About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, January 20, 2010

Giliran ME 5 harungi cabaran di Lebanon

Sumber : Utusan
Oleh YUSRI SAHAT



MALAYSIA terus diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila satu lagi pasukan Malcon East digerakkan untuk menyertai misi pengaman di Lebanon pada hujung bulan ini.

Pasukan yang dikenali sebagai Malcon East 5 (ME 5) itu melibatkan seramai 300 anggota termasuk 35 pegawai yang bernaung di bawah panji-panji Pasukan Sementara PBB (Unifil) berlepas ke Lebanon secara dua peringkat bermula minggu lalu dan 27 Januari ini.

ME 5 yang diketuai Komandernya, Leftenan Kolonel Subari Tomo dengan timbalannya, Leftenan Adnan Abu Hassan akan ditempatkan di Kaoukaba, Lebanon pada misi tersebut.

Sejarah penubuhan ME 5 terpateri apabila Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang dan pemakaian beret PBB kepada anggota pasukan itu di Rejimen 1 Kor Armor Diraja, Kuantan, Pahang pada 12 Januari lalu.

Turut hadir menyaksikan hari bersejarah itu ialah Panglima Angkatan Bersama, Datuk Allatif Mohd. Noor dan Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Wira Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Penubuhan ME bermula apabila PBB mempelawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai misi Unifil bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan pada 11 Ogos 2006.

Atas pelawaan itu, Malaysia bersetuju menghantar kontinjen dengan komposisi kekuatan seramai 360 anggota dan peralatan logistik pada Januari 2007 dengan pasukan dikenali ME 1 yang diketuai Komandernya, Kolonel Mohd. Dalip Basir (kini Brigedier Jeneral Datuk).

ATM mempunyai dua kontinjen yang sedang berkhidmat di bawah Unifil iaitu ME yang berkhidmat di Kaoukaba dan Malcon West di At Tiri di selatan Lebanon.

Dengan pertambahan kekuatan anggota daripada 300 kepada 400 orang, Malcon West dinaiktaraf kepada Batalion Malaysia atau Malbatt.

Malbatt 1 dijangka menamatkan misi pada April 2010 dan bakal digantikan dengan Malbatt 2.

Berdasarkan pada pengalaman pasukan ME 1 hingga 4, ME 5 dilihat lebih bersiap sedia apabila pasukan tersebut berjaya menamatkan Ujian Kecergasan Jasmani dan Latihan Bersepadu (FIT) selain persediaan logistik dengan jayanya di Kuantan baru-baru ini.

Latihan FIT bertujuan memastikan ME 5 memenuhi beberapa kriteria iaitu:

lTerlatih dan dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup untuk melaksanakan mandat PBB.

lBerupaya melaksanakan pengawasan dan tinjauan.

lBerupaya menguruskan keupayaan logistik sendiri.

lBerupaya beroperasi bersendirian di kawasan yang dipertanggungjawabkan.

lBersedia berada di kawasan misi untuk sekurang-kurangnya selama sembilan bulan.

Keberangkatan ME 5 ke Lebanon dilakukan dalam dua kumpulan iaitu yang pertama melibatkan 100 anggota termasuk 24 pegawai yang berlepas minggu lalu.

Kumpulan kedua atau induk membabitkan 200 anggota termasuk 11 pegawai yang akan berlepas pada 27 Januari ini.

Secara pecahannya, keanggotaan ME 5 terdiri daripada 28 pegawai dan 192 anggota lain-lain pangkat TDM, tiga pegawai dan 37 anggota TLDM dan empat pegawai serta 36 anggota TUDM termasuk seorang wanita.

Berbanding pegawai dan anggota lelaki yang bertugas selama sembilan bulan, pegawai dan anggota wanita pula hanya ditugaskan selama empat bulan setengah.

Kumpulan wanita pertama yang berlepas esok diketuai oleh Kapten Farah Wahida Ahmad manakala Leftenan Siti Norhajar Megat Ahmad Roslan daripada TLDM mengetuai kumpulan kedua yang bertolak pada 27 Januari ini.

Sepanjang berada di Lebanon, ME 5 yang merupakan kompeni di bawah Batalion Sepanyol akan terlibat dalam operasi keselamatan dan kestabilan yang menyumbang kepada pelaksanaan Resolusi 1701.

ME 5 akan melaksanakan rondaan dan pemeriksaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) selain membantu Angkatan Bersenjata Lebanon (LAF) mengambil tindakan ke atas anasir bersenjata yang menjalankan aktiviti pengangkutan dan pergerakan senjata haram.

Di atas arahan komander pasukan melalui Batalion Sepanyol, ME 5 akan membantu LAF memberikan perlindungan keselamatan kepada pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan dan organisasi lain yang beroperasi di kawasan KTJ.

ME 5 juga bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas perlindungan dan bertindak balas terhadap tindakan ganas ke atas anggota misi pengaman PBB.

Zulkifeli ketika ditemui memberitahu, sehingga kini, penerimaan masyarakat Lebanon ke atas ME amat positif.

Ini kerana, jelas beliau, anggota ME melaksanakan tugas dengan penuh berdedikasi selain menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk program gerak saraf.

''PBB amat mengiktiraf penglibatan ME di Lebanon dan telah dibuktikan dengan penambahan anggota di sektor selatan Lebanon yang dikenali sebagai Malbatt," katanya.

Zulkifeli yakin selagi Unifill masih diperlukan oleh PBB, peranan ME atau Malbatt akan terus penting dalam menjalankan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini