About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, November 20, 2011

PELANCARAN KOMPENI AW NEGERI KEDAH


Sumber: Majalah Perajurit Edisi November 2011
Oleh Hamzah hd

Dalam usaha kerajaan untuk menubuhkan Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi setiap kawasan dalam negara ini hampir memenuhi matlamat. Sehingga kini sudah 202 kawasan di seluruh Malaysia telah dilancarkan dan berbaki 20 kawasan lagi dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.
Negeri Kedah Darul Aman mempunyai 15 buah kawasan Parlimen, 12 Kompeni daripadanya telah dilancarkan secara berperingkat-peringkat. Pada 17 Sep 2011, tiga lagi kawasan telah dilancarkan iaitu kawasan Jerlun, Sik dan Padang Terap. Dengan pelancaran ini sempurnalah penubuhan kompeni Askar Wataniah peringkat Negeri Kedah sekali gus memberi peluang serta platform kepada rakyat negeri ini mempertahankan negara tercinta.

Sehingga kini hanya negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masih belum dilancarkan sepenuhnya. Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Lt Jen. Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi , Timbalan Panglima Tentera Darat. Turut hadir dalam majlis di Taman Tema Jitra ialah , Mej Jen Dato’ Azizan bin Md Delin, Panglima 2 Div , Mej Jen Dato’ Mohd Nor bin Daud, Ketua Staf Markas Tentera Darat , Brig Jen. Dato’ Mohd Tajeri bin Haji Alwi, Panglima 6 Briged dan Brig Jen Dato; Mahadi Abdul, Asisten Panglima Pasukan Simpanan.
Pemakaian Pangkat Mejar Kehormat di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan kepada En Samat bin Che Noh Pengarah Urusan Inovasi Utara yang telah memberi komitmen tinggi dan bercita-cita untuk menjadi pegawai tentera.
Sejarah Askar Wataniah Negeri Kedah

Rejimen 513 AW ditubuhkan bertujuan untuk mengambil, melatih dan mentadbir anggota Sukarelawan dan Sukarelawati AW dari seluruh Negeri Kedah. Sejarah awal penubuhan pasukan sukarela di nergeri Kedah telah bermula sejak tahun 1932. Antara pasukan-pasukan sukarela yang pernah wujud di negeri ini adalah Kedah Volunteer Force (KVF), Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Kedah (PPT Kedah) dan Rej 504 AW.

Pada tahun 1941, semasa Tentera Jepun menyerang Malaya, pasukan KVF telah ditugaskan untuk mengawal Sungai Petani dan kemudiannya telah dibubarkan akibat pengunduran Tentera British ke Selatan tanahair. Setelah tamat Peperangan Dunia Kedua iaitu pada 1 Jan 1950, Kerajaan British telah menubuhkan PPT Kedah bagi membangkitkan semua semangat sukarelawan dalam kalangan penduduk Negeri kedah dalam usaha untuk memerangi keganasan Parti Komunis Malaya (PKM).

Akibat dari penyusunan dan pembesaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), maka pada awal 1980, PPT Kedah telah dibubarkan dan diganti dengan penubuhan Rej 504 AW pad 7 Sep 1980 yang merangkumi kawasan tanggungjawab (KTJ) negeri Kedah dan Perlis.
Susulan dari pembesaran Rejimen AW (RAW), maka pemisahan sector telah dibuat pada 14 Jun 1997. Rej 513 AW telah ditubuhkan bagi merangkumi KTJ Negeri Kedah manakala Rej 504 AW untuk KTJ Negeri Perlis.

Sejarah Pasukan

Rej 513 AW telah ditubuhkan bertujuan untuk mengambil, melatih dan mentadbir anak watan Negeri Kedah dalam menjadikan mereka seorang anggota tentera yang terlatih setanding dengan anggota tetap. Rejimen ini ditubuhkan sejajar dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang mana dalam konsep ini setiap negeri akan mengadakan pasukan sukarelawan dalam membantu ganti serta mengimbangi dengan kekuatan anggota tetap demi untuk mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.
Penubuhan ini berkuatkuasa pada 14 Jun 1997 dengan dipersetujui oleh MAT ke 353. Tahap penubuhan bagi proses penubuhan Rejimen adalah berpandukan 4 tahap seperti:
a. Tahap 1- Penubuhan Nukleas pada 28 Ogos 1997 bertempat di Kem Bukit Keteri Perlis dengan menggunakan perjawatan Bn 4/504 dan berpindah ke Kem Jalan Kolam Air pada 15 Dis 1997.
b. Tahap 2- Penubuhan Mk Rej dan Bn 1/513 di Kem Jalan Kolam Air pada 1 Jan 1998.
c. Tahap 3- Penubuhan Bn 2/513 di Kem Jalan Bukit Kulim pada 1 Jan 1999.
d. Tahap 4- Penubuhan Bn 3/513 di Kem Jalan Kolam Air pada 1 Jan 2000.
Pada 1 Apr 2010 Mk Rej dan Bn 3/513 AW telah berpindah ke Kem Bukit Pinang Kepala Batas, Kedah. Komander Rej 513 AW sekarang adalah YTM Tungku Panglima Besar Brig Jen Dato; Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam shah.
Ringkasan Penubuhan Kompeni AW Kawasan
Bagi melengkapkan pembangunan Rejimen Askar Wataniah (RAW), mantan Menteri Pertahanan Malaysia ketika itu iaitu YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengilhamkan Penubuhan Kompeni Askar Wataniah.
Kawasan Pekan Pahang adalah kawasan yang pertama ditubuhkan pada 15 Jul 2000. YAB Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Pekan telah secara rasminya menyempurnakan pelancaran ketika itu.
Kompeni AW ini terdiri dari orang awam yang ingin menyertai perkhidmatan Sukarela AW. Tujuan penubuhan Kompeni ini adalah:
a. Untuk memupuk golongan muda sebagai aktiviti sampingan mereka dan menanam tanggungjawab dalam aspek pertahanan Negara.
b. Untuk mendapatkan satu kumpulan tentera sebagai pelindung tempatan yang terlatih dan boleh dimobilisasikan pada bila-bila masa dalam waktu kecemasan/bencana alam untuk membantu pihak berkuasa awam.
c. Untuk melibatkan serta merapatkan hubungan awam dengan tentera.
Di dalam program ini, pihak-pihak yang terlibat,adalah seperti berikut:
a. Penaung- Menteri/Timbalan Menteri
b. Pengurus-Panglima TD (PTD) dan dikawal selia oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan.
c. Penyelaras Program- Markas Medan TD dan dikawal selia oleh Markas Formasi Briged Infantri tempatan.
d. Agensi Pelaksana- Usahasama antara Rejimen siri 500 dengan Pejabat Ahli Parlimen tempatan.
e. Agensi Penasihat- Jawatankuasa Pendukung AW (JAKPAW) Negeri.
Semua orang tahu, pertahanan atau peperangan masa kini telah transisi terlalu jauh kepada satu paradigma secara menyeluruh yang berkonsepkan teknologi tinggi. Namun begitu kekuatan fizikal dan mental adalah faktor asas yang tidak boleh ditukar ganti walau dengan apa cara sekali pun melainkan mengadaptasikan semua sistem latihan secara semulajadi walaupun sudah bergelar askar bestari atau askar masa depan.

Bagi melindungi kepentingan negara yang menjadi teras kepada kedaulatan wilayah darat, persiapan barisan kedua tentera darat menjadi sama penting dengan ketumbukan askar tetap di barisan hadapan.
Justeru, sesuai dengan perencanaan strategik Kementerian Pertahanan, satu dasar telah digubal melalui pendekatan HANRUH iaitu dengan melibatkan semua rakyat yang patriotik mengambil bahagian dan bertanggungjawab terhadap pertahanan negara yang mana selama ini peranan ini dipikul oleh Pasukan Keselamatan seperti ATM dan PDRM namun untuk memastikan pasukan keselamatan mampu menghadapi cabaran ianya akan menjadi tanggungjawab nasional.

Meskipun keupayaan ATM sentiasa dipertingkatkan kesiagaannya namun keupayaan berdikari rakyat Malaysia dalam mempertahankan tanahair turut diberi perhatian serius. PERAJURIT.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini