About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, February 21, 2017

New Aerobatic Teams In LIMA'17


Black Eagles. the aerobatic team of the Republic of Korea Air Force will be making a first-time appearance at LIMA Black Eagles comes with a compliment of 9 KAI - TSOB jet aircraft.

Another first is the presence of Sarang Helicopter Aerobatic Team. Sarang (Peacock in English) is the helicopter display team of the Indian Air Force.

The team flies four modified HAL Dhruv helicopters. developed by Hindustan Aeronautics Limited (HAL)

Thursday, February 2, 2017

APMM TUBUH PASUKAN SIMPANAN

Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah Perajurit isu feb 2017

Oleh Paklang Hamzah


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau lebih sinonim dengan panggilan Maritim Malaysia terus mara melunaskankan agenda yang digagaskan sebelum ini di dalam Plan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM2040) untuk memperkasakan kekuatan sumber manusia kepada angka lebih 5,000 orang anggota dan pegawai dalam Fasa ke 3 (2016-2020) PPSMM2040. 

Meski pun kekuatan terkini belum mencapai sasaran tersebut, usaha merencanakan penubuhan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) adalah suatu usaha yang patut dipuji dan dinamik kepada pembangunan sumber manusia MM. Sebagai langkah pertama, seramai 125 orang awam yang terdiri daripada enam pegawai dan 119 pegawai lain-lain pangkat telah dilantik dalam PSSMM  sempena pelancaran penubuhan PSSMM di peringkat negeri Perlis pada 15 Januari 2017 yang lalu.

PSSMM merupakan sebuah Pasukan Sukarela yang ditubuhkan di atas kelulusan Jemaah menteri yang berperanan membantu anggota tetap MM dalam usaha mengejar visi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di arena antarabangsa yang bertunjangkan beberapa strategi dalam peningkatan kesedaran kawasan kekuasaan maritim, Perlaksanaan pencegahan, sentiasa menunjukkan kehadiran di kawasan tanggungjawab serta menjalin kerjasama dengan komuniti maritim.
Justeru, perlantikan di Perlis ini adalah merupakan penubuhan PSSMM perintis dan dijangka menjadi pemangkin kepada pertambahan kekuatan anggota MM menjelang akhir Fasa ke 3 PPSMM2040 melalui penubuhan pasukan simpanan di lain-lain negeri selepas ini secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemampuan kerajaan sekali gus akan mencapai sasaran kekuatan anggota yang diperlukan.

Penubuhan ini pada dasarnya sangat penting dan tepat pada masanya kepada pembangunan keupayaan tenaga kerja dan aset MM dalam menghadapi cabaran semasa dan mendatang dalam konteks penguatkuasaan undang-undang serta tugas mencari dan menyelamat dalam persekitaran maritim yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Penubuhan ini juga akan memberi pendedahan kepada orang awam tentang sebahagian aktiviti, latihan dan tugas-tugas MM. Pendedahan ini akan meningkatkan kefahaman tentang tugas sebenar MM, serta mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara komuniti maritim dengan MM melalui interaksi atau saluran dua hala yang berkesan secara berterusan dengan harapan konsep ini benar-benar menjurus kepada impak terhadap operasi sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa penubuhan PSSMM ini merupakan strategi serampang dua mata dengan menjadikan komuniti maritim sebagai mata dan telinga kepada MM dalam konteks penyaluran maklumat dalam usaha MM menangani isu keselamatan di perairan negara termasuk ancaman pengganas, pendatang tanpa izin, pelarian, lanun dan jenayah maritim rentas sempadan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, latihan-latihan seperti perbarisan, ceramah, renang dan selam, menyelamat, pengendalian dan penyelenggaraan kapal/bot, rondaan dan pemeriksaan kapal dagang di laut akan sentiasa diberikan bagi meningkatkan nilai tambah kemahiran individu dalam memastikan MM dapat melahirkan anggota PSSMM yang efisien dan terlatih.

Pasukan Kadet Maritim Malaysia

Menurut beliau, selain PSSMM, Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) juga diwujudkan di sekolah-sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mana penubuhan ini merupakan perkongsian strategik dengan universiti tempatan agar kepakaran tertentu akan dapat dimanfaat bersama.

Kewujudan PASKAM dijangka dapat membentuk sahsiah dan jati diri serta personaliti unggul para pelajar, disiplin serta bertanggungjawab di samping memberi pendedahan supaya remaja hari ini dapat menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan Maritim.

Tanggungjawab memastikan perairan negara sentiasa dalam keadaan selamat bukan hanya terletak di bahu anggota penguatkuasa semata-mata, tetapi ianya memerlukan sinergi daripada semua golongan sama ada pihak kerajaan, swasta serta seluruh masyarakat tanpa mengira usia, keturunan, agama dan ideologi politik.

Natijah penubuhan PSSMM dan PASKAM ini juga secara tidak langsung membuka peluang kepada generasi Y Malaysia beralih perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah di samping menjana pendapatan sampingan. 

Wednesday, February 1, 2017

IKTIBAR DARI KISAH ROHINGYA

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Perajurit Isu bulan Feb 2017.

Oleh Paklang Hamzah


Isu kezaliman, penganiayaan dan pencabulan sesuatu kaum atau bangsa, bukanlah suatu perkara baharu malah telah lama berlaku seperti di negara-negara Balkan, Kemboja, negara-negara Afrika  dan lain-lain. Memetik perkataan ‘genosid’ yang ditulis oleh saudara Zin Mahmud dalam rencana beliau di Utusan Malaysia dari perkataan gene atau baka dan sid atau cide yang membawa maksud pembunuhan baka atau dengan perkataan lain penghapusan etnik.

Dunia sedang mengecam kekejaman tentera Myanmar yang sedang ‘melapah’ batang tubuh etnik Rohingya serta membakar hangus dalam usaha untuk  melupus kira kewujudan perkampongan Rohingya yang tertumpu di bandar-bandar utara Rakhine di barat Myanmar.

‘Salsilah  mereka kebanyakannya dari keturunan Arab, Parsi dan Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Moghul pada kurun ke 7.  Namun tiada bukti yang sahih tentang sejarah penghijrahan ini menjadikan Pemerintah Myanmar tidak mengiktiraf mereka yang dari keturunan Bengali sebagai warganegara kerana menganggap kumpulan ini dibawa oleh tentera British memasuki Arakan pada kurun ke 19 yakni selepas penjajahan Britain.

Perlembagaan Myanmar menegaskan hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak-anak mereka sahaja yang diberi pengiktirafan sebagai warganegara Burma.

 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan seramai 800,000 orang etnik Rohinya yang berada di Myanmar’. (sumber Wikipedia)
Kekejaman yang masih tidak berkesudahan berdekad lalu telah mengakibatkan ramai mangsa-mangsa yang tidak berdosa terbunuh dan ribuan lagi ‘berkampong’ di negara orang  di bawah label United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR).

Inilah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.  Saban hari ada saja penindasan dan pembunuhan seolah-olah satu misi genosid Rohingya sedang berlaku. Mereka menjadi mangsa akibat dianiaya  oleh perbuatan pihak yang lebih agresif dan hebat dari segi fizikal dan kekuasaan. Ekstremis Rakhine serta anggota polis dan tentera Myanmar mengganas dan membunuh, merompak, membakar rumah, merogol wanita-wanita Rohingya di bandar-bandar dan menular ke kampong-kampong.  Agak menyedihkan bila mana ahli agama mereka sendiri telah menyetujui tindakan ini seolah-olah golongan ini telah banyak memberi masalah dan mengancam kestabilan negara tersebut.

Golongan Rohingya ini sudah cukup terhina apabila dilabel sebagai golongan pelarian tanpa negeri oleh sesetengah pertubuhan antarabangsa dan tempatan.  Tidak cukup dengan itu kesengsaraan mereka ditambah pula dengan penafian kerakyatan mereka oleh pihak berkuasanya sendiri.  Akhirnya mereka terpaksa bermigrasi dari kawasan tempat tinggal mereka di Arakan menuju kebeberapa negara seperti Bangladesh, Arab, Thailand termasuk Malaysia.

Gambaran ini ternyata sebagai satu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam yang sehingga kini masih belum lagi mendapat pembelaan yang sewajarnya walau pun mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa termasuk pertubuhan Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Hakikatnya situasi di Myanmar ini walau pun mendapat perhatian dunia dalam isu Rohingya namun jalan penyelesaiannya agak lembab membiarkan bangsa ini berhadapan dengan diskriminasi hak asasi manusia yang amat serius bersendirian menghadapi pihak berkuasa tempatan dalam usaha  menidakkan  penempatan mereka di bumi Myanmar.

Malaysia berpendirian agak kesal dengan sikap kuasa-kuasa besar dunia yang membisu dalam isu Rohingya tetapi sebaliknya menjadi jaguh sebelum ini dengan campur tangan di Iraq dan lain-lain negara yang ada kepentingan sekali gus menafikan ihsan kemanusiaan.

Reaksi muthakhir PBB, ekoran daripada banyak gambar-gambar dan video yang telah dihantar, Myanmar dijangka bakal berhadapan dengan tuduhan jenayah kemanusiaan kerana jelas bukti-bukti yang diterima PBB tidak selari seperti apa yang digambarkan oleh kerajaan Myanmar.

Islam Ugama Persaudaraan

Di alam yang penuh ujian dan cabaran ini, umat Islam perlu sentiasa mengingatkan diri  akan hakikat ajaran Islam mengenai tanggungjawab kesatuan dan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.  Kita patut bersyukur di negara ini, semua orang dapat hidup aman damai walau pun komposisi masyarakat dari pelbagai kaum dan agama.

Sesungguhnya Islam sangat menekankan persaudaraan dan kesatuan bahkan Islam itu sendiri datang untuk menyatukan bukan untuk memecah belahkan kesatuan umat manusia sejagat.  Elakkan perpecahan, pergaduhan, perbalahan sesama sendiri kerana merebut kepentingan diri, kelumpok, ekonomi dan kuasa politik.  Seharusnya tragedi yang menimpa Rohingya ini boleh memberi kesedaran betapa pentingnya perpaduan kaum. Pengamal-pengamal politik perlu mengambil pengiktibaran bahawa perpecahan yang dijana melalui amalan politik yang tidak bertamadun boleh menjadikan ketidakstabilan keselamatan dalam negara.  Cabar mencabar, caci mencaci antara parti-parti yang terlibat tidak mustahil  boleh mencetus suasana pertelingkahan kaum yang berkali ganda lebih dahsyat berbanding peristiwa 13 Mei 1969.

Muslim yang sebenar ialah mereka yang sentiasa inginkan kebaikan untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain.  Dengan itu mereka tidak akan sesekali membiarkan saudaranya terbiar, terlantar atau dizalimi oleh pihak musuh.  Sebaliknya mereka akan ambil peduli menjaga sebaik-baiknya membela dan menolong di saat mereka memerlukan.

Atas dasar itu, perpaduan antara kaum apatah lagi sesama Islam di dalam negara tidak harus diperdagangkan dalam apa jua cara bagi mencapai matlamat perjuangan.  Gunalah isu lain untuk menagih sokongan tanpa menyelit isu-isu yang boleh mengganggu gugat keharmonian yang sedia ada.

Islam adalah agama yang menyeru kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran. Justeru, sejak awal lagi Islam memerangi dan mengutuk keras apa saja bentuk kezaliman dan keganasan apatah lagi jika sampai kepada mengorbankan jiwa insan-insan yang tidak berdosa.

Sebagai insan yang mempunyai perasaan kasih sayang, sudah pasti kita dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang di dalam kesusahan ini.
Jika jiwa kita dipupuk dan diisi dengan perasaan kasih sayang serta toleransi nescaya darjat kita ditingkatkan oleh Allah (swt).

Sesungguhnya mewujudkan kasih sayang pada diri sendiri serta memberikan kasih sayang kepada orang lain juga merupakan ibadah dan menyerlahkan jati diri seseorang muslim.  Justeru dengan wujudnya kasih sayang, seseorang akan lebih bersedia untuk menghadapi ujian dengan penuh keinsafan.

Dalam soal membantu menyelesaikan kemelut etnik Rohingya ini bukan sahaja umat Islam, malah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa harus  menyokong pendirian tegas  pucuk kepimpinan negara menggesa negara-negara Asean dan negara-negara ketiga supaya turut memainkan peranan secara serius mendesak serta  mendamaikan pergolakan di samping mengeluarkan bantuan kemanusiaan sebagaimana yang dilakukan oleh Malaysia.

Dengan semangat kerjasama Asean, sinar Rohingya dapat dikembalikan dan negara-negara ketiga juga dapat mengelak kesan daripada tragedi kemanusiaan tersebut dengan mengembalikan pelarian Rohingya ke kampong-kampong halaman mereka tanpa lagi diganggu oleh sikap perkauman kerajaan dan etnik-etnik lain di Myanmar.

Sejak sedekad lalu Malaysia sudah memain peranan yang sewajarnya dengan menerima ‘orang hanyut’ Rohingya ini dengan menyediakan penempatan dan pekerjaan dan menjana pendapatan yang setimpal malah sama dengan rakyat tempatan dalam usaha merealisasikan misi kemanusiaan yang dituntut oleh Islam. Umat Islam tempatan juga menerima kehadiran mereka atas dasar semangat ukhuwah sesama Islam namun begitu sedikit sebanyak keraguan wujud di dalam hati tentang kehadiran mereka juga banyak mengundang masalah kepada keselamatan negara.

Keselamatan Dalam Negara

Dalam menangani Isu kemanusiaan Rohingya, perkiraan juga harus dibaca bersama kesan-kesan kepada negara-negara yang menerima limpahan kemasukan pelarian walau pun kumpulan ini diletak di bawah pengurusan UNHCR.

Statistik yang telah diperangkakan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim  bahawa sehingga kini pemegang kad UNHCR yang berdaftar dari kalangan etnik Rohingya yang berada di Malaysia telah mencecah 160,000 orang dan dijangka meningkat berikutan situasi semasa di Myanmar.  Beliau dan penulis sendiri juga yakin bahawa pemegang kad telah melebihi angka tersebut bersandarkan persepsi kelahiran kad palsu sedang ‘diniagakan’ oleh sindiket-sindiket yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dari situasi ini.

Pelarian bukan sahaja dari kalangan etnik Rohingya malah daripada sesi temu bual penulis sendiri dengan warga Rohingya, ada rakyat Bangladesh yang tinggal bersempadan dengan Myanmar turut mengambil kesempatan menaiki bot pelarian untuk sama-sama berhijrah dan diberi kad UNHCR untuk bebas tinggal di Malaysia.
Konvension Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957 tidak memperuntukkan apa-apa keistimewaan untuk mereka namun atas dasar peri kemanusiaan, kerajaan Malaysia telah ‘membiarkan’ mereka menikmati pelbagai kemudahan pergerakan, pekerjaan, berkahwin dengan warga tempatan, tidak dihantar pulang ke negara asal serta vaksinasi secara percuma.  Mereka bebas menjalankan aktiviti mencari wang malah ada yang sudah menjadi majikan kepada buruh-buruh tempatan. Mereka turut menikmati harga-harga subsidi kerajaan ke atas barangan-barangan terkawal yang sepatutnya hanya dinikmati oleh warga negara.

Berapa lama lagi kad UNHCR itu laku untuk menjadi penyelamat dari ditahan oleh penguatkuasa dalam melesenkan mereka bebas melakukan apa saja di dalam negara ini termasuk melakukan jenayah-jenayah terancang serta menyempitkan peluang warganegara meraih rezki kerana terpaksa bersaing di sektor-sektor pekerjaan yang secara praktikalnya majikan tempatan lebih suka mengambil mereka bekerja berbanding warga tempatan kerana mudah untuk dimanipulasi.

Justeru, kerajaan perlu menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya boleh merencanakan sesuatu yang lebih positif bagi menangani limpahan pelarian rakyat asing dengan menjadikan Malaysia sebagai transit yang sepatutnya hanya sementara.
Sebagaimana pelarian Vietnam dahulu, pelarian Rohingya juga boleh diaktifkan penempatan untuk mereka tingal di Pulau-pulau seumpama penempatan Vietnam di Pulau Bidong zaman 1970an.  Dengan cara ini pengawalan dapat direncanakan dengan lebih sistemetik bagi mengekang kebebasan melampau mereka-mereka ini termasuk pendatang-pendatang asing yang lain yang terlalu ramai berada di dalam negara sehingga menimbulkan rasa kurang senang netizen dengan kehadiran mereka di sesuatu tempat yang menjadi tumpuan netizen di kota-kota raya malah juga di tempat-tempat riadah.

Penutup

Umat Islam wajib mempertahankan tanahair, kuasa yang yang dimiliki dan menjaga perpaduan supaya apa yang kita miliki ini tidak musnah. Kerjasama erat negara-negara Asean dapat membantu menyelamatkan etnik Rohingya  daripada tertinggal  dalam arus perdana dunia. Ujian yang tiba seharusnya memberi kesedaran kepada umat Islam dan insaf di atas kecuaian melanggar syariat Allah SWT. Kita patut menginsafi bahawa pelbagai musibah yang berlarutan ke atas umat ini adalah ujian daripada Allah SWT sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Thauban ra. yang bermaksud:

Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.  Maka salah seorang sahabat bertanya, “apakah kerana bilangan kami sedikit pada hari itu? Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati-hati musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan”.  Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”  Rasulullah SAW menjawab, “cinta dunia dan takut mati.”

Asas kekuatan untuk menjulang keagungan Islam dan membantu sesama Islam bukanlah terletak kepada kelebihan harta dan kekayaan, juga bukan pada bangsa dan keturunan tetapi ianya terletak kepada jiwa dan akidah iaitu umat yang cintakan akhirat dan keinginan berjuang untuk agama sehingga terkorban mati kerananya.
Firman Allah dari surah At-Tawbah Ayat 20 yang bermaksud, “ (sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.
Bertanyalah pada hati masing-masing, sejauh manakah pengorbanan kita samada secara individu atau kolektif sebagai usaha penyatuan umat Islam seluruhnya ke arah membentuk kekuatan bagi menghadapi penindasan, provokasi dan telah mengenepikan pertelingkahan dan pertembungan yang tidak menguntungkan bangsa dan umat Islam samada dalam konteks politik dalam negara malah juga maslahat umum umat Islam seluruh dunia?.  

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini