Sumber: Majalah Perajurit Edisi Dis 2006
Oleh: Hamzah h.a.
Sejarah
Titik perubahan dalam sejarah negara ialah kemaraan sebagai sebuah negara baru dan bermulanya perjalanan negara yang sungguh mengagumkan. Sejarah kita menjadi saksi kepada perpaduan dan kesepakatan bangsa yang pada satu ketika dahulu pernah dijajah. Bermula dengan penubuhan Tentera Darat pada 1 Mac 1933 dan penyatuan negeri Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaya maka diistiharkan 16 September 1963 adalah hari penubuhan Malaysia yang saban tahun diserikan dengan sambutan hari Angkatan Tentera Malaysia. 16 september tahun ini adalah hari ulangtahun ATM yang ke 73.
Kalau diterjemahkan ke dalam kehidupan manusia, umur 73 tahun adalah suatu tempoh kematangan dan jitu dengan pengalaman dan suka duka. Penubuhan Malaysia 33 tahun lalu adalah rentetan suka duka Angkatan Tentera Malaysia umumnya dan Tentera Darat khasnya yang mendepani zaman penaklukan Jepun di Tanah Melayu, darurat, konfrontasi, perang melawan insurgensi dan terkini dalam era milenium ATM juga terpaksa meladeni kemungkinan limpahan pemberontak dalam pergolakan Tentera Filipina dengan penentangnya di timur Sabah dan perkembangan Gerakan Acheh Merdeka (GAM). Tuntutan bertindih pelbagai negara di Kepulauan Spratly juga merupakan perang dingin yang tiada kesudahan di antara pihak negara-negara yang menuntut. Namun perkembangan dunia tiada siapa berani menjangkakan persoalan ini terus dingin. Dengan provokasi dan kegagalan diplomatik banyak kemungkinan boleh diandaikan berlaku dengan drastik.
Dengan mengambil kira cabaran keselamatan serantau yang didengar semakin tidak selamat berasaskan konflik dan persaingan kuasa nuklear seperti China, India, Korea Utara dan Iran juga ketidakstabilan ekonomi serantau juga di samping ancaman pengganas dan kegagalan dasar luar Amerika Syarikat turut menyumbang keresahan di sanubari rakyat yang semakin hari mengharap kekuatan pertahanan ATM akan menjadi pelindung kepada mereka.
Penglibatan ATM dalam membantu menangani pergolakan global sangat membanggakan bukan sahaja rakyat Malaysia malah umat serantau yang mengalami musibah. Kehadiran ATM sangat-sangat dialu-alukan bukan kerana kekuatan ketenteraan dan peralatan tetapi kesenian dan keramahan budi bahasa bangsa Malaysia yang dikendong bersama tugas dan tanggungjawab yang mampu mengliberalisasikan perasaan marah pasokan yang bertelagah. Inilah kesenian yang ada pada duta keamanan Negara kita walaupun di mana saja mereka berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Budi dan komitmen warga ATM dalam misi kemanusiaan juga terbukti mengguris perasaan warga negara-negara mangsa yang terlibat. Misi kemanusiaan mangsa Tsunami di Acheh,gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya adalah merupakan air tangan anggota ATM yang bukan sahaja bersumpah dengan darah peperangan malah dengan air mata keinsafan semasa menangani mangsa-mangsa bencana alam dalam kelumpok bangsa dan ugama yang berbeza.
Sejarah isu keselamatan global membuktikan pergolakan sesama jiran negara tetangga seperti Iraq-Kuwait, Israel-Palestin, Israel-Lubnan boleh tercetus bila-bila masa sahaja. Ironinya kejujuran dan kesetiaan Negara jiran yang baik pun boleh berlaku perselisihan apatah lagi negara jiran yang sering membuat berbagai-bagai provokasi dari peringkat pencerobohan sempadan dan ruang udara kepada perang saraf diplomatik dan perdagangan. Isu-isu agama juga sering menjadi provokasi seperti penyiaran karikatur Nabi Muhhammad (S.A.W) yang bermula di Eropah dan merebak secara serentak ke seluruh dunia Islam dengan bantahan dan tunjuk perasaan yang melibatkan nyawa dan harta benda. Kenyataan Pope Benedict (ketua Vetican) tentang jihad Islam juga turut menghina kesucian Islam juga telah mengundang bantahan yang hebat di seluruh dunia Islam. Sejarah dan perkembangan pergolakan dari pelbagai sentimen ini menjelaskan kepada kita bahawa pengembangan dan peningkatan keupayaan pertahanan mesti menjadi agenda pembangunan negara selari dengan pembangunan yang lain.
Apa yang perlu ialah dalam usaha memperkasakan kesiapsiagaan pertahanan, ATM harus peka dengan dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mempersiapkan angkatan dan bahtera yang bersedia dimobilisasikan dalam apa jua bentuk dan rentak ancaman di setiap penjuru persada bonda.
Strategi Pertahanan
Dalam memperkasakan strategi pertahanan seperti mana yang diuar uarkan oleh Panglima Angkatan Tentera Laksamana Tan Sri Dato’ Seri Anuar bin Haji Mohd Nor bahawa pertahanan menyeluruh (HANRUH) adalah satu konsep pertahanan yang mengemblengkan peranan aktif masyarakat bukan tentera. Komuniti bukan tentera harus diberi kesedaran, kepercayaan dan pengetahuan menyeluruh tentang kebaikan konsep ini. Hanruh menekankan supaya kesinambungan peranan mempertahankan negara bukan sahaja dipikul oleh ATM. Ini bukan bermaksud mempertaruhkan kudrad komuniti bukan tentera di medan hadapan. Hanruh ini boleh diterjemahkan sebagai pasukan mengkucar kacirkan sekali gus melemahkan kekuatan kecil pasukan musuh yang sudah bertapak atau menawan tanahair. Maksudnya mungkin pada suatu ketika kekuatan ketumbukan ATM tidak berjaya menghalang kehadiran tentera musuh dalam kekuatan yang ramai sekali gus tanah air ditawan.
Pada masa ini kekuatan musuh akan dikecilkan untuk memenuhi penempatan yang menyeluruh di seluruh negeri. Waktu sebeginilah peranan komuniti bukan tentera yang telah dilatih sebelum ini menjalankan aktiviti sabotaj dan sebagainya. Ini lah konsep hanruh yang mana telah diperkenalkan oleh pihak tertinggi ATM dalam usaha untuk memperkasakan pertahanan.
Justeru itu komuniti bukan tentera harus diberi peranan seawal mungkin dalam mempersiapkan jatidiri dan kemahiran untuk tujuan pertahanan menyeluruh. Bermula seawal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), anak-anak muda harus mula disedarkan tentang peranan ini dan dilanjutkan kepada penglibatan sebagai anggota pasukan simpanan (PSS), Pasukan Pegawai Latihan Sukarela (Palapes) di IPT, Pasukan Latihan Anggota Sukarela (PLAS) di Politeknik, Kolej dan sebagainya. Kesinambungan latihan dan pendedahan kepada mereka-mereka ini sangat perlu diutamakan supaya keperluan ilmu ketenteraan yang telah diajar sebati dalam diri dan boleh digerakkan bila-bila masa mengikut iklim ancaman semasa dalam negara yang mana bersesuaian dengan konsep ini.
Bentuk-bentuk latihan perlu diperluaskan silibusnya sejajar dengan pengetahuan yang ada pada anggota tetap seperti latihan kepimpinan semangat cintakan negara (patriotisme), latihan pengumpulan maklumat (gathering intelligence) dan lain-lain.
Dalam mempersiapkan perlaksanaan konsep pertahanan menyeluruh ini, selain daripada institusi ATM, kepimpinan masyarakat harus dilibat sama. Saranan Askar Wataniah di setiap Dewan Ahli Undangan Negeri (DUN) harus diberi pertimbangan wajar dan direalisasikan secepat mungkin secara sungguh-sungguh. Perlaksanaan ini harus dimulakan diperingkat pemimpin komuniti secara menyeluruh dengan harapan satu hari konsep ini dijiwai dan dipatuhi oleh semua rakyat. Pengaktifan semula agen-agen mahir seperti pesara tentera yang berumur kurang dari 55 tahun. sepatutnya negara meletakkan mereka-mereka ini di suatu tempat atau memberi tugas sampingan di kampong masing-masing yang dikawal selia oleh unit ATM yang berhampiran dalam konteks penugasan sebagai agen-agen bantuan. Alangkah ruginya negara yang melatih mereka ini dan membiarkan kemahiran mereka terbiar. Memang benar pesara-pesara berada dalam senarai pasukan simpanan tetap dan akan dipanggil bila masa memerlukan tetapi ironinya pemeliharaan itu harus bermula dari permulaan persaraan untuk mengekalkan mood dan moral mereka. Penglibatan semula mereka ini dalam konsep Hanruh bukan sahaja akan membenteng setiap inci tanahair, malah ia juga pemangkin kepada pendapatan tambahan untuk kelansungan hidup.
Pembangunan keupayaan
Dari masa ke semasa kerajaan sentiasa memperuntukan sejumlah bajet untuk meningkatkan keupayaan ketiga-tiga cabang ATM. Secara keseluruhannya pembangunan keupayaan ATM adalah merangkumi aspek kelancaran mobiliti, komunikasi, perisikan dan pemantauan, sistem bantuan penghantaran logistik dan aspek moral dengan penyediaan infrastruktur yang menjana kepada daya lawan dan bertahan sesebuah pasukan.
Tentera Darat -. Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) masih lagi di bawah kawalan berpusat (centralized control) kerana perolehan persenjataan pertahanan udara (PU) terhad dan tidak mencukupi. Penugasan asset-aset PU kepada formasi masih ditentukan mengikut kepentingan operasi dan suasana taktikal semasa oleh Markas Tentera Darat. Pembangunan keupayaan PU kepada asset yang boleh dimobilisasi sendiri amat penting untuk menangkis serangan udara terutamanya helikopter penyerang serta mengambil tindakan perlindungan. Dengan memperlengkapkan ketiga-tiga kategori seperti persenjataan peperangan udara jarak amat dekat (VSHORAD) dan persenjataan peperangan udara jarak dekat ( SHORAD) yang sudah ada dalam inventori Tentera Darat maka dalam usaha untuk memperlengkapkan keupayaan GAPU, persenjataan peperangan udara jarak sederhana (MEDRAD) sangat penting dan perlu disegerakan demi mengekang dan memberi tentangan dalam bentuk pertahanan berlapis (layered defence) di samping peningkatan ke arah’ Battlefield Management System’ yang di’remote’kan kepada Pos Rintah secara masa sebenar (real time) dari gambaran udara RADAR TUDM.
Pihak ATM khususnya tidak berhenti setakat ini sahaja untuk terus melihat secara mendalam akan keperluan sistem misil balistik darat ke udara (SAM) dan misil balistik darat ke darat (SSM) jarak jauh untuk dioperasikan bagi tujuan pertahanan cegah rintang (deterrent). Keperluan untuk sistem misil yang mempunyai jarak balistik jangkauan 300 ke 500 km dirasakan sesuai untuk menangani senario pertahanan serantau masa kini. Bukan bertujuan untuk provokasi, tetapi aset strategik seperti ini akan dapat meningkatkan imej dan moral ATM selain dari membantu peningkatan R&D dalam bidang pertahanan negara untuk lapisan pertahanan ketiga dan seterusnya.
Tentera Laut – Pemilikan aset terbaru TLDM iaitu kapal ronda kelas generasi baru KD KEDAH dan KD PAHANG dan jika kesinambungan 27 buah lagi NGPV yang dalam perancangan awal perolehan dengan konsep ‘fitted for but not with’ (FFBNW) menjadi realiti diiringi dengan pelayaran pulang 2 buah kapal selam ‘Scorpene’ dari Perancis ke basin geo-strategik negara Telok Sepanggar pada 2008 secara berperingkat dan 2 buah lagi Frigate moden batch 2 sedang dirancang bersama LST yang lebih berupaya untuk menampong konsep operasi bersama yang sedang diusahakan oleh TLDM. Di saat perolehan ini sudah direalisasikan bermakna keupayaan TLDM sudah berada di tahap membanggakan untuk anak bangsa berpencak di samudera mengiringi wawasan 2020 dalam konteks aset dan kuasa tempur di laut. Walau apa pun perancangan pembangunan baru telah diatur namun usaha untuk memberi nafas baru kepada aset-aset lama yang telah berkhidmat di dalam armada harus diteliti untuk dipertimbangkan agar kefungsian kapal-kapal tersebut kompeten dan mampu bersaing dengan aset baru dan terus disegani.
Alangkah baiknya jika perolehan mendatang ini terus dibestarikan segala peralatan sokongan dalam usaha meminimumkan sumber manusia. Apa yang perlu ialah anggota bestari di kapal bestari harus disusun dengan program mengoptimumkan skil dan kebolehan yang berupaya memanipulasikan taktikal dan olahperang supaya berada di tahap kompeten. Krew elit (CIC Tim) harus diladeni dengan betul. Dalam konsep kapal bestari, seharusnya kerja-kerja ‘ship husbandry’ perlu diambil alih oleh tim kedua (tim bantuan pangkalan) semasa berlabuh di Pangkalan sendiri dengan hasrat untuk memaksimakan latihan kepada Tim CIC dan anggota taktikal supaya ‘power of knowledge’ dan keupayaan peralatan dapat diselari dan di optimumkan. Sejajar dengan hasrat ini juga, anggota tim taktikal harus dipilih dari baka atau benih yang baik seawal Lasykar Muda supaya pengaturcaraan doktrin yang dirangka mudah dimanfaatkan yang mana akan memercukan jenama navy people terus cemerlang dan gemilang.
Tentera Udara – Dengan fokus 2007 ketibaan pesawat ‘Multi-Role Combat Aircraft’ (MRCA) Sukhoi Su-30MKM sebanyak 18 buah secara berperingkat, sekurang-kurangnya dapat mewarnai keyakinan dalam aset tempur udara. Dengan bajet pembangunan yang agak nipis, sekurang-kurangnya kita mampu berpuas hati buat sementara. Kajian perolehan seterusnya sudah tentu dalam perencanaan TUDM bagi menampong ketipisan aset tempur udara. Dengan peningkatan keupayaan aset tempur udara yang sedia ada dengan peralatan terkini juga akan menjana keyakinan kepada operatornya malah rakyat seluruhnya. Khalayak masih menanti perkembangan Airborne Early warning Aircraf control (AEWAC) yang mana kehadiran nya amat dinanti. Kehadiran yang mesti direalisasikan secepat mungkin kerana keperluan kapal terbang peninjau dan penghubung komunikasi awal kehadiran ketumbukan udara atau laut musuh. Kehadirannya AEWAC sebagai elemen perisikan memberi impak keyakinan yang cukup besar kepada barisan pejuang dalam mempersiapkan diri samada mental atau fizikal dan juga taktik tipu daya peperangan. Bak kata orang, ”Bukan persoalan untuk menawan puncak Everest, tetapi persoalan sebenarnya ialah daya usaha dan teknik untuk melawan”.
Kesediaan Modal Insan
Kredibiliti – Untuk mengekalkan kepercayaan komuniti terhadap kredibiliti ATM dalam konteks modal insan berperilaku terpuji dan mempunyai rasa tanggung jawab untuk sama menjaga nama baik pasokan. Semangat kekitaan dan setiakawan dan sentiasa mempunyai satu frekuensi bila berhubung dengan masyarakat. Ancaman globalisasi yang berteraskan sex, song and sport (3S) harus diladeni dan diseimbang dengan penerapan nilai murni agama dan juga penekanan dalam konteks pemahaman dan amalan kecerdasan minda (emotion quotien) di samping ‘back to basic’ dalam semua prosedur regimental terhadap anggota supaya masalah perilaku dan virus dalam pasukan dapat disifarkan. Kredibiliti ATM bukan saja mampu diterjemahkan dengan mempamirkan kecerdasan minda dan ‘knowledge’ setiap anggota, malah penampilan diri dari bentuk susuk tubuh yang menepati ‘Body Mass Index’ (BMI). Obesiti anggota –anggota ATM mesti ditangani secara semula jadi iaitu dengan mengekalkan latihan jasmani yang seimbang yang mesti menjadi agenda berpasokan, bukannya secara individu. Sedar atau tidak, pengabaian pasokan dalam latihan jasmani seimbang telah mengheret kemelut obesiti telah meningkat jumlah dan mencalar maruah ATM.
Profesionalisma – Mentaliti seluruh masyarakat bukan tentera adalah sepakat mengatakan setiap warga ATM adalah operator perang yang terlatih dalam bidang pengkhususan masing-masing dan asas persenjataan kecil. Keyakinan dan mandat masyarakat tidak harus diabaikan dengan melengkapkan profesionalisma secara sambil lewa. Kekompetenan seseorang anggota dalam bidang masing-masing ialah merupakan produktiviti pasukan yang dihimpun menjadikan produktiviti ATM. Oleh itu tumpuan dan pemusatan menyeluruh terhadap program peningkatan profesionalisma setiap warga ATM tidak boleh dikompromi kerana ‘K- Force’ akan gagal jika setiap modal insan ini tidak bersedia untuk melakukan sungguh-ssungguh. Sistem latihan dan alat bantuan latihan dan mesti diselaraskan sesuai dengan perolehan moden terkini oleh ATM. Gerakan kepada anjakan paradigma oleh pemikir-pemikir strategik harus digembelingkan dengan pusat-pusat latihan supaya sentiasa berupaya melahirkan anggota-anggota yang berilmu dan berwibawa yang bakal menjadi operator peralatan ‘sophisticated’ dan terkini. Keberkesanan maksima sesuatu peralatan canggih tidak dapat dizahirkan jika operator tidak berjaya mengaplikasikan dan mengoperasikannya dengan baik dan maksima. Demikian juga sesuatu peralatan canggih tidak akan menghasilkan apa-apa kejayaan jika profesionalisma dalam bidang taktikal tidak seiring. K-Force menentukan segalanya dan menjawab persoalan ini.
Keimanan dan keikhlasan – Gandingan elemen-elemen keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan akan menzahirkan rasa ketaatan kepada pemerintah pasukan atau ketua. Keikhlasan dan kejujuran dalam melaksanakan tugas adalah elemen pengiring kepada kemahiran profesionalisma seseorang dalam menentukan produktiviti ATM yang secara langsung melonjakkan kredibiliti ATM di mata masyarakat.
KAGAT pula adalah makanisma pencetus dan penghubung kepada penghayatan fundalmental agama Islam. Anjakan paradigma kepada sistem penyebaran, penyampaian dan penghayatan agama kepada warga islam ATM perlu diberi perhatian dan dikaji keberkesanan dari masa ke semasa untuk meraih keberkatan dari Allah agar nur keimanan dan ketakwaan ini tersuluh ke sanubari setiap warga. Tentera yang beriman dan bertakwa kepada Allah akan menjanjikan ketahanan negara menjadi kebal dan mampu memberi sesuatu pulangan kepada pihak musuh. Sejarah perjuangan Islam di zaman nabi membuktikan bahawa kemenangan di pihak Islam merupakan pertolongan Allah kepada tentera-tentera nabi yang beriman dan bertakwa.
Penutup
Adalah menjadi dasar dan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia dalam menentukan kesinambungan perjuangan nenek moyang kita tidak berakhir dengan sia-sia. Kemungkinan ada atau tiada lagi penjajahan atau ancaman samada dalaman atau global yang harus ditentang, itu bukanlah satu persoalan yang harus kita balas dengan sikap endah tidak endah dalam mempersiapkan satu sistem pertahanan yang mantap menuju 2020. Cabaran akan datang dalam berbagai bentuk. Jika tiada persiapan , dikuatiri akan hilang arah tuju matlamat sebenar wawasan 2020 atau yang paling malang, sekali lagi dunia akan menyaksikan tanah air kita di jajah.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
No comments:
Post a Comment