About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, March 4, 2021

ISU SEMPADAN YANG TIADA KESUDAHAN

 Oleh: Paklang Hamzah

Foto: Pro 2 Div, Shilla

 


Isu sempadan bolos seperti tiada kesudahan dan sentiasa berulang dengan dihangatkan oleh insiden-insiden baharu.  Peristiwa berulang dengan jalan cerita yang sama, cuma yang berbeza ialah masa, lokasi dan  watak yang mungkin sentiasa diperbaharui. 

Mengakhiri kalendar aktiviti 2020 penguatkuasaan  sempadan,  negara dikejutkan dengan berita dua orang anggota keselamatan dari Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di Pos 9 sempadan Malaysia-Thai  diserang oleh penyeludup ketika dua anggota tersebut sedang membuat rondaan.  Dalam kejadian jam 3.10 pagi 24 November lalu, Koperal Baharuddin Ramli maut selepas ditembak  dan rakannya Koperal Norihan cedera parah. 

Tindakan nekad kumpulan penyeludup ini dikatakan  ekoran dari kawalan ketat pasukan keselamatan di sempadan akhir-akhir ini yang telah berjaya menahan dan merampas barang-barang seludup di dalam beberapa siri operasi sebelum ini. Memang tidak dinafikan aturgerak National Task Force (NTF) mutakhir ini banyak menghasilkan tangkapan dan rampasan  melalui siri-siri operasi yang dilakasanakan. 

Pada hemat penulis, tindakan penyeludup bertempur dengan anggota penguatkuasa adalah kerana mereka terdesak dan bertindak ganas kerana untuk meloloskan diri dari ditangkap ketika melaksanakan  kegiatan haram mereka.

Seperti biasa, bila berlaku kejadian yang melibatkan kematian dan kemusnahan di pihak penguatkuasa, maka tindakan drastik terus diambil dengan menambah bilangan pasukan keselamatan lengkap dengan kereta perisai dan sut kelengkapan peribadi yang moden kepada anggota keselamatan seolah-olah pasukan ini akan menghadapi peperangan besar di sempadan. 

Ironinya, penyeludup atau sindiket  bukanlah membentuk sebuah angkatan yang bertujuan untuk melawan  pasukan keselamatan.  Modus operandi mereka adalah  mencipta lorong atau laluan yang terlindung oleh pandangan pasukan penguatkuasa dengan harapan mereka tidak akan langsung terserempak dengan penguatkuasa yang sedang berkawal atau sedang membuat rondaan semasa menjalankan aktiviti terlarang mereka. 

Dalam keadaan sempadan yang hanya dipisahkan dengan pagar jaring atau kawasan yang langsung tidak berpagar dan kawasan sempadan yang tidak mempunyai zon penampan, kalau mereka sengaja mahu bergaduh atau mahu menyerang dan membunuh, mereka boleh dengan mudah menembak curi (hit and run) terhadap pasukan keselamatan yang sedang membuat rondaan dari seberang sempadan dalam jarak beberapa meter sahaja.

Penyeludup atau sindiket bergerak dalam kumpulan kecil yang menjalankan aktiviti lintas sempadan bagi menjana pendapatan sentiasa mengintai ruang-ruang dan peluang-peluang yang tidak diberi perhatian serius oleh kedua-dua buah negara bersempadan.  Mereka bertindak balas jika keadaan mereka tersepit di mana mereka menggunakan senjata api  sebagai pertahanan diri terakhir di kala terdesak dalam usaha meloloskan diri dari ditangkap oleh penguatkuasa.

Bagi pasukan keselamatan, dalam keadaan aman agak sukar untuk menentukan setiap inci pagar dan juga kawasan tidak berpagar tersebut dapat diperhatikan berterusan kerana kawalan mereka tidak berformasikan street lining semata-mata pada semua tempat atas faktor-faktor kekurangan anggota.  Justeru memadai dengan membuat rondaan berkala yang mana boleh membuka ruang kepada aktiviti penyusupan  terutamanya di malam hari.

Oleh sebab itu,  pasukan keselamatan yang ditugaskan menguatkuasa di sempadan pada sebilang masa tidak harus leka dan mengambil mudah dalam melaksanakan tugas dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah kemasukan (MOE) ke dalam kawasan tanggung jawab bagi mengelakkan suasana kecemasan jika terserempak dengan kumpulan penyeludup yang sedang melaksanakan kegiatan mereka.  Dalam keadaan tersepit, mereka sanggup melakukan apa saja termasuk membunuh untuk mengelakkan diri mereka ditangkap.

Memahami Dan Menangani Isu

Isunya ialah sempadan laut dan darat negara tidak pernah sunyi dengan aktiviti lintas sempadan oleh pendatang tanpa izin (PATI), penyeludupan barang-barang halal dan terlarang malah sangat popular dalam isu pemerdagangan manusia.  Ini adalah kerana, aktiviti-aktiviti terlarang ini memberi pulangan yang sangat lumayan kepada individu mau pun sindiket yang mengusahakannya.

Semua negeri-negeri di Malaysia mempunyai lautnya yang tersendiri yang mana setiap negeri terdedah kepada masalah aktiviti terlarang terutamanya negeri Sabah yang sentiasa terdedah dengan kemasukan dari Filipina dan negeri-negeri yang berhadapan dengan Selat Melaka akan terdedah kepada kemasukan dari Indonesia dan sebagainya.

Di sempadan Malaysia-Thai, penyeludupan membawa keluar atau masuk barang-barang halal seperti bahan makanan, bahan api, pakaian dan lain-lain yang merupakan aktiviti tradisional yang berlaku sejak berabad lamanya kerana ianya menjadi satu pekerjaan yang mampu meraih pendapatan kepada penduduk setempat kerana barangan yang didagangkan adalah merupakan keperluan harian yang diperlukan oleh rakyat di kedua-dua buah negara.  Kegiatan mereka sangat berkait rapat dengan keadaan perbezaan nilai mata wang di samping harga bahan-bahan komoditi yang berbeza di antara dua buah negara.  Sumber media menyebut, terdapat stor besar di sebelah Thailand untuk tujuan menyimpan kontraban yang mana  kandungannya diedar melalui kaedah penyeludupan.

Mutakhir, aktiviti penyeludupan barang terlarang seperti daun ketum dan dadah turut mewarnai persekitaran sempadan.  Modus operandi penyeludup ialah dengan membekal daun ketum dari Malaysia kepada sindiket di Thailand.  Sindiket Thai pula membekalkan bekalan dadah  kepada sindiket Malaysia untuk diedarkan dalam negara.  Difahamkan negara Thai mengharamkan penanaman pokok ketum di negara mereka namun di Malaysia pokok ketum boleh ditanam dengan bebas namun pemprosesan dan penjualan produk ketum adalah salah dari segi undang-undang di mana penyalahgunaan ketum diletak di bawah akta racun. 

Hasil dari pemprosesan daun ketum menjadi minuman mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan warga tempatan dan pembekalan haram daun ketum kepada sindiket di Thailand mencecah puluhan ringgit sekilogram. 

Fenomena ini menjadikan perdagangan daun ketum menjadi satu sumber ekonomi bagi mereka-mereka yang menceburkan diri dalam aktiviti ini.  Mereka tidak risau jika sesekali ditangkap kerana dendanya agak rendah berbanding pendapatan yang sangat lumayan.  Atas dasar ini, terdapat ‘ladang’ ketum yang diusahakan sebagai sebahagian daripada hasil komoditi dalam mempertingkatkan sosio ekonomi kepada pengusahanya yang berani.

Jumlah sebenar kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke dalam negara samada secara bersendirian mau pun digerak oleh sindiket, yang masih lagi menghantui pihak berkuasa sehingga kini adalah kerana mereka-mereka yang terlibat sentiasa kreatif mencari jalan bagaimana untuk melepasi garisan sempadan negara. Mereka mahir mencipta pelbagai kaedah samada secara konvensional dengan menyusup melalui lorong-lorong tikus malah pernah dilaporkan kemasukan mereka secara profesional melalui pintu-pintu masuk yang di kawal rapi.

Kebanjiran warga asing kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara.  Sekadar memetik angka yang ditulis dalam satu laporan akhbar tempatan yang diambil dari sumber Imigresen, menyatakan seramai  lebih daripada 18 ribu orang PATI dari pelbagai negara telah ditangkap dalam operasi sepanjang tahun 2020.  Suatu angka yang menakutkan kerana kita tidak tahu berapa ramai lagi yang sudah berada di dalam negara samada yang sebelum ini masuk secara haram atau yang masuk melalui saluran yang sah tetapi tidak keluar setelah tamat tempoh sedang bekerja dalam pelbagai sektor.

Isu warga asing ini tidak tamat di sempadan kerana kebanjiran tetamu yang tidak diundang ini telah menjejaskan keharmonian rakyat dengan peningkatan aktiviti jenayah domestik dan turut mengganggu peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang sepatutnya menjadi hak rakyat Malaysia yang sah.

Pendatang-pendatang yang bernaung di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) cetus fenomenanya yang tersendiri.  Mengikut laporan Program Perlindungan dan Bantuan  Kemanusiaan  UNHCR,  seramai 178,140 pelarian yang berdaftar terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak  yang berada di Malaysia. Persoalannya sejauh mana kesahihan dan ketulinan pemilikan kad UNHCR mereka itu dan berapa lama lagi kumpulan ini akan berada di Malaysia?.  

Belum habis isu kebanjiran pendatang, negara dikejutkan pula dengan pemalsuan Mykad. Berapa banyak Mykad sudah dipalsukan tak dapat dipastikan.  Apa yang penting bagi meredakan keresahan ini kerajaan patut melaksanakan plan pemutihan nasional bagi mengenal pasti ketulinan rakyat Malaysia. MYkad perlu diperbaharui!.  Proses penukaran Mykad memerlukan kehadiran setiap individu ke pejabat pendaftaran untuk ditemuduga secara lisan dan meneliti segala dokumen asal kelahiran.

Penguatkuasaan Dan Makanisma

Mempertahankan kepentingan-kepentingan strategik negara, perinsip-perinsip pertahanan dan konsep pertahanan adalah merupakan elemen penting kepada Dasar Pertahanan Negara (DPN) dalam usaha mengekalkan dan  memelihara persekitaran kawasan strategik yang stabil dan aman dari sebarang bentuk ancaman dan pencerobohan.

Kawasan persekitaran strategik negara dapat dilihat dalam tiga lapisan iaitu kawasan terdekat, serantau dan global.  Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang angkasa, zon ekonomi eksklusif (ZEE), Selat Melaka, Selat Singapura dan pintu-pintu masuk sempadan laut dan darat.

Membicarakan kawasan terdekat yakni sempadan laut darat dan udara negara yang sering dibolosi.    Persoalan ini tidak mudah untuk dijawab seumpama membilang jari atau mengira  satu dua tiga kerana permasalahan ini sangat kompleks yang perlu dilihat dari pelbagai sudut terutamanya dari sudut geografi, aset dan kelengkapan, modal insan dan soal integriti. 

Malaysia sebagai sebuah negara maritim, persempadanan laut adalah sangat luas dan agak mustahil untuk dijaga pada sebilang masa berbanding dengan pemilikan aset-aset penguatkuasaan yang sangat terhad. Meski pun setiap jabatan mempunyai modal insan yang komited dalam tugas namun banyak kekangan yang terpaksa dihadapi terutamanya kekurangan anggota, aset, peralatan dan sebagainya yang memangkin kepada kelemahan di dalam penguatkuasaan.

Pemantauan dan sekatan perlu dibuat dari tengah laut kerana sudutnya lebih sempit berbanding pemantauan dan pemintasan di pesisir pantai.  Setiap sektor operasi perlu di sertai oleh sebuah  kapal induk bagi membolehkan aset-aset kecil boleh bertahan lebih lama di laut.

Mengambil kira faktor-faktor tersebut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya perlu memiliki banyak Kapal Auxiliary yang boleh dijadikan kapal induk dalam memberi bantuan kepada elemen-elemen NTF semasa melaksanakan pemantauan maritim yang semakin hari semakin banyak aktiviti-aktiviti pencerobohan, penyeludupan melalui jalan laut.  Dengan perbanyakkan Kapal Auxiliary pada sektor-sektor strategik akan membolehkan penempatan unit udara, kapal dan bot kecil di bawah penugasan NTF itu membuat perlindungan bagi tujuan rehat dan rawat  serta ulang bekal.  Pemantauan intensif  ini bukan sahaja dilihat lebih berkesan malah menjadi cegah rintang kepada sebarang aktiviti pencerobohan.

Sempadan daratan Malaysia-Thai yang merentasi timur dan barat semenanjung panjangnya lebih daripada  600km yang kebanyakannya tidak berpagar yang mana di sebelah timur dipisahkan oleh sungai dan bukit-bukau.  Manakala di sebelah utara sebahagiannya mempunyai pagar tetapi sudah usang dan tidak diselenggara dengan baik yang memangkin kepada aktiviti pencerobohan dan lintas sempadan dengan mudah. 

Jika diperhatikan, banyak kawasan di sempadan daratan ini tidak mempunyai zon bebas (buffer zone) yang mana garisan sempadan berada di dalam tanah milik persendirian.  Dalam situasi ini, penguatkuasaan sering berhadapan dengan masalah kerana akan dipersalahkan oleh tuan tanah yang boleh menuduh penguatkuasa telah menceroboh di penempatan-penempatan mereka semasa membuat operasi penguatkuasaan.  Dalam situasi ini, tidak mustahil penyeludup atau tuan tanah sendiri  boleh mengambil  kesempatan untuk melakukan aktiviti-aktiviti terlarang di atas tanah persendirian dengan berselindung di sebalik kerja-kerja seharian yang mengakibatkan pihak penguatkuasaan berlepas tangan atau terlepas pandang.

Justeru, bagi sempadan yang mempunyai bentuk muka bumi yang landai ini sangat wajar didirikan tembok yang mana ciri-ciri tembok tersebut berkonsepkan ban atau batas tinggi yang boleh dilalui dengan kenderaan di atasnya bagi tujuan rondaan berkala atau pun pemantauan udara dengan menggunakan dron.  Contoh yang terbaik  ialah Tembok Besar China.  Sebenarnya dron mau pun CCTV tidak mampu memberi gambaran yang jelas untuk pemantauan di kawasan berhutan tebal. 

Kawasan batas tinggi ini semestinya digazetkan terlebih dahulu supaya betul-betul berada di dalam zon bebas dan berkecuali sekurang-kurangnya 150-200 meter dari garis sempadan.  Pengambilan tanah persendirian yang berada di kawasan ini  hendaklah dibuat terlebih dahulu dengan memindahkan penempatan-penempatan tradisional yang terlibat.  Zon bebas ini sebaiknya di dirikan dengan dua lapisan pagar di mana di dalam zon penampan untuk rondaan agensi sempadan dan di luar zon penampan untuk rondaan PDRM.

Untuk meletakkan sempadan laut negara dalam posisi yang betul-betul bebas dari permasalahan yang dibincangkan ini, adalah sangat sukar berbanding sempadan darat kerana ianya sangat luas yang memerlukan keupayaan penguatkuasaan yang tinggi dan bersistemetik.

Senario pergolakan politik negara-negara serantau turut menjadi barah yang menjangkiti keharmonian negara  ekoran kemasukan pendatang secara izin dan tanpa izin yang menjadikan beban kerja yang semakin bertambah dari sudut pengawalan dan penguatkuasaan.  Malaysia tidak pernah menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka namun disebabkan tekanan hidup di negara asal mereka dan terdapat ruang, peluang dan kelemahan penguatkuasaan di sempadan maka lahirlah pengkhianat-pengkhianat negara yang mengisi jawatan tekong darat dan transporter bagi melicinkan perjalanan mereka.

Faktor kelemahan, ketirisan dan kerenah penguatkuasaan di sempadan memang pahit untuk ditelan namun kita tidak patut memandang serong dan melontarkan persepsi negatif secara melulu kepada agensi penguatkuasaan yang bertugas  di sempadan sebelum kita menyelami permasalahan sebenar mereka yang menjurus kepada polemik yang sentiasa menjadi topik panas di media massa.  Untuk berlaku adil, masyarakat juga perlu menilai sejauh mana pemilikan aset dan kelengkapan yang agensi-agensi terlibat miliki.  Adakah aset dan kelengkapan bantuan yang sedang mereka gunakan sudah mencukupi dan canggih bagi membantu kelancaran penugasan mereka?.

Penulis sangat setuju dengan kebanyakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat supaya dibina tembok pemisah di samping memasang sistem kawalan bersepadu di kawasan-kawasan strategik bagi mengekang atau mengurangkan permasalahan di sempadan darat.  Pembinaan tembok pemisah yang bersesuaian yang sebelum ini sudah pun dipersetujui bersama Mal-Thai adalah pilihan terbaik jika digandingkan dengan kawalan bersepadu manusia dan mesin sudah pasti akan menghasilkan sinergi yang bermutu tinggi dan akan menguntungkan negara kedua belah pihak untuk jangka masa panjang dari segi ekonomi dan keselamatan. 

Pembinaan tembok di sepanjang sempadan dalam negeri Kelantan yang dipisahkan oleh sungai bukan sahaja dapat berfungsi sebagai penghalang aktiviti lintas sempadan malah juga sekali gus ianya berfungsi sebagai penebat banjir yang mana bencana banjir sangat  membebankan penduduk sekitar setiap kali kitaran musim monsun timur laut menjelma.  Banjir bagi daerah yang terpisah dengan Sungai Golok merupakan ancaman tradisional bagi daerah-daerah terbabit yang mana turut menjejaskan pembangunan dan  pertumbuhan ekonomi kepada penduduk setempat. 



Tembok ini juga dijangka akan membunuh secara tuntas segala aktiviti kurang sihat di sempadan ini yang sudah bertapak sejak berabad lamanya yang ternyata pagar manusia yang dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa masih belum berjaya menghapuskan aktiviti tersebut secara total meski pun terdapat peningkatan dalam tangkapan dan rampasan sejak akhir-akhir ini.

Dikatakan kos pembinaan agak mahal namun jika dibuat beransur-ansur lambat laun akan dapat disiapkan juga. Dalam masa yang sama negara dikatakan mengalami kerugian berbilion ringgit setahun disebabkan pembolosan di sempadan ini yang mana telah menjejaskan kutipan cukai negara.  Jika semua transaksi berlaku secara normal melalui Kompleks Kastam Imigresen Dan Kuarantin (CIQ) dan sistem ini berfungsi dengan baik nescaya kutipan cukai negara bertambah berlipat kali ganda yang dijana melalui pendapatan  tambahan hasil kutipan barangan bercukai. 

Walau pun ada kawalan di sempadan, namun usaha untuk menghentikan aktiviti penyeludupan masih menemui jalan buntu.  Justeru, tembok penampan dilihat menjadi solusi terbaik dalam menangani masalah kebocoran kerana aktiviti menyeberang  melalui lorong-lorong tikus dapat dibendung sepenuhnya meski pun dengan kawalan manusia yang minima.

Natijah

Bagi mencapai hasrat DPN, semua yang terbabit dalam memikul amanah negara dalam konteks yang dibincangkan mestilah bersedia untuk mendokong sepenuhnya nilai integriti, kompetensi terutamanya di dalam sektor penguatkuasaan.  Bagi menentukan keberkesanan penguatkuasaan, gandingan rapat kepada sumber manusia ini ialah makanisma. 

Makanisma memerlukan peruntukan dan perbelanjaan berulang oleh pihak kerajaan.  Pembinaan tembok penampan, tenaga manusia dan maknisma dapat dijimatkan yang membawa kepada keuntungan negara untuk jangka masa panjang akan dapat dilihat dan dinikmati oleh  rakyat melalui perolehan hasil negara yang bertambah di samping jaminan keselamatan yang meyakinkan.

Intergrasi National Task Force yang diterajui oleh ATM bersama PDRM, APMM  dengan gandingan 16 agensi penguatkuasa lain bernaung di bawahnya adalah suatu langkah penambahbaikan yang diharap dapat memberi impak positif dalam usaha membendung setiap permasalahan dalam perbincangan ini kerana setiap agensi mempunyai peranannya yang tersendiri.  Apa yang penting, jika ingin melihat perubahan dan penambahbaikan ketara susulan kepada penugasan NTF, pihak kerajaan harus bersedia untuk membuat pelaburan yang sewajarnya.  Sejarah konfrontasi, insurgensi dan Ops Daulat telah membuktikan bahawa gandingan dan sentuhan ATM dan PDRM tidak akan mengecewakan negara.

Dalam soal keselamatan dan keamanan negara, kerajaan tidak perlu takut dengan permainan politik pihak-pihak yang ingin menangguk populariti untuk diterjemahkan di medan pilihanraya.  Ketegasan ini lambat laun akan diterima rakyat bilamana produktiviti keselamatan terserlah di kemudian hari.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini