About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, February 1, 2018

SAMBUTAN HUT PENUBUHAN RS KE 10

Telah diterbitkan di dalam majalah perajurit edisi Feb 2018

Oleh: Paklang Hamzah/Foto: MK 30 Bgd/PLH

Perbarisan Istiadat menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) ke 10 Rejimen Sempadan (RS) telah dilaksanakan dalam suasana serba ringkas pada 12 Januari 2018 lalu di Padang Kawad (MK 30 BGD) Kem Bukit Cowder Kangar Perlis.  Seramai 15 orang Pegawai dan 385 orang Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) telah mengambil bahagian dalam perbarisan tersebut.  Perbarisan dibahagikan kepada empat kontijen mewakili Unit-unit di bawah naungan MK 30 dan 31 BGD.

Sehingga kini RS mempunyai 2 MK BGD bagi menaungi 11 Batalion yang beroperasi di Semenanjung dan Sabah/Sarawak.  MK 30 BGD menaungi Unit-unit RS dari Batalion 1 dan 2 (Kelantan), 3 dan 4 (Perak), 5 (Kedah) dan 11 (Pahang).  Manakala MK 31 BGD yang berpangkalan di Sibu Sarawak menaungi Unit-unit RS dari Batalion 6,7,8,9 dan 10.


Perbarisan telah disempurnakan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Dato’ Azizan bin Md Delin merangkap Pengerusi Kor RS.  Turut hadir dalam upacara tersebut ialah Mej Jen Dato’ Ramli bin Jaafar Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Zakaria bin Yadi Panglima 4 Divisyen, Brig Jen Abdul Aziz bin Ismail Panglima 6 Bgd, Brig Jen Hashim bin Aman Shah Panglima 30 Bgd, Brig Jen Dato’ Fadil bin Haji Tajudin Panglima 31 Bgd dan Brig Jen Dato’ Zulkarnain bin Ahmad Pengarah Infantri TD.

Bagi melengkapkan upacara, insan-insan yang menjadi pembakar semangat perjuangan sang suami iaitu para isteri dan veteran-veteran RS  yang memangkin kepada keunggulan RS dihadirkan sama.
Menyingkap Sejarah Penubuhan
Idea penubuhan RS ini adalah susulan daripada keperihatinan dan kesinambungan perancangan komprehensif kerajaan dengan mengambil kira keperluan semasa bagi menangani isu-isu di persempadanan negara dengan hasrat untuk mempertingkatkan pengawalan dari ancaman jenayah lintas sempadan dan jenayah komersil yang juga selaras dengan rancangan pembangunan Army 2 Plus 10 pada masa itu untuk pengawasan sempadan secara sistematik dan bersepadu.

Justeru, 10 tahun yang lalu yakni pada 12 Januari 2008 secara rasminya RS Tentera Darat (TD) telah ditubuhkan melalui penstrukturan semula Batalion-batalion  Infantri Askar Wataniah Siri 300 (Bn Inf siri 300 AW).  Majlis Pengistiharan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan  YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 09 Feb 2008 di Batalion Pertama RS Tanah Merah Kelantan.
Suatu rancangan jangka panjang TDM dalam usaha meningkatkan kebolehan tempur dan menjamin keupayaan melaksanakan peranan, tugas utama dan tugas sampingan dengan lebih berkesan serta mampu beroperasi seperti Batalion Infantri Standard (BIS) yang lain, justeru Kor RS diletak di bawah kawalan operasi Markas Briged Sempadan iaitu Markas 30 Briged (MK 30 BGD) yang diaktifkan beberapa bulan kemudian yakni pada tanggal 25 Julai 2008 dalam satu lagi Istiadat Pengistiharan Status Operasi Markas Briged Sempadan yang disempurnakan oleh Panglima TD Jen Tan Seri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin di Kem Oran Kangar Perlis.
RS merupakan Kor Infantri ke 3 TD selepas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang dipertanggungjawabkan untuk mengukuhkan elemen tempur TD dalam melaksanakan tugas-tugas gerakan di kawasan sempadan negara. Penubuhan RS ialah hasil dari transformasi dan keperluan TD untuk menambah kekuatan tempur Infantri Standard bagi mengukuhkan keupayaan TDM.

Fungsi utama RS adalah untuk melaksanakan operasi mengawal selia persempadanan negara serta membantu Pihak Berkuasa Awam (PBA) dalam memberi bantuan misi kemanusiaan serta mewujudkan suasana keselamatan persempadanan yang aman dan selamat bagi menggalakkan pertumbuhan sosio ekonomi di kawasan sempadan.  Di samping berupaya bertindak menjadi sebahagian dari elemen utama dalam kumpulan gabungan tempur serta mampu melaksanakan tugas-tugas konvensional seperti mana-mana pasukan BIS yang lain semasa sesuatu gerakan.
Sepuluh tahun merupakan suatu jangka masa yang  telah mematangkan RS di mana Pegawai RS kini telah mula mengambil alih tampuk pemerintah Batalion RS daripada Rejimen lain bagi membentuk identiti yang tersendiri. Sepanjang 10 tahun usia RS, seramai 9 orang Panglima MK 30 BGD telah bertukar ganti iaitu:
1.       Brig Jen Adnan bin Arifin  sehingga 06kL8 Jul 2008
2.       Brig Jen Dato’Azmi bin Haji Yahya 07 Jul 2009 -22 Feb 2010
3.       Brig Jen Dato’ Haji Azlan bin Abd Rahman 23 Feb 2010- 22 Ogos 2011
4.       Brig Jen Mohd Zakaria bin Hj Yadi 12 Sep 2011 – 16 Sep 2012
5.       Brig Jen Dato’ Mohd Ramli bin Jaafar 17 Sep 2012 – 12 Sep 2013
6.       Brig Jen Hasagaya bin Abdullah 13 Sep 2013 – 20 Okt 2014
7.       Brig Jen Dato’ Zainal Abidin bin M. Said 21 Okt 2014 – 24 Jan 2017
8.       Brig Jen Dato’ Ahmad Tajudin bin Abdul Ghani 24 Jan 2017-11 Sep 2017
9.       Brig Jen Hashim bin Aman Shah 06 Dis 2017 hingga sekarang.
Amanat Panglima
Banyak perubahan yang telah berlaku selepas pemodenan angkatan yang mana memerlukan komitmen penuh daripada warganya bagi mencapai status sebuah organisasi yang cemerlang.  Lt Jen Dato’ Azizan bin Md Delin dalam ucapannya menyeru supaya semua peringkat warga RS sama-sama berubah bagi menentukan apa yang telah dilaksanakan tidak dijejaskan oleh arus pemodenan dan sentiasa mendokong 5 Teras yang telah diperkenalkan dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat.
1.       Memperkasakan Kesiagaan Angkatan/Ketumbukan bagi memastikan sentiasa bersedia dan responsif serta mampu diatur gerakkan bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.
2.       Pengukuhan Kesepaduan Angkatan yang berlandaskan semangat kekitaan bergandingan dan saling bertanggung jawab.
3.       Peneguhan Profesionalisme dan Etos sentiasa dihayati berlandaskan ikrar kesatria dan budaya ketenteraan.
4.       Pemantapan Pengurusan Organisasi Dan Inovasi sebagai teras pentadbiran bagi mengimbangi konstrain dan cabaran persekitaran.
5.       Peningkatan Kualiti Hidup bagi meningkatkan kesejahteraan.
Tambah beliau, bagi memperkasakan RS, semua warga perlu pertingkatkan keupayaan dan menjiwainya agar menjadi warga RS yang digeruni dan dihormati.  Bagi menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan, RS perlulah bersatu teguh serta mempunyai esprit de corps dan moral yang tinggi, profesional, berketrampilan dan menzahirkan kemahiran dan pengetahuan ke tahap yang membanggakan.  

Tinggalkan pesanan anda di sini