About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, May 31, 2009

Menentang kedurjanaan

sumber: mingguan online

Dalam ruangan ini, minggu lalu Awang mengulas permintaan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan agar kerajaan membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke tanah air.

Tanpa ragu-ragu Awang sebagai suara insan kecil menentang permintaan itu. Jika Chin Peng mahu pulang, beliau mesti memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan dihadapkan ke muka pengadilan atas kekejamannya (sama ada secara langsung atau tidak langsung) sebagaimana yang dihadapi oleh Pol Pot di Kemboja.

Seminggu berlalu, banyak pihak kemudiannya memberikan respons kepada isu tersebut. Bagi pihak yang menyokong Chin Peng dibawa pulang khususnya pembangkang, mereka asyik memainkan sentimen kemanusiaan dan kemaafan.

Pada Awang, ini bukan setakat isu kemanusiaan kerana ia mencakupi pelbagai aspek, yang kesannya cukup besar. Persoalannya apakah alasan kemanusiaan mahu digunakan bagi mewajarkan kepulangan Chin Peng?

Pada Awang, beliau dan pemimpin PKM lain seperti Rashid Maidin mesti dihukum sebagaimana rakyat Malaysia yang lain termasuk pemimpin Al Maunah, Mohd. Amin Mohd. Razali yang dihukum gantung sampai mati. Kalau dibuat perbandingan, dosa dan kesalahan Mohd. Amin tidaklah sedahsyat dan semudarat apa yang dicetuskan oleh pemimpin PKM. Kemungkinan Chin Peng dijatuhi hukuman mati jika dihadapkan ke mahkamah adalah besar maka adalah lebih baik Chin Peng, 85, meneruskan sisa hidupnya di luar negara.

Kezaliman PKM bukan sahaja mengakibatkan puluhan ribu rakyat terkorban, cacat anggota, cedera dan menanggung trauma. Malah negara juga terpaksa membelanjakan berpuluh bilion ringgit sepanjang tempoh darurat 1948-1960 dan 1968-1989, yang wang itu sepatutnya boleh disalurkan untuk faedah rakyat termasuk membasmi kemiskinan.

Ancaman PKM turut menjejaskan ekonomi negara hampir empat dekad. Pernah seorang penganalisis Singapura dalam satu seminar menyatakan kejayaan republik itu selepas kemerdekaan antara lain disebabkan faktor keamanan dan tiadanya ancaman pengganas komunis seperti yang terpaksa dihadapi oleh Malaysia.

Sunday, May 24, 2009

Gerakan, Chin Peng dan kemanusiaan

Sumber: Rencana Utusan online

WAJARKAH bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia?

Awang lontarkan pertanyaan ini berikutan gesaan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan mahukan Chin Peng kembali atas sebab-sebab kemanusiaan kerana tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Chin Peng, 85 yang dilahirkan di Sitiawan, Perak kini tinggal di Bangkok selepas permohonan terakhirnya menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.

Dalam gesaannya itu, Teng memohon Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak mengkaji semula pendirian kerajaan bagi membolehkan bekas Setiausaha Agung PKM itu kembali ke tanah air.

Apa reaksi Awang? Mudah sahaja. Permohonan tersebut usah dilayan.
Awang tidak dapat membayangkan keadaan negara kita jika pada hari ini yang memerintah ialah PKM menerusi perjuangan kejamnya. Tidak mungkin wujud negara aman, makmur dan demokratik yang bernama Malaysia.

Tiada sebab untuk kerajaan mengubah pendirian terhadap Chin Peng. Sebarang alasan kemanusiaan tidak boleh mewajarkan kemudaratan (secara langsung atau tidak langsung) yang telah dibawa oleh beliau dan PKM selama ini.

Sememangnya masa telah berubah dan keadaan turut berubah tetapi membenarkan Chin Peng kembali adalah tamparan luar biasa kepada golongan yang telah banyak berkorban iaitu anggota pasukan keselamatan dan rakyat yang pernah menjadi mangsa kekejaman PKM.

Apa ruginya kalau tidak membenarkan beliau pulang? Janganlah diungkit-ungkit lagi tentang Chin Peng. Ia hanya akan membangkitkan kemarahan kepada bekas perajurit, yang air mata dan darah mereka tidak ternilai harganya. Anehnya, orang Melayu sendiri tidak pernah ghairah untuk mengherokan beberapa kerat pemimpin komunis daripada kalangan kaum itu seperti Rashid Maidin

Awang tidak mengerti mengapa Gerakan boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apakah kerana ia mengikut rentak DAP yang memainkan isu tersebut sejak beberapa tahun lalu, mungkin juga atas muslihat politik? Awang percaya majoriti rakyat Malaysia tidak bersedia masuk ke dalam perangkap pihak tertentu.

Jika ia mahu dilakukan atas nama kemanusiaan mengapa nasib balu dan anak-anak tentera serta polis yang terkorban angkara PKM tidak dibela?

Apa yang pernah DAP dan Gerakan lakukan untuk menghargai pengorbanan golongan tersebut yang menyumbang kepada keamanan negara sehingga membolehkan kaum Cina misalnya terus menguasai ekonomi Malaysia sehingga kini.

Seingat Awang tiada seorang pun pemimpin DAP mahu pun Gerakan yang menjalankan kempen hebat membantu bekas tentera dan polis yang putus kaki. Awang juga tidak pasti sama ada mereka pernah merekodkan penghargaan dan terima kasih dalam acara-acara khusus untuk bekas tentera dan polis.

Apakah kerana yang terkorban adalah kebanyakannya tentera dan polis daripada kalangan orang Melayu maka sumbangan mereka tidak begitu bermakna? Siapakah yang sebenarnya rasis? Sesungguhnya banyak persoalan yang melingkari isu Chin Peng ini.

Yang jelas ia bukan sekadar isu membenarkan Chin Peng pulang bahkan mahu menjadikan beliau wira. Terdapat gerakan terancang oleh parti tertentu kaum Cina untuk menobatkan Chin Peng sebagai ikon pejuang kemerdekaan. (Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang mati dibunuh agen komunis misalnya, langsung tidak dipedulikan oleh parti kaum Cina sendiri). Ia makin ketara sejak pelancaran buku riwayat hidupnya Alias Chin Peng - My Side of History.

Malah isu mengenai simpati terhadap Chin Peng pernah dibawa oleh DAP yang mendesak supaya kerajaan mengeluarkan satu kenyataan menteri (a ministerial statement in Parliament) tidak lama dulu.

Tinjaulah pelbagai komen dan tulisan menerusi laman-laman blog berkenaan Chin Peng yang mahu mewujudkan gelombang memperlihatkan beliau sebagai wira.

Ada yang menyamakan perjuangan Chin Peng dengan nasionalisme kemerdekaan sedangkan realitinya beliau melacurkan nasionalisme untuk menegakkan komunisme, yang akhirnya gagal kerana pengorbanan pasukan keselamatan atas sokongan rakyat.

Awang tidak terkejut jika suatu hari nanti lebih-lebih lagi jika pembangkang berkuasa, 'keperwiraan' Chin Peng akan menjadi bahan subjek Sejarah sekolah yang mungkin jauh lebih hebat daripada nama-nama seperti Leftenan Adnan dan ramai penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB).

Lalu tercetus lagi persoalan lain, apakah ini sebahagian daripada usaha untuk menafikan sumbangan gerakan nasionalisme Melayu dan usaha untuk menulis kembali sejarah agar mengikut kehendak kaum tertentu?

Awang berharap kerajaan bertegas sebagaimana yang ditunjukkan oleh kerajaan Indonesia yang sampai sekarang tidak membuka ruang penghargaan untuk pengganas komunis. Mudarat yang dibawa oleh PKM di tanah air ini bukan sedikit.

Tetapi seandainya kerajaan bersedia membenarkan Chin Peng pulang, beliau perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya pasukan keselamatan. Lebih penting, beliau mesti dihadapkan ke mahkamah atas segala kekejamannya sebagaimana yang dihadapi oleh Pol Pot di Kemboja. Bersediakah Chin Peng?

Saturday, May 23, 2009

Aset TLDM lebih 25 tahun dinaik taraf

Sumber: utusan online

LUMUT 22 Mei - Semua aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia melebihi 25 tahun akan dinaik taraf bagi memastikan penggunaannya bersesuaian dengan perubahan teknologi semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan pertamanya ke Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini mendapati terdapat beberapa aset milik TLDM seperti kapal, peralatan komunikasi dan persenjataan telah berusia melebihi 25 tahun.
Beliau berkata, kesemua aset lama itu sudah tidak sesuai digunakan dalam zaman teknologi yang semakin canggih.

''Terdapat aset-aset TLDM berusia melebihi 25 tahun dan ada telah berusia 32 tahun yang pada hemat saya ia sudah tidak sesuai digunakan dengan iklim dan peredaran teknologi semasa.
''Semua aset ini harus dinaik taraf walaupun ia tidak diganti disebabkan keadaan ekonomi negara ketika ini tidak menggalakkan pembelian aset baru.

''Kami merancang menggunakan beberapa pendekatan agar proses menaik taraf aset-aset ini tidak dibuat melalui pembelian dan hanya membabitkan sedikit wang peruntukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah; Panglima Tentera Laut, Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dan Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Noordin Ali serta Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamrulzaman Ahmad Badaruddin.

Menurut Ahmad Zahid, bagi memastikan usaha menaik taraf aset-aset itu tidak membebankan kerajaan, kementeriannya akan mencadangkan supaya sistem pembayaran dibuat mengikut sukuk atau bon Islam.

Dalam pada itu, beliau yakin tahap kekuatan TLDM dalam mempertahankan maritim negara dapat diperkukuhkan dengan adanya kapal selam pertama negara yang bakal diterima pada akhir Ogos dan Oktober nanti.

''Dengan adanya kapal selam ini, TLDM dapat melaksanakan tugas mengawal perairan dan kawasan zon ekonomi di bawah 600,000 kilometer persegi dengan berkesan meliputi perairan negara," katanya.

Wednesday, May 20, 2009

Penyelamat samudera dari udara

Oleh RAJA SYHARIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

PARA penggemar sukan lasak pasti menginginkan aktiviti penerjunan dari udara dengan sirip selaman (fin) siap terpasang pada kaki.

Bagi mereka, peralatan sebegitu di samping topeng selaman serta tangki udara yang digalas adalah satu bentuk kepuasan untuk seseorang yang berupaya menyahut serta menandingi cabaran alam.

Namun, bagi sebahagian anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), aktiviti itu bukanlah kegemaran semata-mata, tetapi lebih kepada tugas berat dalam memastikan keselamatan orang awam dan teman-teman sepasukan di samudera raya.

Bukannya mudah - ia dapat dirumuskan apabila mengikuti latihan beberapa anggota skuadron Pasukan Penerjunan Penyelamat Maritim (Maritime Para Rescue Team - MPRT) di Kem Rejimen TUDM Jugra, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Mereka adalah sebahagian daripada anggota elit Pasukan Khas Udara (Paskau) TUDM.
Untuk menyertai MPRT, seseorang anggota TUDM perlu lulus dalam ujian pemilihan kursus asas komando.

Dalam jangka masa seminggu pemilihan tersebut, bakal anggota MPRT atau Paskau perlu berupaya berlari sejauh 2,400 meter kurang daripada sembilan minit; berenang sejauh 200 meter tidak lebih daripada tiga minit dan mengapungkan diri di permukaan air selama beberapa jam.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu berupaya memanjat tali pada ketinggian tujuh meter dalam masa dua minit dan menjawab 50 soalan IQ dalam masa setengah jam.
Setelah lulus kesemua ujian berkenaan, bakal anggota MPRT dan Paskau amnya akan melalui fasa kedua pemilihan termasuk ujian tempur dan menyelamat selama tiga bulan.

Menurut Ketua Skuadron Tempur dan Menyelamat (Combat and Rescue - CAR) Paskau TUDM, Mejar Meor Ahmad Kamal Meor Termizi, ujian pada peringkat ini termasuk pandu arah peringkat hutan iaitu berjalan kaki sejauh 160 kilometer meliputi kawasan berpaya.

Katanya, selain keupayaan memandu arah di hutan, anggota-anggota MPRT juga wajib berkebolehan memandu arah dan mendayung sejauh 160 kilometer di laut pada waktu malam atau dikenali sebagai ujian dark water.

''Mereka juga akan dilengkapkan dengan kemahiran menghindari musuh agar setiap operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
''Apabila kesemua ini cukup, barulah mereka layak memakai beret biru (beret pentauliahan Paskau) dan memasuki skuadron MPRT atau mana-mana skuadron dalam Paskau," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tugas utama anggota skuadron MPRT ialah menyelamatkan mangsa-mangsa anggota TUDM atau orang awam yang terlibat dalam nahas udara di lautan.

Kedua, mereka bertanggungjawab mengeluarkan aset-aset TUDM atau kerajaan serta swasta yang tenggelam di dasar laut seperti pesawat, kotak hitam pesawat dan lain-lain.

Dalam satu-satu operasi, kata Meor Ahmad Kamal, sepasukan empat hingga enam anggota MPRT akan ditugaskan menjalankan tanggungjawab mencari dan menyelamat.

''Setelah kita mengenal pasti kawasan (di laut) yang dikesan pesawat terhempas, anggota-anggota MPRT dan CAR akan diterbangkan ke sana dan melakukan penerjunan.
''Mereka terdiri daripada seorang ketua, seorang anggota perubatan, seorang pengendali radio atau komunikasi, seorang pelepas dan dua penyelamat biasa," jelasnya.

Kata beliau, pada tahun lepas sahaja, pasukan MPRT berjaya melengkapkan tujuh penerjunan, pencarian dan mengeluarkan aset-aset TUDM dari dasar Laut China Selatan pada waktu siang serta malam.

Operasi-operasi berkenaan ialah Eksesais Sambar, Eksesais Angkasaraya dan Eksesais Teakmint yang dijalankan bersama pasukan khas Amerika Syarikat.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka ialah terjun tepat ke kawasan operasi pencarian dari ketinggian 700 meter dalam keadaan angin kuat di lautan.

Setelah terjun dengan selamat, mereka perlu segera melepaskan payung terjun di badan, lantas menyelam bagi menyelamatkan mangsa-mangsa serta aset-aset terlibat.

Walaupun perimeter pencarian telah disasarkan, ia kadangkala tidak tepat. Namun, pasukan ini akan terus menyelam, mencari dan menyelamat, berbekalkan ilmu kelangsungan di laut, semangat serta keikhlasan.

Apa yang pasti, enam 'detasmen' MPRT dan CAR Paskau sentiasa berada dalam keadaan siap sedia selama 24 jam sehari bagi menghadapi kemungkinan terjadinya nahas udara di lautan.

Markas Medan teras kekuatan TD

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

SEBAGAI sebuah organisasi yang dinamik, Markas Medan Tentera Darat (TD) telah berkembang pesat dalam menyelaras dan melaksanakan aktiviti operasi serta latihan trup di bawah pemerintahannya.

Sejarah penubuhan Markas Medan TD bermula pada 5 Mei 1981 apabila Markas Kor Tentera Darat diwujudkan sebagai langkah susulan kepada pembangunan dan penstrukturan TD untuk memikul tanggungjawab memerintah, mengawal serta mengurus semua Formasi Medan di Semenanjung Malaysia.

Bagi formasi medan di Sabah dan Sarawak status operasi ketika itu masih diletakkan di bawah pemerintahan Markas Divisyen Pertama Infantri yang bertanggungjawab terus kepada Panglima TD.

Setelah ditubuhkan Markas Kor TD telah berkongsi tempat kediaman, bangunan pejabat dan kemudahan-kemudahan tertentu kepunyaan Markas Dua Divisyen di Kompleks Markas Dua Divisyen, Pangkalan Sungai Besi.

Perkongsian ini berterusan hinggalah Markas Dua Divisyen berpindah ke Pulau Pinang.
Bagi melancarkan pelaksanaan penubuhan Markas Kor TD, proses penubuhannya dilaksanakan dalam tiga tahap. Tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:

1. Tahap pertama - penubuhan Markas ini pada 5 Mei 1981 dan anggota-anggota kumpulan pertamanya dipenuhkan pada tarikh tersebut.

2. Tahap kedua - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan anggota-anggota kumpulan kedua bagi jangka masa 10 Oktober 1981 hingga 31 Januari 1982.

3. Tahap ketiga - meneruskan proses penubuhan di tempat yang sama dengan mengadakan kumpulan ketiga dalam jangka masa 1 Februari 1982 hingga 30 Jun 1982.

Dengan tertubuhnya Markas Kor TD, maka keselamatan pertahanan Wilayah Satu adalah di bawah tanggungjawab markas ini.

Dengan itu, Panglima Kor TD bertanggungjawab untuk merumus dan melaksanakan strategi, operasi dan rancangan kontigensi terhadap pertahanan Wilayah Satu yang mana meliputi seluruh kawasan tanah daratan di Wilayah Semenanjung Malaysia.

Pada tahap pertama penubuhan Markas Kor TD, pelbagai tekanan telah dihadapi dan paling ketara adalah kekurangan keanggotaan.
Hanya 62 peratus pegawai yang melapor diri manakala anggota lain-lain pangkat pula seramai 47 peratus.

Namun demikian, bahagian Turus TD terus memberi perhatian sewajarnya mengenai perkembangan dan kemajuan markas ini.
Apabila Markas Kor menghadapi pelbagai kemajuan dari segi organisasi dan keanggotaan, ia terpaksa dirombak semula pada tahun 1982.

Rombakan ini dibuat sebagai menyahut rancangan jimat cermat yang dilancarkan disebabkan oleh keadaan negara menghadapi kemerosotan ekonomi.

Dengan rombakan ini, organisasi Markas Kor TD telah diubahsuai untuk memulakan tanggungjawab khusus meliputi aspek latihan TD sahaja.

Leftenan Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom yang menjadi pengasas Markas Kor TD pertama pada ketika itu telah menyerahkan tugas setelah sampai tempoh untuk beliau bersara dari perkhidmatan kepada Leftenan Jeneral Datuk Wan Ismail Wan Salleh sebagai Panglima Kor TD yang kedua pada 1 Januari 1984.

Setelah dilantik, Wan Ismail terus membentuk markas ini hingga mencapai taraf profesionalisme yang tinggi.
Pengalaman dan kecekapan beliau mengendalikan tugas telah membawa kepada pelbagai perubahan yang begitu menggalakkan.
Atas daya usaha Panglima Kor yang kedua ini, Markas Kor TD mencapai taraf operasi pada 17 Julai 1984.

Dengan pencapaian taraf tersebut, semua Markas Divisyen Infantri di Semenanjung Malaysia diletakkan di bawah pemerintah Markas Kor TD dan segala tanggungjawab mereka akan disatukan oleh markas ini mulai tarikh yang sama.

Taraf operasi

Pengisytiharan taraf operasi ini dilakukan oleh Panglima TD ketika itu iaitu Jeneral Datuk Ghazali Che Mat dalam satu upacara gilang-gemilang di Bilik Gerakan Markas Kor TD pada 17 Julai 1984 di hadapan Panglima Kor.

Panglima Kor TD kemudian menyampaikan perintah ulung beliau kepada semua panglima-panglima dan pegawai-pegawai yang hadir pada hari tersebut.

Walaupun penubuhan Markas Kor TD baru memasuki tahun keempat pada ketika itu, ia telah dikenali Angkatan Tentera negara-negara asing.
Ini terbukti dengan lawatan pemimpin-pemimpin dari negara sahabat ke markas itu sejak ia ditubuhkan.

Pada 1 Januari 1994, berikutan Program Penyusunan Semula Struktur TD menjelang tahun 2000, semua formasi medan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak diletakkan di bawah pemerintahan dan seliaan Markas Kor TD dengan mengambil 'designasi' Markas Medan TD.

Pertukaran ini merangkumi peranan, penugasan dan kawasan tanggungjawab.
Sejak dari detik itu bermulalah peranan Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat di bawah pucuk pimpinan Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Ghani Ahmad.
Secara amnya Markas Pemerintahan Medan TD memainkan peranan sebagai markas untuk memerintah, mengawal dan mengurus semua formasi-formasi dan unit-unit medan TD termasuk di Sabah dan Sarawak.

Secara tidak langsung, selaku Markas Pemerintahan Tertinggi TD, ia bertanggungjawab terus kepada Panglima Tentera Darat di dalam bidang-bidang pemerintahan, kawalan dan pentadbiran semua formasi medan TD.

Sejajar dengan itu, beberapa buah pasukan tempur, bantuan tempur, bantuan khidmat dan logistik telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Medan TD untuk menjadikannya sebuah organisasi kredibel, berkeupayaan untuk bertempur di barisan hadapan sesuai dengan ungkapan 'Markas Medan Teras Kekuatan Tentera Darat'.

Bermula 1 Februari 2007 hinggalah sekarang, Markas Medan TD diketuai oleh Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang terus memainkan peranan penting untuk memastikan Markas Medan TD menjadi tunjang kekuatan TD.

Sempena sambutan Ulang Tahun Markas Medan TD yang ke-28 baru-baru ini, Raja Mohamed Affandi mahu semua pegawai dan anggota Markas Medan TD memberikan perkhidmatan cemerlang kerana mereka merupakan tunjang kepada kekuatan TD.

Selain menjadi tunjang TD, beliau berkata, Markas Medan ditubuhkan bagi merealisasikan misi utama TD iaitu mempertahankan tanah air dan menangkis segala ancaman dari luar mahupun dalam negara.

"Angkatan Medan akan terus menyumbang khidmat bakti untuk mempertahankan perbatasan dan sempadan negara.
"Jadi, seluruh warga Markas Medan perlu sentiasa 'terampil dan siaga' untuk melengkapkan diri menjadi pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang profesional," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Markas Medan TD yang ke-28 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Staff Am, Markas Medan TD, Brigedier Jeneral Datuk Shaharudin Abu Bakar.
Menurutnya, 'terampil dan siaga' adalah merujuk kepada anggota profesional dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan keadaan.
Untuk melengkapkan diri ke arah itu, beliau berkata, latihan kondusif dan berpanjangan perlu dilakukan untuk membentuk pegawai dan anggota ATM supaya mempunyai tahap keyakinan dan semangat juang yang tinggi.

Berbekalkan latihan kondusif dan berpanjangan, Raja Mohamed Affandi yakin Markas Medan akan dapat melahirkan anggota yang mempunyai keterampilan dan tahap kesiapsiagaan yang diperlukan dalam TD.

"Saya berharap semua warga pemerintahan medan TD memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran masing-masing supaya tidak ketinggalan.
"Tanpa ilmu dan pengetahuan yang tinggi, kita akan ketinggalan di belakang dan menyebabkan organisasi menjadi mundur," jelasnya.

Sementara itu, dalam hal lain, beliau juga mengingatkan semua warga Markas Medan TD supaya mementingkan aspek keselamatan.
Menurutnya, sikap prihatin dan peka kepada aspek keselamatan perlu diterapkan sebagai langkah pencegahan kepada apa jua perkara yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Perbarisan Ulang Tahun Markas Medan TD ke-28 kali ini disertai oleh 65 orang pegawai dan 110 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Leftenan Kolonel Zahari Mohd. Ariffin.
Sempena perbarisan kali ini juga, Raja Mohamed Affandi menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 orang penerima dan Sijil Kepujian Panglima Medan TD kepada 11 orang penerima.

Antara penerima PJM ialah Ketua Staf Am, Markas Medan TD, Brigedier Jeneral Datuk Shaharudin Abu Bakar.
Sijil Kepujian Panglima Medan TDt adalah pertama kali diberikan sebagai menghargai jasa untuk anggota dan pegawai TD tetapi melibatkan pekerja awan yang menyumbangkan tenaga di Markas Medan TD.

Penghargaan ini merupakan sesuatu yang cukup berharga buat seorang pekerja di bahagian Peramu Saji Markas Medan TD, Nik Suhaimi Nik Mohd. Salleh, 48, yang telah 29 tahun bekerja bersama markas tersebut.
Menurut Nik Suhaimi, dia cukup berterima kasih kerana dihargai dan akan menjadikan penghargaan itu sebagai pendorong untuk terus memajukan diri dan memberikan perkhidmatan cemerlang.

Bercerita ringkas tentang pengalamannya berada di Markas Medan TD, Nik Suhaimi berkata, sepanjang perkhidmatannya hingga sekarang, dia telah berkhidmat bersama 14 orang jeneral yang telah memberikannya banyak pengalaman dan tunjuk ajar yang cukup berharga.
"Tiada istilah kesusahan dalam pekerjaan, apa yang penting kita sematkan di dada bahawa kita akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam apa jua bidang yang dilakukan.

"Saya berterima kasih di atas penghargaan yang diberikan ini dan akan meningkatkan perkhidmatan untuk terus berkhidmat bersama Markas Medan TD," katanya.

Monday, May 18, 2009

DATARAN JUANG – MERAKAM SEJARAH PERJUANGAN TENTERA DARAT DI PERBATASAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Mei 09.
Oleh: Hamzah hd.

Satu lagi monumen sejarah dibina bagi memperingati perjuangan Pasukan Keselamatan (PK) semasa darurat dalam memastikan keselamatan persempadanan negara sentiasa terjamin. Dataran Juang Tentera Darat (DJTD) merupakan simbol penghayatan terhadap pengorbanan dan pengabdian PK yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada nusa dan bangsa.

DJTD dan Markas Taktikal 749 ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin pada 28 Mac 2009.

- DJTD yang mempamirkan monumen Kereta Perisai yang melanggar batu melambangkan kekuatan TD yang berbekalkan semangat waja serta kelengkapan persenjataan yang ada telah mampu meredah tembok kekebalan dan memusnahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengancam keselamatan negara sehingga menyebabkan mereka menamatkan perjuangannya.

- Elemen lain yang sangat signifikan dengan perjuangan ini ialah pengorbanan anak watan yang dizahirkan dengan 5 batang tiang yang berwarna hitam yang tidak sekata melambangkan pelbagai liku-liku perjuangan dalam pelbagai operasi yang telah dilaksanakan.

- Manakala warna hitam melambangkan jati diri dan kekentalan perjuangan anak watan walaupun nyawa yang dipertaruhkan bagi menjaga persempadanan negara.

- Warna merah di sekeliling monumen ini pula melambangkan titisan darah yang tumpah hasil perjuangan pejuang-pejuang negara dan nama-nama pahlawan ini terpahat di DJTD.

Konsep dan reka bentuk DJTD telah diilhamkan oleh Lt. Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima Medan TD semasa beliau memegang tampuk pemerintahan 2 Div.

Pembinaan DJTD dan peningkatan pembangunan Markas Taktikal 749 telah dilaksanakan pembinaannya dengan menggunakan kepakaran TD. Projek pembinaan ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Markas 2 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bermula 15 Julai 2008 sehingga 20 Mac 2009 Pembinaan keseluruhan untuk tempoh selama 9 bulan ini disiapkan oleh seramai 9 pegawai dan 196 anggota.




SEJARAH MARKAS TAKTIKAL 749

Tapak Markas Taktikal 749 yang dulunya dikenali sebagai Kem Seri Banding yang sejarah asalnya merupakan tapak pembinaan Jambatan Banding yang bermula pada tahun 1978. Pembinaan Jambatan ini adalah projek utama kerajaan dalam Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) yang melibatkan pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat dari Jeli Kelantan hingga ke Gerik Perak. Pada tahun 1980 projek tersebut telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Markas 10 Briged yang bertanggungjawab terhadap operasi pada ketika itu.

Pengorbanan PK telah berjaya mengekang ancaman PKM yang memangkin kepada perletakan senjata oleh PKM pada 1989. Pada Dis 2006, Batalion 304 Infantri Askar Wataniah (Bn 304 Inf)(AW) yang sekarang dikenali sebagai Batalion 4 Rejimen Sempadan yang mana bertanggungjawab terhadap sektor Op Kota Echo/Foxtrot telah menyerahkan penugasan operasi kepada Bn ke 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan seterusnya dijadikan Markas Taktikal Briged apabila Zon Utara dilancarkan pada Jan 2007 sehingga kini.

Markas Taktikal ini telah banyak menyaksikan perjuangan dan pengorbanan TD dalam menentukan keselamatan persempadanan di samping merealisasikan konsep KESBAN yang menjadi serampang dua mata kerajaan di dalam pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan pendalaman negeri-negeri yang bersempadan yang agak mundur dan ketinggalan. Dalam masa yang sama usaha kerajaan untuk mengekang keagresifan PKM yang bergerak melalui Selatan Thailand.

Briged Kawalan Operasi bagi Op Zon Utara dilaksanakan di Markas Taktikal 749 secara bergili-gilir di antara 2 Briged, 6 Briged dan 8 Briged untuk tempoh selama 4 bulan di Sektor Operasi bermula dari Bukit Kayu Hitam di Kedah sehingga ke Rantau Panjang, Kelantan.

Penaiktarafan Markas dengan konsep baru ini telah memberi keselesaan kepada pasukan-pasukan dan anggota-anggota yang melaksanakan tugas dan amanah di barisan hadapan negara dengan lebih efisyen dan akan diterjemahkan dengan peningkatan daya juang. Pembangunan ini juga sejajar dengan pembangunan persekitaran Tasik Banding yang sedang pesat membangun dan akan menjadi daya tarikan baru destinasi pelancongan yang berkonsepkan sejarah perjuangan anak watan yang bemandi darah dan keringat demi membebaskan negara dari belenggu ancaman komunis dengan harapan ianya menjadi suatu pendedahan dan pengajaran kepada generasi muda tentang sejarah tanahair.

RAKAMAN SEJARAH PERTEMPURAN

Ancaman PKM yang mengaturgerakkan unit penggempurnya di kawasan Kedah, Ulu Perak dan Ulu Kelantan telah memaksa TD mengatur strategi gerakan dengan mengadakan operasi bagi membendung pergerakannya. Operasi TD yang yang dikenali sebagai Operasi Kota dilancarkan pada 21 Feb 1968 merangkumi 8 sektor di perbatasan dari Perlis hingga ke Kelantan bagi menguasai sempadan Malaysia-Thailand untuk melumpuh dan menghapuskan gerakan PKM.

Sepanjang gerakan operasi ini dijalankan, banyak pertempuran bersejarah telah dicatatkan yang mana ada yang gugur sebagai bunga bangsa dan ada yang sehingga kini masih hidup. Di antaranya ialah:

- Pada 16 Apr 1976, semasa Ops Kota Gubir. PK telah mengenal pasti beberapa kem Pengganas Komunis (PGK) di sempadan Malaysia-Thai berhampir Gubir di Kedah dan mengepungnya. Untuk mendapat impak yang lebih besar dalam operasi tersebut, pesawat Tempur (Tebuan CL-41G) dari Skn No 6 dan Pesawat F5E dari 12 Skn TUDM turut dilibatkan dengan membuat serangan dari udara.

- Pada 15 Julai 1976, semasa Operasi Gubir II, Kapt Zainal bin Abd Rashid dari 17 RAMD gugur sebagai syahid selepas berjaya membunuh 3 orang pengganas komunis di dalam satu pertempuran sengit yang menyebabkan 6 orang daripada 15 pengganas komunis terbunuh dan berjaya merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977 dan dinaikkan ke Pangkat Mejar.

- Pada 15 Ogos 1976, sekumpulan 30 orang PGK telah melakukan serangan hendap terhadap PK yang sedang bertugas di Batu 39, Lebuh Raya Timur Barat. Dalam kejadian ini Prebet Lelias bin Ibrahim (Bersara PW1(PGB)) telah berjaya membunuh 3 orang PGK manakala 2 orang anggota PK gugur di medan pertempuran.

- Pada 12 Nov 1981, satu pertempuran berlaku di Pos Gerik Perak melibatkan Bn. 302 Inf (AW) yang telah diserang hendap oleh PGK. Dalam kejadian tembak menembak selama lebih kurang 30 minit itu, LKpl Zulkifli bin Osman telah terkorban.

Terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang penglibatan ATM atau TD khususnya di dalam menjaga persempadanan utara semenanjong dari segala bentuk ancaman keselamatan maupun penyeludupan malah pencerobohan hasil bumi yang benilai bilion ringgit.

Sesungguhnya Lebuh Raya Timur-Barat dan KESBAN merakam banyak peristiwa dan sejarah perjuangan yang melibatkan kemusnahan harta benda dan nyawa sebagai galang ganti. Justeru itu DJTD dan elemen-elemen yang terpamir merupakan simbolik perjuangan TD dan akan dijadikan sebahagian daripada Muzium TD yang menyimpan warisan sejarah TD khususnya. PERAJURIT

Saturday, May 16, 2009

Kepulauan Spratly kembali panas

Sumber :Utusan Online
Oleh AZMI HASSAN
PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Gambar dari udara yang dirakam oleh Tentera Udara Filipina pada November 2003 yang menunjukkan China membina bangunan di Terumbu Mischief, Kepulauan Spratly.
APA sahaja isu yang berkaitan dengan Kepulauan Spratly dan Paracel yang terletak di Laut China Selatan sudah pasti mengundang reaksi yang agak keras. Kawasan tersebut sedang menyaksikan tuntutan bertindih antara beberapa negara.

Sudah agak lama tidak kedengaran berita mengenai tuntutan kepulauan tersebut kerana negara yang terlibat seperti China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia lebih selesa mengekalkan status-quo.

Tetapi sejak kebelakangan ini, berlaku beberapa peristiwa yang boleh mencetuskan kembali suasana panas di Spratly dan Paracel. Kesemuanya berlaku ekoran tindakan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) yang meminta penghujahan daripada negara-negara terbabit dalam usaha memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu. Tarikh akhir penghantaran hujahan adalah pada 13 Mei lalu.

Ekoran permintaan CLCS, kerajaan Filipina pada Mac lepas telah mengisytiharkan pembentukan undang-undang garis dasar maritim yang boleh dianggap sebagai bakal menghidupkan kembali sensitiviti tuntutan bertindih Kepulauan Spratly.

Pengumuman oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo tersebut mendapat bantahan keras daripada Beijing. Ini kerana China terlibat secara langsung terhadap kesan pembentukan garis dasar tersebut. Jika diteliti unjuran garis dasar Filipina, maka sudah pasti Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough yang juga dituntut oleh Beijing, adalah milik Manila.

Beijing membantah keras tindakan Manila kerana ia telah mengugat status-quo isu tuntutan bertindih yang melibatkan Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough.

Beijing bukan sahaja membuat bantahan diplomatik, tetapi mengambil tindakan lebih nekad dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311 ke kawasan itu.

Kehadiran Yuzheng 311 sudah pasti tidak disenangi oleh negara lain kerana tafsiran yang mudah ialah Beijing sanggup menggunakan kekuatan tentera untuk melindungi hak mereka.

Insiden tahun 1995 sudah pasti menghantui semula apabila Beijing menggunakan segala kekuatan tentera laut mereka untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki oleh tentera Filipina.

Jurucakap Kementerian Luar China bagaimanapun memberi jaminan bahawa kehadiran Yuzheng 311 tidak memberi makna bahawa Beijing akan mengabaikan proses rundingan penyelesaian tuntutan bertindih ke atas Spratly dan Paracel.

Malah Beijing akan tetap terus mematuhi Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan yang ditandatangani bersama dengan ASEAN pada 2002. Salah satu sebab utama mengapa deklarasi ASEAN-China tersebut diwujudkan ialah untuk mengelak daripada berulangnya insiden 1995.

Akibat pergeseran Beijing dan Manila, Menteri Luar Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, menekankan bahawa Kuala Lumpur tidak akan mengambil tindakan melulu sebagai balasan terhadap tindakan Beijing tersebut. Malah akan mempergiatkan lagi rundingan selaras dengan deklarasi ASEAN-China seperti yang dipersetujui oleh semua pihak.

Tetapi apabila Malaysia dan Vietnam beberapa hari lepas mengemukakan hujah masing-masing kepada CLCS mengenai batas maritim yang dituntut, China sekali lagi mengemukakan bantahan kepada PBB. Walaupun kapal perang tidak dihantar ke kawasan berkenaan tetapi kenyataan keras yang dikeluarkan sudah pasti akan mengeruhkan lagi suasana.

Antara lain Beijing menekankan bahawa mereka memiliki "kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan" dan tidak akan bertolak-ansur terhadap negara-negara lain yang turut menuntut pulau-pulau berkenaan.

Secara khususnya beberapa gugusan Kepulauan Spratly milik Malaysia seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau adalah termasuk dalam amaran yang dikeluarkan oleh Beijing.

Perlu ditekankan Angkatan Tentera Malaysia telah menempatkan aset serta anggota tentera di gugusan Kepulauan Spratly milik negara. Ekoran daripada amaran terbaru Beijing itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar telah menegaskan operasi rondaan tetap dijalankan seperti biasa dan memastikan kehadiran ATM untuk mengesahkan hak milik Malaysia.

Setakat ini, Beijing belum lagi mengambil tindakan secara fizikal untuk menafikan tuntutan Malaysia kepada CLCS seperti yang telah dilakukan terhadap Manila dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311.

CLCS setakat ini telah menerima hujahan tuntutan maritim dari 48 negara yang kebanyakannya merupakan tuntutan bertindih. Selain daripada tuntutan ke atas Kepulauan Spratly, pertikaian sempadan maritim Rusia-Denmark, Jepun-Rusia dan Britain-Argentina mengenai Kepulauan Falklands juga diterima oleh CLCS.

Sebenarnya, Beijing tidak perlu mengambil tindakan yang agak agresif ekoran hujahan Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur kepada CLCS. Ini adalah kerana suruhanjaya tersebut tidak akan menerima sebarang hujahan penempatan sempadan yang mempunyai tuntutan yang bertindih.
Apabila Beijing menegaskan mereka mempunyai hak yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Kepulauan Spratly, hujah yang sama juga telah digunakan oleh Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur iaitu mengambil kira peruntukan yang dibenarkan oleh Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Peraturan Prosedur CLCS.

Seperti yang telah ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kuala Lumpur mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan tuntutan bertindih itu selain dibantu oleh prinsip undang-undang antarabangsa. Beijing tidak boleh terlalu angkuh dan sensitif kerana negara lain juga mempunyai hak yang serupa.

Beijing perlu mengehadkan penggunaan pendekatan fizikal melalui aset tentera laut mereka kerana ini bakal mengundang tindakan serupa dari negara lain.

Negara yang terlibat sudah pasti tidak mahu terjerumus dalam senario yang agak melampau seperti yang dilakukan oleh Moscow pada 2007 apabila menempatkan bendera di dasar laut Kutub Utara ekoran pertindihan tuntutan dengan Copenhagen.

Friday, May 15, 2009

ATM kukuhkan tuntutan Malaysia melalui penempatan aset, anggota

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR 14 Mei - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas sebahagian Kepulauan Spratly di Laut China Selatan apabila terus menempatkan aset serta anggota-anggotanya di beberapa gugusan pulau kecil di situ.

Tanpa menghiraukan amaran yang dibuat China sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata, setiap pulau kecil yang menempatkan kem atau anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ATM secara keseluruhannya merupakan milik negara.

Justeru, katanya, anggota serta aset TLDM dan ATM masih menjalankan operasi seperti biasa tanpa melakukan apa-apa perubahan dalam disiplin rondaan mereka di perairan sekitar.

''Tindakan China menguar-uarkan tuntutan dan hak kepentingannya di kawasan itu (Spratly) bukanlah baru, seluruh dunia telah mengetahuinya.

''Apa yang perlu dilakukan (sekarang) ialah kita memastikan kehadiran kita (ATM) di sana dirasai dan merupakan tanda ia jajahan kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Ketua Staf Tentera Laut Diraja British, Laksamana Jonathon Band di Kementerian Pertahanan di sini hari ini. Turut hadir pegawai-pegawai tertinggi tentera laut kedua-dua negara.

Abdul Aziz menambah, segala operasi ATM dan TLDM di beberapa gugusan Kepulauan Spratly adalah sah di sisi undang-undang maritim antarabangsa selagi ia berada dalam lingkungan 200 batu nautika dari perairan negara yang dikenali sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Baru-baru ini, jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk kepulauan Spratly - satu amaran yang pernah beberapa kali disuarakan oleh negara republik itu.

Sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly merupakan tuntutan bertindih negara-negara seperti China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei sejak dahulu.

ATM dan TLDM secara khususnya pula telah mendirikan kem-kem serta menempatkan anggota di sebahagian daripada gugusan Spratly seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau sejak tahun 1984.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, peranan TLDM mengawal keselamatan laluan kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia telah disambung walaupun sebelum ini mengumumkan ia sepatutnya tamat pada 30 April lalu.

''TLDM kini telah menghantar KD Sri Inderapura pula bagi menggantikan KD Hang Tuah yang telah memulakan pelayaran pulang.

''Perkhidmatan Inderapura sehingga akhir Jun nanti pula akan digantikan dengan kapal bantuan perang TLDM (auxiliary ship),'' jelasnya tanpa mahu menyatakan nama kapal berkenaan.
Dalam pada itu, Band menjelaskan, kehadirannya ke Malaysia kali ini terkandung dalam siri lawatannya ke negara-negara sahabat, sebelum bersara pada pertengahan tahun ini.

''Selepas 75 tahun TLDM 'dilahirkan', saya berbangga dengan pencapaiannya di arena antarabangsa seperti penugasan mereka di Teluk Aden dan Selat Melaka yang menjadi ikutan masyarakat maritim dunia.

''Saya telah banyak bekerjasama dengan pasukan TLDM iaitu sejak berumur 18 tahun semasa mula-mula menyertai tentera laut. Apa yang pasti, TLDM telah banyak berubah,'' ujarnya.

Wednesday, May 13, 2009

Transformasi Markas Taktikal 749 di Tasik Banding

Sumber: Utusan online

PERALIHAN zaman secara tidak langsung memaksa kepada perubahan persekitaran dan gaya hidup manusia.

Tentera Darat Malaysia (TDM) sama sekali tidak terkecuali daripada menyertai arus pemodenan ini.

Menyedari hakikat ini, Panglima Medan, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang ketika itu Panglima 2 Divisyen, telah mengambil inisiatif ke arah pemodenan dengan mencetuskan idea untuk menaiktaraf Kem Banding, Perak.

Kem berkonsepkan resort ini sejajar dengan pembangunan di persekitaran Banding, Gerik Perak.

Banding ketika ini adalah kawasan destinasi untuk beriadah dan bercuti terutama buat para pencinta alam sekitar.

Markas Taktikal 749 yang terdapat di kawasan itu dinaik taraf agar dapat memberi keselesaan kepada pasukan-pasukan dan anggota-anggota yang melaksanakan operasi di barisan hadapan agar lebih efisien, selesa dan terus meningkatkan daya juang anggota.

Sebagai sebuah kem di penempatan operasi kawasan utara, Kem Banding atau nama asalnya Kem Sri Banding dulunya adalah sebuah Markas Taktikal yang hanya dilengkapi kemudahan paling asas.

Namun pada tahun 2008, dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM400,000, Kem Sri Banding mula mendapat sentuhan dari Pemerintah Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen, Leftenan Kolonel Kamarrudin Ibrahim selaku Pengurus Projek.

Beliau diberi kepercayaan oleh Raja Mohamed Affandi untuk mentransformasikan kem itu agar seiring dengan pembangunan di kawasan persekitaran Banding.

Pada peringkat awal pembinaan, hanya dua trup sahaja yang terlibat iaitu dua orang pegawai dan 60 anggota lain-lain pangkat.

Melihat kepada kemajuan kerja yang begitu membanggakan, tambahan sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan.

Markas Taktikal 749 yang suatu ketika dahulu hanya bangunan-bangunan kayu usang, kini tersergam pula dinding-dinding konkrit yang berdiri megah di Tasik Banding.

Dalam projek besar seperti ini, RAJD 2 Divisyen mengamalkan konsep 'Projek Perdana' di mana unit-unit di bawah pasukan yang terdiri daripada Skuadron 1, 2, 6 dan 7 RAJD bekerjasama bagi melancarkan pembinaan Markas Taktikal 749.

Apa yang menarik di Markas Taktikal 749 adalah maskot gajah, di mana sebuah patung kepala gajah telah didirikan di pintu masuk kem ini.

Maskot ini mempunyai kisahnya tersendiri, di mana dari dahulu hingga sekarang kawasan ini menjadi laluan utama kumpulan gajah yang mencari makanan sekitar hutan Tasik Banding.

Untuk itu, Kamarrudin turut membina sebuah pintu pagar khas bagi laluan gajah-gajah ini turun dan naik dari Tasik Banding ke kawasan hutan.

Antara bangunan baru yang dibina pula ialah bangunan logistik untuk penyimpanan stok makanan tempur (rangsum), stor bahan api untuk menempatkan minyak pesawat dan rumah bot yang dilengkapi tempat penyimpanan enjin bot tempur.

Keluasan keseluruhan Markas Taktikal 749 adalah empat hektar persegi kini mempunyai jalan raya berturap menggantikan jalan tanah merah.

Keseluruhan pembinaan Markas Taktikal 749 ini mengambil masa selama 242 hari bermula pada 15 Julai 2008 sehingga siap pada tanggal 20 Mac 2009.

Menurut Kamarrudin, beliau berpuas hati kerana dapat menyiapkan Projek Perdana ini dalam masa yang telah dijadualkan.

Katanya, projek ini merupakan satu latihan buat para anggota dan pegawai dalam memahirkan kepakaran masing-masing dan secara tidak langsung dapat membina keyakinan diri untuk setaraf dengan kontraktor awam.

"Mereka yang bertanggungjawab merubah wajah kem ini telah bekerja tanpa mengira waktu, keadaan cuaca, siang atau malam kerana Markas Taktikal 749 mempunyai nilai sejarah yang cukup bererti bagi mengenang pengorbanan anggota Tentera Darat sebelum ini,'' katanya.

Pembinaan kem ini turut menyumbang kepada ekonomi kawasan Banding dan Gerik kerana hampir kesemua bahan mentah yang digunakan dibekalkan oleh pengeluar-pengeluar tempatan.
Sebagai tanda penghargaan kepada warga RAJD 2 Divisyen, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin telah menyampaikan penghargaan sebagai mengiktiraf pencapaian prestasi cemerlang kepada Kamarrudin yang mewakili seluruh warga RAJD 2 Divisyen.

Keringat dan komitmen anggota-anggota yang terlibat akan pastinya terpahat pada lakaran sejarah TDM.

China beri amaran jauhi Spratly

BEIJING 12 Mei - China memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly.

China telah memaklumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Beijing memiliki 'kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan' terhadap perairan yang boleh meningkatkan ketegangan serantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu berkata, kerajaannya telah mengemukakan penghujahan kepada PBB untuk menegaskan Beijing tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan negara lain menuntut pulau-pulau berkenaan yang terletak dekat laluan perkapalan penting dan dipercayai kaya dengan minyak dan gas.

"China memiliki kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa mutlak terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan serta perairan berdekatan," kata Zhaoxu dalam kenyataan di laman web Kementerian itu malam tadi.

Beliau berkata, China akan terus melindungi hak-hak dan kepentingan maritimnya berdasarkan pendiriannya yang konsisten selama ini, tetapi Beijing bersedia mengadakan rundingan mengenai sempadan laut.

Kenyataan Zhaoxu itu tidak menandakan sebarang perubahan dalam pendirian China berhubung pulau-pulau berkenaan, termasuk apa yang disebut oleh China sebagai pulau-pulau Nansha dan Xisha, juga dikenali sebagai Kepulauan Spratly dan Paracel.

Namun jika dilihat sekali dengan kenyataan negara-negara jiran kebelakangan ini mengenai kepulauan berkenaan, tindakan Beijing menonjolkan ketegangan yang semakin meningkat berhubung kawasan maritim yang mempunyai kepentingan strategik itu.

Kepulauan Spratly selain dituntut oleh China juga dituntut seluruhnya atau sebahagiannya oleh Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pulau Layang-Layang berdekatan Kepulauan Spratly untuk menegaskan Malaysia akan mempertahankan haknya ke atas pulau tersebut.

Vietnam juga baru-baru ini, menekankan tuntutannya terhadap beberapa pulau di Laut China Selatan manakala pada Mac lalu, Filipina meluluskan rang undang-undang mempertahankan haknya terhadap sebahagian Kepulauan Spratly.

Suruhanjaya PBB mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) kini menerima penghujahan daripada negara-negara terbabit dalam usaha untuk memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu.

Tuntutan sedemikian selalunya bertindan dan bercanggah dengan tuntutan maritim negara lain.
Malaysia dan Vietnam membentangkan penghujahan bersama kepada PBB pada Rabu lalu, seminggu sebelum tarikh akhir 13 Mei yang ditetapkan oleh PBB untuk negara-negara terlibat mengemukakan tuntutan ke atas pelantar benua yang menganjur.

Vietnam mengemukakan laporan berasingan pada Khamis lepas.
Bagaimanapun, menurut Peraturan Prosedur CLCS, "dalam kes-kes terdapatnya pertikaian darat atau maritim, Suruhanjaya ini tidak akan menimbangkan dan menerima sesuatu penghujahan yang dibuat oleh mana-mana negara yang terlibat dalam pertikaian itu."
Zhaoxu berkata, Perwakilan Tetap China ke PBB sudah pun mengemukakan nota kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

"Kerajaan China menghuraikan pendiriannya yang tegas dan saksama dalam nota itu, dan menggesa CLCS agar tidak menimbangkan penghujahan tersebut, sejajar dengan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Peraturan Prosedur CLCS," kata Zhaoxu. - Reuters/Xinhua

Kepulauan Spratly: Malaysia tetap guna pendekatan diplomatik

Sumber: Utusan online

KUALA LUMPUR 12 Mei – Malaysia menghormati pendirian China yang memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly yang turut dituntut oleh negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menjelaskan bahawa kenyataan keras itu tidak akan menjejaskan dasar penyelesaian secara diplomatik yang diguna pakai oleh Malaysia apabila berhadapan dengan sebarang kes pertikaian tuntutan wilayah atau kepulauan.

“Dasar kita adalah jelas sejak dahulu lagi tidak akan memilih pendekatan kekerasan sebaliknya mengutamakan perundingan diplomatik dan ia secara dasarnya dipersetujui oleh negara sahabat lain seperti Taiwan, Vietnam dan Filipina yang membuat tuntutan sama.

“Dalam kes China ini, mungkin mereka mempunyai pandangan berbeza berbanding negara lain dan kita menghormatinya tetapi pada masa yang sama Malaysia mempunyai pendirian sendiri iaitu ia perlu diselesaikan melalui perundingan diplomatik,” katanya ketika mengulas kenyataan jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu yang memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly.

Katanya, China telah memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Beijing memiliki ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan’ dan tidak akan bertolak-ansur terhadap negara-negara lain yang turut menuntut pulau-pulau berkenaan.

Kepulauan Spratly yang kaya dengan minyak dan gas serta kedudukannya yang strategik, selain dituntut oleh China juga dituntut seluruhnya atau sebahagiannya oleh Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Khidmat pesawat MiG-29N dikekalkan

Sumber: Utusan online

TAMPIN 12 Mei - Perkhidmatan pesawat pejuang pemintas jenis MiG-29N Fulcrum akan dikekalkan sungguhpun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menerima pesawat terbarunya, Sukhoi SU-30MKM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihak kementerian tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan jet pejuang berkenaan.
"Kita perlukan beberapa perubahan bukan sahaja daripada segi peralatan," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan pertamanya ke Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan perkhidmatan pesawat MiG-29N akan ditamatkan berikutan kos menaiktaraf yang terlalu mahal dan telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.

Hadir sama pada lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, 11 kem Tentera Darat (TD) di negara ini akan dinaik taraf dengan segera berikutan keadaannya yang agak daif dan perlu diberi perhatian segera bagi memulihkan imej dan kebajikan anggota keselamatan itu.

"Saya fikir beberapa keperluan perlu diberi perhatian terutamanya tumpuan untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap kem di beberapa tempat yang kelihatan daif bagi keperluan imej serta kebajikan Tentera Darat," katanya.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, setakat ini keupayaan dan kesiapsiagaan anggota Tentera Darat perlu dipertingkatkan bukan sahaja daripada segi persenjataan malah turut melibatkan semangat serta kemudahan kepada mereka.

Saturday, May 9, 2009

Dasar pertahanan Australia mencurigakan

Sumber: Utusan Online
Oleh AZMI HASSAN
GeoStrategis Universiti
Teknologi Malaysia (UTM)


AUSTRALIA sememangnya dikenali sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dan tidak menghairankan dilabel sebagai Timbalan Sherif AS di rantau Asia Pasifik. Malah di Iraq, apabila kebanyakan sekutu Washington mengambil keputusan mengundurkan tentera, Canberra tetap utuh bersama dengan AS.

Tetapi Australia tidak pernah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Walaupun negara tersebut dianggap pembantu penting Washington, persepsi tersebut timbul kerana sokongan Canberra tidak pernah luntur dan bukannya kerana kekuatan ketenteraan.

Tetapi apabila Perdana Menteri Australia Kevin Rudd beberapa hari lepas mengumumkan akan membuat perolehan aset ketenteraan berjumlah RM245 bilion dalam masa dua dekad akan datang, ramai penganalisis tertanya-tanya apakah Canberra sudah tidak mahu jadi Timbalan Sherif tetapi sudah bersedia untuk mengambil tempat Washington di rantau Asia Pasifik.

Peruntukkan RM245 bilion jika dihalusi tidaklah sebesar seperti yang dibelanjakan oleh AS atau China, tetapi dalam keadaan ekonomi yang agak tidak menentu maka sudah tentu perbelanjaan sebesar ini menimbulkan syak wasangka di kalangan negara berdekatan Australia.

Jika diteliti jenis aset yang akan diperolehi seperti 100 jet pejuang F-35 JSF, 12 kapal selam, 8 kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu balistik dan 24 helikopter tempur, maka sudah sah Canberra sememangnya serius dengan perancangan pertahanan mereka.

Apa yang paling menarik ialah perolehan F-35 kerana ia adalah jet pejuang paling canggih pernah dibangunkan yang membuatkan jet pejuang lain seperti Sukhoi SU-30 buatan Rusia jauh ketinggalan ke belakang.

Perlu diingatkan bahawa SU-30 adalah jet pejuang terbaru milik tentera udara Malaysia dan India. Tidak keterlaluan juga jika dinyatakan F-35 adalah jauh lebih hebat daripada F-22 Raptor yang amat dibanggakan oleh tentera Kor Marin AS.

Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera Australia (ADF), skop perolehan aset banyak tertumpu kepada tentera laut (RAN) kerana setiap perolehan mempunyai elemen pertahanan perairan Australia.

Kapal perang yang mempunyai kemampuan peluru berpandu balistik dan kapal selam adalah dua contoh yang begitu nyata yang mana kepentingan pertahanan perairan amat diutamakan. Begitu juga dengan ciri-ciri jet pejuang F-35 yang diutarakan kepada pembuat Lockheed Martin, lebih mengutamakan untuk kegunaan RAN.

Dasar pertahanan terbaru Australia ini ekoran daripada kertas putih yang mengambil kira senario pertahanan dan keselamatan Asia Pasifik sehingga tahun 2030. Apa yang paling menarik mengenai kandungan kertas putih tersebut ialah kemungkinan berlakunya perang di rantau ini adalah tinggi dan dicadangkan Australia mengambil langkah proaktif untuk bersedia menghadapi kemungkinan tersebut. Sebab itu perolehan aset ketenteraan yang agak mendadak dilakukan tanpa mengambil kira perasaan jiran Australia.

Kertas putih tersebut juga mencadangkan Canberra mengambil alih peranan Washington di Asia Pasifik dan mencadangkan supaya Canberra mampu melaksanakan pertahanan hadapan iaitu menangani konflik sebelum ia sampai ke bumi Australia.

Agak memeranjatkan juga apabila kertas putih tersebut mensasarkan akan berlakunya konflik di Asia Pasifik sebagai asas laporan kerana kesimpulan sedemikian rupa sudah pasti memaksa Canberra mengambil langkah yang agak drastik.

Tetapi apa yang paling mencurigakan sekali ialah faktor kemunculan China sebagai kuasa besar digunakan sebagai dalil utama mengapa rantau tersebut dianggap sebagai tidak stabil. Perlu juga dinyatakan Perdana Menteri Rudd dianggap sebagai pakar mengenai hal ehwal China.

Kertas putih mengenai pertahanan Australia dikeluarkan selang beberapa minggu selepas Pentagon mengeluarkan laporan tahunan mengenai perbelanjaan pertahanan China.
Laporan Tahunan Pentagon dan kertas putih Australia dianggap senada kerana kemunculan China sebagai kuasa besar tentera diberi penekanan yang agak tinggi.

Laporan Pentagon disanggah oleh Beijing kerana memperbesarkan isu penambahan perbelanjaan ketenteraan kerana peruntukan tersebut dianggap jauh lebih kerdil berbanding dengan apa yang dibelanjakan oleh AS.

Begitu juga dengan kertas putih Australia, Beijing turut membantah kerana menggambarkan kehadiran tentera China sebagai organisasi yang mampu menimbulkan huru-hara.
Sememangnya bagaikan terdapat satu gerakan yang cuba menggambarkan kemunculan China sebagai kuasa besar tentera adalah pemangkin kepada ketidakstabilan Asia Pasifik. Laporan Tahunan Pentagon dan kertas putih pertahanan Australia jelas mempamerkan hala tuju Washington dan Canberra mengenai Beijing.

Strategi Washington dan Canberra untuk mengekang China begitu jelas kerana kedua-dua sekutu tersebut bersama-sama dengan Tokyo mempunyai persefahaman pertahanan yang baru dijalinkan.

Pakatan Washington-Canberra-Tokyo adalah satu manifestasi yang begitu jelas untuk menyekat pengaruh China di Asia Pasifik dan menggambarkan Beijing mempunyai niat yang tidak baik.

Setakat ini Washington berjaya menimbulkan kesangsian terhadap kejujuran Beijing mengenai perbelanjaan ketenteraan China. Strategi yang sering digunakan oleh Washington adalah dengan menekankan jumlah peruntukan yang dinyatakan oleh Beijing adalah jauh lebih tinggi daripada yang sebenar dibelanjakan.

Tetapi jika diteliti jumlah perbelanjaan pertahanan dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara lain memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang lebih tidak seimbang. Sekutu kuat terbaru Washington iaitu India membelanjakan peruntukan pertahanan melebihi 0.6 peratus KDNK berbanding China.

Malah Taiwan yang dikatakan punca ketegangan Washington-Beijing, memperuntukkan perbelanjaan pertahanan hanya 0.1 peratus KDNK lebih rendah daripada China.
Negara yang memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan yang paling besar ialah AS iaitu melebihi 4 peratus KDNK dan pengiraan ini tidak termasuk apa yang dibelanjakan di Iraq, Afghanistan dan untuk kegunaan keselamatan dalam negeri AS.

Apa yang telah dilakukan oleh Canberra telah menimbulkan syak wasangka melebihi dari apa yang cuba digambarkan oleh Washington terhadap kejujuran Beijing.
Aset ketenteraan yang dibuat Canberra adalah yang tercanggih berbanding dengan Beijing yang kebanyakannya adalah proses menggantikan peralatan tentera yang sudah usang. Menggunakan faktor kehadiran China sebagai asas pertahanan Australia dianggap sebagai kesilapan besar Canberra yang hanya mengikut kemahuan Washington.

Thursday, May 7, 2009

Malcon East IV teruskan misi cemerlang ATM

Sumber: Utusan Online
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA


SUZIE @ Suzianna Yusof (kiri) dan Huda Pison bersama kumpulan pendahuluan Malcon East IV berlepas ke Lebanon untuk misi bantuan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).










KONTINJEN pengaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diberi kepercayaan untuk meneruskan misi bantuan di Lebanon.

Ia merupakan misi bantuan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) untuk meneruskan bantuan pengaman yang telah diberikan sebelum ini.
Dari segi sejarahnya, PBB telah mula mempelawa ATM untuk menyertai misi Unifil bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan bertarikh 11 Ogos 2006.

Dari pelawaan tersebut, kerajaan Malaysia bersetuju untuk menghantar kontinjen dengan komposisi kekuatan seramai 360 anggota dan peralatan logistik sejak awal Januari 2007.
Sehingga kini, ATM telah menghantar empat kontinjen pengaman menyertai misi Unifil untuk menjalankan misi keselamatan di Lebanon.

Antaranya ialah:

Malcon East I
Kontinjen ini adalah pasukan pertama yang mewakili ATM. Mereka telah memulakan tugas bermula 2 Januari 2007 hingga 28 Oktober 2007.

Malcon East II
Kumpulan kedua ini mula menjalankan tugas mereka bermula 29 Oktober 2007 dan berakhir pada 29 Julai 2008. Kumpulan ini juga merupakan kumpulan pertama kali membawa 10 anggota wanita ATM untuk bersama-sama menjalankan misi di Lebanon.

Malcon East III
Kontinjen ketiga ini mula menjalankan tugas pengaman merek bermula 30 Julai 2008 hingga 30 April 2009.

Malcon East IV
Kontinjen keempat ini mula menjalankan misi pengaman mereka bermula 1 Mei 2009 hingga 29 Januari 2010.
Misi pengaman ini ditugaskan selama sembilan bulan dan untuk anggota wanita selama empat setengah bulan di mana melibatkan dua kumpulan wanita dalam satu misi.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, penubuhan, persedian dan penugasan pasukan Malcon East IV dilaksanakan dalam empat tahap. Tahapnya boleh dibahagikan seperti berikut:

Tahap 1 - persedian dan latihan.
Tahap 2 - pergerakan ke kawasan misi.
Tahap 3 - pelaksanaan tugas di kawasan misi.
Tahap 4 - pergerakan balik ke tanah air dan pembubaran.

Beliau berkata, latihan yang diberikan juga meliputi pentadbiran, anggota, ujian kecergasan jasmani, latihan induk, forces integration training (FIT) dan persiapan logistik di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD), Kem Batu 10, Kuantan, Pahang mulai 6 Januari 2009 selama tiga bulan.

Abdul Aziz berkata, bentuk persedian dan latihan yang diberikan adalah bertujuan memastikan pasukan Malcon East IV memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Kriteria-kriteria ini bertujuan melahirkan pegawai dan anggota ATM berkualiti dan berwibawa selain:

-Terlatih dan dilengkapi ilmu pengetahuan yang cukup untuk melaksanakan mandat PBB.
- Berupaya melaksanakan pengawasan dan tinjauan.
- Berupaya menguruskan keupayaan logistik sendiri.
- Berupaya beroperasi bersendirian di kawasan tanggungjawab (KTJ).
- Bersedia untuk berada di kawasan misi sekurang-kurangnya sembilan bulan.
Anggota

Pasukan Malcon East IV Unifil terdiri daripada 279 anggota Tentera Darat, 40 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 40 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang staf awam. Mereka berlepas ke Lebanon pada 21 April lalu.

Kumpulan pertama (pendahuluan) Malcon East IV telah berlepas ke sana dan melibatkan 160 orang (termasuk dua pegawai dan tiga anggota wanita).
Selepas itu, kumpulan kedua pula akan melibatkan seramai 199 orang (termasuk tujuh anggota wanita) dan berlepas pada 30 April.

Menurut Abdul Aziz, Malcon East IV diketuai oleh Kolonel Hashim Aman Shah sebagai Komander Pasukan dan dibantu oleh Leftenan Kolonel Romainor Mohamed selaku Timbalan Komander.

Tambahnya, pada misi kali ini, pasukan wanita Malcon East IV akan menjalankan tugas di sana selama empat setengah bulan.
Kumpulan pertama diketuai oleh Kapten Suzie@Suzianna Yusof manakala kumpulan kedua diketuai oleh Kapten Junainah Baharudin.

"Saya menggesa pegawai dan anggota ATM di Lebanon sentiasa menjaga tahap profesionalisme mereka kerana tingkah laku mereka menggambarkan keseluruhan imej ATM.
"Sematkan di dada anda semua slogan 'Malaysia Boleh' untuk membuktikan ATM sebagai pasukan profesional dan komited terhadap tugas yang diberikan," kata Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghantaran Malcon East IV di Pangkalan Udara TUDM, Subang baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor.
Beliau juga meminta supaya para pegawai dan anggota ATM ke Lebanon supaya memperbanyakkan berpesan antara satu sama lain, elakkan suasana kerja tegang dan paling penting adalah tanggungjawab setiap individu dalam mempraktikkan mutu disiplin tinggi tanpa sebarang kompromi.

Selain itu, katanya, setiap individu perlu mengekalkan moral yang tinggi termasuk taat setia dalam kalangan pegawai dan anggota agar tidak menyalahi peraturan ditetapkan sepanjang tempoh sembilan bulan di negara itu.

Sementara itu, seorang anggota ATM wanita yang pertama kali mengikuti misi kali ini, Kapten Huda Pison, 27, berkata, pengalaman mengikuti misi kali ini merupakan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka akan terpilih untuk ke Lebanon dan menganggap ia merupakan penghargaan yang cukup bermakna untuk dirinya.
"Dari segi persediaan, saya sudah bersedia mental dan fizikal untuk berada dan menjalankan tugas di sana.

"Berkat latihan yang diberikan banyak memberi kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi untuk berada di Lebanon untuk misi bantuan pengaman di sana," katanya.
Seorang lagi anggota dari Risik Darat, Kapten Suzie @ Suzianna Yusof, 28, pula berkata, dia cukup gembira untuk ke Lebanon kerana ia merupakan misi yang cukup penting dan melambangkan kredibiliti ATM.

Jadi, katanya, pengalaman pertama ini akan dilengkapi sepenuhnya untuk mencari pengalaman baru berada dalam misi pengaman di luar Malaysia.
"Saya cukup gembira kerana terpilih dan berharap akan dapat melaksanakan tugas yang diberikan ini dengan jayanya.

"Walaupun masih terkejut dengan pemilihan ini, ia tidak sedikitpun melemahkan saya sebaliknya memberi semangat untuk berjuang dan terus memartabatkan nama ATM di peringkat dunia," jelasnya.

Seorang lagi anggota ATM dari Pasukan Khas Laut (Paskal), Lans Koperal Hazrin Hashim, 30, berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk ke Lebanon kerana ini bukan merupakan pengalaman pertamanya berada di negara luar untuk misi pengaman.

"Tempoh sembilan bulan merupakan tempoh yang panjang. Saya beranggapan misi kali ini akan lebih mencabar dan disebabkan itu daripada awal lagi kami dilatih untuk memperlengkap diri sebelum ke sana.

"Selain itu, ini juga merupakan pengalaman pertama saya menjalankan tugas di darat kerana sebelum ini saya berada di laut untuk menjalankan tugas," katanya.

Hazrin berkata, pengalaman pertama menjalankan tugas di darat memang tidak akan dilepaskan untuk terus memperlengkapkan diri bagi menjadi anggota ATM yang berjaya.
Sebelum ini, Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor berkata, Malcon East IV digesa melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab dengan beretika.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi penekanan kerana pegawai dan anggota ATM yang bertugas di Lebanon dianggap sebagai duta negara.
Beliau berkata, pasukan Malcon East IV Unifil juga dinasihati mewujudkan suasana ceria dan harmoni dalam kalangan mereka bagi mengelak berlaku suasana tegang ketika bertugas.

"Komander, pegawai dan semua peringkat kepimpinan dalam Malcon East IV Unifil perlu sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain bagi mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pengisytiharan Status Operasi Kontinjen Darat Malcon East IV Unifil di Pangkalan Tentera Darat, Kuantan, 18 Februari lalu.

Tuesday, May 5, 2009

Tentera Wataniah di semua kawasan parlimen - Zahid

BAGAN DATOH 12 April — Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu batalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan bagi seluruh negara, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan pertahanan itu akan mengandungi 300 anggota bagi setiap platun yang terdiri pelbagai kaum dan bilangan anggota secara keseluruhan dijangka 600,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Penubuhan Tentera Wataniah adalah sebagai usaha untuk membantu angkatan tentera dalam menjalankan tugas menjaga keamanan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan di sini hari ini.

Katanya kementerian itu juga akan mewujudkan persatuan bekas veteran tentera sebagai tanda penghargaan di atas perkhidmatan mereka dalam pasukan pertahanan pada masa lalu.
Beliau berkata kementerian akan mewujudkan dana kebajikan bagi tujuan membantu meringankan beban bekas tentera yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menambahkan lagi jumlah pasukan kadet tentera di sekolah supaya pelajar dapat diberi pendedahan awal mengenai pasukan pertahanan selain membina semangat patriotisme di kalangan mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengumumkan penubuhan satu batalion Kem Tentera di kawasan seluas 80 hektar berhampiran Ladang Jenderata di Hutan Melintang di sini serta sebuah pangkalan mini Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jeti Bagan Datoh.
— BERNAMA

Tinggalkan pesanan anda di sini