About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, April 1, 2013

TLDM DAN MODAL INSAN – SUATU ELABORASI


Sumber : Majalah Perajurit Edisi Apr 2013
Oleh :Hamzah hd

Secara umumnya masyarakat negara bangsa Malaysia sudah cukup kenal dan tahu membezakan perkhidmatan-perkhidamatan yang  bernaung di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja.

Namun begitu penulis yakin bahawa tidak ramai dalam masyarakat  awam khususnya malah juga orang yang berada di luar dari kelumpok tersebut yang tahu pecahan-pecahan kor-kor, ketukangan atau kepakaran-kepakaran yang ada di dalam setiap perkhidmatan dan peranan yang dimainkan oleh warganya di dalam menentukan kefungsian utama dan sekunder setiap perkhidmatan dalam konteks pertahanan negara.

Kesempatan kali ini penulis ingin berkongsi informasi yang lebih terperinci dalam konteks siapa mereka dan apa peranan yang mereka mainkan sehingga TLDM berjaya membentuk sebuah armada yang versatil dan begitu diyakini keunggulan dan kecemerlangannya oleh masyarakat domestik dan serantau.  Tanpa modal insan yang kompeten dan komited di dalam menjalankan amanah yang diberikan tentunya segala perencanaan tidak akan berjalan lancar seperti yang dikehendaki oleh Pengurusan Tertinggi sesuai dengan doktrin yang digarap oleh TLDM.

Sejak TLDM ditubuhkan banyak perkara yang bersangkutan dengan pakaian, insignia, budaya diikut sepenuhnya dari Royal Navy yang banyak mempengaruhi cara hidup tentera laut Malaysia.  Malah bukan TLDM sahaja yang mengadaptasikan budaya kolonial ini tetapi kebanyakan negara-negara Komanwel  masih mengguna pakai sistem penjajah ini di dalam perkhidmatan tentera laut mereka.

Bagi merealisasikan hasrat Pengurusan Tertinggi TLDM untuk melahirkan modal insan yang berketrampilan dan berdaya saing seiring dengan perancangan strategik Sumber Manusia TLDM, satu lagi kerangka kolonial yang diguna pakai sejak sekian lama telah diberi nafas baru iaitu pengstrukturan semula kerjaya baharu dan Kemahiran Pelbagai anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM.

Struktur Cawangan Dan Kepakaran

Secara asasnya TLDM telah menstrukturkan pegawai dan anggotanya kepada tiga kumpulan utama iaitu Cawangan Pelaut/Eksekutif, Cawangan Kejuruteraan dan Cawangan Bekalan Dan Urus Setia.

Di bawah struktur Cawangan Pelaut, sebelum pengstrukturan semula kerjaya baharu LLP mengandungi 13 kepakaran iaitu:
Peperangan Paras Permukaan(PPP)- Bertugas menangkis serangan dari permukaan atau udara sama ada dengan menggunakan senjata kecil atau meriam.

Peperangan Bawah Permukaan (Senjata) (PBS)- Bertugas menangkis serangan dari bawah permukaan sama ada dengan menggunakan senjata-senjata yang melibatkan seperti torpedo atau roket serta mengesan serta menyapu periuk api..

Peperangan Bawah Permukaan(kawalan)(PBK) - Mengawal serangan dari bawah permukaan dengan menggunakan alat-alat elektronik seperti sonar.

Komunikasi (Radio)(KMR) - Mengendalikan sistem perhubungan menggunakan radio.

Komunikasi (Taktikal)(KMT) - Mengendalikan sistem perhubungan secara taktikal dengan pelbagai cara seperti flashing, semaphore di samping membantu Pegawai Memerintah dan Pegawai Navigasi semasa  manuvra.

Radar Plotter(RDP) - Bertugas mengawasi pergerakan kapal atau objek dengan menggunakan alat-alat yang melibatkan kemudahan navigasi serta pengendalian carta.
Regulating Rating(RGR) - Melaksanakan tugas kepolisan serta menguatkuasakan  undang-undang dan tatatertib.

Juragan(JGN) - Mengurus hal ehwal tatatertib Pasukan.

Pasukan Khas Laut PKL) - Satu unit pasukan atur cepat dan bertanggungjawab dalam operasi gerak khas laut.

Penyelam(PLM) - Melakukan kerja-kerja menyelam yang melibatkan bahan letupan di bawah air terutamanya dalam aspek peperangan periuk api.

Hidrografi (HDI) - Melakukan kerja-kerja pengukuran dasar dan pemetaan laut.
Jurulatih Jasmani(JJM) - Bertugas untuk melatih anggota TLDM dalam aspek fizikal, mental dan kemantapan sukan TLDM.

Penjahit( PJT) - Menjahit, menyelenggara awning, layar dan seumpamanya.

Walaubagaimana pun selepas pengstrukturan semula, kepakaran PPP dijenamakan sebagai Peperangan Atas Permukaan(PAP), KMR dan KMT digabungkan menjadi satu kepakaran Komunikasi(KOM), RDP dijenamakan semula sebagai Juruplot Taktikal Peperangan(JTP), RGR dijenamakan semula kepada Provos Tentera Laut (PRL), JGN diserap ke dalam dari kepakaran PRL, PKL dijadikan Kemahiran Pelbagai dan kepakaran PJT dimansuhkan.
Di bawah struktur Cawangan Bekalan dan Urus Setia sebelum pengstrukturan semula kerjaya baharu mengandungi 8 kepakaran iaitu:

Kerani Am(KNA) - Mengurus hal ehwal perkeranian dan persuratan.

Kerani Gaji (KNG) - Mengurus urusan gaji warga TLDM.

Teknisyen Stor Logistik (TNS(L)) - Mengurus dan menyelia bekalan logistik serta alat ganti.

Teknisyen Stor Supply(TNS(S)) - Mengurus dan menyelia bekalan am seperti  pakaian, sajian dan lain-lain.

Pemandu Kenderaan Motor(PKM) - Memandu dan mengurus semua jenis kenderaan tentera.

Bendari(BDI) - Tukang masak.di kapal dan pangkalan.

Pelayan Wisma Pegawai (PWP) - Pengurus Wisma Pegawai di kapal dan pangkalan.
Pancaragam(PGM) - Memberi perkhidmatan muzik pasukan.

Selepas pengstrukturan semula, kepakaran KNA dan KNG digabung dan dijenamakan  sebagai Pentadbiran dan Kewangan(PNK), manakala kepakaran TNS(L)/TNS(S) dan PKM digabung dan dijadikan satu kepakaran iaitu Teknisyen Logistik (TNL).


Di bawah struktur Cawangan Kejuruteraan sebelum pengstrukturan mengandungi 8 kepakaran iaitu:
Teknisyen Marin Kuasa Gerak(TMK) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara bahagian jentera utama kapal.

Teknisyen Letrik Radio(TLR) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara ekuipmen Radio, Radar, Sonar dan lain-lain ekuipmen yang berkaitan.

Teknisyen Letrik Senjata (TLS) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara elektrikal dan persenjataan kapal.

Teknisyen Marin Mekanikal(TMM) (teknisyen skim apprentis)penyelenggara bahagian jentera utama dan hull.

Teknisyen Marin Srimala(TMS) (teknisyen skim apprentis)- Penyelenggara bahagian hull kapal.

Teknisyen Letrik Kontrol (TLK) (teknisyen skim apprentis)- Penyelenggara Radio dan kontrol.

Teknisyen Marin Elektrikal (sistem)TME(S) (Skim Apprentis Diploma Teknologi Marin)- Penyelenggara bahagian sistem kapal.

Teknisyen Marin Elektrikal (persenjataan)TME(P) (Skim Apprentis Diploma Teknologi Marin)- Penyelenggara bahagian power supply dan persenjataan kapal.

Selepas pengstrukturan semula, kepakaran TMS dan TLK dimansuhkan manakala kepakaran TME(S) dan TME(P) digabung dan dijenamakan sebagai Teknisyen Marin Elektrik(TME).

Kemahiran Pelbagai merupakan kemahiran tambahan kepada kemahiran teras yang diwujudkan dalam usaha untuk mempertingkat dan mengembangkan bidang tugas anggota di samping memberi ruang kepada pihak Pengurusan Tertinggi TLDM untuk merancang kerjaya anggota. Sebanyak 20 Kemahiran Pelbagai telah disenaraikan dan penyertaan anggota adalah mengikut kategori kepakaran yang telah diperuntukan.

Pasukan Khas Laut (PKL) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Ship Diver (SD) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Air Quarter Master (AQM) terbuka kepada Cawangan Pelaut dan Kejuruteraan,

Bodyguard terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Teknisyen Udara terbuka kepada Cawangan Kejuruteraan,

Jurulatih (I) terbuka kepada kepakaran yang mempunyai peringkat Jurulatih (I),

Ammunition Technician (AT) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Explosive Ordnance Disposal (EOD) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,


Teknologi Maklumat (IT) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Mine Warfare (MW) terbuka kepada kepakaran PBS dan PBK,

Improvised Explosive Device (IED) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran

Peperangan Elektronik (PEK) terbuka kepada kepakaran Komunikasi

Flight Deck Officer (FDO) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran

Helicopter Approach Controller (HAC) terbuka kepada Cawangan Pelaut (JTP).

Pentadbir Sistem P4 terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Risik terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Bomba terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Integrated Logistics Support (ILS) terbuka kepada Cawangan Bekalan dan Urus Setia,

Perhubungan Awam (PR) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Nuclear Biological Chemical Defense Instructor (NBCD)(I) terbuka kepada Cawangan Kejuruteraan,

Mechanical Handling Equipment (MHE) terbuka kepada Cawangan Bekalan dan Urus Setia.
Walaubagaimana pun cuma PASKAL, AT dan EOD sahaja yang telah diberi lencana khusus yang mana pemakaiannya tersemat di baju anggota.

Float Fight And Move

Ships is my home, sea is my playground, war is my game, join the navy see the world… Ungkapan yang digunakan bagi menggamit minat anak-anak muda di luar serta menggambarkan komitmen dan kaitan navy people dengan aset, laut dan  perjuangan. Satu lagi slogan float fight and move juga sering diucapkan bagi menggambarkan semangat juang dan tanggungjawab yang sangat besar yang harus dipikul oleh navy people bagi menentukan aset-aset yang dimiliki oleh TLDM berfungsi untuk merealisasikan misi dan visi TLDM kepada pertahanan maritim negara.

Untuk menjadikan sebuah kapal itu timbul, bergerak dan berperang sebenarnya tidak semudah berslogan.  Float fight and move adalah merupakan kombinasi tugas yang mesti dibuat secara berpasukan melalui sinergi kepakaran yang dimiliki oleh anak-anak kapal yang sememangnya telah diberi pendedahan khusus seawal penglibatan mereka di dalam perkhidmatan.

Untuk timbul (Float) atau bagi menentukan kapal itu terus terapung di atas air, anak-anak kapal dari semua bahagian bersiaga dengan segala kemampuan yang bermula dari kerja-kerja penyelenggaraan rutin (Ship Husbandry) sehingga kepada kawalan rapat  tim Kawalan Kerosakan (damage control) semasa dalam keadaan cuaca buruk atau dalam suasana perang.  Tim kawalan kerosakan semasa kapal menguatkuasakan stesyen-stesyen tertentu seperti Stesyen Bertindak, Bertahan, Petugas Khas Laut dan lain-lain adalah merupakan gabungan anggota-anggota dari Cawangan Kejuruteraan yang biasanya diketuai oleh Bintara NBCD(I) dengan dibantu oleh anggota-anggota dari Cawangan Bekalan dan Urus Setia. Mereka bersiaga menghadapi segala bentuk kemungkinan seumpama kebocoran dan kebakaran yang boleh menenggelamkan kapal akibat daripad perlanggaran dengan sesuatu objek atau disebabkan terkena tembakan dari pelbagai dimensi ancaman.  Dalam konteks Ship Husbandry, setiap departmen telah diberi kawasan tanggung jawab untuk diselenggarakan mengikut keperluan semasa supaya peralatan dan persekitaran tanggungjawab berada dalam keadaan bersih di samping peralatan yang ada dalam keadaan baik, berfungsi dan sedia guna.

Fight atau berlawan/berperang merupakan subjek utama kewujudan tentera laut itu sendiri.  Tanpa ancaman atau keperluan menjaga keamanan, sudah tentu peranan tentera laut mana-mana negara sekali pun menjadi tidak perlu.  Justeru bagi mengoperasikan elemen-elemen peperangan, sinergi teknikal dan taktikal diaplikasikan sebaik mungkin melibatkan kepakaran, PAP, PBS, TLS sebagai pengendali persenjataan bagi menangkis ancaman udara, permukaan dan bawah permukaan.  Kepakaran PBK sebagai penjejak objek bawah permukaan, JTP sebagai penjejak dan pelapur objek-objek udara dan permukaan serta  mengumpul gambar-gambar senario tersebut dan diterjemahkan ke dalam bentuk local operation plot (LOP) atau general operation plot (GOP) untuk dianalisa oleh pemerintah bagi tindakan susulan.  Manakala kepakaran KOM akan mengendalikan perhubungan dengan unsur-unsur kawan yang terlibat dan TLR merupakan pengawas teknikal kepada peralatan komunikasi, radar, sonar serta ekuipmen dan peranti-peranti sokongan berkaitan.

Bagi menentukan bahtera dapat bergerak (move) dengan lancar mengikut kemampuan untuk  ke lokasi-lokasi yang diarahkan, sudah tentu peranan ini terpikul ke atas bahu tim TMK yang memastikan segala aspek kejuruteraan jentera utama berfungsi dengan baik sebagai elemen pendorong. 

Semua penempatan atau stesyen dan penugasan untuk seluruh anak-anak kapal tercatat di Watch And Station Bill.  Semua anggota yang bertukar masuk sebagai komplimen akan diberi penempatan ini sebelum mereka dibenarkan mengikuti pelayaran.  Penempatan atau stesyen yang dimaksudkan ialah seperti Stesyen Bertindak (State 1), Stesyen Bertahan (State 2), Stesyen Petugas Khas Laut, Stesyen Pelayaran, Stesyen Menggeledah,  Stesyen Penerbangan, Stesyen Mendarat, Stesyen Kecemasan dan Stesyen Pelampong,

Bergantung kepada situasi, anak-anak kapal akan diarahkan untuk merapat ke stesyen-stesyen tertentu yang mana di situ terdapat penugasan-penugasan yang sesuai dengan kepakaran dan tahap keilmuan masing-masing berpandukan pangkat atau jawatan.  Kepantasan merapat ke sesuatu stesyen sangat diambil berat terutamanya ketika kapal dalam suasana pergolakan.  Sebagai contoh masa yang perlu diambil untuk merapat ke Stesyen Bertindak adalah mesti kurang dari satu minit.

Tribute Kepada Krew CIC

Combat Information Centre (CIC), atau boleh juga dipanggil Operation Room (Ops Room) adalah merupakan jantung kepada sesebuah kapal perang di mana perintah kawalan akan bermula daripada bilik ini di masa-masa perang. Tim CIC yang diketuai oleh Pegawai Peperangan (PWO) dan dibantu oleh Pegawai-pegawai yang berkepakaran khusus seperti Pegawai Persenjataan, Pegawai Anti Kapal Selam, Pegawai Pertahanan Udara dan juga Pegawai Sokongan Teknikal.

Tim CIC yang juga merupakan tim elit yang mengandungi gabungan keanggotaan LLP yang sebahagian daripada beberapa kepakaran anggota seperti TLR, TLS, PBK dan anggota KOM yang bertindak sebagai ‘mulut dan telinga’ armada.

 Keseluruhan anggota JTP yang lebih gemar digelar sebagai ‘budak RP’ (radar plotter) yang menjadi ‘mata’ kepada armada memainkan peranan yang sangat penting sebagai operator radar, sistem kombat pengendalian carta dan publikasi panduarah. Anggota JTP lebih dominan dalam konteks CIC kerana kompartmen  yang digazetkan TERHAD kepada warga kapal yang bukan dari kalangan Tim CIC adalah merupakan kawasan tanggungjawab yang perlu diberi perhatian rapi dari segi keselamatan dan kebersihan. Selain dari Anjungan, anggota JTP juga boleh melaksanakan duty radar watch semasa pelayaran biasa untuk anti collition bersama Officer Of The Watch (OOW) menerusi CIC.

Wujudnya tentera laut adalah kerana untuk berperang.  Denyut nadi peperangan akan dijana melalui CIC dengan kebijaksanaan dan manipulasi taktikal ‘Panglima Perang’ dan kuncu-kuncunya dengan bantuan peralatan teknikal yang mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik. Semasa latihan/perang, bermula dengan pengumpulan gambaran kontek-kontek permukaan, udara dan bawah permukaan melalui radar-radar dan juga sonar sebagai pengesanan awal atau maklumat dari sumber lain tentang kehadiran pihak musuh.  Pengumpulan maklumat-maklumat awal radar dan sonar ini sangat penting untuk diklasifikasikan samada kontek-kontek yang berada dalam jarak pemantauan radar dan sonar itu adalah unsur-unsur berkecuali seperti kapal dagang, kapal kawan atau kapal musuh. Di sinilah titik permulaan sesuatu pertempuran di laut akan bermula yang mana tiada jaminan untuk menang atau kalah namun yang pasti adalah taktikal, teknikal dan ketahanan warga kapal merupakan sinergi penentu kapal akan kembali ke Pangkalan dengan selamat atau sebaliknya.

Penambahbaikan Berterusan

Sesuatu yang harus diberi pujian kepada Pengurusan Tertinggi TLDM yang dari masa ke semasa telah membuat penilaian semula terhadap pembangunan modal insan dengan mengubah beberapa perkara terutamanya dalam sistem berpakaian, budaya dan tradisi tentera laut yang lebih menjurus kepada kehendak syariat. Jika sesuatu ketika dahulu lasykar dan pegawai berseluar pendek dan lasykarnita bermini skirt, kini semuanya telah berubah kepada yang lebih islamik sejak awal 1980an lagi.

Untuk menjadikan TLDM To be a World Class Navy, aktiviti penambahbaikan dalam aspek pengurusan sumber manusia terus dilaksanakan selaras dengan visi yang telah ditetapkan bagi menentukan kebajikan dan kesejahteraan warganya terus terbela.

Era mutakhir, Pusat Pembangunan Wanita (PPW) telah diwujudkan untuk kemudahan perlaksanaan aktiviti wanita di samping membangunkan Sistem Pengurusan Anggota Wanita bagi kemudahan penyaluran maklumat berkaitan wanita.

Sehubungan dengan perubahan kerangka kerjaya baharu, kelayakan bagi kemasukan ke skim pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Pertama (dengan kepujian) manakala kemasukan bagi skim LLP telah dinaikkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia bagi membolehkan warga TLDM khasnya menikmati kenaikan gaji minimum. Bagi meningkatkan tangga gaji maksimum di mana anggota dari kepakaran non teknikal boleh mencapai  tangga gaji yang lebih tinggi (Band 5) melalui ujian khas dan pemberian insentif-insentif perkhidmatan yang lain. Menghargai sumbangan dan pengorbanan warga TLDM, selain anjakan gaji penghargaan berbentuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan penganugerahan pelbagai pingat persekutuan, negeri dan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini