About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, July 3, 2025

LCS KEDUA NEGARA, RAJA MUDA NALA, DILANCARKAN

  

Sumber Teks/foto: TLDM/LUNAS

Lumut, 3 Julai 2025 – Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua negara yang diberi nama RAJA MUDA NALA telah dilancarkan secara rasmi hari ini dalam satu upacara penuh istiadat di Lumut Naval Shipyard (LUNAS). Upacara ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. 

Penamaan dan pelancaran LCS 2 telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Permaisuri Selangor. Upacara ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam Program Kapal Tempur Pesisir (LCS), yang membuktikan keupayaan tempatan dalam pembinaan kapal ketenteraan berteknologi tinggi demi kedaulatan maritim negara. 

Kelas Maharaja Lela

Program ini akan terus memperkasa kedaulatan maritim negara dan memperkukuh keupayaan pertahanan masa hadapan. Kapal Tempur Pesisir dibina berdasarkan reka bentuk korvet Gowind 2500 yang dibangunkan oleh NAVAL Group. 

Kelas Maharaja Lela adalah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) paling canggih direka untuk operasi maritim 4 dimensi. Nama RAJA MUDA NALA dipilih bagi menghormati pewaris takhta Selangor yang sinonim dengan keberanian, kepahlawanan dan semangat juang dalam mempertahankan kedaulatan negeri. Penamaan ini melambangkan kesinambungan warisan kepahlawanan diraja dengan usaha pertahanan maritim negara masa kini — menjadikan RAJA MUDA NALA simbol keazaman, keberanian dan semangat mempertahankan kedaulatan. 

Penyerahan April 2027

Menurut Kepten Rosnizam Che Puteh TLDM (Bersara) , Pengarah Projek LCS LUNAS, Ujian Penerimaan di Pelabuhan (Harbour Acceptance Trials) dijadual bermula pada Januari 2026, diikuti dengan Ujian Penerimaan di Laut (Sea Acceptance Trials) pada September 2026. Penyerahan Fizikal LCS2 pula dirancang pada April 2027.

Upacara ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari mewakili Menteri Pertahanan; Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain. 

Kehadiran para pemimpin tertinggi pertahanan ini mencerminkan sokongan padu terhadap kesinambungan Program LCS dan keyakinan terhadap keupayaan industri pertahanan tempatan. 

Pelancaran RAJA MUDA NALA mencerminkan komitmen berterusan LUNAS untuk terus ke arah Defining Excellence di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Azhar Jumaat. Ia merupakan satu lagi langkah penting dalam menyiapkan pembinaan kapal-kapal LCS, selaras dengan misi untuk memperkukuh industri pertahanan negara dan mengangkat Malaysia sebagai pemain utama di peringkat serantau.

Menurut Ir. Azhar Jumaat, pencapaian ini mencerminkan pendekatan secara 'Whole-of-Nation' dalam memperkukuh kedaulatan maritim negara.

Mengenai Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS)

LUNAS adalah pemain utama dalam industri maritim Malaysia. Dengan rekod yang terbukti dalam pembinaan kapal, pembaikan kapal dan perkhidmatan maritim berkaitan. LUNAS komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang. Limbungan ini kekal sebagai rakan strategik dalam menjaga kepentingan maritim Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 










Saturday, June 21, 2025

PENYAMPAIAN SAYAP PENERBANGAN KURSUS ASAS PENERBANGAN SIRI 86/24 DAN KURSUS ASAS PENERBANGAN HELIKOPTER SIRI 66/24

 


Sumber: Teks/Foto TUDM

ALOR SETAR, 21 Jun 2025 - Istiadat Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 86/24 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 telah diadakan bertempat di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar. 


Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM kepada 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) yang terdiri daripada 12 orang calon juruterbang pesawat sayap kaku dan 15 calon juruterbang helikopter.


Istiadat Perbarisan


Acara dimulakan dengan perbarisan masuk medan yang terdiri daripada komposisi satu (1) Flait Graduan dan tiga (3) Flait Bantuan yang diketuai oleh Leftenan Asryl bin Haron TUDM selaku Ketua Perbarisan. 


Perbarisan diiringi oleh Pancaragam Gabungan Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Leftenan Hanif bin Che Razak TUDM. 


Sebaik ketibaan di medan perbarisan, Panglima Tentera Udara telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan. Mengakhiri acara, kontinjen berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta diiringi dengan penerbangan pesawat helikopter EC 120B dan pesawat PC-7 MK II serta diakhiri dengan Terbang Lintas Hormat pesawat PC-7 MK II semasa Hormat Panglima sebelum perbarisan keluar medan.


Pemenang



Lima (5) piala telah dipertandingkan bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pelatih iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dimenangi oleh Leftenan Muhammad Irfan Bin Salmi TUDM.


Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) dimenangi oleh Leftenan Abdul Rani bin Abdul Salim TUDM.


Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik)  disandang oleh Leftenan Asryl bin Haron TUDM.


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dimenangi oleh Leftenan Nik Zulhisam bin Nik Samsudin TUDM.


Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) dimenangi oleh Leftenan Muhammad Ezzlan bin Nor Azam TUDM.


Pelatih Juruterbang Sayap Kaku Siri 86/24


Pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 86/24 telah memulakan perjalanan kerjaya mereka sebagai Pelatih Juruterbang selepas menamatkan Kursus Ilmu Asas Penerbangan (KIPA). 


Seramai 13 orang pelatih telah terpilih menjalani Kursus Asas Penerbangan di Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dengan menggunakan pesawat Pilatus PC-7 Mk II. 


Kursus Asas Penerbangan ini terbahagi kepada 3 fasa, iaitu Fasa Akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan.


Seramai 13 orang pelatih telah berjaya mengharungi fasa latihan awal dan meneruskan kursus sehingga Basic Handling Test (BHT) dan Instrument Rating Test (IRT). 


Seterusnya, 12 orang pelatih berjaya meneruskan kursus dalam fasa Penerbangan Asas Navigasi sehingga Basic Navigation Test (BNT). 


Siri ini merupakan siri pertama yang mengunakan silibus penerbangan yang baharu dengan profil penerbangan yang lebih padat dan intensif.


Kesemua 12 orang pelatih telah menamatkan penerbangan Final Navigation Test (FNT) serta Final Handling Test (FHT) dan seterusnya berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan mereka pada 17 Mei 2025. Walaupun dengan silibus yang lebih mencabar kesemua mereka berjaya mengharungi segala rintangan dan melayakkan mereka dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.


Pelatih Juruterbang Sayap Putar Siri 66/24


Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 adalah merupakan Fasa Asas Penerbangan untuk pelatih sebelum memulakan kerjaya sebagai seorang Pelatih Juruterbang Helikopter. Siri ini merupakan siri yang kesembilan menggunakan konsep Direct Intake setelah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1). 


Seramai 15 orang pelatih telah terpilih untuk meneruskan latihan asas penerbangan helikopter di Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2). Kursus Asas Penerbangan Helikopter terbahagi kepada 3 fasa, iaitu Fasa Akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan. Kesemuanya telah berjaya menamatkan Fasa Akademik dan telah meneruskan Fasa Penerbangan yang bermula pada 9 Jul 24 dengan menggunakan pesawat Airbus EC 120B Colibri. 


Mereka meneruskan Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan dengan menduduki beberapa ujian antaranya Basic Handling Test (BHT), Instrument Flying Test (IFT), Final Navigation Test (FNT) dan Final Handling Test (FHT).


Kesemua pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang pada 18 Apr 25 dan melayakkan mereka untuk dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia.


Turut Hadir


Turut hadir ke perbarisan ini Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM serta Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.


Turut serta dalam majlis pagi ini adalah ibu bapa dan keluarga para pelatih yang sentiasa memberi sokongan padu kepada anak-anak mereka yang kini mengorak langkah menjadi juruterbang dan generasi penerus juruterbang di dalam TUDM.



Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini