About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, June 1, 2014

PENYELAKU TLDM

Oleh Hamzah hd

Pertahanan maritim  sesungguhnya memerlukan kewangan yang sangat banyak apatah lagi pertahanan era moden yang mengatur antaramuka manusia dan mesen kepada situasi yang sangat rumit yang mana saling bergantungan di antara satu sama lain.  Tanpa operator (manusia ) yang bijak, pastinya mesen atau peralatan /persenjataan tidak dapat berfungsi dengan baik dan berkesan dan sebaliknya tanpa peralatan/persenjataan yang canggih, manusia menjadi kaku dan tidak mampu menjangkau keupayaan peperangan dan pertahanan yang serba moden dan mencabar.

Keperluan peperangan alaf baharu memerlukan pengaturcaraan yang sempurna yang menyenangkan manusia berintraksi dengannya yang pasti sistem-sistem dan sub-sistem berkaitan adalah ‘pintar’ untuk menerima segala arahan yang dikeluarkan oleh manusia bagi mencapai sesuatu objektif kemenangan di dalam apa-apa jua dimensi peperangan.

Sistem-sistem dan sub-sistem yang pintar semestinya mempunyai nilai harganya yang tinggi dan pelantarnya pula turut diberi sentuhan yang berupaya memberi perlindungan terutamanya kalis pancaran elektronik yang selalu disebut kapal halimunan (stealth) serta sistem dorongan dan lain-lain sistem bantuan yang tidak boleh di kesampingkan pemilihan kualitinya.

Akhirnya, untuk memberi impak maksima kepada keberkesanan pengunaan sistem-sistem dan sub-sistem yang dikatakan pintar itu mesti dikendalikan oleh modal insan atau operator-operator yang pintar juga.  Sudah tentu untuk memperolehi sesuatu kepintaran dan kemahiran memerlukan proses familiarisasi dan latihan yang panjang dan berterusan. 

Bila proses ini berlaku maka sudah menjadi satu fitrah, sesuatu  sistem atau peralatan akan menjadi rosak dan memerlukan pembaikan dan penggantian. Kitaran proses ini sebenarnya memerlukan semaksima/seminima aset/pelantar keluar ke lapangan dalam waktu sebenar yang melibatkan keseluruhan sumber manusia dalam organisasi yang terlibat  walaupun di peringkat sokongan meski pun tidak terlibat secara khusus di dalam sesuatu latihan yang dijalankan yang mana kadang kala latihan-latihan itu hanya untuk melatih beberapa kelompok anggota tertentu sahaja. Cara ini bukan sahaja tidak dapat ‘merehatkan’ aset serta peralatan yang ada malah untuk keluar ke lapangan samudera sebenar memerlukan perbelanjaan wang kerajaan yang sangat banyak bagi memenuhi keperluan dari semua segi.

Namun begitu seiring dengan perkembangan, penambahan dan pemodenan aset tempur dan aset sokongan, pemantapan kemahiran masih diteruskan juga secara konsisten dan sistematik iaitu dengan cara mengadaptasikan semua kerja di lapangan sebenar melalui simulator yang direka khusus bagi memenuhi kehendak dan sasaran yang direncanakan dalam usaha meningkatkan kemahiran modal insan yang membanggakan negara dalam permainan olah perang di samudera. 

Atas dasar penjimatan ekonomi jangka panjang serta kesenangan, keselesaan dan faktor kekerapan melakukan latihan-latihan yang serupa seperti di lapangan sebenar tanpa menghadapi halangan dan birokrasi masa dan ekonomi maka sudah tentu langkah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membangunkan modul-modul penyelaku taktikal dan teknikal yang menjadi nadi kepada pengoperasian angkatan perang adalah sesuatu keputusan dan tindakan yang bijak.

