About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, July 17, 2013

Konfrontasi Indonesia – Malaysia Di Sarawak

Oleh : Razza Bin Willi


Umum mengetahui bahawa Konfrontasi Indonesia dan Malaysia bermula apabila Presiden Sukarno melancarkan Gerakan Ganyang Malaysia yang sememangnya menjejaskan keselamatan Negara Malaysia pada ketika itu. Pada 20 Januari 1963 pula, sebuah perhimpunan telah diadakan oleh pihak Indonesia dan Menteri Luar Indonesia pada masa itu,  Dr. Subandrio telah mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia. Sebagai akibatnya pula, Kepala Staf Strategik Angkatan Darat Indonesia, Jeneral Achmad Yani telah menasihati Presiden Sukarno agar tidak terus melancarkan konfrontasi dengan Malaysia kerana ini akan menyebabkan pihak tentera British dan Australia terlibat konflik dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Walaubagaimanapun, Presiden Sukarno menyifatkan nasihat itu sebagai membelakangi arahannya.

Dalam usaha Presiden Sukarno menggulingkan penubuhan Malaysia, beliau juga telah memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962 yang bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia. Konfrontasi Presiden Sukarno telah berubah dari perang mulut sehingga membawa kepada konfontasi ketenteraan.

Konflik Indonesia – Malaysia Bermula dengan Tembakan Pertama

Tembakan pertama yang memulakan perang gerila di sempadan Sarawak – Kalimantan yang berakhir dari 1963 sehingga 1966 dilepaskan  pada 12 April 1963 di dalam pos polis yang terletak di Tebedu yang terletak 40 kilometer dari Kuching. Tembakan pertama dalam konflik ini telah membunuh seorang anggota polis yang berpangkat Korperal iaitu, Korperal John Remek yang pada ketika itu sedang menjalankan tugas di dalam “Charge Room” setelah menggantikan seorang lagi anggota polis yang bertugas. Beliau merupakan perajurit pertama yang gugur di dalam serangan pertama di Sarawak oleh pihak Indonesia. 

Korporal John Remek telah diserang hendap oleh pasukan penyerang Tentera Nasionalis Indonesia yang meluru masuk ke dalam balai polis tersebut.  Korporal John Remek telah ditembak bertubi-tubi sehingga meninggal dunia pada jam 0200 pagi dan pada tarikh itu, 12 April 1963 turut merupakan hari Good Friday. Menurut siasatan yang dijalankan, para penyerang ini telah lama memerhatikan Balai polis Tebedu ini dalam sesuatu tempoh dan ada di antara mereka telah berpura-pura menjadi peniaga yang mencari rezeki di pasar yang berdekatan kerana Tebedu merupakan salah satu tempat perniagaan di antara peniaga Indonesia dan peniaga tempatan utk mencari rezeki. Dengan berpura-pura menjadi peniaga sehingga bertahun-tahun lamanya, kegiatan pasukan penyerang ini tidak akan disedari oleh pihak keselamatan (Security Forces).
Di dalam serangan ke atas Balai Polis Tebedu tersebut, bilik senjata polis juga telah dicerobohi oleh penyerang tersebut. Senjata api dan amunisi-amunisi turut dilarikan oleh mereka. Selain itu, mereka juga melepaskan tembakan ke arah berek polis dan mencederakan seorang konstabel polis (PC) di lengan kanannya dan turut mencederakan seorang anggota polis yang berpangkat Korporal di telinga dan peha kanannya. Para penyerang Berjaya melarikan 13 laras senapang, 2 laras Sterling 9mm Sub Machine Gun (SMG), sepucuk revolver, selaras Bren Gun, selaras Greener Gun, 3 laras senapang patah, sepucuk Verey Light pistol dan 85 butir peluru pelbagai jenis.
Sebelum meninggalkan balai polis tersebut, penyerang-penyerang tersebut turut meninggalakn beberapa keeping gambar tentera dari Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU) dan satu ‘shoulder patch’ logam yang tertulis “TNKU” dan “BAT-X” sebagai bukti kehadiran mereka.


Serangan kedua oleh para militant TNKU berlaku pada 27 April 1963. Sebuah lagi Balai Polis di Tebedu telah dijadikan sebagai sasaran dan kali ini, para penyerang hanya terdiri daripada Sembilan orang penyerang sahaja. Para penyerang bertindak dengan melepaskan tembakan yang bertubi-tubi dengan senjata automatic yang dipercayai dilakukan pada jarak kurang daripada 100 ela ke 200 ela. Namun begitu, para penyerang kali ini berhadapan dengan pasukan komando British dari 40 Komando Marin Diraja (40th Royal Marine Commandos) dan Pasukan Polis Hutan (kini dikenali dengan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia) yang mengawal seluruh perimeter balai polis tersebut dengan serta-merta membalas tembakan pihak musuh. Insiden tembak-menembak berlangsung selama lima belas minit tanpa korban pada kedua-dua belah pihak. Disebabkan oleh keadaan yang gelap-gelita pada ketika itu, pihak Pasukan Keselamatan tidak mengejar musuh tetapi sebaliknya, menunggu sehingga awal pagi pada keesokan harinya utk menjejaki para penyerang itu. Unit anjing pengesan atau Tracker Dogs turut dibawa masuk dari Kuching oleh pihak tentera British.


Salah satu insiden yang menyedihkan adalah serangan yang dilakukan di Gumbang, Bau, Sarawak. Kisah ini diceritakan oleh seorang ayah yang berasal dari Sidin, iaitu sebuah perkampungan kecil Indonesia yang terletak berhampiran dengan Gumbang, Bau. Beliau yang berasal dari Sarawak, telah Berjaya menyusup keluar ke sempadan Sarawak bagi mencari perlindungan untuk diri sendiri dan ahli keluarganya walaupun mereka telah menetap di Sidin selama 20 tahun pada ketika itu. Menurutnya, sebelum serangan di Gumbang, Bau dilancarkan oleh pengganas TNKU, mereka telah menghampiri anaknya dengan tujuan untuk memujuk dia bekerja sebagai ‘porter’ untuk membawa amunisi dan bekalan makanan kepada mereka. Namun begitu, anaknya telah enggan bekerjasama dengan para pengganas TNKU ini dan akhirnya, menyebabkan dirinya dibunuh oleh mereka dengan melepaskan tembakan  dari peluru .303 lebih kurang 20 butir. Pembunuhan ini dilakukan di hadapan ahli keluarga mangsa. Bayangkan keadaan Si Ibu melihat anaknya dibunuh dengan matanya sendiri! Hanya Allah S.W.T yang tahu kepedihan ini.


Insiden Di Long Jawi, Sarawak…Insiden Paling Berdarah Semasa Kempen Konfrontasi Indo-Malaysia
Insiden Long Jawi, itulah pertempuran paling berdarah di dalam salah satu kawasan pedalaman dan yang paling sukar untuk dijejaki kerana darjah ketersampaian yang rendah pada ketika itu. Insiden ini turut merupakan insiden yang paling teruk di mana ramai perajurit kita yang terdiri daripada tentera mahupun polis telah gugur dan ramai juga orang awam yang terbunuh. Di mata pihak Indonesia, korban pada pihak mereka adalah lebih tinggi berbanding kita sehingga mereka tidak lagi melancarkan apa-apa serangan hendap pada skala besar di dalam kawasan ‘hostile’.
Namun atas kehilangan yang besar, pertempuran ini turut menyaksikan ramai daripada perajurit-perajurit kita dari Pasukan Keselamatan pada ketika itu dikurniakan pingat di atas keberanian mereka berbanding kempen-kempen yang lain semasa era Konfrontasi Indonesia-Malaysia sekitar tahun 1963 sehingga 1966.

Inilah kisah pertempuran yang membuktikan musuh kita sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa belas kasihan demi menjatuhkan kedaulatan negara kita. Inilah juga serangan yang dilakukan oleh kumpulan militan Indonesia berkekuatan seramai 100 orang yang lengkap bersenjata di Long Jawi. Kesemua militan ini mempunyai misi yang sama iaitu menawan ‘garrison’ yang dikawal oleh Pasukan Keselamatan di mana ianya telah dianggap sebagai halangan demi menyusup masuk ke Belaga dan berkemungkinan besar untuk menyusup jauh lagi ke dalam kawasan pedalaman.

Para militant ini telah ditemui sebelum pukul 6 pagi pada tarikh 28 September 1963 oleh sekumpulan kanak-kanak yang bermain di pinggir hutan. Kanak-kanak tersebut lantas mengetahui adanya ancaman berbahaya apabila terserempak dengan kumpulan militant tersebut yang lengkap bersenjata tetapi pula tidak ditemui pula oleh kumpulan tentera ini. Dengan itu, kumpulan kanak-kanak ini telah berlari balik ke perkampungan mereka secara senyap untuk memberitahu yang lain mengenai kehadiran para militant Indonesia di kawasan itu. Ketua rumah panjang dengan serta-merta menghubungi komander ‘garrison’, Korporal Tasbahadur Gurung dari ½ Batalion Gurkha yang lantas mengerahkan sekumpulan pasukan kecil untuk bersiap sedia di sana.


Bak kata pepatah Melayu, “malang tidak berbau”, pada sekitar jam 0630 pagi, serangan di Long Jawi pun dimulakan dengan pihak musuh yang melancarkan serangan menggunakan 60mm Mortar dan tembakan machine gun yang dihalakan terus kepada Pasukan Keselamatan. Tembakan mortar yang pertama telah mengenai tepat pada salah satu kubu pertahanan pihak tentera Gurkha dan membunuh seorang rifleman Gurkha dan seorang anggota Border Scouts dan mencederakan tiga lagi anggota Border Scouts yang lain.

Serangan mortar yang kedua pula membunuh dua ‘wireless operators’,  seorang daripadanya merupakan anggota Border Scouts manakala seorang lagi dari ½ Batalion Gurkhas. Akibat daripada ini, panggilan untuk mendapatkan bantuan (reinforcements) terbantut dengan kedua-dua anggota ‘wireless operator’ telah gugur dan juga peralatan ‘wireless’ yang telah musnah. Pasukan pengganas dengan itu cuba untuk menyerang posisi Pasukan Keselamatan dengan menggunakan pondok-pondok dan rumah panjang sebagai kubu pertahanan tetapi gagal disebabkan oleh tembakan yang bertubi-tubi daripada Pasukan Keselamatan. Di dalam pertempuran ini, seorang anggota Field Force (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM)) dan seorang anggota askar Gurkha telahpun tercedera.

Walaupun diserang secara bertubi-tubi oleh tentera Indonesia, pasukan keselamatan dapat mempertahankan posisi mereka sehingga pada tengah hari itu apabila Korporal Tashabadur mengerahkan anggota-anggota yang lain untuk berundur ke kawasan bukit berhutan yang terletak jauh sedikit daripada kawasan kampung tersebut. Pengunduran ini adalah disebabkan bekalan peluru yang semakin berkurangan yang dialami oleh pihak Pasukan Keselamatan. Penduduk kampung di situ pula tidak dapat memberikan apa-apa bantuan melainkan membunyikan diri masing-masing di dalam hutan dan hanya mendengar tembakan-tembakan yang dilepaskan oleh pihak tentera Indonesia dan pihak Pasukan Keselamatan kita.
Empat anggota askar Gurkha, dua orang anggota Field Force dan seorang anggota Border Scouts serta dua orang askar yang tercedera berjaya melarikan diri daripada pihak musuh tetapi tidak kepada sembilan orang anggota Border Scouts, guru besar sebuah sekolah rendah di Long Jawi dan seorang penolong perubatan kerajaan yang telah ditangkap oleh pihak tentera Indonesia. Pertempuran antara pihak tentera Indonesia dan pihak Pasukan Keselamatan kita tamat pada jam 1500 pada hari itu. Pertempuran selama sembilan jam berturut-turut ini berjaya tamat dengan sepenuhnya dan telah mengorbankan enam orang perajurit dari Pasukan Keselamatan kita.
Pihak tentera Indonesia yang pada masa itu pula tidak mencuba untuk menjejaki kumpulan pasukan keselamatan yang telah meloloskan diri tetapi sebaliknya, mereka membawa prisoners-of-war (banduan perang) ke hulu sungai Batang Balui dengan menggunakan lima buah bot berkuasa tinggi dan beberapa buah perahu. Tentera Indonesia ini tidak melepaskan apa-apa tembakan ke arah penduduk kampung di situ sehingga mereka berjaya tiba di kawasan hulu sungai tersebut. Berbalik kepada anggota Pasukan Keselamatan yang berjaya meloloskan diri pula, mereka berjaya tiba di Long Linau yang terletak di hilir sungai Batang Balui pada September 30. Mereka kemudiannya menyampaikan berita mengenai serangan di Long Jawi dan kejatuhan ‘garrison’ di Long Jawi kepada pihak tentera British dan Pasukan Keselamatan yang lain. Dengan itu, satu platun dari Batalion ½ Gurkhas telah diaturgerakkan ke dalam kawasan Long Jawi dengan menaiki pesawat helicopter jenis Wessex dari Tentera Laut Diraja British. Ini diikuti pula dengan bantuan-bantuan dari unit tempur yang lain. Sumber turut mengatakan bahawa satu kumpulan pasukan khas (special force) yang terdiri daripada Rejimen 22 Special Air Service (SAS) dan pasukan Rejimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th Royal Marine Commandos) turut dikerahkan ke Long Jawi.
.
Kekuatan sebenar pihak tentera Indonesia yang menyerang Long Jawi sebenarnya tidak dapat dipastikan. Ia kemudiannya telah dibuktikan untuk mempunyai seramai 50 sehingga 100 orang tentera kerana terdapat bukti di mana kem pengkalan tentera Indonesia yang telah dihuni oleh seramai 100 orang tentera di mana sesetengah daripada mereka adalah ‘porter’ yang bekerja dengan pihak Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU). Senjata api pelbagai model turut ditemui termasuklah 60mm Mortar, selaras GPMG, senapang tempur, sub-machine guns dan bom tangan ketika kem pengkalan mereka diserbu.

Guru besar sebuah sekolah rendah di Long Jawi, Lanchang Anak Dato, seorang warga Iban dari Saratok dan Penolong Perubatan yang berbangsa Kayan, Laeng Lirong dan Usat Anyi dari Border Scouts berjaya meloloskan diri daripada pihak tentera Indonesia yang telah menawan mereka. Walaupun dilanda kelaparan, mereka semua berjaya tiba di kawasan darat iaitu di kawasan pondok yang terletak di dalam ladang masyarakat orang Long Jawi di Long Leguai.

Nasib malang pula telah menyebelahi lapan orang anggota Border Scouts yang lain di mana mereka telah ditembak pada bahagian kaki masing-masing oleh pihak Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU) supaya mereka tidak dapat melarikan diri. Kelapan-lapan anggota Border Scouts yang telah cedera ini diikat dengan tali dan telah dipaksa untuk melutut di atas tanah. Akhirnya, satu persatu daripada mereka telah ditembak mati oleh anggota tentera Indonesia tanpa mengenal erti belas kasihan. Mayat kelapan-lapan perajurit dari Border Scouts yang telah gugur ini kemudian dibawa ke Long Jelangai dan dibiarkan di situ sehingga membusuk dan ditemui oleh Pasukan Keselamatan. Pembunuhan kejam ini telah dicatatkan dalam sejarah ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pembunuhan Long Jawi.
Pembunuhan kelapan-lapan anggota Border Scouts ini kemudiannya dibalas oleh Pasukan Keselamatan kita semasa pembersihan tentera Indonesia dari hutan Sarawak. Pada 1 Ogos 1963, dua buah perahu panjang dengan enjin sangkut yang membawa 26 orang anggota tentera Indonesia dan beberapa bekalan telah bertembung dengan serangan hendap yang dilakukan oleh askar Gurkha. Pihak tentera Gurkha yang terkenal dengan ilmu selok-belok perang mereka pada masa itu, melepaskan tembakan bertubi-tubi dari jarak dekat yang dipercayai dari senjata jenis 7.62mm FN MAG General Purpose Machine Gun (GPMG) dan Bren Gun. Tembakan ini dengan serta-merta telah membunuh kesemua anggota tentera Indonesia dari kedua-dua perahu panjang tersebut. Malah ada yg beranggapan bahawa arus sungai Batang Balui yang deras pada ketika itu turut melemaskan tentera Indonesia yang mungkin tercedera semasa tembakan dari tentera Gurkha itu. Salah sebuah bot tersebut telah berpecah dan dibawa arus deras air manakala sebuah lagi telah tersadai di tebing sungai tersebut. Pertempuran hendap oleh tentera Gurkha ini merupakan satu-satunya serangan yang membunuh tentera Indonesia yang ramai dalam satu serangan hendap sahaja!
Dua hari selepas serangan hendap oleh pihak tentera Gurkha ke atas tentera Indonesia iaitu pada 3 Oktober 1963, pihak Pasukan Keselamatan pula berjaya membunuh 16 orang lagi anggota tentera Indonesia dalam pertempuran di dalam hutan. Keesokan harinya, 4 Oktober 1963, pihak Pasukan Keselamatan berjaya 10 lagi orang anggota pihak tentera Indonesia. Dengan jumlah ‘confirmed kills’ sebanyak 52 kematian pihak tentera Indonesia yang berjaya dibunuh dan sebilangannya lagi mengalami kecederaan yang serius dan mungkin meninggal dunia semasa hendak melarikan diri balik ke sempadan Kalimantan-Sarawak. Sumber turut mempercayai bahawa tiada anggota tentera TNKU yang akan berjaya sampai ke tanah Kalimantan kerana disebabkan oleh kelaparan dan kehausan serta kecederaan yang dialami oleh mereka ditambah pula dengan keadaan hutan Borneo yang lasak.

Untuk memudahkan operasi pembersihan tentera Indonesia, berita serangan di Long Jawi telah diberhentikan sementara dan hanya diumumkan pada 4 Oktober 1963. Berita ini mengemparkan seluruh masyarakat Malaysia kerana pertempuran yang berlaku di Long Jawi adalah yang terburuk sekali pada masa itu.
I
Pencabulan Ruangan Udara Malaysia oleh Tentera Indonesia
Dari penyusupan tentera Indonesia melalui darat dan laut, pihak Indonesia turut menggunakan ruang udara sebagai salah satu cara untuk memasuki mahupun menyerang ibu pertiwi kita, Malaysia. Tentera Udara Indonesia memasuki ruangan udara Sarawak dengan berani tetapi tindakan ini tidak membawa kepada sebarang pertumpahan darah ataupun pertempuran dalam kalangan pihak Indonesia dan pihak Pasukan Keselamatan kita. Hal ini adalah kerana pada masa itu, pihak Tentera Udara British (Royal Air Force) mempunyai undang-undang ketenteraan yang ketat di mana mereka tidak dibenarkan memasuki ruangan udara Kalimantan, Indonesia.
Pada jam 1225, 28 Januari 1963 iaitu pada hari Sabtu. Sebuah B-25 Mitchell bomber milik Tentera Udara Indonesia telah memasuki ruangan udara Bario yang terletak di Tanah Tinggi Kelabit yang pada masa itu terletak di Bahagian Keempat Sarawak. Kapal terbang pengebom ini terbang pada altitud yang rendah tanpa menjatuhkan sebarang bom atau menembak kawasan tempat tinggal penduduk dengan heavy machine gun yang dipasangkan pada pesawat tersebut. Pesawat ini berkemungkinan untuk menjatuhkan sebarang bom ke sasaran atau tidak takut untuk dikepung oleh jet pejuang Tentera Udara British mahupun ditembak dari permukaan darat oleh senjata Anti-Aircraft yang dimiliki oleh Pasukan Keselamatan. Pesawat ini kemudiaanya berlegar-legar di ruangan udara Bario beberapa kali dan menghala ke selatan sebelum balik semula ke lapangan terbang tentera Indonesia di Pontianak pada jam 1300. Kejadian ini merupakan detik permulaan yang dikenali sebagai Pencabulan Ruangan Udara Sarawak, Malaysia oleh pihak Indonesia semasa era konfrontasi.
Mengetahui bahawa pihak Pasukan Keselamatan kita yang tidak bertindak terhadap pesawat tentera Indonesia ini, mereka telah semakin berani untuk memasuki ruangan udara negara kita. Pada hari Ahad, iaitu pada 29 Disember 1963, lebih kurang jam 0900 pagi, dua buah pesawat M-25 pengebom Mitchell terbang di udara Bario pada altitud 6000 kaki. Sebuah lagi pesawat pengebom Mitchell pula terbang pada ketinggian 300 kaki di kawasan Ba’ Kelalan sejurus pesawat pertama tersebut melakukan penerbangannya. Masyarakat Kelabit yang banyak menetap di Ba’ Kelalan ini menjadi takut akibat daripada kedua-dua pesawat tentera Indonesia ini yang terbang rendah serta bunyi enjin yang bising.
Namun begitu, bandar Kuching dan Sibu bakal menerima nasib yang sama dengan pencabulan ruangan udara oleh pihak Tentera Udara Indonesia. 30 Januari 1964 jam 0330 pagi menyaksikan sebuah pesawat yang tidak diketahui modelnya telah berlegar-legar di ruang udara Kuching. Bunyi enjin yang tidak dikenali itu sememangnya menyebabkan ramai penduduk di Kuching bangun pada awal pagi bagi melihat pesawat tersebut yang terbang pada altitud yang rendah. Pada keesokkan harinya, pihak Pasukan Keselamatan kita telah menyatakan bahawa pesawat yang terbang di udara Kuching tersebut adalah dari pesawat Badger atau dikenali sebagai Tupolev TU-16 yang dibuat dari Russia.

Pertempuran Semakin Sengit
Setelah pencabulan ruangan udara Malaysia oleh pihak Indonesia, pihak tentera Indonesia pula semakin berani menggaturgerakkan pasukan tentera untuk melakukan serangan secara besar-besaran mahupun serangan hendap terhadap Pasukan Keselamatan kita. Ini terbukti pada 19 Februari 1964 di mana sekumpulan anggota rondaan Pasukan Keselamatan yang terdiri daripada lima orang anggota sedang melakukan pemeriksaan setelah insiden tembak-menembak di Long Rapun, iaitu di kawasan rumah panjang yang terletak 10 kilometer utara –timur Bario dan 8 kilometer dari sempadan Sarawak. Pasukan rondaan ini telah diserang hendap dan menyebabkan dua perajurit cedera semasa pertempuran (wounded in action). Kumpulan penyerang yang berkekuatan 10 orang anggota ini berjaya melarikan diri setelah melakukan serang hendap tersebut. Hampir sebulan yang lalu, pada 14 Januari 1964, sekumpulan tentera Indonesia seramai 40 orang anggota telah menyerang sekumpulan Pasukan Keselamatan di sempadan yang bermuka bumi lasak dan berbukit-bukau yang terletak dekat dengan Bario, Sarawak. Pertempuran ini berlangsung selama sejam dengan kekuatan pihak musuh yang berjaya dipatahkan oleh pihak Pasukan Keselamatan. Dengan kelumpuhan yang ada, pihak tentera Indonesia terpaksa berundur kembali memasuki sempadan Indonesia kerana kemaraan pihak Pasukan Keselamatan dalam kawasan tersebut.
Seorang mayat musuh telah ditemui dalam kawasan pertempuran manakala beberapa orang anggota tentera Indonesia telah dipercayai terkena tembakan dari Pasukan Keselamatan di mana titisan-titisan darah musuh telah menandakan laluan untuk mereka melarikan diri ke sempadan Indonesia. Tiada korban jiwa dilaporkan pada pihak Pasukan Keselamatan kita.

Manakala di Bahagian Kelima Sarawak bersempadan dengan Bahagian Keempat yang berdekatan dengan Bario, seorang lagi tentera Indonesia berjaya dibunuh oleh Pasukan Keselamatan. Tentera Indonesia yang dibunuh ini merupakan salah seorang daripada tiga orang tentera Indonesia yang berdepan dengan serangan hendap dari pihak Pasukan Keselamatan . Pada 23 Januari iaitu di kawasan pertempuran yang sama, satu lagi pertempuran telah berlaku antara pihak Pasukan Keselamatan dengan pihak Tentera Indonesia yang menyusup masuk melalui sempadan. Di sinilah pihak Pasukan Keselamatan telah berhadapan dengan pihak musuh yang berkekuatan seramai 60 orang anggota tentera, sejam setelah waktu subuh dalam keadaan berkabus tebal. Pertempuran ini berlaku di sebuah kawasan hutan tebal primer dan setelah berbalas tembakan antara kedua-dua pihak, pihak tentera Indonesia dipaksa untuk berundur setelah beberapa anggotanya terbunuh dan beberapa lagi tercedera. Pihak Pasukan Keselamatan pula kehilangan seorang perajurit dan dua orang anggota tercedera.
Pada 20 Februari pula di bandar Lundu yang berdekatan dengan persisiran laut, sekumpulan Pasukan Keselamatan dari Rejimen ke-42 Komando Diraja British telah diserang hendap. Salah seorang daripada anggotanya sedang melakukan pemeriksaan kad pengenalan terhadap penduduk yang menghuni di sebuah pondok kebun ketika mereka diserang dan ditembak oleh sekumpulan tentera Indonesia yang lengkap beruniform. Serangan hendap ini telah mengorbankan Korporal Reginald Chappell dan menyebabkan empat lagi anggota Komando British tercedera. Walaubagaimanapun,  dengan semangat pantang berundur sebelum ajal yang ada dalam diri setiap anggota komando, keempat-empat komando British yang tercedera ini bangkit semula dari kecederaan yang dialami dan bertempur semula dengan pihak tentera Indonesia.

Pada 21 Februari pula iaitu pada hari Jumaat, pihak tentera Indonesia telah menyerang satu lagi posisi pihak Pasukan Keselamatan yang terletak di sempadan Tringgus di Daerah Bau, Kuching. Di dalam pertempuran ini, dua orang anggota dari Field Force Polis Diraja Malaysia (kini Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia) telah gugur syahid mempertahankan ibu pertiwi manakala enam lagi anggota Field Force yang lain telah tercedera. Pertempuran ini berlaku dengan kedua-dua pihak berbalas tembakan secara sengit tetapi akhirnya, pihak tentera Indonesia memilih untuk berundur. Kedua-dua jenazah perajurit yang gugur ini diterbangkan kembali ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pesawat Hercules C-130 pada keesokan hari bagi upacara persemadian. Dua orang perajurit yang gugur syahid ini adalah Police Constabel (Konstabel Polis) Jamaluddin Bin Sa’ad dan Korperal Abdul Majid Bin Abdul Rahim.

Game-Changer” : Pesawat dari Tentera Udara Diraja British Mempertahankan Ruangan Udara Malaysia
Setelah ruangan udara Malaysia puas dicabuli oleh pesawat dari tentera Indonesia, kini pelan strategi telah berubah. Di Kuching, seorang jurucakap bagi pihak Pasukan Keselamatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa, jet-jet pejuang dari Tentera Udara Diraja British kini beroperasi di kawasan-kawasan Borneo (Sabah dan Sarawak) dalam menyokong cadangan yang telah diambil kira oleh Kerajaan Malaysia pada masa itu.
Jet-jet pejung British ini merangkumi jet pejuang subsonik yang berenjin satu dari jenis Hawker-Hunter dan jet pejuang pemintas “all-weather” iaitu Gloster Javelin atau lebih dikenali sebagai Javelin. Kedua-dua jet pejuang ini telah dilengkapi dengan meriam 30mm ADEN (Armament Development Established, Enfield).  Biasanya, orang ramai akan menonton jet-jet pejuang ini berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada hujung minggu. Saat yang digemari oleh orang awam ini adalah ketika jet pejuang Hawker-Hunter ini mendarat di landasan pendaratan.

Lapangan Terbang Kuching merupakan lapangan terbang yang paling sibuk selepas insiden serangan pertama di Tebedu. Pesawat pengangkut pelbagai jenis dari Tentera Udara Diraja British seperti Beverley dan Argosy, Hastings serta Valleta akan dilihat berlepas dan mendarat dengan membawa sejumlah anggota tentera, senjata dan bekalan. Begitu juga dengan pesawat dari model Little Spotter Auster, Single Pioneer dan Twin Pioneer dari Kor Pasukan Udara Tentera Darat British (Royal Army Air Corps) yang berlepas dan mendarat sejurus melakukan guguran bekalan dari udara (air-dropped supply) untuk pasukan tentera darat di sepanjang sempadan. Selain itu, helikopter juga turut digunakan dalam operasi semasa menentang tentera Indonesia. Antara helikopter yang digunakan adalah dari jenis Wessex, Whirlwind, Aloutte, Hiller, Sioux dan helikopter terbesar Tentera Udara Diraja British iaitu, Bristol Type 192 Belvedere yang berenjin kembar.

Jet pejuang pemintas Javelin merupakan jet pejuang yang sering digunakan bagi rondaan intensif dalam ruangan udara Sarawak. Jet pejuang ini dilengkapi dengan meriam 30mm ADEN dan turut dilengkapi dengan sistem misil udara-ke-udara (air-to-air missile) Firestreak. Sebarang pesawat yang gagal mematuhi undang-undang Air Defence Identification Zone di Sarawak, Sabah dan Brunei akan dipintas oleh jet-jet ini.

Sejurus setelah undang-undang yang ketat dikeluarkan oleh pihak British terhadap ruangan udara Borneo, arahan turut dikeluarkan kepada pihak autoriti Kawalan Udara di Asia Tenggara mengenai prosidur yang perlu dititikberatkan oleh semua pesawat yang memasuki ruangan udara Sarawak, Sabah mahupun Brunei. Peranan yang akan dimainkan oleh jet-jet pejuang Tentera Udara Diraja British pula kini adalah untuk menjaga ruang udara Sarawak daripada sebarang pencerobohan yang boleh mengugat kedaulatan negara di samping membantu untuk menjaga perairan negara Malaysia seperti yang telah diamanatkan oleh Kerajaan Malaysia. Sebarang tindakan memintas atau menyerang pesawat yang mencerobohi ruangan udara Sarawak, Sabah mahupun Brunei adalah di bawah Kerajaan Malaysia dan arahan ini merupakan hasil antara kerjasama Malaysia dan British semasa era Konfrontasi setelah Indonesia telah mengancam akan melakukan air-drop kepada pihak tenteranya yang berada di dalam sempadan Malaysia.
Bagi membantu masyarakat yang menetap di kawasan pedalaman Sarawak untuk mengenali pesawat-pesawat milik Tentera Udara Diraja British, risalah berupa gambar dan model pesawat-pesawat telah dicetak dan diagihkan kepada seluruh penduduk.

Namun, ruangan udara Malaysia sekali lagi dicabul oleh pihak Indonesia. Kali ini, pada 25 Ogos 1965 iaitu pada hari Rabu tengah hari, dua buah pesawat dipercayai dari jenis pesawat pengebom M-25 Mitchell telah menembak perkampungan masyarakat Kelabit dengan menggunakan machine gun berkaliber 12.7mm dari udara sambil terbang mengelilingi sasaran sebelum beredar. Lagak penembakan oleh pihak musuh ini umpama pesawat AC-130 Spooky Gunship milik Amerika Syarikat pada masa kini, sedang melakukan penembakan secara bertubi-tubi dari udara. Perkampungan yang diserang ini adalah terletak di sebuah perkampungan terpencil iaitu Pa Umor, empat kilometer dari Bahagian Keempat Sarawak. Sebaik sahaja berita buruk ini diterima oleh pos kawalan Pasukan Keselamatan yang berdekatan, Pasukan Keselamatan dan paramedik-paramedik diaturgerakkan ke lokasi tersebut. Dan berkat doa orang awam yang tidak bersalah, Pasukan Keselamatan dan paramedik yang digerakkan terkejut apabila mereka mengetahui bahawa tiada sebarang korban pada pihak orang awam semasa serangan dilakukan dan hanya sedikit kerosakan pada perkampungan tersebut. Insiden ini sememangnya merupakan mimpi ngeri bagi penduduk Pa Umor setelah mengetahui pihak musuh sedang menembak ke arah mereka dari udara. Jet-jet pejuang turut segera digerakkan bagi operasi mencari dan memusnah (search and destroy) kedua-dua pesawat Tentera Indonesia ini.
Seorang jurucakap bagi pihak Kerajaan memberi komen bahawa serangan yang dilakukan oleh tentera Indonesia di Pa Umor ini adalah 100% gagal manakala Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, Dato Stephen Kalong Ningkan, menyebut insiden serangan ini sebagai satu serangan tanpa belas kasihan kerana ianya mengancam keselamatan penduduk awam yang tidak bersalah. Beliau turut menyatakan bahawa serangan di Pa Umor menunjukkan taring sebenar Indonesia yang sedang berusaha untuk meningkatkan moral tentera daratnya yang semakin berkurangan disebabkan oleh kemaraan Pasukan Keselamatan dan operasi-operasi pembersihan tentera Indonesia dari Sarawak pada masa itu.

Selain daripada serangan udara di Pa Umor, Ogos 1965 merupakan bulan yang membawa malang kepada pihak tentera Indonesia. Dalam suatu pertempuran pada hari Ahad Ogos 29 di daerah Bau, tentera-tentera Indonesia yang lengkap bersenjata telah mengalami 18 orang korban di mana semua daripadanya dipercayai telah dibunuh oleh anggota Pasukan Keselamatan. Dua orang perajurit dari Pasukan Keselamatan juga tercedera semasa pertempuran tersebut. Selain itu, di daerah Serian, empat orang warganegara Indonesia yang dipercayai tentera Indonesia turut terbunuh pada Hari Malaysia iaitu pada tanggal 31 Ogos 1965 setelah sekumpulan tentera Indonesia sedang diserang hendap oleh anggota Pasukan Keselamatan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh orang awam di mana penduduk di daerah Serian telah terserempak dengan sekumpulan tentera Indonesia, pihak Pasukan Keselamatan pun melaksanakan serang hendap terhadap mereka.Setelah pihak musuh berada dalam jarak dekat, anggota Pasukan Keselamatan pun melepaskan peluru maut secara bertubi-tubi dan membunuh keempat-empat tentera itu dengan serta-merta. Seorang perajurit mengalami kecederaan semasa insiden tembak-menembak ini.

Aset Udara Tentera Indonesia Musuh di Tanah Sarawak bumi Kenyalang
Pada tanggal 17 September 1965 iaitu pada hari Jumaat, pihak Tentera Udara Indonesia mengalami satu kehilangan yang besar apabila pesawat pengangkut Hercules C-130 mereka telah dilihat terbakar di udara sebelum jatuh terhempas di atas tanah. Pesawat ini dipercayai telah hilang kawalan setelah ianya hendak mengelakkan diri daripada dipintas oleh jet pejuang Javelin milik Tentera Udara Diraja British.
Insiden ini berlaku di kawasan Long Bawang (kini dikenali dengan nama Lun Bawang), iaitu berdekatan dengan sempadan Bahagian Kelima Sarawak. Insiden ini turut disaksikan oleh anggota pihak Keselamatan yang sedang mendirikan pos pemerhatian di sempadan tersebut. Seorang saksi mengatakan bahawa pesawat C-130 ini telah dilihat terbang di ruangan udara Sarawak pada kira-kira jam 1720 setelah melakukan pengguran bekalan dari udara sebanyak 20 payung terjun di sekitar lembah Lun Bawang. Bekalan ini merangkumi amunisi, barang makanan dan segala peralatan penting bagi menyokong operasi-operasi pihak tentera Indonesia yang sedang berada di dalam sempadan Sarawak. Kesemua payung terjun ini terbuka dengan sempurna dan mendarat di Dropping Zone (Zon Pengguguran). Setelah selesai operasi pengguguran bekalan, pesawat C-130 ini melakukan satu pusingan di udara dan kali ini kembali lagi dengan penerbangan pada altitud yang lebih rendah berbanding yang sebelumnya.
Pada saat inilah, salah sebuah enjin pesawat C-130 tersebut dilihat telah meletup dan terbakar dan diikuti dengan pintu belakang pesawat tersebut yang terbuka secara tiba-tiba. Muatan-muatan sebanyak 40 muatan turut dilihat terjatuh keluar dari pintu belakang pesawat tetapi kali ini tiada payung terjun yang dilihat bersama-sam objek ini. Dan, disebabkan pesawat C-130 ini yang terbang pada altitud yang sangat rendah, saksi yang menyaksikan insiden ini tidak dapat menyatakan bahawa “objek” yang terjatuh keluar dari pesawat tanpa payung itu adalah tentera atau barang bekalan. Sejurus itu, pesawat ini terlihat hilang kawalan dan akhirnya, menjunam ke arah tanah.
Impak sebenar pesawat C-130 itu sebenarnya tidak dapat dilihat dari pos pemerhatian Pasukan Keselamatan tetapi hanya bunyi letupan sahaja yang dapat didengar dan beberapa saat kemudian, kepulan asap dapat dilihat dari jauh dari atas lembah Lun Bawang oleh anggota Pasukan Keselamatan. Berita benar mengenai insiden itu diterima kemudian setelah anggota Pasukan Keselamatan yang sedang meronda di kawasan tanah tinggi menyatakan bahawa mereka telah melihat pesawat C-130 itu terhempas. Pesawat Hercules C-130 ini seperti yang telah dijelaskan, sedang melakukan pengguguran bahan bekalan kepada tentera-tentera Indonesia yang berdekatan dengan sempadan dan Agensi Berita Antara yang beroperasi di Jakarta, Indonesia mengakui  bahawa sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Indonesia telah mengalami kebakaran setelah menjalankan misi pengguguran bahan bekalan di sepanjang sempadan Borneo.
Pada tanggal 19 September (hari Ahad) di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu ayahanda kepada Perdana Menteri kita pada masa kini, Tun Abdul Razak Hussein, telah menyatakan bahawa insiden pesawat terhempas pada hari Jumaat yang lalu di Lun Bawang yang berdekatan dengan sempadan Bahagian Keempat/Kelima Sarawak sebagai salah satu cubaan oleh pihak Indonesia untuk mencerobohi ruangan udara Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa insiden ini merupakan pencabulan ruangan udara yang kedua oleh pihak Indonesia dalam tempoh beberapa minggu yang lepas. Dua minggu yang lepas (sebelum insiden pesawat C-130 terhempas berlaku), dua buah pesawat pengebom M-25 Mitchell telah menembak dari udara ke arah sebuah rumah panjang yang terletak dalam sempadan Sarawak, beberapa kilometer dari lokasi pesawat terhempas pada hari Jumaat tersebut. Beliau turut mengesahkan bahawa pihak United Nations turut akan diberitahu mengenai hal ini. Selain itu, Tun Abdul Razak juga mengesahkan bahawa pihak Indonesia sedang memantapkan posisi mereka di sepanjang sempadan Bahagian Keempat dan Kelima Sarawak dengan terup-terup yang baru.

Namun bagaimanapun, kehadiran jet-jet pengempur dan pemintas dari Tentera Udara Diraja British telah mematahkan cubaan pesawat pihak musuh untuk menyusup jauh ke dalam ruangan udara Sarawak. Rondaan intensif dan menyeluruh yang dijalankan setiap hari tanpa mengenal erti penat lelah oleh juruterbang-juruterbang British ini telah berjaya memberi satu titik noktah pada pencabulan ruangan udara Malaysia oleh Indonesia.

Pertengahan tahun 1965 menyaksikan Indonesia mula menggunakan pasukan rasminya setelah kesemua pasukan komando (kini dikenali dengan nama Komando Pasukan Khusus, KOPASSUS) dan sukarelawan yang melakukan penyusupan di Malaysia gagal. Pada 28 Jun, mereka menyeberangi sempadan ke timur Pulau Sebatik berhampiran Tawau, Sabah dan cuba melakukan serangan dan sabotaj ke atas kem Rejimen Askar Melayu Diraja di Tawau, namun cubaan itu gagal kerana kem itu berhampiran dengan balai polis dan disedari oleh anggota-anggota polis di situ dan berjaya mematahkan cubaan itu.

Penutup
Menjelang akhir tahun 1965, Presiden Sukarno berjaya digulingkan oleh Jeneral Soeharto setelah berlakunya rampasan kuasa dan disebabkan hal ini, fokus pihak Indonesia untuk menyerang Malaysia telah berkurangan dan akhirnya, peperangan antara dua buah negara jiran ini telah menemui titik noktahnya secara rasmi pada tahun 1967 setelah rundingan perdamaian dibuat antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Indonesia di Bangkok, Thailand pada tanggal 28 Mei 1966.
Pelbagai peristiwa-peristiwa yang tragis turut berlaku sepanjang tempoh Konfrontasi dari tahun 1963 sehingga 1966. Peperangan inilah yang juga telah melahirkan hulubalang-hulubalang dan perwira negara yang berani mati demi mempertahankan negara tercinta. Pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan tetap menjaga kedaulatan negara kita daripada diancam oleh anasir-anasir luar yang bermatlamat songsang kepada negara ini. Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berganding bahu demi keamanan yang dicapai pada hari ini agar tiada lagi istilah “konfrontasi terhadap negara kita” berlaku pada masa yang akan datang.

6 comments:

The 0utSideR said...

Peristiwa konfrantasi di Long Jawi yang diceritakan di sini sepertinya kurang tepat. saya berasal dari daerah yang bedekatan dengan Long Jawi iaitu Long Bulan. Masih ada beberapa orang border scout yang masih hidup sehingga ke hari ini menceritakan pengalaman mereka kepada saya. Border scout pada masa itu adalah banyak diambil daripada penduduk Long Bulan dan Long Jawi. Saya berbesar hati sekitanya fakta sejarah ini diperhalusi lagi agar lebih tepat.

_SARAWAK JIWA RAGAKU_ said...

The 0utSideR....betul tu, ada sesetengah perkara yang macam secara sengaja atau tidak sengaja tidak disentuh atau disorokkan. Lagipun jalan cerita kejadian dan tindakkan serang balas dari Border scout tidak disentuh langsung....

Anonymous said...

Peristiwa yg memilukan dan memalukan kedua bangsa yg sedarah sedaging, Mari kita berdoa supaya tdk ter ulang lg. Sy pernah bersua kko atau saat ini marinir, dia dengan mimik yg sedih cerita bahwa di Sebatik Adik sy sebagai anggota tdm. Klo perang sy atau Adik harus saling bunuh.

baity's said...

Jangan kita leka

Anonymous said...

Dua bangsa mana yang malu tu? Bangsa indonesia la sepatutnya malu. Segala usaha gagal, kononnya hebat.tanpa fikir panjang.

Anonymous said...

Kita skrg diserang secara ekonomi atau Penyangak duit rakyat.lupakan konfrontasi scr fizikal. Skrg perang berlaku dlm media utk brainwash rakyat agar patuh kpd musuh yg memegang dan mengawal saluran tv dan media massa ttp membunuh rakyat perlahan2

Tinggalkan pesanan anda di sini