About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, October 6, 2016

Jenazah Kpl Mohd Faizol di temui

Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, telah ditemui pada jam 1045H oleh tim penyelam PASKAL TLDM 30 meter dari Pulau Perak  selepas empat hari hilang akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi. Jenazah tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada jam 1330H sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya Butterworth untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 4.40 petang Isnin lalu, Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, dekat sini, dilaporkan hilang di Pulau Perak selepas terjatuh ke laut ketika mengambil air. Kedua-dua anggota itu dari Tim Nusa Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis dan masing-masing ditugaskan di Pulau Perak yang terletak kira-kira 66 batu nautika dari barat daya Langkawi, sejak sebulan lalu.

Gambar Ihsan Markas TD.

Saturday, October 1, 2016

EVOLUSI PAKAIAN SERAGAM TLDM

Oleh Paklang Hamzah
Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Oktober 2016


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terkenal dengan sistem pemakaian yang agak  kompleks kerana pada awal penubuhannya banyak dipengaruhi oleh tradisi Tentera Laut British malah Tentera Laut negara-negara bekas jajahan British (Komanwel) juga turut dipengaruhi tradisi yang sama dalam konteks pakaian seragam, lambang-lambang serta eksesori pada baju serta budaya tentera laut.


Namun begitu TLDM tidak mengambil masa begitu lama untuk berdikari keluar sedikit demi sedikit meninggalkan budaya pemakaian yang tidak menepati syariat di samping membuat penyesuaian dari bahasa Inggeris kepada bahasa kebangsaan seperti pada tanda pangkat, kepakaran yang terdapat pada pakaian dan dokumentasi.


Warga TLDM  dibekalkan dengan variasi pakaian seragam yang mana pemakaiannya mengikut kesesuaian masa dan tugas.  Pakaian-pakaian yang dimaksudkan dibahagikan kepada tugas-tugas operasi, istiadat, kerja harian, pakaian malam, teknikal dan tugas-tugas khas.


Sejak penubuhan, TLDM sentiasa mengkaji keperluan untuk penambahbaikan terhadap pakaian seragam serta aksesori bagi memastikan pemakaian pakaian seragam warganya sentiasa kemaskini dan mengikut peredaran zaman serta memenuhi keperluan-keperluan semasa. 


Tranformasi pakaian juga mungkin dipengaruhi oleh faktor keselamatan, kesesuaian, ekonomi dan sebagainya.  Lazimnya juga perubahan atau penambahbaikan pakaian seragam ini berlaku apabila sesuatu pertukaran atau peralihan pucuk pimpinan sesebuah pasukan berlaku .


Pakaian Celoreng Baharu TLDM

Pakaian celoreng bagi sesebuah pasukan keselamatan terutamanya bagi angkatan tentera adalah mempunyai kaitan rapat dengan suasana warna persekitaran.  Warna yang berasaskan campuran hijau kelabu menjadi pilihan tentera negara-negara yang beroperasi dalam suasana hutan terutamanya di hutan-hutan tebal tropika yang memberi kelebihan kuasa perlindungan bagi mengelirukan penglihatan musuh. 


Bagi tentera negara-negara yang bersuasana padang pasir, celoreng campuran warna kelabu cerah menjadi pilihan utama. 
Fabrik celoreng juga mengalami tranformasi yang mana pada era milenium ini celoreng digital mula diperkenalkan kerana evolusi peperangan sudah mula transisi kepada suasana dalam kawasan terbina yang memerlukan elemen warna pengeliruan yang sesuai dengan persekitaran.

Pemakaian seragam celoreng ini biasanya dikhususkan kepada pasukan khas dan infantri tentera namun begitu sudah menjadi trend muthakhir, semua pasukan-pasukan beruniform samada yang berasaskan keselamatan dalam negeri mau pun sukarelawan mempunyai celoreng yang berorientasikan pakaian seragam mereka sebagai warna asas seperti Bomba, Imigresen dan lain-lain.
Fenomena ini berlaku adalah mungkin telah dipengaruhi oleh penilaian terhadap keseragaman, kekemasan serta ketrampilan individu dan pasukan  kelihatan  lebih terserlah dengan memakai celoreng di samping kelasakan paten dan fabrik yang dikhususkan untuk tugas-tugas penguatkuasaan dan pemantauan.

Ironinya, pakaian seragam bukan sahaja untuk kelihatan cantik malah  ianya juga dapat mencerminkan identiti serta kemasyhuran sesebuah angkatan. Pakaian seragam yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan elemen penting bagi menentukan pegawai dan anggota kelihatan segak dan selesa dalam melaksanakan tugas operasi, latihan dan juga eksesais.


Namun, ciri-ciri keselamatan, keselesaan serta kos merupakan aspek terpenting dalam ATM selain keseragaman bagi sesuatu pakaian yang digunakan.
Terbaharu, dalam usaha memastikan transformasi pakaian  memenuhi keperluan, satu kajian holistik telah dilakukan oleh TLDM dan maklumbalas kajian telah menunjuk dan mengesahkan wujudnya keperluan untuk penggantian pakaian operasi yang sedia ada.


Kajian mendapati reka bentuk pakaian operasi ini menitikberatkan keselesaan, penampilan, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan dan sesuai untuk apa jua operasi maritim pada masa kini.
Pada masa ini, pegawai dan anggota TLDM dibekalkan dengan  3 jenis baju operasi iaitu baju biru lengan panjang, baju biru lengan pendek dan  Action Working Dress (AWD) bagi mereka yang bertugas di kapal dan pakaian Celoreng Woodland Camouflage bagi anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL).


Justeru, pada 26 Ogos 2016, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin telah melancarkan Pakaian Operasi baharu TLDM yang bercorak Celoreng Digital yang bakal dikuatkuasakan pemakaian sepenuhnya kepada warga TLDM pada Januari 2017. Penggunaan Pakaian Operasi TLDM ini bakal menggantikan ketiga-tiga jenis pakaian tersebut.


Penggantian ini wajar dilaksanakan terutamanya kepada warga TLDM yang bertugas di kapal dan pakaian ini juga sesuai digunakan di pangkalan sebagai pakaian harian terutamanya bagi unit-unit operasi. Kewujudan pakaian ini memperlihatkan warga TLDM lebih bersedia dalam menghadapi apa jua operasi serta dapat bertindak dengan lebih efektif di samping keselesaan diutamakan.


Pakaian Operasi TLDM juga dilihat mampu meningkatkan imej TLDM setanding dengan Tentera Laut negara-negara maju.  Corak digital diadaptasikan dari persekitaran semula jadi supaya lebih efektif dalam penyamaran selain mempunyai ciri tahan lasak ketika digunakan sewaktu latihan dan dalam melaksanakan operasi.


Fabrik yang dipilih juga mampu mengurangkan risiko kecederaan dan tidak membataskan pergerakan anggota semasa beroperasi selain mempunyai strip pembalik cahaya di bahagian lengan baju agar memberi pantulan cahaya pada waktu malam.
Transformasi pakaian operasi 3 -to-1 ini bukan sahaja menyumbang kepada kesiapsiagaan TLDM khususnya malah sekali gus turut menyumbang kepada langkah penjimatan wang negara.

Thursday, September 1, 2016

SELAMAT BERSARA DATO’ WIRA MOHD NOOR

Oleh Paklang Hamzah
Pada tanggal 12 Ogos 2016 bertempat di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mek) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani Kedah, satu Perbarisan Penghargaan sempena persaraan Yang Berbahagia Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor bin Daud telah diadakan dengan penuh istiadat tradisi Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perbarisan ini telah dihadiri oleh Panglima TDM YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohd Noor,  Panglima Medan Barat TDM Lt Jen Dato Sri Zulkiple bin Hj Kasim merangkap Pengerusi RAMD,  Panglima  Divisyen ke 2 Infantri Mej Jen Dato’ Fadzil bin Mokhtar,  Pengarah Infantri Mej Jen Dato’ Hj Jalaluddin bin Hj Manan, Panglima Briged Ke 6 Infantri Brig Jen Dzulkarnain bin Ahmad dan Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan Brig Jen Mohd Radzi bin Ibrahim.
Seramai 495 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dan Pegawai di bawah naungan Bgd Ke 6 Infantri telah mengambil bahagian di dalam perbarisan ini.
Sejarah Ringkas Perkhidmatan
Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor dilahirkan pada 25 Ogos 1956 di Johor Bahru. Menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 3 Dis 1974 dan ditauliahkan dalam kor RAMD pada 11 Nov 1975.  Mendirikan rumahtangga dengan Datin Wira Samsiah binti Abdul Samad dan dikurniakan 2 orang anak lelaki iaitu Muhammad Faris Fitri dan Hesmeer Hakim.
Bermula dengan jawatan sebagai Ketua Platun pada usia 19 tahun di Batalion Ke 7 RAMD di Sarawak pada tahun 1977, beliau tidak lagi menoleh ke belakang, mengatur gerak langkah dari satu Unit ke satu Unit, dari satu Jabatan ke satu Jabatan memikul tugas dan tanggungjawab yang diarahkan tanpa gentar menghadapi segala halangan dan rintangan memburu dan diburu musuh-musuh durjana yang berkeliaran di seluruh pelusuk tanahair pada masa itu.  
Sebagai pegawai muda yang ditauliahkan di zaman darurat kedua, cabaran dan tanggungjawab yang dipikul oleh beliau dan rakan-rakan pada era insurgensi itu amatlah berat namun dengan semangat darah muda yang kental yang dilatih dan diterap dengan nilai-nilai kesetiaan dan keperwiraan beliau dan rakan-rakan telah berjaya melumpuhkan sepenuhnya pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mencetus kepada perletakan senjata pada tahun 1989.
Sehingga ke penghujung perkhidmatan Alhamdulillah, beliau diberi keselamatan oleh Allah namun begitu menjadi adat perjuangan, ada dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan gugur sebagai bunga-bunga bangsa malah tidak kurang juga yang cacat dan hilang upaya.
Demi untuk memajukan diri sendiri, Dato’ Wira Mohd Noor sentiasa bersifat terbuka dan berlapang dada dengan menerima apa saja penugasan yang diberi samada di dalam mau pun di luar Negara.  Beliau pernah berkhidmat di bawah  misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Namibia pada 1989 hingga 1990 sebagai Pegawai Pemerhati Tentera di bawah United Nations Transition Assistant Group (UNTAG) dan pernah menjadi Penolong Penasihat Pertahanan MALAWAKIL USA  pada tahun 1994 hingga  tahun 1997.
Antara jawatan-jawatan penting yang pernah beliau sandang sepanjang perkhidmatan beliau selama 41 tahun 8 bulan 22 hari yang berakhir pada 24 Ogos 2016 ialah sebagai Panglima 6 Bgd pada tahun 2006 hingga 2007,  Panglima 2 Div pada tahun 2008 hingga 2011.  Kemudian beliau ditukarkan ke Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia sebagai Ketua Staf pada 2011 hingga 2013.  Bertugas di MK TD-BITD Kuala Lumpur sebagai Inspektor Jeneral sebelum menjawat jawatan Pengarah Gred Utama C, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dari 3 Jul 2013 hingga 3 Feb 2016.

Pesanan
Mej Jen Dato’ Wira Mohd Noor dalam ucapan akhir beliau berpesan seluruh warga TD dan warga 6 Bgd khususnya supaya berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai impian di dalam ATM serta menjaga dan meningkatkan mutu disiplin, kerjasama berpasukan demi menjaga nama dan maruah TD. Jangan sekali-kali memburukkan nama organisasi yang cukup hebat berdisiplin dan dipandang tinggi di mata masyarakat.  Apabila bersara, beliau berharap semua warga TD kembali bersatu di bawah bumbung JHEV dan persatuan-persatuan Veteran ATM yang berkaitan bagi memudahkan penyaluran maklumat serta kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

MISI TRANSFORMASI TUDM

Oleh Paklang Hamzah
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam usaha untuk memenuhi misi menjadi Kuasa Udara Yang Dominan di rantau ini telah mengatur strategi dan perancangan bagi memastikan TUDM berupaya untuk melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan dan sentiasa  bersiapsiaga. Perolehan penambahan pesawat PC-7 MK II dan penyewaan helikopter EC 120B adalah sebahagian daripada perancangan yang diatur yang merupakan salah satu daripada 22 inisiatif di bawah Teras Kesiapsiagaan 1 yang mana sehingga  kini 12 inisiatif telah pun berjaya dilaksanakan.
Bagi memastikan kesinambungan, inisiatif di bawah Teras Kesiapsiagaan II juga telah dirancang untuk tahun 2017 di mana mengandungi 15 program penting telah didaftarkan ke dalam rancangan pembangunan Angkatan Tentera  Malaysia (ATM).  Namun begitu, disebabkan kekangan kewangan semasa kerajaan, perakuan peruntukan kewangan untuk tujuan ini masih belum diperolehi.
Sejarah Dan perkembangan Pesawat PC-7
Perkhidmatan pesawat PC-7 bermula pada tahun 1983 dengan penerimaan 44 buah pesawat PC-7.  Pada tahun 2001 TUDM telah memperkenalkan PC-7 MK II Batch I yang dilengkapi dengan kerusi anjal sebanyak 9 buah diikuti dengan perolehan 10 buah lagi pesawat Batch II pada tahun 2007 dengan penyeragaman pesawat telah dilakukan oleh Airod bagi kegunaan latihan asas penerbangan.
Kelangsungan penggunaan PC-7 MK II sebagai platform latihan asas terbang serta fungsi utama Pusat Latihan Terbang 1(PULATIBANG 1) untuk melahirkan juruterbang ATM yang berkaliber dan versatil, Unit ini telah menerima 5 buah lagi PC-7 MK Batch III menjadikan 24 buah semuanya dan pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Menteri Pertahanan pada 27 Jul 2016 yang lalu.  Namun, pegangan sebenar di dalam inventori PULATIBANG 1 adalah 21 buah kerana 3 buah telah dilupuskira setelah pesawat-pesawat tersebut terlibat di dalam kemalangan.  Keperluan sebenar pesawat ini di dalam kekuatan PULATIBANG 1 adalah 24 buah dan dijangka perolehan penggantian 3 buah lagi yang berbaki dapat dicapai dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 11 (RMK 11).
Perolehan terbaharu ini diterima daripada Pilatus Aircraft Switzerland yang membuat penerbangan dari Switzerland ke Kolej Tentera Udara Alor Setar dalam 2 siri penghantaran iaitu siri pertama, 2 buah pesawat baharu telah diterima pada 3  Jun 2016 dan siri kedua sebanyak 3 buah lagi pesawat diterima pada 19 Julai 2016 dan mula digunakan sebagai pesawat latihan penerbangan pada 13 Julai 2016.
Pesawat ini dikuasakan dengan enjin Turboprop Pratt and Whitney PT6A-25C dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 700shp.  Selain daripada itu, pesawat ini adalah dari jenis tandem seating dan glass cockpick yang mana sangat sesuai digunakan pesawat latihan penerbangan asas.
Pesawat ini turut dilengkapi dengan Global positioning System (GPS) sama seperti pesawat Pilatus PC-7 MK II yang sedia ada malah dipertingkatkan dari segi keupayaannya.  Ianya juga dipertingkatkan dari beberapa sudut penting latihan bagi meningkatkan keupayaan PULATIBANG 1 pada masa akan datang.
Pesawat baharu ini juga memiliki pelbagai kelebihan anataranya akses paparan digital berbanding analog pada model terdahulu, system ejection seat yang sangat penting untuk keselamatan juruterbang, perakam data penerbangan (flight data recorder) yang berupaya membantu kerja-kerja menganalisa dengan tepat punca sesuatu kemalangan berlaku.
EC 120B COLIBRI

Helikopter Airbus EC 120B Colibri (Hummingbird) adalah pesawat helikopter ringan buatan Perancis yang mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, unggul dan disegani di dalam kelasnya.  Ianya sesuai bagi menjalankan operasi dan latihan penerbangan bagi agensi-agensi keselamatan seluruh dunia.  Reka bentuknya yang moden dikuasakan dengan enjin tunggal Turbomeca Arrius 2F yang mampu menghasilkan kuasa tujahan 504hp serta mampu menjangkau kelajuan maksimum 151 knots dan jarak sejauh 441 batu notika.
Pesawat EC 120B Colibri telah diperkenalkan di dalam perkhidmatan TUDM pada 3 Disember 2015 menggantikan pesawat Alouette III yang telah ditamatkan perkhidmatanya pada Mac 2016 setelah berada di dalam inventori TUDM melebihi 50 tahun.  Sejumlah 5 buah pesawat diperlukan TUDM untuk dijadikan pesawat latihan asas dan jurulatih penerbangan yang bernaung di bawah pengendalian PULATIBANG 2.  
Tiga buah pesawat pertama telah pun diterima bermula Januari hingga Mac 2016 dan dioperasikan bagi kegunaan QHI Conversion sehingga Mei 2016. Dijangkakan pada penghujung 2016 TUDM akan menerima 2 buah lagi pesawat berbaki.
Pesawat ini dilengkapi dengan sistem glass cocpick, instrumentation dan avionic yang terkini dan dilihat sebagai platform terbaik bagi meneruskan kesinambungan latihan daripada fasa asas kepada fasa lanjutan dengan berkonsepkan lead and training kepada pelatih bagi menyesuaikan kemahiran penerbangan masing-masing sebelum beralih kepada status operational pilot yang bakal mengoperasikan pesawat yang lebih canggih seperti EC725 dan lain-lain. Perolehan pesawat yang canggih dan serba moden ini sekali gus akan mempercepatkan proses latihan penerbangan di PULATIBANG 2 yang mana pesawat ini sememangnya diakui dan diyakini mampu memenuhi keperluan latihan penerbangan sesuai dengan keperluan skuadron operasi TUDM.
Latihan penerbangan yang dijalankan menggunakan pesawat EC120B Colibri ini merangkumi Underslung Flight Operation, Night Flying Operation, High Altitude Operation, Searching techniques dan navigation.  Sesuai dengan keistimewaan dan kemampuan pesawat ini, PULATIBANG 2 turut memperkenalkan dua silibus baharu iaitu Instrument Flying dan Mountain Flying sebagai peningkatan dalam aspek latihan.
Perolehan pesawat ini menggunapakai konsep Company Own and Military Operates yang mana pembayaran hanya akan dibuat berdasarkan jumlah jam yang diterbangkan.  Konsep ini akan lebih menjimatkan kos pengoperasian, pengurusan aset dan sumber manusia.  Kolaborasi TUDM bersama industri pertahanan tempatan dan antarabangsa ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan negara malah dapat merancakkan lagi industri pertahanan tempatan.
Perkembangan-perkembangan Lain
TUDM juga turut bekerjasama dengan beberapa syarikat tempatan dan luar negara untuk latihan simulator termasuk melaksanakan latihan simulator pesawat jenis NURI S-61 bersama Aerotree Defence & Sevices Sdn Bhd 2 di Wales yang melibatkan seramai 32 orang juruterbang dan latihan bersama Naber Corporation Sdn Bhd di Amerika Syarikat yang melibatkan seramai 20 orang juruterbang tempatan.  
TUDM juga menjalinkan beberapa kerjasama lain bersama syarikat-syarikat luar yang berpangkalan di Dubai dan Kanada untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan juruterbang.
Demi kelangsungan kualiti dan pemodenan aset-aset, TUDM telah menggariskan pelan perancangan masa hadapan terhadap aset-asetnya. Tujuh perancangan utama telah digariskan ialah Peningkatan Pesawat Pejuang Hawk, Pusat Service Teknikal Sukhoi (STC), Peningkatan Avionic Pesawat NURI (NUP4), Peningkatan Avionic Pesawat C130H (AUP2), Perolehan Pesawat A400M, Perolehan Tambahan Pesawat Latihan Pilatus PC-7 MK II dan Peningkatan Radar Kawalan Lalu Lintas Udara di PU Butterworth dan PU Kuantan.
Kepada pemerhati dan peminat-peminat pertahanan domestik yang tertanya-tanya tentang perolehan pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA) dan pesawat Airborne Early Warning And Control (AEW&C), penulis berani katakan bahawa setakat ini belum ada keputusan muktamad oleh pihak TUDM maupun kerajaan tentang perolehan tersebut.

Tuesday, August 23, 2016

ABIMDE promotes the 4th BID Brazil exhibition

The 4th BID Brasil, promoted by the Brazilian Defense and Security Industry Association (ABIMDE), takes place between September 27 and 29 at the Convention Center Ulysses Guimarães in Brasília (DF). The official opening ceremony is scheduled to September 27 at 2:00 pm at the Planalto Auditorium in the Convention Center, and it will be attended by Brazilian minister of Defense Raul Jungmann, foreign minister Jose Serra and the minister of Justice Alexandre de Moraes.

Two months away from the event, the 4th BID Brasil has already more than 80 companies enrolled, and a 10% increase in the number of exhibitors is expected in comparison to last year’s edition.

With the support of the Ministry of Defense, Armed Forces and the Brazilian Trade and Investment Agency (Apex-Brasil), BID Brasil’s main goal is to generate new opportunities for international business, opening up markets for Brazilian companies to show the unique features of their products and services. The most important event in the Brazilian defense industry field, it is expected to receive around 3,500 visitors, including foreign military attachés, members of diplomatic corps and police forces, journalists and members of the Military Academy.

“BID Brasil is unique in the sense that it enables direct contact between Brazilian entrepreneurs and foreign military attachés, members of diplomatic corps and international Armed Forces. By doing so, we want to open new markets and allow Brazilian products and services to be known by decision-makers responsible for purchases,” explains ABIMDE president Carlos Frederico Queiroz de Aguiar.

Installed in a pavilion with 4,746 square meters reserved to exhibitor booths, meeting rooms and auditorium, BID Brasil will also provide an external area for displaying police cars and equipment, as well as an area for product demonstration where visitors will be able to observe the flight of unmanned aircrafts and the operation of vehicles.  Companies such as Avibras e Agrale, for instance, will be showing police and armored vehicles. Avionics and Rockwell Collins will jointly show a flight demonstrator. Poly Defensor, on the other hand, is going to deliver practical demonstrations of non-lethal gear in an area designed like a shooting range, and Truckvan will introduce a shooting simulator.

The Brazilian Army, Navy and Air Force, as well as the Ministry of Defense, will all have booths at the event. Partner companies have already confirmed their attendance, as in the case of the Brazilian Textile and Apparel Industry Association (ABIT), the Development Pole of Santa Maria, and the General Commander National Council for the Military Police and Military Fire Brigades.

The program also includes lectures targeted at entrepreneurs and focused on business opportunities in the defense and security sectors. Lectures are held in the morning, whereas exhibition booths remain open from 2:00 pm to 6:00 pm

“The national industry of defense and security is prepared to meet foreign market requirements. We have the most advanced technologies, and the companies associated with ABIMDE will present the most recent and modern production of Brazilian companies. We have high expectations to this Mostra BID Brasil edition,” Aguiar concludes.

Monday, August 1, 2016

MERAIKAN KEAMANAN -TITISKAN SEDIKIT MADU KEPADA PEJUANG

Oleh: Paklang Hamzah
Telah diterbitkan di majalah perajurit edisi ogos 2016
Saban tahun, bulan kemerdekaan akan diangkat dengan sambutan pelbagai versi samada di peringkat kebangsaan mau  pun di peringkat negeri dan daerah.  Tidak  sedikit belanja yang telah diperuntukan untuk merealisasikan setiap apa yang di rencanakan demi keberhasilan sambutan itu. 
Natijahnya ialah bagi menggambarkan betapa kemerdekaan sesebuah negara dari cengkaman penjajahan serta rentetan-rentetan peristiwa dalam usaha mengekalkan keamanan pasca kemerdekaan adalah suatu peristiwa yang sangat besar ertinya bagi sesebuah negara. Pernahkah terdetik di hati kita  dengan pertanyaan adakah pejuang-pejuang yang masih hidup hari ini yang telah bertarung nyawa pada zaman itu dapat menikmati titisan madu keamanan yang mereka rintis?.
Pengisian dan fokus dalaman negara semasa pra dan pasca kemerdekaan telah banyak tertumpu kepada mengatasi ancaman militan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).
Manakala fokus ancaman luaran, negara turut memberi perhatian  terhadap persaingan ideologi  antara kuasa-kuasa besar dunia dengan persepsi kewujudan hasrat untuk menonjolkan keupayaan kuasa oleh segelintir negara-negara serantau sebagai kesan sampingan ekoran pencerobohan Kemboja oleh Vietnam serta konflik-konflik dalaman negara mereka yang turut mempengaruhi keselamatan serantau. Kesannya, banyak dimensi yang lebih luas terbentuk merangkumi isu ekonomi, politik, sosio-budaya yang mana akan terbawa kepada masalah ketenteraan dan keselamatan.
Tamatnya era perang dingin, Malaysia beransur-ansur mendapat manfaat melalui persefahaman politik dan ekonomi  kesan secara tidak langsung dari keamanan Asean serta kerja kuat pasukan keselamatan tentera dan polis mengekang apa saja ancaman dari luar dan dalam negara. Ancaman utama dalam negara oleh PKM waktu itu sangat meruntun hati warga keselamatan tentera dan Polis khususnya.
PKM bukan sahaja bertapak di dalam hutan dengan mengangkat senjata menentang pasukan keselamatan namun PKM juga dipercayai telah berjaya menyusup ke dalam parti politik yang berasaskan dominasi kaum  dan mewujudkan bibit ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat yang anti pemerintah sehingga tercetusnya peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Justeru memaksa kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman mengistiharkan darurat.  Bukti penglibatan PKM dalam insiden 13 Mei ini ialah bila salah seorang dari pelampau Cina ditembak mati oleh Polis sebagai langkah mempertahankan diri dalam insiden provokasi, mereka berarak dengan mempamirkan cogan kata anti kerajaan serta dengan sombong dan megahnya membawa bendera-bendera merah dan menunjukkan gambar-gambar Mao Tze Tung dan melagukan pujian terhadap Mao.
Banyak rumusan yang dibuat oleh penganalisa mengenai perletakan senjata PKM pada 1989 adalah merupakan retorik dan taktikal perjuangan mereka berdasarkan ketidakupayaan mereka untuk bertahan meneruskan perjuangan dengan cara militan di hutan.  Ini berikutan gerakan mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat tempatan serta pembangunan pesat kerajaan dengan pembukaan tanah-tanah baharu melalui projek-projek ladang kelapa sawit dan getah dengan penempatan anak-anak tempatan di kawasan yang dahulunya menjadi markas gerakan PKM. 
Namun realitinya ideologi mereka masih hidup dan masih berkembang melalui dimensi modus operandi yang menjurus kepada penguasaan ekonomi, politik dan gengsterism. Penulis turut bersangka buruk tentang beberapa fenomena yang berselindung di sebalik hubungan diplomatik dan dagangan dengan negara China.  Meski pun hubungan diplomatik ini sesuatu yang dituntut dalam konteks hubungan luar dan berbaik sangka namun dibimbangi jika tiada pengawasan perisikan yang ketat, akan memberi ruang kepada suntikan ideologi komunis dengan mudah.
Kemasukan barang-barang keperluan keluaran China yang melimpahi pasaran, kemasukan rakyat China sebagai pekerja halal dan haram yang sebilangannya menjadi pendatang tanpa  izin (PATI)  kerana tinggal lebih masa dan tidak kembali ke Negara asal dan kemungkinan kegiatan ini ‘dilindungi’ dan yang paling ketara aktiviti penggiat politik yang semakin berani mencabar dalam pelbagai isu yang melibatkan perlembagaan dan hak-hak keistimewaan kaum peribumi.

Ada pemimpin politik yang secara terangan mendakwa PKM adalah pejuang sebenar. Juga ancaman  luar yang tidak boleh dipandang ringan ialah penglibatan China semakin agresif di Laut China Selatan sehinggakan Beting Patinggi Ali yang menjadi kedaulatan negara sejak sekian lama turut digugat. Ini bermakna ancaman sudah berada di luar dan dalam negara kita yang membiak seperti api dalam sekam dan bila tiba masanya ia akan menyala.
Penglibatan Pasukan Keselamatan
Fokus penulis dalam para ini adalah secara ringkasnya kepada penglibatan tentera atau ATM pra merdeka dan perkembangan-perkembangan selepasnya. Penglibatan pasukan Polis dan Tentera Melayu di dalam menjaga keamanan dan keselamatan adalah sejak Perang Dunia Kedua lagi walaupun waktu itu angkanya tidak begitu ramai dan berkhidmat di bawah pasukan bersekutu menentang Jepun dan komunis di Tanah Melayu (1941-1942).
Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 dalam  keadaan darurat masih lagi berkuatkuasa dan ditamatkan pada tahun 1960 setelah ancaman PKM semakin berkurangan ekoran pengunduran PKM ke sempadan Malaysia-Thailand bagi membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.
Semasa darurat distiharkan Tentera Darat (TD) hanya berkekuatan 3 batalion. Sehingga 1961 pembesaran TD mencapai 11 batalion dalam usaha mengisi kekosongan yang di tinggalkan oleh tentera kolonial dengan mempelbagaikan kor-kor bagi membantu pasukan infantri menghapus saki baki PKM.

Tahun 1962-1966 ATM telah diuji dengan konflik konfrontasi dengan tentera Indonesia yang secara sembrono menentang pembentukan Malaysia (Tanah Melayu dan Sabah/Sarawak) yang digagaskan oleh Presiden Sukarno. Ramai anggota keselamatan yang terkorban.
Langkah kerajaan membina Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) bermula dari simpang Kuala Rui Gerik hinggalah ke Daerah Jeli Kelantan pada tahun tahun 1970 merupakan langkah yang paling strategik. JRTB ini bukan sahaja menjadi jalan pintas perhubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjong malah sekali gus dapat menyekat pergerakan PKM ke selatan dan memudah dan mempercepatkan bantuan keperluan kepada anggota yang sedang dalam operasi.
Pembinaan JRTB telah menjadi kemarahan pengganas Komunis dari Parti Komunis Malaya-Tentera Rakyat Malaysia (PKM-TRM). PKM dari Rejimen ke 10 di bawah pimpinan CCM Abdullah dan Rejimen ke 12 pimpinan CCM Ah Sze telah bertindak agresif membakar loji dan kelengkapan pembinaan kerana penerokaan hutan belantara oleh pihak kerajaan dengan pembinaan Empangan Hidro Temenggor dan penerokaan tanah-tanah baharu telah menyempitkan kawasan operasi mereka.

Justeru, penyusupan semula PKM dari selatan Thai ke Semenanjong dengan menjadikan pekerja-pekerja pembinaan sebagai sasaran dengan melakukan sabotaj dan pengumpulan bekalan makanan dengan mudah.
Bagi mengekang aktiviti agresif PKM yang mensasarkan projek ini, pada mulanya Batalion Infantri tetap diaturgerakkan mengambil kedudukan pertahanan statik di sepanjang JRTB dan Empangan Temenggor untuk memberi  perlindungan keselamatan.

Memikirkan kekuatan angkatan tetap TD yang tidak mencukupi, pada mulanya mereka dibantu oleh Platun Pasukan Pertahanan Tempatan yang terdiri dari anak-anak watan dalam pasukan sukarela yang dikerah sepenuh masa. Pada tahun 1979 platun ini di susun semula bagi menubuhkan Batalion Infantri Kerahan iaitu Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn Siri 300 Inf AW).
Namun begitu batalion ini tidak dimasukkan ke dalam struktur organisasi TD kerana penubuhannya merupakan perjawatan sementara. Namun begitu jasa dan pengorbanan anggota Bn Siri 300 Inf AW yang akhirnya telah diserap keseluruhannya sebanyak 5 batalion dengan pengwujudan kor baharu Rejimen Sempadan ke dalam kekuatan struktur organisasi TD.
Dianggarkan ratusan angka anggota keselamatan terkorban angkara komunis. Perjuangan suci yang meletakkan martabat dan kedaulatan negara menjadi keutamaan. Ramai yang masih hidup dalam keadaan cacat kekal dan pelbagai penderitaan serta trauma.

Di persada antarabangsa, ATM juga ‘diguna’ secara aktif sejak 1963 sebagai pengaman di bawah panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  Mereka menyahut arahan negara tanpa berbelah bahagi dengan meninggalkan anak isteri serta keluarga dan tidak berani berjanji akan pulang ke tanahair dalam keadaan roh bercantum dengan jasad.
Pengorbanan Tuntutan Dan Elaun Kenangan

Memang tidak dapat dinafikan  kerajaan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan  veteran ATM dengan memperbaiki dari masa ke semasa kaedah bantuan dalam pelbagai bentuk.  Namun begitu pengagihan nikmat hasil keamanan ini agak terpilih dan tertumpu kepada beberapa sasaran tertentu yang akhirnya masih ada ruang kosong yang diisi dengan manipulasi golongan yang berkepentingan dalam politik dalam mengembangkan pengaruh.  Maka dengan memainkan isu-isu sentimen kebajikan yang sesuai dengan masa dan keadaan, ramai veteran terpengaruh.
Dalam pemerhatian penulis, mutakhir ini semakin banyak persatuan-persatuan veteran ATM ditubuhkan atas dasar untuk mendesak kerajaan supaya melihat lebih mendalam tentang kebajikan macam mana yang mereka perjuangkan. Meski pun kabinet telah meluluskan blue print dengan mengutamakan beberapa kaedah terbaik yang akan didahulukan bagi ‘melegakan’ golongan sasar yang perlu diberi perhatian tentang kebajikan mereka namun selagi blue print itu hanya cantik di atas kertas maka selagi itulah gelora ini tidak berkesudahan.
Tambah merobekkan hati jantung mereka apabila baru-baru ini kerajaan telah menyelaraskan pencen tetapi hanya kepada pesara yang menamatkan perkhidmatan pada 2013 ke atas. Ramai yang tidak faham kenapa pencen golongan ini yang lebih RM 2,000 sebulan yang diselaraskan sedangkan penyelarasan pencen yang diminta oleh veteran bagi merapatkan jurang pencen generasi terdahulu yang rata-rata menerima pencen kurang daripada RM1,500 sebulan sedangkan mereka mendakwa perjuangan generasi terdahulu lebih perit dan mencabar berbanding tentera masa kini yang hanya tertumpu kepada latihan tetapi bukan berdepan dengan ancaman sebenar. 

Apatah lagi pesara-pesara terdahulu sudah tidak mempunyai kudrat untuk bekerja keras sedangkan kehidupan perlu diteruskan dalam himpitan ekonomi rumahtangga yang semakin meningkat dan bersaing dengan masyarakat di luar yang berpendapatan tinggi.
Elaun-elaun kenangan secara bulanan kepada beberapa kategori Darjah Perkasa telah pun dinikmati oleh sebilangan veteran yang telah dianugerahkan berdasarkan keberanian yang luar biasa serta memenuhi kriteria- kriteria tertentu.
Pingat Keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) adalah pingat yang paling kanan dianugerahkan kepada sesiapa jua yang menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani dan penuh pengorbanan layak menerima  elaun kenangan sebanyak RM 2000.00 sebulan.
Panglima Gagah Berani (PGB) dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan  dan keberanian yang luar biasa sewaktu berhadapan dengan musuh tanpa memikirkan keselamatan diri telah diberi elaun kenangan sebanyak RM 1,500.00 sebulan.

Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) di anugerahkan kepada sesiapa saja yang telah menunjukkan gagah berani yang luar biasa dan anggota pasukan keselamatan kerana kegagahan dan keberanian di luar medan perang menerima elaun kenangan sebanyaj RM 1,000.00 sebulan.
Pingat Tentera Udara (PTU) dikurniakan terhadap kepewiraan, keberanian atau taat setia yang teristimewa dalam menjalankan kewajipan yang ditunjukkan oleh angkatan tentera semasa menjalankan kewajipan penerbangan semasa operasi atau tidak telah diberi  elaun kenangan sebanyaj RM 1,000.00 sebulan.

Walaubagaimana pun PTU telah pun di tamatkan penganugerahan untuk calun-calun yang akan datang.  Calun yang memenuhi kriteria pencalunan akan di nilai dalam kategori JPP.
Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) terdapat di dalam ATM atau PDRM untuk orang-orang yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah dan berani tetapi perlakuan itu tidaklah sebegitu tinggi untuk membolehkan mereka dikurniakan pingat. Tiada elaun.
Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang dianugerahkan kepada anggota  yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 6 bulan dalam perkhidmatan ATM semasa darurat, konfrontasi dan insurgensi (01 jan 1969-02 dis 1989). Tiada elaun.
Tumpuan penulis dalam usaha untuk membawa pembaca berfikir sejenak kepada penerima Pingat KPK dan PJM dari kalangan anggota ATM dan PDRM yang juga seharusnya diberi imbuhan sebagai pengiktirafan berdasarkan anugerah pingat yang mereka layak menerima.

Tiada maknanya penerima pingat ini berhabis wang untuk persiapan majlis penerimaan pingat yang natijahnya sekadar anugerah penyedap hati yang sedikit pun tidak dapat membalut parut luka-luka lama semasa operasi menentang komunis.  Kata mereka Pingat PJM ini tidak boleh memberi mereka makan sewaktu mereka lapar.
Ironinya setiap pengiktirafan gagah berani yang diterima oleh penerima SP, PGB dan PTU misalnya sudah tentu ada anggota-anggota atau rakan-rakan lain yang turut bertempur bersamanya dalam sesuatu insiden.

 Tanpa keberanian yang luar biasa mereka tidak akan berada di situ yang hanya mungkin mereka tidak berpeluang untuk membunuh musuh atau mereka bernasib baik tidak cedera parah ditembak musuh.  Atau contoh lain tentang  kehebatan dan kesetiaan penerima Pingat PTU dalam melaksanakan hantaran udara semasa sedang dalam ancaman PKM, apakah pengorbanan nyawa air quarter master atau krew yang turut membantu pemandu pesawat yang sama-sama berada dalam saat genting diabaikan begitu sahaja pengorbanannya?.

Mengambil satu contoh 21157 Pw 1 Megat (66), seorang veteran 3 RAMD yang pernah bertempur dengan PKKU di   Batu Kawah Sarawak pada tahun 1974, meski pun beliau juga dapat membunuh pengganas dalam pertempuran itu namun beliau hanya di anugerah Pisau Tempur kerana kouta Pingat PGB didahulukan kepada ketuanya.  Berpencen pada tahun 1990 dan kini menerima pencen RM 1,100.00 berbanding tentera yang sama pangkat yang bersara pada tahun 2015 menerima pencen hampir RM3000.00 sebulan.

Contoh lain Lt Kol Dr. Syed Othman (Bersara) yang buta matanya angkara jerangkap samar PKM dalam Ops Selamat Sawadee pada 1979 tidak pun diberi apa-apa pingat keberanian. Jadi tidaklah mendukacitakan sangat jika sekerdil pingat PJM itu di beri saguhati bulanan kepada veteran ATM dalam tempoh itu sanggup berkorban apa saja hatta nyawa menjadi taruhan demi kedaulatan negara tercinta.  Apa kah negara sudah membalas dengan setimpal jasa dan pengorbanan mereka?.
Atas dasar kerjasama satu pasukan, kejayaan SP, PGB dan sebagainya adalah atas dorongan dan bantuan rakan-rakan sepasukan yang lain juga di dalam menentukan keberhasilan misi. Jadi tidaklah keterlaluan jika saya menyarankan supaya pihak kerajaan membuat pertimbangan selanjutnya supaya rakan-rakan sepasukan yang lain yang bertugas dari 01 jan 1969 sehingga 02 Dis 1989 turut diberi elaun kenangan setiap bulan pada jumlah angka yang munasabah mengikut jumlah hari mereka telah berkhidmat atau kaedah-kaedah yang sesuai.
Memberi elaun terbitan PJM ini tentunya lebih mudah dan praktikal kerana pejuang zaman darurat pertama, pejuang konfrontasi dan pejuang era insurgensi tidaklah begitu ramai dan beransur ‘hilang’ seorang demi seorang menghadap ilahi saban hari di atas faktor usia. Berbanding untuk mengubah dasar Akta Pencen bagi memenuhi tuntutan diberi pencen kepada semua veteran ATM sedangkan perkhidmatan tidak cukup tempoh atas pilihan sendiri walau pun masing-masing telah diberi kesedaran oleh pegawai sebelum membuat keputusan.
Renungan
Sejarah adalah peristiwa penghidupan masa lalu manakala kehidupan hari ini adalah liku-liku untuk menempa sejarah. Keamanan hari ini adalah hasil dari sejarah pahit getir pejuang terdahulu bermandi peluh dan darah bagi meletakkan negara berada dalam sejarah yang gemilang untuk diwarisi generasi negara bangsa terkemudian meneruskan kegemilangan. Ibarat sepohon kayu yang berbuah lebat yang ditanam berpuluh tahun dahulu semesti umbi dan akarnya yang mesti diberi baja secara berterusan jika untuk terus mendapatkan hasil yang berterusan. Jika akar dan umbinya tidak dirawat dengan baik sudah pasti pokok itu tidak akan mengeluarkan hasil yang baik.

Dengan mengambil kira kestabilan keamanan dan ekonomi serta kemewahan yang negara kecapi hari ini yang asasnya dari perjuangan pasukan keselamatan masa lalu, apalah sangat jika sedikit kemewahan ini diagih kepada mereka yang rata-rata sudah tua dan tidak mampu untuk bekerja kuat.  Berbahasalah kepada yang berbudi. 

Saturday, July 2, 2016

Selamat Hari Raya Aidulfitri

Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua pengikut dan pembaca blog saya.  Semuga segala kekhilafan yang datang dari kelemahan diri saya sendiri dan harap dimaafi.

Friday, July 1, 2016

ATM SIAGA NEGARA TERPELIHARA

Oleh: Paklang Hamzah

Telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Jul 2016

Sesungguhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai peranan yang sangat mencabar.  Selain dari menggalas senjata membentengi sempadan negara dari diceroboh, ATM juga turut terlibat dalam proses pembangunan negara.  Menjadi peneraju di dalam misi-misi kemanusiaan dalam dan luar negara. Mereka ada anggota yang bersemangat kental dan tahan diuji serta kepatuhan dan  disiplin yang sangat tinggi yang bersedia untuk diaturgerak pada sebilang masa dan telah terbukti budi dan jasa mereka kepada negara tiada tolok banding nilainya.

ATM sebuah angkatan yang sederhana, kredibel, matang dan berdaya tempur, sentiasa bersiaga menangani sebarang ancaman dan cetusan konflik di mana-mana bahagian negara dengan dokongan jaringan perisikan yang cekap dan efisyen serta sokongan logistik yang mencukupi. Pegawai dan anggota telah mencapai tahap profesionalisma yang tinggi dalam bidang masing-masing.  Memiliki gaya dan daya kepimpinan dan semangat dedikasi yang tinggi serta mengamalkan amalan pengurusan yang moden dan efektif dan telah terbukti mampu mengendali teknologi ketenteraan yang canggih yang merupakan aspek asas kepada trilogy man, machine and method.

Namun begitu ATM masih memerlukan lebih banyak aset yang menjurus kepada keupayaan mobiliti dan kuasa tempur darat, laut dan udara bagi memenuhi keperluan variasi konflik jika berlaku serentak dari pelbagai dimensi dalam jangka masa yang berlarutan. Keamanan pada dekad-dekad yang lalu yang negara kecapi tidak selamanya menjanjikan ianya berterusan aman dan slogan pertahanan ‘defensif bukannya  ofensif’ di kala ini seakan tidak begitu popular untuk dipertahankan kerana dalam konteks defensif sebenarnya ada ofensif.

Justeru negara tidak boleh leka di dalam usaha mempersiapkan kelengkapan perang sejajar dengan perkembangan semasa serantau dengan provokasi-provokasi kuasa-kuasa besar seperti elemen-elemen China yang dikatakan sering menceroboh peraiaran negara, ancaman-ancaman militan di Persekitaran East Sabah Security Command (ESSCOM), rangkaian militan Islamic State, pertindihan tuntutan batas sempadan laut (Ambalat) dengan negara jiran Indonesia di laut Sulawesi yang boleh mencetus konfrontasi kedua jika tiada penyelesaian jangka panjang yang konkrit.

Di samping aktiviti-aktiviti rentas sempadan dan perlanunan yang sedikit sebanyak boleh menggangu ketenteraman awam. Penculikan demi penculikan di Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk tempatan dan pelancong walau pun pemerhatian ketat ESSCOM dilakukan namun kes-kes penculikan masih lagi berlaku.  Ini bermakna masih ada ruang yang mungkin belum mampu diberi pemantauan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.  Natijahnya ruang itu perlu diisi dengan penambahan anggota serta kelengkapan yang sewajarnya jika kita mahu aktiviti rentas sempadan dan perlanunan dilumpuhkan di kawasan tersebut.

Penulis menjangkakan bahawa aktiviti-aktiviti seumpama ini di Timur Sabah tidak akan berhenti kegiatannya kerana aktiviti seumpama ini adalah merupakan aktiviti tradisional mereka.  Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat seharusnya tidak boleh berundur walau setapak atau tidak boleh lena walau seminit untuk berhadapan dengan mereka-mereka ini dan untuk menentukan keberkesanan, meningkatkan keperluan maksima mesti dilaksanakan.

Transformasi Perlu Segera

Usaha mengekalkan kestabilan keselamatan sedia ada merupakan tugas berat yang perlu ditangani dengan bijak.  Menjalinkan hubungan dan kerjasama erat berasaskan kepercayaan dan persahabatan antara angkatan tentera serantau merupakan kaedah yang paling ampuh bagi mengelakkan tercetusnya persengketaan.  Namun begitu sebagai persiapan cegah rintang, kekuatan angkatan mesti juga diperlihatkan secara fizikal tentang kemampuan dan persiapan holistik ATM itu sendiri.  Ini bermakna situasi ini harus diterjemahkan melalui perolehan aset-aset baharu ATM yang lebih moden sebagai penambahan dan juga bagi mengimbangi aset yang telah usang.

ATM tidak mampu berdikari sepenuhnya  tanpa sokongan dan dokongan kerajaan bagi menyediakan itu dan ini.  Atas dasar itulah konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) telah diperkenalkan.  Sokongan dari rakyat jelata yang berkemampuan sebagai benteng kedua serta kumpulan yang mempunyai kepakaran khusus dalam memperkasakan industri pertahanan yang telah wujud dalam sektor pemodenan dan pengubahsuaian peralatan dan teknologi, pembuatan senjata kecil dan peluru, pemasangan kenderaan dan pesawat di samping berupaya membuat komponen dan alat ganti yang sudah tentu dapat menjimatkan                               tukaran matawang asing melalui pengurangan import peralatan pertahanan.

Warganegara inovatif dalam industri pembuatan kelengkapaan pertahanan samada dalam bidang aeroangkasa, pembinaan kapal, autmotif, persenjataan, pembangunan perisian dan elektronik akan memangkin kepada kelebihan taktikal dan teknikal kepada ATM sebagai pengguna kerana kelicinan dan keberkesanan operasi akan lebih mudah dicapai tanpa perlu bergantung kepada negara luar.

Tentera Laut Diraja Malaysia
Skn frigate dan corvette  menjadi taruhan

Pertukaran pucuk pimpinan biasanya akan berlaku sesuatu perubahan dinamik dalam pasukan kerana kreativiti, gaya dan pendekatan serta pemikiran seseorang ketua adalah tidak sama. Hasil dari pemikiran luar kotak pengurusan tertinggi TLDM terbaharu serta dalam usaha meneruskan kesinambungan  pelan pertahanan mapan persekitaran maritim ZEE dan dalam masa yang sama untuk menyesuaikan keperluan sebenar dengan kekangan ekonomi negara yang menghadkan penambahan/penyelenggaraan ketara sesuatu aset, maka suatu pelan transformasi Armada TLDM telah diperkenalkan.

Transformasi 15-to-5 adalah suatu inisiatif bagi mengukuhkan armada TLDM dengan pengstrukturan semula bilangan dan formasi kapal TLDM dari 15 kelas kapal sedia ada kepada 5 kelas kapal buatan tempatan.  Inisiatif ini di antaranya dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap negara luar sekali gus dapat menjimatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan kapal iaitu dengan mengadaptasikan sepenuhnya teknologi terkini, kepakaran serta kemudahan asas tempatan yang setanding dengan luar negara.

Penjimatan yang diperolehi hasil dari pengurangan bilangan kapal-kapal lama yang sudah berusia 30-40 tahun ini akan digunakan semula bagi membiayai pembinaan kapal-kapal baharu yang diperlukan.
Ketika ini Armada TLDM mempunyai 15 Kelas kapal yang dibina dari beberapa buah negara berlainan seperti United Kindom, Jerman, Itali, Perancis, Sweden, Korea Selatan dan Malaysia.
Pada andaian penulis, antara Kelas-kelas kapal yang akan ‘dibersarakan’ dari perkhidmatan armada TLDM secara beransur-ansur ialah skuadron Kelas Laksamana, Skuadron FAC (M 1), Skuadron FAC (M 2), FAC (G).
Difahamkan Skuadron Kapal Hidro akan diswastakan dan ianya tidak akan lagi berada di bawah flotilla TLDM. Manakala kapal-kapal yang berbaki yang masih diperlukan perkhidmatannya secara teori penulis akan bernaung mengikut kategori masing-masing di bawah 5 Kelas baharu yang diwujudkan sementara perlucutan tauliah secara berperingkat. Lima Kelas baharu itu nanti ialah New Generation Patrol Vessel (NGPV), Kelas Multy Role Support Ship (MRSS), Kelas Kapal Selam, Kelas Littoral Mission Ship (LMS) dan Kelas Littoral Combat Ship (LCS).  Kelas LCS dan LMS sedang dalam perolehan.
Walau apa pun gagasan transformasi yang di rencanakan di peringkat perkhidmatan, tanpa perhatian kerajaan ianya akan hanya berakhir di atas kertas.

Tentera Udara Diraja Malaysia


Pilatus PC 7

Dikatakan banyak aset lama yang akan disarakan dari perkhidmatan. Antaranya yang disebut-sebut ialah MIG 29-N Fulcrum dan Alouette. Manakala Perolehan kapal pengangkut Airbus A-400M sudah 3 buah berada di dalam inventori Skuaron 22  TUDM dan dijangka tiba sebuah lagi pada penghujung tahun 2016.

Perolehan  Multi-role Combat Aircraft (MRCA) masih tergantung perolehannya. Angin perkhabaran kuat bertiup mengatakan Typoon berada di ranking teratas? . Apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan, MRCA sangat diperlukan dengan segera oleh TUDM berdasarkan kebimbangan kepada cabaran- cabaran semasa yang sedang negara hadapi.

Perolehan lain yang masih menjadi igauan pemerhati-pemerhati dan peminat-peminat pertahanan domestik ialah pengumuman kerajaan terhadap perolehan Airborne Early Warning And Control (AEW&C).
Pada hemat penulis, atas dasar keterhadan ekonomi negara, fasiliti AEW&C boleh diinstalasikan kepada A-400M yang mana ruang A-400M yang agak luas serta durasi penerbangan yang  boleh berperanan untuk tugas itu sementara menunggu perolehan AEW&C yang sebenar.  Dengan cara ini dapat menjimatkan kos sekali gus kefungsian AEW&C dapat digunakan untuk tujuan pertahanan dengan segera.
A400M TUDM menerima 3 buah setakat ini

TUDM juga telah menerima 5 buah helikopter latihan baharu penghujung tahun 2015 dari jenis EC120 B yang akan ditempatkan di Kolej Tentera Udara Alor Setar bagi menggantikan Alouette yang akan di tamatkan perkhidmatan secara berperingkat.
EC 120B Colibri - pelancaran oleh Menhan jul 2016

Tentera Darat Malaysia

TDM merupakan tunjang kepada pertahanan negara berdasarkan ketumbukan kor-kor infantri yang mana fungsi dan penglibatan mereka ini menyeluruh dalam apa jua bentuk operasi mengawal konflik/pencerobohan  yang dilakukan samada di dalam negara maupun dari luar negara. Bantuan kor-kor sokongan dalam pengumpulan maklumat-maklumat perisikan, sokongan teknikal, komunikasi dan bantuan kuasa tempur dari dari unit-unit Artileri dan Armour.

TDM telah menempah 257 buah Kereta Perisai Amfibia AV 8x8 (Gempita) dan sedang dalam proses penerimaan berperingkat. Berakhir 2016 TDM dijangka akan memperolehi 56 buah yang mana ketika ini 27 buah sedang diaturgerak di kawasan operasi di Tawau. Dibangunkan oleh syarikat Malaysia berasaskan APC 8x8  FNNS PARS dalam pelbagai variasi konfigura. Difahamkan sistem  AV8 ini akan diintergrasikan bersama sistem perajurit masa depan yang menjadi tunjang kekuatan TDM di masa hadapan.

Sementara menunggu semua Gempita mengambil tempat, dikatakan Condor akan dipanjangkan jangka hayatnya dengan beberapa peningkatan sebagai sokongan kepada Gempita.

TDM juga telah bersetuju untuk menerima 24 unit terpakai M109 A5/A6 Self Propelled Howitzer (Paladin) yang ditawarkan oleh  Amerika Syarikat  di bawah Program Lebihan Kelengkapan Pertahanan US (EDA).
TDM juga dijangka menerima unit-unit permulaan daripada 20 buah High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) LIPAN BARA pada pertengahan tahun 2016.  Penamaan  LIPAN BARA secara rasminya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri sempena Defence Services Asia 2016. LIPAN BARA yang berkekuatan 300 hp mampu membawa muatan lebih daripada 2 tan yang dilengkapi dengan M134D-H Gatling Gun 7.62mm dari Dillon Aero.  Amaran Laser dan sistem pelancar grenade.

Perolehan ini merupakan kerjasama DEFTECH dengan CHaiseri Co Ltd of Thailand di bawah inisiatif Industri Pertahanan Asean yang dipatenkan memenuhi piawaian industri Malaysia. Kenderaan ini sesuai untuk ditempatkan di zon musuh bagi tugas penyusupan dan membawa keluar trup dan tugas-tugas mengiring.

Keperluan helikopter tempur juga tidak boleh dinafikan  bagi tujuan atugerak dan bantuan tembak TD. Setakat ini PUTD hanya memiliki helikopter ringan LOH-109 dan NURI yang dihibahkan oleh TUDM.

Cabaran Semasa

Tuntutan Bertindih.
Keadaan persekitaran maritim serantau pada ketika ini berada dalam suasana yang tidak begitu kondusif terutamanya dalam kalangan negara-negara yang mempunyai tututan bertindih terutamanya di Persekitaran Laut China Selatan (LCS), Laut Sulu yang mana Malaysia juga mempunyai kepentingan-kepentingan strategik ekonomi dan pertahanan yang mesti dipertahankan sebaik mungkin.

Persekitaran LCS tidak pernah tenang pada hakikatnya walau pun permukaan airnya seperti cermin seperti kata pelaut namun di dasarnya arus bertembung dari pelbagai arah. Di kepulauan Spratly misalnya ada beratus-ratus buah terumbu yang sedang berada dalam status tuntutan bertindih oleh beberapa buah negara serantau.

Namun, tindakan pantas pihak berkuasa Malaysia beberapa dekad lalu telah berjaya membangunkan beberapa buah terumbu yang dipanggil Gugusan Semarang Peninjau (GSP) yang kini dijadikan stesen-stesen TLDM seperti Terumbu Layang-Layang, Terumbu Mantanani, Terumbu Ubi, Terumbu Siput dan terdapat beberapa terumbu lagi  yang berdekatan dengan Malaysia yang  tidak sempat dibangunkan.
Luconia Shoal atau lebih dikenali dengan nama Beting Patinggi Ali (BPA) yang  hanya 84 batu notika sahaja dari Sarawak kini menjadi tumpuan kerana wujudnya provokasi daripada elemen-elemen China yang dilihat antara kuasa besar yang sedang berusaha untuk menguasai gugusan Terumbu-terumbu di LCS.
China mendakwa semua kawasan di Laut China adalah miliknya termasuk BPA walau pun Beting Patinggi Ali bukanlah terletak di dalam kawasan tuntutan bertindih oleh mana-mana negara kerana BPA berada di dalam Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Mana-mana elemen asing yang memasuki kawasan BPA tanpa kebenaran adalah dianggap penceroboh.  Namun begitu Jemaah Menteri Malaysia yang bermesyuarat bersetuju bahawa isu pencerobohan elemen-elemen China di persekitaran BPA boleh diselesaikan secara diplomatik dan diplomasi tentera berdasarkan hubungan baik dengan negara China sejak sekian lama.

Rundingan diplomasi yang telah dilaksanakan  ini dilihat oleh banyak pihak di dalam negara sebagai satu jalan penyelesaian yang terbaik dalam menyelesaikan isu berkenaan.  Ini adalah kerana peperangan itu sendiri tidak membawa apa-apa manfaat apatah lagi jika percaturan strategi peperangan langsung tidak menyebelahi pihak Malaysia dari segi perbezaan aset serta jumlah ketenteraan yang sangat ketara. Namun begitu, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Selain Malaysia dan China, Kepulauan di situ turut dituntut oleh Vietnam, Taiwan, Filipina dan Brunei kerana kawasan berkenaan dikatakan mempunyai rizab sumber minyak mentah dan kekayaan sumber maritim yang lain.

Terumbu-terumbu yang berada di dalam peraiaran Filipina dan Vietnam dikatakan telah diceroboh oleh China dengan membuat penambakkan ke atasnya. Pembinaan fasiliti Tentera  China di Laut China Selatan turut menjadi kebimbangan negara-negara G-7 yang terdiri dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun , Kanada, Itali, Jerman dan Perancis.  Mereka bersetuju terhadap kepentingan mengekalkan kestabilan dan keamanan di Laut itu berdasarkan perinsip undang-undang antarabangsa sedia ada.
Pendatang Asing Tanpa Izin
Baru-baru ini  negara dikejutkan oleh berita sebilangan pegawai-pegawai Imigresen mensabotaj sistem Jabatan Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan mereka-mereka yang terlibat telah pun diambil tindakan.

Aktiviti pengkhianatan dari dalam ini salah satu daripada punca  berleluasanya aktiviti-aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang dari negara-negara seperti Myanmar, Banglades, India, Vietnam, Pakistan, Ghana dan China melalui lorong-lorong ‘tikus’malah ada laporan yang menyatakan pembolosan penyeludupan mereka-mereka ini melalui lorong rasmi yang dikawal oleh penguatkuasa-penguatkuasa bertauliah yang bertugas di pintu-pintu masuk sempadan negara sebelum diserahkan kepada pelari-pelari atau tekong darat untuk diagihkan ke serata negeri.  Menurut laporan, soal integriti ini bukan saja dibolosi di pintu-pintu sempadan malah turut diberi ‘perlindungan’ oleh pihak-pihak tertentu di perjalanan sehingga  berada di lapangan pekerjaan.

Justeru tidak hairanlah kebanjiran orang luar ke dalam negara sangat ‘menyakitkan’ mata dengan membawa gelagat dan budaya yang kurang baik ke negara ini. Mengikut perangkaan Kementerian Sumber Manusia seperti mana yang dilaporkan oleh media massa berakhir 2014 sejumlah anggaran 6.7 juta warga asing berada di Malaysia dalam pelbagai sektor pekerjaan di mana sejumlah 2.1 juta mempunyai permit dan selebihnya tinggal secara haram samada tinggal melebihi tamat tempoh atau sememangnya kemasukan secara tidak sah sejak awal lagi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berdasarkan statistik  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) sebanyak 151,838 pemohon suaka dan pelarian berdaftar dari pelbagai negara berada di Malaysia sehingga 31 Jan 2015.   Seramai  52,788 orang merupakan pemohon suaka manakala seramai 99,050 orang lagi adalah pelarian.
RM 1.3 juta beli mykad untuk pelanggan warga China hasil dari serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu dengan 3 individu ditahan termasuk yang mempunyai akses kepada sistem Jabatan Pendaftaran negara (JPN).
Kita tidak boleh memandang soal kebanjiran orang luar ke dalam negara kita ketika ini sesuatu yang remeh dan terpencil kerana dalam keadaan-keadaan tertentu, orang-orang ini boleh dijadikan bala tentera bagi negara-negara yang berkepentingan untuk melawan kita balik seperti mana peristiwa yang pernah berlaku di Lahad Datu Sabah.  Walau pun tentera pengganas Kiram tidak pun mencecah angka batalion namun usaha penghapusan telah memakan masa dan menelan belanja yang banyak  dan telah memakan ramai korban dari pihak pasukan keselamatan. Dianggarkan ramai lagi penyokong-penyokong kumpulan itu yang menyembunyikan identiti mereka yang berada di persekitaran untuk membantu keperluan pengganas.

Perlanunan
Aktiviti perlanunan di Selat Melaka dan perairan Sabah meski pun sudah berkurangan tetapi jika ianya tidak ditangani  secara konsisten akan menggangu kelancaran aktviti perkapalan yang akan merugikan negara dalam konteks ekonomi import eksport, sektor pelancungan serta mengancam keselamatan dan mata pencarian rakyat tempatan.
Penculikan demi penculikan di Perairan Sabah masih lagi menjadi igauan penduduk setempat walau pun Pasukan  ESSCOM telah ditubuhkan namun kes-kes penculikan masih lagi berlaku. Namun begitu penambahbaikan secara terancang telah dilaksanakan dengan begitu rapi oleh pihak-pihak yang terlibat sangatlah dipuji dan umum mengakui untuk mendapatkan impak maksima adalah sangat sukar memandangkan faktor geografi yang sangat luas tetapi tidak mustahil untuk dicapai jika pemantau berteknologi tinggi digunakan di samping kelengkapan-kelengkapan lain disediakan dengan secukupnya.

Kumpulan Islamic State
Merujuk kepada sebuah hadis daripada Ali bin Abu Talib bahawa beliau pernah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Di akhir zaman akan muncul sekumpulan pemuda yang berfikiran singkat.  Mereka berbicara dengan  dengan pembicaraan yang seolah-olah mereka sahaja yang terbaik.  Mereka membaca al-quran tetapi tidak memberi kesan di dalam hati mereka.  Mereka keluar dari agama secepat anak panah meluncur dari busurnya.  Apabila kamu sekalian yakni pihak berkuasa bertemu dengan mereka, maka perangilah mereka kerana memerangi mereka mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, ramai yang membuat tafsiran berdasarkan peristiwa-peristiwa keganasan semasa dunia bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi (SAW) ada kaitan dengan kewujudan kumpulan pelampau yang menggelarkan diri mereka kumpulan Islamic State(IS).

Sejarah penubuhan IS bermula sekitar tahun 1999 dari kumpulan yang diketuai oleh Abu Musa al-Zarqawi yang menubuhkan Jemaah Tauhid Wal Jihad yang juga dikatakan kumpulan ini adalah dipelopori oleh pengikut-pengikut kumpulan reformis Wahabi yang sangat ekstrem. Gerakan Wahabi secara ringkasnya diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahhab. Beliau lahir  pada tahun 1115 hijrah yakni 815 tahun selepas berakhirnya zaman Salafus Soleh (sahabat nabi) iaitu merujuk kepada  golongan ulama yang hidup antara kurun zaman kerasulan nabi Muhammad (SAW) hingga ke tahun 300 hijrah.  Bermakna salsilah gerakan Wahabi adalah bukan dari keturunan Salafus Soleh (salaf).
Beliau merupakan Ahli Sunnah Wal- Jamaah (ASWJ) dari mazhab Imam Ahmad (Hambali) yang pada zamannya merupakan ketua reformasi bagi pembebasan Arab Saudi dari cengkaman kerajaan yang zalim serta penguasaan Syiah yang begitu dominan yang berpusat di Madinah pada masa itu.  Syiah merupakan seteru utama gerakan Wahabi sehingga kini. Ulama ASWJ telah merumuskan bahawa ajaran Syiah pada hakikatnya adalah ajaran Yahudi yang dihubungkan kepada ahli al-Bait iaitu atas nama Islam.

Sungguh pun jasa beliau sangat besar kepada survivaliti ASWJ pada masa itu namun gerakan ini tidak begitu disenangi oleh ASWJ dekad mutakhir ini kerana sikap atau pembawakan kumpulan ini sering mendakwa banyak amalan-amalan sunat yang menjadi amalan harian ASWJ yang lain adalah perbuatan bidaah dan suka mengkafirkan Jemaah Islam lain yang tidak sealiran dengan amalan mereka.
Pada mulanya kumpulan IS ini ditubuhkan untuk menentang penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat.

Namun begitu tindak balas dan tindak tanduk mereka agak ekstrem bukan sahaja kepada musuh Islam tetapi juga terhadap orang-orang Islam yang  dengan sewenang-wenangnya menuduh mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Islam.  Siapa dalam kalangan orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka akan dituduh sebagai tali barut musuh serta dijatuhkan hukum murtad atau kafir.
Pada tahun 2004, kumpulan ini mengistiharkan telah bersekutu dengan kumpulan jihad al-Qaeda dan dikenali sebagai Tanzim al-Qaeda di Iraq.  Setelah Abu Mus’ab al-Zarkawi terbunuh pada tahun 2006, kepimpinan bertukar kepada Abu Ayub al-Masri dan mengistiharkan penubuhan Daulah Islamiah In Iraq  and Sham (Daesh).

Pada tahun 2010, Abu Ayub al-Masri pula terbunuh dan diganti oleh Abu Bakar al-Baghdadi.   Apabila krisis Syria bermula pada tahun 2011, kumpulan ini mula mengembangkan sayapnya ke Syria dan mula mengguna pakai  nama Islamic State of  Iraq and The Levant (ISIL) atau  Islamic State In Iraq and Syam (ISIS).

Pada  tahun 2014 kumpulan ini mewartakan pemerintahan Khalifah bagi Islamic State and World Wide dan  kini lebih dikenali sebagai IS serta  menamakan Abu Bakar al-Baghdadi sebagai Khalifah yang juga dipercayai telah terkorban pada 11 Oktober 2015.

Namun  pada tahun 2014, pejuang al-Qaeda yang juga dilihat sebagai sebuah kumpulan ekstremis itu sendiri menolak dan memutuskan hubungan dengan IS kerana tindakan IS yang sangat melampau dan sering melakukan tindakan melampaui batas-batas kemanusian dan langsung tidak mencerminkan ianya dari syariat Islam.

November 2015, kumpulan militan ini  mendakwa telah menawan wilayah Iraq dan Syria dengan jumlah populasi  lebih kurang 2 hinggga 5 juta orang.  Dengan kesetiaan dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk tempatan kumpulan ini dapat menguasai kawasan-kawasan Libya, Nigeria dan Afghanistan.
Kumpulan ini juga mempunyai anggota gabungan di kawasan-kawasan lain dunia seperti Afrika Utara dan Asia Selatan. Mereka mendakwa sebagai Khalifah Daulah Islamiyah, ugama, politik dan kuasa tentera umat Islam seluruh dunia serta legaliti  semua emiriah, kumpulan-kumpulan, negeri-negeri dan organisasi akan menjadi seimbang dengan pengembangan pihak berkuasa khalifah dan meletakkan pasukan tentera ke kawasan mereka.

Kumpulan ini telah pun diistiharkan sebagai organisasi pengganas oleh United Nation, India, Indonesia, Israel, Turki, Arab Saudi, Syria, Iran dan lain-lain negara. Arab Saudi mengetuai 34 buah negara termasuk Malaysia, Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu(UAE), Pakistan, Turki serta negara-negara Teluk dan Afrika bagi  pembentukan pasukan tentera perikatan  yang berpangkalan di Riyadh Arab Saudi.
Pasukan ini bukan sahaja mensasarkan militan IS yang akan ditentang malah  mana-mana pertubuhan pengganas lain yang mengancam. Walaubagaimana pun komitmen  Malaysia tidak akan melibatkan aktiviti ketenteraan tetapi hanya akan menjurus kepada aktiviti perkongsian maklumat dan perisikan serta menangani propaganda pengganas.

Di Malaysia sendiri Rang Undang-undang Pencegahan keganasan (POTA) telah pun diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 7 April 2015 dalam mengekang aktiviti militan dan keganasan dalam negara.  Susulan daripada itu Multinational Counter Terrorism Exercise (MNCTX 2015) julung kali diadakan di Malaysia yang melibatkan negara-negara Asean dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Eksesais Keselamatan Maritim Pelbagai Negara (MNMSX) yang melibatkan negara partisipasi LIMA di Langkawi yang merupakan suatu pendekatan Malaysia dalam mempromosi  keamanan dan kestabilan serantau.
Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman baru-baru ini mendedahkan tentang kewujudan dua kem militan IS iaitu di Syria khusus bagi warga Asia Tenggara dan satu lagi di Kazakstan.  Modus operandi mereka ialah merekrut kanak-kanak  seawal umur dua tahun untuk dilatih sebagai pelapis kepada perjuagan mereka.
Islam tidak pernah menganjurkan umatnya melakukan keganasan namun perlakuan jenayah kejam yang dilakukan oleh IS dengan memusnahkan rumah-rumah ibadah, perkuburan, membunuh orang-orang awam tanpa mengira umur dan jantina adalah sangat dikutuk.  Mengimbau klip-klip video dari penerbitan militan IS sendiri  secara terbuka mengakui itu adalah perbuatan mereka bahkan menghebahkan dengan bangganya kepada dunia.

Mereka mementingkan penonjolan di mana setiap aktiviti keganasan mereka harus mendapat perhatian seluas-luasnya.  Bila kota Paris dan Beirut diledakkan sudah tentu mendapat perhatian dunia yang luar biasa kerana  kemasyhuran kota Paris kota pelancongan dan Beirut sebagai pusat media dunia arab  yang tentunya kejadian ini mendapat liputan yang meluas.
Dari sudut lain, pengeboman ke atas Beirut adalah suatu deklarasi oleh  kumpulan IS yang mewakili ASWJ bagi menzahirkan kekuatan untuk berhadapan dengan  puak Hizbullah yang pro Syiah.
Banyak peristiwa ngeri yang dipertontonkan kepada dunia melalui gambar-gambar dan video klip yang menggambarkan perlakuan kejam mereka.  Mu’az Yusuf al-Kasasibah, juruterbang Jordan seorang Muslim Sunni dibakar hidup-hidup kerana mengambil bahagian dalam siri-siri serangan terhadap IS. Wartawan James Foley dipenggal kepala kerana mengesyaki  sebagai agen Amerika. Menembak dengan roket tawanan perang yang dikunci di dalam kereta dan hangus terbakar. Dua orang aktivis Jepun dipenggal kepala sebagai amaran kepada kerajaan Jepun supaya tidak campur tangan dalam krisis Iraq dan Syria.  Membunuh tahanan dengan cara melemaskan hidup-hidup.  Merogol wanita-wanita yang ditawan kerana menganggap sebagai hamba tawanan perang.  Meletupkan tawanan dengan bom peledak dan banyak lagi tindakan-tindakan yang tidak berperi kemanusian.
Antara penyelewengan yang telah dikenal pasti dalam tindak tanduk kumpulan ini ialah mereka cuba menegakkan Daulah IS dengan cara Jihad perang dengan membunuh orang awam yang tidak berdosa secara zalim dan menganggap sesiapa yang tidak menyokong mereka telah melakukan dosa besar. Mereka menghukum kafir dan menghalalkan darah umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka termasuk pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum Syariah dalam pemerintahan negara.  Juga negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan sistem pilihanraya kepartian serta kewujudan negara-negara umat Islam selain IS mesti diperangi. Mengistiharkan sebuah Daulah secara haram tanpa pengiktirafan mana-mana pihak termasuk Kesatuan Ulama Sedunia.

Semangat jihad yang ditanam ke dalam diri pejuang-pejuang militan IS ini tanpa asas akidah serta pengisian agama Islam yang sebenar telah mendorong kepada   pendekatan keras dan ekstrem seperti yang pernah timbul dari kelompok Khawarij dalam sejarah Islam di mana mereka dengan mudah mengkafirkan sesiapa saja yang tidak menyokong gerakan mereka tanpa mengira latar belakang dan alasan yang menolak mereka.  Mereka menggunakan hujah dari nas al-Quran secara salah tanpa merujuk kepada huraian dari hadis dan tafsiran ulama.

Kejahilan dalam penafsiran dan penghayatan makna jihad, mendorong sebilangan umat Islam  menyokong dan memberi nafas kepada perjuangan yang berpaksikan keganasan dan kezaliman. Kumpulan IS telah  berjaya mempengaruhi golongan profesional, pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, ahli perniagaan, ahli akademik, penjawat awam dan wanita-wanita muslim untuk sama-sama menyertai gerakan mereka. Media sosial menjadi salah satu medium yang popular dalam penyebaran pengaruh dan ideologi yang semakin berkembang dari masa ke semasa.

Kumpulan IS melakukan pembunuhan, penyembelihan, pengeboman setiap hari secara salah dan kejam bukan sahaja kepada mereka yang bukan Islam, malah ke atas orang-orang Islam  termasuk alim ulama yang  berbeza pendapat dengan mereka.  Ini benar-benar amat bertentangan dengan konsep sebenar jihad yang dianjurkan oleh agama Islam. Tindakan sebegini secara tidak langsung telah meningkatkan penularan islamofobia dalam kalangan bukan Islam terutamanya di negara-negara Eropah. Sentimen ini telah mencetus kepada penyisihan terhadap minoriti Islam membuatkan kalangan pemuda-pemuda muslim mudah terjebak dengan ideologi kekerasan dan perasaan ingin membalas dendam.
Usaha penyelesaian ke arah  menidakkan atau mengekang penularan ideologi IS ini perlu kepada sinergi banyak pihak di dalam negara bermula dari rumah dengan pemantauan ibu bapa penjaga terhadap anak-anak yang berada bersama mereka. Saluran media arus perdana negara terutama televisyen dan radio sangat perlu mengingatkan penonton secara konsisten dalam slot-slot iklan mereka sebagai peringatan tentang bahayanya fahaman ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu juga menyediakan jaringan perisikan elektronik bagi mengintai dan menjerat bahan-bahan  yang berbaur ektremism melalui perbualan di media-media sosial yang dikatakan medium utama proses pengembangan ideologi IS.

Para ilmuan agama yang diberi peluang menyampaikan kuliah di Surau-surau dan Masjid atau Khutbah Jumaat perlu juga mengambil kesempatan memberi pesanan juga secara konsisten kepada Jemaah tentang bahaya menyokong pengaruh ini dari sudut akidah.  Malah perlu ada slot penerangan di sekolah-sekolah terutamanya di Pusat-pusat Pengajian Tinggi dengan membawa individu-individu yang pernah terjebak dan sudah kembali ke pangkal jalan sebagai pencerita tentang bahaya IS.  Sebagai benteng terakhir ialah pemesatan peranan yang telah pun dimainkan oleh agensi-agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pasukan-pasukan khas Angakatan Tentera Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak dengan cemerlang sebelum ini.

Islam melarang keras sebarang bentuk kekerasan dan kekejaman serta pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang yang sah oleh mana-mana pihak atau siapa sahaja terhadap umat manusia samada warga muslim atau tidak. Justeru umat Islam dilarang terlibat dengan mana-mana kumpulan yang berunsur ekstrem seumpama IS dan lain-lain.  Sudah menjadi tanggungjawab individu  Islam dalam memperkasa keimanan masing-masing  di samping memelihara hubungan harmoni sesama umat manusia keseluruhannya.

Menyedari betapa bahayanya ideologi dan gerakan IS terhadap pegangan akidah ASWJ dan keselamatan negara, umat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak terjebak dengan fahaman dan  ideologi yang cuba diserapkan oleh kuncu-kuncu IS yang mungkin sudah berada di sekeliling kita.

Kredit

Sumbangan ATM bukan sahaja untuk keamanan negara malah penglibatan mereka sudah melangkaui keamanan sejagat.  Penyertaan ATM di dalam misi-misi pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun bermula seawal tahun 1960  di Congo (UNOC).  Sehingga kini ATM telah menyertai hampir 20 operasi PBB di serata dunia yang telah melibatkan hampir 20,000 orang anggota tentera di pelbagai peringkat.

Tidak dinafikan bahawa keamanan yang negara kecapi hari ini hasil kombinasi pemantauan, pencegahan dan tindakan awalan dan susulan agensi-agensi keselamatan dalam negara yang lain seperti PDRM dan lain-lain yang mana ada kalanya tindakan tidak boleh dibuat bersendirian dan memerlukan kolaborasi bersama serta pembahagian tugas mengikut peranan supaya tidak melanggar hak dan peraturan yang telah ditetapkan sesuai dengan peranan ATM membantu agensi-agensi lain dalam negara semasa negara aman.

Tinggalkan pesanan anda di sini