Penyelaku Olah Perang - PUSTAKMAR

Penyelaku terawal yang diguna pakai di dalam Pangkalan TLDM ialah Penyelaku Taktikal khusus untuk latihan kemahiran olah perang kepada tim Pusat Informasi Combat (CIC) kapal-kapal TLDM samada latihan berkala bulanan maupun eksesais bersepadu intra TLDM atau pun bilateral/multilateral.  Pusat yang diberi nama Pusat Taktikal Marin (PUSTAKMAR) ini telah beroperasi sejak era 80an.  Dibina berkongsepkan kubikel dan setiap kubikel menggambarkan sebuah CIC sebenar  yang dilengkapi instrumen dan peranti  dalam bentuk software.

Latihan taktikal di PUSTAKMAR adalah melibatkan pegawai-pegawai eksekutif  serta anggota-anggota CIC dari kepakaran RDP(JTP) dan Komunikasi.  Latihan yang sering dilakukan ialah berkaitan Perintah dan Kawalan, Plotting, Reporting dan Komunikasi yang biasanya latihan-latihan ini dibuat dalam bentuk senario olah perang yang melibatkan unsur-unsur dari pelbagai jenis kapal perang dengan mengambil kira kewibawaan kapal-kapal terlibat dalam menghadapi pelbagai ancaman seperti peperangan atas permukaan, bawah permukaan, udara dan peperangan elektronik.

Dalam eksesais sebenar perlaksanaan dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu fasa latihan olah perang, fasa di laut dan debrief yang selalunya fasa olahperang dan debrief akan dilakukan di PUSTAKMAR.  Bayangkan jika semua fasa eksesais dilaksanakan di laut selama seminggu dengan mengerahkan semua aset dan partisipasi melibatkan diri, berapakah jumlah kos yang harus dibelanjakan untuk menjayakan sesuatu eksesais?.  Dengan adanya penyelaku di PUSTAKMAR, penjimatan masa dan wang ringgit dapat dijimatkan dengan begitu ketara tanpa mengurangkan pencapaian objektif latihan.

Penyelaku Anjungan- WASPADA

Penyelaku anjungan memberi gambaran seperti dalam suasana sebenar di laut
Panduarah dalam persekitaran sebenar pelabuhan atau terusan-terusan sempit yang sibuk mencabar kewibawaan tim anjungan kerana di dalam situasi ini semua aspek keselamatan dalam pemanduan kapal perlu dititikberatkan. Terutamanya kedudukan kapal sendiri semestinya berada di atas garisan yang telah ditetapkan dengan mengambil kira kedalaman air, pengaruh arus , pengaruh angin, pergerakan lalu lintas serta objek-objek kecil yang memungkinkan terhalang laluan.  Semua amaran dan tanda-tanda yang terdapat di atas carta mesti dikenal pasti kesahihan pada persekitaran pelayaran demi memastikan kelancaran panduarah.

Aspek pemanduarahan sesebuah kapal merupakan aspek yang sangat penting sebelum sesebuah kapal perang menuju ke sesuatu destinasi yang mana pergerakan selepas itu mungkin akan lebih dipengaruhi oleh suasana dan pergerakan taktikal yang ekstrem.  Oleh kerana itu tim panduarah dalam situasi genting dalam pelayaran memerlukan banyak kombinasi dan persefahaman dengan lain-lain tim di dalam sesebuah kapal bagi menentukan kesiagaan kapal dan pengurusan di tahap terbaik.  Maka untuk itu, latihan konsisten merupakan persediaan terbaik untuk menyediakan pasukan yang terbaik namun peluang berlatih di lapangan sebenar mungkin agak terhad.  Berlatih dalam penyelaku adalah sesuatu solusi yang terbaik kepada persediaan itu.

WASPADA  dengan kemudahan latihan simulasi yang terbaik untuk kapal-kapal TLDM, Pusat Latihan, Unit-unit Pangkalan serta agensi berkaitan dalam aspek latihan navigasi dan maritim. Dalam skop Pusat Latihan TLDM penyelaku ini merupakan kesinambungan kepada skim latihan asas dan lanjutan (teori dan praktikal) kepada pelaut dari kalangan pegawai eksekutif, anggota Navigasi (RDP), Komunikasi, Kelasi dan Kejuruteraan dalam konteks pemanduarahan (manouevering) yang sebelum ini telah disempurnakan di fakulti masing-masing dan nilai tambah dalam kerjasama berpasukan tim panduarah. 

Projek Penyelaku Anjungan dibangunkan oleh  STN ATLAS Elektronik yang dibina pada Oktober 2000 dengan kos pembinaan berjumlah RM 22 juta merangkumi Bangunan dan Sistem ANS 5000 yang dikendalikan oleh Atlas Defence Technologies (ADT) Sdn Bhd. Penyelaku ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Mohd Ramly bin Abu Bakar pada 27 Apr 2003 walaupun ianya telah mula beroperasi pada Oktober 2002.

Sehingga 23 Apr 2014, Sistem ini sudah beroperasi selama 50,225 jam dengan jumlah pengendalian selama 13,557 jam dan jumlah pelatih yang terlibat ialah seramai  13,242 orang.  Di antara pakej latihan yang dikendalikan di penyelaku ini ialah Bridge Management, Harbour Pilotage , Officer of the Watch (OOW ), Quartermaster, Radar Plotter,  Ship Handling Crisis Managements.

Sistem ini boleh disesuaikan dengan pelbagai model-model sebagai kapal sendiri (own ship) seperti Kelas INDERAPURA, Kelas LEKIU, Kelas KASTURI, Kelas INDERA SAKTI, Kelas RAHMAT, Kelas MARIKH, Kelas NADIM, Kelas MAHAMIRU, Kelas HANDALAN, Very Large Crude Carrier (VLCC), Hovercraft, Ferry, Container Carrier, Bulk Carrier dan Tug.  Manakala model-model traffic ship ialah Very Large Crude Carrier (VLCC), Hovercraft, Ferry, Container Carrier, Coaster Ship, Fishing Boat, Sailing Vessel, Tug Boat. Destroyer, Aircraft Carrier, Foreign Navy Warship, RMN Warships, Partly Submerged Submarine, Helicopter, Transport Aircraft, Fishing Floats, Logs, Floating Debris, Partly Submerged Wreck dan Partly Submerged Torpedo.

Sementara Model-model Pelabuhan yang digunakan ialah merupakan pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia seperti Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Klang, Pulau Tioman, Pulau Pinang, Pelabuhan Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Laluan laut yang digunakan ialah dari Port Klang ke Singapore Strait dan Tanjong Pengelih ke Hosburg Light House.  Cuaca dan persekitaran sebenar merupakan waktu siang dan malam, hujan dan kabus, kesan-kesan air cetek, Bank & channel effects, current & tidal stream dan grounding.

WASPADA  yang mempunyai enam ruang utama yang boleh berfungsi sebagai enam pelantar  dalam satu masa iaitu Anjungan Utama, Anjungan Skunder, dan empat kubikal yang berfungsi sebagai Pusat Informasi Peperangan yang mengandungi konsol-konsol yang berkaitan dengan aspek-aspek pemanduan lengkap sebuah kapal seperti:

- Konsol Kawalan Jentera – latihan pengendalian jentera dan arahan-arahan kepada anggota jurutera marin.

- Konsol Panduarah – menggunakan teknologi Electronic Chart Display Systems (ECDIS) untuk pendedahan kepada pegawai-pegawai muda dan anggota Navigasi.

- Konsol Radar – Mata sesebuah kapal dalam pelayaran. Untuk tujuan fixing dan anti collision instrument.

- Konsol Arahan Am – Untuk pengendalian lampu-lampu, sistem sauh, sound signal dan sistem pengimbang kapal.

- Konsol Binocular – Untuk pemerhati kapal (lookout) yang mana diambil peranan oleh anggota-anggota cawangan kelasi.

- Konsol Komunikasi Luaran – Konsol yang menempatkan anggota komunikasi menjalani latihan.

- Meja Carta – Untuk latihan kerja-kerja carta oleh anggota navigasi dan pegawai.

- Overhead Panel – indikasi atau ekuipmen penunjuk yang diperlukan seperti wheel indicator, compass repeater dan sebagainya.

Electronic Chart Display and Information System (ECDIS) ialah sistem informasi navigasi berasaskan komputer yang telah diselaraskan dengan keperluan International Maritime Organization (IMO) yang memaparkan maklumat carta navigasi elektronik yang memenuhi piawaian International Hidrographic Organization (IHO) yang telah diintergrasikan dengan Global Positioning System (GPS) dan penderia panduarah lain seperti Radar, Fathometer dan Automatic Identification Systems (AIS). Ianya juga memaparkan maklumat navigasi tambahan seperti Sailing Directions yang menyumbang kepada navigasi selamat kerana ciri-ciri yang terkandung adalah sama dengan carta bercetak yang sering digunakan semasa pelayaran.




Penyelaku DCFF- TANGKAS

latihan kebakaran menjadi rutin utama anggota TLDM

Kebakaran boleh terjadi bila-bila masa sahaja yang mungkin berpunca dari litar pintas, kebakaran jentera utama atau janakuasa malah kebakaran boleh berlaku dari kecuaian anggota-anggota sendiri di tempat tidur atau dari rumah masak.  Apatah lagi dalam jika kapal berada dalam situasi peperangan yang mana kemungkinan besar kebakaran akan tercetus bila terkena ledakan torpedo, misil dan sebagainya.  Kebanjiran pula boleh berlaku pada sesuatu lokasi di mana kemungkinan terlanggar balak, grounding, perlanggaran atau terkena ledakan torpedo, misil dan sebagainya. 

Sementara tim kombat (AIO) meneruskan agenda mereka dengan senario taktikal di CIC dan tim anjungan dengan pengendalian manuvra kapal, kumpulan yang di beri nama Damage Control Party (DC Party) dari kalangan anggota kepakaran Teknikal dan Bekalan ini bersiaga dengan kemungkinan-kemungkinan kapal mengalami kebocoran atau kebakaran.  DC Party yang di bahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian depan dan belakang kapal akan sedaya upaya ‘menjinakkan’bencana yang mendatang bagi memastikan  kapal terus float, move and fight.  Walau bagaimanapun pengetahuan dan kecekapan berkaitan DCFF ini sebenarnya bukan tanggungjawab DC Party semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab semua warga kapal. Atas dasar dan keperluan penugasan ini, kecekapan warga kapal sentiasa di tahap terbaik kerana latihan pemantapan juga dilakukan di kapal setiap hari khusus untuk warga kapal yang bertugas.

Mengapa Penyelaku DCFF ini menjadi sangat penting kepada TLDM ialah kerana subjek mengawal kerosakan dan melawan kebakaran semasa di dalam pelayaran adalah merupakan ancaman utama kepada sesebuah kapal apatah lagi kepada angkatan pertahanan maritim. 

Oleh kerana itu Sekolah Chemical Biological Radiological Nuclear and Damage Control (CBRNDC) menjadi tonggak terpenting bagi melahirkan warga TLDM yang mampu mengawal keadaan yang ekstrem ini walau dalam situasi apa sekalipun kapal berada.

CBRNDC yang mengandungi dua modul yang dibina berasingan iaitu Damage Control Training Unit (DCTU) dan Fire Fighting Training Unit (FFTU) dibina mengikut kesesuaian dan keadaan kapal yang sebenar dengan lapisan dek dan pelbagai ruang untuk latihan.  Modul-modul ini dibina sebagai penggantian kepada modul statik yang sebelum ini digunakan sebagai tempat latihan untuk tujuan yang serupa dan tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi keperluan latihan semasa mengawal kerosakan dan melawan kebakaran. Training Unit ini  telah dibina dan diserahkan kepada TLDM secara rasminya pada 26 Ogos 2003 di bawah pentadbiran Fakulti Kejuruteraan KD PELANDOK. 

Spesifikasi DCTU di perbuat daripada Mild Steel dengan  dimensi 15.15m x 7.45m x 11.4 dengan 3 lapisan dek.  Komponen Utama modul  DCTU mempunyai Sump Pool dengan kapasiti (191 cu.m), Header Tank (91 cm), Motion Control System, Pump House, Electrical and Flooding System dan Surveillance System.  Dinamik Modul digerakkan oleh Hidraulic Power 15 degree ke port atau starboard dan boleh memuatkan 20 hingga 25 orang pelatih dalam satu masa.

Jenis-jenis latihan yang dijalankan di DCTU ialah membaiki kerosakan dalam keadaan Stesen Bertindak, mengawal kebanjiran, membaiki kerosakan paip-paip, mengepam keluar air dengan menggunakan fixed and portable educaters, mengepam keluar air dengan menggunakan pam mudah alih, menyelamat dan mengalih anggota yang tercedera, latihan rawatan awal, kawal dan perintah CBRN, latihan kawalan asap, menyambung kabel-kabel kecemasan dan simulasi gerakan dan golekan kapal.

Manakala spesifikasi FFTU pula di perbuat daripada Mild steel berkonsepkan  containerize T-shape mempunyai 2 dek dengan dimensi 15.87m x 5.2m x 12 m.  Komponen utama mempunyai modul melawan kebakaran, control station, fuel station, oil separater dan hydrant.

Jenis-jenis latihan yang dijalankan di FFTU ialah melawan kebakaran melalui pintu yang sama tingkat, melawan kebakaran dengan kemasukan melalui peraka, melawan kebakaran dengan menggunakan Alat Pemadam Api kecil (APAK), prosedur re-entry, menggunakan Thermal Imaging Camera, menyelamat dan mengalih anggota yang tercedera, menggunakan Breathing Apparatus, latihan kepada pengawal BA, menggunakan Emergency Life Support Apparatus (ELSA) dan mengawal kemerebakan asap.

Partisipasi yang mengambil bahagian melakukan latihan di TANGKAS ini di antaranya  ialah pelatih-pelatih yang sedang menjalani kursus-kursus kenaikan pangkat di KD PELANDOK, warga kapal yang sedang menjalani latihan penyesuaian laut (work-up) dan pemeriksaan tahunan kapal-kapal, Unit-unit TLDM dan Agensi-agensi luar malah juga medan mengasah ketajaman kemahiran  kepada jurulatih/staf CBRNDC sendiri serta anggota dari Sel Kesiapsiagaan Markas Armada.

Penyelaku Kapal Selam

Terbaharu TLDM telah menerima satu lagi penyelaku iaitu simulator Kapal Selam Scorpene yang mana waktu ini sudah pun sedang digunakan di  Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).
 
Natijah daripada amalan TLDM dalam Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) yang konsisten telah diterjemahkan kepada perolehan kemudahan modul latihan yang serba moden ini, menjurus kepada penjimatan yang amat ketara telah disempurnakan oleh TLDM kerana untuk melaksanakan keperluan latihan ini. Untuk merealisasikan sesuatu latihan di laut sekurang-kurangnya dua pelantar diperlukan untuk belayar dan mengambil masa yang panjang yang semestinya memerlukan kos yang banyak.

Apa yang penting ialah maklum balas daripada pelaku-pelaku yang pernah terlibat semasa menjalani latihan di sini menyatakan kewujudan modiul-modiul yang telah dibicangkan di atas telah  memberi impak besar kepada mereka kerana latihan yang diperolehi di sini seolah-olah seperti berada di laut sebenar .


Ini memberi petunjuk bahawa setiap pelaku yang melalui latihan di modiul ini akan bertugas di kapal dengan lebih yakin sesuai dengan kecanggihan pelantar masa kini. Syabas TLDM. PERAJURIT

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini