About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, September 1, 2016

MISI TRANSFORMASI TUDM

Oleh Paklang Hamzah
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam usaha untuk memenuhi misi menjadi Kuasa Udara Yang Dominan di rantau ini telah mengatur strategi dan perancangan bagi memastikan TUDM berupaya untuk melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan dan sentiasa  bersiapsiaga. Perolehan penambahan pesawat PC-7 MK II dan penyewaan helikopter EC 120B adalah sebahagian daripada perancangan yang diatur yang merupakan salah satu daripada 22 inisiatif di bawah Teras Kesiapsiagaan 1 yang mana sehingga  kini 12 inisiatif telah pun berjaya dilaksanakan.
Bagi memastikan kesinambungan, inisiatif di bawah Teras Kesiapsiagaan II juga telah dirancang untuk tahun 2017 di mana mengandungi 15 program penting telah didaftarkan ke dalam rancangan pembangunan Angkatan Tentera  Malaysia (ATM).  Namun begitu, disebabkan kekangan kewangan semasa kerajaan, perakuan peruntukan kewangan untuk tujuan ini masih belum diperolehi.
Sejarah Dan perkembangan Pesawat PC-7
Perkhidmatan pesawat PC-7 bermula pada tahun 1983 dengan penerimaan 44 buah pesawat PC-7.  Pada tahun 2001 TUDM telah memperkenalkan PC-7 MK II Batch I yang dilengkapi dengan kerusi anjal sebanyak 9 buah diikuti dengan perolehan 10 buah lagi pesawat Batch II pada tahun 2007 dengan penyeragaman pesawat telah dilakukan oleh Airod bagi kegunaan latihan asas penerbangan.
Kelangsungan penggunaan PC-7 MK II sebagai platform latihan asas terbang serta fungsi utama Pusat Latihan Terbang 1(PULATIBANG 1) untuk melahirkan juruterbang ATM yang berkaliber dan versatil, Unit ini telah menerima 5 buah lagi PC-7 MK Batch III menjadikan 24 buah semuanya dan pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Menteri Pertahanan pada 27 Jul 2016 yang lalu.  Namun, pegangan sebenar di dalam inventori PULATIBANG 1 adalah 21 buah kerana 3 buah telah dilupuskira setelah pesawat-pesawat tersebut terlibat di dalam kemalangan.  Keperluan sebenar pesawat ini di dalam kekuatan PULATIBANG 1 adalah 24 buah dan dijangka perolehan penggantian 3 buah lagi yang berbaki dapat dicapai dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 11 (RMK 11).
Perolehan terbaharu ini diterima daripada Pilatus Aircraft Switzerland yang membuat penerbangan dari Switzerland ke Kolej Tentera Udara Alor Setar dalam 2 siri penghantaran iaitu siri pertama, 2 buah pesawat baharu telah diterima pada 3  Jun 2016 dan siri kedua sebanyak 3 buah lagi pesawat diterima pada 19 Julai 2016 dan mula digunakan sebagai pesawat latihan penerbangan pada 13 Julai 2016.
Pesawat ini dikuasakan dengan enjin Turboprop Pratt and Whitney PT6A-25C dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 700shp.  Selain daripada itu, pesawat ini adalah dari jenis tandem seating dan glass cockpick yang mana sangat sesuai digunakan pesawat latihan penerbangan asas.
Pesawat ini turut dilengkapi dengan Global positioning System (GPS) sama seperti pesawat Pilatus PC-7 MK II yang sedia ada malah dipertingkatkan dari segi keupayaannya.  Ianya juga dipertingkatkan dari beberapa sudut penting latihan bagi meningkatkan keupayaan PULATIBANG 1 pada masa akan datang.
Pesawat baharu ini juga memiliki pelbagai kelebihan anataranya akses paparan digital berbanding analog pada model terdahulu, system ejection seat yang sangat penting untuk keselamatan juruterbang, perakam data penerbangan (flight data recorder) yang berupaya membantu kerja-kerja menganalisa dengan tepat punca sesuatu kemalangan berlaku.
EC 120B COLIBRI

Helikopter Airbus EC 120B Colibri (Hummingbird) adalah pesawat helikopter ringan buatan Perancis yang mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, unggul dan disegani di dalam kelasnya.  Ianya sesuai bagi menjalankan operasi dan latihan penerbangan bagi agensi-agensi keselamatan seluruh dunia.  Reka bentuknya yang moden dikuasakan dengan enjin tunggal Turbomeca Arrius 2F yang mampu menghasilkan kuasa tujahan 504hp serta mampu menjangkau kelajuan maksimum 151 knots dan jarak sejauh 441 batu notika.
Pesawat EC 120B Colibri telah diperkenalkan di dalam perkhidmatan TUDM pada 3 Disember 2015 menggantikan pesawat Alouette III yang telah ditamatkan perkhidmatanya pada Mac 2016 setelah berada di dalam inventori TUDM melebihi 50 tahun.  Sejumlah 5 buah pesawat diperlukan TUDM untuk dijadikan pesawat latihan asas dan jurulatih penerbangan yang bernaung di bawah pengendalian PULATIBANG 2.  
Tiga buah pesawat pertama telah pun diterima bermula Januari hingga Mac 2016 dan dioperasikan bagi kegunaan QHI Conversion sehingga Mei 2016. Dijangkakan pada penghujung 2016 TUDM akan menerima 2 buah lagi pesawat berbaki.
Pesawat ini dilengkapi dengan sistem glass cocpick, instrumentation dan avionic yang terkini dan dilihat sebagai platform terbaik bagi meneruskan kesinambungan latihan daripada fasa asas kepada fasa lanjutan dengan berkonsepkan lead and training kepada pelatih bagi menyesuaikan kemahiran penerbangan masing-masing sebelum beralih kepada status operational pilot yang bakal mengoperasikan pesawat yang lebih canggih seperti EC725 dan lain-lain. Perolehan pesawat yang canggih dan serba moden ini sekali gus akan mempercepatkan proses latihan penerbangan di PULATIBANG 2 yang mana pesawat ini sememangnya diakui dan diyakini mampu memenuhi keperluan latihan penerbangan sesuai dengan keperluan skuadron operasi TUDM.
Latihan penerbangan yang dijalankan menggunakan pesawat EC120B Colibri ini merangkumi Underslung Flight Operation, Night Flying Operation, High Altitude Operation, Searching techniques dan navigation.  Sesuai dengan keistimewaan dan kemampuan pesawat ini, PULATIBANG 2 turut memperkenalkan dua silibus baharu iaitu Instrument Flying dan Mountain Flying sebagai peningkatan dalam aspek latihan.
Perolehan pesawat ini menggunapakai konsep Company Own and Military Operates yang mana pembayaran hanya akan dibuat berdasarkan jumlah jam yang diterbangkan.  Konsep ini akan lebih menjimatkan kos pengoperasian, pengurusan aset dan sumber manusia.  Kolaborasi TUDM bersama industri pertahanan tempatan dan antarabangsa ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan negara malah dapat merancakkan lagi industri pertahanan tempatan.
Perkembangan-perkembangan Lain
TUDM juga turut bekerjasama dengan beberapa syarikat tempatan dan luar negara untuk latihan simulator termasuk melaksanakan latihan simulator pesawat jenis NURI S-61 bersama Aerotree Defence & Sevices Sdn Bhd 2 di Wales yang melibatkan seramai 32 orang juruterbang dan latihan bersama Naber Corporation Sdn Bhd di Amerika Syarikat yang melibatkan seramai 20 orang juruterbang tempatan.  
TUDM juga menjalinkan beberapa kerjasama lain bersama syarikat-syarikat luar yang berpangkalan di Dubai dan Kanada untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan juruterbang.
Demi kelangsungan kualiti dan pemodenan aset-aset, TUDM telah menggariskan pelan perancangan masa hadapan terhadap aset-asetnya. Tujuh perancangan utama telah digariskan ialah Peningkatan Pesawat Pejuang Hawk, Pusat Service Teknikal Sukhoi (STC), Peningkatan Avionic Pesawat NURI (NUP4), Peningkatan Avionic Pesawat C130H (AUP2), Perolehan Pesawat A400M, Perolehan Tambahan Pesawat Latihan Pilatus PC-7 MK II dan Peningkatan Radar Kawalan Lalu Lintas Udara di PU Butterworth dan PU Kuantan.
Kepada pemerhati dan peminat-peminat pertahanan domestik yang tertanya-tanya tentang perolehan pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA) dan pesawat Airborne Early Warning And Control (AEW&C), penulis berani katakan bahawa setakat ini belum ada keputusan muktamad oleh pihak TUDM maupun kerajaan tentang perolehan tersebut.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini