About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, June 1, 2017

KD HANG TUAH 50 TAHUN-DOWN THE MEMORY LANE



PTL bersama sebahagian daripada mantan Peg. Memerintah yang hadir

Oleh /Foto: Paklang Hamzah

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah perajurit isu jun 2017


Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KD HANG TUAH (KDHT) ditauliah ke dalam perkhidmatan  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah sesuatu yang sangat signifikan bagi mengenang kembali dan menghargai segala jasa dan bakti KDHT sejak ianya mula dilancarkan pada 26 Disember  1966 di Limbungan Yarrow Shipbuilders, Scotland.

Kapal ini pada asalnya dibina untuk Presiden Ghana yang dikenali sebagai BLACK SHARK  kemudian diambil alih oleh Tentera Laut Diraja British dan dinamakan HMS MERMAID dengan nombor pennant F76.  Memasuki perkhidmatan TLDM pada tahun 1977 bagi menggantikan KD HANG TUAH lama iaitu ex-MHS LOCH INSH.  

Upacara penyerahan HMS MERMAID kepada TLDM telah disempurnakan  di Southhampton England pada 22 julai 1977 oleh Datin Badariah binti Abdullah, isteri kepada Datuk Abdullah bin Ali Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

Sambutan ini juga bertujuan mengenang kembali dan menghargai pengorbanan jasa dan perit jerih pegawai dan anggota-anggota yang pernah berkhidmat di kapal ini.  Sesuai dengan tema sambutan Down The Memory Lane, telah menggamit nostalgia sebahagian warga-warga kapal yang pernah terlibat secara langsung sebagai kru KDHT yang turut sama meraikan majlis sambutan yang diadakan di geladak penerbangan KDHT ini sendiri.  

Selain kru-kru KDHT yang masih berkhidmat pihak kapal telah berjaya menghadirkan seramai 36 orang mantan-mantan seawal kru pertama dan kru generasi selepasnya termasuk Panglima Tentera Laut,  YBhg Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin dan penulis sendiri yang juga pernah berkhidmat di kapal ini pada tahun 1983 -1985 sebagai Yeoman Radar Plotter di bawah seliaan YBhg Tan Sri PTL yang sewaktu itu selaku Pegawai Navigasi.  
Lebih nostalgik lagi, turut hadir bersama dalam majlis ini ialah mantan Pegawai Memerintah pertama Laksamana Muda (Bersara) Dato’ Tuan Hashim bin Tuan Mohamed dengan beberapa orang kru pertama yang pernah bersama beliau yang masih sihat yang sanggup datang dari jauh.  Juga kehadiran sebahagian mantan-mantan Pegawai Memerintah yang pernah menerajui kapal ini. 

Mengimbau Sejarah Dan Pencapaian 

Leftenan Kolonel (Laut) Tuan Hashim bin Tuan Mohamed (N/400152) merupakan Pegawai Memerintah Pertama yang mengemudi pulang KDHT ke tanah air bersama 205 pegawai dan kru pada 15 Ogos 1977.  Semasa pelayaran pulang, KDHT telah singgah di beberapa buah pelabuhan seperti Casablanca, Tunisia, Iskandariah, Jeddah, Muscat, Abu Dhabi dan Colombo.

Tiba di Pelabuhan Klang pada 14 Oktober 1977 sebelum meneruskan pelayaran dan tiba di Pangkalan TLDM Woodlands pada 19 Oktober 1977.  Sebagai aset strategik TLDM paling canggih pada masa itu, KDHT telah diletakkan di bawah skuadron ke 21 Kapal Frigat TLDM.  

Pada Disember 2006, kapal ini dijadikan platform latihan untuk melatih pegawai dan anggota TLDM. Walau pun ditugaskan dalam flotilla latihan KDHT juga pernah melaksanakan Operasi fajar di teluk Aden pada bulan Febuary 2009 menggantikan KD SRI INDERA SAKTI dalam misi mengiringi dan melindungi kapal-kapal dagang Malaysia yang melalui perairan berkenaan dari ancaman lanun.
PTL bersama mantan krew

Sepanjang 50 tahun di dalam armada TLDM, KDHT telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan dan pencapaian yang membanggakan. Tanggungjawab  mendukung Teras Diplomasi Pertahanan yang digariskan dalam Hala Tuju Kementerian Pertahanan telah dipikul oleh KDHT khususnya sejak sekian lama dalam pelbagai eksesais bilateral dan multilateral serta lawatan operasi ke negara-negara sahabat.  Lawatan Operasi bersama KD MUTIARA ke Hongkong, Korea Selatan dan jepun pada 1980 telah mencatat sejarah penglibatan kru KDHT yang paling ramai iaitu 400 orang.

Dalam tempoh 50 tahun ditauliah, KDHT telah diterajui oleh 31 orang Pegawai Memerintah bersama 311 orang pegawai dan 7,680 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP).  KDHT telah belayar sejauh 313,784.95 batu notika.  Ukurlilit bumi di atas garisan khatulistiwa adalah sejauh 24,901 batu notika.  Dengan perbandingan ukurlilit garisan khatulistiwa bumi, jarak pelayaran KDHT adalah bersamaan dengan 13 kali mengelilingi bumi di atas garisan khatulistiwa.

KDHT merupakan platform yang telah berjaya menghasilkan pemimpin-pemimpin yang terbaik bagi TLDM apabila 7 daripada 16 PTL pernah berkhidmat di KDHT.  Selain itu, 7 orang daripada 40  AJK Laksamana TLDM yang masih berkhidmat juga pernah di tugaskan di kapal ini.

Era mutakhir, KDHT telah diberi sentuhan penambahbaikan yang agak menyeluruh terhadap makanikal, ekuipmen dan lain-lain bagi memenuhi keperluan tahap operasional sebagai kapal latihan. KDHT merupakan sebuah kapal Frigat yang memenuhi ciri-ciri seamanship yang sedia terpasang di geladak atas kapal yang mana ciri-ciri ini sangat berguna untuk latihan Evolusi dan Ilmu Kelautan. Di samping mempunyai kabin khas yang membolehkan membawa pelatih-pelatih dalam jumlah yang ramai dan jangka masa pelayaran yang agak lama pada satu-satu masa.

Muzium KD HANG TUAH 

Berdasarkan faktor usia serta proses Tranformasi 15 to 5 armada TLDM, KDHT tidak lagi sesuai untuk dilanjutkan perkhidmatan di dalam armada TLDM yang mana pemuliharaan sesebuah kapal lama memerlukan kos yang sangat tinggi dan tidak ekonomik.

Walaubagaimana pun, memandangkan KDHT yang merupakan ikonik terawal kewujudannya dalam  armada moden, maka ianya memberi suatu nilai yang sangat berharga kepada negara umumnya.  Justeru, sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan ialah tentang perlucutan tauliah KD HANG TUAH tidak akan dilakukan walau pun kapal ini tidak diberi taraf operasi suatu hari nanti.  

Apa yang bakal berlaku sedikit masa lagi menurut PTL dalam ucapan aluannya  memaklumkan bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor selaku Kepten Yang diPertua TLDM dan DYMM Tuanku Sultan Perak telah berkenan untuk menjadikan KD HANG TUAH  ini sebagai sebuah Muzium bertaraf antarabangsa yang akan ditempatkan di suatu lokasi yang telah dikenal pasti di Bandar Tentera Laut Lumut.  

Menurut PTL lagi, pelan induk muzium KD HANG TUAH ini telah pun siap direka bentuk sebanyak tiga tingkat dengan mengekalkan tauliah kapal seperti sedia ada.  Dirgahayu KD HANG TUAH. 

SAYAP PENERBANGAN-SAAT BERMULA SEORANG WIRA ANGKASA

Telah diterbitkan dalam majalah perajurit isu jun 2017.
Oleh: Paklang Hamzah/Gambar: Paklang Hamzah

PTU menyempurnakan pemakaian sayap penerbangan

Pada 25 April 2017, Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia  (KTU) Alor Setar sekali lagi menyaksikan kejayaan 31 orang anak muda tempatan dianugerahkan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang merupakan detik permulaan kepada penyediaan seorang wira angkasa berkaliber.  Penganugerahan Sayap Penerbangan ini adalah merupakan suatu pengiktirafan kepada kompetensi seseorang juruterbang pesawat Tentera Udara yang telah lulus dalam beberapa fasa latihan yang telah ditetapkan sekali gus melayakkan mereka dipusatkan di skuadron-skuadron operasi TUDM sebagai pelapis yang bakal mengharungi cabaran mengendalikan pesawat ‘State Of Art’ mengikut arus pembangunan dunia aviasi yang lebih mencabar di masa akan datang.

Justeru, sebagai penghargaan di atas kejayaan ini, satu Perbarisan Istiadat Penganugerahan Sayap Penerbangan telah diadakan di Padang Kawad KTU dengan dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jeneral Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM, Ibu-bapa serta sanak saudara penerima-penerima anugerah.

Seramai 18 orang Pegawai Muda TUDM telah berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan manakala 13 orang Pegawai Muda TUDM yang lain turut berjaya menamatkan Kursus Asas Peralihan Helikopter termasuk 3 orang Pegawai dari perkhidmatan TDM dan seorang Pegawai TLDM.

Perbarisan istiadat ketenteraan ini terdiri  daripada satu Platun Graduan dan tiga Platun Bantuan yang diketuai oleh Lt Aslam Hariri bin Abd Rashid TUDM dengan diiringi Pancaragam Gabungan KTU dan Institut Latihan Tentera Udara di bawah pimpinan Kapt Mohd Subri bin Mohammad Isa TUDM.
Dalam siri kursus ini Lt Izzatikhmal Dzulhelmi bin Dzulkiflee TUDM telah dipilih sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan menerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Abdul Samad bin Daud TUDM telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Penerbangan Sayap Kaku dan menerima Piala Panglima Tentera Udara manakala Lt Aslam Hariri bin Abdul Rashid TUDM dipilih  sebagai Pelatih Terbaik keseluruhan Helikopter.

Kursus Asas Penerbangan

Sebaik sahaja pelatih-pelatih siri 78/15 melapor diri di Pusat Latihan Penerbangan (PULATIBANG 1) pada 22 Jun 2015, mereka dikehendaki menjalani Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) untuk 3 bulan pertama sebelum meneruskan latihan dalam Kursus Asas Penerbangan dengan menggunakan pesawat latihan jenis Pilatus PC-7 Mk ll.

Di fasa awal latihan, pelatih diberi latihan Basic Handling Test(BHT), Instrument Rating Test (IRT) sebelum meneruskan kursus dalam fasa penerbangan Asas Navigasi.  Seterusnya pelatih dikehendaki melengkapkan modul latihan dengan mengikuti Final Navigation Test dan Final Handling Test sebelum diiktiraf juruterbang TUDM.

Kelangsungan penggunaan PC-7 Mk ll sebagai platform latihan asas terbang serta fungsi utama PULATIBANG 1 untuk melahirkan juruterbang ATM berkaliber dan versatil, sebanyak 21 buah pesawat ini digunakan sebagai pelantar  latihan terbang di samping penggunaan simulator sebagai bantuan latihan di dalam kelas.  PC-7 Mk ll juga merupakan di antara pesawat latihan yang tercanggih di dalam kelasnya di dunia yang sebahagiannya telah memasuki inventori TUDM pada Jun 2016.

Selepas berjaya mendapat Sayap Penerbangan Asas kumpulan ini akan melanjutkan ilmu penerbangan di Multi Engine Conversion Unit (MECU) Pangkalan Udara Subang bagi mempelbagaikan kemahiran dan penyesuaian sebagai juruterbang sayap kaku.

Kursus Asas Peralihan Helikopter

Siri 57/16 ini merupakan lanjutan daripada Kursus Asas Penerbangan Siri 77/14 yang mana setelah berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan di PULATIBANG 1.  Mereka-mereka yang berpotensi untuk dilatih sebagai juruterbang helikopter akan meneruskan latihan di PULATIBANG 2.

Kursus ini terbahagi kepada 3 fasa iaitu Fasa akademik, Fasa Penerbangan Asas dan Fasa Penerbangan Lanjutan.  Dalam siri latihan fasa Penerbangan Asas, pelatih telah menggunakan pesawat latihan jenis Eurocopter EC-120B Colibri.  Pesawat ini telah diperkenalkan di dalam perkhidmatan TUDM pada 3 Dis 2015 bagi menggantikan pesawat Alouette lll yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Mac 2016.
Sebanyak 5 buah pesawat ini dijadikan pesawat latihan asas dan jurulatih yang bernaung di bawah pengendalian PULATIBANG 2 berkongsepkan Company Own and Military Operates  bagi menjimatkan kos pengoperasian, pengurusan aset dan sumber manusia.

Pesawat ini dilengkapi dengan sistem glass cocpick, instrumentation dan avionic yang terkini yang dilihat pelantar terbaik bagi meneruskan kesinambungan latihan asas kepada latihan lanjutan berkonsepkan lead and training kepada pelatih sebelum beralih kepada status operational pilot yang bakal mengoperasikan pesawat-pesawat yang lebih canggih.  

Ka-52K - Helikopter Maritim

​Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah perajurit isu jun 2017
Heli maritime terbaharu dari ROSTEC


Oleh Paklang Hamzah/foto: Rostec

Dalam tempoh hujung 2016 dan awal 2017, syarikat Induk Helikopter Rusia (sebahagian dari Rostec State Corporation) telah melengkapkan fasa pertama ujian dalam persekitaran maritim terhadap dua buah helikopter terbaharu jenis Ka-52K.  Kedua-dua buah pesawat buat masa ini telah diserahkan kepada Kamov Design Bureau untuk pengawasan dan penilaian keadaan helikopter dan komponen oleh pakar-pakar selepas menjalani ujian tahap kritikal dalam iklim yang mencabar di samping melakukan kajian tambahan terhadap pesawat sesuai dengan keperluan perubahan bagi menghadapai segala kemungkinan.

Setelah tamat dan melepasi ujian pertama pada persekitaran maritim, pesawat ini dijangka dijadikan organik kepada Kapal Pembinasa Pesawat untuk melengkapkan misi yang ditetapkan.

Meski pun Ka-52K adalah sebuah helikopter maritim yang mempunyai ciri-ciri unik, namun sekali ujian di laut tidak memadai untuk memahami keupayaan injin, peralatan, avionik, sistem kawalan dan persenjataan dalam kemuncak iklim di laut.  Justeru, pihak Kamov Bureau Design akan meneruskan kerja-kerja yang menjadi sebahagian daripada ujian termasuk di atas kapal pembinasa.

Helikopter Ka-52K adalah satu lagi pesawat helikopter maritim yang dibangunkan oleh Kamov Bureau Design yang diterima pakai oleh Tentera Laut Rusia termasuk helikoopter jenis Ka-25, Ka-27, Ka-29 dan Ka-31.  Pesawat ini juga direka untuk keperluan rondaan, sokongan tembakan  kepada tentera udara semasa pendaratan dan memastikan pertahanan balas udara di barisan hadapan dan bawah permukaan.  Dilengkapi peralatan moden sebagai panduarah dalam menghadapi situasi tiada tanda-tanda penunjuk tempat di laut.

Tidak seperti model asas, helikopter Ka-52k mempunyai sayap lipatan pendek yang direkabentuk semula untuk membawa senjata berat dan mekanisme untuk lipat bilah bagi membolehkan pesawat ini disimpan dengan kemas di dalam hangar.

Pesawat ini direka lebih kecil daripada model Ka-52 dalam usaha memaksimakan bilangan pengeluaran helikopter dan boleh di tempatkan di atas kapal.

Sistem kerusi lenting juga direka bagi membolehkan juruterbang dan krew meninggalkan helikopter dengan selamat.  Selain itu helikopter siri Ka-52 juga mempunyai peralatan menyelamat yang membolehkan misi bantuan diberi kepada pelaut-pelaut dalam kecemasan.

Penggunaan bahan-bahan tahan kakisan pada keluli adalah satu lagi ciri penting pada Ka-52k, kerana pesawat ini direka untuk dikendalikan dalam iklim maritim yang basah.

Helikopter ini mempunyai sistem mengisi bahan api single point dan sistem pendingin hawa  yang dinaik taraf bagi memastikan pengudaraan kepada anak kapal. Selain itu, helikopter  ini juga mempunyai sistem navigasi radiotechnical jarak dekat yang tidak digunakan oleh model asas. Perajurit

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini