Majalah Perajurit edisi Oktober 2014
Oleh Hamzah Hd.
Pada 23 Ogos
2014 yang lalu, Pusat Latihan Terbang 1 (PLTB 1) Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) telah mengadakan Sambutan Jubli Emas sempena penubuhannya yang ke 50
tahun pada tahun ini di Kolej TUDM Kepala Batas Kedah.
Majlis ini telah
dihadiri oleh Panglima TUDM Jen Tan Seri Dato’ Seri Rodzali bin Daud TUDM
bersama jemputan-jemputan dari kalangan pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai
TUDM dan semua anggota yang masih berkhidmat sebagai jurulatih penerbangan,
pelatih maupun juruteknik di PLTB 1.
Antara jemputan khas yang hadir pada majlis sambutan ini ialah anak
tempatan pertama yang menyandang sebagai Panglima TUDM ialah Marsyal Muda Udara Tan Seri Sulaiman Sujak (Bersara)
dan Pegawai Memerintah pertama PLTB 1 iaitu Group Captain John F Woodad (Rtd).
Sejarah
Penubuhan
Menyingkap
sejarah penubuhan PLTB 1 bermula di Kuala Lumpur Base dengan cadangan
untuk menubuhkan sebuah pangkalan bagi menempatkan sekolah penerbangan TUDM
pada tahun 1963. Ianya dirangka bertujuan
untuk mengambilalih Lapangan Terbang Alor Setar (kini Lapangan Terbang Sultan
Abdul Halim) dari Royal Airforce (RAF).
Oleh kerana kekurangan
tenaga pengajar dan kelengkapan yang diperlukan, penubuhan sekolah dibuat
secara berperingkat dan akhirnya Flying Training School ((FTS) telah dibuka secara
rasminya oleh Mantan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada 1 Julai 1964
dengan perlantikan Squadron Leader
John F Woodard dari Tentera Udara Diraja British (RAF) sebagai Pegawai
Memerintah Sekolah Penerbangan TUDM yang pertama. Ini bermakna penubuhan Sekolah Penerbangan
TUDM berlaku 6 tahun selepas penubuhan TUDM itu sendiri. Kemudian pada tahun 1984 FTS telah melakukan
penjenamaan semula dari FTS kepada Flying Training Centre 1 atau lebih
dikenali sebagai PLTB 1.
Latihan
penerbangan siri 5 dibuat di TUDM Alor Setar yang mana merupakan kursus pertama
yang diasaskan oleh Squadron Leader Woodard. Seiring dengan arus perkembangan sains dan
teknologi, Sekolah Penerbangan TUDM turut mengalami transformasi ke arah
penambahbaikan dari masa ke semasa.
Antara
pesawat-pesawat yang pernah digunakan di sekolah penerbangan ini ialah ialah De Havilland DHC-1 Chipmunk telah
berkhidmat dalam perkhidmatan TUDM dari 1964 hingga 1972, Hunting Percival (Piston
Provost) dari tahun 1964 hingga 1972, Scottish Aviation Bull Dog 100 dari tahun
1972 hingga 1997, Dove Cesna 402B dari tahun 1975 hingga sekarang, SME MD3-160
(Aerotiga MD3) dari tahun 1999 hingga sekarang, Pilatus PC-7 dari tahun 1983
hingga sekarang dan pesawat terkini yang digunapakai ialah Pilatus PC-7 Mark ll
yang memulakan perkhidmatan pada tahun 2003 sehingga ke hari ini. PLTB 1 dijangka akan menerima 5 buah lagi
pesawat baharu Pilatus PC-7 Mark ll tahun ini.
Bermula dari
sebuah unit latihan terbang yang kecil yang dianggotai oleh pegawai-pegawai yang
dipinjamkan dari RAF, hari ini PLTB 1 telah mencapai satu tahap yang sangat
membanggakan yang mana hingga kini PLTB 1 telah berjaya menghasilkan seramai
1200 orang juruterbang tentera termasuk juruterbanag TDM dan TLDM malah
juruterbang dari tentera udara negara luar seperti Tentera Udara Bangladesh dan
Tentera Udara Indonesia.
Mengimbau
keadaan PLTB 1 di peringkat awal penubuhan telah melalui pelbagai cabaran dan
kelemahan bagi meluluskan diri di dalam setiap ujian serta berusaha melonjakkan
diri ke tahap keupayaan, profesionalisme dan kesiagaan seperti yang ada pada
hari ini semestinya bermula dari sikap proaktif, ketabahan dan pengorbanan
individu dan kumpulan terdahulu dalam melatih dan menggilap generasi demi
generasi juruterbang serta pemimpin masa depan TUDM.
Cabaran
Cabaran pertahanan abad ke
21 semakin sukar difahami dan semakin sukar diramal. Kempen aplikasi tentera udara menjadi semakin
agresif kerana keupayaan melakukan operasi ketenteraan secara meluas samada
semasa aman atau dalam suasana konflik di dalam dan luar negara. Di dalam peperangan konvensional dan juga
ancaman dari pelbagai spektrum mendambakan TUDM berada dalam keadaan bersedia
dan bersiaga pada sebilang masa.
Tentunya PLTB 1 mempunyai tanggungjawab yang paling besar untuk
menghasilkan generasi juruterbang militari yang berkualiti, berani dan berketrampilan
sebagai pemimpin masa depan.
Bukan sesuatu
yang mudah untuk melahirkan seorang juruterbang yang pintar dan mampu bekerja
di bawah tekanan kerana mereka bukan sahaja juruterbang tetapi mereka juga
adalah seorang tentera yang diberi amanah untuk membunuh sebelum mereka dibunuh
kerana di dalam suasana peperangan setiap tindakan memerlukan kestabilan emosi
yang baik dan setiap tindakan akan menghasilkan kemenangan.
Oleh kerana itu memang tidak
dapat dinafikan, kewujudan dan kesinambungan peranan PLTB 1 adalah untuk membentuk
dan menentukan masa depan penerbangan militari negara dengan memfokuskan
perancangan dan pembangunan sumber manusia dalam usaha untuk mengekalkan dan
mempertingkatkan keperluan operasi masa depan TUDM. Ini adalah selaras dengan moto Hari Ulang
Tahun TUDM yang berbunyi ‘Kuasa Udara Kuasa Negara’ yang mana modal
insan adalah tulang belakang kepada kuasa udara.
TUDM telah memasuki fasa modenisasi, perubahan
doktrin serta berkembang maju dari sebuah angkatan udara yang bersaiz kecil dan
terhad keupayaan kepada sebuah angkatan udara moden yang bersaiz sederhana dan
serba boleh di rantau ini. Untuk
menentukan TUDM memacu ke arah masa depan yang betul, satu program yang
dinamakan The Airforce Next
Generation telah dilancarkan pada tahun 2010 sebagai panduan utama bagi
memandu TUDM terus berkembang maju menjadikan TUDM relevan, berkebolehan dan
serba boleh serta menjadi angkatan udara yang boleh dibanggakan kepada negara
menjelang Malaysia maju tahun 2020.
Dalam ucapan
perasmian, PTU telah menegaskan bahawasanya untuk merealisasikan segala
aspirasi TUDM tidak sebegitu mudah sebaliknya memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Apa yang digariskan di dalam program generasi
masa depan TUDM, modal insan merupakan salah satu daripada 4 tonggak utama bagi
menyokong segala aspirasi untuk memenuhi spektrum TUDM yang memerlukan
perhatian khusus.
Pegawai dan anggota mestilah
menggenggam erat nilai-nilai teras TUDM yang mana dalam konteks ini TUDM perlu
melaksanakan latihan dan program pembelajaran yang lebih mantap dan berterusan
dengan kajian semula kurikulum bagi memenuhi permintaan dan keperluan
semasa. Cabaran yang bakal ditempuhi di
masa hadapan kerap kali sangat sukar diramal.
Namun begitu TUDM sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan suasana itu
dengan melatih modal insan dengan cara yang betul, mencukupi serta pembelajaran
yang berkualiti tinggi.
Sepanjang 50
tahun yang berlalu PLTB 1 telah berjaya dalam pengeluaran juruterbang pesawat
yang berkaliber bukan sahaja dari perkhidmatan sendiri malah dari dari TDM TLDM,
APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Rekod perjalanan 50 tahun PLTB 1 telah mempamirkan keupayaan dan keyakinan
yang tinggi dalam usaha menggilap kecemerlangan
untuk menggapai kecemerlangan 50 tahun yang akan datang di dalam
membentuk masa depan penerbangan tentera Malaysia.
PLTB 1 juga
telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan penyertaan di dalam banyak pertunjukan-pertunjukan
udara, pameran udara dan upacara lintas hormat di seluruh negara. Ini telah dibuktikan oleh tim Sparrowhawks
dalam era 60an, tim Taming Sari pada era 80an dan 90an yang mana selama ini
tidak pernah gagal di dalam memberi persembahan yang menghiburkan kepada para
penonton di dalam setiap acara yang disertai.
SELAMAT HARI ULANG TAHUN KE 50 PLTB 1. PERAJURIT
No comments:
Post a Comment