About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, August 27, 2014

EKSESAIS TAIAHA TOMBAK


Perasmian Eksesais  TAIAHA TOMBAK  Siri 25/2014 telah berlangsung dalam suasana santai dan serba ringkas bertempat di Padang Kawad  Batalion 6 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 13 Ogos yang lalu.

Upacara perasmian telah di sempurnakan oleh Yang Berbahagia Panglima 6 Brigad (Bgd) Brig. Jen  Zakaria Yadi dengan di saksikan oleh Group Captain Mohammed Mukhthar Shariff (Alec Sheriff ) selaku Penasihat Tentera New Zealand ke Malaysia, Brunei dan Thailand.  Sebanyak 3 kontijen terlibat di dalam perbarisan perasmian iaitu 2 kontijen dari batalion 6 RAMD dan 1 kontijen dari  Kompeni Victor Tentera Darat New Zealand yang terlibat di dalam Eksesais kali ini.

Secara keseluruhan Eksesais TAIAHA TOMBAK  Siri 25/2014 telah melibatkan lebih kurang 40 orang pegawai dan 500 orang anggota LLP dari kedua-dua pihak ATM dan TDNZ yang dibahagikan kepada Blue Force dan Orange Force

Eksesais ini telah berlangsung dari 13 Ogos sehingga 28 Ogos 2014 yang mana pelaksanaannya dibahagikan kepada 2 fasa iaitu 13 hingga 20 Ogos  merupakan fasa pengenalan yang dilakukan di dalam kem sahaja yang melibatkan kedua-dua pihak partisipasi di mana kedua-dua pihak TDM dan TDNZ  membuat demonstrasi kemahiran mereka bagaimana membuat operasi hutan mengikut cara masing-masing.

Dalam fasa pertama ini juga kedua-dua pihak telah melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada kerjasama dan persefahaman melalui aktiviti-aktiviti sukan dan aktiviti sosial yang telah dirancangkan.

Fasa kedua dari 21 hingga 25 Ogos merupakan fasa latihan medan bersama trup yang melibatkan batalion telah diaturgerakan ke medan dalam kawasan hutan Baling Kedah yang memperuntukkan persekitaran sebenar bagi kedua-dua pihak TDM dan TDNZ mempamir dan menunjukkan keupayaan dan pengalaman mereka berperang di dalam hutan tropika.

Dalam fasa latihan medan ini aplikasi taktikal yang mereka laksanakan adalah tidak terhad dan tidak langsung tertakluk atau dipengaruhi oleh apa-apa taktikal yang diperuntukan di dalam eksesais ini dan semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan keupayaan dan pengalaman sebenar  kedua-dua buah pasukan.  Ini bermakna walaupun dalam kedaan di mana kedua-dua pasukan berada bersama-sama namun kedua-dua pasukan berhak mencorak taktikal masing-masing mengikut cara yang telah dipelajari atau diamalkan oleh pasukan sebelum ini. 

Namun begitu segala penemuan baharu dalam konteks taktikal dan teknik-teknik yang boleh diterima pakai oleh kedua-dua belah pihak semasa menjalani latihan, maka subjek atau taktik/teknik baharu itu akan diguna pakai terutamanya dalam mempertingkatkan kerjasama dan persefahaman di antara kedua-dua negara. 

Memandangkan Malaysia banyak pengalaman di dalam operasi countered insurgency warfare (CIW) maka TDNZ banyak memohon untuk mendapatkan teknik-teknik yang diguna pakai oleh TDM dan dalam masa yang sama juga TDNZ yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam peperangan di Afghanistan, Lubnan dan lain-lain malah juga mahir dalam peperangan dalam persekitaran bandar terbina atau operation in build up area (OBUA) maka dalam fasa 2 ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk melakukan pertukaran  maklumat dan pengalaman. Konsep peperangan masa kini yang lebih tertumpu kepada melawan keganasan juga diberi perhatian dalam latihan fasa ke 2 ini.

Sejarah Eksesais

Eksesais  ini adalah merupakan eksesais gabungan di antara TDM dan TDNZ.  Eksesais ini dilaksanakan sekali setiap tahun yang  merupakan timbal balas kepada Eksesais KERIS MERE yang dilaksanakan di New Zealand pada tahun 2006.  Kali terakhir  Eksesais TAIAHA TOMBAK  dilaksanakan pada 4 Sep hingga 17 Sep 2006 di kawasan Mahang, Kuala Ketil dan Sungai Petani, Kedah.

Eksesais ini dilaksanakan dalam bentuk Field Training Ekscersice (FTX) di peringkat batalion di dalam fasa ofensif peperangan konvensional. Penglibatan Trup TD adalah daripada 4 RRD seramai 1,113 orang pegawai dan LLP  manakala 2/1 Royal New Zealand Infantry Regiment (RNZIR) seramai 110 pegawai dan LLP.
.
Eksesais ini diberhentikan sementara sejak tahun 2008 memandangkan pihak TDNZ  terlalu padat penglibatan mereka dengan operasi luar negara seperti  Afghanistan, Lubnan dan sebagainya.


Tujuan utama  eksesais ini dilaksanakan ialah untuk mempertingkatkan keserasian dan persefahaman di antara kedua-dua pasukan di dalam melaksanakan CIW di samping menjalin hubungan rapat antara kedua-dua negara yang melalui persefahaman dan kerjasama rapat ketenteraan Malaysia dan New Zealand yang sudah terjalin sejak sekian lama.  New Zealand adalah salah sebuah negara Five Power Defence Arrangement (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, British dan Australia. MP

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini