Diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Julai 2019
Oleh/Foto:
Paklang Hamzah
Majlis perjumpaan ini adalah bertujuan untuk meraikan dan menghargai jasa baik dan khidmat bakti para veteran ATM kepada negara.
Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad bin
Sabu selaku Menteri Pertahanan juga
telah menyempurnakan penyampaian cek bantuan sebanyak RM39,500 kepada lapan
persatuan veteran ATM bagi Zon Utara.
Persatuan-persatuan yang dimaksudkan ialah Persatuan Veteran Kor Polis
Tentera Diraja Malaysia (PVKPTDM), Persatuan Kebajikan Veteran 9 Rej Renjer
Diraja (PKV 9 RRD), Persatuan Bekas Perajurit Taiping Perak (PBPTP), Persatuan
Veteran Tentera Batalion Ke 22 Rej Askar Melayu Diraja Negri Sembilan (PVT B22
RAMD NS), Persatuan Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Kelab
Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (KPRAMD), Persatuan Bekas Angkatan Tentera
Darat Udara Laut (DAULAT) dan Kelab Veteran 1 Rej Renjer Diraja Malaysia
(KV1RRD).
Dalam majlis yang sama, Menteri Pertahanan telah menyerahkan
sumbangan sebanyak RM200.00 kepada 31 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan
Pembangunan Anak-anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia.
Dalam ucapan, YB Mohamad Sabu menegaskan bahawa pihak
kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa menghargai jasa baik dan khidmat
bakti para veteran ATM kepada negara selama ini. Justeru pelbagai skim bantuan disediakan
untuk manfaat veteran ATM serta tanggungan yang layak. Di antara
inisiatif dan perancangan
terbaharu KEMENTAH ialah pembiayaan kepada Persatuan-persatuan Veteran
ATM berjumlah RM 500,500.00 setahun
khusus kepada persatuan-persatuan yang memenuhi syarat. Sebanyak 19 persatuan telah menerima
pembiayaan ini pada 4 Mei yang lalu dan 8 berbaki diberi dalam majlis ini. Jumlah terkini (Mei) hanya 50 persatuan
Veteran ATM sahaja daripada 143 yang telah layak untuk menerima bantuan khas
tersebut.
Setakat ini sebanyak 143 persatuan induk dan 322 cawangan
yang berdaftar dengan JHEV tetapi untuk melayakkan persatuan-persatuan tersebut
menerima pembiayaan tahunan mereka hendaklah memenuhi syarat-syarat yang telah
ditetapkan oleh JHEV. Di antara
syarat-syarat yang mesti dipatuhi ialah persatuan hendaklah berdaftar dengan
JHEV dan persatuan itu hendaklah aktif.
Semua persatuan hendaklah mengemukakan Laporan Tahunan persatuan kepada
JHEV meliputi Laporan Mesyuarat Agung,
Laporan Kewangan, Laporan Aktiviti-aktiviti dan lain-lain malah juga
semua persatuan terbabit dikehendaki memberi senarai nama penuh keahlian
persatuan yang aktif bertujuan untuk pengagihan peruntukan.
Beliau berharap dengan pembiayaan ini semua persatuan yang
berdaftar dengan JHEV dapat bergiat aktif dan dapat berkerjasama dengan JHEV
dalam menjaga kebajikan veteran tentera. Kepada warga tentera yang masih
berkhidmat beliau menyeru agar meneruskan perkhidmatan sehingga berpencen demi
masa depan yang lebih terjamin. Manakala
veteran yang masih muda, JHEV akan berusaha mencari dan membuka peluang untuk menceburi kerjaya kedua selepas
menamatkan perkhidmatan. Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan terus memartabatkan
warga ATM kerana pasukan keselamatan adalah kebanggaan negara.
Seramai lebih daripada 800 orang veteran ATM Zon Utara, warga
tentera serta anak-anak yatim diraikan di dalam majlis ini.Turut hadir ialah
Ybhg Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal
Ehwal Veteran ATM (KPJHEV), Laksamana
Pertama Mohamad Azuwan bin Harun, Panglima Wilayah Laut Tiga(MAWILLA 3), YB
Puan Nor Azrina binti Surip@Nurin Aina Abdullah, Ahli Parlimen Merbok, YB Tuan
Karupaiya a/l Mutusami, Ahli Parlimen Padang Serai, Pegawai-pegawai Kanan ATM serta Awam
Kementerian Pertahanan.
Inisiatif Terkini
Apa yang dinyatakan di atas adalah merupakan inisiatif terkini dalam suasana kerajaan Malaysia baharu
selepas setahun memerintah negara selain dari pemberian Bantuan Harapan Negara
(BHN) 2019 sebanyak RM500.00 seorang untuk veteran ATM menjelang aidilfitri
secara one-off. Dalam usaha ini kerajaan telah memperuntukkan
RM79,684,000.00 kepada 159,368 veteran ATM merangkumi veteran berpencen dan
tidak berpencen dalam kategori isi rumah
berpendapatan bawah RM4,000.00 (B40). BHN
adalah merupakan kesinambungan daripada inisiatif kerajaan terdahulu di mana
sebelum ini ianya dikenali sebagai Bantuan Bakti Negara (BBN) di mana pemberian
terakhir sebanyak RM1200.00 juga secara one-off hanya melibatkan 43,000 veteran ATM tidak
berpencen sahaja.
Satu lagi inisiatif kerajaaan yang paling ditunggu-tunggu
perlaksanaannya oleh sebahagian daripada veteran ATM iaitu pemberian elaun
kepada penerima-penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM). Pengumuman untuk inisiatif ini dijangka akan
diputuskan semasa pembentangan Belanjawan Negara 2020 menjelang Oktober nanti. Relevansi pemberian elaun PJM ini adalah
merupakan pendekatan menang-menang pihak kerajaan bagi merealisasikan tuntutan
Veteran ATM yang berpencen sebelum 2004 bagi merapatkan jurang jumlah pencen
yang diterima berbanding Veteran ATM yang berpencen selepas 2004. Dalam masa yang sama dapat merealisasikan
tuntutan veteran tidak berpencen kepada kerajaan untuk diberi saraan bulanan
secara berterusan.
Secara ringkasnya PJM merupakan campaign Medal yang
dianugerahkan kepada warga ATM dan anggota negara luar yang layak mengikut syarat-syarat
yang telah ditetapkan tanpa mengira samada sedang berkhidmat atau telah
bersara/menamatkan perkhidmatan dan masih hidup atau telah meninggal dunia bagi
mengenang jasa dan pengorbanan menegakkan keamanan dan kedaulatan negara
sepanjang perkhidmatan tempoh darurat.
Kelayakan asas penganugerahan pingat ini ialah Warga ATM yang telah
berkhidmat bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi
menentang Parti Komunis Malaya (PKM),
Warga ATM yang telah berkhidmat bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17
Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan (PKKU) dan Anggota
Pengaman dari negara luar yang berkhidmat di Malaysia dari 31 Ogos 1957
sehingga 12 Ogos 1968 termasuk rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan negara
berkenaan.
JHEV One Stop Centre Kepada Semua Veteran ATM
Sejak pengoperasian JHEV pada 2001 dan penubuhan one stop
centre (OSC) bagi mengurus dan menangani isu-isu yang dihadapi bakal pesara
dan veteran ATM dalam soal pembayaran berhubung dengan ganjaran, faedah persaraan
dan pencen, inisiatif demi inisiatif telah diperkenalkan. Semua pejabat JHEV cawangan negeri bertindak
sebagai OSC berperanan sebagai medium perhubungan di antara bakal pesara dan
veteran ATM dengan Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP), Urusan Gaji ATM (UGAT),
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Satu talian khas yang dinamakan call Centre (03-26976600) juga
telah diwujudkan yang menjadi saluran perhubungan khas untuk warga veteran
dengan JHEV bagi berkongsi apa-apa masalah yang dibangkitkan oleh veteran dan
ahli keluarga mereka. Langkah proaktif
ini telah memberi kesenangan kepada
veteran dalam urusan berkaitan kebajikan dengan lebih cepat dan tepat.
Akta Veteran 2012 (Akta 740) pula di wujudkan bagi memberi
kuasa kepada pihak JHEV untuk memantau aktiviti persatuan-persatuan Veteran ATM
di seluruh Malaysia. Akta ini digubal sebagai sebuah akta induk yang
memperuntukkan hal-hal penstrukturan badan-badan yang berperanan mengendalikan
hal ehwal Veteran ATM. Akta ini
merupakan usaha pertama bagi memperundangkan hal ehwal Veteran ATM dan
perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Akta ini telah berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2015. Melalui Akta ini
pendaftaran persatuan Veteran ATM adalah di bawah tanggungjawab JHEV ATM.
Di bawah Akta Veteran 2012 juga telah diwujudkan Majlis
Veteran Kebangsaan (MVK) bertujuan bagi merumus, menyelaras dan memantau dasar
utama dan pelan tindakan yang berhubung dengan hal ehwal Veteran ATM. MVK juga berperanan menasihatkan dan membuat
syor mengenai pembuatan undang-undang atau pindaan undang-undang sedia ada
supaya dapat menjamin kebajikan dan kepentingan Veteran ATM. Walaubagaimana pun akta ini masih lagi di
peringkat memperhalusi kandungannya melalui bengkel-bengkel yang diadakan oleh
pihak-pihak terlibat sebelum ianya dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Pelbagai Inisiatif Telah Dilaksanakan
Statistik di JHEV ATM mencatatkan sehingga kini jumlah
Veteran ATM yang berpencen adalah 101,134 orang manakala veteran ATM yang tidak
berpencen berjumlah 180,863. Jumlah
veteran tidak berpencen mungkin melebihi daripada angka tersebut memandangkan
masih ada veteran yang tidak dapat dikesan melalui rekod JHEV dan JRP dan gagal
tampil untuk dikenal pasti.
Kehidupan Veteran ATM selepas berpencen dari perkhidmatan
terbahagi kepada dua kategori yang besar iaitu yang berjaya dan yang tidak
berjaya. Manakala yang tidak berjaya
juga terdiri dari dua kumpulan iaitu pertama, yang tidak berjaya tetapi terus
berusaha untuk hidup dalam keadaan sederhana dan kedua, yang tidak berjaya dan
terus hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan yang mungkin disebabkan
faktor-faktor kesihatan.
Begitu juga kehidupan Veteran ATM yang tidak berpencen,
mereka terbahagi kepada tiga golongan.
Pertama, golongan tidak berpencen tetapi bernasib baik kerana berjaya di
dalam pekerjaan baharu atas usaha
sendiri berbekalkan keyakinan dan kemahiran yang ada. Kedua, mereka tidak berpencen dari perkhidmatan
ATM tetapi berpeluang membina kerjaya kedua dengan sektor kerajaan yang
akhirnya mendapat pencen juga. Ada pun
golongan ketiga, mereka bukan sahaja tidak berpencen malah tidak mempunyai
pendapatan tetap dan mengalami desakan hidup mungkin kerana faktor umur dan
kualiti kesihatan. Maka golongan ini
merupakan sasaran utama yang perlu diberi perhatian.
Justeru, sangat bertepatan dengan kewujudan JHEV ATM melalui
kerjasama persatuan-persatuan veteran telah bertungkus lumus mencari kaedah
terbaik dalam usaha mencaknai para veteran.
Pelbagai inisiatif dan skim telah diperkenalkan setakat ini
yang mana telah banyak memberi manfaat kepada semua golongan veteran ATM yang
penulis nyatakan di atas.
Melalui MVK, 4 inisiatif sedang diperhalusi untuk
memberi manfaat kepada Veteran ATM iaitu Inisitif Perumahan, Pengurusan Tabung
Pahlawan, Inisiatif bantuan Kewangan kepada Veteran Tidak Berpencen dan
Inisiatif usaha kerajaan di dalam memastikan kesejahteraan warga ATM setelah
menamatkan perkhidmatan. Di antara nya ialah Skim Bantuan Kebajikan Dan
Pendidikan yang merangkumi:
Skim bantuan sara hidup - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan bulanan
bagi meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM dan tanggungan mereka yang
daif, uzur, hilang upaya dan menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan
mengikut kiraan paras garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan. Kadar bantuan adalah RM300.00 sebulan.
Skim Bantuan Persekolahan- Skim bantuan persekolahan dan Kolej Vokasional
Kebangsaan adalah bertujuan bagi membiayai anak-anak Veteran ATM yang kurang
mampu untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat rendah dan menengah
berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK yang ditetapkan. Kadar bantuan ialah RM500.00 setahun bagi
sekolah rendah dan RM700.00 setahun bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional
Kebangsaan. Permohonan dibuka sepanjang
tahun.
Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik – Bantuan ini bertujuan untuk
membantu meringankan beban kewangan ketika pendaftaran kemasukan ke Universiti
Awam kepada anak-anak Veteran ATM sebagai memberi galakan dan motivasi untuk
meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kadar bantuan bayaran secara secara sekaligus adalah RM1000.00 untuk
pengajian peringkat diploma dan RM1500.00 untuk pengajian peringkat Ijazah
Pertama. Setiap anak hanya layak menerima satu bantuan sahaja samada di
peringkat Diploma atau Ijazah Pertama.
Bantuan Peralatan Pesakit - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan
sekaligus kepada Veteran ATM, isteri dan tanggungan untuk membeli peralatan
bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat , katil, tilam dan sebagainya. Kadar bantuan maksimum adalah RM5000.00
sekaligus. Setiap permohonan hendaklah disertakan laporan/memo daripada doktor
kerajaan bagi menyokong keperluan, sebut harga atau resit asal pembelian bagi
alat berkenaan.
Bantuan Bencana Alam - Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus untuk meringankan
beban dan kesusahan yang dialami oleh Veteran ATM akibat bencana alam seperti
ribut, kebakaran dan sebagainya. Kadar
bantuan maksimum RM5000.00 sekaligus.
Inisiatif 2017
Pada 31 Julai 2017
yang lalu sempena Pelancaran Hari Pahlawan yang diadakan di MINES International
Exhibition and Convention Centre (MIECC) di hadapan lebih daripada 15 ribu
orang Veteran ATM dari pelbagai peringkat,
Mantan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Najib Razak telah mengumumkan 6
insentif untuk manfaat Veteran ATM keseluruhannya.
Dua di antaranya
ialah khusus untuk Veteran tidak berpencen iaitu Skim BBN/BHN yang mana skim ini sedang
dilaksanakan malah pada tahun kedua BHN dilaksana dengan sedikit penambahbaikan
yang melibatkan penambahan peruntukkan. Kedua, Skim Anuiti Veteran (SAVe) diwujudkan bagi menjamin kebajikan
anggota/pegawai dan keluarga bagi mereka yang menamatkan perkhidmatan awal
secara tidak berpencen untuk menerima pendapatan tetap secara bulanan.
Kelayakan bagi penerima skim ini ialah opsyen bagi pegawai yang menamatkan
tauliah tanpa pencen, diiktiraf sebagai Veteran ATM mengikut seksyen 2 Akta
Veteran 2012 serta mempunyai Caruman Ahli (10%) dan Caruman Kerajaan (15%).
Pemilihan
SAVe adalah merupakan opsyen bagi anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang sedang
berkhidmat semasa penguatkuasaan akta ini
dan mandatori bagi anggota yang memasuki perkhidmatan ATM selepas akta
ini dikuatkuasakan. Syarat-syarat lain ialah LLP yang menamatkan tempoh
perkhidmatan penuh masa (12/15/18 tahun) tanpa berpencen, diiktiraf sebagai
Veteran ATM mengikut seksyen 2 Akta Veteran 2012 serta mempunyai Caruman Ahli
(10%) dan Caruman Kerajaan (15%).
Konsep
pelaksanaan SAVe, pegawai/anggota hanya mengeluarkan wang Caruman Ahli (10%)
termasuk dividen dan bonus dan
mengekalkan wang Caruman Kerajaan (15%) di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) apabila
menamatkan perkhidmatan di mana LTAT akan membuat pelaburan terhadap wang
caruman yang dikekalkan dan membayar dividen setiap tahun. Dividen yang
diterima setiap tahun di bahagikan kepada 12 bulan dan dibuat pembayaran secara
bulanan kepada anggota. Dividen tahun terakhir sebelum menamatkan perkhidmatan akan
digunakan sebagai bayaran bagi tahun pertama selepas menamatkan perkhidmatan. Pembayaran bulanan SAVe akan dibuat oleh LTAT
melalui pengkreditan terus ke akaun bank yang akan dibayar seumur hidup dan
wang caruman akan dibayar secara lump sum kepada waris apabila
pegawai/anggota meninggal dunia.
Manakala
insentif-insentif lain yang diumumkan telah
dilaksanakan ialah Penambahbaikan skim Pencen Hilang Upaya Angkatan Tetap
berpencen dan Askar Wataniah yang tiada pencen telah dinilai mengikut peratus
kecederaan sedia ada yang mana melibatkan pelarasan 300 peratus hingga 800
peratus dan akan dibayar dengan nilai minima RM500.00 hingga RM2000.00 kepada
yang terlibat.
-Insentif
untuk Veteran Kurang Upaya (VKU) yang sebelum ini menerima RM500.00 sebulan
kini dinaikkan kepada RM1000.00 sebulan.
Sebelum
itu beberapa insentif telah pun dilaksanakan bermula dengan agenda Perumahan
(pembinaan rumah mampu milik dan Program 1Malaysia Veteran Home Repair),
Kerjaya dan Keusahawanan (Program Recognition Prior Experiential
Learning-RPEL), Bantuan Khas (Insentif Khas Insurgensi, Kesihatan
(Skim Bantuan Perubatan e-mass dan Pembinaan Poliklinik AT) seperti mana
yang telah diwar-warkan sebelum ini.
Dalam senario semasa, jumlah Veteran ATM sentiasa bertambah
dari masa ke semasa yang mana sebilangan besar daripada mereka telah mencapai
usia warga emas yang terdedah kepada penyakit-penyakit kronik yang memerlukan
rawatan berterusan.
Justeru, dalam usaha menjaga kebajikan warga ATM dan veteran,
KEMENTAH telah meletakkan objektif yang sangat jelas dengan merangka dasar
Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan
ATM 2017-2050 yang kini sedang dilaksanakan bagi merealisasikan slogan penjagaan kesihatan ‘from cradle to
grave’ dengan mengurangkan kebergantungan warga veteran kepada hospital-hospital
ATM yang sedia ada.
Bagi memenuhi keperluan itu satu pusat kesihatan berupa sebuah Kompleks Hospital Khas akan
dibina di Kem Gua Permai Jalan Tambun Ipoh Perak di atas tanah milik ATM
berkeluasan 95,000 kaki persegi. Apabila
siap kelak, hospital ini akan berfungsi sebagai Perkampongan Kesihatan Veteran (Veteran
Health Village) berkongsepkan ‘one stop centre’ dengan mewujudkan
sistem penjagaan kesihatan secara holistik, moden, selamat, efisien dan
ekonomik dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan assisted living dan
hospis.
Hospital ini akan menyediakan poliklinik pakar geriatrik
iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti pakar
jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri dan juga akan menyediakan
perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang
kurang upaya.
Selain pembinaan Hospital Veteran, pihak Kementerian
Pertahanan melalui Blueprint Kesihatan juga akan membina 5 buah lagi
Poliklinik ATM iaitu di kluang Johor, Seberang Takir Trengganu, Kuantan Pahang,
Sunagi Petani Kedah dan Kucing Sarawak.
Poliklinik ini bukan sahaja akan menyediakan kemudahan rawatan asas yang
berkualiti malah juga turut dilengkapi dengan kemudahan rawatan pergigian, wad
obsevasi, rawatan hemodialisis, rawatan pakar, pembedahan kecil serta beberapa
lagi perkhidmatan lain.
Cadangan
Menilai
dengan fikiran terbuka, apa yang boleh penulis simpulkan bahawa kerajaan sangat
mengambil berat dan meletakkan keistimewaan kepada Veteran ATM terhadap jasa
dan pengorbanan mereka kepada negara.
Meski pun telah banyak inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah dipenuhi
hasil dari perbincangan dan permintaan pihak persatuan-teran ATM Veteran kepada
kerajaan melalui JHEV namun masih berkumandang suara-suara ketidakpuasan hati segolongan
Veteran ATM terutamanya bagi mereka-mereka yang tidak menerima
insentif-insentif yang berbentuk kewangan yang diperkenalkan secara langsung
mungkin kerana mereka dalam golongan berpendapatan melebihi 4 ribu atau mereka tidak
peka dengan peluang-peluang yang ditawarkan atau gagal memenuhi syarat-syarat
semasa memohon dan lain-lain sebab.
Berdasarkan
tinjauan penulis terhadap Veteran ATM melalui media sosial, ramai yang
memerlukan tanah bagi tapak rumah dan tapak pertanian untuk diusahakan. Namun begitu bila berurusan dengan kerajaan
negeri, kebanyakannya mereka gagal untuk mendapatkannya dengan pelbagai alasan
dari pihak pentadbir tanah kerajaan negeri.
Justeru,
ramai yang mencadangkan supaya pihak JHEV memohon dengan kerajaan untuk membuka tanah-tanah
baharu secara berkelompok di setiap negeri dengan penyeliaan dari pihak
seumpama FELDA, FELCRA atau lain-lain agensi dan menawarkan kepada Veteran ATM
yang memenuhi kriteria yang perlukan dan sanggup menjadi peneroka. Cara ini sekali gus mungkin dapat
menyelesaikan masalah keperluan tapak rumah dan tanah pertanian yang didambakan
oleh mereka dalam skala besar. Penempatan
Veteran tentera terutamanya di kawasan persempadanan negara boleh menjadi
serampang dua mata kepada kerajan bagi memenuhi konsep pertahanan menyeluruh
(HANRUH) dengan pengemblengan tenaga, mata dan telinga Veteran ATM yang
mempunyai pengalaman yang sangat luas di dalam pengawasan sempadan di samping
meningkatkan produktiviti negara dalam bidang pertanian.
Kesimpulan
Segala
rungutan telah didengari dan dilayani sewajarnya oleh pihak kerajaan sesuai
dengan keadaan ekonomi semasa dalam negara walau pun sebahagian besarnya
menunjukkan sikap anti kerajaan dengan menuduh kerajaan dan agensi-agensi
berkaitan tidak mempedulikan nasib mereka.
Bukan senang untuk memenuhi kehendak semua pihak namun usaha berterusan
pihak-pihak terlibat dalam mengintai ruang dan peluang bagi memperbaiki keadaan
adalah sangat diperlukan.
Pemimpin-pemimpin persatuan jangan mudah rasa berpuas hati dengan
kejayaan yang dicapai setakat ini dan
yang lebih penting perlu sentiasa brainstorming untuk mencipta kaedah
yang lebih kreatif yang membawa kepada situasi menang-menang bukan sahaja
tersasar kepada kerajaan semata-mata malah mengajak badan-badan yang berkaitan
seperti LTAT supaya tidak berlepas tangan untuk sama-sama bertanggungjawab
membantu Veteran ATM kerana tegaknya LTAT adalah bermula dengan setiap sen
veteran hari ini. Tanpa tentera siapalah
LTAT.
No comments:
Post a Comment