About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, November 24, 2008

Kecekapan 10 Briged Para, PUTD dan TUDM teruji

Sumber: Utusan online

MENYEDARI tanggungjawab besar Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) 10 Briged Para sebagai barisan awal menjaga keamanan negara, satu latihan ketenteraan telah dijalankan dari 14 hingga 21 November lalu.

Eksesais Gerak Pantas Siri 17 2008 itu dijalankan di Kota Setia, Seberang Perak berhampiran kawasan sawah padi yang terbentang luas.
Misi utama mereka ialah menawan semula Jambatan Dato Sagor dan Jambatan Sultan Yusoff yang telah dirampas oleh pihak musuh.

Pengarah Eksesais, Kolonel Hasagaya Abdullah ketika ditemui berkata, pasukannya itu yang mahir dalam menggunakan payung terjun tidak boleh gagal dalam misi berkenaan.
Beliau yang juga Pemangku Panglima 10 Briged Para berkata, ini kerana sebarang kegagalan akan menjejaskan pelan peperangan pihak atasan secara keseluruhan.
Justeru, katanya, latihan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh semua pihak yang berkaitan.

Kata beliau, dalam operasi seperti itu, pihaknya akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bagi memastikan anggota dan segala peralatan peperangan dapat sampai ke medan tempur dengan cepat dan selamat.

‘‘Dalam latihan ini, kami bukan saja mengerahkan 480 anggota PAC terjun dari paras ketinggian 1,000 kaki ke zon pengguguran yang telah dikenal pasti selamat.
‘‘Kami juga menurunkan kenderaan- kenderaan dan alat peperangan bagi memerangi musuh daripada pesawat yang terbang pada paras ketinggian kira-kira 720 kaki,” katanya.

Menurut Hasagaya, secara keseluruhan, eksesais itu mencapai objektif apabila kekuatan tentera yang dikerah berjaya menawan semula kedua-dua buah jambatan terbabit.

Kata beliau, ia jelas membuktikan bahawa PAC 10 Briged Para mampu menjalankan tugas mempertahankan negara dengan pantas dan berkesan.

Jelasnya, berdasarkan latihan tersebut, pihaknya dapat menguji kecekapan anggota dan segala aspek yang diperlukan dalam sesuatu peperangan.

‘‘Dari segi komunikasi, kami berjaya mendaratkan ratusan tentera dan puluhan peralatan bersama kenderaan perang dengan begitu kemas.

‘‘Lebih membanggakan, kerjasama erat antara 10 Briged Para dengan TUDM dan PUTD begitu baik dalam menjayakan misi latihan ini.

‘‘Tanpa bantuan dan kerjasama padu daripada mereka, sudah tentu sukar bagi PAC 10 Briged Para menjalankan misi seumpama ini,” katanya.

Kata Hasagaya lagi, pihaknya bersama TUDM merancang menjalankan eksesais lebih besar pada masa akan datang bagi meningkatkan kecekapan pasukan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia juga secara tidak langsung membolehkan pasukannya sentiasa bersiap sedia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keamanan negara.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini