About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, March 7, 2012

WIRA TAK DIDENDANG

Sumber Majalah Perajurit Edisi Mac 2012
Oleh Hamzah hd.



November 2011, negara kehilangan seorang Jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia. Ekoran daripada kejadian itu, Allahyarham diberi bermacam-macam anugerah dan imbuhan termasuk anugerah Bintang Gagah Perkasa (BGP)……

Nostalgia Perajurit kali ini memaparkan kisah suka duka seorang bekas warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat pada era 80-90an.

“Setelah menghayati detik-detik pengorbanan Allahyarham Noramfaizul dalam misi beliau dan dilapor secara meluas di media, tergerak di hati saya untuk berkongsi kisah suka duka kehidupan masa lampau saya bersama rakan-rakan senasib di dalam perkhidmatan” Jalil memulakan bicara semasa menghubungi penulis bagi melanjutkan hasrat beliau untuk berkongsi rasa dengan masyarakat umum tentang pengalaman pahit yang beliau pernah alami semasa bertugas.

Jalil bin Saat dilahirkan pada 16 Jan 1966 di sebuah kampung dalam daerah Batu Pahat, Johor telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Senggarang dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang sehingga tahun 1983.
Selepas menamatkan alam persekolahan pada tahap SPM, Jalil melakukan pelbagai pekerjaan seperti menoreh getah, memetik kopi dan akhir sekali beliau berkerja di sebuah kilang getah di daerah Batu Pahat untuk menampung perbelanjaan diri sendiri dan keluarganya yang agak susah pada ketika itu meski pun pendapatannya lebih kurang RM 120 sebulan.

Bertitik tolak daripada kesusahan ini di samping akademiknya yang tidak memuaskan, Jalil mengambil keputusan untuk mencebur diri dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah mendapat restu kedua ibu bapa beliau. Kebetulannya waktu itu TLDM sedang mengadakan sesi temuduga terbuka untuk pengambilan rekrut baru di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

Di sekolah Tinggi Batu Pahat, Jalil mencuba nasib dan berjaya dalam sesi temuduga tersebut. Pada tanggal 24 Okt 1986 Jalil mengangkat sumpah setelah diterima sebagai anggota TLDM dan memulakan sesi latihan rekrut atau kini lebih dikenali sebagai Perajurit Muda di Pangkalan TLDM Woodlands Singapura. Waktu itu usia beliau 20 tahun diberi nombor pengenalan tentera laut 815510.

Anggota Peperangan Paras Permukaan (PPP)

Selama enam bulan Jalil menjalani latihan rekrut dan dapat diharungi dengan tabah walaupun kata orang, latihan rekrut ibarat ‘neraka dunia’ bagi anggota tentera kerana proses mententerakan orang awam bermula pada fasa ini. Segalanya diajar dan dilatih di sini bagi merubah perwatakan dan tingkah laku selari dengan kehendak dan doktrin ATM.

Memasuki fasa kedua latihan bagi seorang anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM ialah kursus Lasykar Kelas 2 (LK2) sesuatu kepakaran yang semuanya diadakan di KD PELANDOK Lumut atau kini dikenali sebagai Kolej Tentera Laut. Jalil sebagai anggota PPP dikehendaki meneruskan kursus ini selama 6 bulan lagi bagi memulakan satu kerjaya sebagai anggota PPP sebelum dihantar ke penempatan-penempatan untuk tugasan seterusnya.

Setamat kursus LK2, Jalil di‘deraf’kan (istilah TLDM yang biasanya di sebut posting bagi angkatan lain) ke Kapal Diraja SRI INDERA SAKTI (KD SIS) yakni sebuah kapal Multy Purpose Control and Supply Ship (MPCSS) dari Flotilla Bantuan Armada TLDM untuk selama 6 bulan lagi untuk menjalani Latihan Sambil Kerja (LSK).

Setamat LSK Jalil sekali lagi dihantar balik ke Sekolah PPP untuk memulakan kursus peringkat LK1 dalam kepakaran yang sama. Lulus kursus ini melayakkan seseorang anggota LLP menduduki peperiksaan untuk kenaikan pangkat seterusnya di samping boleh dipertanggungjawabkan untuk memegang sesuatu jawatan yang sesuai dengan pangkatnya. Di peringkat ini biasanya anggota-anggota TLDM sudah boleh berdikari dan tahu selok belok ilmu kelautan dan kepakaran yang telah dipilih.

Setamat kursus ini pada 1988, Jalil diperjawatkan sebagai anggota meriam 40/70mm di Skuadron Kapal Ronda PC 13 KD KERAMBIT (Kelas Keris) yang berpangkalan di Labuan Sabah. Dua tahun berkhidmat di kapal ini tambahan pula bertugas di persekitaran Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan mematangkan Jalil sebagai seorang kelasi. Mengharungi gelombang dan cabaran tugas menjaga kepentingan negara di Gugusan Semarang Peninjau (GSP) DAN Laut Sulu menjadikan Jalil dan rakan-rakan semakin kental menghadapi segala rintangan dan ancaman mendatang.

Kitaran perkhidamatan terus berlaku di mana Jalil dinaikkan ke darat mengisi perjawatan anggota Rejimen Keselamatan (sekarang PROTELA) yang berpangkalan di Lumut Perak. Memanfaatkan masa menjaga pintu-pintu gerbang dan penempatan-penempatan strategik TLDM bukanlah ‘masa rehat’ bagi anggota-anggota kelasi kerana tanggongjawab yang dipikul adalah tetap sama cuma suasana dan persekitaran yang membezakannya.

Sejarah Yang Tidak Boleh Dilupakan

Pada 1993, Jalil sekali lagi diderafkan ke Kapal Ronda tetapi kali ini di Skuadron PC 14 KD SRI SARAWAK (KDSS) (PC Kelas Sabah).yang berpangkalan di Tanjong Gelang Kuantan. Tugas hakiki beliau di tempat baru ini masih lagi sebagai anggota meriam 40/70mm dan lain-lain persenjataan dalam kapal. Sebagai anggota senior dalam kalangan PPP, beliau tidak boleh lari dari memikul tanggung jawab sekunder di mana selain menjadi anggota Tim Mendarat (Landing Party) Jalil juga adalah seorang anggota Tim Menggeledah (Boarding Party) yang proaktif. Selain beliau, ada beberapa orang lagi rakannya yang mewakili bahagian teknikal, komunikasi yang melengkapkan kekuatan Tim Menggeledah. Namun begitu dalam sesuatu misi penggeledahan tidak semua kekuatan Tim Menggeledah ditugaskan kerana setiap operasi akan dinilai terlebih dahulu oleh pemerintah yang mana dalam kalangan mereka boleh dipecahkan kepada beberapa Tim Kecil bergantung kepada kekuatan ‘musuh’ yang bakal dikendalikan.

Operasi menggeledah trawler-trawler perikanan asing seperti Thai, Vietnam, Indonesia malah juga China adalah ‘makanan’ ruji bagi skuadron PC 14 yang beroperasi di ZEE Pantai Timur Semenanjong merupakan tugas sekunder TLDM sewaktu aman.

Operasi CABUT (Ops Cabut) pada asalnya satu operasi menyekat ‘orang hanyut’ Vietnam yang melarikan diri melalui jalan laut untuk ke negara-negara ketiga dalam usaha menyelamatkan diri dan keluarga dari terperangkap dalam kemelut pergolakan dalam negara mereka sekitar 1970an. Setelah kemelut di Vietnam tamat, Ops Cabut masih diteruskan namun operasinya lebih tertumpu kepada pembenterasan nelayan-nelayan asing yang mencuri hasil laut dalam jajahan negara. Aktiviti ini telah menjejaskan ekonomi negara yang berasaskan hasil makanan laut dan turut mencetus jenayah lain seperti perlanunan yang menjejaskan pengusaha-pengusaha perikanan tempatan. Kapal-kapal yang terlibat dalam Ops Cabut dikehendaki berada di kawasan tanggong jawab selama 10 hari bagi setiap penugasan.

Sejarah yang tidak mungkin boleh dilupakan sepanjang hayat Jalil ialah bermula pada 8 April 1993 semasa menyertai KDSS belayar untuk rutin Ops Cabut untuk kesekian kalinya. KDSS berlepas dari Jeti TLDM Tanjong Gelang pada jam 0800. Keesokan harinya sekitar jam 1000, kapal telah menahan sebuah Bot Pukat Tunda Thai (BPTT) di Perairan Trengganu. Setelah digeledah BPTT tersebut ternyata tidak mempunyai dokumen yang membenarkan penangkapan ikan dalam negara Malaysia.

Susulan daripada itu Pegawai Memerintah mengarahkan supaya BPTT serta 6 orang awak-awak yang semuanya rakyat Thailand di bawa ke Pulau Redang. Jalil bersama Tim Menggeledah yang lain LK1 PPP Al Haimi Alip yang merupakan Ketua Tim ini malah juga Serang Kedua (2nd Buffer) KDSS dan seorang lagi LK1 TMK Hairozali Hamzah yang bertindak sebagai anggota teknikal tim ini.

Pelayaran dari posisi BPTT ditahan ke Pulau redang memakan masa 3 jam dengan diiringi oleh Kapal Induk KDSS. Mereka bersauh dan bermalam di Pulau Redang sehingga keesokan harinya 10 Apr jam 0600, mereka diarahkan supaya meneruskan perjalanan untuk membawa BPTT ke Pulau Kapas yang akan memakan masa lebih kurang 3 jam untuk tiba ke lokasi untuk diserahkan kepada agensi Penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya. Biasanya agensi Perikanan yang akan mengambil tugas pendakwaan.

Benar kata orang bahawa langit tidak selalu cerah. Selepas dua jam setengah pelayaran ke Pulau Kapas yang pada mulanya cuaca agak tenang tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya. Angin bertiup kencang dan keadaan laut bergelora. Jalil dan rakan-rakannya jadi kelam kabut dan hilang tumpuan. Memburukkan lagi keadaan, kompas bot BPTT turut tidak berfungsi dan mereka jadi hilang arah tuju dan pedoman. KDSS sudah tidak kelihatan lagi di belakang, Pulau Kapas yang pada mulanya jelas kelihatan hilang dari penglihatan disebabkan hujan lebat. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa mengawasi awak-awak BPTT seramai 6 orang yang berada di dalam bot bersama mereka.

Kesemua awak-awak BPTT ditempatkan di haluan bot basah kuyup dan kesejukan. Atas dasar perikemanusiaan, setelah mendapat persetujuan dari Al-Haimi selaku Ketua Tim, semua awak-awak dipindahkan ke Anjungan bot di mana Jalil mengawal di sebelah kiri bot, Al-Haimi mengawal di sebelah kanan dan Hairozali menjaga di bahagian enjin bot.

Setelah kesemua awak-awak berada di Anjungan, AL-Haimi mengarahkan Tekong BPTT supaya mengemudikan bot sementara mereka bertiga mengawasi keadaan yang agak kelam kabut pada masa itu. Hampir 2 jam mereka bertarung dengan ombak dan mencari haluan yang sebenar untuk dituju namun Pulau Kapas masih juga belum kelihatan. KDSS juga tidak kelihatan, perhubungan mereka terputus kerana alat perhubungan walkie-talkie tidak mampu untuk memberi liputan bila berada di luar jarak kemampuannya atau mungkin juga disebabkan cuaca buruk.

Dalam perjalanan yang cukup menyeksakan itu, mereka ada mendengar perbualan antara awak-awak dalam bahasa Thai, tapi mereka tidak faham apa butirannya. Diperhatikan salah seorang dari awak-awak tersebut ada memerhatikan di sekeliling bahagian luar, mungkin mereka ingin meninjau di mana KDSS berada ketika itu dan masuk semula ke Anjungan dan berkata sesuatu kepada kawan-kawannya. Jalil dan rakan-rakannya tidak mengesyaki yang awak-awak ini sedang merancang sesuatu sehingga tiba-tiba kedengaran enjin bot dimatikan.

Serentak dengan itu, 2 orang dari 6 awak-awak yang berada di dalam bot telah menyerbu ke arah Jalil, 2 orang lagi menyerang AL-Haimi dan 2 orang selebihnya menyerang Hairozali. Mereka bertiga tidak sempat untuk berbuat apa-apa tindakan balas disebabkan ruang bot yang sempit.
Jalil dipukul namun Jalil dapat mempertahankan diri dan senjata M16 yang dibawanya sepanjang masa.

Dalam pergelutan itu Jalil dapat meloloskan diri dan keluar ke sebelah kanan (starboard) bot. Pada masa itulah Jalil melihat Hairozali sedang diikat. Jalil mencari Al-Haimi namun tidak kelihatan tiba-tiba matanya terpandang ke arah 2 orang lain yang tadinya menyerang Al-Haimi sedang menekan sesuatu objek. Firasatnya kuat mengatakan objek yang ditekan itu adalah Buffer Al-Haimi lantas Jalil cuba mengguna senjata yang dibawanya tapi malangnya salah seorang yang melihat tindakan Jalil telah bertindak lebih pantas menerajang sebelah kaki kanannya. Jalil gagal mengimbangi badannya apatah lagi dalam keadaan laut yang bergelora membantunya terhumban ke laut. M16nya turut terlepas dari gengamannya dan tenggelam ke dasar lautan.

29 Jam Terapung Di Laut

Di dalam laut, Jalil mengapongkan diri seketika mengawasi pergerakan bot dikuatiri bot itu berpatah balik dan melanggarnya. Namun beliau bersyukur kepada Ilahi kerana bot BPTT itu tidak bertindak seperti yang dikuatirkan. Bot BPTT terus beredar daripada situ dengan membawa kawannya Hairozali dan Al-haimi yang tidak diketahui apa nasib mereka.

Setelah meyakini Bot itu tidak berpatah balik, Jalil menarik tali pelepas gas karbon dioksida bagi mengembangkan jaket keselamatan yang sepanjang masa berada di pinggangnya bila merapat ke Stesen Menggeledah. Jaket keselamatan yang dibekalkan oleh TLDM boleh bertahan sehingga 72 jam mengikut jaminan pengeluar jika tidak tercucuk benda-benda tajam yang boleh membocorkannya.

Walaupun agak cemas, namun Jalil cuba mengawal perasaan itu kerana beliau yakin KDSS atau bot-bot nelayan yang melalui kawasan itu akan ternampak beliau. Tekaan Jalil meleset….saat demi saat, minit demi minit masa berlalu namun tidak kelihatan satu makhluk pun lalu yang memungkinkan beliau dapat diselamatkan. Masa terus berlalu dari pagi hingga ke petang, menyusur malam dan kembali siang. Jalil telah dihanyutkan jauh dari lokasi asal di mana dia tercampak. Jalil menjangkakan dia sudah hanyut jauh ke sempadan negeri Kelantan berdasarkan objek-objek yang biasa di lihat melalui pengalamannya. Sebenarnya banyak bot yang Jalil nampak tapi dalam jaraknya yang agak jauh dan tidak nampak atau mendengar jika dipanggil. Jalil cuba juga untuk berenang namun arus deras yang berlawanan menggagalkannya.

Hatinya takut berbaur hiba. Takut mengenangkan keadaan dirinya ketika itu yang sudah tidak berdaya yang boleh mengundang bermacam-macam kemungkinan. Sepanjang beliau terapung kelibat Jerung banyak kali dilihatnya. Obor-obor membelit badannya dan gatal, bisa, pedih yang sangat menyakitkan. Jalil betul-betul pasrah. Sudah lebih 20 jam beliau bersabung nyawa di lautan. Hanya Allah sahaja tempat Jalil mengharap. Kematian boleh menjemput beliau bila-bila masa samada dalam bentuk disambar Jerung, kelemasan, kesejukan, kelaparan atau mungkin beliau dilanggar kapal atau bot yang melalui di kawasan itu. Bermacam-macam kemungkinan bemain di fikirannya yang cuma mampu diterjemah dengan doa, istighfar dan laungan azan agar Allah mencampakkan keajaiban. Alhamdulillah, dalam keadaan lapar dan dahaga Allah telah menurunkan hujan lebat dan Jalil hanya membuka mulut menadah air hujan sebagai penghilang dahaga. Siang hari keduanya iaitu 11 Apr 1993 cuaca agak baik. Cuaca panas akan menambahkan lagi keletihan dan dahaga. Seekor burung camar datang hinggap di atas badannya yang terapung bagaikan malaikat yang datang bertanya kabar dan memberi pengharapan kepada Jalil supaya bersabar dan bakal diselamatkan tidak lama lagi.

Hiba mengenangkan isteri yang sedang hamil 4 bulan mengandungkan anak pertamanya. Apakah nasib yang akan dialami oleh isteri dan anaknya jika ketiadaan beliau nanti. Hiba juga mengenangkan sampai saat ini rakan seperjuangan KDSS maupun tim search and rescue (SAR) tidak datang menyelamatkannya.

Dalam keadaan hambanya yang sudah berputus harap untuk terus hidup, tiba-tiba Allah telah mencampakkan keajaiban memakbulkan doa dan pengharapan hambanya yang sudah tidak berdaya dan pasrah menerima apa saja kemungkinan yang ditakdirkan. Lebih kurang jam 1700, sebuah kapal dagang lalu berhampiran dengan kedudukan Jalil. Mengumpul sekuat tenaga Jalil melambai-lambai ke arah kapal tersebut dengan menggunakan jaket keselamatan. Jaket yang berwarna merah itu lebih mudah untuk dilihat oleh pemerhati kapal berbanding lambaian tangan kosong. Namun tindakan Jalil tidak berhasil bila melihat tiada respon dari pihak kapal yang berlalu pergi.

Kecewa melanda di hati Jalil. Fikirnya sudah tiada harapan lagi baginya untuk hidup setelah peluang yang sesekali datang ini berlalu begitu saja. Posisi Jalil sudah melepasi ke buritan kapal …tiba-tiba seorang anak kapal yang berada di buritan terpadang ke arahnya lantas memaklumkan kepada kapten kapal. Beberapa ketika kelihatan kapal tersebut menukar haluan menuju ke arahnya. Semangatnya pulih serta merta. Allah telah memakbulkan doanya. Kapal GASTOR GAS yang berdaftar di Panama dalam pelayaran ke Korea telah menyelamatkan dirinya.

24 jam kemudian kapal GASTOR GAS berlabuh di Singapura dan menyerahkan Jalil kepada Imigresen Singapura sebelum diserahkan kepada BEREK TLDM Woodlands. Di BEREK TLDM, Jalil cuma dirawat sebagai pesakit luar di Sickbay (Rumah Sakit ATM), jauh meleset dari perkiraan Jalil sebelum itu dia sekurang-kurangnya akan di wadkan di Hospital beberapa waktu bagi menghilangkan trauma di samping merawat kulitnya yang hancur teruk. Belum pun terubat kesedihan itu pada Jalil diarahkan balik ke Markas Wilayah Laut 2 (MAWILA 2) di Kuantan dengan menaiki bas Ekspres untuk Board of Inquiry (BOI). Terlintas di benak Jalil, dia seolah-olah dilayan seperti orang salah. Dia jadi keliru.

Apa telah terjadi kepada dua orang lagi rakannya?. Hairozali ditawan oleh awak-awak BPTT dan dibebaskan di Songkhla Thailand dan Buffer Al-Haimi hilang tanpa berita. Mungkin samudera nisannya. Berita ini diketahui setelah beliau tiba di MAWILA 2 bila Hairozali memberitahunya. Hairozali tiba di MAWILA 2 sehari lebih awal daripadannya.

Walaupun Jalil masih trauma dan fobia dengan laut akibat dari peristiwa lepas namun beliau dikehendaki mengikuti pelayaran macam biasa dan meneruskan perkhidmatan di KDSS sehingga 1995.
Dari tahun 1995 hingga tahun 1996 Jalil ditugaskan di MAWILA 2 bahagian Pusat Kawalan Berek. Pada tahun 1996, Jalil diderafkan ke Berek TLDM Woodlands Singapura sehingga tutupnya Berek TLDM Woodlands pada tahun 1998 lalu berpindah ke Pangkalan TLDM Tanjong Pengelih sehinggalah tahun 1999 yang mana mencapai tempoh tamat perkhidmatan (TTP) wajib selama 13 tahun, Jalil mengambil keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.

Sejak peristiwa hitam yang terjadi ke atas dirinya, Jalil merasakan dia tidak boleh bertahan lebih lama lagi dalam perkhidmatan TLDM memandangkan TLDM sendiri pun tidak pernah mengambil ingatan atas peristiwa tersebut apatah lagi untuk menghargai pengorbanan beliau sekurang-kurangnya. Selepas peristiwa itu hanya kerajaan negeri Pahang sahaja yang telah menyumbang wang tunai RM1,000.00 kepadanya.

Untuk ‘arwah’ Al-Haimi yang diistiharkan mati selepas beberapa ketika, namanya diabadikan pada dewan serbaguna MAWILA 2 di samping berhak menerima pencen bulanan kepada warisnya. Manakala Hairozali meneruskan perkhidmatan.

Kehidupan Pasca Perkhidmatan

Jalil menyedari menamatkan perkhidmatan tanpa pencen akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar jika tidak mengurus diri dengan betul terutamanya dalam soal ekonomi.
Sekarang Jalil mencari rezeki dengan berkerja sendiri seperti mengambil upah memotong buah Kelapa Sawit dan apa-apa saja kerja halal yang boleh mendatangkan wang. Bekerja sendiri walau pun pendapatan tidak tetap namun hatinya lebih tenteram, dengan pekerjaan inilah Jalil menyekolahkan 4 orang anaknya yang kini berumur 18, 16,12 dan 10 tahun.
Mengakhiri perbualan, Jalil berpesan kepada rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan supaya berhati-hati ketika bertugas dan ambillah cerita ini sebagai pedoman kerana kecelakaan boleh menimpa kita tanpa kita mengundangnya. Duka sengsara jangan mengharapkan ada orang yang akan mengenang dan menghargainya melainkan anda adalah Sang Juara yang menjulang piala yang menjadi kebangggaan negara. Derita dan mati dalam menjaga kedaulatan negara belum pasti anda akan diangkat sebagai wira. PERAJURIT

Malaysia akan ganti semua kenderaan 4WD tentera

sumber utusan

BANGKOK 5 Mac – Malaysia akan menggantikan semua kenderaan pacuan empat rodanya yang telah uzur mulai Jun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan memperoleh kenderaan itu dari Thailand, dikeluarkan oleh sebuah syarikat Malaysia, Weststar Group, berpangkalan di Pattaya. “Kenderaan 4x4 yang digunakan oleh ketiga-tiga perkhidmatan tentera sudah usang dan tidak menjimatkan untuk disenggara,” katanya kepada media Malaysia selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand Sukumpol Suwanatat, di sini. Kedua-dua pemimpin itu telah menghadiri sidang Pertahanan dan Keselamatan 2012, satu acara Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri tiga perkhidmatan Asia bagi Darat, Laut dan Udara, di IMPACT Exhibition and Convention Centre, di sini. Ahmad Zahid berkata prioriti program baru 4WD itu ialah menggunakan komponen Malaysia termasuk untuk alat gantinya.

Tujuh tahun pencapaian Maritim malaysia

sumber utusan



Maritim berintegriti, negara dihormati" merupakan tema Hari Ulang Tahun Ketujuh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tahun ini yang disambut di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia, Gebeng, Kuantan pada 16 Februari lalu.

Bagi warga Maritim Malaysia, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian kerana mereka menggalas tanggungjawab agensi itu untuk terus mengukuhkan iltizam dalam melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai pasukan beruniform, sudah pasti masyarakat terutamanya komuniti maritim melihat Maritim Malaysia sebagai sebuah organisasi yang masih baru memandangkan ia ditubuhkan pada 15 Februari 2005.

Kini, Maritim Malaysia mengorak langkah ke arah transformasi sebagai sebuah agensi penguatkuasaan maritim tunggal.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, tema "Maritim Berintegriti, Negara Dihormati" bertujuan meneruskan kecemerlangan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara ke arah jenayah maritim sifar dengan warganya yang berintegriti, berdisiplin, berketrampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

"Saya percaya agensi ini akan terus mampu memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan perairan negara sentiasa terjamin," katanya.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena ulang tahun itu, antaranya majlis tahlil dan doa selamat, upacara perbarisan, pameran kerjaya, penyerahan sijil MS ISO 9001:2008 dan pelancaran buku sejarah penubuhan Maritim Malaysia.

Pameran kerjaya atau Job Fair turut diadakan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia yang melibatkan penyertaan 20 agensi kerajaan dan swasta bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Ia juga bertujuan menarik minat golongan remaja menceburi dan menerokai pelbagai bidang kerja di dalam perkhidmatan yang ada termasuk Maritim Malaysia, selain didedahkan tentang peranan dan fungsi pasukan itu sebagai agensi tunggal dalam menguatkuasakan undang-undang maritim dan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda di perairan negara.

pencapaian

Selain itu, sambutan hari ulang tahun tersebut juga melambangkan pencapaian yang dikecapi Maritim Malaysia yang membuktikan kredibiliti dan hala tujunya sebagai sebuah agensi yang mendukung misi dan visi kerajaan.

Menurut Mohd. Amdan, agensi itu telah mencapai beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan iaitu pengiktirafan kerajaan terhadapnya sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal pada Ogos 2011.

"Ekoran itu Maritim Malaysia telah mengambil alih aset agensi-agensi lain dan menerima tambahan sejumlah 91 buah bot dan kapal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengambil alih perjawatan sebanyak 1,065 dan tawaran opsyen, lima pangkalan dan pejabat.

"Agensi turut mencatat pencapaian operasi penguatkuasaan meliputi pemeriksaan dan penahanan, jumlah kes-kes berprofil tinggi dan operasi 'carilamat.' Sejak memulakan operasinya pada 2006 sehingga Disember 2011, hasil pemeriksaan yang kerap telah menunjukkan pengurangan peratus jenayah maritim iaitu 20.20 peratus pada 2006 kepada 4.22 peratus pada tahun lalu.

"Berdasarkan rekod International Maritime Bureau (IMB), kejadian pelanunan dan rompakan yang melibatkan kapal dagang di perairan negara jelas telah menurun. Tiada kes dilaporkan berlaku pada 2009 hingga 2010, manakala pada 2011 hanya dua kes saja yang dikesan berlaku.

"Pada awal tahun ini pula, agensi berjaya menggagalkan kes-kes seperti penyeludupan imigran, penyeludupan pendatang asing tanpa asing dan penyeludupan kayu bakau,'' katanya.

Menurutnya, semua kes penyeludupan khasnya kes pemerdagangan orang, PATI, dadah, ganja, rokok, arak, pasir, kayu balak, bakau, barang kawalan dan diesel bersubsidi adalah antara sasaran Maritim Malaysia dalam memerangi satu lagi bentuk jenayah rentas sempadan.

Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Januari 2012 sebanyak 794 pelbagai kes penyeludupan telah dikendalikan yang turut mengecilkan jurang kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara.

Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing pula, sebanyak 517 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan mengutip kira-kira RM236 juta hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada 2007 hingga 2011.

Penguatkuasaan yang berkesan itu turut mempengaruhi peningkatan statistik pendaratan hasil laut iaitu RM4.02 bilion setahun kepada RM6.32 bilion setahun pada 2009.

Selain itu, salah satu tugas teras agensi itu ialah memberi bantuan kecemasan di laut. Agensi tersebut telah mengambil alih tugas daripada Jabatan Laut sebagai Penyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim Kebangsaan pada Jun 2006.

Statistik Januari 2006 hingga Disember 2011 menunjukkan jumlah mangsa diselamatkan ialah 2,182 (79 peratus) daripada jumlah keseluruhan mangsa iaitu 2,747 orang. Manakala, nilai harta benda yang diselamatkan ialah RM274 juta bersamaan 89 peratus.

Bukan itu sahaja, penyelarasan talian 999 kepada Maritim Malaysia telah mula dilaksanakan dan ia akan mempercepatkan maklumat atau aduan dilaporkan ke pangkalan-pangkalannya yang ada di seluruh negara.

Aset Maritim Malaysia telah dapat digerakkan ke lokasi kejadian dengan lebih pantas sama ada untuk mencegah atau membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang ataupun memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di laut dengan adanya talian itu.

Tinggalkan pesanan anda di sini