Diterbitkan alam Majalah Perajurit edisi Mac/Apr 2021
Oleh: Paklang Hamzah/Foto: PRO TLDM
Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle adalah Sistem Pesawat Tanpa Pemandu buatan syarikat
Boeing-Insitu yang dibekalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada kerajaan
Malaysia melalui program Maritime Security Initiative (MSI) merupakan
aset udara terbaharu memasuki inventori TLDM pada 6 Mei 2020.
Selaras dengan perolehan ini Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) telah menubuhkan satu lagi skuadron baharu iaitu
Skuadron 601 (Skn 601) yang dioperasikan di bawah Markas Pemerintahan Armada
Timur diterajui Pegawai Memerintah pertamanya Komander Mohd Khalid bin Ahmad
Zakaria. Kesemua perolehan UAS ini akan
di aturgerak di kawasan Malaysia Timur sebagai keutamaan berdasarkan keperluan semasa
di sana yang agak sukar untuk ditembusi melalui pengawasan menggunakan aset
permukaan sedia ada di antaranya kerana faktor geografi.
Skn 601 ini telah dilancarkan pada 4 Mac
lalu oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di
Stesen Udara TLDM Kota Kinabalu. Dengan tertubuhnya Skn UAS ini TLDM dijangka
dapat mempertingkatkan keupayaan intelligence,
surveillance dan reconnaissance (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya
yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu serta perkongsian
maklumat di dalam kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.
ScanEagle juga mampu melakukan pelbagai
misi, termasuk operasi Carilamat (SAR), Tindak Balas Bencana, Perlindungan
Angkatan, Mengekori Sasaran, Penilaian Kerosakan Pertempuran, Keselamatan
Sempadan, Perantara Komunikasi, Rangkaian Operasi dan Anti-Pelanunan.
Latihan operasi selama 12 bulan yang
dibimbing oleh wakil syarikat Boeing-Insitu telah mula
dilaksanakan oleh kru operasi Skuadron 601 dan penerbangan sulung bagi pesawat ScanEagle berjaya dilaksanakan pada 5 Februari 2021
yang lalu. Latihan operasi ini merupakan salah
satu daripada fasa pembangunan UAS TLDM yang bertujuan melahirkan kru operasi yang kompeten serta mampu mengendalikan
sistem dengan baik.
Skuadron 601 juga mencatatkan
sejarah sebagai skuadron UAS yang pertama diwujud dan dioperasikan di dalam
Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Komponen UAS yang terdiri daripada 6
pesawat, 2 Pelancar, 2 Skyhook dan 3 Ground Control Station (GCS) bernilai
RM180 juta. TLDM dijangka akan menerima beberapa buah UAS ScanEagle lagi di
bawah program MSI sebelum penghujung tahun 2021.
Spesifikasi ScanEagle, Pelancar Dan
Penerima
Spesifikasi ScanEagle dengan panjang badan pesawat hanya 1.71m dan lebar sayap 3.1m
mampu dilancarkan pada ruang yang terhad tanpa memerlukan landasan terbang. Berat tanpa minyak 17.5kg dan berat maksima ketika
pelancaran ialah 22kg dengan kemampuan beroperasi di udara selama 12 jam pada
kelajuan 111kmj dengan berpandukan sistem navigasi Global positioning system
(GPS). Ketinggian maksima pengoperasian ialah 19,500ka dan ketinggian ideal
pengoprasian: 2,500-5,000ka dengan sensor penglihatan sejauh 100km menjadikan
ScanEagle sebuah dron yang versatil dalam kelasnya.
Dari segi muatan ScanEagle boleh
dilengkapi dengan electro-optical imagers, long-wave infrared sensors dan
radar X-band.
Spesifikasi MARK 4 Launcher ini jika disimpan panjangnya cuma 5.56m dan
lebarnya 2.21m. Masa aturgerak panjangnya menjadi 7.09m, lebar 2.21m dan tinggi
2.54m. ScanEagle tidak memerlukan lapangan terbang untuk melancarkannya memadai
dengan menggunakan pelancar pneumatik. Pelancar Mark 4 adalah treler yang
dipasang berkuasa sendiri dan digerak pada landasannya. Mempunyai banyak kunci
kawalan keselamatan bagi mencegah kemungkinan pelancaran secara tidak sengaja. Dengan
keberatan Pelancar 1,905kg, jika dikendalikan oleh empat orang pengendali hanya
memerlukan masa dalam 20 - 30 minit.
MK 1 MODE 2 SKYHOOK ialah sistem penerimaan ScanEagle bergerak dengan kawalan sendiri sepenuhnya. Dengan menggunakan real-time kinematic GPS untuk pendekatan dan tangkapan yang tepat secara konsisten. SkyHook menggunakan cangkuk di hujung sayap untuk menangkap tali yang direntang dari tiang 9m hingga 15m. Satu tali dipasang pada shock cord bagi mengurangkan tekanan pada airframe semasa pemberhentian mengejut. Berat SkyHook ialah 1,710 kg. Panjang masa penyimpanan ialah 4.66m, lebar 1.55m serta tinggi 2.30m manakala panjang masa pengoperasian ialah 10.10m, lebar 5.33m dan tinggi 13.96m.
No comments:
Post a Comment