Sumber: Utusan
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
Gambar Roy Azis Abd. Aziz
MAJLIS Istiadat Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Seri Inderapura pada 21 Januari 2010 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak merupakan hari yang tidak boleh dilupakan oleh semua warga pasukan keselamatan itu.
Pada hari tersebut, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menitiskan air mata kerana amat terasa dengan 'kehilangan' kapal yang berfungsi sebagai kapal pemerintah dan logistik itu.
Masakan tidak, KD Seri Inderapura merupakan kapal kebanggaan TLDM kerana ia kapal terbesar pernah dimiliki pasukan tersebut dan telah banyak mengharumkan nama TLDM dan negara selama 14 tahun 11 bulan dan 21 hari tempoh perkhidmatannya.
Apatah lagi, mengenangkan saat-saat KD Seri Inderapura masih mempertahankan 'kemegahannya' ketika terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober 2009.
"Di sebalik insiden kebakaran terdapat satu peristiwa menarik perhatian kerana gada-gada tauliah serta gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD Sri Inderapura tidak terbakar dan boleh dilihat jelas melalui celahan kepulan asap dan api yang marak menjulang.
"Apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah kapal itu mahu menunjukkan 'kebanggaannya' sebagai sebuah KD dan peristiwa ini amat pelik kerana gada-gada itu tidak terjatuh semasa kapal terbakar," kata Abdul Aziz selepas istiadat pelucutan tauliah KD Seri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, kapal tersebut diberikan penghormatan terakhir selepas mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM.
Majlis tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat dengan kehadiran hampir semua bekas pegawai memerintah KD Seri Inderapura yang merasa bangga kerana pernah bertugas di kapal tersebut.
Menurut Abdul Aziz, 'kehilangan' KD Seri Inderapura sangat dirasai oleh semua warga TLDM kerana kapal itu adalah kebanggaan TLDM selama ini dan tanpanya, operasi armada laut negara terjejas.
Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.
Kapal tersebut pernah membawa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan serta pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera mengelilingi dunia.
Kapal itu juga terlibat dalam menghantar bantuan kemanusiaan di Aceh dan Timor Leste. Paling diingati, kapal tersebut menyertai operasi menyelamat tebusan dan mengiringi kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di Teluk Aden pada 2008.
Sebelum dibeli oleh kerajaan Malaysia pada harga RM48 juta, KD Seri Inderapura yang dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970 berkhidmat dengan Tentera Laut AS dan dikenali sebagai USS Spartanburg County, bermula 1 September 1971 hingga Disember 1994.
Dalam tempoh 26 tahun itu, banyak tugasan telah dilaksanakan oleh kapal tersebut termasuk misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Operasi Doria Salute IV 1974 serta ekspedisi kemanusiaan tentera AS ke Lubnan dan Kuwait.
KD Seri Inderapura pernah terbakar semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 16 Disember 2002 tetapi kembali beroperasi selepas dibaik pulih tetapi tragedi menyayat hati pada 8 Oktober lepas memusnahkan kapal tersebut.
Sebagai sebuah kapal yang disanjung ramai warga TLDM, ramai mencadangkan supaya bangkai kapal tersebut 'disemadikan' dan dijadikan tukun di lokasi kapal itu tersadai sekarang.
Namun, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana besi-besi keluli pada kapal itu boleh menjejaskan ekologi hidupan di laut dan jalan terbaik ialah dengan melupuskan bangkai kapal tersebut.
Bagaimanapun, beberapa barang pada KD Seri Inderapura seperti gada-gada tauliah, gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM yang terselamat dalam kebakaran itu akan disimpan sebagai bahan sejarah.
Walaupun KD Seri Inderapura kini hanya tinggal nama, segala jasa dan sumbangan KD Seri Inderapura akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah kapal yang banyak mengharumkan pasukan tentera negara.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment