About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, November 25, 2008

Pembinaan kumpulan ke-2 kapal ronda TLDM diteruskan

Sumber: Utusan Online

LUMUT 24 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembinaan kumpulan kedua projek kapal ronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan selepas enam kapal ronda dalam kumpulan pertama diserahkan kepada kerajaan pada awal tahun 2010.

Menurut Perdana Menteri, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan keupayaan tempur TLDM dan kerajaan komited untuk melaksanakannya.

''Projek kapal ronda ini bukan sahaja untuk meronda dan menjaga kedaulatan perairan negara, malahan bagi penugasan khas di perairan strategik di serata dunia.



Sultan Ismail Petra bersama
Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan

Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kiri)
melihat model kapal 'Kelantan'
di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam.

''TLDM perlu memperkasakan angkatannya dengan perolehan lebih banyak kapal tempur bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan termasuk ekoran ancaman keselamatan di laluan perdagangan antarabangsa," katanya pada majlis penamaan kapal ronda PV5 TLDM dengan nama 'Kelantan' di Boustead Naval Shipyard, di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Pelancaran kapal Kelantan itu dilakukan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid yang turut disaksikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Kapal sepanjang 91.10 meter dan seberat 1,850 tan itu boleh membawa 68 anak kapal.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara.

Abdullah berkata, 'Kelantan' mempunyai keistimewaan kerana ia dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.
Katanya, kejayaan membina kapal perang canggih itu melambangkan kejayaan dan kemampuan anak tempatan serta menjadikan impian Malaysia membina kapal perang tercanggih menjadi kenyataan.

Katanya, kerajaan juga berharap syarikat tempatan dapat meningkatkan taraf dan memperluaskan bidang pasaran mereka ke luar negara melalui kerjasama strategik pintar dengan syarikat antarabangsa.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kapal peronda ke-6 milik TLDM akan dilancarkan pada Mac tahun depan.
Beliau berkata, Kapal Kelantan yang dilancarkan hari ini dijangka dapat beroperasi pada tahun depan.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini