About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

PERJUANGAN MERENTASI ZAMAN

sumber: Majalah Perajurit edisi Sept 2006
Oleh : Hamzah h.d

Pendahuluan

Dalam menyelusuri denai-denai kehidupan, penulis memerhati dan mencari khazanah-khazanah peradaban Negara juga kelibat-kelibat insan yang pernah berbudi kepada nusa dan bangsa dan sekali gus tergerak hati untuk bertanya dan menyelusuri bait-bait kehidupan masa lampau mereka yang ada kalanya terpelosok dan terkunci tidak mahu dikenang. Walau apa pun alasan mereka, tidak salah rasanya saya mengingat-ingatkan pembaca supaya jasa dan pengorbanan mereka dilupa jangan…..

Kali ini sebagai kesinambungan daripada artikel saya yang lalu, saya telah berintraksi dengan seorang pejuang negara yang sudi berkongsi pengalaman yang telah direntasinya melalui 3 zaman.

Masa kecil

Seorang insan yang dilahirkan di Bukit Pinang, Alor Star Kedah. Sebuah perkampongan di kaki bukit yang mana bersempadan dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan juga Pangkalan TUDM Alor Star.
Membesar di bawah jagaan ibu dan ayah yang juga merupakan seorang guru agama yang disegani di kawasan tersebut.

Abd. Hamid bin Haji Ahmad atau nama gelaran beliau ialah AHHA yang dilahirkan pada 13 Mac 1926. Berpindah ke kampong Bukit Tinggi Hilir Kepala Batas, Alor Star. Bersekolah di Sekolah Melayu Kepala Batas sehingga darjah empat. Darjah empat waktu itu kebolehan muridnya sudah boleh membantu guru untuk mengajar semasa ketiadaan guru pergi bercuti dan sebagainya. Telah menduduki peperiksaan darjah 4 dan lulus dengan mendapat pangkat kedua terbaik dalam darjah pada tahun 1941 yang mana ketika itu beliau berumur 15 tahun.

Perang Jepun Bermula
Dalam tempoh seminggu selepas peperiksaan, sekolah beliau didatangi oleh seorang Pelawat Sekolah yang bernama Cikgu Darus yang lengkap berpakaian Tentera dan mempamirkan 1 crown di atas bahu (major). Major Darus memerintahkan Guru Besar yang bernama Che Chik supaya membebaskan semua murid-murid dan pulang ke rumah masing-masing kerana sekolah akan dijadikan Markas Latihan Perang oleh Royal Airforce (RAF) yang berpangkalan di Lapangan Terbang Kepala Batas.

Beliau dan rakan-rakan dari darjah 4 diarahkan supaya mengemas dan menyusun kerusi dan peralatan dalam kelas untuk disimpan ke dalam stor. Setelah siap semua kerja, mereka dibenarkan pulang. Selepas itu barulah mereka faham, rupa-rupanya peperangan sudah bermula. Jepun sudah memasuki Kedah.

Bermulanya pendaratan Tentera Jepun di Kepala Batas iaitu di Kem RAF ialah dengan beberapa buah kapal terbang berkipas satu kelihatan di angkasa, berlegar-legar mengelilingi landasan Kem Kepala Batas dan selepas itu menggugurkan bom. Selepas pada itu penguasaan jepun bermula. Mereka mula berkeliaran di kampong-kampong sekitar kawasan Kepala Batas. Mereka menceroboh, menggeledah masuk ke rumah-rumah penduduk kampong, merampas barang-barang dan ternakan sesuka hati. Tiada siapa yang berani membantah kerana takut dengan kekejaman dan keganasan tentera jepun.

Sepanjang pemerintahan Jepun, orang kampong hidup terseksa dan menderita. Makanan dan pakaian harian disekat. Pada suatu ketika tentera Jepun masuk ke kampong, mengumpul anak-anak muda lelaki belasan tahun untuk dijadikan buruh kerahan. Anak-anak muda yang telah dipilih seramai 8 orang telah kononnya dijanjikan dengan pemberian pakaian, makan minum dan tempat tinggal di samping gaji bulanan dan kemudahan-kemudahan lain dengan percuma. Mereka semua seronok kerana kononnya dapat kerja. Mereka dibawa dengan trak ke Kem Kepala Batas kemudian dibawa pula ke stesen keretapi Alor Star dan mereka ditempatkan di dalam satu gerabak tanpa kerusi. Dari situ, baru mereka sedar bahawa mereka telah ditipu oleh jepun. Ke mana destinasinya, mereka pun tak diberitahu. Apabila sampai di stesen Bukit Besar, keretapi berhenti untuk mengambil penumpang yang sama seperti mereka. Ali bin Abdullah adalah salah seorang daripada penumpang dari kumpulan pertama telah turun membuang air dan ketinggalan keretapi. Beliau berjalan kaki balik ke kampong dan menceritakan tentang kawan-kawan yang lain yang entah ke mana dibawa oleh jepun.

Kekejaman
Di kampong Bukit Tinggi Hilir, boleh dikatakan tiap-tiap hari tentera jepun masuk ke kampong dengan membawa seorang yang berbangsa India sebagi kulinya. Pada suatu ketika dimusim buah bacang masak, orang India tersebut telah memberi makan kepada Jepun sebiji buah bacang yang masak dan rasanya cukup manis. Tak cukup dengan itu, Jepun menyuruh kulinya memanjat pokok bacang untuk mengambil buahnya. Kulinya menggoncang dahan bacang dan gugurlah buah bacang yang putik. Jepun yang bodoh itu terus menggigit buah yang putik tanpa mengupasnya terlebih dahulu. Keesokan hari, Jepun itu datang lagi dan kali ini dia menyuruh kulinya menebang pokok bacang tersebut kerana katanya pokok itu beracun (mulut Jepun habis melecur kerana terkena getah bacang putik).

Di rumah Ahha, ibunya mengajar kanak-kanak mengaji alquran. Suatu hari Jepun datang kerumah dan menyepak kitab suci alquran dan menyuruh kanak-kanak balik dan jangan mengaji. Sebagai denda, ibu Ahha disuruh membuat ketuk ketampi sehingga Jepun meninggalkan rumahnya. Pendek kata sepanjang pemerintahan Jepun, kehidupan orang-orang kampong serba serbi berada dalam kesusahan.


Membuka Sekolah Kampong

Sepanjang pemerintahan Jepun Ahha menjadi guru dan mengajar di kelas petang Sekolah Rakyat.

Suatu hari seorang tentera Jepun yang berpangkat 3 bintang bersenjatakan pedang datang ke rumah beliau seraya memanggil nama beliau. “Oi Amit na, mana Japar oo mana guru oo. Beliau terperanjat kerana Pegawai Jepun itu boleh cakap Melayu dan kenal keluarganya.

Beliau menyatakan bahawa Japar(abangnya) dan guru(ayahnya) ada di sungai lantas disuruh panggilkan mereka berdua. Selepas semuanya ada, Pegawai Jepun itu terus berkata. “Amit, hang tak kenai aku ka? Ahha lagi terperanjat kerana Jepun tersebut boleh berbahasa melayu loghat utara. “Aku Ah Sang la, kawan hang dulu…. ” jelas Pegawai Jepun tersebut sambil membuka topinya. Ahha dan ayahnya mengangguk dan gembira setelah mengenali dan mengetahui cerita sebenarnya.

Sebelum balik, Ah Sang meminta supaya Ahha menemuinya di pejabat iaitu di Kem Kepala Batas pada esok hari. Seperti yang diarahkan, Ahha datang ke pejabat Tentera Jepun untuk bertemu ketuanya. Setelah dijemput masuk, Ahha terus duduk di dalam bilik seorang Tentera Jepun dan menunggu penuh tanda tanya apakah yang bakal diperkatakan oleh Jepun tersebut. Tiba-tiba Ah Sang masuk dan tak semena-mena yang disangkanya ketua tadi berdiri dan memberi hormat “ hait-hait” kepada Ah Sang. Kemudian Ah Sang duduk di sebelahnya sambil bercakap-cakap dengan Jepun tadi dalam bahasa Jepun yang Ahha sendiri pun tidak faham. Lepas itu barulah Ah Sang meminta maaf kerana menipunya seraya memperkenalkan yang Jepun itu adalah keraninya dan dia sendiri ialah Gabenor di kawasan Kepala Batas.

Ah Sang meminta Ahha supaya memberitahu ayahnya supaya membuka sekolah kampong dan mencari guru untuk mengajar dan juga meminta Pak Mat (penghulu) mencari dan mengumpul pelajar untuk belajar di sekolah tersebut. Semua biaya akan ditanggong oleh pihak Jepun.
Ayah Ahha bersetuju dan satu mesyuarat khas telah diadakan di rumahnya yang mana telah dihadiri oleh Penghulu, Pak Tam Husin, Bang Kasu, Bang Hamid dan Cik Mat Pisang Bunga berbincang samada bersetuju atau tidak berhubung arahan yang telah diberi oleh pihak Jepun untuk membuka sekolah kampong. Penghulu mencadangkan supaya arahan itu jangan dibantah kerana mereka tidak tahu perangai Jepun yang sebenarnya. Jadi untuk mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak dingini, maka sebulat suara bersetuju untuk membuka sekolah kampong.

Ayah Ahha (guru) mencadangkan supaya kelas tersebut dibuat di rusuk rumahnya kerana kawasannya agak lapang. Satu jawatan kuasa kerja telah ditubuhkan khusus untuk menyelaras dan mengumpul bahan-bahan keperluan dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan kelas sekolah kampong. Berkat kesungguhan dan kerjasama, pembinaan kelas tersebut siap dibina dalam masa 2 hari sahaja. Setelah diberitahu, Ah Sang (gabenor) telah datang melawat dan menyerahkan wang kertas sebanyak yen 100
(gambar jepun berkepala botak). Masing-masing yang ada terpegun dan tak tahu nak buat apa bila melihat duit jepun seperti itu. Ah Sang juga suruh mereka mengadakan tiang bendera. Bendera akan diberi. Kelas bermula dengan baik. Ahha dilantik menjadi guru dan mengajar di sebelah petang pelajaran jawi dan quran manakala abangnya mengajar di sebelah pagi untuk pelajaran rumi. Sebelum masuk kelas, murid-murid dikehendaki berbaris dan menghadap dan tunduk kepada bendera japan yang menghala ke timur dan menyanyi lagu ‘kimi gayoo miyotokai’ yang mana telah diajar terlebih dahulu kepada Ahha dan abangnya. Murid-murid yang memakai kopiah disuruh tanggalkan. Ahha dan abangnya diberi gaji sebanyak RM 100.00 seorang sebulan. Hari persekolahan adalah 5 hari , manakala hari Isnin dan Selasa adalah hari cuti. Hari cuti Ahha dikehendaki menjadi mandur kepada pekerja-pekerja buruh di dalam kem.

Sesuatu yang menariknya ialah gaji mandur dibayar RM 80.00 manakala gaji buruh dibayar RM 100.00 setiap seorang sebulan. Alasannya ialah mandur tak buat kerja tetapi buruh kena buat kerja berat, sebab itu gaji mandur kurang dari gaji buruh.

Siam mengambil kesempatan

Sejurus selepas Jepun menyerah kalah, tentera Siam menguasai dan menjadikan Kepala Batas sebagai Pusat penempatan orang-orang Siam. Mereka kelihatan seperti orang biasa cuma yang mempunyai senapang patah sahaja yang memakai uniform tentera dan pistol untuk pegawai-pegawainya. Mereka memasuki kampong dan menembak secara membabi buta tanpa menghiraukan keselamatan orang-orang kampong.
Di Kampong Kepala Bendang, kebanyakan penduduknya berketurunan raja yang dikenali dengan nama yang bermula dengan ‘Ku’ . Di kampong Bukit Tinggi, tentera Siam mencari kalau-kalau ada orang yang berdarjat raja tetapi seorang pun tidak ditemui kerana ‘Ku’ yang dicari kononnya telah dilindungi oleh pawangnya.

Selepas Jepun menyerah kalah, pemerintahan kembali bertukar kepada Inggeris. Seingat beliau semasa pemerintahan Inggeris, suasana di Kepala Batas aman dan tidak berlaku kacau bilau. Di dalam kem, RAF ada mengendalikan kelas petang Bahasa Inggeris yang mana gurunya adalah dari kalangan berbangsa Inggeris. Kesempatan ini telah diambil oleh Ahha dengan semangat untuk menguasai bahasa penjajah yang ketika itu sangat disanjung oleh penduduk tempatan. Beliau berhenti belajar kerana berhijrah ke Ipoh Perak.

Di Selibin Ipoh, pada tahun 1947, Ahha telah bekerja dengan Ipoh Jelapang Tim Dregen iaitu di kapal menggali Bijih Timah milik kerajaan Negeri Perak sebagai buruh kasar. Ahha yang memiliki sijil darjah 4 sekolah melayu dibantu oleh kemahiran bertutur dalam bahasa inggeris menyebabkan beliau telah dilantik menjadi kerani pembayar gaji pekerja-pekerja di tempat tersebut.

Penglibatan Ahha dalam Tentera

Pada bulan mei 1950, sewaktu itu Ahha berumur 24 tahun 2 bulan, beliau menghadiri temuduga untuk pengambilan British Army bertempat di Pejabat Tanah Ipoh. Beliau berjaya dan dikehendaki melapor diri di Neson Kem Singapura untuk latihan sebagai askar British.
Setelah mendapat restu ibu bapa, pada 14 jun 1950, Ahha berangkat ke Singapura dengan menaiki keretapi dari Ipoh. Beliau menjalani latihan sebagai ‘British Army’ selama 2 bulan di Kem Neson dan lulus kemudian dihantar bertugas di Kem Ayer Raja di dalam Unit Royal Signal. Beberapa tahun bertugas di Kem Ayer Raja, Ahha telah dihantar kursus kenaikan pangkat lance Coporal dalam bidang wireless dan telepon. Setelah lulus dan menyandang pangkat lans Koperal, beliau telah dihantar bertugas di Wireless Station Batu 10 Jalan Changi dan ditempatkan di bahagian Transmitter Station.
Di bahagian ini Ahha telah dinaikkan ke pangkat Koperal dan dilantik sebagai ketua mendiri dan memasang talian wireless dan mengawasi pekerja seramai 19 orang yang terdiri dari bangsa Inggeris (5 orang), Melayu (10 orang), Cina (2 orang) dan India (2 orang). Di antara bidang tugas yang dipertanggongjawabkan kepada beliau ialah memasang tower wireless setinggi 105 kaki dan memasang saluran telepon khas yang akan disalurkan ke Transmitter Station di bahagian penghantar berita.

Pemangku Sarjan

Setelah dinaikkan ke pangkat Sarjan (pangkuan) Ahha, sekali lagi ditukarkan ke penempatan baru iaitu di Kem Wireless Transmitter Amoy Qui RAF Seletar daerah Yeo Chu Kang.
Beliau diberi keutamaan tinggal di British Othering Rank (BOR) Quarters iaitu bangunan 2 tingkat sedangkan BOR di bangunan satu tingkat. Perkhidmatan Ahha dalam British Army adalah selama 6 tahun dengan pangkat terakhir beliau ialah Sarjan. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Pasukan Bola Sepak dan Jurulatih Badminton bagi askar-askar Malaysian Othering Rank (MOR) dan BOR. Dalam masa yang sama Ahha mengambil kesempatan untuk mendalami pengajian Bahasa Inggeris dengan mengikuti kelas malam di Katong English School Singapura. Lulus pada tahun pertama dan menyambung pengajian yang sama di Kachangi English School. Officer Command(OC) Mical Braide telah melantik beliau menjadi guru bahasa Melayu kepada BOR yang berjumlah seramai 18 orang kemudian ke Kem Royal Artillery (RA) di Pulau Belakang Mati untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada MOR yang berjumlah seramai 20 orang murid selama 2 bulan. Akhirnya beliau menamatkan perkhidmatan secara sukarela setelah berkhidmat selama 6 tahun sebagai Askar British.

Area Security Unit

Setelah berhenti dari askar British beliau membuat macam-macam kerja yang mampu dilakukan. Pada masa itu yang banyak pun kerja-kerja kampong seperti menorah getah, tanam padi dan berkebun. Bukan macam sekarang, negara dah membangun. Bermacam-macam kerja boleh diaplikasikan selagi
ada daya dan usaha tapi malangnya anak-anak muda rakyat Malaysia dah jadi terlalu manja dan memilih kerja. Tak berapa kerat sangat graduan-graduan yang sanggup kerja sementara sebagai kuli atau buruh. Mengusahakan tanah-tanah pertanian yang mempunyai prospek yang cukup tinggi dan menguntungkan dan amat sesuai untuk golongan-golongan bijak seperti anak-anak muda sekarang menerokainya. Kebanyakannya mengharap nak kerja dengan kerajaan.
Dalam pada itu Ahha memohon jawatan Area Security Unit atau Special Constable (ASU/ SC) dan telah ditemuduga pada bulan Ogos 1956 di Balai Polis Alor Star dan keputusannya beliau berjaya. Dengan menaiki keretapi Ahha sekali lagi meninggalkan kampong halaman untuk melapor bertugas di Sungai Udang Training Centre Melaka. Oleh kerana beliau sudah mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan, maka beliau terus dilantik sebagai Penolong Jurulatih dan . Menjalani latihan lasak di hutan selama 2 bulan selama berada di Pusat Latihan ala tentera. Selepas itu beliau ditukar ke Sungai Petani dan Baling Kedah. Di Baling beliau menjadi pembantu pembayar gaji ASU yang bertugas di hutan. Semasa di Sungai Petani pula, Ahha dilantik sebagai Temporary Inspektor dan berpejabat di Kelab Polis Sungai Petani.

Ahli Sukan

Di Sungai Petani juga beliau banyak melibatkan diri dalam bidang sukan. Pada tahun 1957, beliau menjuarai acara merentas desa sejauh 8 batu. Dalam temasya sukan tahunan Polis, Ahha telah mengambil bahagian dalam banyak acara olahraga. Di antaranya ialah:
1. Lari 80 meter.
2. Berjalan merentas desa (3 batu).
3. Lari Berganti-ganti 400 meter..
4. Acara Lompatan seperti Lompat Tinggi, Lompat Jauh dan Lompat KIjang.
Pernah mewakili Kontinjen Kuala Lumpur dalam temasya Sukan Polis. Tidak ketinggalan juga telah terlibat dengan sukan Bola Sepak, Sepak Raga Bulatan, Badminton dan Bola Jaring.

Pekerja Estet Getah

Pada tahun 1958 iaitu selepas merdeka, Ahha telah berhenti dari Perkhidmatan Polis dan bekerja sebagai Penyelia di Estet Getah di Badenoch Baling. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1960, beliau berhenti dari kerja estet dan memohon bekerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kedah (LKTNK) dan dilantik sebagai Inspektor Ladang di Rancangan Kemajuan Tanah Guar Napai pada bulan Oktober 1960.
Pada tahun 1961, beliau diserap sebagai Field Inspektor FELDA di bawah Badan Berkanun dan menyandang pangkat Senior Supervisor kemudian Penolong Pengurus dan pada tahun 1970 dinaikkan ke jawatan Pengurus FELDA sehingga bersara pada tahun 1980. Perkhidmatan tambahan selama 5 tahun ditawarkan kepadanya sebagai Pengurus FELDA Rimbas Mas Perlis dan berkhidmat sehinnga 1986 dan selepas itu bersara penuh. Di antara Tanah Rancangan FELDA yang pernah beliau memberi perkhidmatan ialah:
1. Negeri Kedah – Guar Napai (1960-1962), Bukit Tembaga, Sungai Tiang, Batu 8 Guar Napai(1976-1980)
2. Negeri Perlis – Rimbas Mas, Mata Air
3. Negeri Pahang – Keratong
4. Negri Sembilan/Melaka – Air Pak Abas
5. Ibu Pejabat Wilayah Kedah/Perlis/Perak bertempat di Alor Star sehingga 13 Mac 1986.

Perkhidmatan Sukarela Selepas Bersara

Perpatah Melayu mengatakan benih yang baik jika buang ke tanah menjadi Bukit dan dibuang ke laut menjadi Pulau. Itulah hakikatnya seorang pejuang. selagi ada daya dan kudrat, selagi tulang bersalut kulit, masa dan pengorbanan disatukan menghasilkan produk berguna untuk masyarakat. Ahha tidak berhenti setakat itu sahaja, masa dan tenaga diterjemahkan kepada perkhidmatan sukarela. Di antara perkhidmatan yang masih dikendongnya ialah:
1. Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Jitra.
2. Pengerusi Pesara Kerajaan Malaysia (Negeri Kedah).
3. Pengerusi Rukun Tetangga Jitra Selatan.
4. Pengerusi Warga Emas Daerah Kubang Pasu.
5. Pengerusi Veteran UMNO Daerah Kubang Pasu.
6. Pengerusi Penyelaras Taman-taman Kawasan Jitra Selatan.
7. Pengerusi Badan Kebajikan Am Taman Sri Jitra.
8. Ketua Pasukan Brigade Perdana Kawasan Jitra Jabatan Kebajikan Masyarakat.
9. Naib Pengerusi Veteran MAYC Kedah.
10. Naib Pengerusi Pesara-pesara Kedah.
11. Bendahari Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
12. AJK PEMADAM Daerah Kubang Pasu.
13. Penasihat Hakim Mahkamah Juvana.
14. Hakim Pelawat Penjara Alor Star.
15. Ahli Perpustakaan Awam Kedah.
16. Ahli Persatuan Sejarah Kedah
17. Sahabat Arkib Negara (Kedah /Perlis).
18. Ahli Majlis Pesara Kerajaan Malaysia.
19. Guru Kraftangan menganyam Bakul Plastik (barang terbuang)

Pewaris

Di sebalik kejayaan seseorang insan yang berjasa, adalah tidak dinafikan ada lagi nafas-nafas yang sama-sama bergelumang mewarisi kepayahan, kedukaan dan kejayaan insan yang bergelar suami atau ayah. Ahha yang telah berkongsi hidup selama lebih 40 tahun dengan Hajjah Che Saudah bt Haji Harun, seorang yang bergelar isteri yang sama-sama meneguk keperitan dan kepayahan suami dalam perjalanan hidup yang panjang. Mereka telah di kurniakan 8 orang cahaya mata. Anak yang sulong telah meninggal dunia sejak masih kecil dan disemadikan di tanah Perkuburan Bidadari di Singapura. Anak-anak yang lain, masing-masing telah bekerja .
Bakti Disemai Bukti Dituai

Jasa beliau tidak diabaikan, perkhidmatan beliau diperhatikan, khidmat nasihat beliau dikenang sepanjang zaman. Abd. Hamid bin Haji Ahmad telah diperkenankan untuk menerima Pingat-pingat kebesaran sebagai mengenang jasa beliau yang pernah menyumbang bakti yang tak ternilai kepada Ugama Bangsa dan Negara.
1. Pingat GSM – Diperkenankan oleh Ratu Elizabeth sempena hari Pertabalan di Singapura pada tahun 1954.
2. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) – Diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada tahun 1986.
3. Pingat Bakti Khidmat Masyarakat (BKM) – Diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada tahun 1997.
4. Pingat Ahli Mangku Kedah (AMK) – Diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada tahun 1998.
5. Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) – Diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 2001.

Sebagai penutup bicara penulis merakamkan ribuan terima kasih kepada sidang produksi Majalah Perajurit yang sedia berkongsi suka duka perjalanan hidup perajurit-perajurit tanah air. Sekian Wassalam

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini