Oleh: Paklang Hamzah /Foto: PRO ATM
Pada 27 Januari lalu bertempat di
Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, YBhg Jeneral
Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan perutusan tahun
baharu 2021 setelah genap setahun beliau menerajui Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) yang disampaikan secara maya ekoran negara masih lagi dilanda wabak
pandemik Covid-19.
Didahului dengan pujian dan
syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, di atas pelbagai kurniaan dan anugerah
yang tidak terhitung buat kita semua serta Selawat dan salam buat junjungan
besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta pengikut-pengikut
baginda yang setia sehingga ke akhir zaman.
YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj
Affendi bin Buang TUDM merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima
kasih kepada sekalian warga ATM, kerana telah memberikan sepenuh dedikasi,
pengorbanan, dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan ATM
dapat mengharungi cabaran tahun 2020 di mana satu tahun yang sangat mencabar
kepada seluruh masyarakat di pelusuk dunia terutamanya, akibat pandemik
COVID-19.
Kejayaan-kejayaan yang dicapai
ini membuktikan, ATM sentiasa bersedia pada sebilang masa, untuk menghadapi apa
jua cabaran, dan halangan yang mendatang. Keupayaan dan kemampuan ini,
menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan yang lebih fleksibel dan sentiasa
relevan dalam pelbagai keadaan bagi menghadapi sebarang perubahan persekitaran
keselamatan yang tidak menentu, demi melindungi kepentingan negara, serta
mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah, yang dicintai ini.
Imbasan,
Aspirasi Dan Pencapaian
Perutusan YBhg Tan Sri PAT
merangkumi imbasan bagi tahun 2020 dan diikuti dengan aspirasi beliau untuk ATM
bagi tahun 2021 dan apa yang telah disampaikan ini menjadi pembakar semangat
serta meningkatkan iltizam kepada semua untuk terus komited dalam menjadikan
organisasi ATM yang dicintai ini kekal teguh dan mampan pada sebilang masa.
Beliau menyarankan sekalian
lapisan warga ATM untuk bermuhasabah diri agar dapat diangkat suatu hala tuju
bersesuaian bagi memperkasakan ATM secara holistik untuk mendepani cabaran mendatang
yang lebih kompleks. Pemerkasaan diri
bakal menjamin kejayaan untuk menangani sebarang kemungkinan yang mendatang.
Secara keseluruhannya, beliau
menyimpulkan tahun 2020 sebagai satu tahun yang unik kerana, pandemik ini telah
memaksa warga ATM mengubah gaya hidup dan cara melaksanakan tugas. Pada masa
sama, ianya memberi ruang dan peluang untuk menilai semula tahap kesiagaan dan
keupayaan yang dimiliki agar lebih bersedia menghadapi apa jua bentuk ancaman
di masa hadapan.
Selain itu, penglibatan
menyeluruh ATM di dalam Op Penawar dan Op Benteng telah dapat meningkatkan
hubungan tentera dan rakyat sekaligus meningkatkan kepercayaan pihak pemegang
taruh secara keseluruhannya terhadap kredibiliti ATM.
Justeru, beliau ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat
Malaysia yang telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama kepada ATM dalam
membantu memudahkan ATM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Setinggi-tinggi penghargaan juga
kepada pihak kerajaan Malaysia, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
dan Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan, kerana telah memberikan
kepercayaan kepada ATM bukan sahaja dalam menangani penularan pandemik ini
malahan sebagai salah satu agensi peneraju bagi setiap cabaran negara yang
mendatang. Semoga semua usaha, kepercayaan, sokongan dan kerjasama tersebut akan dapat diteruskan demi
kepentingan dan kebaikan semua.
Sepanjang setahun yang lalu, ATM
telah melalui pelbagai situasi bersama-sama. Sesukar mana pun situasi yang
mendatang, warga ATM tetap kekal fokus untuk melaksanakan tugas dengan baik
dalam usaha menjadikan ATM sebagai satu ketumbukan full spectrum yang
holistik dan mampan.
Beliau merasa gembira apabila
melihat 4 teras keutamaan yang telah beliau gariskan dalam perintah ulung telah
dapat dilaksanakan seperti yang dihasrat. Pencapaian ini membuktikan dedikasi
dan komitmen tinggi oleh setiap pegawai dan anggota dalam bersama-sama membawa
ATM menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang diharapkan.
Empat Teras
Utama
Teras Pertama adalah
Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM. Ketika ini, aset-aset ATM berada di tahap
kesiagaan yang memuaskan. Ini dibuktikan dengan penglibatan aset-aset ATM
secara berterusan untuk melaksanakan tugas-tugas hakiki, seperti rondaan,
pemantauan serta pengumpulan maklumat dan juga tugas-tugas sokongan yang
diarahkan kerajaan.
Pelbagai aset-aset ATM telah
diaturgerak untuk penugasan seperti Op Benteng dan Op Penawar tanpa henti. Ini
termasuk penerbangan sokongan dan juga pengoperasian hospital medan oleh
pegawai dan anggota perubatan ATM sepanjang menguruskan pandemik ini. Selain
itu, rancangan perolehan aset untuk ketiga-tiga cabang ATM yang telah di
daftarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 juga telah diluluskan oleh pihak
Kementerian Pertahanan. Justeru, dengan perolehan aset-aset ini kelak, tahap
kesiagaan sedia ada ATM akan dapat dipertingkatkan sekaligus dapat menyumbang
kepada kejayaan operasi-operasi yang sedang dilaksanakan.
Teras Kedua pula menggariskan
tentang Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang. Sepertimana yang telah beliau
nyatakan dahulu, kesejahteraan warga ATM perlu diperkasa dari segenap aspek
termasuk profesionalisme, siasah warganya dan juga pembangunan nilai-nilai
murni yang bersendikan kekuatan kerohanian, keberanian dan semangat berpasukan.
Perkara ini merupakan suatu aktiviti
berterusan yang perlu dipantau dan diberi perhatian yang sepenuhnya oleh semua
pihak pemerintah.
Selain itu, aspek kebajikan warga
yang menjadi agenda utama ATM juga sering diberikan perhatian seperti
senggaraan berperingkat ke atas Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),
pembinaan dan juga sewaan berkelompok RKAT dan terkini, ATM akan memfokuskan
kepada peningkatan taraf pendidikan para pegawai dan anggota ATM agar mereka
akan kekal relevan walaupun setelah menamatkan perkhidmatan mereka kelak.
Institusi kekeluargaan adalah
tulang belakang dan pemangkin kepada kecemerlangan warga ATM yang cemerlang.
ATM sentiasa menghargai dan terus memberi pengiktirafan yang setingginya kepada
Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) atas peranan signifikan yang
dimainkan. Untuk itu juga, atas inisiatif Pengerusi dan Jemaah Tertinggi BAKAT,
ATM telah mula mendaftarkan BAKAT dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan kewujudan BAKAT.
Dengan pendaftaran ini, segala
urusan BAKAT bersama agensi-agensi luar khususnya akan menjadi lebih mudah dan
dapat dilaksanakan dengan lebih baik serta bakal mendapat penjanaan dana
melalui geran-geran tertentu. Beliau berharap agar para suami terus memberikan
sokongan serta galakan kepada para isteri agar lebih aktif untuk menyertai
BAKAT. Semoga kewujudan BAKAT akan terus sinonim dan menjadi nilai tambah
kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan sekalian warga dan keluarga ATM.
Teras keupayaan yang Ketiga
adalah Mengukuhkan Keupayaan ATM di dalam Domain Siber. Berkat usaha gigih
semua pihak terutamanya pihak KOMLEK, ATM telah berjaya menubuhkan Bahagian
Siber dan Elektromagnetik Pertahanan atau BSEP pada 16 Disember 2020 yang lalu
di mana rangkaian pemantauan dan pertahanan ATM serta rangkaian komunikasi
strategik pertahanan negara akan diperkukuh serta dipantau dari sebarang
ancaman penggodam dan anasir yang ingin menggangu-gugat keselamatan dan
keamanan negara.
Secara keseluruhannya, dengan
pengwujudan BSEP ini, ATM bakal melengkapkan keupayaan domain peperangan Siber
dan elektro-magnetik negara. Keupayaan ini akan terus diperkasa agar ATM berupaya
menangani sebarang ancaman di dalam domain siber pada sebilang masa. Hal ini
penting kerana ATM kini berada di dalam dunia tanpa sempadan dan di persada Industrial
Revolution 4.0 (I.R 4.0) yang amat bergantung kepada kelangsungan
beroperasi di dalam domain siber. Oleh yang demikian, ia telah menjadi suatu
aspek yang perlu dikawal selia dan dipertahankan agar kepentingan negara dan
kesejahteraan rakyat tidak terjejas.
Teras keutamaan yang ke empat
adalah Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan (KPP). Secara amnya, terdapat 3
perkara yang sedang giat dilaksanakan di bawah teras ini iaitu penyediaan Pelan
Strategik Mindef (PSM) 2021-2025, penambahbaikan terhadap Strategi Ketenteraan
Negara (SKN) 2.0 dan pembangunan Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4DMAF).
Pelan
Strategik Mindef 2021-2025
Pelan Strategik Mindef 2021-2025,
pengwujudannya bertujuan menjadi panduan untuk semua warga Kementerian
Pertahanan dan ATM bagi merealisasikan agenda serta visi yang telah digariskan
di dalam KPP. Ia mengandungi 7 teras utama yang mana setiap teras akan
memperincikan dengan jelas strategi dan strategi inisiatif yang jitu,
komprehensif serta mempunyai peluang keberhasilan yang tinggi. Komitmen,
dedikasi dan kerjasama semua pihak di bawah Kementerian Pertahanan amnya dan
ATM khususnya, diperlukan dalam merealisasikan PSM 2021-2025 ini.
Lanjutan kepada penterjemahan KPP
yang sedang dilaksanakan adalah Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0. Dokumen
tersebut yang kini diperingkat akhir penambahbaikkannya, akan menjadikan ia
sebuah dokumen yang lebih releven, berkesinambungan dan praktikal sebagai
halatuju kepada ATM bagi memastikan ATM sentiasa berada di landasan yang
ditetapkan dalam usaha menjadi sebuah Angkatan Masa Depan sepertimana yang
digariskan di dalam KPP. Boleh dikatakan, SKN 2.0 ini akan mencorak ATM untuk
menjadi sebuah angkatan yang fit for purpose, serta lebih versatile,
lean and mean dan effect-based.
YBhg PAT melihat kesinambungan
daripada pemaktuban SKN 2.0 kelak adalah bagi ATM menterjemahkannya kepada
pelaksanaan menghalusi semula dokumen 4DMAF. Bagi pembangunan 4DMAF ini, segala
usaha perlu ditumpukan dalam memastikan elemen man, machine and method
dapat diintegrasikan agar perancangan untuk menaik taraf keupayaan angkatan
dapat dibuat secara holistik dan lebih tersusun.
Kajian dan perancangan
pembangunan keupayaan ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana
perolehannya tertakluk kepada peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan.
Pada masa sama, kita juga harus peka dan perlu bersikap realistik terhadap
kemampuan kewangan kerajaan dalam menyalurkan peruntukan untuk perbelanjaan
mengurus (DE) dan juga mengoperasi (OE) angkatan ini.
Aktiviti
Bilateral Dan Multilateral
Selain daripada 4 pencapaian
teras keutamaan tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak lagi
perancangan yang sedang giat dilaksanakan. Antara aktiviti tersebut termasuklah
aktiviti-aktiviti bilateral dan multilateral sama ada di dalam atau luar
negara. Namun begitu, di atas inisiatif dan sikap proaktif warga ATM,
sebenarnya ATM telah mencapai satu kejayaan yang lebih besar, iaitu pelaksanaan
sepenuhnya konsep Whole of Government dan Whole of Society, konsep yang
sering ditekankan di dalam Kertas Putih Pertahanan.
Secara amnya, kedua-dua konsep
ini dapat dilihat melalui penglibatan ATM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di
dalam Op Penawar dan juga pelaksanaan Op Benteng bersepadu yang melibatkan
sebanyak 19 buah agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara dibawah payung
National Task Force yang diterajui oleh ATM.
Turut memainkan peranan adalah
penduduk tempatan yang telah turut sama membantu memberikan maklumat kepada
pasukan Op Benteng dalam menyekat dan menghentikan aktiviti jenayah rentas
sempadan ini. Secara amnya, pelaksanaan kedua-dua konsep ini telah berjaya
meningkatkan keyakinan, dan sokongan rakyat untuk bersama-sama menghentikan
penularan wabak pandemik tersebut.
Sumbangan lain yang tidak kurang
pentingnya adalah penglibatan anggota perubatan kita bersama Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan rawatan dan pemeriksaan COVID-19
kepada rakyat. Antara 11 sumbangan besar yang boleh dibanggakan adalah,
pengoperasian Hospital Medan di Tawau, Makeshift Treatment Centre di Penjara
Pokok Sena, Kedah dan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah. Terkini adalah
pengendalian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS Serdang, yang
diuruskan oleh ATM dan Kementerian Kesihatan Malaysia buat kali keduanya.
Jika boleh dirangkumkan, dengan
mengaplikasikan kedua-dua konsep Whole of Government dan Whole of
Society ini, negara secara amnya telah mendapat kerjasama dan sokongan
penuh daripada seluruh rakyat dalam menangani pandemik COVID-19 ini. Jika
keadaan ini dapat dikekalkan, segala usaha untuk menentukan kesejahteraan dan
kesihatan rakyat, serta langkah menaikkan semula ekonomi negara akan dapat
tercapai dengan izin Allah.
Tiga Cabaran Utama 2021
ATM kini telah menjangkau usianya
yang ke 87 tahun. Ianya merupakan suatu tempoh yang agak panjang dan beliau
yakin, ATM telah melalui pelbagai halangan dan rintangan dalam memastikan ianya
mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah diberikan oleh
rakyat dan negara tidak boleh diambil mudah kerana kedaulatan negara dan
keutuhan wilayah merupakan perkara utama kepada kestabilan dan keselamatan
negara. Justeru, terdapat 3 cabaran utama yang perlu ATM hadapi pada tahun
2021.
Pertama, COVID-19. Baru-baru ini,
pihak kerajaan telah memaklumkan akan mendapatkan bekalan vaksin yang berkesan,
selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya buat 80 peratus rakyat di negara
ini. Perolehan pertama vaksin tersebut dijangka diperolehi seawal bulan
Februari 2021 dan ianya akan diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan
untuk fasa pertama ini. Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kehadiran vaksin tersebut
bukan bermakna ATM boleh melakukan business as usual semula.
ATM perlu memastikan pembudayaan norma baharu
serta pematuhan kepada SOP diteruskan. Selain itu ATM perlu memperkukuh dan
memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang Pendatang Tanpa Izin (PATI) membolosi sempadan negara, kerana
dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akhirnya akan
mengagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan pandemik ini.
Cabaran kedua yang perlu ATM
tangani adalah perolehan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan ATM untuk tahun
2021. Tahun ini, ATM telah diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM 16
billion, iaitu peningkatan sebanyak RM 0.4 billion berbanding peruntukan pada
tahun sebelumnya.
Walaupun terdapat peningkatan
terhadap peruntukan yang diberikan, ATM masih perlu berhemah dan rasional dalam
melakukan perbelanjaan. Perlu diingat bahawa, ATM melalui SKN 2.0 dan 4DMAF
sedang giat merancang keupayaan pembangunan yang berkonsepkan force synergy
yang mempunyai 5 ciri utama iaitu kebersamaan (jointness), kebolehoperasian
(force integration), berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak
dalam dua wilayah dan berasaskan misi.
YBhg PAT turut menyentuh bahawa
keunikan KPP adalah ia merupakan satu dokumen yang telah diterima oleh negara
dan telah menjanjikan suatu landasan bagi ATM untuk mendapatkan perbelanjaan
sewajarnya dalam membangunkan keupayaan secara holistik.
Justeru, amatlah penting agar
perancangan dan perbelanjaan yang telah dilakukan telah mengambilkira semua
aspek melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara. Jika tidak berwaspada, berkemungkinan akan terperangkap ke dalam ‘Sindrom Angkatan
Lompong’ atau Hollow Force Syndrom yang akan menjejaskan usaha untuk menjadi
sebuah Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang diharapkan di dalam KPP.
Cabaran terakhir yang memerlukan
perhatian khusus daripada ATM semua adalah Kompetensi Warga ATM. Perubahan
teknologi semasa yang meningkat dengan pesat serta Revolusi Perindustrian 4.0
yang telah diwarwarkan sejak tahun 2011, perlulah dijadikan sebagai penanda
aras kepada tahap kompetensi Pegawai dan anggota ATM. Dengan adanya penanda
aras ini, warga ATM akan dapat menjadi warga yang mahir teknologi sekaligus
mampu mengoperasikan segala jenis peralatan dan sistem dengan lebih efisien.
Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau software
yang diperlukan tanpa perlu bergantung kepada pembekal luar negara.
Aspirasi PAT
YBhg PAT sendiri mempunyai
aspirasi buat ATM bagi tahun 2021 yang mana penting sebagai panduan serta
halatuju kepada ATM dalam mengorak langkah membawa ATM ke arah kecemerlangan,
sebagai sebuah Angkatan Masa Hadapan yang berupaya memastikan Malaysia menjadi
sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.
Pertamanya, beliau ingin mengekalkan 4 teras keutamaan
yang telah beliau nyatakan semasa amanat ulung beliau setahun yang lalu. Seperti yang telah beliau
nyatakan, walaupun terdapat pencapaian terhadap teras-teras tersebut, namun beliau
mahukan agar apa yang telah dicapai atau dilaksanakan akan dapat diterus dan
ditingkatkan. Beliau yakin masih
terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk menjana momentum
yang bersesuaian dalam memastikan teras-teras keutamaan tersebut dapat
dioptimumkan sebaiknya.
Di dalam 4 keutamaan tersebut yakni
penubuhan BSEP, pengwujudan PSM 2021-2025 dan juga SKN 2.0, dapat dilihat
sejauh mana warga ATM akan mematuhi serta mengaplikasikannya. Tegas YBhg Tan Sri PAT lagi, beliau tidak mahu
ketiga-tiga perkara ini menjadi projek ‘Gajah Putih’. Banyak masa, tenaga dan
wang ringgit telah diperuntukkan untuk perkara-perkara ini, dan adalah wajar
untuk warga ATM memanfaat ketiga-tiga perkara ini sepenuhnya.
Justeru, tambah beliau lagi, pemusatan
usaha adalah perlu terhadap melengkapkan SKN 2.0 dan seterusnya menterjemahkan
keupayaan yang diperlukan bagi SKN 2.0 melalui penghalusan semula dokumen 4DMAF
agar ianya dapat dilaksanakan penjajaran kepada dokumen pembangunan
perkhidmatan masing-masing iaitu Army for Next Generation, RMN 15 to 5 dan
RMAF CAP55.
Aspirasi PAT yang kedua adalah
berkenaan aspek Good Governance atau Pelaksanaan Tadbir Urus Yang Baik.
Perkara ini adalah sangat penting jika warga ATM ingin terus mengekalkan kecemerlangan
angkatan ini. Aspek yang perlu diberikan perhatian adalah antaranya pengurusan
kewangan. Perlu diingat bahawa peruntukan kewangan yang telah diberikan oleh
pihak kerajaan, walaupun terdapat peningkatan, namun ianya masih rendah.
Setiap perkhidmatan perlu
berbincang serta merancang dengan sebaiknya agar keupayaan yang bakal dimiliki
dapat dioptimumkan secara bersepadu dalam menangani cabaran dimensi peperangan
yang lebih kompleks. Ini termasuklah perbelanjaan mengoperasi (OE) yang
diperuntukkan, hendaklah dibelanjakan dengan sebaiknya.
Selain itu, aspek kepimpinan dan
mereka yang dipimpin juga perlu diberikan keutamaan. Aspek modal insan jika
tidak diurus dengan baik, maka akan berlaku kepincangan di dalam organisasi. Di
dalam hal ni, chain of command perlu dipatuhi dengan sebaiknya. Pemimpin
perlulah mempunyai accountability terhadap anggota yang dipimpinnya dan
mereka yang dipimpin pula bertanggungjawab memastikan tugas yang diberikan
dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
PAT menegaskan jika masing-masing
dapat memainkan peranannya dengan berkesan, beliau yakin, ATM akan menjadi
sebuah angkatan yang disegani bukan sahaja di dalam negara, bahkan sehingga ke
luar negara.
Di dalam aspek penerapan modal
insan ini juga, beliau telah menekankan bagi kesedaran dan pemantauan
berterusan sekalian warga ATM dalam menangani ancaman ekstremis dan radikal
yang menjurus kepada keganasan. Ini termasuklah pemantauan terhadap penularan
fahaman Hizbut Tahrir dan Salafi Wahabi serta pengaruh daripada anasir ganas
luar seperti DAESH dan LTTE.
Adalah menjadi tanggungjawab
bukan sahaja di lapisan pemerintah bahkan sekalian warga ATM untuk saling
memberi peringatan akan bahayanya fahaman sedemikian menular di dalam ATM. Ini
adalah demi menentukan ATM kekal utuh sebagai tonggak kedaulatan negara melalui
pemerkasaan warganya.
Aspirasi PAT yang ketiga dan
terakhir untuk tahun 2021 adalah berkenaan Aspek Membudayakan Inovasi. Secara
jujurnya, persepsi melakukan inovasi hanya untuk memasuki pertandingan perlulah
diubah. Membudayakan inovasi ini merupakan kaedah terbaik untuk mencari jalan
penyelesaian atau sebagai solution provider kepada masalah-masalah yang
terdapat dipersekitaran skop kerja.
Beliau yakin bahawa banyak produk
inovasi yang telah dihasilkan, namun, sayang sekali hanya sedikit sahaja yang
di gunakan dan selebihnya dibiarkan begitu sahaja. Warga ATM perlu mengubah cara ini dan perlu
memanfaatkan setiap produk inovasi yang telah dihasilkan. Selain itu, dengan membudayakan inovasi ini,
ianya dapat menjadikan warga ATM lebih kreatif dan produktif sekaligus dapat
mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
Penghargaan
YBhg Tan Sri PAT bersama-sama
Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara, serta mewakili seluruh barisan warga ATM
melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,
selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Sesungguhnya, mereka
memegang teguh akan sumpah setia untuk mempertahankan kedaulatan dan
kepentingan tanahair serta institusi Raja-raja Melayu, sehingga ke titisan
darah yang terakhir.
Kepada seluruh warga ATM, tidak kira di mana jua
mereka berada, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan amat berbangga kerana telah dapat menjalankan
tugas dengan baik dan berkesan seterusnya menjadi suatu lambang keutuhan negara
ini. Beliau mengucapkan syabas dan berharap agar semangat juang dan sifat yang
murni ini dapat diteruskan selagi nyawa dikandung badan demi mempertahankan
maruah bangsa dan kedaulatan pertiwi yang kita sayangi ini.
PENUTUP
Di kesempatan ini, beliau ingin
mengingatkan kepada semua terhadap tanggungjawab menjaga hubungan masing-masing
dengan Sang Pencipta (Hablum Min Allah) dan juga hubungan sesama manusia
(Hablum Minan Nas). Saya yakin, jika kita dapat menjaga kedua-dua hubungan ini,
nescaya, segala urusan kita akan sentiasa dipermudahkan olehNya.
Beliau menyeru agar seluruh warga
ATM sentiasa bersatu hati dan saling bekerjasama demi mencapai kejayaan dalam
setiap tugasan yang diamanahkan. Kerjasama antara ketiga-tiga cabang
perkhidmatan, mestilah dieratkan dan disinergi dengan harmoni. Perkara ini
perlulah dipupuk mulai sekarang bagi memastikan aspirasi sebagai sebuah
Angkatan Masa Hadapan dapat direalisasikan.
Mengakhiri ucapan, YBhg Jeneral Tan Sri Dato'
Sri Hj Affendi bin Buang TUDM menegaskan supaya sebagai satu angkatan, berdiri
teguh dengan penuh ikhlas dan memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan
kredibiliti dan keabsahan ATM sebagai Teras Kedaulatan Negara dan sama-sama memanjatkan doa agar tahun 2021 ini
menjadi tahun yang lebih baik untuk semua. Mudah-mudahan iltizam suci ini
mendapat keredaan-Nya jua. Insya-Allah.