi kerajaan dan syarikat yang berurusan dengan TLDM jika membocorkan sebarang maklumat mengenai status kesiagaan aset-aset TLDM.

Beliau berkata, tindakan itu termasuk mencadangkan pembatalan kontrak syarikat atau mengambil tindakan undang-undang demi menjaga kepentingan pertahanan negara.

Kata Abdul Aziz, kini terdapat trend penyebaran maklumat berdarjah negara seperti kesiagaan aset-aset strategik dan maklumat berdarjah kepada pihak-pihak yang berkenaan.

"Maklumat berkaitan kapal selam juga sengaja dimanipulasikan atas dasar keterbukaan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan perhatian umum dan kepentingan tertentu," ujarnya.

Saturday, July 3, 2010

Kapal selam kedua negara tiba di Lumut

Sumber Utusan
Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

LUMUT 2 Julai - Negara mencatat sejarah apabila kapal selam keduanya, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada pukul 4.40 petang ini.


Kepulangan KD Tun Razak diyakini mampu mengukuhkan lagi sistem pertahanan maritim negara selepas negara memiliki kapal selam pertama, KD Tuanku Abdul Rahman tahun lalu.

Ketibaan kapal jenis Scorpene itu disambut oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Terdahulu, Sultan Sarifuddin Idris Shah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bersama-sama belayar menaiki KD Tun Razak dari perairan Langkawi menuju ke pangkalan TLDM.

KD Tun Razak memulakan pelayarannya dari Toulon, Peranchis pada 30 April lalu dan tiba di perairan negara Rabu lepas.

Kapal itu mengambil masa pelayaran selama 64 hari dan singgah di empat buah pelabuhan iaitu Pelabuhan Iskandariah di Mesir, Jeddah di Arab Saudi, Salalah di Oman dan Cochin di India.

KD Tun Razak menempuh pelayaran sejauh 13,488 kilometer merentasi laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan Selat Melaka dengan dikendalikan oleh 32 orang pegawai dan anggota TLDM.

Kapal tersebut akan berada di sini selama seminggu sebelum meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

KD Tun Razak dinamakan sempena Perdana Menteri Kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu.

Sebelum ini, Malaysia menjadi antara beberapa negara di dunia yang memiliki pasukan kapal selam selepas memiliki kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September tahun lalu.

Tinggalkan pesanan anda di sini