About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, January 1, 2015

PV-ATM – EVOLUSI DAN TRANSFORMASI


Oleh HamzahHd

Pada awal 2013 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) telah memulakan suatu langkah ke arah penjenamaan semula (re-branding) dengan mentransformasikan organisasi, budaya dan daya pemikiran secara holistik serta menyusun semula perancangan dan perlaksanaan untuk membawa kembali persatuan ke persada perjuangan yang relevan mengikut arus perdana. 

Proses penjenamaan semula di mana fokus utama ialah untuk meningkatkan imej dan kewibawaan persatuan dan menentukan kewujudan PBTM terus relevan dan dihormati oleh semua pihak.  Dalam konteks ini persatuan terus menentukan sifat dan semangat kesatuan kekal di tahap yang tinggi dan tabah dalam menghadapi sesuatu cabaran.

Hasilnya, sekali lagi nama persatuan ditukar dan kini dikenali sebagai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) yang mana sekaligus menggugurkan perkataan ‘bekas’ yang dari sudut pemikiran dan penerimaan mempunyai konotasi yang kurang baik kerana ‘bekas’ itu adalah sesuatu perkara yang sudah lapuk, tidak berguna dan terbuang serta sudah tidak diperlukan orang.

Dengan penggunaan nama ‘Veteran tentera’ akan lebih menggambarkan suatu nilai dan martabat bahawa veteran tentera merupakan permata yang sentiasa berkilau walaupun ianya terbenam di dalam lumpur kerana hakikat asas keamanan dan keselamatan negara adalah hasil dari jasa dan keringat serta darah yang mengalir dari pejuang-pejuang yang bernama angkatan tentera termasuklah pasukan-pasukan keselamatan yang lain yang sememangnya diperakui oleh masyarakat umum. 


Veteran tentera ialah rakyat Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dalam ATM, Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa tanpa mengira tempoh khidmat, Force 136, Tentera British yang berkhidmat di Malaysia/Singapura (British Army) dan Sarawak Rangers. 

Laksamana Tan Sri Setia Mohd Anwar Hj Mohd Nor (Bersara) selaku Presiden PV-ATM dalam ucapan dasar Persidangan Perwakilan Tahunan Negara PV-ATM kali ke 89 di TH Hotel and Convention Centre Alor setar baru-baru ini walaubagaimana pun menegaskan bahawa kekangan di dalam proses transformasi kepada organisasi masih wujud disebabkan ekonomi persatuan secara keseluruhannya masih dalam keadaan defisit.  Ini adalah kerana persatuan masih mempunyai hutang-hutang yang tertunggak dengan beberapa agensi yang terlibat.  


Evolusi PV-ATM


Pada 20 Mei 1922 hingga 1966 persatuan ini bermula dengan nama Ex-Services Association of Malaya (E.S.A.M) atau Persatuan Bekas Tentera  Malaya (PBTM) dengan inisiatif bekas-bekas anggota  tentera British dan beberapa buah  negara Eropah yang pernah berkhidmat ketika perang duania pertama di negara ini yang juga turut disertai oleh pegawai-pegawai ekspatriat British yang berkhidmat di Malaya.  Peringkat awal penubuhan, persatuan ini diketuai oleh Mr. F.W. Palmar sebagai Penegrusi Cawangan Selangor dengan menjalankan aktiviti-aktiviti dalam kalangan ahli-ahli dalam kegiatan sosial.


Semasa perang dunia kedua meletus, persatuan ini terpaksa dibubarkan dan dihidupkan semula pada tahun 1946 di Selangor kemudian dikembangkan ke beberapa buah cawangan di Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu dan Melaka.


Apabila tentera British melebarkan penguasaannya Singapura dan Malaya, ramai anak watan turut menceburi bidang ketenteraan sekali gus telah mencetus idea penubuhan Batalion pertama RAMD pada tahun 1933   yang menjadi benteng utama pertahanan negara semasa berlakunya perang dunia kedua, disamping pengwujudan pasukan Federation of Malaya Volunteer Force (FMVF), Force 136, Area Security Unit (ASU), Jungle squad dan Pasukan-pasukan Kawalan kampong (Home Guard) bagi menguatkan pertahanan ketika darurat(1942-1948). Sejak itu bilangan bekas-bekas anggota tentera bertambah ramai dan turut menyertai persatuan ini.


Pada tahun 1958, British Service League (BSL) telah menukar namanya kepada British Commonwelth Ex-Services League (BCEL) dan Persatuan Bekas tentera Malaya (E.S.A.M) turut menjadi ahli gabungan sehingga sekarang.


Sepanjang 44 tahun E.S.A.M telah membuat pertukaran logo persatuan sebanyak 3 kali iaitu logo pertama di guna dari tahun 1922 hingga 1956. Logo kedua diguna dari tahun 1957 hingga 1960 dan logo ketiga diguna pakai dari tahun 1961 hingga tahun 1966.


Selepas E.S.A.M digerakkan semula sehingga 1968, sebuah urusetia telah dibentuk dan pentadbirannya telah diubahsuai, segala urusan pentadbiran dan urusan mesyuarat persatuan dilaksanakan oleh sebuah firma setiausaha  yang dilantik iaitu Walgreams Limited.  Menerusi urusetia inilah persatuan ini telah didaftarkan di bawah akta pertubuhan pada tahun 1966 dengan anam Persatuan Bekas Perajurit Malaya (PBPM).


Mej Ismail Babu (Bersara)selaku setiausaha Agung PBPM waktu itu bertanggungjawab mewujudkan Sektretariat dengan dibantu oleh beberapa orang akitangan telah memajukan persatuan selaras dengan perkembangan semasa pentadbiran terutama dalam menguruskan hal ehwal kebajikan ahli-ahli dan tanggunngan mereka.


Persatuan ini sekali lagi membuat anjakan  dengan menukar nama kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada 28 Julai 1998. Pengoperasian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada tahun 2001 telah mengurangkan beban yang ditanggung oleh PBTM yang mana aspek kewangan  menjadi kekangan utama di dalam usaha memberi pembelaan terbaik kepada veteran ATM.


JHEV yang berperanan sebagai pusat sehenti kepada veteran ATM secara tidak langsung merupakan pemegang amanah kerajaan beserta sejumlah bajet tahunan bagi menangani segala bentuk permasalahan yang ditanggung oleh veteran ATM secara holistik.


Walaubagaimana pun peranan persatuan masih tetap relevan kerana pihak JHEV sendiri mempunyai kekangan warga kerja yang amat ketara dan hanya berpusat mengikut zon yang tentunya tidak mampu untuk memantau ratusan ribu kedudukan veteran  di seluruh pelusuk negeri dan daerah. Justeru,kombinasi pihak JHEV dengan persatuan masih saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam usaha menentukan veteran ATM sentiasa berada dalam zon selesa di alam persaraan setelah sekian lama mencurah bakti dan keringat untuk keselamatan negara. 


PBTM pada tahun 2011 direkodkan telah mempunyai 14 bahagian dan 200 cawangan di seluruh negara, dengan keahlian berdaftar seramai 146,099 orang.  melaui progrm transformasi dan penjenamaan semula PBTM 2013, sekali lagi nama dan logo persatuan ditukar kepada PV-ATM dengan 14 bahagian mewakili 14 buah negeri di Malaysia serta 248 cawangan di seluruh negara dengan keahlian seramai 355,000 orang terdiri daripada veteran ATM yang berpencen dan yang tidak berpencen.


Dengan mengekalkan motto 'Sentiasa Berjuang' menggambarkan kesinambungan perjuangan perlu diteruskan kalau masa lalu semasa di dalam perkhidmatan menentang anasir yang menggugat ketenteraman dan kedaulatan negara tetapi di luar perkhidmatan memfokuskan visi,misi peranan dan wadah perjuangan sebagai badan pendesak dan pelobi dalam usaha membela dan menjaga kebajikan dan segala kepentingan keseluruhan veteran ATM dan keluarga mereka.


Penyelesaian Isu Sejagat Warga Veteran


Ketiga, mereka yang tidak berpencen dalam erti kata sebenarnya dan mereka ini kebanyakan nya dalam golongan daif.  Mereka-mereka ini telah cuba sedaya upaya untuk merubah nasib kehidupan mereka namun mungkin nasib dan rezeki tidak memihak kepada mereka. 

Setakat ini hasil dari proses transformasi, PV-ATM kini semakin diberi perhatian dan pengiktirafan oleh pucuk pimpinan negara, negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat umum dalam konteks mudah untuk diajak berbincang dalam usaha mencari pendekatan dan kaedah penyelesaian masalah sejagat yang dihadapi oleh Veteran ATM.  Di samping mendapat mandat sebagai peneraju dan penggerak perjuangan Veteran ATM daripada hampir semua persatuan dan kelab Veteran ATM Malaysia yang ketika ini lebih kurang 60 persatuan/kelab semuanya yang menjalankan aktiviti yang hampir sama berteraskan kebajikan anggotanya.

Namun begitu melalui proses transformasi yang digagaskan dan melalui pendekatan-pendekatan strategik dan dinamik, beliau menjangkakan hutang-hutang tertunggak ini dapat diselesai secara beransur-ansur dalam masa terdekat.  Di samping mengharapkan transformasi daya pemikiran pimpinan di peringkat negeri dan cawangan bergerak seiring dengan memberi komitmen sepenuhnya supaya keberhasilan dapat di capai secepat mungkin dan sebelum usaha pemerkasaan persatuan boleh dianggap berada di tahap berjaya.

Sebagai sebuah NGO, peranan dan faktor hubungan luar adalah sangat penting untuk terus relevan dan boleh diterima oleh semua pihak.  Untuk itu kepimpinan persatuan di semua peringkat semestinya bertanggungjawab berhubung dan berintraksi dengan pemimpin-pemimpin masyarakat mengikut tahap kepimpinan masing-masing di peringkat negara, negeri dan daerah.  Di samping menjalin hubungan rapat dengan kementerian, JHEV, PERHEBAT dan LTAT kerana jabatan serta agensi kerajaan tersebut mempunyai hubung kait dengan keperluan kebajikan veteran ATM secara amnya.

Dengan kemasukan Sabah dan Sarawak sebagai ahli gabungan  pada tahun 1967, nama Persatuan Bekas Perajurit malaya ditukarkan kepada nama Persatuan Bekas Perajurit Malaysia.  Mengikut rekod pada penghujung 1959, jumlah ahli persatuan ini hanyalah seramai 2,607 orang, namun bilangan ini bertambah kepada 7,442 pada 1970.elaras dengan pembangunan dan kemajuan PBPM yang membuktikan keupayaannya sebagai sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) serta peningkatan sokongan daripada kerajaan, sektor awam dan sektor swasta dari masa ke semasa menjadikan persatuan ini sebagai sebuah badan kebajikan terunggul di negara ini. 

Namun begitu sejak tertubuhnya Bahagian Hal Ehwal Bekas Tentera (HEBAT) di Kementerian Pertahanan pada tahun 1970 yang bertanggungjawab kepada usaha pemulihan semula kebajikan dan pembangunan bekas-bekas tentera kemudian di naik taraf kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) pada 1994 dalam menyediakan kursus-kursus dan kemahiran teknikal kepada veteran bagi meneruskan kelangsungan kerja di dalam masyarakat awam.


Sebagai sebuah NGO yang berprestij PV-ATM turut bergabung dengan World Veteran Federation (WVF), Royal Commonwealth Ex-Service League (RCEL), Veteran Confederation of Asean Countries (VECONAC), Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEN) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).


Menurutnya lagi kehidupan veteran ATM selepas bersara terbahagi kepada dua kategori yang besar iaitu yang berjaya dan yang tidak berjaya.  Manakala yang tidak berjaya terdiri dari dua kumpulan pula iaitu pertama, yang tidak berjaya tetapi terus berusaha untuk hidup dalam keadaan sederhana dan yang kedua yang tidak berjaya dan terus hidup dalam keadaan daif.

Begitu juga veteran ATM yang tidak berpencen, mereka terbahagi kepada tiga kumpulan.  Pertama tidak berpencen tetapi bernasib baik kerana berjaya dalam perniagaan atas usaha sendiri.  Kedua, mereka tidak berpencen tentera tetapi berpeluang bekerja dengan pihak kerajaan dan seterusnya mendapat pencen juga.  


Maka golongan ini adalah merupakan sasaran persatuan untuk diberi bantuan dengan kaedah-kaedah yang sesuai.  Perkembangan terbaharu jumlah elaun sara hidup bulanan kepada veteran ATM yang berpendapatan perkapita di bawah garis kemiskinan samada mereka berpencen atau tidak dan balu telah pun diluluskan penyelarasan kepada RM300 sebulan berkuatkuasa Januari 2015.

Bagi memberi manfaat menyeluruh kepada veteran ATM dari kategori-kategori lain, pelbagai inisiatif telah di laksanakan oleh pihak kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seperti:

-Program membaikpulih rumah veteran 1Malaysia yang mana veteran ATM yang daif dibantu untuk memiliki rumah yang lebih selesa.

-Pusat sehenti Veteran 1Malaysia telah menyediakan 31 buah kem di seluruh Malaysia untuk memudahkan veteran ATM berurusan.

-Progaram penempatan kerja untuk Veteran dengan mempertingkatkan pengambilan veteran ATM dalam sektor awam dan swasta selepas menamatkan perkhidmatan.

-Bantuan keusahawanan dengan menawarkan pinjaman, latihan serta khidmat nasihat kepada veteran yang berminat menjadi usahawan melalui kerjasama strategik JHEV, PERHEBAT, KPDNKK, Koperasi Kepenggunaan, Tekun Nasional dan Unit Kerjasama Swasta Awam.

-Meningkatkan Penerimaan latihan PERHEBAT oleh pihak industri bagi membolehkan bakal pesara tentera mendapat latihan yang diiktiraf agar mereka lebih berdaya saing.

-Program keluarga 1Malaysia bagi membebaskan veteran ATM yang berpendapatan rendah dari belenggu kemiskinan sekali gus memperoleh pendapatan melalui usaha sendiri.

-Kad privilege 1Malaysia untuk menikmati diskaun bagi pelbagai barangan runcit dan perkhidmatan di premis dan kedai yang menjadi rakan dagang.

Dalam pada itu pihak persatuan telah mengenal pasti beberapa isu sejagat yang dihadapi oleh veteran ATM yang memerlukan pembelaan dan penyelesaian segera.  Di antaranya ialah:

-Merapatkan jurang pencen antara veteran ATM yang pencen sebelum 2004 dengan yang pencen selepas 2004.

- Meningkatkan jumlah pencen hilang upaya bulanan veteran ATM antara RM300 hingga RM500 yang diterima melalui JHEV.

-Menyediakan kuota khas projek PPRT dan rumah mampu milik untuk veteran ATM yang belum memiliki rumah pertama.

-Memberi imbuhan bulanan dalam bentuk elaun sara hidup kepada veteran ATM tidak berpencen yang layak.  Sementara perkara tersebut dalam proses pertimbangan untuk diluluskan maka pihak persatuan menyarankan supaya pemberian one off sekurang-kurangnya RM500 kepada mereka setiap tahun.  

-Memberi pencen terbitan terus kepada isteri yang dikahwini veteran yang berpencen dalam masa persaraan kerana terjadinya kematian isteri dan perceraian yang sah.

-Memberi kemudahan rawatan perubatan percuma kepada isteri dan anak-anak veteran ATM  yang diberhentikan sebab disiplin, serta juga kemudahan pendidikan kepada anak-anak mereka berkuatkuasa selepas 5 tahun mereka diberhentikan.

-Pemberian bantuan kemasukan anak ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)dipanjangkan kepada kemasukan ke Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Hari Pahlawan Dan Kempen Tabung Pahlawan

Pada 31 Julai setiap tahun Malaysia menyambut Hari Pahlawan.  Tujuan Hari pahlawan diadakan adalah untuk mengajak rakyat jelata mengenang dan menghargai perjuangan serta pengorbanan veteran-veteran ATM dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan dan keamanan negara.  Sempena Hari Pahlawan jugalah dilancarkan Kempen Tabung Pahlawan. Hakikatnya hasil kutipan dari Kempen Tabung Pahlawan ini memberi makna yang besar kepada persatuan bukan sahaja bagi mengumpulkan dana untuk membantu veteran tetapi ianya merupakan satu pelantar dalam usaha meningkatkan semangat dan sifat patriotime dan kecintaan rakyat jelata terutama generasi ‘Y’ terhadap negara. 

Sejak 2013 kerajaan telah mengembalikan pengurusan Kempen Tabung Pahlawan kepada PV-ATM yang sebelum ini dikendalikan oleh JHEV selama tiga tahun berturut-turut. Persatuan mula mengadakan Kempen Tabung Pahlawan pada tahun 1950 iaitu semasa zaman tentera British di Malaya dengan panggilan Poppy Day.  

Poppy Day juga diadakan di United Kindom dan beberapa negeri Komanwel yang lain seperti Australia dan New Zealand dengan nama Anzac Day, negara Singapura  menamakan kempen ini dengan Poppy Apealing dan lain-lain negara dengan komitmen yang tersendiri bagi mengingati dan menghargai pengorbanan tentera mereka. 

Perlaksanaan Poppy Day di Britain lebih berjaya berbanding Kempen Tabung Pahlawan di negara ini kerana perlaksanaan lebih terurus dan terkordinasi dengan penyertaan dan penglibatan rakyat dan syarikat swasta secara menyeluruh dan komited. Malangnya roh Hari Pahlawan dan Kempen Tabung Pahlawan kurang mendapat sambutan dari sebilangan besar rakyat  di negara ini tidak seperti mana yang dijiwai oleh rakyat Britain terhadap Warrior Day dan Poppy Day yang negara mereka anjurkan.
Di Malaysia, sambutan hari pahlawan  dengan  mengadakan majlis tahlil, khutbah Jumaat dan perbarisan ketenteraan dan hanya dijiwai oleh anggota tentera yang sedang berkhidmat dan veteran ATM serta segelintir pucuk pimpinan negara yang disambut dan diingati dalam masa sehari sahaja.

 Justeru, PV-ATM mengesyorkan kepada kerajaan supaya Hari Pahlawan dan Kempen Tabung Pahlawan dijadikan salah satu acara negara dan dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti negara. Dengan harapan pendekatan ini akan disertai dengan political will ahli-ahli politik dan komitmen kerajaan dalam merealisasikan hasrat ini agar dapat diterima dan dijiwai oleh semua lapisan masyarakat terutama dalam kalangan generasi ‘Y’.

Penutup

 Mutakhir ini ramai orang menyebut integriti (kejujuran) dan solidariti (perpaduan) yakni dua perkataan yang tiada kaitan dan hubung kait dari segi maksud tetapi dua perkataan ini bila dikaitkan dengan manusia boleh menggambarkan sikap, perangai atau perbuatan jika diamalkan dengan ikhlas akan menjadikan individu atau persatuan berfungsi dengan baik seperti mana misi, visi dan peranan yang digagaskan.

Persatuan veteran ATM tumbuh bagai cendawan ditimpa hujan yang masing-masing ingin menjaga kebajikan ahli-ahli serta ingin mengeratkan kembali silaturahim dan perpaduan yang sekian lama terpisah.  Begitulah maksud yang tersurat tetapi maksud yang tersirat tidak boleh lari dari cakap-cakap yang kurang elok iaitu kononnya PV-ATM tidak begitu kompeten dalam konteks integriti dalam membahagikan dana-dana yang diperolehi kepada sasaran yang mana masih tidak menyeluruh dan pilih kasih.  Pemimpin menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi dan macam-macam tohmahan yang dilemparkan.

Bila ada ketidakpuasan hati maka wujud satu sikap mengasingkan diri dan berkelompok menjadi pecahan-pecahan  mengikut pengaruh yang pelbagai cita-cita dan ideologi.  Maka veteran yang angka ratusan ribu yang berdaftar dan yang masih terpinggir tanpa sebarang pengenalan dalam mana-mana persatuan sebenarnya masih belum ada perpaduan sepenuhnya.  Malah dalam kalangan ahli-ahli PV-ATM sendiri masih wujud perpecahan yang disebabkan pelbagai sikap untuk membenarkan diri.


Justeru menjadi satu cabaran besar yang tidak boleh di kesampingkan kepada pengurusan PV-ATM untuk terus berusaha mencari jalan supaya perpecahan boleh diminimakan.  Memetik maksud kata-kata Presiden PV-ATM semasa ucapan dasar persidangan bahawa seorang pemimpin tidak kira di peringkat mana pun mesti mempunyai sifat dan keperibadian seorang pemimpin yang sifatnya adalah jujur, ikhlas, rela berkorban tenaga dan masa, tegas dan berhemah, ramah mesra dalam pergaulan dan berketrampilan serta keperibadian yang mulia yang mudah dapat diterima oleh akar umbi yang dipimpin.  Harus kerap turun padang mendengar keluhan dan rintihan akar umbi dengan cara berkomunikasi dan berintraksi dan bersemuka dengan akar umbi di kedai-kedai kopi dapat memupuk persefahaman dan perpaduan. Bila masalah akar umbi dapat ditangani secara menyeluruh, secara tak langsung kejujuran akan dinilai orang.  Sesungguhnya kitaran ini harus diperaktikkan berturut-turut dan berterusan oleh semua individu yang sudah berjawatan pemimpin.  Jika tiada lagi suara-suara sumbang yang bersangka buruk kepada PV-ATM, penulis yakin veteran ATM dapat berpadu di bawah bumbung PV-ATM secara total. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini