Oleh AZMI HASSAN
GeoStrategis Universiti
Teknologi Malaysia (UTM)
AUSTRALIA sememangnya dikenali sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dan tidak menghairankan dilabel sebagai Timbalan Sherif AS di rantau Asia Pasifik. Malah di Iraq, apabila kebanyakan sekutu Washington mengambil keputusan mengundurkan tentera, Canberra tetap utuh bersama dengan AS.
Tetapi Australia tidak pernah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Walaupun negara tersebut dianggap pembantu penting Washington, persepsi tersebut timbul kerana sokongan Canberra tidak pernah luntur dan bukannya kerana kekuatan ketenteraan.
Tetapi apabila Perdana Menteri Australia Kevin Rudd beberapa hari lepas mengumumkan akan membuat perolehan aset ketenteraan berjumlah RM245 bilion dalam masa dua dekad akan datang, ramai penganalisis tertanya-tanya apakah Canberra sudah tidak mahu jadi Timbalan Sherif tetapi sudah bersedia untuk mengambil tempat Washington di rantau Asia Pasifik.
Peruntukkan RM245 bilion jika dihalusi tidaklah sebesar seperti yang dibelanjakan oleh AS atau China, tetapi dalam keadaan ekonomi yang agak tidak menentu maka sudah tentu perbelanjaan sebesar ini menimbulkan syak wasangka di kalangan negara berdekatan Australia.
Jika diteliti jenis aset yang akan diperolehi seperti 100 jet pejuang F-35 JSF, 12 kapal selam, 8 kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu balistik dan 24 helikopter tempur, maka sudah sah Canberra sememangnya serius dengan perancangan pertahanan mereka.
Apa yang paling menarik ialah perolehan F-35 kerana ia adalah jet pejuang paling canggih pernah dibangunkan yang membuatkan jet pejuang lain seperti Sukhoi SU-30 buatan Rusia jauh ketinggalan ke belakang.
Perlu diingatkan bahawa SU-30 adalah jet pejuang terbaru milik tentera udara Malaysia dan India. Tidak keterlaluan juga jika dinyatakan F-35 adalah jauh lebih hebat daripada F-22 Raptor yang amat dibanggakan oleh tentera Kor Marin AS.
Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera Australia (ADF), skop perolehan aset banyak tertumpu kepada tentera laut (RAN) kerana setiap perolehan mempunyai elemen pertahanan perairan Australia.
Kapal perang yang mempunyai kemampuan peluru berpandu balistik dan kapal selam adalah dua contoh yang begitu nyata yang mana kepentingan pertahanan perairan amat diutamakan. Begitu juga dengan ciri-ciri jet pejuang F-35 yang diutarakan kepada pembuat Lockheed Martin, lebih mengutamakan untuk kegunaan RAN.
Dasar pertahanan terbaru Australia ini ekoran daripada kertas putih yang mengambil kira senario pertahanan dan keselamatan Asia Pasifik sehingga tahun 2030. Apa yang paling menarik mengenai kandungan kertas putih tersebut ialah kemungkinan berlakunya perang di rantau ini adalah tinggi dan dicadangkan Australia mengambil langkah proaktif untuk bersedia menghadapi kemungkinan tersebut. Sebab itu perolehan aset ketenteraan yang agak mendadak dilakukan tanpa mengambil kira perasaan jiran Australia.
Kertas putih tersebut juga mencadangkan Canberra mengambil alih peranan Washington di Asia Pasifik dan mencadangkan supaya Canberra mampu melaksanakan pertahanan hadapan iaitu menangani konflik sebelum ia sampai ke bumi Australia.
Agak memeranjatkan juga apabila kertas putih tersebut mensasarkan akan berlakunya konflik di Asia Pasifik sebagai asas laporan kerana kesimpulan sedemikian rupa sudah pasti memaksa Canberra mengambil langkah yang agak drastik.
Tetapi apa yang paling mencurigakan sekali ialah faktor kemunculan China sebagai kuasa besar digunakan sebagai dalil utama mengapa rantau tersebut dianggap sebagai tidak stabil. Perlu juga dinyatakan Perdana Menteri Rudd dianggap sebagai pakar mengenai hal ehwal China.
Kertas putih mengenai pertahanan Australia dikeluarkan selang beberapa minggu selepas Pentagon mengeluarkan laporan tahunan mengenai perbelanjaan pertahanan China.
Laporan Tahunan Pentagon dan kertas putih Australia dianggap senada kerana kemunculan China sebagai kuasa besar tentera diberi penekanan yang agak tinggi.
Laporan Pentagon disanggah oleh Beijing kerana memperbesarkan isu penambahan perbelanjaan ketenteraan kerana peruntukan tersebut dianggap jauh lebih kerdil berbanding dengan apa yang dibelanjakan oleh AS.
Begitu juga dengan kertas putih Australia, Beijing turut membantah kerana menggambarkan kehadiran tentera China sebagai organisasi yang mampu menimbulkan huru-hara.
Sememangnya bagaikan terdapat satu gerakan yang cuba menggambarkan kemunculan China sebagai kuasa besar tentera adalah pemangkin kepada ketidakstabilan Asia Pasifik. Laporan Tahunan Pentagon dan kertas putih pertahanan Australia jelas mempamerkan hala tuju Washington dan Canberra mengenai Beijing.
Strategi Washington dan Canberra untuk mengekang China begitu jelas kerana kedua-dua sekutu tersebut bersama-sama dengan Tokyo mempunyai persefahaman pertahanan yang baru dijalinkan.
Pakatan Washington-Canberra-Tokyo adalah satu manifestasi yang begitu jelas untuk menyekat pengaruh China di Asia Pasifik dan menggambarkan Beijing mempunyai niat yang tidak baik.
Setakat ini Washington berjaya menimbulkan kesangsian terhadap kejujuran Beijing mengenai perbelanjaan ketenteraan China. Strategi yang sering digunakan oleh Washington adalah dengan menekankan jumlah peruntukan yang dinyatakan oleh Beijing adalah jauh lebih tinggi daripada yang sebenar dibelanjakan.
Tetapi jika diteliti jumlah perbelanjaan pertahanan dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara lain memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang lebih tidak seimbang. Sekutu kuat terbaru Washington iaitu India membelanjakan peruntukan pertahanan melebihi 0.6 peratus KDNK berbanding China.
Malah Taiwan yang dikatakan punca ketegangan Washington-Beijing, memperuntukkan perbelanjaan pertahanan hanya 0.1 peratus KDNK lebih rendah daripada China.
Negara yang memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan yang paling besar ialah AS iaitu melebihi 4 peratus KDNK dan pengiraan ini tidak termasuk apa yang dibelanjakan di Iraq, Afghanistan dan untuk kegunaan keselamatan dalam negeri AS.
Apa yang telah dilakukan oleh Canberra telah menimbulkan syak wasangka melebihi dari apa yang cuba digambarkan oleh Washington terhadap kejujuran Beijing.
Aset ketenteraan yang dibuat Canberra adalah yang tercanggih berbanding dengan Beijing yang kebanyakannya adalah proses menggantikan peralatan tentera yang sudah usang. Menggunakan faktor kehadiran China sebagai asas pertahanan Australia dianggap sebagai kesilapan besar Canberra yang hanya mengikut kemahuan Washington.
No comments:
Post a Comment