About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, June 9, 2013

APMM 8 TAHUN- MENGAWAL MELINDUNGI MENYELAMAT

Diterbitkan dalam majalah perajurit edisi mei 2013
Oleh Hamzah hd

Bombardier 415MP

Setelah 42 tahun merdeka, dikatakan sektor penguatkuasaan maritim negara masih lagi berada di tahap lemah dan perlu penambahbaikan drastik dalam usaha mencari suatu kaedah yang lebih dinamik dalam bidang penguatkuasaan di laut.  Berdasarkan suatu kajian, telah mendedahkan bahawa penguatkuasaan maritim tidak boleh bergerak lancar antara penyebabnya adalah kerana terdapat pertindihan fungsi, pertindihan bidang kuasa dalam kalangan penguatkuasa-penguatkuasa maritim yang sedia ada seperti Polis marin, Jabatan Kastam, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Imigresen dan lain-lain sekali gus telah mencetus kepada kehilangan sumber ekonomi negara yang sangat banyak serta menzahirkan imej negatif terhadap pentadbiran negara yang disebabkan kelemahan menanganinya.

Agensi-agensi penguatkuasa yang ada masing-masing mempunyai akta yang tersendiri bagi menangani skop tugas yang telah diamanahkan.  Namun begitu skop penguatkuasaan yang dimiliki adalah sangat terhad dari segi fungsi, aset dan kemampuan yang mana pastinya banyak membazirkan tenaga dan sumber manusia kerana jangkauan perlaksanaan penguatkuasaan yang sepatutnya lebih meluas tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

Banyak ruang dan lompang yang ditinggalkan yang mana jika dapat dijangkau secara menyeluruh bukan sahaja boleh menjadikan zon maritim negara lebih kondusif dan menjanjikan  rasa selamat  kepada pengguna dengan adanya pemantauan rapi dalam usaha menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan yang berterusan malah dalam satu keadaan lain boleh menjana keuntungan hasil cukai yang berlebihan serta kutipan denda kepada pesalah-pesalah persekitaran maritim.

Justeru, sebagai langkah penambahbaikan, tim kajian bagi penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau dengan panggilan mudahnya Maritim Malaysia (MM) mula dibentuk pada April 1999.  Berikut adalah kronologi peristiwa yang mencetus ke arah pembentukan APMM:

21 Ogos 2002- tim kajian telah membentangkan hasil kajian ke kabinet untuk kelulusan.
16 April 2003- pembentukan komiti Pemandu Kebangsaan dan Tim Nukleas.
15 Februari 2005 - Akta APMM (Act 633) dikuatkuasakan ke dalam perkhidmatan MM.
10 Oktober 2005 – Majlis memperkenalkan APMM (soft launch).
30 Oktober 2005 - melancarkan pengoperasian MM dan pada 21 Mac 2006, MM dengan rasminya dilancarkan.

Maritim Malaysia berfungsi bagi menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara di Zon MM serta menyelamat nyawa dan harta benda semasa kecemasan di laut seperti mana yang termaktub di dalam Akta APMM 2004 (Akta 633).  Di samping itu, Seksyen 6(3) [Akta 633] memperuntukan bahawa MM bertanggung jawab mencari dan menyelamat, mengawal dan mencegah pencemaran, menyekat pelanunan, pengedaran dadah di lautan lepas dan Maritim Malaysia juga dikehendaki memberi bantuan dalam apa-apa perkara jenayah atas permintaan negara asing sebagaimana yang diperuntukkan  di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621).  Kabinet juga telah memutuskan bahawa Maritim Malaysia dijadikan sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal mulai Ogos 2011 sejajar dengan keputusan kerajaan terdahulu semasa penubuhan APMM.

Keseluruhannya pengoperasian MM di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri sewaktu negara berada dalam keadaan aman, namun begitu ianya dikehendaki membantu ATM semasa negara di dalam keadaan perang.  Kejadian terbaharu yang dapat kita saksikan ialah insiden pencerobohan bangsa Suluk di Lahad Datu Sabah yang mana telah membawa kepada penglibatan MM secara langsung dalam mengawal perairan negara yang mana telah mencetus kepada pengoperasian MM di kawasan ESSCOM di bawah kawalan Kementerian Pertahanan.

Pada peringkat awal penggunaan sumber manusia adalah dari proses tukar lantik secara sukarela yang melibatkan lebih daripada 1000 orang anggota TLDM yang merupakan tulang belakang kekuatan MM ketika ini.  Di samping itu, tawaran juga dibuat kepada agensi-agensi maritim yang lain seperti Polis marin, Kastam, Perikanan, Imigresen dan lain-lain agensi yang terlibat dalam konteks ini. Penambahan perjawatan yang diluluskan adalah secara berperingkat daripada 4,030 kepada 9,077 anggota.

Kekuatan semasa sumber manusia MM pada masa ini ialah lebih daripada 5000 orang pegawai, anggota Lain-lain Pangkat dan Gunasama yang mana telah mencapai sasaran semasa keanggotaan bagi Fasa ke-2 Pelan Perancangan Strategik MM dalam konteks kekuatan sumber manusia yang mensasarkan sejumlah 5167 orang menjelang tahun 2014 sejajar dengan perjawatan MM yang telah diluluskan. 

Program tranformasi MMM akan meneruskan perolehan dan penggantian aset bagi memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat. Hampir 90 peratus aset termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dijangka akan dapat dicapai selepas tahun 2016.

Senarai Aset MM Dan Sejarah Perolehan

Pelan Jangka Pendek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) melalui Fasa 1 (2006-2010) Pelan Perancangan Strategik MM memberi keutamaan kepada perolehan aset, pengambilan dan pembangunan sumber manusia  yang diperlukan bagi menyokong tugas dan aktiviti serta merta.

Penyenaraian aset-aset operasi yang berupa bot, kapal permukaan dan pesawat udara yang merupakan peralihan serah milik dari agensi-agensi lain dan juga perolehan baharu.

Dalam fasa ini juga MM telah membuat perolehan 2 buah pesawat Bombardier 415MP, 3 buah pesawat light medium helicopter Agusta AW139 dan 3 buah pesawat medium lift helicopter Dauphin AS 365 N3. 

Manakala perolehan baharu aset permukaan ialah KM MARLIN merupakan sebuah kapal latihan yang telah dihadiahkan oleh The Nippon Foundation Jepun kepada MM. Kapal telah dilancarkan pada 30 Jan 2006 dan telah siap pembinaannya pada Mac 2006.  Kapal telah belayar dari Naha, Jepun pada 4 Apr 2006 dan tiba di pelabuhan Klang pada 14 April 2006. Upacara penamaan dan penerimaan KM MARLIN telah diadakan di Pusat Hidrografi Nasional pada 1 Jun 2006 dan diletakan dibawah pengawasan Pusat Latihan APMM yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.

12 x Bot Kelas Penggalang - dibina oleh Destination Marine Services di Pelabuhan Klang.  Maritim Malaysia telah membuat tempahan sebanyak 2 buah untuk digunakan sebagai bot pemintas dalam operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang dikehendaki.  Penyerahan bot ini telah dilakukan  pada 10 Sep 2007. Penggalang 1 ditempatkan di DM4 (Pelabuhan Klang) dan Penggalang 2 ditempatkan di DM6 (Johor Baharu) untuk tugas-tugas operasi.  Manakala 10 buah lagi dari jenis ONUK MRTP 16 yang dibina oleh BYO Marine dengan kerjasama Bousted Heavy Industry Corporation (BHIC) dan mula diserah kepada Maritim Malaysia secara berperingkat sejak 5 Disember 2011.

Bot Kelas PETIR


38 x Bot KILAT (RHIB) - telah dibina oleh MSET Shipbuilding Trengganu untuk tempahan Maritim Malaysia sebanyak 38 buah.  Bot-bot ini dibina dalam 2 kategori iaitu 13 buah (open type) dan 25 buah (semi carbin).  Bot ini juga ditugaskan di dalam operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang dikehendaki.  Bot-bot ini telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mulai bulan Jan 2006 dan ditempatkan di semua Wilayah MM.

10 x Bot Kelas PETIR.- Bot ini disumbang oleh TELEKOM MALAYSIA sebanyak 2 buah manakala 8 buah lagi telah dibina di DMC Batu Pahat.  Mula beroperasi pada tahun 2010 selepas diserahkan kepada  MM.

10 x Bot Kelas Pengawal (ex-GRP) telah mula berkhidmat di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun 1999 sebagai bot pemantau dan penandaan laluan kapal-kapal yang menggunakan  perairan negara.  Berkhidmat selama 8 tahun  di dalam perkhidmatan Jabatan Laut seterusnya diserahkan kepada MM pada bulan Jan 2006.

2 x Kapal Kelas NUSA (ex-RAJAWALI) berada di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal 1993 dan telah berkhidmat selama 15 tahun. Kapal- kapal ini  telah ditukar milik untuk kegunaan Maritim Malaysia  pada Apr 2006.

1 x Kapal Kelas SEMBILANG (ex- SIRI100) telah mula berkhidmat dalam Jabatan Perikanan pada awal tahun 1986.  Ditugaskan untuk membuat pemantauan kepada nelayan-nelayan tempatan laut dalam.  Setelah berkhidmat selama 20 tahun di dalam perkhidmatan Perikanan, pada Jun 2006 kapal ini telah diserahkan kepada MM.

1 x Bot Kelas PENINJAU (ex-SIRI300) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan  pada awal tahun 1990. Ditugaskan untuk membuat pemantauan terhadap nelayan-nelayan tempatan persisir pantai dan sangkar-sangkar ikan yang dibina di pantai negara. Telah berkhidmat selama 16 tahun didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan sebelum diserah kepada MM pada bulan Jun  2006.

4 x Bot Kelas PENYELAMAT (ex SAR) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun 1998.  Digunakan  untuk operasi mencari dan menyelamat serta memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku bencana di laut. Berkhidmat selama 9 tahun di dalam perkhidmatan Jabatan Laut sebelum diserahkan sepenuhnya kepada MM pada bulan Jan 2006.
5 x Kapal Kelas RAMUNIA (ex BAHTERA) berada di dalam perkhidmatan KASTAM sejak tahun 1983 dan telah berkhidmat berkhidmat selama 23 tahun sebelum diserahkan kepada MM pada Jun 2005.

1 x Kapal Kelas RHU (ex SIRI 200) telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan  pada awal tahun 1990. Diserahkan kepada MM pada Jun 2006 setelah berkhidmat selama 16 tahun dengan Jabatan Perikanan..

4 x Kapal Kelas MALAWALI (ex BINTANG) telah memasuki perkhidamatan Jabatan Laut  pada awal tahun 1999 dan telah berkhidamat selama 8 tahun.  Pada April 2006 kapal-kapal ini diserahkan sepenuhnya kepada Maritim Malaysia.

15 x Kapal Kelas TUGAU (ex - PA) telah beroperasi dalam perkhidmatan PDRM hampir 10 tahun dan  menyerahkan kepada MM pada 2011.

1 x Kapal Kelas LANGKAWI (ex-KD MARIKH)  adalah kapal ronda pesisir pantai (OPV) yang memasuki perkhidmatan TLDM pada tahun 1987.  Kapal ini telah diserahkan kepada MM pada 23 Jun 2006.  Walau bagaimanapun pengoperasian kapal ini adalah di bawah Pusat Kawalan Maritim Putrajaya.

15 x Kapal Kelas GAGAH (ex PZ) merupakan kapal peronda kelas PZ yang telah memasuki perkhidmatam Pasukan Polis Marin pada tahun 1980. Kapal tersebut telah berkhidmat selama 26 tahun di dalam Pasukan Polis Merin. Kapal telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mula pada Jun 2005 hingga Jun 2006.

15 x Kelas SIPADAN (ex PC) merupakan kapal peronda yang telah memasuki perkhidmatam TLDM pada tahun mulai tahun 1964.  hingga tahun 1968. Kapal tersebut telah berkhidmat selama 42 tahun didalam TLDM. Kapal telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mula pada Jun 2005 hingga Jun 2006.

Fasa ke 2 Pelan Perancangan Strategik MM (2011-2015)
Sejajar dengan pengiktirafan sebagai Agensi Penguatkuasaan Maritim Tunggal pada bulan Ogos 2011, MM telah berjaya menghadapi pelbagai cabaran termasuk pengambilalihan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim negara secara holistik dari lain-lain agensi penguatkuasaan maritim dengan meletakkan keutamaan untuk mengukuhkan kemampuan memberi perkhidmatan dan respon yang drastik kepada apa jua bentuk pelanggaran undang-undang maritim dan kecemasan di laut.

Sejajar dengan rancangan pembangunan RMK 10, MM akan meneruskan program-program mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat, memperkasakan tim STAR, melengkapkan prasarana dan kemudahan latihan di Pusat Latihan di samping membina kemampuan untuk bantuan melawan kebakaran dan bantuan kemanusiaan di laut.

Turut mensasarkan perolehan penambahan aset udara dan permukaan yakni perlaksanaan projek Perolehan Penambahan 2 buah pesawat amphibious, 6 buah helikopter medium lift, 2 buah kapal latihan, 2 buah kapal peronda saiz besar dan 8 buah kapal saiz sederhana, 25 buah bot pemintas, 8 buah lifeboat dan 50 buah bot kecil/RHIB dan juga penambahbaikan kepada sistem pengawasan laut.

Perolehan Baharu- 2 medium range maritime surveillance aircraft, 2 multi purpose command craft, 2 hovercraft dan 3 fire tender.

Sementara itu program melanjutkan tempoh perkhidmatan kapal(SLEP) dilaksanakan untuk 1 kapal peronda saiz besar dan 13 kapal saiz sederhana.

Fasa 2 akan meneruskan pengutamaan kepada penambahbaikan sistem C31 APMM (Fasa 2 dan 3), sistem pengawasan laut di perairan Sabah, utara Selat Melaka dan Pantai Timur Semenanjung dan penambahbaikan kepada sistem carilamat seperti perolehan peralatan pancaran kecemasan peralatan GMDSS melaui COSPAS-SARSAT, peralatan SAR planning computer aided software dan penambahan stesyen pantai untuk memperluaskan liputan GMDSS-DSC.

Fasa 2 juga turut memberi keutamaan pembinaan prasarana Ibu Pejabat Wilayah Selatan, Wilayah Utara dan Wilayah Sabah. di samping pembinaan prasarana untuk 8 daerah maritim yang kini hanya di Sedili, Kuala Terengganu dan Sandakan, 4 pangkalan maritim dan 3 stesyen udara yang kini hanya satu di Subang.  Pembinaan stesen udara dan pangkalan pos hadapan Maritim Malaysia, akan meningkatkan keupayaan pemantauan, operasi penguatkuasaan dan carilamat maritim menerusi respon yang pantas. Projek SWASLA di Sabah iaitu di Pulau Balambangan, Pulau Mantanani Kechil dan Pulau Gaya telah pun siap pada Dis 2011.

Fasa 2 ini juga memberi keutamaan dalam melengkapkan kekuatan anggota MM seperti yang diluluskan di dalam perjawatan Maritim Malaysia. Pengambilan anggota seramai 5,167 orang bagi keseluruhan fasa ini dan seramai 3,879 orang dilaksanakan secara berperingkat dari tahun 2011 hingga 2013.

 Selebihnya 1,288 orang bagi tahun 2014.   Pengambilan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu 500 orang bagi anggota baharu pegawai dan LLP, 603 orang bagi anggota mahir pegawai dan LLP dan 190 orang untuk pengambilan anggota gunasama setiap tahun.

Mengikuti perkembangan semasa kemajuan MM terhadap penambahan dan perolehan baharu aset seperti yang dirancang dalam Fasa Kedua ini, sehingga 2013 tidak nampak apa-apa perubahan yang menonjol bagi menyakinkan bahawa perancangan ini akan berjaya direalisasikan menjelang tahun 2015 nanti. 

Bertolak daripada krisis pencerobohan Lahad Datu sejak Februari lalu dengan penglibatan MM membantu ATM dalam menangani krisis ini dari arah laut sepatutnya menjadikan LIMA’13 sebagai medan kerajaan bagi memaklumkan penambahan dan perolehan baharu seperti yang dirancang Maritim Malaysia.

Meskipun ianya tidak semestinya berlaku sebegitu, sekurang-kurangnya pemerhatian umum tentang perkembangan ini memberi sedikit keyakinan bahawa peracangan ini sedang berjalan seperti yang dirancang.  Walau bagaimanapun kenyataan terbaharu kerajaan yang dinyatakan dalam manifesto PRU’13 bahawa pasukan keselamatan termasuk MM akan ditingkatkan keupayaan telah memberi sedikit keyakinan semuga sesuatu yang positif akan berlaku sedikit masa lagi sejajar dengan Pelan Strategik MM mengikut fasa-fasa tertentu.

Kejayaan Dan Pencapaian

Berkat perancangan dan kesungguhan warga Maritim Malaysia, kadar jenayah maritim di seluruh negara telah dapat dikurangkan.  Mengikut statistik yang dikeluarkan melalui Laporan Tahunan MM berakhir 2011, penurunan kadar jenayah sebanyak 16 peratus dalam masa 5 tahun iaitu daripada 20.20 peratus pada  2006 kepada 4.22 peratus pada tahun 2011. Kadar ini berdasarkan kepada 66,678 kali pemeriksaan dan 4,832 penahanan bagi pelbagai kes. Peningkatan jumlah pemeriksaan dan penurunan jumlah penahanan menunjukkan penguatkuasaan yang berkesan berjaya memupuk kesedaran undang-undang dan keselamatan dalam kalangan komuniti maritim.

Operasi penguatkuasaan MM telah memperlihatkan banyak kes-kes berprofil tinggi berjaya ditangani dan dibawa ke muka pengadilan. Antara kejayaan-kejayaan yang dibanggakan pada tahun 2011 ialah penangkapan dan pendakwaan ke atas tiga kumpulan penjenayah yang terlibat dalam dua kes merompak di atas kapal dan satu kes cubaan merampas bot nelayan. Penemuan semula bot tunda Marina 26 dan Marine Power 3301 yang dirampas di Miri iaitu selepas empat bulan ianya dirampas di Pulau Tioman dan menyelamatkan kapal MT Nautika Johor Bharu daripada dirampas keluar ke negara jiran.

Bagi semua kes penyeludupan khasnya kes pemerdagangan orang, PATI, dadah, ganja, rokok, arak, pasir, kayu balak, bakau, barang kawalan dan diesel bersubsidi adalah antara sasaran MM dalam memerangi satu lagi bentuk jenayah rentas sempadan. Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Disember 2011, sebanyak 794 pelbagai kes penyeludupan telah dikendalikan yang mana ia turut mengecilkan jurang kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara.

Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing, sebanyak 517 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan mengutip kira-kira RM236 juta hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada tahun 2007 hingga 2011. Penguatkuasaan yang berkesan ini turut mempengaruhi peningkatan statistik pendaratan hasil laut iaitu RM4.02 bilion setahun kepada RM6.32 bilion setahun pada 2009.

Dari sudut menyediakan perkhidmatan bantuan Mencari dan Menyelamat(Carilamat) di laut, MM sentiasa berusaha meningkatkan tahap responsif agar rakyat berasa selamat dan mendapat bantuan yang diperlukan dengan segera. Berdasarkan 2,747 operasi, jumlah nyawa yang berjaya diselamatkan ialah 2,182 atau 79 peratus. Manakala, nilai harta benda yang berjaya diselamatkan ialah RM274 juta bersamaan 89 peratus.

Dalam senario geografi politik dan situasi keselamatan maritim dalam negara yang semakin mencabar dan terdedah kepada kepelbagaian aktiviti yang memerlukan banyak pengawasan dan penguatkuasaan, kemunculan MM adalah sangat bertepatan dengan keperluan semasa.

Kawasan maritim negara yang merangkumi Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) seluas 614,000 km persegi dan 148,307 km persegi Perairan Wilayah Malaysia (PWM) dengan persisiran pantai sepanjang 4,490 km adalah sangat luas dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi untuk MM menangani cabaran terutamanya ZEE Selat Melaka, ZEE Laut China Selatan (LCS) di sepanjang Pantai Timur Semenanjong, perairan ZEE LCS di Sabah dan Sarawak serta Laut Sulu dan Laut Sulawesi sepanjang Pantai Timur Sabah. Dengan perkongsian sempadan maritim dengan beberapa negara serantau serta perairan yang kaya dengan sumber asli di samping menjadi laluan utama Sea line of communications (SLOC) yang menghubungkan LCS dan Lautan Hindi menjadikan perairan Malaysia  menjadi dimensi yang sangat penting demi survival negara.


Dalam usia 8 tahun penubuhan,  MM telah menunjukan suatu pencapaian yang sangat membanggakan tentunya hasil dari perancangan dan kerja kuat pimpinan dan seluruh warga kerja bagi memacu MM ke arah kecemerlangan ini.  PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini