About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, October 1, 2013

HELIKOPTER AKS UNTUK TLDM

Oleh Hamzah hd.

Senario peperangan maritim, kapal selam tentera adalah merupakan ancaman yang paling  sukar untuk ditangani selain daripada ancaman udara dan permukaan kerana kapal selam dikatakan menjadi kunci utama dalam mengawal senario peperangan ini secara senyap dan tersangat sukar untuk dikesan dari jarak jauh.

Mencari dan menutralkan kapal selam musuh menuntut penugasan pasukan anti kapal selam (AKS) yang mantap signifikan terhadap operasi yang semestinya memerlukan banyak aset AKS yang terkoordinasi dengan baik kerana operasi mencari ‘datum’ atau mencari kapal selam yang tidak terkesan oleh penderia mencetuskan ketegangan kepada sistem dan organisasi AKS itu sendiri.

Kapal selam nuklear masih lagi menjadi ‘maharaja’ di dalam peperangan maritim lautan dalam. Keagresifan sesebuah kapal selam nuklear masih lagi menjadi igauan dan sangat sukar untuk dijinakkan dan sangat merbahaya kerana kemampuan berada di dasar lebih lama dan memiliki persenjataan balistik yang ampuh dan mampu memusnah sasaran dari jarak jauh.

 Walaubagaimanpun kapal selam konvensional diesel-elektrik menjadi semakin bertambah penting dan peningkatan bilangannya kian bertambah di samping beberapa teknologi alternatif bagi meningkatkan keupayaan kapal selam bersaiz kecil ini. Ini adalah kerana perkembangan muthakir pergolakan maritim sedang memperlihatkan trend ke arah peperangan littoral atau di persekitaran laut pesisir yang mana peperangan anti kapal selam (AKS) menjadi lebih rumit dan memerlukan jentera bawah permukaan yang boleh beraksi dalam persekitaran laut yang tidak begitu dalam. Potensi ini turut memperlihatkan banyak negara sedang berlumba ke arah pembinaan kapal Littoral combat Ship (LCS) untuk tujuan ini di mana trend peperangan litoral merupakan penggabungan kekuatan elemen laut, udara dan darat.

Sejajar dengan pemilikan aset strategik seumpama kapal selam bagi menghadapi cabaran  peperangan bawah permukaan di masa-masa mendatang, wajar diberi perhatian kepada usaha melengkapkan kelengkapan organik-organik tambahan seperti helikopter yang mempunyai kapabiliti mengesan, menjejak dan memusnahkan kapal selam musuh dengan lebih mudah.

Pengesanan dan penjejakan elemen bawah permukaan yang sangat bahaya ini tidak boleh diharapkan kepada kapal-kapal permukaan sahaja kerana kemampuan penderia sonar yang terpasang di kapal adalah sangat terhad dan memerlukan suatu jarak yang sesuai bagi menghasilkan deteksi yang baik dan konsisten untuk penjejakan yang berkesan. Dalam konteks persenjataan masa kini, situasi ini bermaksud bila penderia kapal mula mengesan kehadiran kapal selam musuh bermakna kapal itu sendiri sedang berada dalam zon torpedo atau zon misil kerana kebanyakan kapal selam era terkini mempunyai sistem teknologi persenjataan berkeupayaan tinggi untuk memusnahkan sasaran dalam jarak yang jauh.
Atas alasan ini pengesanan awal kehadiran kapal selam musuh itu adalah sangat penting sebelum elemen itu berjaya menempatkan diri mereka di dalam zon pengoperasian torpedo bagi melaksanakan serangan melalui bawah permukaan.  Justeru maklumat kehadiran dan lokasi tepat posisi kapal selam itu berada adalah maklumat yang tidak boleh dikompromi untuk keberkesanan misi.

Kebijaksanaan sistem persenjataan masakini sangat-sangat menakutkan kepada pemain-pemain permainan perang ini kerana kedudukan atau posisi pihak lawan akan menjadi penentu kepada cetusan bagi memulakan serangan.  Berada di dalam jarak jangkauan keberkesanan persenjataan akan meletakan sesebuah kapal perang itu dalam keadaan yang sangat membahayakan. 

Perkembangan teknologi semakin pantas mengadaptasikan situasi ini yang mana kemampuan penderia seperti radar dan sonar masa kini semakin jauh kemampuan pengesanan sehingga beratus-ratus batu notika.  Selari dengan kemampuan deteksi penderia, sistem persenjataan juga telah direka dengan keupayaan yang sangat tinggi untuk membolehkan serangan dilancarkan dalam jarak seberapa jauh yang boleh setelah mengambil kira kesan efektif. 

Justeru, segala usaha mesti dilakukan bagi mengekang kemaraan musuh dari berada di dalam zon bahaya persenjataan terutamanya persenjataan balistik seperti misil, torpedo dan seumpamanya yang mampu melancarkan serangan dari pelbagai dimensi samada dari udara, permukaan dan bawah permukaan.
Situasi ini menggambarkan kepada kita bahawa pengesanan awal kedudukan musuh dan keupayaan memusnahkan sasaran dalam jarak yang jauh adalah menjadi kelebihan yang sangat ketara kepada sesuatu ketumbukan kerana tindakan ini dapat menghalang kemaraan musuh secara agresif. 

Peranan Helikopter AKS

Selari dengan keperluan masa kini yang mendambakan kuasa tempur yang bermobiliti  pantas, perbincangan ini sudah tentu penggunaan helikopter anti kapal selam menjadi satu keperluan yang sangat strategik kerana keupayaannya dalam mengesan, memburu dan memusnahkan kapal selam telah menyamai peranan yang dimainkan oleh kapal-kapal kombatan.  Malah apa yang lebih penting selain daripada keberkesanan operasi, helikopter anti kapal selam juga  dapat menjimatkan kos pengoperasian yang sangat ketara.

Langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai suatu usaha kepada pembesaran ketumbukan tetapi hakikat sebenarnya adalah era pertahanan hari ini menuntut perkhidmatan pesawat diberi peranan berdasarkan keupayaannya yang sangat dinamik dan terserlah sebagai komponen sokongan bagi mencapai objektif dan selain daripada peperangan anti kapal selam, ianya boleh berfungsi sebagai elemen penghantaran udara, pengawasan medan pertempuran, carilamat kombat, pemindahan mangsa/mayat, pemindahan perubatan, menjejak sasaran melampaui ufuk, malah sebagai pemandu dan pesawat pengantara bagi mengekploitasi kelebihan jarak peluru berpandu anti-kapal jarak jauh. Dalam misi naval gun fire support pesawat ini boleh dijadikan platform bagi mengesan dan mengawal tembakan dari unit-unit tentera laut dan lain-lain.

Helikopter AKS adalah pesawat yang direka khas bercirikan kombat yang mampu beraksi dalam suasana ketegangan yang mana binaannya bersekali dengan peralatan untuk tugas-tugas mencari, mengesan, menjejak dan memusnahkan kapal selam.  Penggunaan pesawat helikopter dikira sangat praktikal selain bermobiliti pantas, ia juga tidak menanggung impak kerugian yang begitu besar jika berlaku apa-apa kemalangan yang melibatkan nyawa. 

Pelbagai Variasi model helikopter maritim telah dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka sedang digunakan oleh tentera laut dunia dan siri peningkatan kepada model-model lama secara perlahan mengambil alih dengan keupayaan memasang dan membawa peranti, penderia dan persenjataan berteknologi tinggi bagi keberkesanan operasi AKS pada abad ini. 

Artikel penulis sebelum ini pernah membuat perbandingan di antara beberapa pengeluaran syarikat helikopter terkemuka dunia  yang bercirikan AKS namun kali ini penulis lebih berminat untuk mengatakan SH-60B Seahawk adalah yang terbaik dan sesuai dengan keperluan TLDM.

SH-60B Seahawk adalah dalam kategori pesawat ringan pelbagai guna (LAMPS Mk III) keluaran Sikorsky Aircraft Corporation yang dianggap di antara helikopter maritim yang paling canggih buat masa ini. Misi utama kepada model-B (Bravo) ini adalah untuk peperangan permukaan, anti kapal selam, anti-Ship Surveillance and Targeting (ASST) dan lain-lain.  Dilengkapi dengan peranti Magnetic Anomaly Detector (MAD), Sonobuoys termasuk Search Radar , Electronic Support Measures (ESM), Forward Looking Infrared (FLIR), Global Positioning System (GPS), Acoustic Sensing, Acoustic Processors dan juga berkeupayaan membawa torpedo,misil dan senjata ringan.

Spesifikasi ringkas- 
Berat maksima: 21,884 lb,
Daya tahan: 3.5 to 6 jam,
Kuasa: 2 General Electric T700-GE-401C turboshaft engines coupled to a 3,400 shaft transmisi kuasa kuda. Setiap satu enjin dapat menghasilkan 1,662 shaft kuasa kuda.
Range: 450 nautical miles
Mission Endurance: 4 hours
Dash Speed: 160 knots
Service Ceiling: 13,000 feet DA
Rate of Climb (at sea level): 1,800 ft/min
Rate of Climb with One Engine (at sea level): 480 ft/min

Krew yang kelazimannya ada di atas pesawat ini ialah seorang pilot yang memandu , seorang pegawai taktikal yang bertanggungjawab di dalam menentukan apakah aset yang akan digunakan untuk memusnahkan sasaran di dalam situasi taktikal di samping mengkoordinasikan lain-lain aset di medan dan seorang operator penderia yang mengoperasikan radar dan MAD serta pentafsir data akustik dan carilamat.

Secara amnya, penggunaan helikopter sebagai elemen AKS telah mencetuskan satu pergerakan yang pantas dan sangat berkesan bergabung tenaga dengan kapal permukaan untuk mencari sasaran bawah permukaan air. Helikopter tersebut akan menjatuhkan beberapa sonobuoys dan menggunakan sistem penderia taktikal yang dipasangkan pada kedua-dua kapal permukaan dan helikopter bagi mengesan sasaran tersebut. Krew helikopter akan menjejak dan jika perlu akan membuat serangan ke atas kapal selam dengan torpedo. Sonobuoys ialah penderia yang dibangunkan untuk digunakan bagi mengesan kapal-kapal selam dengan cara mendengar bunyi yang terhasil dari putaran aci dan jentera (pengesanan pasif) atau dengan mengeluarkan satu sonar ping oleh sesebuah kapal permukaan atau kapal selam (pengesanan aktif). 

Sonobuoys pada asasnya mengandungi satu hidrofon, penguat suara, pemancar radio VHF dan bateri untuk memberi tenaga untuk sesuatu jangkamasa yang diperlukan. Semua elektronik diletakkan dalam satu silinder dengan dengan daya apungan sebelum dijatuhkan melalui pesawat atau kapal permukaan dan isyarat-isyarat radio boleh diterima dalam beberapa batu. Sonobuoys pasif juga boleh digunakan bagi mengesan dan mencatatkan bunyi hidupan setasea dengan berkesan. 

Sonobuoys yang biasanya digunakan oleh Tentera Laut ialah Low Frequency and Ranging (LOFAR) dan Directional Frequency and Ranging (DIFAR). Bathythermograph sonobuoys akan membuat profil terhadap kedalaman berdasarkan suhu air di sesuatu kawasan. Dipping sonar membolehkan helikopter untuk mendengar dan menghantar isyarat elektronik bawah air semasa dalam keadaan melayang-layang atau mod diam. Pesawat biasanya melayang pada ketinggian 50 hingga 300 kaki di atas permukaan laut dan menurunkan transducer ke dalam air dengan menggunakan sistem powered reel. Transducer boleh diturunkan hingga kedalaman 2,500 kaki dari paras air. Setelah transducer diturunkan ke satu tahap kedalaman yang dipilih, kemudian dihidupkan bagi menghasilkan isyarat suara dan menerima gema dari objek yang berada di bawah air. Gema ini kemudian diolah untuk mengenal pasti dan mencari potensi ancaman bawah air.


Taktik yang sangat ketara yang boleh membawa pulang ketumbukan perang ke pangkalan dengan selamat ialah bagaimana kebolehan menghalang kemaraan angkatan musuh yang sedang mengancam dengan keupayaan menjejak dan memusnahkannya dalam keadaan memerlukan pada masa dan tempat yang dipilih atau mampu memandu keluar angkatan dari kawasan operasi (zon bahaya torpedo/misil) sebelum dimusnahkan oleh musuh. Transformasi strategi boleh diekploitasi untuk kelebihan taktikal pertahanan di peringkat operasional dalam konteks peperangan maritim ialah tiada cara lain selain mempersiapkan armada secepat dan semaksima mungkin mengikut keperluan sejajar dengan keluasan kawasan tanggungjawab itu sendiri. Perajurit

Tinggalkan pesanan anda di sini