Sunday, November 20, 2011

ASKAR WATANIAH – BUKAN SEKADAR SIMPANAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi November 2011
Oleh Hamzah hd



Kewujudan Rejimen Askar Wataniah (RAW) dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), merupakan satu unsur yang amat penting. Setiap negeri akan mengadakan Pasukan Sukarelawan dalam membantu ganti serta mengimbangi dengan kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.

Dalam hal ini rakyat Malaysia tidak mengira kaum digesa untuk menjadikan AW sebagai satu platform bagi meningkatkan dan mengenal potensi diri di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain di dalam masyarakat.
Menyertai AW mencerminkan kesanggupan individu masyarakat memikul tanggung jawab bersama membantu mempertahankan negara dengan berbekalkan semangat, disiplin dan komitmen yang telah ada dalam diri masing-masing sekali gus menyumbang kepada keharmornian dan kestabilan negara.

Justeru dengan semangat dan komponen jati diri seumpama itu sepatutnya dijadikan sebagai satu warisan untuk semua kerana mempertahankan negara bukanlah hanya terletak di atas bahu pihak tentera sahaja tapi adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

Sejajar dengan Key Performance Indicator (KPI) Menteri Pertahanan, yang mensasarkan penubuhan satu kompeni AW bagi setiap kawasan Parlimen. Sehingga kini hanya negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masih belum dilancarkan sepenuhnya. Sehingga kini sudah 202 kawasan telah dilancarkan dan berbaki 20 kawasan lagi dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya sebelum penghujung tahun 2011.

Penubuhan Jawatan Kuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) adalah selaras dengan konsep menganakangkatkan pasukan Angkatan Sukarela oleh kerajaan negeri di mana jawatan kuasa ini akan merancang segala bentuk bantuan untuk membangunkan pasukan AW negeri masing-masing. Sejak jawatan kuasa ini diwujudkan, ianya secara tidak langsung dapat membantu rejimen di dalam meningkatkan paras kekuatan menerusi penglibatan setiap lapisan masyarakat di negeri masing-masing.

Ketika ini, kekuatan AW seluruh Malaysia adalah seramai 56,036 orang termasuk Platun Selebriti yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan pengacara tanahair yang baharu ditubuhkan baru-baru ini. Susulan daripada itu, satu lagi Platun Media telah juga direalisasikan penubuhannya sejajar dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang program aktiviti dan latihan yang sama seperti anggota tetap tentang tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka kemudiannya akan bertindak sebagai ejen penerangan bagi memperomosikan pasukan tersebut serta meningkatkan kesedaran kepada orang awam mengenai peranan tentera semasa perang dan semasa aman sekaligus menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai pasukan ini terutamanya golongan belia.

Kepakaran yang dimiliki pengamal media boleh digunakan untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan ATM kerana strategi komunikasi sangat penting ketika berlaku peperangan.

Biarpun terdapat gosip-gosip masyarakat tentang kerelevanan penglibatan golongan selebriti ini namun hakikatnya mereka berhak untuk bersama-sama berganding bahu menyumbang kepada keamanan negara dengan cara mereka bagi merealisasikan matlamat yang sama.

Sejarah Wataniah

Pasukan sukarela telah pun wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1861 dengan penubuhan pasukan sukarela yang dinamakan Penang Volunteer. Pada tahun 1902, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah mula menubuhkan unit sukarelanya yang dikenali sebagai Malay State Volunteer Rifles (MSVR). Pasukan sukarela tersebut terus berkembang dan beberapa pasukan baru telah ditubuhkan dengan gelaran Malay Federated Malay States Volunteer Force' (FMSVF), Unfederated Malay States Volunteer Force (UFMSVF) dan Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Apabila tercetusnya Perang dunia Kedua, semua pasukan sukarela yang wujud telah sama-sama berganding bahu dengan angkatan tetap menentang tentera Jepun di Malaya. Selepas perang dunia kedua pasukan-pasukan sukarela yang telah wujud telah dihidupkan semula. Apabila tercetus darurat di tanah air pada tahun 1948, satu pasukan sukarela iaitu Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) telah ditubuhkan. Home Guard ini telah memainkan peranan yang penting sepanjang masa darurat tersebut.
Dalam tahun 1958, apabila keadaan keselamatan dalam negeri telah dapat dikawal semula Home Guard telah dibubarkan. Memandangkan ramai dari kalangan anggota Home Guard mahu terus menyumbang perkhidmatan sukarela mereka, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan untuk menghidupkan serta menyusun pasukan sukarela supaya ianya lebih berkesan dan tersusun rapi, sesuai dengan tujuan penubuhan pasukan sukarela tersebut. The Territorial Army Ordinance 1958 telah digubal. Dengan kuasa Ordinan ini pasukan sukarela yang baru dikenali dengan nama ASKAR WATANIAH telah ditubuhkan pada 1 Jun 1958.

Pengenalan

AW merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat (TD). Terdapat pelbagai Rejimen dan Kor dalam AW yang mempunyai peranan dan tugas tersendiri. Pasukan-pasukan AW diletakkan di bawah pentadbiran Briged setempat dan di bawah kawalan teknikal Bahagian Pasukan Simpanan (BPS).
Pasukan-pasukan AW telah diorganisasikan dan distrukturkan dalam komponen-komponen berikut:
a. Elemen Tempur
b. Elemen Bantuan Tempur
c. Elemen Bantuan Perkhidmatan
d. Elemen Pakar
e. Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
Orang ramai yang menepati kelayakan-kelayakan asas berpeluang memilih mana-mana pasukan untuk berkhidmat terutama pasukan yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Elemen Tempur

• Siri 500 Askar Wataniah - Elemen ini berperanan sama seperti pasukan
pasukan infantri Angkatan Tentera Tetap. Terdapat enam belas rejimen Siri 500 AW di seluruh Malaysia pada ketika ini. Setiap rejimen mempunyai tiga batalion yang ditempatkan di beberapa lokasi.

Rej 501 AW - Kem Tebrau Johor Baharu.
Rej 502 AW - Kem Sg. Buluh Selangor.
Rej 503 AW - Kem Jalan Tambun Ipoh.
Rej 504 AW - Kem Bukit Keteri Kangar.
Rej 505 AW - Kem Telok Sisek Kuantan.
Rej 506 AW - Kem Pangkalan Chepa Kota Bharu.
Rej 507 AW - Kem Bukit Perwira Kota Kinabalu.
Rej 508 AW - Kem Jalan Rasah Seremban.
Rej 509 AW - Kem Lebuhraya Peel Pulau Pinang.
Rej 510 AW - Kem Sri Rejang Sibu.
Rej 511 AW - Kem Ria Kompleks Kuching.
Rej 512 AW - Kem Padang Midin Kuala Trengganu.
Rej 513 AW - Kem Bukit Pinang Kepala Batas Kedah.
Rej 514 AW - Kem Bukit Bruang Melaka.
Rej 515 AW - Jalan Buku Lima, Ampang Kuala Lumpur.
Rej 516 AW - Kem Kukusan Tawau.
• Armor - Kor Armor Diraja telah mewujudkan Skuadron Armor AW yang diintergrasikan dalam setiap rejimennya. Skuadron-skuadron tersebut terletak di Port Dickson, Kuantan, Sungai Petani, Kuching dan Kota Belud, Sabah.
Elemen Bantuan Tempur
• Semboyan - Skuadron-skuadron Semboyan Medan AW telah ditubuhkan untuk mewujudkan barisan kedua pasukan pengendali komunikasi TD. Pasukan ini terdapat di Kuala Lumpur, Ipoh dan Sungai Besi.

• Jurutera - Mewujudkan Skuadron-skuadron Jurutera AW dengan melatih anggota Sukarela dalam aspek kejuruteraan medan. Skuadron-skuadron ini terdapat di Kuala Terengganu, Kajang, Klang dan Pulau Pinang.

• Artileri - Konsep penubuhan sama seperti Armor di mana satu Bateri Artileri AW diintegrasikan dalam Rejimen Artileri Diraja bertempat di Kota Bharu, Taiping, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur.

• Risik – Kompeni Perisikan Diraja AW yang diintegrasikan ke batalion KRD (Tetap). Unit ini terdapat Sungai Petani.

• Polis Tentera – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menubuhkan 4 Kompeni KPTD AW iaitu di Pulau Pinang, Kuantan, Sungai Petani dan Kuching.
Elemen Bantuan Perkhidmatan
• Kor Perkhidmatan - Terdapat lima Kompeni Angkut AW. Satu Kompeni Bekalan dan Platun Hantaran Udara, AW. Lokasi unit-unit adalah di Seremban, Kuala Lumpur manakala Platun Hantaran Udara di Taiping.

• Kor Ordnans - Terdapat satu Kumpulan Ordnan Briged AW (KOB AW) bertempat di Kuala Lumpur dan terdapat unit KOB AW diwujudkan dengan diintegrasikan kepada unit tetap di Kuching, Taiping, Melaka dan Kuantan.

• Kor Jurutera Letrik Dan Jentera - Terdapat dua wokshop JLJ AW iaitu di Ipoh dan Kuala Lumpur manakala empat Wokshop Medan AW bertempat di Taiping, Melaka, Kuantan dan Kuching.

• Kor Kesihatan - Terdapat empat Kompeni Ubat AW bertempat di Kuantan, Kluang, Sungai Petani dan Kuching.
Elemen Pakar

Elemen pakar yang terdapat dalam AW terdiri daripada 2 kor iaitu Kor semboyan dan Kor Jurutera.

Rejimen Pakar yang terdapat dalam Kor Semboyan adalah:
• Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) - Unit ini khusus bagi urusan penyelenggaraan perhubungan. Keanggotaan unit pakar ini terdiri daripada kakitangan Telekom Malaysia.

• Rejimen Semboyan Diraja Medan (AW)- Keanggotaan dalam pasukan ini terbuka kepada orang awam yang memiliki kemahiran dalam bidang telekomunikasi. Lokasi kedua-dua rejimen ini terletak di Padang Tembak Kuala Lumpur.
Rejimen Pakar yang terdapat dalam Kor Jurutera adalah:
• Jurutera Pakar Pelabuhan (40 RAJD Pakar AW): Unit-unit ini ditubuhkan di pelabuhan-pelabuhan utama negara. Keanggotaan terdiri daripada kakitangan pekerja pelabuhan Kuantan, Klang, Pulau Pinang, Bintulu dan Kuching.

• Jurutera Pakar Keretapi (50 RAJD Pakar AW): Unit ini bertanggungjawab bagi menyelenggarakan KTMB semasa darurat. Keanggotaan unit ini adalah kakitangan KTMB.

• Jurutera Pakar Pengendalian Air (60 RAJD Pakar AW): Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Bekalan Air.

• Jurutera Pakar Pengendalian Janakuasa (70 RAJD Pakar AW): Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad.
Kesemua rejimen ini di bawah pentadbiran Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja Senggara Perhubungan, Kem Bukit Haigate Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur.

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)

PALAPES ditubuhkan di dua belas Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai pusat pengeluaran pegawai graduan yang terlatih dalam ilmu ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Simpanan. IPTA yang mempunyai unit PALAPES adalah:

• Universiti Malaya (UM)
• Universiti Kebangsaan (UKM).
• Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM)
• Universiti Sain Malaysia (USM)
• Universiti Teknologi Mara (UTM)
• Universiti Malaysia Sabah (UMS)
• Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
• Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
• Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
• Universiti Utara Malaysia (UUM)
• Universiti Tun Husin Onn (UTHO)
Pasukan AW Kerahan (Mobilisasi) - Untuk menampung keperluan anggota dalam mengawasi keselamatan negara beberapa pasukan AW telah dikerah sepenuh masa untuk menjaga keselamatan sempadan dan kawasan-kawasan strategik negara. Antara pasukan-pasukan yang masih dikerah ialah Pusat-pusat Kawalan Sasaran Penting.
Pusat Kawalan Sasaran Penting - Unit Sasaran Penting diwujudkan di tempat strategik negara dan terletak di bawah pentadbiran Markas Pemerintahan Briged yang mempunyai Pusat Kawalan Sasaran Penting ialah:
• 1 Briged
• 3 Briged
• 6 Briged
• 7 Briged
• 8 Briged
Konsep Dan Jenis Latihan
Konsep latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada latihan asas ketenteraan untuk menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan. Latihan-latihan Askar Wataniah dilaksanakan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa seperti hujung minggu.
• Latihan Rekrut - Setiap anggota Askar Wataniah perlu menjalani latihan rekrut selama 30 hari berterusan atau melalui latihan tempatan selama 240 jam iaitu syarat untuk pengiktirafan sebagai Prebet.
• Latihan Tempatan - Latihan ini dilaksanakan di lokasi berdekatan kediaman anggota Sukarela. Latihan dijalankan pada masa yang bersesuaian terutama pada cuti hujung minggu. Latihan dilaksanakan dalam tempoh antara 2 hingga 12 jam sehari. Jumlah latihan ini dilaksanakan tidak melebihi 240 jam setahun (pasukan bukan teknikal) dan tidak melebihi 360 jam (pasukan teknikal).
• Latihan Lanjutan - Latihan ini dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tidak kurang daripada 72 jam dan tdak melebihi 14 hari bagi setiap individu dalam setahun.
• Latihan Tahunan - Latihan ini dijalankan secara berterusan pada setiap tahun sebagai kemuncak aktiviti latihan. Latihan tersebut dilaksanakan tidak melebihi 15 hari setiap tahun bagi seseorang individu. latihan ini dilaksanakan secara berkelompok dengan mengaplikasikan kemahiran ilmu medan perang, muslihat dan pengendalian senjata serta latihan rejimental.
Latihan Anggota Pakar - Anggota Pakar hanya perlu mengikuti latihan kem tahunan selama 15 hari setahun.
Faedah-faedah yang diperolehi oleh setiap anggota AW akan diberi:
• Imbuhan Elaun.
• Elaun Latihan Tempatan
• Elaun Latihan Berterusan dan Kem Tahunan
• Elaun Perjalanan
• Elaun Pakaian
• Saguhati Tahunan (Bounty).
Majikan dan Aspek Perundangan Angkatan Sukarela.
Angkatan Sukarela melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM walaupun cara perlaksanaan latihan agak berbeza di antara satu sama lain namun matlamatnya adalah supaya dapat menyediakan Pasukan Simpanan yang lengkap demi untuk mendukung peranan utama yang ditetapkan iaitu membantu Angkatan Tetap dan bersiap sedia dikerah untuk berkhidmat apabila keadaan memerlukan.
Bagi menentukan peranan itu dapat direalisasikan, ATM memerlukan anggota sukarela yang komited, mampu meluangkan masa, berpandangan positif dan bersedia turun padang. Selain itu ATM juga memerlukan sokongan padu serta kerjasama majikan-majikan untuk melepaskan pekerja mereka melibatkan diri di dalam bidang ketenteraan.
Usaha majikan menggalakan serta member sokongan membenarkan pekerja-pekerja mereka melibatkan diri di dalam Angkatan Sukarela sudah tentu dapat membantu bukan sahaja kepada ATM bahkan untuk negara.
Bagi menggalakkan anggota sukarela menghadiri latihan, pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 telah dilaksanakan. Pindaan terhadap seksyen 201B dan seksyen 201C telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2005 yang mewajibkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka menghadiri latihan dan penugasan Angkatan Sukarela.
Seksyen 201B Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menghalang pekerjanya menjalani latihan Angkatan Sukarela boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 201C Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menamatkan pekerjaan pekerjanya yang merupakan Angkatan Sukarela semata-mata kerana pekerja itu mengikuti latihan atau pertugasan, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Peraturan 41Bab C Perintah Am, 1974 telah memperuntukan cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh Ketua Jabatan kepada seseorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang dikehendaki menghadiri latihan atau khemah tahunan pasukan-pasukan sukarela.
Penutup
Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan mengekalkan kedaulatan bukan sekadar perlu kesedaran malah ianya menuntut lebih daripada itu daripada setiap individu masyarakat. Peranan dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan hadapan sahaja malah melalui penghayatan ianya boleh diterjemah dan diaplikasikan mengikut kemampuan dan patriotisme walau di tahap mana seseorang itu berada.
Rekod negara pernah mencatatkan perkhidmatan cemerlang anggota-anggota AW (siri 300) dalam perjuangan menentang pengganas komunis di sempadan. Sekadar menyebut satu nama besar Prebet Lelias (PGB) dan ribuan kawan-kawannya yang sanggup bergadai nyawa demi tanahair tercinta menggambarkan bahawa patriotisme tidak terhad kepada pasukan mana yang sedang seseorang itu berkhidmat.
Justeru, penubuhan, peningkatan dan pembangunan AW tidak boleh diragui sebagai ketumbukan barisan kedua yang ampuh yang mampu menggerakkan jentera-jentera sokongan kepentingan awam berfungsi seperti biasa di kala negera berada dalam saat genting. Peranan Pasukan Simpanan Sukarela ATM adalah elemen cegah rintang yang terbaik dengan struktur organisasinya yang mantap dan boleh dipercayai.
Pembangunan dan perkembangannya mempunyai hala tuju yang jelas. Apa yang penting adalah komitmen individu yang telah menyahut cabaran ini jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi. Bukan kerana lain-lain maksud seperti ingin menambahkan pendapatan atau keistimewaan-keistimewaan tertentu sebagai seorang tentera yang pastinya komitmen sebegini akan menjadi longgar dan tidak kekal lama.
Realiti yang harus diterima adalah ramai dari kalangan AW ‘hangat-hangat tahi ayam’ terhadap tanggungjawab yang harus mereka lunasi sebagai anggota AW. Ada yang menganggotai Pasukan PALAPES hanya sekadar untuk memenuhi ko-korikulum universiti malah ada juga dengan niat untuk menambah wang saku. Walhasilnya setelah tamat pengajian, tauliah yang disandang dibuang entah ke mana.
Tidak dinafikan untuk berjaya di dalam perkhidmatan AW ini memerlukan komitmen yang tinggi dengan sokongan dan dorongan terutamanya majikan-majikan di mana anggota-anggota bernaung. Kekangan kerja dan birokrasi majikan terutama dalam organisasi swasta banyak membantutkan semangat dan keinginan seseorang anggota AW untuk turut cergas pada setiap aktiviti yang dilaksanakan. Untuk berada dalam situasi menang-menang apa yang perlu disemat dalam fikiran ialah ‘jika tidak boleh buat semua janganlah ditinggalkan semua’ aktiviti yang telah ditetapkan dalam skim latihan. Sebenarnya untuk memahirkan seseorang anggota AW, kerajaan telah membelanjakan jumlah wang yang banyak justeru sangat rugi sekiranya seseorang itu tidak member komitmen yang sepatutnya atau melakukan sambil lewa.
Ancaman kepada keamanan negara pasca merdeka terutamanya era millenium tidak lagi berpaksikan ancaman luaran yang ingin menjajah secara fizikal tetapi ‘kelihatan’ ia bergerak halus melalui ideologi politik yang dimainkan oleh rakyat negara sendiri yang sanggup menggadaikan kesejahteraan demi sebuah kuasa.
Institusi keselamatan negara juga tidak terlepas dari turut dipersendakan bukan sahaja dengan mendedahkan maklumat-maklumat berdarjah kepada negara luar malah memperlekehkan segala usaha pembangunan pertahanan yang dirancang. Menjadi lebih malang bila ada yang berani mempertikaikan jasa pejuang-pejuang zaman kritikal dengan menterjemah kepada fakta sejarah menjadi sebaliknya. Implikasinya amat besar terhadap sejarah kemerdekaan negara kerana jika tidak dibendung, fenomena ini akan mengelirukan pemikiran generasi terkini yang sedang diberi kefahaman tentang konsep HANRUH yang menuntut semua rakyat bersatu hati jiwa dan raga demi kesejahteraan negara tercinta. Perajurt
________________________________________
Sumber Rujukan:
http://army.mod.gov.my
Cawangan Sumber Manusia (Sel Promosi) Markas TD

12 comments:

darwish hasibuan said...

SENARAI PALAPES IPTA ada yg trtinggal iaitu UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM).....yg di tubuhkan pada tahun 8 FEB 1980...selepas UKM(1 JULAI 1979) dan UM( 3 APRIL 1965)....UPM ipta yg ke-3 terawal menubuhkan PALAPES....dan skrg mmpunyai 33 intake...

Nur said...

salam..bagaimanakah nak tahu, pasukan mana yang sesuai kita sertai?

Hamzah hd. said...

Sdr darwish... terima kasih di atas maklumat anda. maaf mungkin saya terlepas pandang.

Hamzah hd. said...

Waalaikumussalam Sdri Nur...
Saya pun tidak mampu untuk menjawab dengan tepat soalan sdri.. Cuma secara asasnya semua pasukan AW adalah sama dan boleh disertai di mana-mana unit yang terdekat. Jika sdri mempunyai kepakaran khusus yang ada dalam senarai batalion pakar AW, sdri boleh apply atau mendapat maklumat lanjut kemudian melalui mana2 unit yang sdri daftar.

Alexander said...

macam mana kalau macam saya,yang ingin menyertai pasukan simpanan..saya masih belajar di-kolej di miri sarawak..adakah ada pangkalan wataniah di sarawak??

Anonymous said...

salam, saya pernah ditauliahikan sebagai Leftenan Muda...sekarang saya bekerja di syarikat swasta..saya masih berminat untuk meneruskan khidmat sebagai askar wataniah tetapi tidak tahu caranya dan saya bimbang akan bertindih dengan kerja saya. selain itu, untuk menyertai semula, boleh saya menyambung khidmat di UiTM juga di bawah PALAPES UiTM?

Anonymous said...

Salam..bagi bekas anggota-anggota PALAPES yang berminat menyambung perkhidmatan selepas tamat pengajian, tuan/puan boleh menyertai mana-mana pasukan AW yang berhampiran. Saya tidak pasti boleh atau tidak jika mahu kembali menyertai PALAPES di IPT tempat tuan/puan belajar dulu, setahu saya PALAPES hanya untuk mereka yang sedang mengikuti pengajian sahaja.

Bagi yang samar-samar tentang pasukan mana yang sesuai disertai, keputusan tuan/puan akan banyak bergantung kepada minat dan pemahaman tuan/puan terhadap organisasi AW itu sendiri. Seperti yang diterangkan dalam artikel di atas, AW mempunyai struktur dan fungsi yang sama seperti angkatan tetap iaitu terbahagi kepada elemen Tempur, Bantuan Tempur dan Bantuan Khidmat. Bagi yang ingin berada di barisan hadapan (askar tempur) maka unit-unit latihan infantri seperti Siri 500 AW dan skuadron Armor AW adalah pilihan yang tepat. Tetapi pada yang ingin mempelajari sesuatu yang "extra" dan bersifat teknikal maka bolehlah menyertai pasukan AW yang bernaung di bawah Kor atau Rejimen Tentera Darat, sebagai contoh 11 Skuadron Semboyan Diraja Medan (AW)di Kem KEMENTAH, KL jika berminat belajar mengendalikan radio dan lain-lain alat komunikasi atau jika minat bidang pengurusan stor kelengkapan Tentera Darat, ada 51 Kompeni Ordnans Diraja (AW) di Kem Batu Kentonmen KL. Banyak lagi unit-unit AW teknikal yang menawarkan kemahiran tambahan selain ilmu peperangan selain contoh di atas, boleh hubungi Bahagian Pasukan Simpanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak untuk dapatkan penerangan lanjut.

Anonymous said...

Salam Sejahtera.

Anon September 11, 2012 4:34 PM,
Sekiranya Tuan pernah ditauliahkan sebagai LTM semasa dalam PALAPES, Tuan masih boleh lagi meneruskan perkhidmatan selagi ROD Tuan belum tamat. Tuan boleh melapor ke mana-mana Markas AW yang terdekat dengan tempat kerja Tuan. Yang penting, Tuan hendaklah mendapat pelepasan daripada majikan Tuan untuk menghadiri latihan-latihan yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, sekiranya ROD Tuan telah tamat, Tuan perlu melapor juga ke mana-mana Markas AW yang terdekat, untuk proses Pentauliahan semula. Proses ini akan mengambil masa yang agak lama, dan memerlukan Tuan ditemuduga semula oleh BPS.

Sekian. Diharap mendapat sedikit pencerahan.

Anonymous said...

assalamualaikum. bagi mereka yang ingin menyertai anggota Wataniah boleh berbuat demikian dengan mendaftarkan diri dengan markas rejimen, batalion wataniah yang berdekatan. Bagi mereka yang pernah ditauliahkan sebagai pegawai sukarela yang ingin melapor di PALAPES mestilah seorang staff atau kakitangan di IPT tersebut.

Anonymous said...

ada personel AW di Sabah sekarang kaki ampu pegawai pas tu yg jd persoalan dia bukan mempunyai dokumen sah tp boleh jd anggota AW?kuat ampu sehingga bleh pegang jwtn koperal..ampu pegawai sehingga sarjan dan encik a.k.a pegawai waran pun dia boleh makan..apa crita ni?memang AW suka ambil personel kuat ampu?..kalau x pecaya pegilah sendiri kat Kem Kota Belud skrg dimana dia bertugas..FIY Nama ic dia tidak sama dengan nama d surat beranak..dpt IC projek, asal usul famili dia adalah dr Zamboanga Philipine. Sila ambil perhatian kmungkinan dia ni agen kiram juga. Nama beliau Thulke a.k.a Dac..sial la mamat ni kuat ampu..yang tidak puas ati -warga kem paradise kota belud-

Ise From Perak said...

assalamualaikum... saya bekerja dengan tnb sebagai jurutera Elektrik.. jadi bagaimanakah caranya untuk menyertai Regimen 70 AW

moses said...

salam sejahtera
saya ada persoalan...
selain menyertai palapes,apakah ada cara lain utk dapatkan pangkat leftenan muda?jika ya,berapa lamakah kursus yg patut dilengkapkan sebelum ditauliahkan ?dan macam mana cara utk menyertai kursus itu...akhir sekali,adakah pelajar yg sedang mengambil master boleh menyertai palapes di universiti yg ada menawarkan PALAPES?

Tinggalkan pesanan anda di sini