About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, April 2, 2013

TLDM 79 TAHUN- WARGA BERINOVASI MENJANA TRANSFORMASI

Sumber:Majalah Perajurit
Oleh: Hamzah hd


Tahun 2013 pada dasarnya merupakan suatu fitrah transisi masa yang mana perubahan ini merupakan suatu garisan zaman sempadan pemula dan pengakhir bagi menilai sesuatu pencapaian samada baik atau sebaliknya terhadap individu maupun organisasi yang mewakili kelompok-kelompok sesuatu kehidupan di muka bumi secara umumnya berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan sebelumnya.
KD KELANTAN menjadi platform  press launch di LIMA'13 Langkawi

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 27 April akan meletakkan usia organisasi pertahanan maritim ini kepada angka 79 tahun yang mana jika disamakan dengan usia manusia, telah mencapai suatu usia yang  sangat matang.  Namun begitu kematangan sesuatu organisasi  seperti TLDM tidak boleh diukur berdasarkan umur semata-mata tetapi harus dinilai secara holistik melalui pencapaian tahun demi tahun sejak penubuhannya berdasarkan pembangunan infrastruktur seperti pembangunan pangkalan-pangkalan baharu, penambahan aset serta aset-aset strategik malah sesuatu yang sangat penting juga adalah pembangunan sumber manusia serta keberhasilan dalam operasi dan pertahanan negara.

Dengan penambahbaikan dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dalam aspek pengurusan sumber manusia dalam bentuk penambahbaikan ganjaran serta faedah perkhidmatan seperti kenaikan gaji minimum, peningkatan tangga gaji maksimum, kenaikan gaji tahunan, kenaikan elaun perkhidmatan yang lebih tinggi kenaikan pangkat secara time based,  kenaikan band gaji dan lain-lain telah memberi impak serta lonjakan usaha yang menjana kepada suatu transformasi yang lebih positif kepada perkhidmatan.

Pendekatan lain dalam konteks pengurusan sumber manusia yang telah diberi nafas yang juga turut menjana kepada pencapaian positif ialah penambahbaikan skim perkhidmatan dengan peningkatan kelayakan akademik bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan ATM. Kelayakan bagi kemasukan ke skim pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Pertama (dengan kepujian), manakala kemasukan bagi skim LLP pula dinaikkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia. Penambahbaikan skim ini membolehkan warga ATM umumnya menikmati skim gaji yang lebih tinggi serta lebih berwibawa mengadaptasikan teknologi yang semakin sopistikated.

Jika diimbas 79 tahun yang lampau, bermulanya sejarah pertahanan maritim dalam Perairan Malaysia adalah penglibatan beberapa orang warga negara yang menjadikan kerajaan dan aset kolonial sebagai platform perjuangan.  Biar pun ianya tidak boleh dinilai sebagai sesuatu pencapaian TLDM secara khusus kerana penglibatan warga negara pada masa itu tidaklah begitu besar jumlahnya namun,  penglibatan sebilangan kecil mereka itu merupakan suatu pengorbanan yang sangat besar memangkin kepada bermula sejarah tertubuhnya cawangan TLDM itu sendiri.

Kegigihan sekumpulan anak-anak muda Melayu yang tiada kelulusan akademik seperti mana sekarang sebagai syarat kemasukan, telah memilih samudera raya sebagai medan untuk menabur bakti menentang pencerobohan Tentera Jepun terhadap Tanah Melayu bersama-sama tentera Laut penjajah British yang pada ketika itu sedang menjajah Tanah Melayu. Dengan kebolehan dan komitmen yang ditunjukan oleh anak-anak muda peribumi maka sebuah sayap sukarela telah ditubuhkan oleh Tentera Laut Diraja British dan diberi nama The Straits Settelment Naval Volunteer Reserve yang beroperasi di Singapura. Walau bagaimanapun kerana kekangan ekonomi, seksyen sukarelawan Melayu ini dibubarkan pada tahun 1947 dan menubuhkan kembali pada tahun 1949 dengan nama Malayan Naval Force (MNF) untuk menghadapi ancaman Tentera Jepun yang mendarat di Tanah Melayu. Sesuai dengan kebolehan yang telah dipamirkan, Ratu Elizebeth II telah berkenan menganugerahkan Panji-panji Diraja kepada MNF berkuatkuasa dari 1 Jun 1958 yang mana telah digunakan sehingga kini sebagai panji-panji TLDM yang berdaulat.

Pada suatu ketika, pengiraan tarikh penubuhan TLDM diambilkira dari penubuhan MNF tetapi melalui kajian pakar-pakar sejarah dalam era 80an mendapati penglibatan anak Melayu di dalam pertahanan maritim bermula hampir serentak dengan penglibatan anak Melayu dalam Infantri pada tahun 1933. Dengan penemuan ini maka penetapan tarikh penubuhan TLDM adalah pada 27 April 1934. 

Secara rasminya TLDM memikul tanggungjawab untuk menjaga Perairan Persekutuan ialah pada tahun 1958 dengan hanya sebuah Pangkalan Pusat di HMS Malaya dan beberapa buah kapal seperti Landing Craft, Penyapu Ranjau dan beberapa buah kapal Ronda.  Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kekuatan aset mula ditambah secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa.

Sejarah kepimpinan TLDM, jawatan Panglima Tentera Laut (PTL) telah dimulai oleh 2 orang dari Pegawai Tentera Laut Diraja British (RN) dan 2 orang dari Pegawai Tentera Laut Diraja Australia (RAN) sehingga 1967. PTL dari anak watan pertama  telah telah diisi oleh Laksamana Muda (Laksda) K Thanabalasingam. Jawatan ini seterusnya digantikan oleh Laksdya Dato’ Mohd Zain bin Mohd Salleh pada tahun 1977.  Laksamana (Admiral) adalah pangkat tertinggi di dalam hierarki pangkat tentera laut. PTL yang ke 6 iaitu Laksamana Tan Sri Dato' Seri Abu Bakar Bin Abdul Jamal (1998 - 2002) adalah Panglima pertama TLDM yang menyandang pangkat tersebut dan legasi kepimpinan Melayu kini bersilih ganti sehingga sekarang yang merupakan PTL yang ke 11 adalah Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Haji Jaafar yang mengambil alih jawatan tertinggi TLDM ini pada 1 April 2008 hingga sekarang.


To Be A World Class Navy

Untuk menjadikan pencapaian sebagai mercu tanda pada usia ini, banyak proses yang telah berlaku hasil dari perancangan dan imaginasi generasi terdahulu dan direalisasikan oleh generasi-generasi terkemudian.  Kesinambungan ini menggambarkan pertalian erat  pimpinan TLDM terdahulu  dengan pimpinan terkemudian yang saling melengkapi  dan berkesinambungan dalam usaha menggapai  kehendak  misi dan visi TLDM yang realistik dan mampu dicapai.  Apa yang penting untuk mengekalkan piawaian dan profesionalisme the navy people, mind-set mesti berada pada skala positif pada sebilang masa.
KD LEKIU antara aset tempur TLDM yang sangat disegani oleh rakan serantau

TLDM sudah pun berganjak  dari brown water kepada blue water navy. TLDM sudah bertaraf dunia. Meski pun tiada pencapaian yang boleh dinilai dalam konteks peperangan sebenar namun keupayaan dalam menjaga kedaulatan perairan dan menangani peperangan tidak simetri domestik dan antarabangsa sepanjang 79 tahun telah terbukti dan tidak boleh diragui.  Justeru, tidak hairanlah jika kita dengar dan baca laporan dari media cetak, media elektronik malah media baharu turut memperkatakan ungkapan yang sama bagi menggambarkan keupayaan, kemampuan dan kesiagaan yang telah diterjemahkan oleh warga navy people  dalam siri-siri latihan domestik, bilateral, multilateral malah kejayaan-kejayaan dalam operasi sebenar di arena antarabangsa. Sepanjang tahun 2012, TLDM telah terlibat dengan 20 eksesais dalaman, antara perkhidmatan dan antarabangsa. Di samping itu, TLDM juga terlibat dengan 7 operasi 24 jam, termasuk OP FAJAR yang melibatkan dua kapal Auxiliary TLDM.

 Kejayaan juga boleh diukur dengan pencapaian TLDM menggandakan kuasa tempur aset-aset kombatan, aset strategik dan bantuan walaupun belum dikira mencukupi kepada suatu angka pertahanan ampuh namun keupayaan mengekalkan keamanan dan keselamatan persekitaran maritim  yang kondusif kepada pengguna umum sudah dikira sangat baik setakat ini.  Sudah tentu TLDM dengan penuh sabar meminta dan mengharap pihak kerajaan mencukupkan keperluan sebenar TLDM bagi mengurus keselamatan perairan secara konsisten dan kompeten.

Kejayaan TLDM dalam operasi penembakan tiga misil dari tiga platform berlainan iaitu sasaran permukaan oleh misil Exocet MM40 (LEKIU) serta misil Sea Skua (helikopter Super Lynx) dan sasaran udara bagi misil Sea Wolf (LEKIU) berjaya mengenai dan memusnahkan sasaran dan ini merupakan satu pencapaian yang terbaik, membuktikan semua sistem berfungsi dan berintraksi dengan baik. Sistem peralatan merupakan subjek sinonim dalam dunia tentera laut yang mana ianya merupakan asas kepada trilogi man, machine and method.  Kemahiran menembak sasaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar memerlukan bukan sahaja pengetahuan tentang teknologi dan kemampuan persenjataan  balistik tetapi juga mengutamakan keserasian manusia dan mesin yang tinggi seperti radar dan sistem kombat. 

Hakikatnya, keupayaan setiap warga navy people dalam merealisasikan slogan move, float and fight secara efektif di dalam persekitaran ketidaktentuan, ketakutan, kelesuan dan bahaya yang lazim ditempuhi di dalam keadaan perang sudah teruji dan berkesan tanpa memerlukan orang luar berdiri di samping. Pada asasnya pengantaramukaan yang efektif dalam konteks ini akan dapat mencetus sinergi terhadap sub-system yang lain di dalam TLDM.  Justeru, di  dalam proses untuk memperolehi aset, persenjataan dan ekuipmen  moden dan canggih, TLDM telah membuktikan bahawa trilogi man, machine and method sedang diaplikasikan dengan baik selari  dengan analogi sistem abad ke 21 telah dikendalikan oleh anggota bermentaliti abad ke 21.

Dalam menentukan penambahbaikan berterusan, TLDM turut menseimbangkan pembangunan prasarana, infrastruktur dan pembangunan modal insan.  Mawilla- mawilla baharu dan pangkalan-pangkalan strategik dibangunkan bagi menyempitkan keluasan kawasan dengan membahagikan tanggungjawab dalam usaha memberi jangkauan dan tindakan drastik boleh diambil bagi mengekang  dan  menyelesaikan sesuatu potensi  yang boleh mencetus pergolakan jangka panjang. Pembangunan dan penambahbaikan semasa dan terkini ialah projek pembangunan Pangkalan TLDM Lumut yang meliputi pembinaan bangunan Markas Bantuan, pembangunan semula Markas Udara berserta Menara Kawalan Trafik Udara, Projek pembinaan bangunan pentadbiran, bangunan penginapan, kolam renang dan kemudahan-kemudahan lain di KD SRI TAWAU. Nilai penjimatan yang terhasil telah dimanfaat bagi melaksanakan projek-projek seperti pembaikan menyeluruh Wisma Pelayaran, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pembaikan menyeluruh Wisma Laskar dan kolam renang di KD SRI SEMPORNA dan lain-lain.

Merujuk kepada Perutusan Tahun Baharu 2013 Panglima Tentera Laut (PTL), tahun 2012 menyaksikan TLDM telah berjaya mengekalkan tahap pengoperasian dan pelaksanaan misi, serta berjaya menentukan kebajikan dan kesejahteraan warganya terus dijaga. Dengan kenaikan peruntukan sebanyak 2.46% pada tahun 2012, TLDM berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan ke arah mencapai visi To be a World Class Navy.

Tambah beliau, dalam konteks kecemerlangan operasi dan eksesais, TLDM terus mengukuhkan nama di persada antarabangsa dengan kejayaan perlaksanaan OP FAJAR di Teluk Aden. Kedua-dua kapal Auxiliary TLDM iaitu BUNGA MAS 5 dan BUNGA MAS 6 telah berjaya mengiringi sebanyak 100 buah kapal MISC dalam tahun 2012 tanpa berlaku sebarang insiden. Bagi operasi dalam negara pula, TLDM berjaya melaksanakan OP TENAGA 1 dan 2, iaitu operasi mengiringi Baj yang membawa peralatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Langkawi ke Tawau, Sabah. Empat kapal TLDM iaitu KD KEDAH, KD TODAK, KD SERANG dan KD SRI PERLIS telah ditugaskan dan telah berjaya melaksanakan misi ini dengan selamat.

Bagi memperkukuhkan keupayaan dan pengoperasian armada, TLDM telah melaksanakan beberapa  inisiatif iaitu kontrak pemanjangan hayat misil Vertical Launch Sea Wolf (VLSW) telah dibuat bagi kumpulan kedua pada 13 Mei 2012. Keupayaan dan kejayaan misil yang telah dipanjangkan hayat ini telah dibuktikan melalui penembakan oleh KD LEKIU pada 23 Oktober yang lalu.  KD LEKIR telah menjalani proses Ship Life Extension Period (SLEP) dijangka siap pada tahun 2014.  Bagi menentukan jadual siap pasang pulih kapal dipatuhi, TLDM telah mengekalkan prinsip untuk memilih limbungan yang terbukti mampu menyiapkan kapal mengikut tempoh pasang pulih yang dipersetujui.  Prinsip ini sangat penting bagi mengekalkan tahap pengoperasian kapal dan kesiagaan armada TLDM yang tinggi, dan tidak terjejas oleh kelewatan kerja pasang pulih kapal sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Manakala perolehan aset terbaharu ialah dua buah kapal latihan yang dibina oleh Syarikat NGV Tech Sdn Bhd.  Kapal pertama yang namakan GAGAH SAMUDERA ini telah dilancarkan pada 14 Disember 2012 lalu dan dijangka  siap pada pertengahan tahun ini.  Selain itu, perolehan sebuah Ten Man Two Compartment Decompression Chamber telah dibuat pada 28 Jun 2012 dan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 bagi meningkatkan lagi kemampuan Pasukan Selam TLDM dalam usaha membantu operasi Markas Angkatan Kapal Selam.  Perolehan lima buah motosikal berkuasa tinggi Honda ST1300 PAC untuk kegunaan PROTELA Lumut bagi tujuan kawalan trafik dan tugas-tugas mengiring.

Dalam aspek hidrografi, Pusat Hidrografi Negara (PHN) telah menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan hidrografi. Di antara inisiatif tersebut ialah penganjuran Hari Terbuka PHN yang julung kali diadakan sempena Hari Hidrografi Sedunia, serta penganjuran Bengkel Seabed Classification bagi East Asia Hydrographic Commission (EAHC) yang pertama kali diadakan.  TLDM juga telah diberi penarafan empat bintang bagi Accountability Index and Monitoring System (AIMS). Kesemua 20 Pusat Tanggungjawab di bawah Program Pertahanan Maritim telah diberi penarafan empat bintang, dan empat daripadanya telah berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus.

Keperluan Aset Baharu

Dekad mutakhir (2010-2020) adalah satu tempoh yang agak mencabar bagi kerajaan  Malaysia khususnya kerana tempoh ini merupakan pendekatan terakhir negara mempersiapkan segala kemungkinan bagi merealisasikan visi negara untuk mencapai status negara maju.
Hakikat yang mesti diketahui oleh rakyat Malaysia bahawa ancaman keselamatan maritim yang paling utama pada waktu ini ialah pertikaian dan tuntutan kawasan persempadanan iaitu perebutan kawasan di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan serta Kepualauan Ambalat di Laut Sulawesi oleh negara-negara serantau di samping pemantauan berterusan terhadap peperangan tidak simetri di laluan utama perairan negara.

Bagi mengekalkan kestabilan keselamatan sedia ada merupakan cabaran yang harus ditangani dengan bijak dengan mengeratkan hubungan dan menjalin kerjasama erat berasaskan kepercayaan dan persahabatan antara angkatan laut serantau.  Namun begitu sebagai persiapan cegah rintang, cabaran itu mesti juga diperlihatkan secara fizikal tentang kemampuan dan persiapan angkatan laut sendiri. Bererti suasana ini harus diterjemahkan melalui perolehan aset-aset baharu TLDM sebagai penambahan dan juga bagi mengimbangi aset-aset yang sudah usang. 

Perolehan yang dimaksudkan sudah acap kali disebut bakal direalisasikan dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) seperti Multi Purpose Supply Ship (MPSS), Littoral Combat Ship (LCS) malah juga sistem pesawat helikopter anti kapal selam (ASW).  Namun kekangan ekonomi dikatakan menjadi penghalang utama perolehan-perolehan seperti yang dinyatakan.
TLDM dipercayai sedang memuktamadkan pilihan bagi Second Generation Patrol Vessel (SGPV) yang akan dibina menggunakan konsep LCS. Penganalisis pertahanan tempatan menjangka kerajaan akan memilih Kapal Kelas Gowind buatan DCNS iaitu syarikat perkapalan sama yang membina kapal selam pertama negara. 

Peperangan Littoral merupakan peralihan strategi peperangan masakini yang memberi penumpuan taktikal di kawasan pesisir pantai yang mana operasi di daratan turut dibantu oleh elemen-elemen kombat yang berada di lautan atau di persisir melalui pertukaran maklumat dan bantuan tembakan malah juga boleh berlaku sebaliknya. 

Suatu kelebihan dalam dunia pertahanan maritim hari ini kepada angkatan yang mempunyai kapal yang bercirikan halimunan iaitu kombinasi rekaan rekabentuk aerodinamik yang tidak banyak menonjolkan struktur binaan yang bersudut tepat. Sebahagian besar struktur dindingnya diperbuat daripada bahan komposit dari campuran kayu dan gentian kaca kerana bahan ini akan bertindak sebagai radar absorbent material (RAM) supaya tidak menghasilkan pantulan jitu oleh pancaran radar dari permukaan maupun udara. Dengan ini akan memberi kelebihan taktikal yang menjadi elemen penting dalam sesuatu peperangan. Ciri-ciri lain yang agak terkini dari segi rekaannya ialah anjungan yang boleh memandang 360 darjah, menara bersepadu, serombong dan kedudukan persenjataan meriam skunder.

KD Sri Indera Sakti  dan KD Mahawangsa merupakan  dua buah kapal pengangkut serbaguna  dalam Flotila Bantuan armada TLDM yang sudah pun berusia 30 tahun di dalam perkhidmatan.  Skuadron Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai Guna (MPCSS) satu-satunya skuadron pengangkut malah juga sering dilibatkan dalam operasi amfibi dan operasi-operasi penting seperti OPS FAJAR, misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negara. Suasana yang sangat tidak produktif ialah bila mana perkhidmatan kedua-dua kapal ini tidak boleh beroperasi serentak dan hampir keseluruhan masa pengoperasian skuadron ini pada tahap 50 peratus atas sebab-sebab senggaraan menjadikan produktiviti TLDM tercalar. 

Bagi menyokong kekurangan yang begitu ketara berbanding keperluan penugasan yang sangat mendesak, penambahan beberapa buah lagi kapal seumpama ini tidak sepatutnya menjadi retorik dan ekonomi negara sebagai alasan. Bagi merealisasikan keperluan drastik TLDM, membeli kapal terpakai adalah lebih realistik di samping menunggu pembinaan kapal pengangkut pelbagai guna yang sedang dirancang.  Biarpun perencanaan perolehan kapal ini pernah disebut-sebut sejak beberapa tahun lalu namun realitinya  masih tiada keputusan muktamad dari kerajaan tentang perolehan ini.

Perolehan  kapal selam serta pembangunan prasarana bagi menyokong pengoperasian aset strategik ini mendambakan gandingan yang mantap seperti helikopter anti kapal selam (ASW).  Oleh itu keperluan  ASW dalam konteks pemantapan dalam menghadapi kepelbagaian ancaman permukaan dan bawah permukaan menjadi suatu kemestian. 

Motivasi Kecemerlangan

Pengemblengan usaha dan inovasi warga navy people telah berjaya merangsang dan menjana pencapaian cemerlang sepanjang 2012 dan sebelumnya.  TLDM dilihat masih melestarikan tema yang sama seperti tahun lalu bagi mengekalkan momentum dan kesinambungan pencapaian dalam menjana transformasi yang digagaskan untuk tahun-tahun berikutnya.  
Latihan menembak boleh dilakukan di laut
Dengan penambahbaikan dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan telah memberi impak serta lonjakan usaha yang lebih dinamik oleh setiap anggota telah menghasilkan output positif kepada perkhidmatan. Kemandirian anggota wanita dianggap setanding dan sama penting dengan anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan malah mempunyai keberanian dengan penglibatan beberapa pegawai wanita di atas kapal perang.

Untuk tidak menafikan jasa dan pengorbanan veteran TLDM, Daftar Pesara Pegawai dan  LLP  TLDM telah diwujud dan dikemaskinikan yang mana langkah ini adalah bertujuan untuk penyenaraian dalam usaha untuk menyalurkan apa-apa bantuan kebajikan bila mana diperlukan. Cadangan terbaru yang bakal diusahakan ialah pemberian pencen kepada anggota dan pegawai yang menamatkan perkhidmatan15 tahun ke atas.

Natijah kepada penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, statistik tahun 2012 telah mencatatkan hanya 300 orang anggota sahaja di peringkat ATM yang telah menamatkan perkhidmatan secara tidak berpencen termasuk yang diberhentikan atas tindakan tatatertib sekaligus menunjukan bahawa penambahbaikan yang telah dilaksanakan telah menunjukkan satu pencapaian yang sangat luar biasa bagi mengekalkan ketaatsetiaan anggota kepada perkhidmatan ATM sehingga tamat tempoh perkhidmatan 22  tahun.

Rakyat sangat berbangga bila dimaklumkan secara keseluruhannya, bahawa pencapaian the Navy Plan pada tahun 2012 adalah pada tahap yang sangat baik, di mana 5 daripada 6 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, manakala 1 KPI hampir mencapai sasaran 100% yang ditetapkan. Berdasarkan laporan KPI, telah menggambarkan bahawa TLDM bersunguh-sungguh mengaplikasikan apa sahaja keperluan dan penambahbaikan bagi  membina dan membangun sebuah organisasi yang berteraskan kenyakinan, harapan dan amanah rakyat seluruhnya bagi menjaga kedaulatan dan kestabilan perairan negara dari segala anasir.

Apa yang jelas, navy people adalah pemain yang sangat komited dan versatil dalam bidang mereka namun apa yang perlu ialah sokongan dan dorongan berterusan dari segi moral dan kelengkapan perang supaya mereka akan lebih yakin dan digeruni untuk keluar berperang sebagai anak jantan dan moto ‘Sedia Berkorban’ akan menjadi slogan keramat menuju keberhasilan di dalam setiap misi dan visi yang di gagaskan oleh TLDM. PERAJURIT

SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN TLDM KE 79

Monday, April 1, 2013

TLDM DAN MODAL INSAN – SUATU ELABORASI


Sumber : Majalah Perajurit Edisi Apr 2013
Oleh :Hamzah hd

Secara umumnya masyarakat negara bangsa Malaysia sudah cukup kenal dan tahu membezakan perkhidmatan-perkhidamatan yang  bernaung di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja.

Namun begitu penulis yakin bahawa tidak ramai dalam masyarakat  awam khususnya malah juga orang yang berada di luar dari kelumpok tersebut yang tahu pecahan-pecahan kor-kor, ketukangan atau kepakaran-kepakaran yang ada di dalam setiap perkhidmatan dan peranan yang dimainkan oleh warganya di dalam menentukan kefungsian utama dan sekunder setiap perkhidmatan dalam konteks pertahanan negara.

Kesempatan kali ini penulis ingin berkongsi informasi yang lebih terperinci dalam konteks siapa mereka dan apa peranan yang mereka mainkan sehingga TLDM berjaya membentuk sebuah armada yang versatil dan begitu diyakini keunggulan dan kecemerlangannya oleh masyarakat domestik dan serantau.  Tanpa modal insan yang kompeten dan komited di dalam menjalankan amanah yang diberikan tentunya segala perencanaan tidak akan berjalan lancar seperti yang dikehendaki oleh Pengurusan Tertinggi sesuai dengan doktrin yang digarap oleh TLDM.

Sejak TLDM ditubuhkan banyak perkara yang bersangkutan dengan pakaian, insignia, budaya diikut sepenuhnya dari Royal Navy yang banyak mempengaruhi cara hidup tentera laut Malaysia.  Malah bukan TLDM sahaja yang mengadaptasikan budaya kolonial ini tetapi kebanyakan negara-negara Komanwel  masih mengguna pakai sistem penjajah ini di dalam perkhidmatan tentera laut mereka.

Bagi merealisasikan hasrat Pengurusan Tertinggi TLDM untuk melahirkan modal insan yang berketrampilan dan berdaya saing seiring dengan perancangan strategik Sumber Manusia TLDM, satu lagi kerangka kolonial yang diguna pakai sejak sekian lama telah diberi nafas baru iaitu pengstrukturan semula kerjaya baharu dan Kemahiran Pelbagai anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM.

Struktur Cawangan Dan Kepakaran

Secara asasnya TLDM telah menstrukturkan pegawai dan anggotanya kepada tiga kumpulan utama iaitu Cawangan Pelaut/Eksekutif, Cawangan Kejuruteraan dan Cawangan Bekalan Dan Urus Setia.

Di bawah struktur Cawangan Pelaut, sebelum pengstrukturan semula kerjaya baharu LLP mengandungi 13 kepakaran iaitu:
Peperangan Paras Permukaan(PPP)- Bertugas menangkis serangan dari permukaan atau udara sama ada dengan menggunakan senjata kecil atau meriam.

Peperangan Bawah Permukaan (Senjata) (PBS)- Bertugas menangkis serangan dari bawah permukaan sama ada dengan menggunakan senjata-senjata yang melibatkan seperti torpedo atau roket serta mengesan serta menyapu periuk api..

Peperangan Bawah Permukaan(kawalan)(PBK) - Mengawal serangan dari bawah permukaan dengan menggunakan alat-alat elektronik seperti sonar.

Komunikasi (Radio)(KMR) - Mengendalikan sistem perhubungan menggunakan radio.

Komunikasi (Taktikal)(KMT) - Mengendalikan sistem perhubungan secara taktikal dengan pelbagai cara seperti flashing, semaphore di samping membantu Pegawai Memerintah dan Pegawai Navigasi semasa  manuvra.

Radar Plotter(RDP) - Bertugas mengawasi pergerakan kapal atau objek dengan menggunakan alat-alat yang melibatkan kemudahan navigasi serta pengendalian carta.
Regulating Rating(RGR) - Melaksanakan tugas kepolisan serta menguatkuasakan  undang-undang dan tatatertib.

Juragan(JGN) - Mengurus hal ehwal tatatertib Pasukan.

Pasukan Khas Laut PKL) - Satu unit pasukan atur cepat dan bertanggungjawab dalam operasi gerak khas laut.

Penyelam(PLM) - Melakukan kerja-kerja menyelam yang melibatkan bahan letupan di bawah air terutamanya dalam aspek peperangan periuk api.

Hidrografi (HDI) - Melakukan kerja-kerja pengukuran dasar dan pemetaan laut.
Jurulatih Jasmani(JJM) - Bertugas untuk melatih anggota TLDM dalam aspek fizikal, mental dan kemantapan sukan TLDM.

Penjahit( PJT) - Menjahit, menyelenggara awning, layar dan seumpamanya.

Walaubagaimana pun selepas pengstrukturan semula, kepakaran PPP dijenamakan sebagai Peperangan Atas Permukaan(PAP), KMR dan KMT digabungkan menjadi satu kepakaran Komunikasi(KOM), RDP dijenamakan semula sebagai Juruplot Taktikal Peperangan(JTP), RGR dijenamakan semula kepada Provos Tentera Laut (PRL), JGN diserap ke dalam dari kepakaran PRL, PKL dijadikan Kemahiran Pelbagai dan kepakaran PJT dimansuhkan.
Di bawah struktur Cawangan Bekalan dan Urus Setia sebelum pengstrukturan semula kerjaya baharu mengandungi 8 kepakaran iaitu:

Kerani Am(KNA) - Mengurus hal ehwal perkeranian dan persuratan.

Kerani Gaji (KNG) - Mengurus urusan gaji warga TLDM.

Teknisyen Stor Logistik (TNS(L)) - Mengurus dan menyelia bekalan logistik serta alat ganti.

Teknisyen Stor Supply(TNS(S)) - Mengurus dan menyelia bekalan am seperti  pakaian, sajian dan lain-lain.

Pemandu Kenderaan Motor(PKM) - Memandu dan mengurus semua jenis kenderaan tentera.

Bendari(BDI) - Tukang masak.di kapal dan pangkalan.

Pelayan Wisma Pegawai (PWP) - Pengurus Wisma Pegawai di kapal dan pangkalan.
Pancaragam(PGM) - Memberi perkhidmatan muzik pasukan.

Selepas pengstrukturan semula, kepakaran KNA dan KNG digabung dan dijenamakan  sebagai Pentadbiran dan Kewangan(PNK), manakala kepakaran TNS(L)/TNS(S) dan PKM digabung dan dijadikan satu kepakaran iaitu Teknisyen Logistik (TNL).


Di bawah struktur Cawangan Kejuruteraan sebelum pengstrukturan mengandungi 8 kepakaran iaitu:
Teknisyen Marin Kuasa Gerak(TMK) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara bahagian jentera utama kapal.

Teknisyen Letrik Radio(TLR) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara ekuipmen Radio, Radar, Sonar dan lain-lain ekuipmen yang berkaitan.

Teknisyen Letrik Senjata (TLS) (teknisyen skim biasa)- Penyelenggara elektrikal dan persenjataan kapal.

Teknisyen Marin Mekanikal(TMM) (teknisyen skim apprentis)penyelenggara bahagian jentera utama dan hull.

Teknisyen Marin Srimala(TMS) (teknisyen skim apprentis)- Penyelenggara bahagian hull kapal.

Teknisyen Letrik Kontrol (TLK) (teknisyen skim apprentis)- Penyelenggara Radio dan kontrol.

Teknisyen Marin Elektrikal (sistem)TME(S) (Skim Apprentis Diploma Teknologi Marin)- Penyelenggara bahagian sistem kapal.

Teknisyen Marin Elektrikal (persenjataan)TME(P) (Skim Apprentis Diploma Teknologi Marin)- Penyelenggara bahagian power supply dan persenjataan kapal.

Selepas pengstrukturan semula, kepakaran TMS dan TLK dimansuhkan manakala kepakaran TME(S) dan TME(P) digabung dan dijenamakan sebagai Teknisyen Marin Elektrik(TME).

Kemahiran Pelbagai merupakan kemahiran tambahan kepada kemahiran teras yang diwujudkan dalam usaha untuk mempertingkat dan mengembangkan bidang tugas anggota di samping memberi ruang kepada pihak Pengurusan Tertinggi TLDM untuk merancang kerjaya anggota. Sebanyak 20 Kemahiran Pelbagai telah disenaraikan dan penyertaan anggota adalah mengikut kategori kepakaran yang telah diperuntukan.

Pasukan Khas Laut (PKL) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Ship Diver (SD) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Air Quarter Master (AQM) terbuka kepada Cawangan Pelaut dan Kejuruteraan,

Bodyguard terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Teknisyen Udara terbuka kepada Cawangan Kejuruteraan,

Jurulatih (I) terbuka kepada kepakaran yang mempunyai peringkat Jurulatih (I),

Ammunition Technician (AT) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Explosive Ordnance Disposal (EOD) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,


Teknologi Maklumat (IT) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Mine Warfare (MW) terbuka kepada kepakaran PBS dan PBK,

Improvised Explosive Device (IED) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran

Peperangan Elektronik (PEK) terbuka kepada kepakaran Komunikasi

Flight Deck Officer (FDO) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran

Helicopter Approach Controller (HAC) terbuka kepada Cawangan Pelaut (JTP).

Pentadbir Sistem P4 terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Risik terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Bomba terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Integrated Logistics Support (ILS) terbuka kepada Cawangan Bekalan dan Urus Setia,

Perhubungan Awam (PR) terbuka kepada semua cawangan/kepakaran,

Nuclear Biological Chemical Defense Instructor (NBCD)(I) terbuka kepada Cawangan Kejuruteraan,

Mechanical Handling Equipment (MHE) terbuka kepada Cawangan Bekalan dan Urus Setia.
Walaubagaimana pun cuma PASKAL, AT dan EOD sahaja yang telah diberi lencana khusus yang mana pemakaiannya tersemat di baju anggota.

Float Fight And Move

Ships is my home, sea is my playground, war is my game, join the navy see the world… Ungkapan yang digunakan bagi menggamit minat anak-anak muda di luar serta menggambarkan komitmen dan kaitan navy people dengan aset, laut dan  perjuangan. Satu lagi slogan float fight and move juga sering diucapkan bagi menggambarkan semangat juang dan tanggungjawab yang sangat besar yang harus dipikul oleh navy people bagi menentukan aset-aset yang dimiliki oleh TLDM berfungsi untuk merealisasikan misi dan visi TLDM kepada pertahanan maritim negara.

Untuk menjadikan sebuah kapal itu timbul, bergerak dan berperang sebenarnya tidak semudah berslogan.  Float fight and move adalah merupakan kombinasi tugas yang mesti dibuat secara berpasukan melalui sinergi kepakaran yang dimiliki oleh anak-anak kapal yang sememangnya telah diberi pendedahan khusus seawal penglibatan mereka di dalam perkhidmatan.

Untuk timbul (Float) atau bagi menentukan kapal itu terus terapung di atas air, anak-anak kapal dari semua bahagian bersiaga dengan segala kemampuan yang bermula dari kerja-kerja penyelenggaraan rutin (Ship Husbandry) sehingga kepada kawalan rapat  tim Kawalan Kerosakan (damage control) semasa dalam keadaan cuaca buruk atau dalam suasana perang.  Tim kawalan kerosakan semasa kapal menguatkuasakan stesyen-stesyen tertentu seperti Stesyen Bertindak, Bertahan, Petugas Khas Laut dan lain-lain adalah merupakan gabungan anggota-anggota dari Cawangan Kejuruteraan yang biasanya diketuai oleh Bintara NBCD(I) dengan dibantu oleh anggota-anggota dari Cawangan Bekalan dan Urus Setia. Mereka bersiaga menghadapi segala bentuk kemungkinan seumpama kebocoran dan kebakaran yang boleh menenggelamkan kapal akibat daripad perlanggaran dengan sesuatu objek atau disebabkan terkena tembakan dari pelbagai dimensi ancaman.  Dalam konteks Ship Husbandry, setiap departmen telah diberi kawasan tanggung jawab untuk diselenggarakan mengikut keperluan semasa supaya peralatan dan persekitaran tanggungjawab berada dalam keadaan bersih di samping peralatan yang ada dalam keadaan baik, berfungsi dan sedia guna.

Fight atau berlawan/berperang merupakan subjek utama kewujudan tentera laut itu sendiri.  Tanpa ancaman atau keperluan menjaga keamanan, sudah tentu peranan tentera laut mana-mana negara sekali pun menjadi tidak perlu.  Justeru bagi mengoperasikan elemen-elemen peperangan, sinergi teknikal dan taktikal diaplikasikan sebaik mungkin melibatkan kepakaran, PAP, PBS, TLS sebagai pengendali persenjataan bagi menangkis ancaman udara, permukaan dan bawah permukaan.  Kepakaran PBK sebagai penjejak objek bawah permukaan, JTP sebagai penjejak dan pelapur objek-objek udara dan permukaan serta  mengumpul gambar-gambar senario tersebut dan diterjemahkan ke dalam bentuk local operation plot (LOP) atau general operation plot (GOP) untuk dianalisa oleh pemerintah bagi tindakan susulan.  Manakala kepakaran KOM akan mengendalikan perhubungan dengan unsur-unsur kawan yang terlibat dan TLR merupakan pengawas teknikal kepada peralatan komunikasi, radar, sonar serta ekuipmen dan peranti-peranti sokongan berkaitan.

Bagi menentukan bahtera dapat bergerak (move) dengan lancar mengikut kemampuan untuk  ke lokasi-lokasi yang diarahkan, sudah tentu peranan ini terpikul ke atas bahu tim TMK yang memastikan segala aspek kejuruteraan jentera utama berfungsi dengan baik sebagai elemen pendorong. 

Semua penempatan atau stesyen dan penugasan untuk seluruh anak-anak kapal tercatat di Watch And Station Bill.  Semua anggota yang bertukar masuk sebagai komplimen akan diberi penempatan ini sebelum mereka dibenarkan mengikuti pelayaran.  Penempatan atau stesyen yang dimaksudkan ialah seperti Stesyen Bertindak (State 1), Stesyen Bertahan (State 2), Stesyen Petugas Khas Laut, Stesyen Pelayaran, Stesyen Menggeledah,  Stesyen Penerbangan, Stesyen Mendarat, Stesyen Kecemasan dan Stesyen Pelampong,

Bergantung kepada situasi, anak-anak kapal akan diarahkan untuk merapat ke stesyen-stesyen tertentu yang mana di situ terdapat penugasan-penugasan yang sesuai dengan kepakaran dan tahap keilmuan masing-masing berpandukan pangkat atau jawatan.  Kepantasan merapat ke sesuatu stesyen sangat diambil berat terutamanya ketika kapal dalam suasana pergolakan.  Sebagai contoh masa yang perlu diambil untuk merapat ke Stesyen Bertindak adalah mesti kurang dari satu minit.

Tribute Kepada Krew CIC

Combat Information Centre (CIC), atau boleh juga dipanggil Operation Room (Ops Room) adalah merupakan jantung kepada sesebuah kapal perang di mana perintah kawalan akan bermula daripada bilik ini di masa-masa perang. Tim CIC yang diketuai oleh Pegawai Peperangan (PWO) dan dibantu oleh Pegawai-pegawai yang berkepakaran khusus seperti Pegawai Persenjataan, Pegawai Anti Kapal Selam, Pegawai Pertahanan Udara dan juga Pegawai Sokongan Teknikal.

Tim CIC yang juga merupakan tim elit yang mengandungi gabungan keanggotaan LLP yang sebahagian daripada beberapa kepakaran anggota seperti TLR, TLS, PBK dan anggota KOM yang bertindak sebagai ‘mulut dan telinga’ armada.

 Keseluruhan anggota JTP yang lebih gemar digelar sebagai ‘budak RP’ (radar plotter) yang menjadi ‘mata’ kepada armada memainkan peranan yang sangat penting sebagai operator radar, sistem kombat pengendalian carta dan publikasi panduarah. Anggota JTP lebih dominan dalam konteks CIC kerana kompartmen  yang digazetkan TERHAD kepada warga kapal yang bukan dari kalangan Tim CIC adalah merupakan kawasan tanggungjawab yang perlu diberi perhatian rapi dari segi keselamatan dan kebersihan. Selain dari Anjungan, anggota JTP juga boleh melaksanakan duty radar watch semasa pelayaran biasa untuk anti collition bersama Officer Of The Watch (OOW) menerusi CIC.

Wujudnya tentera laut adalah kerana untuk berperang.  Denyut nadi peperangan akan dijana melalui CIC dengan kebijaksanaan dan manipulasi taktikal ‘Panglima Perang’ dan kuncu-kuncunya dengan bantuan peralatan teknikal yang mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik. Semasa latihan/perang, bermula dengan pengumpulan gambaran kontek-kontek permukaan, udara dan bawah permukaan melalui radar-radar dan juga sonar sebagai pengesanan awal atau maklumat dari sumber lain tentang kehadiran pihak musuh.  Pengumpulan maklumat-maklumat awal radar dan sonar ini sangat penting untuk diklasifikasikan samada kontek-kontek yang berada dalam jarak pemantauan radar dan sonar itu adalah unsur-unsur berkecuali seperti kapal dagang, kapal kawan atau kapal musuh. Di sinilah titik permulaan sesuatu pertempuran di laut akan bermula yang mana tiada jaminan untuk menang atau kalah namun yang pasti adalah taktikal, teknikal dan ketahanan warga kapal merupakan sinergi penentu kapal akan kembali ke Pangkalan dengan selamat atau sebaliknya.

Penambahbaikan Berterusan

Sesuatu yang harus diberi pujian kepada Pengurusan Tertinggi TLDM yang dari masa ke semasa telah membuat penilaian semula terhadap pembangunan modal insan dengan mengubah beberapa perkara terutamanya dalam sistem berpakaian, budaya dan tradisi tentera laut yang lebih menjurus kepada kehendak syariat. Jika sesuatu ketika dahulu lasykar dan pegawai berseluar pendek dan lasykarnita bermini skirt, kini semuanya telah berubah kepada yang lebih islamik sejak awal 1980an lagi.

Untuk menjadikan TLDM To be a World Class Navy, aktiviti penambahbaikan dalam aspek pengurusan sumber manusia terus dilaksanakan selaras dengan visi yang telah ditetapkan bagi menentukan kebajikan dan kesejahteraan warganya terus terbela.

Era mutakhir, Pusat Pembangunan Wanita (PPW) telah diwujudkan untuk kemudahan perlaksanaan aktiviti wanita di samping membangunkan Sistem Pengurusan Anggota Wanita bagi kemudahan penyaluran maklumat berkaitan wanita.

Sehubungan dengan perubahan kerangka kerjaya baharu, kelayakan bagi kemasukan ke skim pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Pertama (dengan kepujian) manakala kemasukan bagi skim LLP telah dinaikkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia bagi membolehkan warga TLDM khasnya menikmati kenaikan gaji minimum. Bagi meningkatkan tangga gaji maksimum di mana anggota dari kepakaran non teknikal boleh mencapai  tangga gaji yang lebih tinggi (Band 5) melalui ujian khas dan pemberian insentif-insentif perkhidmatan yang lain. Menghargai sumbangan dan pengorbanan warga TLDM, selain anjakan gaji penghargaan berbentuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan penganugerahan pelbagai pingat persekutuan, negeri dan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini