About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, July 11, 2010

TLDM siasat pembocor maklumat

Sumber: Utusan
Oleh Norlaili Abd. Rahman
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melakukan siasatan untuk mengenal pasti sumber-sumber industri yang telah mendedahkan maklumat tidak tepat mengenai status kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, beberapa artikel yang tersiar di sebuah akhbar baru-baru ini mengandungi maklumat tidak tepat mengenai KD TAR.

"Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana penulis artikel terbabit tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan fakta sahih sebelum menerbitkan artikel mereka.

"TLDM sangat serius dalam hal ini dan akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti siapakah sumber industri pertahanan yang telah mendedahkan rahsia penting ini kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Penerbitan artikel yang tidak tepat secara berulang kali bukan hanya akan merosakkan imej Pasukan Kapal Selam TLDM tetapi juga mendedahkan rahsia pertahanan negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan KD TAR mengalami kerosakan dan tersadai di pangkalan TLDM sejak tiba di Teluk Sepanggar, Sabah dari Toulon, Perancis, September lalu.

Sehubungan itu, Abdul Aziz turut menyangkal dakwaan bahawa kapal selam berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkannya gagal beroperasi dan tidak boleh menyelam.

Abdul Aziz berkata, seperti kapal selam lain di dunia, KD TAR turut mengalami masalah berkaitan peralatan dan sistem, namun ia tidak membahayakan anak-anak kapal dan menyebabkannya gagal untuk menyelam seperti didakwa oleh akhbar tersebut.

"Sebelum tiba dengan selamat di Kota Kinabalu pada 17 September 2009, KD TAR telah belayar hampir 8,300 batu nautika dengan menyelam selama 31 hari daripada 43 hari yang dihabiskan di laut.

"Dengan itu, persoalan tentang keupayaan asal operasi atau adakah ia telah diisytihar beroperasi sepenuhnya tidak timbul kerana kapal selam itu tidak mampu tiba dengan selamat jika ia tidak boleh beroperasi sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, kenyataan yang menyebut kapal selam itu dibiarkan tersadai di pangkalan tentera laut tanpa dibaiki juga tidak tepat.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.

Sebagai bukti Abdul Aziz berkata, KD TAR telah berjaya menjalani ujian menembak dalam satu operasi misil olok-olok di Laut China Selatan baru-baru ini.

"Sama seperti kapal-kapal TLDM yang lain, ia mempunyai petugas yang bertugas 24 jam sehari dan setiap kerosakan walaupun kecil tetap akan diambil tindakan dengan segera," katanya.

Menurut Abdul Aziz, KD TAR turut wajib melalui penyelenggaraan berjadual selepas beroperasi bagi tempoh-tempoh yang dinyatakan.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa sama seperti kapal lain, krew kapal selam juga tidak boleh diambil alih untuk bertugas dengan mana-mana kapal dengan mudah.

"Persoalan mengenai taraf krew kapal selam anak-anak kapal KD TAR akan hilang jika mereka terus kekal di daratan sebagaimana yang dimuatkan di dalam artikel tersebut tidak timbul.

"Ini kerana kapal berkenaan (KD TAR) masih lagi beroperasi," katanya.

Menurut Abdul Aziz, negara-negara yang memiliki kapal selam di dunia tidak pernah membincangkan status operasi kapal selam mereka di media massa kerana ia adalah senjata strategik negara yang sensitif.

TLDM amat menghormati peranan media dan bersedia untuk memberi kerjasama, bagaimanapun, katanya, pihak media perlu lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan sesuatu berita dengan mendapatkan maklumat sahih.

1 comment:

Anonymous said...

Tq Tan Sri.... sepatutnya sebelum siar apa-apa artikel, perlu la disahkan dulu. jangan la pulak bila hasil siasatan selesai, ada pihak yang lepas tangan. Biasanya yang lepas tangan ini ialah insan yang kecewa. Entah apa yang dikecewakan pun kita tak tau... Jangan disebabkan kekecewaan itu, kesiapsiagaan pertahanan negara tergadai.

Tinggalkan pesanan anda di sini