About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, July 8, 2010

Keupayaan KD Tun Razak

Sumber utusan
Oleh Ani Awang

SISTEM pertahanan dan maritim negara bertambah mantap dengan kehadiran kapal selam kedua, KD Tun Razak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut baru-baru ini.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene pada pukul 4.40 petang itu menjadikan ia aset yang begitu penting kepada TLDM.



Justeru, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yakin terhadap keupayaan KD Tun Razak yang akan menyertai kapal selam pertama, KD Tunku Abdul Rahman dalam mengawal maritim negara.

KD Tunku Abdul Rahman tiba di negara ini pada 3 September tahun lalu.

KD Tun Razak memulakan pelayarannya dari Toulon, Perancis pada 30 April lalu dan tiba di perairan negara pada 30 Jun lalu.

Abdul Aziz berkata, keupayaan kapal KD Tun Razak teruji dengan melakukan pelayaran dalam keadaan baik dan berada 47 hari di laut dan 40 hari di bawah permukaan air.

Tambahnya, kejayaan itu tidak banyak dikongsi oleh sesetengah negara pengendali kapal selam kerana mereka membawa pulang kapal selam dengan menggunakan perkhidmatan kargo.

"Ini membuktikan kita dapat menguji keupayaan kapal selam ini dan tidak terdapat sebarang kelemahan yang dikesan sepanjang pelayaran itu.

"Ia juga sekali gus menangkis prasangka buruk dan pelaburan kerajaan untuk membeli kapal selam ini sebenarnya adalah amat berbaloi," katanya pada majlis sambutan ketibaan kapal selam itu.

Sambutan ketibaan kapal selam yang penuh bersejarah itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Terdahulu, Sultan Sarafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar belayar dengan KD Tun Razak di perairan Langkawi menuju ke Pangkalan TLDM.

Semasa kapal itu memasuki perairan Lumut, ia diiringi 14 perahu layar dari Kelab Perahu Layar TLDM sebelum menghampiri tambatan di Jeti Operasi TLDM Lumut.

Ia disusuli dengan penerbangan lintas hormat tiga buah helikopter TLDM diketuai oleh Leftenan Komander Shahrom Amir Mohd. Omar.

Menurut Abdul Aziz, KD Tun Razak mengambil masa 64 hari pelayaran dan singgah bagi tujuan ulang bekal atau mengisi minyak di empat buah pelabuhan iaitu Pelabuhan Iskandariah di Mesir, Jeddah di Arab Saudi, Salalah di Oman dan Cochin di India.

"Kapal ini menempuh perjalanan sejauh 7,283 batu nautika atau pun 13,488 kilometer merentasi Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan Selat Melaka," katanya.

Ujar beliau, dalam pelayaran itu, KD Tun Razak dikendalikan oleh 32 pegawai dan anggota TLDM dengan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Baharuddin Wan Md. Nor.

Katanya, kapal selam itu akan berada di Lumut selama seminggu sebelum meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu di Sabah hari ini.

Beliau berkata, antara sebab utama TLDM memilih kapal selam itu adalah kerana teknologinya yang terkini dalam pembuatan kapal selam serta sistem tempur yang berkeupayaan tinggi.

"Konsep dan ciri-ciri kapal selam ini banyak dipengaruhi oleh reka bentuk kapal selam nuklear Perancis seperti 'Le Triomphant' kerana keupayaan menyelam melebihi kedalaman 300 meter untuk satu tempoh yang lama.

"Ia menjadikan kapal selam ini digeruni pihak lawan dan mewujudkan faktor cegah rintang sejajar dengan dasar pertahanan negara dan strategi pertahanan maritim," katanya.

Abdul Aziz berkata, TLDM berbangga mempunyai KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman yang bersama-sama akan melaksanakan pelbagai tugas dan misi seperti pengawasan perairan negara daripada ancaman anasir luar dan berkesan dalam keupayaan pengumpulan maklumat perisikan.

Menurutnya, kapal selam itu mampu menyekat jalur perhubungan laut sama ada untuk menghalang pergerakan logistik pihak musuh atau menangani ancaman kapal musuh yang mencabar kedaulatan serta kepentingan negara dengan senjata moden termasuk misil dan torpedo yang boleh dilancarkan dari bawah permukaan laut.

Kata Abdul Aziz, dalam aspek keselamatan, nyawa anak-anak kapal selam itu akan sentiasa diutamakan di mana pengoperasian yang selamat dan senggaraan yang ketat perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

"Kerosakan walau sekecil mana pun tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh disamakan dengan kerosakan biasa aset-aset permukaan.

"TLDM akan sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan kerana prosedur yang ketat adalah tunjang kejayaan pengendalian kapal selam," ujarnya.

Abdul Aziz juga memberi amaran, TLDM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) terhadap individu, institusi kerajaan dan syarikat yang berurusan dengan TLDM jika membocorkan sebarang maklumat mengenai status kesiagaan aset-aset TLDM.

Beliau berkata, tindakan itu termasuk mencadangkan pembatalan kontrak syarikat atau mengambil tindakan undang-undang demi menjaga kepentingan pertahanan negara.

Kata Abdul Aziz, kini terdapat trend penyebaran maklumat berdarjah negara seperti kesiagaan aset-aset strategik dan maklumat berdarjah kepada pihak-pihak yang berkenaan.

"Maklumat berkaitan kapal selam juga sengaja dimanipulasikan atas dasar keterbukaan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan perhatian umum dan kepentingan tertentu," ujarnya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini