About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, July 2, 2019

JAMUAN AIDILFITRI MENGGAMIT NOSTALGIA KOLONEL YDP RAMD

Diterbitkan oleh Majalah Perajurit edisi Julai 2019

Oleh/Gambar: Paklang Hamzah


Pada 17 Jun yang lalu, Divisyen ke 2 Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) serta
unit-unit di bawah naungannya  telah menganjurkan satu Majlis Ramah Mesra
Sambutan Aidilfitri 2019 bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan
Kedah selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dilaksanakan di Batalion Keenam,
Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir ke majlis ini adalah Duli Yang
Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin,
Raja Muda Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul
Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah. Turut hadir dalam majlis ini
ialah Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan bin
Md Delin selaku Pegerusi RAMD, Mejar Jeneral Dato' Mardzuki bin Muhammad,
Panglima Divisyen Ke 2 TD serta Pegawai-pegawai Kanan Kor Infantri TDM.


Uniknya, Majlis Ramah Mesra Sambutan Aidilfitri pada kali ini Kol YDP RAMD juga berpeluang meninjau suasana persiapan Aidilfitri di gimik perbatasan iaitu di Pos M 359 serta suasana persiapan aidilfitri di kawasan operasi.  Baginda telah melawat Pos Pengawal, Pos GPMG, Landing Point (LP), Khemah Markas Kawalan, Khemah Penginapan dan jeti yang dibina khas untuk tujuan majlis ini.

Baginda juga berkesempatan merasai juadah lemang dan dodol serta kek Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK) yang disediakan oleh anggota 6 RAMD. Acara ini menggamit kenangan sewaktu baginda pada suatu ketika dahulu pernah terlibat dalam operasi  di perbatasan negara. 

Pegawai Tentera

Mengimbau penglibatan baginda di dalam bidang ketenteraan bermula dari minat baginda yang sangat mendalam dan memilih untuk menjalani latihan kadet dan telah dihantar untuk kursus ketenteraan di India Military Akademy di Dehra Dun dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun1963. Sekembalinya ke tanah air, baginda telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Feb 1964 dan ditempatkan di Rejimen Ke 2 RAMD di Pengkalan Chepa Kota Bharu Kelantan.  Sepanjang perkhidmatan baginda telah terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan.  Kemuncak operasi ialah semasa konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia di mana baginda Sultan Sallehuddin mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Malaysia/Indonesia seperti dikampong Mentadah, Simpang Tiga, Balong, Apas dan lain-lain.  


Batalion Ke 2 RAMD kemudiannya dipindahkan ke Pengkalan Chepa Kelantan pada tahun 1965 dan seterusnya ke Kem Sungai Besi pada tahun 1966. Pada tahun 1967, batalion baginda telah ditukar ke Sarawak untuk menjalani operasi di kawasan sempadan Malaysia/Indonesia hingga tahun 1968.  Pada tahun 1969, batalion baginda berpindah pula ke Kem Tok Jalai Jitra Kedah.  Selain operasi di sempadan batalion baginda juga pernah menjalankan operasi di Sandakan.  Semasa peristiwa Mei  1969 batalion baginda beroperasi di Pulau Pinang.  Baginda menamatkan perkhidmatan di dalam ATM pada 14 Februari 1974.

Baginda serta rombongan juga dipersembahkan dengan tayangan video Ucapan Hari Raya Aidilfitri oleh Pegawai dan Anggota yang sedang bertugas di kawasan operasi yang mana tidak dapat beraya bersama keluarga atau sanak saudara di kampong.  Acara diakhiri dengan persembahan bunga api dan pemberian cendera kenangan.  Baginda tuanku serta rombongan Diraja berangkat pulang pada jam 2230.

Monday, July 1, 2019

JHEV ATM-KHIDMAT TANPA HENTI


 Diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Julai 2019

Oleh/Foto: Paklang Hamzah


Pada 23 Mei yang lalu satu majlis perjumpaan dan berbuka puasa Menteri Pertahanan dengan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Utara anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV)  telah berlangsung di Padang Kawad Batalian 2 Ubat, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani Kedah. 

Majlis perjumpaan ini adalah bertujuan untuk meraikan dan menghargai jasa baik dan khidmat bakti para veteran ATM kepada negara.  

Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad bin Sabu  selaku Menteri Pertahanan juga telah menyempurnakan penyampaian cek bantuan sebanyak RM39,500 kepada lapan persatuan veteran ATM bagi Zon Utara.  Persatuan-persatuan yang dimaksudkan ialah Persatuan Veteran Kor Polis Tentera Diraja Malaysia (PVKPTDM), Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rej Renjer Diraja (PKV 9 RRD), Persatuan Bekas Perajurit Taiping Perak (PBPTP), Persatuan Veteran Tentera Batalion Ke 22 Rej Askar Melayu Diraja Negri Sembilan (PVT B22 RAMD NS), Persatuan Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (KPRAMD), Persatuan Bekas Angkatan Tentera Darat Udara Laut (DAULAT) dan Kelab Veteran 1 Rej Renjer Diraja Malaysia (KV1RRD).

Dalam majlis yang sama, Menteri Pertahanan telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM200.00 kepada 31 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Pembangunan Anak-anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia.

Dalam ucapan, YB Mohamad Sabu menegaskan bahawa pihak kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa menghargai jasa baik dan khidmat bakti  para veteran ATM  kepada negara selama ini.  Justeru pelbagai skim bantuan disediakan untuk manfaat veteran ATM serta tanggungan yang layak.  Di antara  inisiatif dan perancangan  terbaharu KEMENTAH ialah pembiayaan kepada Persatuan-persatuan Veteran ATM berjumlah RM 500,500.00 setahun  khusus kepada persatuan-persatuan yang memenuhi syarat.  Sebanyak 19 persatuan telah menerima pembiayaan ini pada 4 Mei yang lalu dan 8 berbaki diberi dalam majlis ini.  Jumlah terkini (Mei) hanya 50 persatuan Veteran ATM sahaja daripada 143 yang telah layak untuk menerima bantuan khas tersebut.

Setakat ini sebanyak 143 persatuan induk dan 322 cawangan yang berdaftar dengan JHEV tetapi untuk melayakkan persatuan-persatuan tersebut menerima pembiayaan tahunan mereka hendaklah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JHEV.  Di antara syarat-syarat yang mesti dipatuhi ialah persatuan hendaklah berdaftar dengan JHEV dan persatuan itu hendaklah aktif.  Semua persatuan hendaklah mengemukakan Laporan Tahunan persatuan kepada JHEV meliputi Laporan Mesyuarat Agung,  Laporan Kewangan, Laporan Aktiviti-aktiviti dan lain-lain malah juga semua persatuan terbabit dikehendaki memberi senarai nama penuh keahlian persatuan yang aktif bertujuan untuk pengagihan peruntukan.

Beliau berharap dengan pembiayaan ini semua persatuan yang berdaftar dengan JHEV dapat bergiat aktif dan dapat berkerjasama dengan JHEV dalam menjaga kebajikan veteran tentera. Kepada warga tentera yang masih berkhidmat beliau menyeru agar meneruskan perkhidmatan sehingga berpencen demi masa depan yang lebih terjamin.  Manakala veteran yang masih muda, JHEV akan berusaha mencari dan membuka peluang  untuk menceburi kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan. Sementara itu, Mohamad  berkata pihaknya akan terus memartabatkan warga ATM kerana pasukan keselamatan adalah kebanggaan negara.

Seramai lebih daripada 800 orang veteran ATM Zon Utara, warga tentera serta anak-anak yatim diraikan di dalam majlis ini.Turut hadir ialah Ybhg Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (KPJHEV),  Laksamana Pertama Mohamad Azuwan bin Harun, Panglima Wilayah Laut Tiga(MAWILLA 3), YB Puan Nor Azrina binti Surip@Nurin Aina Abdullah, Ahli Parlimen Merbok, YB Tuan Karupaiya a/l Mutusami, Ahli Parlimen Padang Serai,  Pegawai-pegawai Kanan ATM serta Awam Kementerian Pertahanan.


Inisiatif Terkini

Apa yang dinyatakan di atas adalah merupakan inisiatif  terkini dalam suasana kerajaan Malaysia baharu selepas setahun memerintah negara selain dari pemberian Bantuan Harapan Negara (BHN) 2019 sebanyak RM500.00 seorang untuk veteran ATM menjelang aidilfitri secara one-off. Dalam usaha ini kerajaan telah memperuntukkan RM79,684,000.00 kepada 159,368 veteran ATM merangkumi veteran berpencen dan tidak berpencen  dalam kategori isi rumah berpendapatan bawah RM4,000.00 (B40).  BHN adalah merupakan kesinambungan daripada inisiatif kerajaan terdahulu di mana sebelum ini ianya dikenali sebagai Bantuan Bakti Negara (BBN) di mana pemberian terakhir sebanyak RM1200.00 juga secara one-off  hanya melibatkan 43,000 veteran ATM tidak berpencen sahaja.

Satu lagi inisiatif kerajaaan yang paling ditunggu-tunggu perlaksanaannya oleh sebahagian daripada veteran ATM iaitu pemberian elaun kepada penerima-penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).  Pengumuman untuk inisiatif ini dijangka akan diputuskan semasa pembentangan Belanjawan Negara 2020 menjelang Oktober nanti.  Relevansi pemberian elaun PJM ini adalah merupakan pendekatan menang-menang pihak kerajaan bagi merealisasikan tuntutan Veteran ATM yang berpencen sebelum 2004 bagi merapatkan jurang jumlah pencen yang diterima berbanding Veteran ATM yang berpencen selepas 2004.  Dalam masa yang sama dapat merealisasikan tuntutan veteran tidak berpencen kepada kerajaan untuk diberi saraan bulanan secara berterusan.

Secara ringkasnya PJM merupakan campaign Medal yang dianugerahkan kepada warga ATM dan anggota negara luar yang layak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan tanpa mengira samada sedang berkhidmat atau telah bersara/menamatkan perkhidmatan dan masih hidup atau telah meninggal dunia bagi mengenang jasa dan pengorbanan menegakkan keamanan dan kedaulatan negara sepanjang perkhidmatan tempoh darurat.  Kelayakan asas penganugerahan pingat ini ialah Warga ATM yang telah berkhidmat bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM),  Warga ATM yang telah berkhidmat bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan (PKKU) dan Anggota Pengaman dari negara luar yang berkhidmat di Malaysia dari 31 Ogos 1957 sehingga 12 Ogos 1968 termasuk rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan negara berkenaan.

JHEV One Stop Centre Kepada Semua Veteran ATM



Sejak pengoperasian JHEV pada 2001 dan penubuhan one stop centre (OSC) bagi mengurus dan menangani isu-isu yang dihadapi bakal pesara dan veteran ATM dalam soal pembayaran berhubung dengan ganjaran, faedah persaraan dan pencen, inisiatif demi inisiatif telah diperkenalkan.  Semua pejabat JHEV cawangan negeri bertindak sebagai OSC berperanan sebagai medium perhubungan di antara bakal pesara dan veteran ATM dengan Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP), Urusan Gaji ATM (UGAT), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).  Satu talian khas yang dinamakan call Centre (03-26976600) juga telah diwujudkan yang menjadi saluran perhubungan khas untuk warga veteran dengan JHEV bagi berkongsi apa-apa masalah yang dibangkitkan oleh veteran dan ahli keluarga mereka.  Langkah proaktif ini telah memberi kesenangan  kepada veteran dalam urusan berkaitan kebajikan dengan lebih cepat dan tepat.

Akta Veteran 2012 (Akta 740) pula di wujudkan bagi memberi kuasa kepada pihak JHEV untuk memantau aktiviti persatuan-persatuan Veteran ATM di seluruh Malaysia. Akta ini digubal sebagai sebuah akta induk yang memperuntukkan hal-hal penstrukturan badan-badan yang berperanan mengendalikan hal ehwal Veteran ATM.  Akta ini merupakan usaha pertama bagi memperundangkan hal ehwal Veteran ATM dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.  Akta ini telah berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2015. Melalui Akta ini pendaftaran persatuan Veteran ATM adalah di bawah tanggungjawab JHEV ATM.

Di bawah Akta Veteran 2012 juga telah diwujudkan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) bertujuan bagi merumus, menyelaras dan memantau dasar utama dan pelan tindakan yang berhubung dengan hal ehwal Veteran ATM.  MVK juga berperanan menasihatkan dan membuat syor mengenai pembuatan undang-undang atau pindaan undang-undang sedia ada supaya dapat menjamin kebajikan dan kepentingan Veteran ATM.  Walaubagaimana pun akta ini masih lagi di peringkat memperhalusi kandungannya melalui bengkel-bengkel yang diadakan oleh pihak-pihak terlibat sebelum ianya dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Pelbagai Inisiatif Telah Dilaksanakan

Statistik di JHEV ATM mencatatkan sehingga kini jumlah Veteran ATM yang berpencen adalah 101,134 orang manakala veteran ATM yang tidak berpencen berjumlah 180,863.  Jumlah veteran tidak berpencen mungkin melebihi daripada angka tersebut memandangkan masih ada veteran yang tidak dapat dikesan melalui rekod JHEV dan JRP dan gagal tampil untuk dikenal pasti. 

Kehidupan Veteran ATM selepas berpencen dari perkhidmatan terbahagi kepada dua kategori yang besar iaitu yang berjaya dan yang tidak berjaya.  Manakala yang tidak berjaya juga terdiri dari dua kumpulan iaitu pertama, yang tidak berjaya tetapi terus berusaha untuk hidup dalam keadaan sederhana dan kedua, yang tidak berjaya dan terus hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan yang mungkin disebabkan faktor-faktor kesihatan. 

Begitu juga kehidupan Veteran ATM yang tidak berpencen, mereka terbahagi kepada tiga golongan.  Pertama, golongan tidak berpencen tetapi bernasib baik kerana berjaya di dalam pekerjaan baharu atas usaha  sendiri berbekalkan keyakinan dan kemahiran yang ada.  Kedua, mereka tidak berpencen dari perkhidmatan ATM tetapi berpeluang membina kerjaya kedua dengan sektor kerajaan yang akhirnya mendapat pencen juga.  Ada pun golongan ketiga, mereka bukan sahaja tidak berpencen malah tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengalami desakan hidup mungkin kerana faktor umur dan kualiti kesihatan.  Maka golongan ini merupakan sasaran utama yang perlu diberi perhatian.

Justeru, sangat bertepatan dengan kewujudan JHEV ATM melalui kerjasama persatuan-persatuan veteran telah bertungkus lumus mencari kaedah terbaik dalam usaha mencaknai para veteran. 
Pelbagai inisiatif dan skim telah diperkenalkan setakat ini yang mana telah banyak memberi manfaat kepada semua golongan veteran ATM yang penulis nyatakan di atas. 

Melalui MVK, 4 inisiatif sedang diperhalusi untuk memberi manfaat kepada Veteran ATM iaitu Inisitif Perumahan, Pengurusan Tabung Pahlawan, Inisiatif bantuan Kewangan kepada Veteran Tidak Berpencen dan Inisiatif usaha kerajaan di dalam memastikan kesejahteraan warga ATM setelah menamatkan perkhidmatan. Di antara nya ialah Skim Bantuan Kebajikan Dan Pendidikan yang merangkumi:

Skim bantuan sara hidup - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan bulanan bagi meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya dan menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan mengikut kiraan paras garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan.  Kadar bantuan adalah RM300.00 sebulan.

Skim Bantuan Persekolahan- Skim bantuan persekolahan dan Kolej Vokasional Kebangsaan adalah bertujuan bagi membiayai anak-anak Veteran ATM yang kurang mampu untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat rendah dan menengah berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK yang ditetapkan.  Kadar bantuan ialah RM500.00 setahun bagi sekolah rendah dan RM700.00 setahun bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional Kebangsaan.  Permohonan dibuka sepanjang tahun.

Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik – Bantuan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan ketika pendaftaran kemasukan ke Universiti Awam kepada anak-anak Veteran ATM sebagai memberi galakan dan motivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.  Kadar bantuan bayaran secara secara sekaligus adalah RM1000.00 untuk pengajian peringkat diploma dan RM1500.00 untuk pengajian peringkat Ijazah Pertama. Setiap anak hanya layak menerima satu bantuan sahaja samada di peringkat Diploma atau Ijazah Pertama.

Bantuan Peralatan Pesakit - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus kepada Veteran ATM, isteri dan tanggungan untuk membeli peralatan bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat , katil, tilam dan sebagainya.  Kadar bantuan maksimum adalah RM5000.00 sekaligus. Setiap permohonan hendaklah disertakan laporan/memo daripada doktor kerajaan bagi menyokong keperluan, sebut harga atau resit asal pembelian bagi alat berkenaan.

Bantuan Bencana Alam - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus untuk meringankan beban dan kesusahan yang dialami oleh Veteran ATM akibat bencana alam seperti ribut, kebakaran dan sebagainya.  Kadar bantuan maksimum RM5000.00 sekaligus.

Inisiatif 2017

Pada 31 Julai 2017 yang lalu sempena Pelancaran Hari Pahlawan yang diadakan di MINES International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di hadapan lebih daripada 15 ribu orang Veteran ATM dari pelbagai peringkat,  Mantan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Najib Razak telah mengumumkan 6 insentif untuk manfaat Veteran ATM keseluruhannya. 

Dua di antaranya ialah khusus untuk Veteran tidak berpencen iaitu Skim BBN/BHN yang mana skim ini sedang dilaksanakan malah pada tahun kedua BHN dilaksana dengan sedikit penambahbaikan yang melibatkan penambahan peruntukkan. Kedua, Skim Anuiti Veteran (SAVe)  diwujudkan bagi menjamin kebajikan anggota/pegawai dan keluarga bagi mereka yang menamatkan perkhidmatan awal secara tidak berpencen untuk menerima pendapatan tetap secara bulanan. Kelayakan bagi penerima skim ini ialah opsyen bagi pegawai yang menamatkan tauliah tanpa pencen, diiktiraf sebagai Veteran ATM mengikut seksyen 2 Akta Veteran 2012 serta mempunyai Caruman Ahli (10%) dan Caruman Kerajaan (15%).

Pemilihan SAVe adalah merupakan opsyen bagi anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang sedang berkhidmat semasa penguatkuasaan akta ini  dan mandatori bagi anggota yang memasuki perkhidmatan ATM selepas akta ini dikuatkuasakan. Syarat-syarat lain ialah LLP yang menamatkan tempoh perkhidmatan penuh masa (12/15/18 tahun) tanpa berpencen, diiktiraf sebagai Veteran ATM mengikut seksyen 2 Akta Veteran 2012 serta mempunyai Caruman Ahli (10%) dan Caruman Kerajaan (15%).

Konsep pelaksanaan SAVe, pegawai/anggota hanya mengeluarkan wang Caruman Ahli (10%) termasuk dividen dan bonus  dan mengekalkan wang Caruman Kerajaan (15%) di Lembaga  Tabung Angkatan Tentera (LTAT) apabila menamatkan perkhidmatan di mana LTAT akan membuat pelaburan terhadap wang caruman yang dikekalkan dan membayar dividen setiap tahun. Dividen yang diterima setiap tahun di bahagikan kepada 12 bulan dan dibuat pembayaran secara bulanan kepada anggota. Dividen tahun terakhir sebelum menamatkan perkhidmatan akan digunakan sebagai bayaran bagi tahun pertama selepas menamatkan perkhidmatan.  Pembayaran bulanan SAVe akan dibuat oleh LTAT melalui pengkreditan terus ke akaun bank yang akan dibayar seumur hidup dan wang caruman akan dibayar secara lump sum kepada waris apabila pegawai/anggota meninggal dunia.

Manakala insentif-insentif  lain yang diumumkan telah dilaksanakan ialah Penambahbaikan skim Pencen Hilang Upaya Angkatan Tetap berpencen dan Askar Wataniah yang tiada pencen telah dinilai mengikut peratus kecederaan sedia ada yang mana melibatkan pelarasan 300 peratus hingga 800 peratus dan akan dibayar dengan nilai minima RM500.00 hingga RM2000.00 kepada yang terlibat.
-Insentif untuk Veteran Kurang Upaya (VKU) yang sebelum ini menerima RM500.00 sebulan kini dinaikkan kepada RM1000.00 sebulan.

Sebelum itu beberapa insentif telah pun dilaksanakan bermula dengan agenda Perumahan (pembinaan rumah mampu milik dan Program 1Malaysia Veteran Home Repair), Kerjaya dan Keusahawanan (Program Recognition Prior Experiential Learning-RPEL), Bantuan Khas (Insentif Khas Insurgensi, Kesihatan (Skim Bantuan Perubatan e-mass dan Pembinaan Poliklinik AT) seperti mana yang telah diwar-warkan sebelum ini.

Dalam senario semasa, jumlah Veteran ATM sentiasa bertambah dari masa ke semasa yang mana sebilangan besar daripada mereka telah mencapai usia warga emas yang terdedah kepada penyakit-penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan.

Justeru, dalam usaha menjaga kebajikan warga ATM dan veteran, KEMENTAH telah meletakkan objektif yang sangat jelas dengan merangka dasar Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan  ATM 2017-2050 yang kini sedang dilaksanakan bagi merealisasikan  slogan penjagaan kesihatan ‘from cradle to grave’ dengan mengurangkan kebergantungan warga veteran kepada hospital-hospital ATM yang sedia ada. 

Bagi memenuhi keperluan itu satu pusat kesihatan  berupa sebuah Kompleks Hospital Khas akan dibina di Kem Gua Permai Jalan Tambun Ipoh Perak di atas tanah milik ATM berkeluasan 95,000 kaki persegi.  Apabila siap kelak, hospital ini akan berfungsi sebagai Perkampongan Kesihatan Veteran (Veteran Health Village) berkongsepkan ‘one stop centre’ dengan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan secara holistik, moden, selamat, efisien dan ekonomik dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan assisted living dan hospis.

Hospital ini akan menyediakan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti pakar jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri dan juga akan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

Selain pembinaan Hospital Veteran, pihak Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Kesihatan juga akan membina 5 buah lagi Poliklinik ATM iaitu di kluang Johor, Seberang Takir Trengganu, Kuantan Pahang, Sunagi Petani Kedah dan Kucing Sarawak.  Poliklinik ini bukan sahaja akan menyediakan kemudahan rawatan asas yang berkualiti malah juga turut dilengkapi dengan kemudahan rawatan pergigian, wad obsevasi, rawatan hemodialisis, rawatan pakar, pembedahan kecil serta beberapa lagi perkhidmatan lain.

Cadangan

Menilai dengan fikiran terbuka, apa yang boleh penulis simpulkan bahawa kerajaan sangat mengambil berat dan meletakkan keistimewaan kepada Veteran ATM terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.  Meski pun telah banyak inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah dipenuhi hasil dari perbincangan dan permintaan pihak persatuan-teran ATM Veteran kepada kerajaan melalui JHEV namun masih berkumandang suara-suara ketidakpuasan hati segolongan Veteran ATM terutamanya bagi mereka-mereka yang tidak menerima insentif-insentif yang berbentuk kewangan yang diperkenalkan secara langsung mungkin kerana mereka dalam golongan berpendapatan melebihi 4 ribu atau mereka tidak peka dengan peluang-peluang yang ditawarkan atau gagal memenuhi syarat-syarat semasa memohon dan lain-lain sebab.

Berdasarkan tinjauan penulis terhadap Veteran ATM melalui media sosial, ramai yang memerlukan tanah bagi tapak rumah dan tapak pertanian untuk diusahakan.  Namun begitu bila berurusan dengan kerajaan negeri, kebanyakannya mereka gagal untuk mendapatkannya dengan pelbagai alasan dari pihak pentadbir tanah kerajaan negeri.

Justeru, ramai yang mencadangkan supaya pihak JHEV memohon  dengan kerajaan untuk membuka tanah-tanah baharu secara berkelompok di setiap negeri dengan penyeliaan dari pihak seumpama FELDA, FELCRA atau lain-lain agensi dan menawarkan kepada Veteran ATM yang memenuhi kriteria yang perlukan dan sanggup menjadi peneroka.  Cara ini sekali gus mungkin dapat menyelesaikan masalah keperluan tapak rumah dan tanah pertanian yang didambakan oleh mereka dalam skala besar.  Penempatan Veteran tentera terutamanya di kawasan persempadanan negara boleh menjadi serampang dua mata kepada kerajan bagi memenuhi konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) dengan pengemblengan tenaga, mata dan telinga Veteran ATM yang mempunyai pengalaman yang sangat luas di dalam pengawasan sempadan di samping meningkatkan produktiviti negara dalam bidang pertanian.

Kesimpulan

Segala rungutan telah didengari dan dilayani sewajarnya oleh pihak kerajaan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dalam negara walau pun sebahagian besarnya menunjukkan sikap anti kerajaan dengan menuduh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan tidak mempedulikan nasib mereka.  Bukan senang untuk memenuhi kehendak semua pihak namun usaha berterusan pihak-pihak terlibat dalam mengintai ruang dan peluang bagi memperbaiki keadaan adalah sangat diperlukan.  Pemimpin-pemimpin persatuan jangan mudah rasa berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai  setakat ini dan yang lebih penting perlu sentiasa brainstorming untuk mencipta kaedah yang lebih kreatif yang membawa kepada situasi menang-menang bukan sahaja tersasar kepada kerajaan semata-mata malah mengajak badan-badan yang berkaitan seperti LTAT supaya tidak berlepas tangan untuk sama-sama bertanggungjawab membantu Veteran ATM kerana tegaknya LTAT adalah bermula dengan setiap sen veteran hari ini.  Tanpa tentera siapalah LTAT. 

UAV PERTAMA TLDM

Diterbitkan oleh Majalah Perajurit edisi Julai 2019

Oleh:Paklang Hamzah

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima 12 Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) ScanEagle daripada Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022.  Bac pertama sebanyak enam buah ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini.

Menurut sumber Kementerian Pertahanan, selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain turut menerima manfaat yang sama di bawah program Maritime Security Initiative (MSI) bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat di dalam kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.

AS melalui program MSI ini telah menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak melibatkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia.

ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada AS akan dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim.  Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia amat memerlukan keupayaan intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Menurut sumber itu lagi, Kementerian Pertahanan turut membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12).

Pengumuman ini tentunya sangat menggembirakan ATM dan peminat-peminat pertahanan khususnya yang telah menunggu berita baik ini sudah sekian lama.  Tempoh RMKe-12 akan bermula pada 2021 tentunya mempunyai ruang yang cukup bagi ATM mempersiapkan prasarana dan juga modal insan serta keperluan berkaitan bagi menubuhkan skuadron baharu khusus untuk pengoperasian perolehan yang berprestij ini.

ScanEagle

ScanEagle adalah legasi Insitu UAV yang dihasilkan daripada kolaborasi strategik antara Boeng dan Insitu.  Teknologi yang berjaya dihasilkan sebagai Sistem Kawalan Tanpa Penerbangan (UAS) untuk pengawasan autonomi di medan perang di mana pernah digunakan semasa perang Iraq.  ScanEagle membawa kamera elektro-optik atau inframerah resolusi tinggi yang stabil pada sistem turet dengan sistem komunikasi bersepadu yang mempunyai jarak lebih daripada 100km dan mampu bertahan dalam penerbangan lebih daripada 20 jam.  

ScanEagle mempunyai sayap berukuran 3.1 meter, panjang 1.4 meter dan berat 20kg.  Kelajuan boleh mencecah 80 knots namun purata kelajuan penerbangan biasa 48 knots.  Sistem pengembaraan ScanEagle yang serba boleh menyampaikan imej berterusan di darat atau di laut.  ScanEagle terbaharu turut menawarkan avionik yang dinaik taraf, keupayaan muatan yang meningkat dan sistem pendorongan bahan bakar berat yang telah meningkatkan kebolehpercayaan dan mengoptimumkan prestasi dalam operasi.

Pelancar mark 4 dikuasakan oleh penjana diesel onboard dan pemampat udara yang serasi dengan semua pesawat tanpa pemandu Insitu. Sistem penerimaan pula dengan Skyhook yang menggunakan cangkuk pada akhir sayap untuk menangkap tali yang tergantung dari tiang 30 hingga 50 kaki.  Operasi penerimaan dilaksanakan oleh sistem GPS berkualiti tinggi yang dipasang di bahagian atas tiang dan UAV.  

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini