About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, April 15, 2021

TENTANG ORANG PELARIAN

 Diterbitkan dalam majalah perajurit Edisi Mac/Apr 2021

Oleh: Paklang Hamzah

Siapakah Orang Pelarian? Kebanyakan orang sering kali membuat tanggapan yang salah berkaitan siapa sebenarnya Orang Pelarian.  Ramai yang beranggapan bahawa mereka ini adalah dari kalangan orang yang mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi.  Definisi yang diberikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Orang Pelarian (UNHCR) tentang Orang Pelarian ialah sekumpulan manusia yang menjalani kehidupan normal  seperti orang lain di negara-negara asal mereka. Kemudian sesuatu yang buruk telah berlaku telah mengubah segalanya.  Rumah mereka dirosakkan oleh perang atau mereka menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang serius di mana rumah-rumah mereka tidak lagi selamat untuk didiami.

Pelarian pada maksud kata terbitan adalah suatu perjalanan yang dilakukan oleh puluhan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah melarikan diri ke mana sahaja termasuk Malaysia dan negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri dari peperangan dan pencabulan hak asasi manusia.  

Bagaimana rasanya jika suatu hari anda menjadi Orang Pelarian?. Di mana anda akan kehilangan semua yang anda hargai yakni keluarga, rakan, rumah dan anda terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa anda dengan menempuh perjalanan sejauh berbatu-batu dengan berjalan kaki melalui hutan tebal malah dengan kapal yang bocor merentasi laut berbahaya.  Apa yang kita tahu ialah setelah mereka kehilangan segalanya, mereka mempunyai suatu keberanian dan ketekunan yang luar biasa untuk tetap tabah dan positif dalam kehendak mereka untuk terus hidup kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka dan tidak dapat pulang dengan selamat. 

Berbeza dengan istilah Pendatang di mana individu atau pun kumpulan manusia yang memasuki negara ini dengan memiliki dokumen yang sah atau digelar Pendatang Dengan Izin (PADI) atau pun sebaliknya Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah melalui jalan-jalan laut dan darat secara sembunyi semata-mata untuk mencari peluang-peluang pekerjaan bagi menjana ekonomi bagi keperluan diri serta keluarga di negara asal mereka.  Apa yang sering berlaku di Malaysia ialah PADI boleh bertukar status menjadi PATI bila mana mereka tidak kembali ke negara asal mereka dan ‘menghilangkan diri’ setelah dokumen perjalanan atau pekerjaan telah tamat tempoh yang dibenarkan berada di negara ini.  Untuk mendapat peluang bekerja di negara ini mereka sanggup membayar ribuan ringgit kepada orang tengah yang menjalankan kegiatan memperdagangkan manusia.

Catatan UNHCR

 UNHCR adalah sebuah agensi PBB yang  bekerja keras setiap hari untuk melindungi Orang Pelarian dan menolong mereka sebagaimana mereka menolong diri mereka sendiri.

Lebih 40 tahun UNHCR telah bekerja di Malaysia dengan membantu kerajaan memberikan perlindungan dan bantuan kepada Orang Pelarian dalam negara ini.  Hari ini Program Kemanusiaan UNHCR telah melindungi dan membantu lebih 178,000 pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

UNHCR menyedari bahawa perlu membolehkan Orang Pelarian hidup dalam komuniti yang sah, damai tanpa gangguan bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dan kebebasan serta membuat pilihan yang bermakna mengenai isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka di samping menyumbang kepada komuniti mereka untuk hidup dengan martabat dan kemerdekaan yang lebih baik.

Orang Pelarian berhak meminta suaka untuk tidak dihantar pulang ke negara di mana nyawa atau kebebasan mereka mungkin berisiko. Walau bagaimana pun, perlindungan antarabangsa telah melibatkan lebih dari sekadar keselamatan fizikal. Orang Pelarian sekurang-kurangnya harus mendapat hak sosial dan ekonomi asas yang sama dengan orang asing lain yang merupakan penduduk sah. Sebagai balasannya, mereka diminta menghormati undang-undang dan peraturan negara suaka mereka.

Sebagai agensi Orang Pelarian, UNHCR memberi penekanan yang besar dengan mengutamakan bantuan kepada pelarian yang paling teraniaya, sambil memberi peluang kepada kumpulan Orang Pelarian supaya lebih berdikari dan memperkuat keupayaan rakan kongsi mereka untuk melayani masyarakat Orang Pelarian dengan lebih baik.

UNHCR berkerja keras dengan memberi peluang kepada Orang Pelarian dalam menjaga diri mereka sendiri dengan lebih baik semasa berada dalam buangan. Untuk seketika, UNHCR membantu mereka mempelajari kemahiran dan peluang baharu untuk berdikari.  Sebagai contoh, memberi pekerjaan dengan masyarakat awam, sektor swasta dan dalam komuniti pelarian mereka sendiri.

Melindungi hak anak-anak pelarian bagi mendapatkan akses pendidikan dan menikmati pengalaman zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.  Bagi memenuhi keperluan pendidikan asas, UNHCR menyokong  pembinaan pusat pembelajaran dalam persekitaran yang selamat untuk menjalankan kelas, menyediakan guru dalam kalangan Orang Pelarian yang dibayar dan dilatih dan menyediakan alat pendidikan yang mencukupi untuk guru dan pelajar.

Di Malaysia, Orang Pelarian tidak mempunyai status yang sah dari segi undang-undang untuk menentukan hak mereka.  Mereka dan keluarga mereka yang tinggal di Malaysia  hidup dalam keadaan ketakutan berikutan akan ditangkap di atas kesalahan melanggar undang-undang Imigresen.

Ibubapa tidak dapat bekerja secara sah dalam sektor awam untuk menyara keluarga mereka. Mereka sering dieksploitasi dengan melakukan pekerjaan di sektor-sektor  tidak rasmi di mana pekerjaan itu kotor, berbahaya, dan sukar. Kanak-kanak tidak dapat menerima pendidikan formal dan ramai di antara mereka yang tidak dapat menerima pendidikan asas persekolahan.

Penjagaan kesihatan agak mahal kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sukar bagi mereka dan keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan walau pun sebagai rawatan asas apabila ada yang jatuh sakit.

Namun begitu mereka  tetap kuat dan  bertekad untuk saling membantu sesama mereka dengan mencari jalan berdikari untuk membina kehidupan yang lebih selesa di tempat orang.  Mereka tidak hanya menunggu untuk diserahkan kepada mana-mana pihak.  Mereka berusaha mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri dan cuba mengatasi dengan cara yang terbaik ketika mereka berada dalam pengasingan.

Memilih Malaysia

Mengapa mereka memilih negara Malaysia adalah bergantung kepada pelbagai faktor praktikal atau peribadi.  Ini mungkin kerana Malaysia adalah negara suaka yang agak berdekatan, mudah masuk dan mereka merasakan di Malaysia mereka akan lebih selamat.  Mungkin juga mereka mempunyai agama atau budaya yang seakan sama dengan orang-orang di negara suaka dan banyak fleksibiliti yang boleh dikongsikan.  Mereka juga mungkin sudah mengetahui melalui keluarga atau rakan-rakan lain yang telah berjaya sampai ke negara ini sebelum mereka dan mereka tahu bahawa mereka akan mendapat pertolongan ketika mereka tiba.  Malah ada sumber yang mengatakan terdapat individu yang bukan datang dari kelompok yang menjadi mangsa dalam kancah pergolakan tetapi sengaja mengambil kesempatan menempatkan diri dalam kapal yang membawa mereka semata-mata untuk mendapat ‘tiket’ perlindungan UNHCR semasa berada di negara buangan.

Di Malaysia, Orang Pelarian ini tidak mendapat apa-apa manfaat daripada program kebajikan di negara ini. Semua dana untuk program penjagaan dan bantuan kepada Orang Pelarian berasal dari negara penderma, sektor swasta, dan individu swasta.

Pada era 1970an hingga 1990an memang terdapat kem-kem penempatan di Malaysia bagi menempatkan Orang Pelarian Indochina namun selepas pemansuhan kem-kem tersebut semua Orang Pelarian tidak lagi ditempatkan di kem-kem penempatan tetapi sebaliknya  mereka  ini tinggal di bandar-bandar di seluruh Malaysia. Sebenarnya lebih daripada separuh Orang Pelarian di dunia tinggal di kawasan bandar.  Dengan harapan, komuniti Orang Pelarian ini dapat menggunakan kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu serta mengembangkan potensi diri supaya mereka akan lebih tahan dalam menghadapi suatu kehidupan yang lebih berdaya saing di samping dapat menyumbang kepada masyarakat Malaysia dan mengatasi cabaran masa depan mereka dengan lebih baik.

Pecahan penempatan mereka di Malaysia adalah sebanyak 56.5% mereka tinggal di zon tengah iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.  Sebanyak 21.7% mereka bertebaran di zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.  Sebanyak 11.8% mereka tinggal di zon selatan semenanjung iaitu Melaka, Johor dan Negri sembilan dan 10% mereka tinggal di zon Timur  iaitu Kelantan, Trengganu dan Pahang.

Berakhir Ogos 2020, seramai 178,140 Orang Pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.  68% daripada mereka dari kalangan lelaki, 32%  adalah wanita dan terdapat 46,500 orang kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Hakikat

Di Malaysia, Orang Pelarian Myanmar  sahaja dianggarkan mencecah ratusan ribu orang dengan mendakwa pemegang kad UNHCR. Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1957 tidak memperuntukan apa-apa keistimewaan untuk mereka. Meski pun Malaysia tidak mengiktiraf Orang Pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen, namun atas dasar kemanusiaan, kerajaan Malaysia ‘kelihatan membiarkan’ mereka menikmati pelbagai kemudahan pergerakan, pekerjaan, berkahwin dengan warga tempatan dan tidak dihantar ke negara asal secara melulu. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan cara hidup  muslim yang sebenar yang sentiasa inginkan kebaikan.  Islam adalah agama yang menyeru kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan menolak kezaliman.  Justeru sejak awal lagi Malaysia sebagai negara Islam memerangi kezaliman dan mengutuk keras segala bentu kezaliman dan keganasan. 

Mereka bebas menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi malah sudah ada yang menjadi majikan kepada buruh-buruh tempatan di pelbagai sektor.  Kita boleh lihat tanpa rasa bersalah, mereka menjalankan perniagaan di pasar-pasar di bandar-bandar besar secara bersendirian yang mana semua perlakuan seumpama ini telah menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan sendiri. Mereka turut menikmati harga subsidi barangan terkawal yang sepatutnya untuk dinikmati oleh warganegara sahaja.

Penulis agak skeptikal dengan angka 178,140 yang dikeluarkan oleh UNHCR tentang jumlah Orang Pelarian  yang berdaftar di negara ini kerana pada anggapan penulis, pemegang kad UNHCR palsu  juga ramai berkeliaran di persekitaran negara ini.  Mereka ini adalah dari kalangan PATI yang diurus oleh sindiket-sindiket yang mengawal mereka dengan memberi perkerjaan di pelbagai sektor dan tidak mustahil mereka berselindung di sebalik kad UNHCR palsu.

Sebagai contoh, penempatan Orang Pelarian di Bukit Malut Langkawi sedang menjadi isu terbaharu dalam negara hasil dari ‘kebaikan’ kita orang Malaysia melayani tetamu yang tidak diundang ini pada suatu ketika dahulu.  Mereka dah bergenerasi di situ membina penempatan sesuka hati mereka dan khabarnya mereka juga sudah memiliki Mykad yang sah.  Bila dilihat, penempatan tersebut tak ubah seperti rumah air di Sabah yang menjadi penempatan pendatang Filipina pada asalnya.   Tidak mustahil penempatan seperti itu menjadi transit kepada rakan-rakan baharu yang sentiasa membuat cubaan untuk masuk melalui Langkawi dengan pelbagai helah untuk mengabui mata penguatkuasa.

Penghantaran Pulang

Dalam soal membantu menyelesaikan kemelut Orang Pelarian ini bukan sahaja umat Islam, malah seluruh rakyat Malaysia perlu menyokong pendirian tegas kepimpinan negara menggesa PBB, negara-negara Asean dan negara-negara ketiga supaya turut memainkan peranan supaya mereka dapat pulang dengan selamat atau diberi kediaman baharu di negara lain dan menikmati perlindungan di negara tersebut. 

Pada Februari lalu seramai 1,086 pendatang tanpa izin (PATI) dari Myanmar telah dihantar pulang.  Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud, semua PATI Myanmar itu dihantar menggunakan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan TLDM Lumut Perak. JIM menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah warganegara Myanmar dan tidak membabitkan etnik Rohingya atau pencari suaka. 

Semua mereka yang dihantar pulang itu bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.  JIM melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan di depoh Imigresen dalam jumlah yang besar. 

Langkah kerajaan ini dilihat sangat wajar memandangkan beban yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi menampung kehidupan mereka dalam tahanan Imigresen negara ini telah melibatkan kos yang tinggi yang sepatutnya perbelanjaan tersebut boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat.  Sebarang penglibatan kumpulan  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ‘menggangu’ usaha kerajaan ini adalah sangat tidak wajar. 

Namun persoalan yang sering diajukan oleh rakyat tempatan ialah berapa lama lagi Orang Pelarian di bawah UNHCR ini harus mendapat suaka di negara ini? Malaysia sudah terlalu sesak untuk terus menampung mereka-mereka ini yang sudah bertapak sekian lama dan mereka seharusnya dihantar pulang bukan sahaja  yang berstatus PATI malah yang bernaung di bawah UNHCR juga sepatutnya diatur jalan pulang.

 Soalan ini terbit adalah mungkin kerana rakyat sudah muak dengan berita-berita yang sering berlegar dalam media massa tentang isu-isu semasa yang berkait dengan keganasan dan masalah sosial yang boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam negara.  Jika pun semua kejadian buruk tidak berpunca dari Orang Pelarian ini namun dengan jumlah mereka yang sangat ramai ini mungkin mudah dipengaruhi  dan dieksploitasi oleh PADI, PATI malah juga penjenayah dari kalangan rakyat tempatan sendiri yang juga mengambil kesempatan yang sama untuk mengaut keuntungan dari kemakmuran negara ini.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini