About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, March 1, 2018

Program Gegar Askar Wataniah

Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Mac 2018

Oleh: Paklang Hamzahl/Foto PLH

Tanggal 26 dan 27 Januari 2018 sekali lagi Taman Tema Bandar Darul Aman Jitra Kedah digamatkan dengan kehadiran empat ribu sukarelawan pertahanan yang terdiri daripada anggota dan pegawai Askar Wataniah Zon Utara, Kadet PALAPES Zon Utara, Briged Sukarelawan Khidmat Negara dan Ahli Jawatan Kuasa Pendukong Askar Wataniah (JAKPAW) Zon Utara disokong oleh Anggota-anggota Tetap Tentera Darat (TD) dari pelbagai peringkat berhimpun  bagi merealisasikan program kemasyarakatan antara tentera dan rakyat dalam satu program yang dinamakan Program Gegar Askar Wataniah (GAW) anjuran Bahagian Pasukan Simpanan TD dengan kerjasama kerajaan Negeri Kedah selaku Penganjur Bersama.
Terdahulu pada 17 Sep 2011 di lokasi yang sama telah menyaksikan perhimpunan seumpama ini melibatkan AW Zon Utara bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Penubuhan Kompeni AW yang ke 15 di mana mewakili 15 kawasan Parlimen bagi Negeri Kedah.



Tujuan utama Program GAW diadakan adalah untuk menjadikan satu landasan bagi membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan belia dan beliawanis, pelajar dan anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara melalui AW.  Program ini dilaksanakan secara pemukiman dan gradual mengikut zon atau negeri berdasarkan timeline yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Sri Mohd Johari bin Baharum dalam ucapan perasmiannya memaklumkan konsep perlaksanaan Program GAW dilaksanakan mengikut tiga tema yang telah ditetapkan iaitu:
-Lancar (Launch) di mana lima Program Pelancaran GAW telah dirancang sejak 2017 mengikut zon-zon yang ditetapkan secara berperingkat dan tarikh bergantung kepada kesesuaian masa dan keadaan.  
Dalam masa yang sama kemasukan anggota baharu untuk berkhidmat di dalam AW akan terus diambil mengikut nisbah yang telah ditetapkan.
-Kekal (Maintain) yakni bagi anggota yang sedang berkhidmat di dalam AW, pengekalan anggota untuk terus berkhidmat di dalam AW akan terus dipupuk dan dipantau oleh Pasukan masing-masing.
-Bertahan (Sustain).  Kesemua AW setelah memasuki perkhidmatan sukarela akan terus bertahan dan aktif dalam menghadiri latihan yang telah dirancang demi memastikan ilmu ketenteraan diperolehi.  Keaktifan di dalam menghadiri latihan ini akan membolehkan anggota AW mempunyai ilmu setanding dengan anggota Pasukan Tetap walaupun tidak mencapai ke tahap maksimum serta boleh dipanggil  bila-bila masa bagi membantu Pasukan Tetap jika negara berhadapan dengan suasana kritikal atau darurat di hari-hari mendatang.

Pengisian dalam perhimpunan kali ini  dibahagikan kepada beberapa segmen di antaranya ialah Segmen Perhimpunan Pelancaran yang disusuli dengan Demonstrasi dan aksi lasak elemen-elemen TD dengan mempamerkan pertunjukan Payung Terjun oleh Tim Gerup Gerak Khas (GGK), pertunjukan Anjing Perang yang dibawa khas dari Unit Anjing Perang PULADA, pertunjukan Mini Tatoo oleh Tim Wira Merah Kor Polis TD, demonstrasi anti keganasan melibatkan Pasukan Khusus dan Unit Udara TD serta persembahan pancaragam oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Persembahan Brass Band, persembahan pancaragam Anggota Wanita TD dan persembahan pentas di akhir program.

Segmen promosi kerjaya ketenteraan dan Pameran Statik aset-aset pertahanan TD dan peluang kerjaya untuk menjadi seorang anggota tentera samada di peringkat Pasukan Simpanan mau pun Angkatan Tetap.



Mengisi slot  segmen keagamaan, penglibatan guru-guru Agama dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) menyampaikan tazkirah kuliah subuh di beberapa buah masjid yang terpilih di sekitar kawasan Jitra, Kursus Jenazah serta Forum Perdana.

Segmen Projek Jiwa Murni telah melibatkan projek pemasangan paip HDPE 4” sepanjang 1.5 km di Kampong Paya Nongmi Changloon oleh Jurutera Pakar Pengendalian Air (60 RAJD Pakar AW) bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.

Askar Wataniah Bukan Sekadar Simpanan

Sejarah Pasukan sukarela telah pun wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1861 lagi dengan penubuhan Penang Volunteer kemudian disusuli oleh Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri dari Negeri Perak, Negri Sembilan, Selangor dan Pahang menerusi Malay State Volunteer Riffles (MSVR) dan beberapa lagi Pasukan Sukarela ditubuhkan selepas itu.

Semasa Perang Dunia Kedua meletus, semua pasukan Sukarela  yang wujud sama-sama berganding bahu dengan Angkatan Tetap menentang Tentera Jepun di Malaya. Semasa darurat tercetus pada 1948 pasukan Home Guard ditubuhkan dan dibubarkan pada tahun 1958 setelah keselamatan dalam negeri terkawal.

Memandangkan ramai dari kalangan anggota Home Guard ingin terus menyumbang tenaga melalui perkhidmatan sukarela mereka, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan untuk menghidupkan serta menyusun Pasukan Sukarela supaya ia lebih berkesan dan tersusun.  Justeru, The Territorial Army Ordinance telah digubal seterusnya AW telah ditubuhkan pada 1 Jun 1958.

Terkini, AW merupakan salah satu pasukan di dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan TD dengan kepelbagaian Rejimen dan Kor yang mempunyai peranan dan tugas yang tersendiri.  Diletakkan di bawah pentadbiran Briged setempat dan di bawah kawalan teknikal Bahagian Pasukan Simpanan TD.
Bagi mencapai sasaran Key Performance Indicator (KPI) Menteri Pertahanan, sekurang-kurangnya satu kompeni AW ditubuhkan bagi setiap kawasan Parlimen.  Sehingga kini 222 kawasan Parlimen telah pun mempunyai kompeni AW masing-masing.  

Penubuhan Jawatan Kuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) adalah selaras dengan konsep menganakangkatkan pasukan Angkatan Sukarela oleh kerajaan negeri di mana jawatan kuasa ini akan merancang segala bentuk bantuan untuk membangunkan pasukan AW negeri masing-masing.

Natijah

Kewujudan Rejimen AW dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) adalah merupakan dimensi pertahanan dalam negara yang sangat penting di mana kekuatan dan kemahiran setiap anggota pelapis ini dapat mengimbangi berdasarkan nisbah dengan kekuatan anggota tetap bagi mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara jika negara berhadapan dengan situasi konflik.
Justeru, rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum digesa untuk menjadikan AW sebagai suatu pelantar dalam meningkatkan dan mengenal potensi diri anak-anak muda yang berkelayakan bagi memikul tanggungjawab dengan mempertaruhkan semangat jati diri, disiplin dan komitmen untuk bersama-sama menyumbang khidmat bakti kepada keharmonian dan kestabilan negara. 

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini