Oleh Hamzah hd.
Pertahanan dalam
konteks komponen tidak boleh dipisahkan
dengan senjata berat atau ringan maupun balistik dan juga mesti dikaitkan
dengan kubu atau benteng atau dalam konteks tentera laut ianya berupa ‘chaff’
serta persenjataan berat dan balistik yang mana kesemua komponen itu membawa
maksud digunakan untuk mempertahankan diri dan lain-lain pasukan sahabat
daripada serangan atau pun ancaman.
Namun pada huraiannya, pertahanan merupakan reaksi dari satu pihak
terhadap sesuatu serangan dengan
melakukan segala cara dan langkah-langkah taktikal, melalui identifikasi
dan penilaian risiko atau bahaya samada dalam bentuk pertahanan aktif atau
pertahanan pasif.
Pertahanan dalam konteks
perlaksanaan ialah proses taktikal yang bermula dari persediaan ketahanan
fizikal dan mental setiap anggota pasukan keselamatan sehinggalah kepada
memberi jaminan perlindungan kepada pasukan itu sendiri dengan daya inisiatif,
spesialisasi, kelengkapan dan persenjataan semasa berhadapan dengan musuh
bertujuan memberi perlindungan menyeluruh terhadap wilayah-wilayah dan
kepentingan-kepentingan strategik serta tanah jajahan negara keseluruhannya.
Pertahanan sesebuah negara
akan menjadi lebih ampuh jika kekuatan rakyat terbanyak digembleng bersama
antara orang-orang awam dan anggota tentera meskipun kekuatan jitu ialah
kekuatan angkatan bersenjata seperti tentera dan polis. Maka dalam konteks Malaysia, Pertahanan
Menyeluruh (HANRUH) telah diperkenalkan dalam negara yang mana menggalakkan
penglibatan orang-orang awam menjadi separa tentera.
Namun begitu, sebagai dasar timbal
balas amalan tentera di waktu aman adalah membantu agensi-agensi lain di dalam
sektor penguatkuasaan bersama seperti rondaan bersama PDRM, Jabatan Penjara dan
lain-lain. Strategi Lautan Biru yang diperkenalkan ini merupakan penglibatan
Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam digemblengkan dalam konteks kerjasama
atau operasi bersama atas dasar semua jabatan boleh disatu bagi mencapai
beberapa matlamat jangka pendek dan jangka masa panjang bukan sahaja dapat
menampung kekurangan keanggotaan malah dapat menjimatkan kos
pengoperasian.
Salah satu model terbesar
telah berjaya dilaksanakan berdasarkan kerjasama erat ATM dan PDRM ialah Operasi
Daulat ketika menghadapi kumpulan penceroboh di kampung Tanduo Lahad Datu.
Strategi merupakan aplikasi
taktikal dan tipu helah untuk memenangkan sesuatu peperangan namun begitu di
era kebelakangan ini terminologi
strategi sudah digunakan secara meluas dalam pelbagai konteks seperti politik,
perniagaan, pentadbiran dan sebagainya.
Maka dari segi kaitanya terma strategi masih lagi membawa kepada maksud
untuk memenangi sesuatu pertandingan, perebutan dan lain-lain yang mana
keberkesanan strategi ini bergantung sejauh mana saiz keberhasilan dan keberuntungan
yang bakal diperolehi.
Menilai Pertahanan Dari 2
Tragedi Di Sabah
Kita sering merasakan dan
beranggapan bahawa negara kita yang mempunyai jalinan diplomatik yang baik
dengan negara-negara serantau tidak akan mengalami konflik yang boleh mencetus kepada
suatu pergolakan. Umum sedia maklum
bahawa Malaysia ialah sebuah negara maritim yang masih lagi berada dalam
situasi tuntutan bertindih terhadap wilayah-wilayah persempadanan laut
terutamanya di Kepulauan Spratly yang kaya dengan hidupan dan sumber asli dan sejarah
Sabah itu sendiri mempunyai konotasi yang mencurigakan sebelum menyertai
Malaysia suatu ketika dahulu.
Memencilkan pemikiran
terhadap kemungkinan akan berlaku konflik dalam negara adalah sangat bahaya dan
memungkinkan terjadinya kealpaan dalam konteks pengawalan keselamatan,
perisikan dan juga persediaan kepada pertahanan mapan.
Menilai suasana politik
semasa tanahair yang komunitinya berbilang bangsa dan etnik yang semakin goyah
silaturrahimnya meskipun sesama kaum dan akan mengundang kepada satu suasana
perpecahan dan boleh melarat kepada isu-isu perkauman yang lebih besar jika
tidak dikawal atau melakukan pencegahan awal. Keamanan nasional dan
internasional saling berhubungan kerana ketidakamanan nasional akan mudah
menyebar dan merebak menjadi masalah keamanan internasional.
Operasi
Pandanan And Sipadan Island Resort (OPS PASIR), mengambil sempena nama
2 buah buah pulau yang ada kaitan dengan dua insiden penculikan yang
membabitkan kumpulan Abu Sayaf pada 23 April dan 10 Sept 2000. Misi utama OPS
PASIR ialah bagi mewujudkan
satu keadaan yang selamat di
Pantai Timur Sabah dengan
melindungi kedaulatan nasional serta mewujudkan satu suasana kondusif untuk aktiviti ekonomi setempat. Operasi bersama melibatkan anggota dan
aset-aset ATM ini dikendalikan oleh Markas Angkatan Bersama ATM ditubuhkan
bukan sahaja untuk menangani perang tidak simetri dalam pencegahan perlanunan
di kawasan Timur Sabah yang meliputi 22 pulau
dan 11 kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau hingga
Kudat malah sebenarnya lebih bersifat dimensi yang mana persiapan juga untuk
menghadapi kemungkinan kepada perang sebenar yang dijangkakan meletus di Laut
China Selatan ekoran tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly berdasarkan
tindakan-tindakan agresif negara-negara menuntut.
Pencerobohan berdarah
pengganas di Lahad Datu yang bermula sejak 12 Feb 2013 lalu telah membuka mata
banyak pihak terutamanya masyarakat terbanyak dalam negara yang sebelum ini
tidak ramai yang tahu tentang kewujudan
etnik atau masyarakat Suluk di Sabah yang mana juga lebih dikenali dengan
panggilan Tausug di Selatan Filipina.
Masyarakat Suluk sudah lama
bertapak di Sabah dan dipercayai sehingga kini sudah beberapa generasi telah
menjadikan Sabah sebagai penempatan yang pada awalnya kehadiran mereka untuk
berniaga dan berkahwin dengan warga tempatan dan terus menetap sehingga
pembentukan Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia sekaligus menjadi
warganegara Malaysia secara automatik.
Untuk mendapat angka sebenar
pendudukan masyarakat Suluk di sabah adalah sangat sukar kerana ada yang
berdaftar dan ada yang tidak berdaftar.
Mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih
daripada 300,000 etnik Suluk yang berdaftar sebagai warganegara manakala
sebahagian lagi yang masuk dengan menggunakan paspot, sebagai pelarian dan tak
kurang juga sebagai Pendatang Tanpa Izin(PTI) ke negeri Sabah. Justeru masyarakat Suluk di Sabah dianggarkan
ketiga terbesar selepas etnik Kadazan dan Cina malah majoriti umat Islam di
Sabah adalah berasal dari selatan Filipina yakni kaum Suluk.
Keadaan geografi yang
memisahkan Selatan Filipina dengan Sabah ialah Laut Sulu yang mana pada suatu
ketika dahulu seolah-olah tidak mempunyai sempadan yang khusus yang mana
keadaan ini memudahkan penduduk dari selatan Filipina melakukan lintas sempadan
maritim ke negeri Sabah.
Sebelum penubuhan negara
Malaysia pada 16 sept 1963, Sabah merupakan sebuah wilayah di bawah
pemerintahan Kolonial Inggeris dan dikenali sebagai Borneo Utara British.
Sabah merupakan negeri yang
sangat strategik dan terdedah kepada kemasukan anasir-anasir luar serta
mempunyai etnik yang pelbagai yang mana etnik-etnik itu adalah berakar umbi
dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Brunei. Potensi untuk penceroboh mendapat maklumat
pertahanan negara melalui sanak- saudara atau sahabat handai mereka yang sudah
bermastautin dalam negara adalah sangat tinggi dan mudah berdasarkan iktibar
dan pengajaran yang sudah berlaku dalam peristiwa Lahad Datu yang mana
penglibatan warganegara yang bersekongkol sebagai tali barut musuh atas dasar
kaum dan asal usul.
Bertitik tolak daripada
peristiwa ini, kerajaan tentunya sudah sedar apa yang harus di beri perhatian
bagi membendung kegiatan ini dari berulang dalam konteks penguatkuasaan keselamatan,
imigrasi dan pertahanan dengan memberi tumpuan kepada ketiga-tiga agensi
tersebut berbentuk tindakan dan persediaan aset yang berkaitan.
The Eastern Sabah Security
Command (ESSCOM) merupakan salah satu tindakan drastik kerajaan dalam menangani
isu ini dan diharap selain daripada Unit ini diberi sentuhan khusus,
peningkatan kepada pengawalan dan kebajikan rakyat negeri Sabah melalui
aktiviti politik juga harus diberi perhatian khusus supaya sokongan kepada
kerajaan serta semangat patriotisme kepada tanah air termeteri di dalam hati
sekali gus dapat membendung aktiviti-aktiviti tali barut yang boleh mengancam
keselamatan dan pertahanan negara.
ESSCOM yang telah diumumkan
penubuhannya oleh Perdana Menteri pada 7 mac 2013 adalah bertujuan bagi memastikan
pengawasan berterusan di sepanjang Pantai Timur Sabah iaitu sejauh 1400km
merangkumi kawasan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau. Perlaksanaan
ESSCOM telah melibatkan 3 agensi utama iaitu rakyat tempatan yang terdiri
daripada Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan
Jawatankuasa Keselamatan Kampong (JKK),
ATM dan PDRM telah menempatkan 5
batalion tambahan di lokasi-lokasi strategik di sepanjang kawasan keselamatan
dengan pusat kawalan di Lahad Datu.
Semua aset-aset maritim dari APMM, PDRM dan ATM digembleng dalam operasi
bersama di samping pembinaan segera Balai-balai Polis baharu di Pulau Bum Bum,
Pulau Mabul, Pulau Gaya dan Felda Sahabat serta menaiktaraf Balai polis di
Cenderawasih dan Pulau Tambisan. Membina
2 Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQS) di Kudat dan Lahad
Datu serta Pos Kawalan Imigresen Kawalan Bersepadu di Karakit akan dibangunkan
supaya memudahkan proses keluar masuk secara sah.
Kuasa Ekonomi Dan Politik
Pertahanan juga telah diterjemahkan
melalui kuasa ekonomi yang mana konsep ini mula dikembangkan di Amerika
Syarikat semasa Perang Dunia Kedua melalui kebijaksanaan publik mengimbangi
kuasa ekonomi dengan aplikasi militer dan diplomatik samada dalam masa aman
atau dalam kancah pergolakan. Ancaman
kepada keamanan tidak hanya berpunca dari musuh tradisional seperti dalam
lingkungan negara-negara berkonflik sahaja malah ianya boleh dicetuskan dari
orang atau organisasi di luar sistem
diplomatik seperti perusahaan-perusahaan multinasional atau badan-badan
korperat swasta yang bukan dari kalangan pemerintah.
Justeru, kuasa ekonomi
adalah sangat relevan bagi memaksa sesuatu kerjasama erat dalam membantu
pemerintah dalam memperkuatkan sistem pertahanan ketenteraan atau yang
bersangkutan dengannya malah menjadi sebaliknya bila sistem ekonomi terkandas
dalam keadaan gangguan keselamatan.
Justeru, kita mula sedar
bahawa untuk menangani peperangan tidak simetri ini memerlukan ‘sentuhan’
tentera dan kolaborasi MISC dengan TLDM melalui transformasi BM5 dan BM6 merupakan
kerjasama menang-menang yang mana sebelum kolaborasi ini dipersetujui, banyak
kapal-kapal komersial dunia yang berhubung dengan negara-negara antarabangsa
melalui jalan laut sering kita dengar telah diganggu oleh penjenayah yang menjalankan
modus operandi mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti menawan dan merompak
aset-aset yang dibawa. Situasi ini telah meletakkan syarikat-syarikat
perkapalan berada dalam suasana ketakutan kerana mereka sangat terdedah dengan
ancaman perlanunan yang sedang berleluasa terutamanya di kawasan Teluk Eden.
Sesuatu yang menjadi
perhatian rakyat saban tahun ialah menjelang pembentangan Bajet Negara. Pemerhati dan pemain pertahanan merasakan pengurusan
pertahanan negara jauh lebih rumit berbanding sektor-sektor lain iaitu
bagaimana untuk mempertahankan negara serta kedaulatan dari pelbagai ancaman
dalam keadaan negara berhadapan dengan keterbatasan sumber pelaburan,
infrastruktur, teknologi dalam membantu pengurusan pertahanan secara efisyen
dan efektif. Dalam konteks ini sering
ada perdebatan di dalam memberi keutamaan apakah sektor pertahanan perlu diberi
anggaran yang lebih tinggi berbanding dengan sektor kesihatan atau pendidikan
sebagai contoh.
Satu lagi isu penting yang
sering diperdebatkan atau mencetus persepsi selain jumlah bajet ialah
ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan dalam pengelolaan anggaran bajet
pertahanan. Dalam sistem politik demokrasi, ekonomi
pertahanan memerlukan reformasi yakni perubahan
atau pembaharuan yang terarah kepada keadaan yang lebih baik di mana entiti
ekonomi dan pertahanan mesti diurus secara serentak dengan membenarkan
peningkatan perolehan dengan mengambil kira semua perolehan semasa aset dan
kelengkapan ketenteraan demi kesejahteraan serta keamanan warga negara untuk
jangkamasa panjang.
Kestabilan politik yang mantap dan dinamik akan
mewujudkan ketahanan dalam ertikata memelihara kesatuan bangsa,
sosio-budaya dan kaum sekali gus memangkin kepada semangat patriotisme
anak-anak muda dan mencebur diri dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Urusan militer pada dasarnya tidak berkaitan
dengan politik namun urusan pertahanan negara jauh lebih rumit dan dalam
konteks Malaysia yang mengamalkan dasar demokrasi berparlimen memerlukan
perbincangan dan kelulusan parlimen terlebih dahulu sebelum kerajaan memutuskan
apa-apa perolehan yang berskala besar.
Justeru, persefahaman dalam pengelolaan kepentingan sektor pertahanan di
antara pemerentah dengan ahli parlimen, ATM, sektor swasta dan masyarakat awam
adalah sangat perlu bergerak dalam keadaan harmoni.
Persepsi
Adalah menjadi sangat jengkel bila perolehan untuk memantapkan
pertahanan negara sering dipolitikkan dan menjadi polemik yang berpanjangan
oleh ahli-ahli politik. Tambah
memburukkan keadaan perolehan yang telah memasuki perkhidmatan pun menjadi
bahan cercaan serta memperlekehkan keupayaan dan kesiapsigaan aset.
Ahli-ahli
politik dalam negara seolah-olah tiada agenda lain untuk diketengahkan bagi
meraih pengaruh bagi meningkatkan saham politik mereka selain memainkan isu-isu
kenegaraan. Sejarah komunisme dalam
negara menjadi polemik hangat pada satu ketika bila seorang Ahli Parlimen pembangkang
cuba memutarbelitkan fakta sejarah yang kononnya komunis adalah pejuang sebenar
dalam konteks penentangan dengan anggota-anggota polis yang terdiri dari anak
watan yang bertanggongjawab mempertahankan tanahair mereka sendiri walaupun di
bawah pemerintahan sementara penjajah.
Maka berpusu-pusu puak-puak yang cenderung mengiakan kenyataan songsang
itu.
Isu Scorpene sejak mula
dibangkitkan oleh pihak pembangkang tentang ketidakmusabahan harga perolehan
sehingga kini masih menjadi polemik awam terutamanya dalam kalangan rakyat yang cenderung kepada pembangkang. Isu ini menjadi isu politik dan turut
dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya Syaribu warga Monggolia yang mempunyai
kaitan dalam perolehan ini.
Tidak cukup dengan isu
perolehan, Scorpene yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai aset
strategik TLDM turut dilabel dan diperlekeh oleh pembangkang dan
penyokong-penyokongnya sebagai sebuah kapal selam yang tidak sopistikated
ekoran daripada kebocoran maklumat kesiapsiagaan mengenai status teknikal KD TAR yang tidak boleh menyelam beberapa
waktu.
Isu-isu dan propaganda
sebegini terus dimainkan dengan rakus dengan tujuan supaya bila sebilangan
rakyat dan pemimpin memperkatakan berterusan, maka persepsi rakyat yang
cenderung kepada ideologi mereka dan generasi baharu akan terpengaruh dan
membenci apa saja elemen yang bersangkutan dengan kerajaan.
Walaupun pelbagai penerangan
telah diperjelaskan oleh pihak ATM
terhadap kerasionalan harga pembelian dan status teknikal terhadap
aset-aset ATM ini namun ianya tidak
berbekas. Tanpa menyedari alangkah bahayanya jika budaya
membocorkan maklumat kesiapsiagaan aset tempur ATM terus mengambil tempat di
media-media tabloid terpilih arus
perdana dan media-media baharu akan menghancurkan kestabilan dan keutuhan
pertahanan negara mereka sendiri.
Tidak memadai dengan
‘serangan’ terhadap TLDM, TUDM juga dipalit dengan isu-isu perolehan multy
role combat aircraft (MRCA) dan helikopter kombat yang direka-reka bagi
menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan yang memerintah sekarang ini adalah
kononnya sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan korup dengan memperjudikan
nasib keselamatan rakyat dengan perolehan-perolehan yang tidak bermutu atau
mahal harganya.
Pencerobohan
pengganas Kiram di Lahad Datu pada Feb lalu telah mencetus persoalan dan
pertanyaan rakyat umum tentang tahap keselamatan negara. Antara lain persoalan yang menjadi polemik
ialah tentang kesiapsiagaan ATM dan PDRM membentengi sempadan dari ancaman
luar.
Soalan demi
soalan berkisar kepada di mana dan apakah yang sedang dilakukan oleh unit-unit
perisikan PDRM dan ATM yang tidak ‘menghidu’ langsung kemasukan atau pergerakan
dan aktiviti rentas sempadan kumpulan separa tentera dalam skala yang besar
merancang untuk menawan Sabah?
Pencerobohan
yang berlaku dalam mood PRU’13 telah mengundang banyak spekulasi dan menjadi
bahan politik dengan menuduh kejadian ini sebagai satu sandiwara oleh
politikus. Sehinggakan ATM menggunakan pengangkutan udara Air Asia pun menjadi
bahan ketawa dan ejekan memperlekehkan keupayaan ATM.
Panglima Medan
TD Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim menegaskan bahawa penggunaan
pesawat komersial untuk mobilisasi anggota dan kelengkapan tentera ke Sabah
tempohari tidak membabitkan barisan hadapan.
Langkah ini
membuktikan kerjasama antara Air Asia dengan ATM. Persepsi negatif ini sengaja ditimbulkan oleh
pihak-pihak tertentu supaya rakyat diberi gambaran bahawa ATM akan menghadapi
masalah besar jika perkhidmatan awam ini lumpuh semasa negara dalam kancah
peperangan besar.
Sebenarnya tidak
ramai rakyat umum mengetahui bahawa TD khususnya mempunyai kemahiran dan
kepakaran meliputi pelbagai bidang lain.
Tegasnya, dalam
situasi genting dan terdesak, pemerintah medan TD mampu mengambil alih dan
mengendalikan pengangkutan komersial dalam negara seperti feri, keretapi dan
sebagainya malah juga keperluan-keperluan asas rakyat seperti loji air, bekalan
letrik melalui unit-unit pakar Askar Wataniah yang sememangnya dikhususkan
penubuhannya untuk melaksanakan tugas-tugas seumpama.
Sesuatu
kebatilan lambat laung terdedah dengan sendirinya bila mana seorang anak muda
Tionghua (Shen Yee Aun) yang merupakan angkatan
muda yang mewakili satu parti siasah telah mendedahkan isu politik
semasa dan kegiatan Red Bean Army (RBA) sebagai Cyber Trooper. Adalah tidak mustahil setiap isu yang
diangkat akan disusuli dengan penyebaran dan manipulasi secara besar-besaran
dan berterusan supaya ianya sampai kepada sasaran pembaca-pembaca laman media
baharu maupun laman-laman sosial terutama golongan-golongan muda yang tidak
pernah mengenal sejarah tanahair negara sendiri secara jelas.
Fenomena ini
sangat jelas menggambarkan pertahanan di era teknologi maklumat yang berkembang
pesat tanpa kawalan ini sangat mencabar kewibawaan pasukan keselamatan bagi
mencegah dan mengawal persepsi,
prejudis, propaganda serta khabar angin yang banyak berlegar di dalam media
baharu dan laman sosial di kala pertempuran masih lagi berjalan.
Ada kalanya
maklumat yang tersebar berbentuk propaganda dari kalangan pihak musuh atau
manipulasi oleh rakyat sendiri cuba menangguk di air keruh dalam usaha
menaikkan saham politik kepartian dan ada juga maklumat yang benar tetapi masih
bertaraf rahsia turut tersebar ekoran penggunaan gajet-gajet persendirian yang
tidak dikawal dalam kalangan anggota-anggota keselamatan itu sendiri.
Dalam usaha
menutralisasikan maklumat yang tidak tepat dari mempengaruhi minda masyarakat
terutamanya dalam konteks perjuangan warga negara bangsa terhadap
pengaruh-pengaruh luar, perlu dibuat kajian semula terhadap kurikulum sejarah
di peringkat sekolah malah juga dokumentari secara berterusan dalam media yang
mudah diakses oleh kebanyakan golongan masyarakat seperti televisyen dan
seumpamanya.
Dokumenkan
peristiwa ini dengan sebaik mungkin
supaya 50 tahun lagi sejarah ini tidak diterbalikan dengan menyatakan
pahlawan-pahlawan yang mempertahankan bumi Lahad Datu adalah penceroboh dan Jamalul Kiram itu
adalah hero sebenar dalam episod pertumpahan darah dalam peristiwa tersebut.
Dalam
konteks ini, penguatkuasaan undang-undang perlu dipertegaskan setegas-tegasnya
terhadap warga negara yang dengan sengaja mendedahkan rahsia negara,
mempersendakan institusi Raja-raja, memperlekehkan sistem perundangan samada
dengan perkataan maupun perbuatan.
Kita
boleh lihat dewasa ini pendemo sudah berani mempertikai kedaulatan panji-panji
Jalur Gemilang (JG) dan secara terbuka menyatakan JG perlu diganti dengan
bendera Sang Saka Malaya (SSM) dengan alasan kononnya JG mempunyai ciri-ciri
yang hampir serupa dengan bendera Amerika.
Mereka mendakwa SSM merupakan bendera asal bagi Tanah Melayu yang
dikatakan menjadi panji-panji perjuangan Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKKM)
yang di bawa oleh Abdullah CD dan Burhanudin Helmi semasa menuntut kemerdekaan
di India daripada kerajaan British pada 17 Dis 1947.
Persoalannya,
sudah banyak kali kedengaran amaran untuk mengambil tindakan kepada
mereka-mereka yang terlibat samada yang menggunakan laman sosial atau pendemo
jalanan namun tidak begitu terserlah sejauh mana mereka-mereka ini diheret ke
muka pengadilan. Sehingga artikel ini
ditulis, di Dewan Rakyat baru sahaja Ahli Parlimen mencadangkan supaya satu
akta khusus diwujudkan bagi menangani isu ini.
Memetik
keluhan seorang rakan Facebook yang merupakan pemain utama dalam memperjuangkan
kedaulatan negara dari ancaman komunis yang menyatakan kekesalan kerana
menghapuskan perjuangan komunis di Malaysia. Katanya dengan keamanan yang telah
dicapai ini membuatkan rakyat begitu selesa dan seronok untuk mencipta
kekacauan baharu seperti berdemo dan menghasut khalayak supaya mencetus
kekacauan atas kepentingan diri. Katanya
mungkin jika ancaman komunis masih ada di Malaysia, puak-puak ini tidak ada
masa untuk membuat kekacauan.
Kesimpulan
Natijah daripada definisi di
atas memberi gambaran kepada umum bahawa pertahanan dan keselamatan mapan
sesebuah negara memerlukan komponen-komponen
kelengkapan yang cukup dan bersesuaian serta keperibadian gabungan modal
insan, yang komited, berinisiatif, berstrategi, patriotik dan taat dengan
sumpah kesastria menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya. Apatah lagi
bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai komposisi rakyat yang berbilang
kaum, etnik dan budaya yang berbeza yang jika tidak diberi ‘sentuhan’ strategik
akan mudah mencetuskan perang saudara.
Kita sepatutnya tidak boleh merasa selesa dengan keamanann yang
negara kecapi sekarang untuk menafikan kepentingan sesuatu aset dengan alasan
negara akan menanggung kos yang terlalu tinggi untuk memperolehinya. Memang tidak dinafikan faktor keupayaan
ekonomi patut juga difikirkan sebelum sesuatu keputusan pembelian dibuat tetapi
alasan sebegitu boleh dipertimbangkan jika negara kita sudah memiliki
sepenuhnya keperluan strategik pertahanan di dalam ketiga-tiga cabang ATM.
Apalah maknanya negara
mempunyai wang yang banyak jika dalam masa yang sama negara digugat dan sukar
ditangkis oleh kerana kekurangan aset-aset strategik yang cukup membantu?. Apakah selamanya pemimpin negara mampu
bertahan dan sabar dengan kaedah diplomasi?.
Memang tidak dinafikan, kaedah ini sangat berkesan untuk mengelak negara
dari terjebak dengan kancah peperangan, tetapi maukah kita maruah negara
diperlekehkan jika satu demi satu kepunyaan negara beralih tangan?.
Penulis juga cukup yakin
bahawa tahap kesabaran seseorang pemimpin negara tidak sama dan selalunya ia
berkait rapat dengan ideologi yang dimiliki oleh parti-parti politik yang
menaunginya. Jika kesabaran pemimpin
atau daya diplomasi lemah maka keputusan untuk menyahut cabaran provokasi akan
lebih cenderung kepada penggunaan kuasa ketenteraan. Dalam suasana ini, rakyat dari golongan mana
sekali pun akan bergantung harap kepada kekuatan tentera sebagai benteng
pertahanan.
Apa yang perlu difikirkan
sekarang ialah bagaimana untuk memenuhi keperluan ATM menjurus kepada kekuatan
sebenar yang diperlukan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanahair. Keadaan semasa negara sangat memerlukan
komitmen semua warganegara supaya dapat mengasingkan pemikiran yang bersifat individu
atau puak daripada mempersoalkan perolehan pertahanan kepada suatu pemikiran
yang boleh membantu merealisasikan perolehan sesuatu keperluan kerana inilah
masanya untuk ATM berlatih dan mencuba kaedah-kaedah baharu taktikal hasil dari
sokongan teknologi semasa. Perajurit
No comments:
Post a Comment