About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, November 28, 2008

HIASI KEMERDEKAAN DENGAN TOLERANSI PERPADUAN DAN KESIAPSIAGAAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Nov 2008
Oleh: Hamzah hd.

Sambutan hari kebangsaan ke 51 menyaksikan persiapan sambutan yang penuh terancang dengan komitmen semua kaum dari pelbagai peringkat rakyat negara ini bermula dengan acara-acara sambutan di malam ambang merdeka diikuti dengan perarakan kontinjen dari pelbagai perkhidmatan dan pertubuhan berjalan lalu melintasi pentas kenamaan di awal pagi 31 Ogos. Dataran merdeka menyaksikan ribuan rakyat jelata dari pelbagai kaum telah menunggu untuk menyaksikan acara yang penuh warna warni berlangsung seawal pagi dengan rasa muhibah menghayati liku-liku negara mencapai kemerdekaan dan membangun selama 51 tahun dengan semangat toleransi dan perpaduan antara semua kaum dan etnik.

Kemerdekaan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia tidak bermakna jika rakyat hari ini tidak menghormatinya. Mengekalkan kehormatan dan kedaulatan ugama, bangsa dan negara adalah satu amanah kepada semua warga generasi hari ini dan mendatang seperti mana perjuangan yang telah ditunjukkan oleh penentang-penentang penjajahan British pra merdeka. Semangat dan jati diri pahlawan-pahlawan melayu pra merdeka sebenarnya pemangkin kemerdekaan yang disambung oleh pahlawan-pahlawan selepasnya.

Penjajahan fizikal sudah berlalu 51 tahun yang lalu dengan rentetan kekacauan insugensi beberapa tahun selepas itu dengan jelas menggambarkan peranan dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu mengabdi diri mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan ugama bangsa dan negara.

Namun semangat kebangsaan dan perpaduan yang diterap oleh kerajaan kepada warganegara telah pudar malah unsur-unsur perkauman atau semangat kepunyaan bangsa sendiri seakan menerjah kuat untuk mendapat hak samarata oleh warganegara non peribumi. Mereka mula sudah lupa persepakatan yang termaktub di dalam perlembagaan yang telah lama diamalkan yang ternyata menjadikan negara ini aman tenteram dan mampu melonjak kearah pembangunan fizikal yang sangat pesat.



Mutakhir ini, suasana dalam negara menjadi semakin celaru akibat ketidaksefahaman politik yang makin ketara. Segolongan ahli politik yang mengambil kesempatan di atas isu ketidakpuasan kaum telah memanipulasikan keadaan menjadikan tampilnya individu-individu dari kaum-kaum tertentu mempertikaikan perlembagaan negara yang menyentuh kontrak sosial, soal hak dan kewarganegaraan, institusi Raja-raja, ugama, pendidikan dan sebagainya yang mana telah lama termaktub yang menjadi amalan warganegara Malaysia.

Perpaduan Teras Kejayaan

Perpaduan yang membawa maksud hubungan erat secara toleransi yang wujud secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat yang sama secara jujur dan ikhlas. Jika diimbas sepanjang 51 kali ulangtahun kemerdekaan, tema yang yang berteraskan perpaduan telah digunakan sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1974, 1978, 1985 dan 2008.

Rakyat Malaysia yang impikan keamanan merasa cukup bangga bila melihat anak-anak muda dari semua kaum bersama-sama merealisasikan perarakan kemerdekaan tanah air ke 51 tahun ini tanpa prejudis yang mana kalau dapat diterjemahkan di dalam kehidupan seharian sememangnya ia cukup baik dan indah. Inilah semangat yang harus kita didik di dalam masyarakat supaya memahami dan cuba menyakini bahawa jangan disia-siakan nilai-nilai perpaduan yang telah terbina dari terpengaruh dengan provokasi-provokasi dari orang-orang yang berkepentingan peribadi, politik, kaum dan sebagainya.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa pada zaman pra merdeka dan pasca merdeka agak mudah untuk menerapkan elemen perpaduan dan toleransi di dalam masyarakat. Ternyata generasi di zaman itu dapat menghayati perit jerih dan realiti kesusahan berada di bawah penjajahan dan apabila mereka beroleh kemerdekaan, mereka menghargai dan memelihara dan memastikan nikmat ini berkekalan.

Manakala generasi pasca kemerdekaan selepas insugensi sudah kurang penghayatan walaupun boleh bercakap tentang kesusahan nenek moyang mereka tetapi untuk menghayati realiti sebenar erti kesusahan adalah sangat sukar kerana mereka sudah berada di dalam zon selesa yang mana pembangunan dan kemajuan telah melalaikan mereka dari menghargai nilai-nilai toleransi dan perpaduan. Pelbagai cara penerapan telah dilaksanakan sejak dulu lagi sebagai projek jangka panjang. Di antaranya ialah:

- Melalui pengkisahan sejarah Malaysia. Mereka-mereka yang telah tercatat dalam sejarah Malaysia yang menjadi penentang campurtangan British di Tanah Melayu sejak Inggeris mula bertapak seawal tahun 1870an lagi. Di antaranya ialah Dato’ Dol Said (Melaka), Imam Rasu bin Shahrum atau Tok Gajah, Mat Kilau, Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh atau Dato' Bahaman (Pahang), Haji Abdul Rahman Limbong (Trengganu), Haji Hassan bin Panglima Mat Munas atau Tok Janggut (Kelantan), Laksamana Mohamad Amin, Datuk Maharajalela, Ngah Ibrahim (Perak) dan ramai lagi.

Kemudian rentetan daripada itu atas kesedaran Raja-raja Melayu telah mencetus kepada penubuhan Rejimen Askar Melayu dengan pengambilan 25 orang anak melayu yang dilatih di dalam kompeni percubaan pada tahun 1933 kemudian diperbesarkan menjadikan satu Batalion yang merupakan kesinambungan perjuangan orang-orang Melayu dari Pasukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terlibat secara langsung menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua antara tahun 1941-1942 yang telah mengorbankan ramai pegawai dan tentera Melayu termasuk Lt Adnan di Bukit Chandu Singapura.

Darurat Tanah Melayu (1948-1960), merupakan konflik antara Parti Komunis Malaya dengan penjajah British. PKM ialah sebuah pertubuhan yang diasaskan di Tanah Melayu sejak 1930 bertujuan untuk menentang penjajahan British yang waktu itu sedang memerintah Tanah Melayu. Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, PKM telah bekerjasama dengan British untuk memerangi Jepun. PKM mula membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga untuk berperang dengan mereka. Selepas Jepun menyerah kalah, PKM mengambil kesempatan untuk berkuasa melalui gerila-gerila MPAJA dan beberapa pertubuhan dengan melakukan keganasan membunuh saki baki orang-orang Melayu yang pernah bekerja sebagai polis Jepun. Akibatnya orang-orang Melayu bangkit bertindak balas menentang Bintang Tiga. Kegagalan Bintang Tiga untuk merampas Tanah Melayu melalui gerakan militer juga membawa kepada pembubaran MPAJA. Orang-orang Melayu yang bersimpati dan cenderung kepada perjuangan PKM telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1945 dan kemuncak kepada pengistiharan darurat oleh British adalah insiden pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 yang mengandungi 11 negeri di Tanah Melayu (9 negeri Melayu dan penempatan British di Pulau Pinang dan Melaka) yang sebelumnya adalah dikenali sebagai Malayan Union telah dibubarkan kerana desakan pemimpin-pemimpin politik Melayu dan pakatan yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar yang pada masa itu berusaha keras untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan British. Malaya memperolehi kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Kemudian pada 16 September 1963 Malaysia dibentuk dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Tarikh ini juga diingati sebagai Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengistiharan negara Malaysia ini juga menjadi penyebab terhalangnya niat Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya iaitu untuk mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dengan Indonesia yang mula direncanakan sejak 1962. Kemarahan Sukarno tidak terhenti setakat perang mulut sahaja malah turut melibatkan penggunaan ketenteraan dalam kempennya untuk ‘mengganyang’ Malaysia. Rentetan konfrontasi (1962-1966) ini secara tidak langsung turut memberi kematangan kepada perwira dan perajurit tanahair menangani konflik serantau.

Pergolakan kaum yang berlaku di Singapura 1965 menjadi alasan Tunku untuk memisahkan Singapura dari Malaysia. Lee Kuan Yew yang mempunyai autoriti sebagai pemimpin Singapura menjadikan bangsa Melayu terpinggir dan mencetus beberapa kejadian rusuhan kaum antara Melayu dan Cina dan menyebabkan ramai yang cedera dan terbunuh.
Namun penyingkiran Tunku tehadap Singapura daripada Malaysia tidak berjaya memadam api perkauman Cina-Melayu kerana 13 Mei 1969 menyaksikan satu lagi rusuhan kaum menjadi sejarah terburuk dalam sejarah Malaysia dengan jumlah ratusan angka korban dan ribuan angka yang tercedera.

Selepas darurat ditamatkan pada 1960, PKM masih meneruskan gerakan agresif bersenjata di seluruh Semenanjong. Di era insugensi, peranan dan komitmen ATM jelas memberi gambaran peningkatan dan kemampuan warganegara sendiri menangani ancaman. Semua kaum dan etnik telah diberi peranan di dalam pasukan-pasukan keselamatan tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain. Perpaduan kaum di dalam pasukan keselamatan jelas mempamirkan kerukunan dan keharmonian di bawah kedaulatan satu panji-panji dan mereka menterjemahkan dengan memberi perkhidmatan cemerlang di dalam menghadapi ancaman subversif. Oleh kerana itulah pergerakan PKM menjadi lumpuh disebabkan kekangan daripada pasukan keselamatan yang langsung tidak memberi ruang untuk mereka bergerak bebas malah juga proganda mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat Malaysia yang mula memahami kebaikan fahaman demokrasi yang diamalkan. Dengan pembangunan dan penerokaan tanah-tanah baru menjadikan hutan semakin sempit dan pergerakan PKM menjadi semakin sukar dan akhirnya PKM meletak senjata pada tahun 1989.

- Sistem Pendidikan. Pembentukan masyarakat ke arah perpaduan komprehensif melalui sistem pendidikan yang merupakan wahana untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang menjadi satu cabaran pemimpin negara sejak pra merdeka lagi. Sesuai dengan Penyata Razak (1955) yang memperkenalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan menjadi asas pendidikan di Malaysia bagi memenuhi kehendak negara untuk meningkatkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik sebagai suatu bangsa dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Rahman (1964) pula menekankan supaya meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pelajaran yang mana mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, pusat latihan guru dan memberi insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Maka lahirlah Sekolah Kebangsaan (SK) yang diharapkan dapat menjadikan tempat bagi generasi muda hidup bermasyarakat dan saling berkerjasama dan menyumbang kepada perpaduan kaum. SK yang merujuk kepada sekolah rendah dan menengah harian yang menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sebagai makanisma aliran perdana memupuk perpaduan rakyat Malaysia.

Apa yang menghairankan ialah setelah berpuluh tahuh sistem ini diamalkan, masih ada lagi generasi muda bukan Melayu yang tidak buta huruf tidak boleh berbual dengan menggunakan Bahasa Malaysia dengan baik walaupun mampu meraih keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam peperiksaan.

Maka lahirlah cetusan untuk melaksanakan Konsep sekolah wawasan yang bertujuan untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara bersatu padu dengan memupuk semangat intergrasi dan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang pelbagai bangsa, latar belakang dan fahaman ugama walaupun dari pelbagai aliran sekolah di samping menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.

Sekolah wawasan ini berpegang kepada konsep belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama dengan menggabungkan dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina di dalam satu kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti Padang Permainan, Dewan Serbaguna, Pusat Sumber, Makmal Komputer, Kantin dan lain-lain.

Namun, pelaksanaan konsep sekolah wawasan ini telah menggamit reaksi dari pelbagai pihak terutamanya reaksi negatif daripada individu juga pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan kaum malah juga dari parti politik pembangkang.

Selagi mana sekolah-sekolah aliran dari satu komposisi kaum ini ada dan masih menebal dalam struktur masyarakat, selagi itulah kita tidak akan mencapai nilai-nilai perpaduan nasional seperti yang kita kehendaki. Semuga satu hari nanti kita hanya ada satu sahaja aliran persekolahan di mana subjek berasaskan kaum merupakan mata pelajaran tambahan khusus untuk kaum-kaum tertentu yang cukup bilangannya dan boleh berkompromi dengan aktiviti budaya kaum masing-masing sebagai subjek ko-kurikulum.

- Dasar Ekonomi Baru. Era moden menyaksikan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat untuk mencapai perpaduan dan intergrasi nasional yang digubal untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan semua rakyat tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat Malaysia dengan menseimbangkan sosio ekonomi semua kaum yang digarap untuk tempoh 20 tahun iaitu dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Daripada cakap-cakap, mengatakan DEB ini belum mampu untuk menseimbangkan dalam konteks sosio ekonomi terutamanya kaum Melayu yang kelihatan masih belum berupaya untuk mengadaptasikan peluang yang telah disediakan oleh kerajaan untuk bersaing dalam pasaran bebas.

Akhirnya Dasar Pembangunan Negara (DPN) diperkenalkan yang merupakan kesinambungan kepada DEB yang juga memfokuskan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bertujuan untuk memperkukuhkan kestabilan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik melalui pembangunan bandar dan luar bandar. Mensasarkan menjadi negara maju menjelang 2020 dan mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil dan kecemerlangan ekonomi.

Kegagalan kaum Melayu untuk merebut peluang ini dilihat adalah berpunca dari sikap orang Melayu itu sendiri yang mengharap ‘tongkat’ dari kerajaan dan sering meng‘alibaba’kan projek-projek yang diamanahkan. Korperat-korperat Melayu yang berjaya hasil projek-projek kerajaan juga dikatakan tidak menoleh ke bawah untuk sama-sama membantu kaum yang lemah di dalam perniagaan. Malah kaum Cina dilihat berjaya menguasai ekonomi negara sepenuhnya hasil dari pembangunan pesat dalam negara.

Dalam usaha kerajaan untuk memberi kekuatan kepada kaum Melayu bersaing sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dalam semua bidang telah membibitkan perasaan cemburu kaum-kaum lain yang telah mensifatkan tindakan kerajaan adalah tidak adil atau berat sebelah dan berbau perkauman. Apa yang mereka maukan adalah kesamarataan hak dan keistimewaan kepada semua kaum.

Takrif orang Melayu yang dilindungi oleh perlembagaan ialah bangsa yang lahir dan bermastautin di Persekutuan Tanah Melayu/Singapura sejak sebelum merdeka yang mana mengamalkan adat resam orang Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu dan berugama Islam. Ianya bukan bermakna menjadi tuan kepada bangsa-bangsa lain di Malaysia. Mereka diberi keistimewaan adalah kerana menghargai pengorbanan mentamadunkan negara sejak pra sejarah lagi di samping menyangkal segala usaha mengrepublikkan negara ini oleh bangsa-bangsa penjajah dan pendatang selepas ketamadunan melayu bermula.

Keistimewaan masih lagi dipanjangkan lagi sehingga kini kerana dilihat bahawa orang Melayu masih ketinggalan untuk bersaing dengan kaum-kaum lain yang datang bermastautin di era pasca sejarah Malaysia. Sebenarnya rakyat bukan bumiputra juga turut mendapat keistimewaan tetapi dalam bentuk lain malah lebih menonjol mendapat impak hasil pembangunan negara melebihi apa yang kaum bumiputra perolehi. Inilah yang dikatakan keadilan dan kesaksamaan yang telah diurus secara bijak yang mana bangsa yang kurang berupaya diberi perlindungan supaya mereka tidak terpinggir.

Sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan dan berpaksikan Islam sebagai ugama rasmi, wakil-wakil rakyat dan menteri yang dilantik semuanya sudah mewakili kaum masing-masing yang mana bertanggungjawab untuk melihat keperluan kaum berdasarkan budaya, ugama dan sebagainya. Jika dikatakan ada mana-mana kaum di Malaysia ini tidak mendapat hak yang sepatutnya, kegagalan itu harus dipulangkan kepada wakil-wakil kaum yang dilantik kerana kesyumulan Islam itu sendiri tidak membenarkan diskriminasi berlaku.


- Kerjaya dalam sektor awam. Penglibatan semua kaum di dalam sektor awam seperti guru, polis, tentera dan sebagainya dilihat telah berjaya menyatupadukan pemikiran dan perbuatan ke arah silaturrahim yang baik di antara kaum di Malaysia. Bekerja dan bersosial dengan baik tanpa prejudis dan toleransi yang ditunjukkan terhadap amalan budaya bangsa dan agama telah menjadikan kelompok-kelompok ini bersatu padu melaksanakan misi dan visi yang digariskan oleh organisasi maupun kerajaan berfungsi dengan baik. Individu-individu yang berkelayakan dari kaum minoriti langsung tidak dipencilkan untuk menerajui organisasi yang mengandungi ramai kaum majoriti. Di dalam organisasi pertahanan dan keselamatan pula jika dilihat, kaum-kaum lain juga diberi peluang mengetuai sesuatu jabatan yang bertaraf strategik dan menyandang pangkat yang tinggi tanpa rasa curiga kerana taraf kewarganegaraan mereka cukup menyakinkan bahawa kesetiaan mereka kepada tanahairnya.

Ini menggambarkan bahawa Malaysia mengamalkan dasar terbuka untuk semua kaum tanpa memencilkan kebolehan kaum-kaum minoriti. Jika di buat perbandingan dengan negara-negara jiran yang berkerajaan dari bukan bangsa Melayu Islam yang mana bangsa Melayu tidak diberi peluang untuk mengetuai jabatan strategik pertahanan kerana kononnya khuatir bangsa Melayu akan berpaling tadah. Ini tidak berlaku di Malaysia malah berbagai usaha dijalankan supaya anak-anak muda bangsa-bangsa lain menyertai sektor pertahanan dan keselamatan tetapi sampai sekarang sambutan tidak begitu menggalakan.

- Politik. Penyuburan semangat toleransi dan perpaduan antara kaum di dalam bidang politik juga tidak boleh dinafikan. Kerjasama UMNO, MCA dan MIC dan lain-lain parti politik berasaskan kaum di negara ini telah menterjemahkan persefahaman yang baik kepada perpaduan kerana peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin mereka untuk kesejahteraan kaum masing-masing berfungsi dengan baik. Jika ada isu atau ketidakpuasan hati ditangani secara bijak melalui permaufakatan.

Namun perkembangan politik mutakhir ini semakin panas dan dalam banyak keadaan, perpaduan seringkali digugat oleh pemimpin dan ahli-ahli politik. Perpecahan bukan hanya terjadi di antara kaum malah tsunami perpecahan terlebih dahulu berlaku sesama kaum yang mana mengamalkan ideologi politik yang berbeza. Pemimpin atau pengamal-pengamal politik peringkat rendah sewenang-wenangnya melakukan diskriminasi dengan menafikan bantuan kepada kumpulan sasar yang tidak menyebelahi mereka. Malah ketaksuban mereka-mereka ini juga menjadi pencetus kepada penafian akidah bangsa seagama mereka yang berlaianan ideologi politik. Mereka sanggup menggadaikan kestabilan dan ketenteraman negara semata-semata untuk menegakkan ideologi politik dan kepentingan individu dan kelompok masing-masing.

Di dalam dewan rakyat dan parlimen menyaksikan pertelingkahan terbuka di antara wakil-wakil parti yang mana ditonton oleh semua kaum yang diwakili telah membibitkan rasa tidak selesa dan menyemarakkan lagi perpecahan. Apatah lagi pemimpin-pemimpin parti yang mewakili kaum sudah berani mempertikai secara terbuka soal perlembagaan dan kontrak sosial yang telah lama disepakati sejak 51 tahun dahulu. Mereka memanipulasikan isu ini semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Suasana ini jika tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana, maka perpaduan yang kita kecapi selama ini akan hancur dan kemungkinan sengketa kaum tidak dapat dibendung dan akan berulang dengan keadaan yang lebih buruk daripada yang pernah berlaku dahulu kerana jentera pentadbiran negara hari in dibina dengan kerangka yang diisi oleh semua kaum. Jika pertelingkahan kaum berlaku, sudah pasti kerangka yang dibina akan turut hancur kerana tiada siapa boleh menjamin bahawa perpaduan dan toleransi kaum dalam agensi kerajaan sendiri akan boleh bertahan. Akan menjadi lebih buruk lagi jika kerangka yang berasaskan semua kaum yang telah dibina untuk keselamatan dan pertahanan turut bergolak yang pasti menerima kesan yang lebih buruk yang akhirnya mengundang campurtangan luar.

Kembali Bermuhasabah Demi Kesejahteraan

Sempena sambutan hari ulangtahun kemerdekaan ini, sebagai rakyat Malaysia yang sedang menghirup udara keamanan dan kesejahteraan hari ini harus sama-sama menghayati pengertian dan pengajaran yang tersirat di dalamnya. Pegajaran yang mencakupi segenap aspek kehidupan mereka yang berjuang dan terkorban untuk kesejahteraan ummah yang bernaung di bawah satu panji yang bergelar Jalur Gemilang. Mereka yang terdiri dari warga ATM, PDRM dan Agensi Keselamatan yang lain yang telah sama-sama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan.

Kehidupan kita hari ini adalah memuaskan, kita masih rasa selamat untuk bekerja, gembira di sisi keluarga, selesa untuk berada dan nyenyak tidur tetapi sedarkah kita bahawa untuk mendapat suasana seperti itu sebahagian daripada kita bersekang mata melupakan sementara keseronokan hidup. Jangan kita lupa, kedamaian yang kita raih hari ini tidak datang sekelip mata tetapi disumbang oleh titik peluh dan titisan darah pejuang-pejuang yang meletakan asas kejayaan negara hari ini.

Umat hari ini tidak mampu bersenang lenang tanpa pengorbanan orang yang terdahulu dan wajar mengambil iktibar dan teladan di atas semangat juang pemimpin dan pejuang-pejuang terdahulu dalam mencapai aspirasi negara. Pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga, masa yang diambil cukup panjang dengan keringat dan tenaga yang dikeluarkan cukup banyak.

Sesungguhnya kesedaran dan tanggungjawab membela agama, bangsa dan negara daripada penjajahan fizikal adalah bukan sahaja tanggungjawab orang yang memakai pakaian seragam bahkan lebih utama ialah setiap individu itu tahu peranan yang harus dimainkan untuk menjadikan negara aman dan makmur di samping memperoleh keredhaan dan keampunannya.

Biarpun penjajahan fizikal sudah berlalu 51 tahun yang lalu yang pasti penjajahan minda dan budaya yang berasas hawa nafsu kian parah menular menggugat jati diri anak-anak bangsa generasi terkini. Ancaman halus globalisasi ini perlu ditangani dengan meningkatkan usaha memperlengkapkan kekuatan dalaman supaya tidak mudah dijajah oleh budaya rakus dengan tindakan-tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti diri dan kestabilan negara seperti pecah amanah, khianat, tidak jujur rasuah dan sebagainya.

Sekarang ini kita tidak perlu mengulang sejarah dari awal. Tanggungjawab dan tugas kita kini ialah menerus dan memelihara dan mematuhi perinsip rukun negara, memastikan semangat perpaduan dan tolerasi antara kaum terus utuh tanpa prejudis dan terbelenggu oleh rasa irihati dengan kejayaan bangsa lain yang masing-masing berusaha untuk kecermerlangan.

Rakyat dituntut supaya bersiap sedia sepanjang masa kerana kedatangan musuh sangat sukar untuk diramal. Peperangan dan sengketa kaum di negara lain sepatutnya menyedarkan kita betapa kemerdekaan yang diperjuang, keamanan yang dinikmati perlu dihiasi dengan perpaduan dan toleransi kerana cabaran sebenar yang perlu difokuskan ialah mempertahankan negara dari ancaman luar walau dengan nyawa sekalipun. Jika jalan ini harus dipilih, biarlah ianya adalah pilihan terakhir kerana peperangan itu sendiri adalah merupakan perosak keharmonian rakyat. Walaubagaimanapun bukan bermakna maruah bangsa boleh diinjak-injak sesuka hati. Maka disinilah natijahnya persiapan dan pemodenan pasukan keselamatan dibina dan dibangunkan bertahun-tahun dengan persiapan teknologi pertahanan, kemahiran dan kebolehan sesuatu ketumbukan.

Walau di mana kita berada, sambutan kemerdekaan ini dapat dikongsi dengan semangat yang sama tanpa membezakan ugama, kaum, ideologi politik. Apa yang perlu difikirkan ialah negara yang kita raikan ulangtahunnya dan akan kembali berulang di tahun-tahun yang akan datang, aman tenteram seperti yang kita nikmati sekarang. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung berikrar bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya. Memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran dinikmati bersama secara adil dan saksama. Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak dan membina satu masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden. Perajurit

Tuesday, November 25, 2008

Pembinaan kumpulan ke-2 kapal ronda TLDM diteruskan

Sumber: Utusan Online

LUMUT 24 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembinaan kumpulan kedua projek kapal ronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan selepas enam kapal ronda dalam kumpulan pertama diserahkan kepada kerajaan pada awal tahun 2010.

Menurut Perdana Menteri, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan keupayaan tempur TLDM dan kerajaan komited untuk melaksanakannya.

''Projek kapal ronda ini bukan sahaja untuk meronda dan menjaga kedaulatan perairan negara, malahan bagi penugasan khas di perairan strategik di serata dunia.



Sultan Ismail Petra bersama
Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan

Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kiri)
melihat model kapal 'Kelantan'
di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam.

''TLDM perlu memperkasakan angkatannya dengan perolehan lebih banyak kapal tempur bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan termasuk ekoran ancaman keselamatan di laluan perdagangan antarabangsa," katanya pada majlis penamaan kapal ronda PV5 TLDM dengan nama 'Kelantan' di Boustead Naval Shipyard, di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Pelancaran kapal Kelantan itu dilakukan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid yang turut disaksikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Kapal sepanjang 91.10 meter dan seberat 1,850 tan itu boleh membawa 68 anak kapal.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara.

Abdullah berkata, 'Kelantan' mempunyai keistimewaan kerana ia dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.
Katanya, kejayaan membina kapal perang canggih itu melambangkan kejayaan dan kemampuan anak tempatan serta menjadikan impian Malaysia membina kapal perang tercanggih menjadi kenyataan.

Katanya, kerajaan juga berharap syarikat tempatan dapat meningkatkan taraf dan memperluaskan bidang pasaran mereka ke luar negara melalui kerjasama strategik pintar dengan syarikat antarabangsa.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kapal peronda ke-6 milik TLDM akan dilancarkan pada Mac tahun depan.
Beliau berkata, Kapal Kelantan yang dilancarkan hari ini dijangka dapat beroperasi pada tahun depan.

Monday, November 24, 2008

Persediaan negara hadapi perang zaman moden

Sumber: Utusan online
Oleh Raja Syahrir Abu Bakar


DI dalam dunia yang bersifat global tanpa sempadan kini, maklumat-maklumat penting keselamatan kini semakin terdedah kepada musuh jika tiada tindakan bijak diambil.

Jika dahulu kebanyakan maklumat tersebut hanya dicari, 'dibeli' dan 'dicuri' daripada individu-individu tertentu, kini ia boleh diakses hanya dengan menggunakan hujung jari iaitu menerusi Internet.

Jadi mampukah rahsia kerajaan khususnya berkaitan keselamatan dilindungi daripada musuh-musuh dari dalam dan luar negara pada zaman moden ini? Jika ya, sejauh manakah tahap ia dikatakan selamat?

Persoalan-persoalan ini menuntut agensi-agensi perisikan negara memantapkan pasukan masing-masing bukan hanya daripada segi kesiapsiagaan modal insan, malah dengan perolehan peralatan terkini bidang tersebut.
MOHD. Salleh Ismail bertanyakan sesuatu
kepada anggota KRD yang menyertai
kempen derma darah sempena Perbarisan
Hari Ulang Tahun Ke-39 KRD,awal bulan ini.

Gajet-gajet canggih yang dimiliki sesebuah pasukan risik mampu melindungi maklumat penting pertahanan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh.

Lebih penting, ia mampu menembusi sistem data musuh atau ancaman tertentu yang semakin hari semakin sukar dijangka bentuk dan impaknya.

Menurut Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail, yang kini sedang bercuti bersara, Malaysia memerlukan lebih banyak aset canggih dalam menghadapi hari mendatang.

"Dengan adanya aset canggih seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan satelit pencerapan bumi atau remote sensing, maklumat boleh dikumpul dengan lebih tepat.

"Ini seterusnya membolehkan anggota-anggota risik mengkoordinasi maklumat yang diperolehi, seterusnya menjayakan sesebuah misi,'' katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun Kor Risik Diraja (KRD) Ke-39 di Kem Sungai Buloh, Selangor pada 7 November lalu. Hadir sama, Asisten Ketua Staf Perisikan, Brigedier Jeneral Datuk Dahari Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin.

Benar, ancaman-ancaman yang dihadapi negara-negara bangsa di dunia kini lebih bersifat tidak konvensional seperti kegiatan pengganas, lanun dan masalah-masalah alam sekitar yang semakin meruncing.

Ancaman lain yang turut semakin ketara dewasa ini pula antaranya ialah peperangan elektronik (electronic warfare) dan keselamatan siber (cyber security).
Justeru, perolehan peralatan canggih yang disebutkan Mohd. Salleh tadi terbukti berupaya melindungi keselamatan negara-negara pemiliknya dengan penyaluran maklumat yang menyeluruh dan tepat.

"Koordinasi yang berkesan di antara agensi-agensi perisikan negara pula membolehkan maklumat-maklumat yang didapati digembleng agar gambaran keseluruhan sesuatu perkara atau ancaman itu dapat ditafsir dengan baik,'' tambah Mohd. Salleh yang juga bekas Pengerusi KRD.

Sebagai Pengerusi KRD dan ketua pasukan risik ATM atau nama rasminya Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), tugas yang pernah dipertanggungjawabkan ke atasnya termasuklah memastikan data-data yang diperolehi dianalisis dengan tepat.

Tugas ini memerlukan petugas-petugas BSPP dan KRD mempunyai tahap pemikiran yang amat kritikal agar maklumat-maklumat tadi tidak tersalah tafsir bagi mengelakkan padah.

Oleh itu beliau menegaskan, kecekapan akal para pegawai dan anggota BSPP dan KRD adalah amat mustahak berbanding kecanggihan teknologi namun kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.

Sepanjang pertemuan dengan pemberita pada pagi Sabtu tersebut, Mohd. Salleh terus bercerita tentang peri pentingnya sistem perisikan yang mantap.

"Saya tidak mampu lagi menerangkan tentang betapa pentingnya sistem perisikan yang baik serta kepayahan melaksanakannya.

"Kalau anda mengikuti berita semalam, selepas sahaja Barack Obama diundi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), taklimat pertama yang disampaikan kepadanya adalah taklimat perisikan,'' katanya bersungguh-sungguh dan penuh makna.

Seperti yang diketahui umum, AS merupakan antara, kalau tidak negara paling berkuasa di dunia dalam hal perisikan keselamatan.

Remote sensing, GIS, pesawat radar amaran awal (AEW&C) dan lain-lain aset perisikan telah menjadi permainan negara kuasa besar itu sejak sekian lama, antara faktor yang menjadikan ia 'superpower' tunggal dalam era moden ini.

Berbalik kepada teater domestik, ATM sehingga kini masih menunggu perolehan pesawat AEW&C untuk berkhidmat di dalam inventorinya.
Dalam acara 'Sehari Bersama Media Sempena Ulang Tahun Ke-75 ATM' di Banting Sabtu lalu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal ada menyebut tentang keperluan pesawat AEW&C dalam memastikan keselamatan kawasan perairan negara.

Khabarnya, ATM memerlukan lapan buah pesawat jenis itu yang berupaya mengesan pesawat musuh dari jarak beratus-ratus kilometer, serta mampu 'mengunci' sasaran berkenaan bagi membantu juruterbang tempur memusnahkan ancaman tersebut.

Abdul Aziz menambah, walaupun peruntukan perolehan itu diminta untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan masih lagi mempertimbangkannya.
"Justeru ATM akan terus berusaha mendapatkan peruntukan (AEW&C) dalam RMK-10 atau RMK-11,'' katanya.

Bagi warga ATM, penggemar dan pemerhati landskap pertahanan dalam negara, sudah pasti mereka tertanya-tanya 'bilakah negara bakal memiliki pesawat AEW&C?'

Kembali kepada risik ATM dan Mohd. Salleh, beliau kini sedang bercuti bersara dan tugasnya sebagai Ketua Pengarah BSPP kini dipangku oleh Abdul Hadi.

Kecekapan 10 Briged Para, PUTD dan TUDM teruji

Sumber: Utusan online

MENYEDARI tanggungjawab besar Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) 10 Briged Para sebagai barisan awal menjaga keamanan negara, satu latihan ketenteraan telah dijalankan dari 14 hingga 21 November lalu.

Eksesais Gerak Pantas Siri 17 2008 itu dijalankan di Kota Setia, Seberang Perak berhampiran kawasan sawah padi yang terbentang luas.
Misi utama mereka ialah menawan semula Jambatan Dato Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff yang telah dirampas oleh pihak musuh.

Pengarah Eksesais, Kolonel Hasagaya Abdullah ketika ditemui berkata, pasukannya itu yang mahir dalam menggunakan payung terjun tidak boleh gagal dalam misi berkenaan.
Beliau yang juga Pemangku Panglima 10 Briged Para berkata, ini kerana sebarang kegagalan akan menjejaskan pelan peperangan pihak atasan secara keseluruhan.
Justeru, katanya, latihan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh semua pihak yang berkaitan.

Kata beliau, dalam operasi seperti itu, pihaknya akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bagi memastikan anggota dan segala peralatan peperangan dapat sampai ke medan tempur dengan cepat dan selamat.

‘‘Dalam latihan ini, kami bukan saja mengerahkan 480 anggota PAC terjun dari paras ketinggian 1,000 kaki ke zon pengguguran yang telah dikenal pasti selamat.
‘‘Kami juga menurunkan kenderaan- kenderaan dan alat peperangan bagi memerangi musuh daripada pesawat yang terbang pada paras ketinggian kira-kira 720 kaki,” katanya.

Menurut Hasagaya, secara keseluruhan, eksesais itu mencapai objektif apabila kekuatan tentera yang dikerah berjaya menawan semula kedua-dua buah jambatan terbabit.

Kata beliau, ia jelas membuktikan bahawa PAC 10 Briged Para mampu menjalankan tugas mempertahankan negara dengan pantas dan berkesan.

Jelasnya, berdasarkan latihan tersebut, pihaknya dapat menguji kecekapan anggota dan segala aspek yang diperlukan dalam sesuatu peperangan.

‘‘Dari segi komunikasi, kami berjaya mendaratkan ratusan tentera dan puluhan peralatan bersama kenderaan perang dengan begitu kemas.

‘‘Lebih membanggakan, kerjasama erat antara 10 Briged Para dengan TUDM dan PUTD begitu baik dalam menjayakan misi latihan ini.

‘‘Tanpa bantuan dan kerjasama padu daripada mereka, sudah tentu sukar bagi PAC 10 Briged Para menjalankan misi seumpama ini,” katanya.

Kata Hasagaya lagi, pihaknya bersama TUDM merancang menjalankan eksesais lebih besar pada masa akan datang bagi meningkatkan kecekapan pasukan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia juga secara tidak langsung membolehkan pasukannya sentiasa bersiap sedia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keamanan negara.

PAC buktikan kemampuan

Sumber: Utusan online
Oleh : ZAINI RABAN


JAMBATAN Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff di Seberang Perak yang begitu penting kepada penduduk setempat, tiba-tiba ditawan musuh.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan orang ramai yang kebanyakannya terdiri daripada pesawah padi dan pengusaha ladang sawit mula tersepit dan terancam.
Malah, nyawa penduduk juga diancam oleh musuh ekoran kejadian itu.


Menyedari mengenai insiden bahaya tersebut, pihak atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat keputusan untuk merampas kembali dua buah jambatan berkenaan.

Tugas merampas semula jambatan itu daripada tangan musuh amat penting bagi memastikan sistem perhubungan atau komunikasi darat dapat pulih seperti sediakala.

Setiap kali kejadian seumpama itu berlaku, pasukan tentera pertama yang pasti dipanggil menyelamatkan keadaan ialah anggota terlatih Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) daripada 10 Briged Para. Buat permulaan, pasukan tersebut menghantar satu kumpulan elit terdiri daripada 20 anggota dari Kompeni PANDURA bagi menjalankan tugas risikan dan mengenal pasti kedudukan musuh. Bagi mengelak dikesan musuh, anggota Kompeni PANDURA tersebut dibawa menggunakan pesawat CN 235 dan diterjunkan dari paras ketinggian kira-kira 6,000 kaki tepat pada pukul 3 pagi.

Apa yang membanggakan, dalam keadaan kritikal itu, anggota Kompeni PANDURA terbabit begitu cekap dalam menjalankan tugas malah berjaya mendarat dengan selamat dalam keadaan gelap gelita.

Sebaik sahaja mendarat, mereka dengan pantas berpecah kepada dua kumpulan seterusnya melakukan tugas risikan serta penyusupan bagi mengenal pasti kedudukan musuh di kedua-dua jambatan tersebut.

Dalam tempoh singkat, mereka akhirnya mendapati musuh berada 18 kilometer (km) di sebelah utara (Jambatan Datuk Sagor) dan 20km di sebelah selatan (Jambatan Sultan Yusoff) dari DZ Gaya atau tempat mereka mendarat.
Selepas berjaya menjalankan misi tersebut, sebahagian pasukan elit berkenaan memulakan tugas membuat penandaan Zon Guguran bagi dua kelompok tempur 10 Briged Para yang akan diatur gerak melalui Operasi Paracut.

Ia semata-mata bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk dijadikan Zon Pengguguran kepada anggota dan peralatan berat PAC 10 Briged Para.
Tugas itu sangat penting kerana jika terdapat ancaman musuh, pesawat pejuang udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ‘diundang’ terlebih dahulu bagi mematahkan ancaman lawan.

Setelah segalanya berjalan lancar, tepat pukul 9 pagi keesokan harinya, sebanyak 480 anggota PAC 10 Briged Para pula dihantar dengan menggunakan tiga pesawat pengangkut C130.
Dalam keadaan seperti itu, mereka yang dihantar menggunakan pengangkutan udara adalah pasukan tentera paling pantas untuk tiba di medan peperangan berbanding pasukan lain.
Tidak dapat dinafikan, dari paras ketinggian kira-kira 1,000 kaki, mereka berjaya mendarat dengan kemas tanpa sebarang masalah dalam tempoh beberapa minit.
Kelompok tempur 10 Briged Para kemudian berpecah kepada dua pasukan dan menuju ke Jambatan Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff sepantas yang boleh tanpa mengira keadaan cuaca siang dan malam.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka tetap berada di situ kerana perlu ‘menyambut’ ketibaan peralatan dan kenderaan perang yang juga dilepaskan melalui udara.
Bagi memastikan misi itu berjaya, kenderaan dan peralatan yang dibekalkan kepada mereka ialah penarik meriam bersama meriam 105 milimeter (mm) PH serta G. Wagon iaitu kenderaan bersenjata mesingan 12.7 mm.

Pada masa sama, mereka juga membawa bersama kenderaan Supacat 6x6, pembawa mortar dan lapan laras mortar 81mm.

Kesemua peralatan berkenaan amat penting bagi memberi tembakan bantuan dan amat berkesan menewaskan tentera musuh dengan kuasa tembakan yang diberikan.
Sebagai contoh, meriam 105mm boleh melancarkan peluru meriam dari jarak 8 hingga 10km dan ini memudahkan dua kelompok tempur tersebut bergerak ke hadapan membuat serbuan.
Ketibaan jentera dan peralatan berat itu ternyata meyakinkan dua kelompok tempur terbabit yang telah bersiap sedia dan hanya menunggu masa memulakan serangan.
Justeru, tepat pukul 5 pagi keesokan harinya, serangan ke atas musuh dilancarkan secara habis-habisan tanpa sekelumit rasa gentar anggota-anggota terbabit.
Selepas hampir satu jam bertempur, pihak musuh akhirnya ditewaskan dan menyerah kalah kepada pihak tentera.

Maka, secara tidak langsung Jambatan Datuk Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff yang amat penting bagi kehidupan penduduk setempat itu juga berjaya ditawan semula oleh PAC 10 Briged Para.

Misi berjaya!

Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang dapat penulis nukilkan bagi tatapan pembaca setelah mengikuti Eksesais Gerak Pantas Siri 17 2008 bagi PAC 10 Briged Para.
Eksesais yang bermula 14 hingga 21 November di Kota Setia itu dilaksanakan dengan cemerlang di bawah pimpinan Pemangku Panglima 10 Briged Para, Kolonel Hasagaya Abdullah.
Secara keseluruhannya, latihan tersebut cukup mencabar minda dan fizikal hampir 1,000 anggota terlatih.

Melihat kejayaan mengagumkan itu, penulis berani membuat kesimpulan bahawa pasukan PAC 10 Briged Para adalah barisan awal pertahanan negara yang mampu bergerak pantas dan cekap pada bila-bila masa.
Pencapaian cemerlang pasukan tersebut memang amat dituntut oleh ATM kerana sebarang kegagalan hanya akan memberi kesan negatif kepada pelan keseluruhan dalam sesuatu peperangan.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini