About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, July 1, 2019

UAV PERTAMA TLDM

Diterbitkan oleh Majalah Perajurit edisi Julai 2019

Oleh:Paklang Hamzah

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima 12 Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) ScanEagle daripada Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022.  Bac pertama sebanyak enam buah ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini.

Menurut sumber Kementerian Pertahanan, selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain turut menerima manfaat yang sama di bawah program Maritime Security Initiative (MSI) bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat di dalam kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.

AS melalui program MSI ini telah menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak melibatkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia.

ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada AS akan dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim.  Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia amat memerlukan keupayaan intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Menurut sumber itu lagi, Kementerian Pertahanan turut membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12).

Pengumuman ini tentunya sangat menggembirakan ATM dan peminat-peminat pertahanan khususnya yang telah menunggu berita baik ini sudah sekian lama.  Tempoh RMKe-12 akan bermula pada 2021 tentunya mempunyai ruang yang cukup bagi ATM mempersiapkan prasarana dan juga modal insan serta keperluan berkaitan bagi menubuhkan skuadron baharu khusus untuk pengoperasian perolehan yang berprestij ini.

ScanEagle

ScanEagle adalah legasi Insitu UAV yang dihasilkan daripada kolaborasi strategik antara Boeng dan Insitu.  Teknologi yang berjaya dihasilkan sebagai Sistem Kawalan Tanpa Penerbangan (UAS) untuk pengawasan autonomi di medan perang di mana pernah digunakan semasa perang Iraq.  ScanEagle membawa kamera elektro-optik atau inframerah resolusi tinggi yang stabil pada sistem turet dengan sistem komunikasi bersepadu yang mempunyai jarak lebih daripada 100km dan mampu bertahan dalam penerbangan lebih daripada 20 jam.  

ScanEagle mempunyai sayap berukuran 3.1 meter, panjang 1.4 meter dan berat 20kg.  Kelajuan boleh mencecah 80 knots namun purata kelajuan penerbangan biasa 48 knots.  Sistem pengembaraan ScanEagle yang serba boleh menyampaikan imej berterusan di darat atau di laut.  ScanEagle terbaharu turut menawarkan avionik yang dinaik taraf, keupayaan muatan yang meningkat dan sistem pendorongan bahan bakar berat yang telah meningkatkan kebolehpercayaan dan mengoptimumkan prestasi dalam operasi.

Pelancar mark 4 dikuasakan oleh penjana diesel onboard dan pemampat udara yang serasi dengan semua pesawat tanpa pemandu Insitu. Sistem penerimaan pula dengan Skyhook yang menggunakan cangkuk pada akhir sayap untuk menangkap tali yang tergantung dari tiang 30 hingga 50 kaki.  Operasi penerimaan dilaksanakan oleh sistem GPS berkualiti tinggi yang dipasang di bahagian atas tiang dan UAV.  

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini