About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, May 18, 2009

DATARAN JUANG – MERAKAM SEJARAH PERJUANGAN TENTERA DARAT DI PERBATASAN

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Mei 09.
Oleh: Hamzah hd.

Satu lagi monumen sejarah dibina bagi memperingati perjuangan Pasukan Keselamatan (PK) semasa darurat dalam memastikan keselamatan persempadanan negara sentiasa terjamin. Dataran Juang Tentera Darat (DJTD) merupakan simbol penghayatan terhadap pengorbanan dan pengabdian PK yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada nusa dan bangsa.

DJTD dan Markas Taktikal 749 ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin pada 28 Mac 2009.

- DJTD yang mempamirkan monumen Kereta Perisai yang melanggar batu melambangkan kekuatan TD yang berbekalkan semangat waja serta kelengkapan persenjataan yang ada telah mampu meredah tembok kekebalan dan memusnahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengancam keselamatan negara sehingga menyebabkan mereka menamatkan perjuangannya.

- Elemen lain yang sangat signifikan dengan perjuangan ini ialah pengorbanan anak watan yang dizahirkan dengan 5 batang tiang yang berwarna hitam yang tidak sekata melambangkan pelbagai liku-liku perjuangan dalam pelbagai operasi yang telah dilaksanakan.

- Manakala warna hitam melambangkan jati diri dan kekentalan perjuangan anak watan walaupun nyawa yang dipertaruhkan bagi menjaga persempadanan negara.

- Warna merah di sekeliling monumen ini pula melambangkan titisan darah yang tumpah hasil perjuangan pejuang-pejuang negara dan nama-nama pahlawan ini terpahat di DJTD.

Konsep dan reka bentuk DJTD telah diilhamkan oleh Lt. Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima Medan TD semasa beliau memegang tampuk pemerintahan 2 Div.

Pembinaan DJTD dan peningkatan pembangunan Markas Taktikal 749 telah dilaksanakan pembinaannya dengan menggunakan kepakaran TD. Projek pembinaan ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Markas 2 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bermula 15 Julai 2008 sehingga 20 Mac 2009 Pembinaan keseluruhan untuk tempoh selama 9 bulan ini disiapkan oleh seramai 9 pegawai dan 196 anggota.




SEJARAH MARKAS TAKTIKAL 749

Tapak Markas Taktikal 749 yang dulunya dikenali sebagai Kem Seri Banding yang sejarah asalnya merupakan tapak pembinaan Jambatan Banding yang bermula pada tahun 1978. Pembinaan Jambatan ini adalah projek utama kerajaan dalam Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) yang melibatkan pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat dari Jeli Kelantan hingga ke Gerik Perak. Pada tahun 1980 projek tersebut telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Markas 10 Briged yang bertanggungjawab terhadap operasi pada ketika itu.

Pengorbanan PK telah berjaya mengekang ancaman PKM yang memangkin kepada perletakan senjata oleh PKM pada 1989. Pada Dis 2006, Batalion 304 Infantri Askar Wataniah (Bn 304 Inf)(AW) yang sekarang dikenali sebagai Batalion 4 Rejimen Sempadan yang mana bertanggungjawab terhadap sektor Op Kota Echo/Foxtrot telah menyerahkan penugasan operasi kepada Bn ke 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan seterusnya dijadikan Markas Taktikal Briged apabila Zon Utara dilancarkan pada Jan 2007 sehingga kini.

Markas Taktikal ini telah banyak menyaksikan perjuangan dan pengorbanan TD dalam menentukan keselamatan persempadanan di samping merealisasikan konsep KESBAN yang menjadi serampang dua mata kerajaan di dalam pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan pendalaman negeri-negeri yang bersempadan yang agak mundur dan ketinggalan. Dalam masa yang sama usaha kerajaan untuk mengekang keagresifan PKM yang bergerak melalui Selatan Thailand.

Briged Kawalan Operasi bagi Op Zon Utara dilaksanakan di Markas Taktikal 749 secara bergili-gilir di antara 2 Briged, 6 Briged dan 8 Briged untuk tempoh selama 4 bulan di Sektor Operasi bermula dari Bukit Kayu Hitam di Kedah sehingga ke Rantau Panjang, Kelantan.

Penaiktarafan Markas dengan konsep baru ini telah memberi keselesaan kepada pasukan-pasukan dan anggota-anggota yang melaksanakan tugas dan amanah di barisan hadapan negara dengan lebih efisyen dan akan diterjemahkan dengan peningkatan daya juang. Pembangunan ini juga sejajar dengan pembangunan persekitaran Tasik Banding yang sedang pesat membangun dan akan menjadi daya tarikan baru destinasi pelancongan yang berkonsepkan sejarah perjuangan anak watan yang bemandi darah dan keringat demi membebaskan negara dari belenggu ancaman komunis dengan harapan ianya menjadi suatu pendedahan dan pengajaran kepada generasi muda tentang sejarah tanahair.

RAKAMAN SEJARAH PERTEMPURAN

Ancaman PKM yang mengaturgerakkan unit penggempurnya di kawasan Kedah, Ulu Perak dan Ulu Kelantan telah memaksa TD mengatur strategi gerakan dengan mengadakan operasi bagi membendung pergerakannya. Operasi TD yang yang dikenali sebagai Operasi Kota dilancarkan pada 21 Feb 1968 merangkumi 8 sektor di perbatasan dari Perlis hingga ke Kelantan bagi menguasai sempadan Malaysia-Thailand untuk melumpuh dan menghapuskan gerakan PKM.

Sepanjang gerakan operasi ini dijalankan, banyak pertempuran bersejarah telah dicatatkan yang mana ada yang gugur sebagai bunga bangsa dan ada yang sehingga kini masih hidup. Di antaranya ialah:

- Pada 16 Apr 1976, semasa Ops Kota Gubir. PK telah mengenal pasti beberapa kem Pengganas Komunis (PGK) di sempadan Malaysia-Thai berhampir Gubir di Kedah dan mengepungnya. Untuk mendapat impak yang lebih besar dalam operasi tersebut, pesawat Tempur (Tebuan CL-41G) dari Skn No 6 dan Pesawat F5E dari 12 Skn TUDM turut dilibatkan dengan membuat serangan dari udara.

- Pada 15 Julai 1976, semasa Operasi Gubir II, Kapt Zainal bin Abd Rashid dari 17 RAMD gugur sebagai syahid selepas berjaya membunuh 3 orang pengganas komunis di dalam satu pertempuran sengit yang menyebabkan 6 orang daripada 15 pengganas komunis terbunuh dan berjaya merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977 dan dinaikkan ke Pangkat Mejar.

- Pada 15 Ogos 1976, sekumpulan 30 orang PGK telah melakukan serangan hendap terhadap PK yang sedang bertugas di Batu 39, Lebuh Raya Timur Barat. Dalam kejadian ini Prebet Lelias bin Ibrahim (Bersara PW1(PGB)) telah berjaya membunuh 3 orang PGK manakala 2 orang anggota PK gugur di medan pertempuran.

- Pada 12 Nov 1981, satu pertempuran berlaku di Pos Gerik Perak melibatkan Bn. 302 Inf (AW) yang telah diserang hendap oleh PGK. Dalam kejadian tembak menembak selama lebih kurang 30 minit itu, LKpl Zulkifli bin Osman telah terkorban.

Terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang penglibatan ATM atau TD khususnya di dalam menjaga persempadanan utara semenanjong dari segala bentuk ancaman keselamatan maupun penyeludupan malah pencerobohan hasil bumi yang benilai bilion ringgit.

Sesungguhnya Lebuh Raya Timur-Barat dan KESBAN merakam banyak peristiwa dan sejarah perjuangan yang melibatkan kemusnahan harta benda dan nyawa sebagai galang ganti. Justeru itu DJTD dan elemen-elemen yang terpamir merupakan simbolik perjuangan TD dan akan dijadikan sebahagian daripada Muzium TD yang menyimpan warisan sejarah TD khususnya. PERAJURIT

1 comment:

theriderinblack said...

Sebagai anak kepada bekas anggota tentera, saya memahami betapa pengorbanan wira2 negara dalam mempertahankan kedaulatan negara ini bukanlah sesuatu yang boleh diperkecilkan. Pembinaan Lebuhraya Timur Barat merupakan suatu instrumen yang digunakan oleh kerajaan sebagai serampang dua mata iaitu untuk memudhkan perhubungan antara Perak-Kelantan dan satu ialah sebagai memutuskan laluan pengganas komunis yang aktif bergerak di sempadan perbatasan negara.
Tabek kepada semua wira negara yang pernah bertugas di sepanjang laluan lebuhraya tersebut. Memang terlalu sensitif laluan di sana. Saya sendiri pernah melalui lebuhraya tersebut bermula pada tahun 1983. Pernah sekali motosikal saya menghadapi masalah di lebuhraya itu ketika perjalanan dari Kota Bharu ke Grik pada tahun 1984. Namun saya telah mendapat bantuan dari anggota tentera yang bertugas ketika itu. Jasa mereka tidak akan saya lupakan sepanjang hayat ini.
Terlalu banyak kenangan saya di lebuhraya ini. Bagi wira2 yang telah kembali ke rahmatullah, al fatihah disedekahkan buat mereka. Bagi waris2 korban pertempuran di sepanjang laluan tersbut, bersabarlah kerana mereka yg terkorban itu adalah wira2 yang mewarnai sejarah kebangkitan negara yang berdaulat ini.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini