About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, February 1, 2012

BERSATU MENCEGAH JENAYAH

Sumber Majalah perajurit edisi feb 2012
Oleh Hamzah hd



Saban hari Jika kita menghayati berita-berita di media-media perdana, kita dapati gejala jenayah sangat berleluasa. Jenayah jalanan seperti curi ragut, samun tanpa senjatapi, jenayah harta benda seperti kecurian motosikal, pecah rumah dan kecurian kereta dan jenayah berat seperti rompakan bersenjata, bunuh, rogol, dan bermacam-macam lagi bentuk perlakuan yang secara kolektifnya menyumbang kepada traumatik dan memberi kesan yang mendalam terhadap persepsi rakyat tentang keselamatan yang menjejaskan gaya hidup mereka.
Jenayah adalah masalah sosial dalam masyarakat yang juga berpunca dari masyarakat. Justeru masyarakat juga harus dipersalahkan dan harus bertanggungjawab bagi membendung gejala ini. Jenayah menjejaskan reputasi kehidupan semua rakyat, tanpa mengira bangsa, agama, jantina mahupun taraf kehidupan di mana-mana negara sekali pun. Berada di dalam sebuah negara yang aman, rakyat tidak seharusnya dihantui rasa takut dan rasa tidak selamat untuk menjalani kehidupan seharian. Namun jika fenomena jenayah ini berlaku secara berleluasa tanpa dibendung, ianya akan mengundang rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat dan mencetus persepsi negatif terhadap pemerintah, pengamal dan penguatkuasaan undang-undang.
Perasaan takut atau bimbang terhadap perlakuan jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat dan meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mereka-mereka yang pernah mengalaminya malah juga memberi impak yang besar terhadap kemajuan ekonomi penduduk sekali gus melibatkan kerugian besar kepada negara. Tinjauan penilaian suasana pelaburan di Malaysia oleh Bank Dunia mendapati bahawa komuniti perniagaan semakin bimbang tentang jenayah, kecurian dan keadaan huru-hara sekali gus menjejaskan pelaburan dan kemasukan pelancong luar negara.

Dadah memainkan peranan utama yang mana mengikut statistik polis, hampir 50 peratus daripada mereka yang ditahan dalam kes curi ragut adalah merupakan penagih dadah tegar. Kehadiran penagih dadah dalam masyarakat menjadi pemangkin kepada permulaan suatu jenayah samada jenayah jalanan maupun jenayah kecurian harta benda dan melarat kepada pembunuhan. Penagihan dadah dalam masyarakat hari ini sudah menjadi suatu fenomena maka tidak hairan jika saban hari berita penangkapan pengedar-pengedar dadah di pintu-pintu masuk negara malah makmal-makmal pemprosesan dadah sudah banyak beroperasi dalam negara berdasarkan kes-kes yang terbongkar yang menjadikan negara ini sebagai ‘syurga’ perniagaan mereka walaupun mereka terpaksa bergadai nyawa sekali pun.

Masalah lain yang menyumbang kepada jenayah kecurian motosikal adalah terhasil dari anak-anak muda merempit yang menjadi budaya yang semakin parah. Sekali pandang aktiviti-aktiviti merempit ini hanya sekadar mengganggu di jalan raya. Jauh daripada itu sebenarnya kaki-kaki rempit ini kebanyakan dari mereka yang tidak bekerja atau bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa. Untuk menjadikan motosikal mereka berfungsi dengan baik untuk menyempurnakan aktiviti mereka, memerlukan kewangan yang banyak namun apabila berlaku sebaliknya, jalan penyelesaian yang diambil ialah mereka mencuri motosikal orang lain untuk mendapatkan alat ganti bagi membaik pulih motosikal mereka yang rosak.
Untuk menangani jenayah yang berlaku dalam negara umumnya maupun lebih spesifik di dalam persekitaran yang kita duduki adalah suatu perkara yang terlalu subjektif untuk dirangka di atas kertas malah lebih sukar untuk melaksanakan di atas pentas kehidupan yang penuh perlumbaan. Ianya tidak semudah menunding jari kepada mana-mana pihak yang kononnya gagal menangani sesuatu masalah jenayah dengan cepat dan berkesan.
Berdasarkan kajian Global peace index mencatatkan negara Malaysia berada di tangga ke 38 pada tahun 2008, tangga ke 28 bagi tahun 2009, tangga ke 22 bagi tahun 2010 dan meningkat ke tangga 19 daripada 149 buah negara paling selamat di dunia bagi tahun 2011 yang dibuat kajian berkaitan keselamatan. Angka ini sedikit sebanyak boleh dijadikan penanda aras untuk membuktikan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan yang dikoordinasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan tugas dengan baik walaupun masih ada ruang dan peluang untuk terus memperbaiki dan mempertingkatkan keupayaan.
Namun kita masih belum boleh berbangga dengan angka yang dinyatakan selagi ‘rasa tidak selamat’ masih lagi menghantui kehidupan masayarakat dan apa yang berlaku di sekeliling kita masih memerlukan banyak penambahbaikan yang menuntut semua orang yang bergelar rakyat Malaysia memberi komitmen bagi pembentukan suatu suasana persekitaran yang lebih kondusif.
Pelan Transformasi Keselamatan

Bermula dari tahun 2006 kadar jenayah indeks dilaporkan mengalami peningkatan dalam negara sehingga tahun 2008 kadar jenayah indeks kekal stabil. Demi kestabilan dan keharmonian rakyat terbanyak, kerajaan telah memilih dan menetapkan sasaran bagi pengurangan jenayah sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Aspirasi NKRA adalah dengan mensasarkan pengurangan kes-kes jenayah dan mempertingkatkan keselamatan awam di seluruh negara dalam masa beberapa tahun terkehadapan dan ternyata berakhir tahun 2010 kadar jenayah indeks negara menunjukan penurunan 5 peratus seperti yang disasarkan.

Pelan Transformasi Kerajaan dalam bab Keselamatan telah menggariskan beberapa sasaran yang boleh di capai dengan tindakan-tindakan berterusan terutamanya bagi:

• Mencapai pengurangan berterusan dalam jenayah indeks yang dilapor, dengan tumpuan terhadap jenayah jalanan yang dilapor, iaitu, curi ragut, samun tanpa senjatapi dan samun berkawan tanpa senjatapi.

• Mengurangkan jenayah harta benda yakni kecurian motosikal, pecah rumah dan kecurian kereta dengan mengamalkan inisiatif-inisiatif komprehensif bagi pengawasan terhadap jenayah ini. Matlamat pengawasan ini adalah untuk membolehkan polis menangkap penjenayah semasa sedang melakukan jenayah dan akhirnya mematahkan kumpulan atau sindiket yang menggalakkan jenayah-jenayah ini. Pengawasan telah terbukti berjaya di kebanyakan negara, misalnya di United Kindom, di mana sebahagian daripada pasukan polis menggunakan taktik yang serupa untuk mengurangkan kecurian kenderaan bermotor.

• Mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan untuk motosikal, kereta dan rumah. Inisiatif-inisiatif ini berhasrat untuk menggalakkan sifat tanggungjawab bersama di kalangan para pemilik supaya mereka mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi harta benda mereka daripada dicuri. Sebahagian daripada inisiatif-inisiatif yang dicadangkan termasuklah menggalakkan pemasangan kunci khas (U-Lock) bagi motosikal, suatu usaha yang berjaya dilaksanakan di Jepun.

• Menggalakkan premium insuran berkadar untuk memberi ganjaran kepada pemilik-pemilik yang memasang ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, pemberi insuran akan digalak melaraskan premium insuran (dan bakal jumlah yang diinsurankan) menurut ciri-ciri keselamatan yang dipasang. Ini bermakna premium yang lebih rendah bagi sesetengah pemilik, bergantung kepada jenis ciri-ciri keselamatan yang dipasang dalam kereta, motosikal dan rumah mereka.

• Mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan dengan menggalakkan penyertaan orang awam dan tanggungjawab bersama menerusi kesukarelawanan, khususnya di kalangan belia dan berbilang kaum.

• Mendorong kecemerlangan operasi dalam sistem keadilan jenayah untuk membina keyakinan awam serta memperkuatkan kebanggaan profesionalisme ke seluruh sistem.

Suatu pendekatan komprehensif juga telah dilaksanakan melalui Pelan ini iaitu:

▪ Menggalakkan kesedaran awam tentang pencegahan jenayah di kalangan rakyat.

▪ Mempertingkatkan kehadiran polis secara ketara di kawasan-kawasan panas berlakunya jenayah.

▪ Mengekalkan rekod terperinci tentang pesalah supaya mudah mengenalpasti pesalah berulang.

▪ Membimbing hukuman tahanan oleh majistret.

▪ Memperbaiki hubungan kerja antara polis dan pihak pendakwaan.

▪ Mengasingkan jalan masuk ke mahkamah bagi pesalah, mangsa dan saksi.

▪ Menambahbaikkan kesegeraan serta daya pemprosesan kes (misalnya, perbicaraan berkumpulan).

▪ Memperbaiki program pemulihan dalam penjara untuk mengurangkankecenderungan kesalahan berulang.

▪ Mempertingkatkan penyeliaan dan penempatan semula selepas keluar dari
Penjara.

▪ Mewujudkan hubungan kepada peluang pekerjaan.

Pendekatan-pendekatan lain yang agak praktikal juga telah diaplikasikan iaitu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hot spot: Ratusan CCTV sedang ditempatkan di kawasan-kawasan hot spot untuk mencegah penjenayah dan untuk membolehkan polis mengenalpasti pesalah. Kebanyakan daripadanya telah dihubungkan kepada bilik kawalan daerah untuk membolehkan tindakbalas segera diambil oleh pihak pemantau.
Kempen Dan Tindakan Pencegahan Jenayah
Mengurangkan kadar jenayah dalam masyarakat juga seiring dengan rancangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Demi melindungi dan mencipta persekitaran kondusif, perlu ada sasaran di dalam penguatkuasaan bermula dari peringkat kampong atau taman sehinggalah ke peringkat nasional. PDRM tidak berlepas tangan dan telah mengambil segala risiko bagi menentukan semua rakyat menikmati suasana aman dan tenteram walau di ceruk mana sahaja mereka berada.
Dalam usaha merealisasikan Pelan Transformasi Keselamatan, PDRM merupakan entiti tradisional yang bertanggungjawab secara mutlak mengkoordinasikan pencegahan jenayah. Meskipun polis memang mempunyai peranan penting dalam hubungan ini, suatu pendekatan baharu masih diperlukan. Pendekatan baharu ini lebih berasaskan penyertaan masyarakat secara aktif dan bersepadu melibatkan pelbagai agensi dalam sistem keadilan jenayah serta bahagian lain kerajaan pusat, kerajaan tempatan dan juga sektor awam.

Justeru, penggemblengan tenaga bersama agensi-agensi bantuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang telah dipilih dan dilatih khas, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan banyak lagi badan-badan yang terlibat telah diaktifkan dengan melaksanakan program-program operasi bersama.

Strategi Lautan Biru PDRM-ATM dengan melakukan rondaan bersama dalam kawasan-kawasan terpilih telah mula menunjukkan hasil yang positif ke arah pengurangan jenayah indeks ini. Dalam konteks ini tidak bermakna ATM sudah tidak ada kerja yang perlu dibuat setelah Parti Komunis Malaya (PKM) sehinggakan perlu mengambil tugas polis. Juga tidak bermakna seperti andaian banyak pihak yang PDRM sudah hilang arah untuk menangani berseorangan, tetapi strategi ini merupakan dimensi taktikal yang menguntungkan banyak sudut sekali gus dapat mencapai sasaran yang diperlukan terutamanya dari sudut kos operasi yang telah menjimatkan banyak wang negara di samping mengeratkan kerjasama antara kedua-dua pasukan.

Demikian juga penerapan anggota-anggota RELA, JPAM dan pembentukan Kawalan Rukun Tetangga bagi menyatakan komitmen masyarakat kampong atau taman dalam usaha ini dilihat mempunyai impak yang besar kerana jika digabungkan kekuatannya adalah boleh mencecah jutaan orang dan komponen-komponen ini adalah mewakili kawasan bandar, kampong atau taman yang terdedah kepada jenayah yang sedang dibincangkan.

Seperti yang penulis nyatakan di awal artikel ini bahawa bermulanya sesuatu jenayah adalah dari masyarakat yakni ianya terbit dari komposisi penduduk di bandar, kampong atau taman yang mengandungi individu pelbagai karakter . Ironinya, jika salah seorang daripada individu ini dalam setiap keluarga masyarakat yang menyertai komponen pencegah jenayah seperti yang dinyatakan, maka pemerhatian rapat sudah pasti boleh dilakukan samada punca jenayah bermula dari dalam rumah sendiri atau setidak-tidaknya bermula dari rumah jiran-jiran sebelah. Jika komponen ini betul-betul berfungsi seperti yang diharapkan, keberjayaan mungkin boleh dicapai semaksima mungkin.

Apa yang menjadi masalah masyarakat hari ini adalah sikap tidak peduli walau pun melihat ahli-ahli masyarakat melakukan jenayah di depan mata. Sindrom tidak mahu menjaga tepi kain orang yang akhirnya penjenayah semakin berani.

Dengan adanya kempen-kempen pencegahan jenayah yang pihak PDRM laksanakan di seluruh negara dari masa ke semasa dengan melibatkan agensi-agensi lain telah membuahkan hasil positif berdasarkan penurunan peratusan jenayah indeks yang dilaporkan secara konsisten di tahun-tahun kebelakangan ini..

Sebagai satu contoh daerah Kubang Pasu Negeri Kedah dalam tiga tahun (2008-2010) kebelakangan ini telah mencatat penurunan 20 peratus kadar jenayah indeks untuk kes-kes yang dilaporkan. Bagi tahun 2011 Polis Kubang Pasu telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks pada kadar 4.2 peratus dari 5 peratus yang disasarkan. Statistik ini walaupun kelihatan tidak begitu besar namun penurunan itu sendiri membuktikan segala usaha yang dirancang dan dilaksanakan membuahkan hasil.

Yakin dengan stastistik dan program yang telah dijalankan, semua rakyat Malaysia digesa untuk sama-sama berganding bahu dengan agensi-agensi yang terlibat di dalam agenda pembenterasan jenayah di setiap peringkat supaya kualiti hidup dapat dipertingkatkan dan dapat dinikmati dengan sempurna. Apa yang penting kerjasama dan penggemblengan usaha ini perlu dilakukan secara telus supaya rakyat dapat menyaksikan sendiri kejayaan yang mereka dilakukan yang menjadi asas kepada moral dan semangat untuk meneruskan khidmat sukarela ini secara konsisten.

Dalam konteks pencegahan jenayah ini, satu kaedah lain masyarakat cuma perlu menjadi mata dan telinga penguatkuasa sahaja tanpa perlu mengambil tindakan apa-apa bila melihat sesuatu yang mencurigakan, secara diam-diam menyalurkan maklumat yang berkaitan kepada pihak polis. Segala butir-butir peribadi pemberi maklumat adalah rahsia. Sebenarnya kaedah ini sudah lama diamalkan secara meluas dalam komuniti Rakan Cops dan jika masyarakat terbanyak mengambil sikap yang sama, sudah pasti jenayah indeks dalam negara dapat diminimakan kepada suatu suasana ‘rasa tidak selamat’ masyarakat sebelum ini kepada sifar.

Natijah kepada usaha menangani jenayah secara menyeluruh, ia akan dapat memberi impak berupa peningkatan rasa selamat yang dinikmati oleh rakyat. Apa jua indeks jenayah yang pihak Kementerian Dalam Negeri nyatakan di atas kertas, kalau sekiranya rakyat sendiri tidak merasakan diri mereka selamat, maka apa yang ada di atas kertas tidak membawa makna. Rasa selamat ini secara fitrahnya boleh dirasai atau dinilai melalui gerak geri dan suasana kehidupan seharian yang ceria dan harmoni. PERAJURIT.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini