Oleh: Paklang Hamzah /Foto: PRO ATM
Pada 27 Januari lalu bertempat di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan perutusan tahun baharu 2021 setelah genap setahun beliau menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disampaikan secara maya ekoran negara masih lagi dilanda wabak pandemik Covid-19.
Didahului dengan pujian dan syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, di atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua serta Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta pengikut-pengikut baginda yang setia sehingga ke akhir zaman.
YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian warga ATM, kerana telah memberikan sepenuh dedikasi, pengorbanan, dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan ATM dapat mengharungi cabaran tahun 2020 di mana satu tahun yang sangat mencabar kepada seluruh masyarakat di pelusuk dunia terutamanya, akibat pandemik COVID-19.
Kejayaan-kejayaan yang dicapai ini membuktikan, ATM sentiasa bersedia pada sebilang masa, untuk menghadapi apa jua cabaran, dan halangan yang mendatang. Keupayaan dan kemampuan ini, menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan yang lebih fleksibel dan sentiasa relevan dalam pelbagai keadaan bagi menghadapi sebarang perubahan persekitaran keselamatan yang tidak menentu, demi melindungi kepentingan negara, serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah, yang dicintai ini.
Imbasan,
Aspirasi Dan Pencapaian
Perutusan YBhg Tan Sri PAT merangkumi imbasan bagi tahun 2020 dan diikuti dengan aspirasi beliau untuk ATM bagi tahun 2021 dan apa yang telah disampaikan ini menjadi pembakar semangat serta meningkatkan iltizam kepada semua untuk terus komited dalam menjadikan organisasi ATM yang dicintai ini kekal teguh dan mampan pada sebilang masa.
Beliau menyarankan sekalian lapisan warga ATM untuk bermuhasabah diri agar dapat diangkat suatu hala tuju bersesuaian bagi memperkasakan ATM secara holistik untuk mendepani cabaran mendatang yang lebih kompleks. Pemerkasaan diri bakal menjamin kejayaan untuk menangani sebarang kemungkinan yang mendatang.
Secara keseluruhannya, beliau menyimpulkan tahun 2020 sebagai satu tahun yang unik kerana, pandemik ini telah memaksa warga ATM mengubah gaya hidup dan cara melaksanakan tugas. Pada masa sama, ianya memberi ruang dan peluang untuk menilai semula tahap kesiagaan dan keupayaan yang dimiliki agar lebih bersedia menghadapi apa jua bentuk ancaman di masa hadapan.
Selain itu, penglibatan menyeluruh ATM di dalam Op Penawar dan Op Benteng telah dapat meningkatkan hubungan tentera dan rakyat sekaligus meningkatkan kepercayaan pihak pemegang taruh secara keseluruhannya terhadap kredibiliti ATM.
Justeru, beliau ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama kepada ATM dalam membantu memudahkan ATM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada pihak kerajaan Malaysia, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan, kerana telah memberikan kepercayaan kepada ATM bukan sahaja dalam menangani penularan pandemik ini malahan sebagai salah satu agensi peneraju bagi setiap cabaran negara yang mendatang. Semoga semua usaha, kepercayaan, sokongan dan kerjasama tersebut akan dapat diteruskan demi kepentingan dan kebaikan semua.
Sepanjang setahun yang lalu, ATM telah melalui pelbagai situasi bersama-sama. Sesukar mana pun situasi yang mendatang, warga ATM tetap kekal fokus untuk melaksanakan tugas dengan baik dalam usaha menjadikan ATM sebagai satu ketumbukan full spectrum yang holistik dan mampan.
Beliau merasa gembira apabila melihat 4 teras keutamaan yang telah beliau gariskan dalam perintah ulung telah dapat dilaksanakan seperti yang dihasrat. Pencapaian ini membuktikan dedikasi dan komitmen tinggi oleh setiap pegawai dan anggota dalam bersama-sama membawa ATM menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang diharapkan.
Empat Teras
Utama
Teras Pertama adalah Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM. Ketika ini, aset-aset ATM berada di tahap kesiagaan yang memuaskan. Ini dibuktikan dengan penglibatan aset-aset ATM secara berterusan untuk melaksanakan tugas-tugas hakiki, seperti rondaan, pemantauan serta pengumpulan maklumat dan juga tugas-tugas sokongan yang diarahkan kerajaan.
Pelbagai aset-aset ATM telah diaturgerak untuk penugasan seperti Op Benteng dan Op Penawar tanpa henti. Ini termasuk penerbangan sokongan dan juga pengoperasian hospital medan oleh pegawai dan anggota perubatan ATM sepanjang menguruskan pandemik ini. Selain itu, rancangan perolehan aset untuk ketiga-tiga cabang ATM yang telah di daftarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 juga telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pertahanan. Justeru, dengan perolehan aset-aset ini kelak, tahap kesiagaan sedia ada ATM akan dapat dipertingkatkan sekaligus dapat menyumbang kepada kejayaan operasi-operasi yang sedang dilaksanakan.
Teras Kedua pula menggariskan tentang Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang. Sepertimana yang telah beliau nyatakan dahulu, kesejahteraan warga ATM perlu diperkasa dari segenap aspek termasuk profesionalisme, siasah warganya dan juga pembangunan nilai-nilai murni yang bersendikan kekuatan kerohanian, keberanian dan semangat berpasukan. Perkara ini merupakan suatu aktiviti berterusan yang perlu dipantau dan diberi perhatian yang sepenuhnya oleh semua pihak pemerintah.
Selain itu, aspek kebajikan warga yang menjadi agenda utama ATM juga sering diberikan perhatian seperti senggaraan berperingkat ke atas Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), pembinaan dan juga sewaan berkelompok RKAT dan terkini, ATM akan memfokuskan kepada peningkatan taraf pendidikan para pegawai dan anggota ATM agar mereka akan kekal relevan walaupun setelah menamatkan perkhidmatan mereka kelak.
Institusi kekeluargaan adalah tulang belakang dan pemangkin kepada kecemerlangan warga ATM yang cemerlang. ATM sentiasa menghargai dan terus memberi pengiktirafan yang setingginya kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) atas peranan signifikan yang dimainkan. Untuk itu juga, atas inisiatif Pengerusi dan Jemaah Tertinggi BAKAT, ATM telah mula mendaftarkan BAKAT dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan kewujudan BAKAT.
Dengan pendaftaran ini, segala urusan BAKAT bersama agensi-agensi luar khususnya akan menjadi lebih mudah dan dapat dilaksanakan dengan lebih baik serta bakal mendapat penjanaan dana melalui geran-geran tertentu. Beliau berharap agar para suami terus memberikan sokongan serta galakan kepada para isteri agar lebih aktif untuk menyertai BAKAT. Semoga kewujudan BAKAT akan terus sinonim dan menjadi nilai tambah kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan sekalian warga dan keluarga ATM.
Teras keupayaan yang Ketiga adalah Mengukuhkan Keupayaan ATM di dalam Domain Siber. Berkat usaha gigih semua pihak terutamanya pihak KOMLEK, ATM telah berjaya menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan atau BSEP pada 16 Disember 2020 yang lalu di mana rangkaian pemantauan dan pertahanan ATM serta rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara akan diperkukuh serta dipantau dari sebarang ancaman penggodam dan anasir yang ingin menggangu-gugat keselamatan dan keamanan negara.
Secara keseluruhannya, dengan pengwujudan BSEP ini, ATM bakal melengkapkan keupayaan domain peperangan Siber dan elektro-magnetik negara. Keupayaan ini akan terus diperkasa agar ATM berupaya menangani sebarang ancaman di dalam domain siber pada sebilang masa. Hal ini penting kerana ATM kini berada di dalam dunia tanpa sempadan dan di persada Industrial Revolution 4.0 (I.R 4.0) yang amat bergantung kepada kelangsungan beroperasi di dalam domain siber. Oleh yang demikian, ia telah menjadi suatu aspek yang perlu dikawal selia dan dipertahankan agar kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.
Teras keutamaan yang ke empat adalah Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan (KPP). Secara amnya, terdapat 3 perkara yang sedang giat dilaksanakan di bawah teras ini iaitu penyediaan Pelan Strategik Mindef (PSM) 2021-2025, penambahbaikan terhadap Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 dan pembangunan Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4DMAF).
Pelan
Strategik Mindef 2021-2025
Pelan Strategik Mindef 2021-2025, pengwujudannya bertujuan menjadi panduan untuk semua warga Kementerian Pertahanan dan ATM bagi merealisasikan agenda serta visi yang telah digariskan di dalam KPP. Ia mengandungi 7 teras utama yang mana setiap teras akan memperincikan dengan jelas strategi dan strategi inisiatif yang jitu, komprehensif serta mempunyai peluang keberhasilan yang tinggi. Komitmen, dedikasi dan kerjasama semua pihak di bawah Kementerian Pertahanan amnya dan ATM khususnya, diperlukan dalam merealisasikan PSM 2021-2025 ini.
Lanjutan kepada penterjemahan KPP yang sedang dilaksanakan adalah Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0. Dokumen tersebut yang kini diperingkat akhir penambahbaikkannya, akan menjadikan ia sebuah dokumen yang lebih releven, berkesinambungan dan praktikal sebagai halatuju kepada ATM bagi memastikan ATM sentiasa berada di landasan yang ditetapkan dalam usaha menjadi sebuah Angkatan Masa Depan sepertimana yang digariskan di dalam KPP. Boleh dikatakan, SKN 2.0 ini akan mencorak ATM untuk menjadi sebuah angkatan yang fit for purpose, serta lebih versatile, lean and mean dan effect-based.
YBhg PAT melihat kesinambungan daripada pemaktuban SKN 2.0 kelak adalah bagi ATM menterjemahkannya kepada pelaksanaan menghalusi semula dokumen 4DMAF. Bagi pembangunan 4DMAF ini, segala usaha perlu ditumpukan dalam memastikan elemen man, machine and method dapat diintegrasikan agar perancangan untuk menaik taraf keupayaan angkatan dapat dibuat secara holistik dan lebih tersusun.
Kajian dan perancangan pembangunan keupayaan ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana perolehannya tertakluk kepada peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan. Pada masa sama, kita juga harus peka dan perlu bersikap realistik terhadap kemampuan kewangan kerajaan dalam menyalurkan peruntukan untuk perbelanjaan mengurus (DE) dan juga mengoperasi (OE) angkatan ini.
Aktiviti
Bilateral Dan Multilateral
Selain daripada 4 pencapaian teras keutamaan tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak lagi perancangan yang sedang giat dilaksanakan. Antara aktiviti tersebut termasuklah aktiviti-aktiviti bilateral dan multilateral sama ada di dalam atau luar negara. Namun begitu, di atas inisiatif dan sikap proaktif warga ATM, sebenarnya ATM telah mencapai satu kejayaan yang lebih besar, iaitu pelaksanaan sepenuhnya konsep Whole of Government dan Whole of Society, konsep yang sering ditekankan di dalam Kertas Putih Pertahanan.
Secara amnya, kedua-dua konsep ini dapat dilihat melalui penglibatan ATM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam Op Penawar dan juga pelaksanaan Op Benteng bersepadu yang melibatkan sebanyak 19 buah agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara dibawah payung National Task Force yang diterajui oleh ATM.
Turut memainkan peranan adalah penduduk tempatan yang telah turut sama membantu memberikan maklumat kepada pasukan Op Benteng dalam menyekat dan menghentikan aktiviti jenayah rentas sempadan ini. Secara amnya, pelaksanaan kedua-dua konsep ini telah berjaya meningkatkan keyakinan, dan sokongan rakyat untuk bersama-sama menghentikan penularan wabak pandemik tersebut.
Sumbangan lain yang tidak kurang pentingnya adalah penglibatan anggota perubatan kita bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan rawatan dan pemeriksaan COVID-19 kepada rakyat. Antara 11 sumbangan besar yang boleh dibanggakan adalah, pengoperasian Hospital Medan di Tawau, Makeshift Treatment Centre di Penjara Pokok Sena, Kedah dan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah. Terkini adalah pengendalian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS Serdang, yang diuruskan oleh ATM dan Kementerian Kesihatan Malaysia buat kali keduanya.
Jika boleh dirangkumkan, dengan mengaplikasikan kedua-dua konsep Whole of Government dan Whole of Society ini, negara secara amnya telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada seluruh rakyat dalam menangani pandemik COVID-19 ini. Jika keadaan ini dapat dikekalkan, segala usaha untuk menentukan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, serta langkah menaikkan semula ekonomi negara akan dapat tercapai dengan izin Allah.
Tiga Cabaran Utama 2021
ATM kini telah menjangkau usianya yang ke 87 tahun. Ianya merupakan suatu tempoh yang agak panjang dan beliau yakin, ATM telah melalui pelbagai halangan dan rintangan dalam memastikan ianya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan negara tidak boleh diambil mudah kerana kedaulatan negara dan keutuhan wilayah merupakan perkara utama kepada kestabilan dan keselamatan negara. Justeru, terdapat 3 cabaran utama yang perlu ATM hadapi pada tahun 2021.
Pertama, COVID-19. Baru-baru ini, pihak kerajaan telah memaklumkan akan mendapatkan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya buat 80 peratus rakyat di negara ini. Perolehan pertama vaksin tersebut dijangka diperolehi seawal bulan Februari 2021 dan ianya akan diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan untuk fasa pertama ini. Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kehadiran vaksin tersebut bukan bermakna ATM boleh melakukan business as usual semula.
ATM perlu memastikan pembudayaan norma baharu serta pematuhan kepada SOP diteruskan. Selain itu ATM perlu memperkukuh dan memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang Pendatang Tanpa Izin (PATI) membolosi sempadan negara, kerana dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akhirnya akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan pandemik ini.
Cabaran kedua yang perlu ATM tangani adalah perolehan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan ATM untuk tahun 2021. Tahun ini, ATM telah diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM 16 billion, iaitu peningkatan sebanyak RM 0.4 billion berbanding peruntukan pada tahun sebelumnya.
Walaupun terdapat peningkatan terhadap peruntukan yang diberikan, ATM masih perlu berhemah dan rasional dalam melakukan perbelanjaan. Perlu diingat bahawa, ATM melalui SKN 2.0 dan 4DMAF sedang giat merancang keupayaan pembangunan yang berkonsepkan force synergy yang mempunyai 5 ciri utama iaitu kebersamaan (jointness), kebolehoperasian (force integration), berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berasaskan misi.
YBhg PAT turut menyentuh bahawa keunikan KPP adalah ia merupakan satu dokumen yang telah diterima oleh negara dan telah menjanjikan suatu landasan bagi ATM untuk mendapatkan perbelanjaan sewajarnya dalam membangunkan keupayaan secara holistik.
Justeru, amatlah penting agar perancangan dan perbelanjaan yang telah dilakukan telah mengambilkira semua aspek melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara. Jika tidak berwaspada, berkemungkinan akan terperangkap ke dalam ‘Sindrom Angkatan Lompong’ atau Hollow Force Syndrom yang akan menjejaskan usaha untuk menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang diharapkan di dalam KPP.
Cabaran terakhir yang memerlukan perhatian khusus daripada ATM semua adalah Kompetensi Warga ATM. Perubahan teknologi semasa yang meningkat dengan pesat serta Revolusi Perindustrian 4.0 yang telah diwarwarkan sejak tahun 2011, perlulah dijadikan sebagai penanda aras kepada tahap kompetensi Pegawai dan anggota ATM. Dengan adanya penanda aras ini, warga ATM akan dapat menjadi warga yang mahir teknologi sekaligus mampu mengoperasikan segala jenis peralatan dan sistem dengan lebih efisien. Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau software yang diperlukan tanpa perlu bergantung kepada pembekal luar negara.
Aspirasi PAT
YBhg PAT sendiri mempunyai aspirasi buat ATM bagi tahun 2021 yang mana penting sebagai panduan serta halatuju kepada ATM dalam mengorak langkah membawa ATM ke arah kecemerlangan, sebagai sebuah Angkatan Masa Hadapan yang berupaya memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.
Pertamanya, beliau ingin mengekalkan 4 teras keutamaan yang telah beliau nyatakan semasa amanat ulung beliau setahun yang lalu. Seperti yang telah beliau nyatakan, walaupun terdapat pencapaian terhadap teras-teras tersebut, namun beliau mahukan agar apa yang telah dicapai atau dilaksanakan akan dapat diterus dan ditingkatkan. Beliau yakin masih terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk menjana momentum yang bersesuaian dalam memastikan teras-teras keutamaan tersebut dapat dioptimumkan sebaiknya.
Di dalam 4 keutamaan tersebut yakni penubuhan BSEP, pengwujudan PSM 2021-2025 dan juga SKN 2.0, dapat dilihat sejauh mana warga ATM akan mematuhi serta mengaplikasikannya. Tegas YBhg Tan Sri PAT lagi, beliau tidak mahu ketiga-tiga perkara ini menjadi projek ‘Gajah Putih’. Banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah diperuntukkan untuk perkara-perkara ini, dan adalah wajar untuk warga ATM memanfaat ketiga-tiga perkara ini sepenuhnya.
Justeru, tambah beliau lagi, pemusatan usaha adalah perlu terhadap melengkapkan SKN 2.0 dan seterusnya menterjemahkan keupayaan yang diperlukan bagi SKN 2.0 melalui penghalusan semula dokumen 4DMAF agar ianya dapat dilaksanakan penjajaran kepada dokumen pembangunan perkhidmatan masing-masing iaitu Army for Next Generation, RMN 15 to 5 dan RMAF CAP55.
Aspirasi PAT yang kedua adalah berkenaan aspek Good Governance atau Pelaksanaan Tadbir Urus Yang Baik. Perkara ini adalah sangat penting jika warga ATM ingin terus mengekalkan kecemerlangan angkatan ini. Aspek yang perlu diberikan perhatian adalah antaranya pengurusan kewangan. Perlu diingat bahawa peruntukan kewangan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan, walaupun terdapat peningkatan, namun ianya masih rendah.
Setiap perkhidmatan perlu berbincang serta merancang dengan sebaiknya agar keupayaan yang bakal dimiliki dapat dioptimumkan secara bersepadu dalam menangani cabaran dimensi peperangan yang lebih kompleks. Ini termasuklah perbelanjaan mengoperasi (OE) yang diperuntukkan, hendaklah dibelanjakan dengan sebaiknya.
Selain itu, aspek kepimpinan dan mereka yang dipimpin juga perlu diberikan keutamaan. Aspek modal insan jika tidak diurus dengan baik, maka akan berlaku kepincangan di dalam organisasi. Di dalam hal ni, chain of command perlu dipatuhi dengan sebaiknya. Pemimpin perlulah mempunyai accountability terhadap anggota yang dipimpinnya dan mereka yang dipimpin pula bertanggungjawab memastikan tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
PAT menegaskan jika masing-masing dapat memainkan peranannya dengan berkesan, beliau yakin, ATM akan menjadi sebuah angkatan yang disegani bukan sahaja di dalam negara, bahkan sehingga ke luar negara.
Di dalam aspek penerapan modal insan ini juga, beliau telah menekankan bagi kesedaran dan pemantauan berterusan sekalian warga ATM dalam menangani ancaman ekstremis dan radikal yang menjurus kepada keganasan. Ini termasuklah pemantauan terhadap penularan fahaman Hizbut Tahrir dan Salafi Wahabi serta pengaruh daripada anasir ganas luar seperti DAESH dan LTTE.
Adalah menjadi tanggungjawab bukan sahaja di lapisan pemerintah bahkan sekalian warga ATM untuk saling memberi peringatan akan bahayanya fahaman sedemikian menular di dalam ATM. Ini adalah demi menentukan ATM kekal utuh sebagai tonggak kedaulatan negara melalui pemerkasaan warganya.
Aspirasi PAT yang ketiga dan
terakhir untuk tahun 2021 adalah berkenaan Aspek Membudayakan Inovasi. Secara
jujurnya, persepsi melakukan inovasi hanya untuk memasuki pertandingan perlulah
diubah. Membudayakan inovasi ini merupakan kaedah terbaik untuk mencari jalan
penyelesaian atau sebagai solution provider kepada masalah-masalah yang
terdapat dipersekitaran skop kerja.
Beliau yakin bahawa banyak produk inovasi yang telah dihasilkan, namun, sayang sekali hanya sedikit sahaja yang di gunakan dan selebihnya dibiarkan begitu sahaja. Warga ATM perlu mengubah cara ini dan perlu memanfaatkan setiap produk inovasi yang telah dihasilkan. Selain itu, dengan membudayakan inovasi ini, ianya dapat menjadikan warga ATM lebih kreatif dan produktif sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
Penghargaan
YBhg Tan Sri PAT bersama-sama Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara, serta mewakili seluruh barisan warga ATM melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Sesungguhnya, mereka memegang teguh akan sumpah setia untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan tanahair serta institusi Raja-raja Melayu, sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Kepada seluruh warga ATM, tidak kira di mana jua mereka berada, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan amat berbangga kerana telah dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan seterusnya menjadi suatu lambang keutuhan negara ini. Beliau mengucapkan syabas dan berharap agar semangat juang dan sifat yang murni ini dapat diteruskan selagi nyawa dikandung badan demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan pertiwi yang kita sayangi ini.
PENUTUP
Di kesempatan ini, beliau ingin mengingatkan kepada semua terhadap tanggungjawab menjaga hubungan masing-masing dengan Sang Pencipta (Hablum Min Allah) dan juga hubungan sesama manusia (Hablum Minan Nas). Saya yakin, jika kita dapat menjaga kedua-dua hubungan ini, nescaya, segala urusan kita akan sentiasa dipermudahkan olehNya.
Beliau menyeru agar seluruh warga ATM sentiasa bersatu hati dan saling bekerjasama demi mencapai kejayaan dalam setiap tugasan yang diamanahkan. Kerjasama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan, mestilah dieratkan dan disinergi dengan harmoni. Perkara ini perlulah dipupuk mulai sekarang bagi memastikan aspirasi sebagai sebuah Angkatan Masa Hadapan dapat direalisasikan.
Mengakhiri ucapan, YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM menegaskan supaya sebagai satu angkatan, berdiri teguh dengan penuh ikhlas dan memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan kredibiliti dan keabsahan ATM sebagai Teras Kedaulatan Negara dan sama-sama memanjatkan doa agar tahun 2021 ini menjadi tahun yang lebih baik untuk semua. Mudah-mudahan iltizam suci ini mendapat keredaan-Nya jua. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment